Tafsir Surah Ali Imran Ayat 101 – 108 (Berpegang dengan tali Allah)

Ayat 101:

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ آيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how could you disbelieve while to you are being recited the verses of Allāh and among you is His Messenger? And whoever holds firmly to Allāh¹ has [indeed] been guided to a straight path.

  • i.e., adhering to His ordinances strictly, then trusting in Him and relying upon Him completely.

MALAY

Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

 

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ

Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir

Ini adalah ayat teguran kepada umat Islam yang jadi murtad. Macam mana ni kamu boleh kufur ni… memang tidak masuk akal kalau kamu kufur.

 

وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ آيَاتُ اللَّهِ

padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah ke atas kamu

Padahal selalu ‘dibacakan’ ayat Quran kepada kamu. تُتْلَىٰ maksudnya bukan baca sendiri. Mereka yang jatuh murtad itu tentunya tidak baca Quran dah, tidak belajar agama dengan betul dah. Ini isyarat bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang lemah iman sebab tak baca sendiri Quran itu. Akan tetapi walaupun mereka sendiri tak baca, tapi telah ada yang sampaikan ayat-ayat Qur’an kepada mereka.

 

وَفِيكُمْ رَسُولُهُ

dan dalam kalangan kamu ada RasulNya

Ayat Qur’an adalah tafsir kepada perkataan آيَاتُ dalam ayat ini dan belajar sunnah adalah tafsir kepada perkataan رَسُولُهُ. Maksudnya, memang Nabi tidak ada dengan kita tapi ada kitab hadis. Semua kitab itu tertulis sudah oleh ulama-ulama hadis untuk menyampaikan agama kepada kita, tapi adakah orang-orang kita belajar? Mereka sibuk dengan perkara keduniaan yang lain. Ibubapa pun tidak mementingkan pun pelajaran agama kepada anak-anak. Dan kalau ada yang belajar agama sampai ke Pondok dan sampai ke Universiti, tidak belajar pun Tafsir Quran dan syarah Hadis, tapi belajar kitab-kitab yang lain. Kitab-kitab itu bertahun-tahun mereka belajar, tapi Tafsir Quran dan Hadis Nabi entah bila nak belajar, tak tahu.

Malangnya ramai yang keluar Islam sebab tak belajar agama Islam dengan betul.

 

وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Berpegang teguh tidak ikut percaya ahli kitab.

Sekarang, bukan sahaja kena jaga dengan Ahli Kitab, tapi kena jaga dengan puak Syiah, ajaran sesat dan puak bidaah. In sha Allah, kalau pemahaman kita mantap, kita tidak akan terkeliru dengan dakyah mereka.


 

Ayat 102: Ini adalah ayat targhib kepada jihad. Ianya adalah pengulangan tajuk dalam surah Baqarah. Ini adalah kerana Jihad pun sudah disebut dalam surah Baqarah. Seperti yang kita telah sebut, ada kaitan rapat antara surah Baqarah dan surah Ali Imran.

Untuk memudahkan kita faham susunan ayat-ayat selepas ini, disenaraikan apakah topik-topik yang akan dibincangkan oleh ayat-ayat dari surah Ali Imran ini nanti.

Ayat 102-129 tentang jihad.

Ayat 130-139 tentang infak.

Ayat 140-179 tentang jihad semula

Ayat 180-184 tentang infak semula

Ayat 185-186 tentang jihad dan infak

Ayat 187-188 Ayat-ayat Zajrun.

Ayat 189-192 tentang tauhid

Ayat 193-195 tentang risalah

Ayat 195-199 tentang jihad dan infak

Ayat 200 kesimpulan semula sekali, iaitu tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infak

Jadi, kita boleh lihat bagaimana topik-topik itu berselang seli antara satu sama lain.

Untuk menghadapi orang kafir, bukan boleh tunggu dan lihat sahaja apa yang mereka akan buat. Kita kena lakukan sesuatu untuk menegakkan agama Allah di mukabumi ini. Kita kena jalankan jihad, baru mereka akan lemah. Kerana kalau dibiarkan sahaja mereka, akan beri bahaya kepada kita. Kalau kita tak murtad, anak cucu kita yang akan murtad pula kerana kita hanya berpeluk tubuh sahaja.

Allah tidak akan selamatkan umat Islam yang mendiamkan diri. Allah boleh tukar kita dengan umat lain yang lebih baik dari kita. Maknanya, Allah sedang beri peluang kepada kita untuk berjuang. Kalau kita tidak buat apa-apa, Allah akan tukar kita dengan orang lain.

Yang kita boleh jihad sekarang tanpa perlu tunggu Khalifah adalah menyampaikan ayat Qur’an kepada manusia. Iaitu ‘Jihad Lisan’. Sebab ‘Jihad Qital’ kena penuhi banyak syarat dan bukan semua orang boleh buat. Tapi jihad dengan Qur’an ini semua orang boleh buat. Jadi kena belajar semua ayat Qur’an dan sampaikan kepada manusia lain. Kerana Allah dah susun Qur’an ini dari surah Fatihah sampai surah an-Nas untuk kita kenal Dia. Kalau belajar semua sekali, tidak akan murtad, tidak akan sesat.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh as He should be feared and do not die except as Muslims [in submission to Him].

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, 

Wahai manusia, hendaklah kamu takut sebenar-benar takut kepada Allah. Takut dalam ayat ini adalah takut kepada akidah syirik. Jangan langsung buat sesuatu yang boleh membawa kepada syirik pun.

Lafaz حَقَّ تُقَاتِهِ boleh bermaksud taqwa kepada Allah sebagaimana yang sepatutnya. Ini adalah amat berat sekali untuk dilakukan. Adakah kita mampu melakukannya? Para sahabat takut kerana mereka tahu yang mereka sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu nak ibadat kepada Allah sebagaimana yang selayaknya, tidak dapat bertaqwa sebagaimana yang Allah kehendaki. Kerana kita semua insan yang lemah dan tidak mampu. Alhamdulillah, dalam surah at-Taghabun, Allah telah berfirman yang kita taqwa setakat yang kita mampu. Jadi kena baca ayat itu bersama ayat ini. Kalau tidak, memang kita akan dikira gagal sahaja sentiasa.

Apabila sudah begitu, maka ianya kembali kepada diri kita sendiri. Kita kena nilai diri kita setakat mana yang kita mampu. Kita kena tahu setakat mana kemampuan kita. Kerana setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza-beza. Dan kita jangan ‘curi tulang’ pula. Iaitu, kita boleh buat lebih lagi, tapi kita buat kurang dari yang kita boleh. Orang lain tidak akan dapat tahu, tapi kita sendiri akan tahu kerana kita kenal kemampuan kita, bukan? Ingatlah bahawa nanti kita akan mengadap Allah dan akan dipersoal samada kita sudah melakukan yang terbaik yang kita boleh lakukan. Dengan orang lain kita boleh jawap: aku dah buat yang terbaik. Mereka tidak boleh menilai kita. Tapi Allah boleh menilai kita.

 

وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dalil yang menunjukkan bahawa ayat ini adalah peringatan supaya jangan syirik adalah kerana Allah pesan supaya jangan mati melainkan dalam keadaan akidah Islam. Muslimin disini adalah muwahhidun – mentauhidkan Allah. Kalau syirik, tidak ada peluang untuk dapat syafaat pun. Oleh itu, Akidah kita kena jaga betul-betul. Kerana kalau mati ada syirik, tidak ada harapan langsung untuk masuk ke syurga. Kerana kalau kita buat dosa yang selain syirik, ada peluang untuk masuk syurga – samada Allah masukkan dalam neraka dahulu, atau Allah ampunkan terus. Tapi dosa syirik Allah telah beritahu yang Dia tidak akan ampun.

Allah ingatkan kita jangan mati melainkan dalam keadaan taat. Tapi kita tidak boleh tentukan bila kita akan mati bukan? Maka ini mengajar kita jangan langsung kita buat dosa kerana takut kalau kita mati semasa sedang melakukan dosa. Itu dinamakan su’ul khotimah – penutup yang buruk – kita tutup hayat kita di dunia dengan cara yang buruk. Cara kita mati boleh dijadikan sebagai tanda apakah nasib kita di akhirat nanti. Semoga kita mati semasa melakukan ibadah. Ini amat menakutkan sekali kerana kita tak tahu lagi apa nasib kita.

Jadi ayat ini adalah muqaddimah kepada jihad. Belum nampak dengan jelas lagi. Akan nampak dengan jelas apabila semakin kita baca.


 

Ayat 103: Allah beritahu yang kita kena buat seperti yang disuruh dalam ayat ini. Kalau kita lakukan, barulah kita akan capai apa yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And hold firmly to the rope¹ of Allāh all together and do not become divided. And remember the favor of Allāh upon you – when you were enemies and He brought your hearts together and you became, by His favor, brothers. And you were on the edge of a pit of the Fire, and He saved you from it. Thus does Allāh make clear to you His verses that you may be guided.

  • Referring either to His covenant or the Qur’ān.

MALAY

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Ulama sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan حَبْلِ اللَّهِ (Tali Allah) adalah Qur’an. Dan lafaz جَمِيعًا bermaksud ‘semua sekali’. Maksudnya, semua ayat-ayat Quran itu. Maka, kenalah belajar tafsir semua sekali ayat Quran itu 30 juzuk. Jangan pilih-pilih pula mana yang kita suka. Kena luangkan masa dalam hayat kita ini supaya dapat belajar tafsir keseluruhan ayat Quran.

Kata جَمِيعًا juga bermaksud ‘berjemaah’. Hendaklah kita bersama-sama dengan orang lain berpegang dengan Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita ramai-ramai kena belajar dan sebarkan Qur’an ini. Janganlah kita faham sendiri sahaja dan biarkan orang lain terkontang-kanting tidak tahu hal agama ini. Kenalah talaqqi belajar dengan guru dan kemudian tambah dengan membaca kitab-kitab tafsir yang banyak. Memang ada banyak tafsir dengan berbagai kitab tapi secara dasarnya banyak persamaan antara tafsir itu.

 

وَلَا تَفَرَّقُوا

dan janganlah kamu bercerai-berai;

Jangan kamu berpecah belah tentang Qur’an. Kalau kita tidak pegang Qur’an semua sekali, akan rosak agama dan umat pun akan pecah belah. Untuk umat bersatu, bukan dengan menggunakan hadis, tapi dengan Qur’an. Kerana dengan hadis, manusia boleh lagi berpecah jadi mazhab – kita pun lihatlah sekurang-kurangnya ada empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah pun. Hanya dengan Qur’an, baru boleh bersatu. Ini adalah kerana Quran mengajak kepada akidah tauhid dan hal akidah ini mazhab yang empat pun sama sahaja pendapat mereka. Kalau perbezaan bab fekah, zaman sahabat pun sudah ada perbezaan pendapat dan tidak membahayakan pun. Dalam hal feqah, kita boleh bertolak ansur kerana ada banyak pendapat, tapi dengan hal akidah, kena pegang satu pendapat sahaja, iaitu yang disampaikan oleh Quran. Oleh itu, janganlah ada yang tidak belajar. Semua sekali kena belajar. Jangan gunakan ayat-ayat Quran pula untuk tafsirkan dengan cara yang salah, yang menyebabkan perpecahan dalam umat pula.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita supaya jangan berpecah dah buat kumpulan lain selain dari kumpulan muslim. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, ini perkara biasa kerana kita semua manusia, pendidikan berbeza dan pemahaman pun berbeza. Tapi kena tetap duduk dalam jemaah Islam. Memang akan ada perbezaan, tapi jangan besarkan perbezaan itu. Kita sekarang sudah banyak sangat kumpulan dan persatuan. Semua dengan niat yang baik, tapi janganlah kita taksub dengan kumpulan kita. Kerana kita semua bekerja untuk Allah. Walaupun banyak kumpulan kecil, tapi kumpulan yang terbesar adalah kumpulan jemaah Islam.  Janganlah kerja nak mencari salah orang sahaja. Yang kita kena buat selalu adalah ingat nikmat Allah beri kepada kita. Bayangkan kalau Dia masukkan kita dalam agama kafir, macam mana?

 

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ

dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu

Ini adalah nikmat yang khusus diberikan kepada Arab Madinah yang dulunya berperang sesama mereka. Dengan nikmat Qur’an, mereka jadi seperti adik beradik. Ini adalah contoh bagaimana Qur’an dapat menyatukan manusia. Apabila tauhid kepada Allah, Allah boleh satukan hati. Oleh itu, perkara yang besar yang penting dijaga adalah akidah.

Memang kita sendiri boleh rasa bagaimana Quran dapat menyatukan manusia. Cara paling senang kita tengok adalah kalau kita lihat orang yang selalu baca Qur’an, kita akan hormat dia. Ini terjadi secara semulajadi. Apatah lagi kalau seorang yang hafiz Qur’an, lagi kita akan hormat dia. Allah yang timbulkan perasaan sayang dan hormat itu dalam hati kita kerana Qur’an.

Perkataan فَأَلَّفَ digunakan yang bermaksud ‘seribu’ secara literal. Ia bermaksud benda yang pecah dan dijadikan satu balik. Lekat balik. Pelekat itu adalah Qur’an.

 

فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yang bersaudara.

Ada beza antara ‘ikhwah’ dan ‘ikhwan’. Dua-dua perkataan ini kita selalu dengar tapi apakah bezanya? Ikhwah adalah talian persaudaraan kekeluargaan. Ikhwan pula adalah pertautan antara mereka yang mempunyai matlamat yang sama walaupun bukan keluarga darah daging. Tetapi apabila orang mukmin, walaupun bukan adik beradik, tapi mereka seperti ikhwah sesama sendiri. Sudah jadi macam adik beradik. Tapi dalam ayat ini digunakan lafaz إِخْوَانًا kerana masih pada peringkat awal.

Oleh itu, jagalah persaudaraan Islam sesama kita. Lihatlah orang Islam yang lain sebagai orang yang sama sahaja dengan kita, sama-sama dalam akidah yang satu dan Tuhan yang satu. Janganlah pandang sangat perbezaan antara kita. Perbezaan memang akan tentu ada. Tapi carilah apa perkara yang menyatukan kita.

 

وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu.

Allah ingatkan Arab Madinah bagaimana mereka dahulu sudah duduk tepi jurang Neraka dah, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan terus ke dalam neraka. Tapi Allah selamatkan mereka dengan beri fahaman tauhid kepada mereka.

Begitu juga, ramai dari kita yang hanya tahu tauhid dengan sebenar selepas belajar tafsir Quran. Ada yang menangis kerana mengenangkan apa yang mereka lakukan semasa mereka belum belajar tafsir, kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan dulu, akan menyebabkan mereka masuk terus ke dalam neraka kalau tidak bertaubat. Tapi, untuk bertaubat, hanya selepas mengetahui yang perbuatan itu salah dahulu. Berapa ramai lagi yang masih mengamalkan amalan syirik tanpa mereka sedari kerana mereka tidak belajar tafsir Quran?

 

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Allah menceritakan semua ini adalah untuk memberi hidayah kepada kita.

 
Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Dimana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Quran. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atu kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek. Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat kalimah تَفَرَّقُوا yang dalam bentuk ikhtizal. Iaitu telah dihazafkan satu huruf ت dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang biasa digunakan adalah تَتَفَرَّقُوا. Sekarang bandingkan pula dengan ayat Syura:13 

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh. Kenapa ada ikhtizal dalam ayat Ali Imran:103? Sedangkan dedua-dua ayat ini tentang larangan berpecah belah tetapi kenapa ada perbezaan kalimah yang digunakan?

Perbezaan itu adalah kerana ayat Ali Imran:103 ini ditujukan kepada puak Muhajirin dan Ansar sahaja. Bilangan mereka itu terhad kalau dibandingkan dengan tujuan ayat dalam Syura:13 itu. Dalam Syura:13 digunakan kalimah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh kerana ayat itu ditujukan kepada semua orang.


 

Ayat 104: Apabila umat Islam sudah bersatu, dan supaya kekal bersatu, kena ada sifat-sifat yang akan disebutkan:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let there be [arising] from you a nation inviting to [all that is] good, enjoining what is right and forbidding what is wrong,¹ and those will be the successful.

  • According to the laws of Allāh.

ABDULLAH BASMEIH

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

 

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak

Ada dua tafsir kepada potongan ayat ini:

1. Semua kita kena ada sifat-sifat ini. Setelah kita belajar tafsir Quran dan tauhid, tahu apa yang perlu dilakukan, maka kita hendaklah menjadi seperti sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini.

2. Kena ada satu umat yang mempunyai sifat-sifat ini

أُمَّةٌ bermaksud satu kumpulan yang tidak dibatasi oleh bangsa, bahasa dan negara. Tidak asabiyyah. Dan yang menyatukan mereka adalah kalimah tauhid.

 

يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ

yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan

Sifat mereka adalah mereka mengajak (dakwah) sesiapa sahaja. Mereka mencari peluang di mana sahaja untuk berdakwah kepada manusia.

Mereka mengajak kepada apa? إِلَى الْخَيْرِ (ke arah kebaikan). ‘Kebaikan’ adalah apa-apa yang tsabit datang dari wahyu. Banyaklah perkara yang termasuk dalam perkara ini. Perkara ini kena belajar. Seorang yang hendak mencari kebenaran dalam agama, kenalah melazimi majlis ilmu dan belajar segala perkara yang perlu diketahui oleh seorang Muslim.

 

وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, 

Makruf adalah sesuatu yang telah diketahui secara umum. Tak payah ajar pun orang dah tahu. Cuma nak kena ingatkan sahaja. Maknanya ini adalah kebaikan universal – contohnya seperti adab, cakap benar, tolong menolong, jangan ganggu orang lain dan sebagainya.

Kena ajak dengan cara baik. Ini adalah dakwah. Dan dakwah kena dengan cara yang baik. Kalau kita ajak orang lain, tapi dengan cara yang mereka tidak suka, ianya tidak berjaya.

 

وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

serta melarang daripada segala yang salah

Dan mereka menghalang orang lain dari melakukan perkara mungkar. Mungkar adalah lawan kepada makruf. Benda yang semua orang tahu sebagai tidak baik. Asal bahasa, ia bermaksud ‘asing’.

Nak nasihat orang yang buat salah pun kena berhemah juga. Kalau kita terus kata mereka teruk, tentulah mereka akan marah dan tak mahu ikut nasihat kita lagi. Untuk orang terima nasihat kita, hendaklah ada pertalian antara yang memberi nasihat dan yang diberi nasihat itu. Kalau tidak, susah untuk yang dinasihati untuk terima. Orang akan selalu percaya dan terima cakap orang yang mereka selesa.

Oleh itu, amar makruf adalah Jihad menggunakan lisan. Jangan berat mulut untuk beri nasihat dan tegur orang lain.

Nahi mungkar pula boleh sampai naik pedang untuk menegakkannya. Iaitu kepada mereka yang masih tetap berdegil dan sampai melakukan kezaliman kepada orang lain, kenalah kita berkeras sampai kadang-kadang kena hunuskan pedang. Tapi jihad dengan pedang ini, hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Tak semua orang boleh buat.

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

الْمُفْلِحُونَ adalah mereka yang berjaya setelah melakukan usaha. Amar makruf dan nahi mungkar memerlukan usaha. Bukan goyang kaki.


 

Ayat 105: Bani Israil tidak ada buat amar makruf nahi mungkar, maka kerana itu agama mereka rosak.

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like the ones who became divided and differed after the clear proofs had come to them. And those will have a great punishment

MALAY

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

 

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan

Mereka bermusuh dari segi fizikal (تَفَرَّقُوا) dan berselisih dalam fahaman agama (وَاخْتَلَفُوا). Mereka berbalah hal agama sampai ke tahap berperang sesama mereka. Mereka berbalah itu selepas mereka berpecah belah. Kerana tidak salah kalau ada perbezaan pendapat. Tapi jangan kerana hanya mahu pertahan kumpulan mereka sahaja. Bahayanya, kalau sudah mula berpecah belah dan berbeza pendapat sampai memudharatkan diri. Ada yang sudah tidak kisah mana benar dan tidak, mereka hanya nak pertahankan kedudukan kumpulan mereka sahaja.

 

مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata

Perpecahan itu terjadi selepas mereka jelas tentang agama. Mereka telah tahu kebenaran dari nas-nas agama. Tapi mereka masih tetap lagi berpecah belah. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat Islam sekarang. Kita sedang menuju kepada apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasara dahulu.

 

وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Inilah ancaman Allah, tentang apa yang boleh terjadi kerana tiada amar makruf nahi mungkar. Apabila tiada amar makruf nahi mungkar, akan terjadi perpecahan dan perbalahan akhirnya membaca kepada azab dari Allah.


 

Ayat 106: Allah beritahu kepada kita yang ada dua jenis manusia di akhirat nanti.

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day [some] faces will turn white and [some] faces will turn black. As for those whose faces turn black, [to them it will be said], “Did you disbelieve [i.e., reject faith] after your belief? Then taste the punishment for what you used to reject.”

MALAY

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

 

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. 

Di akhirat nanti, manusia boleh cam mana ahli syurga dan ahli neraka. Ahli syurga akan berwarna putih wajahnya dan ahli neraka akan hitam legam wajah mereka.

 

 فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, 

Muka ahli neraka akan hitam legam. Semua orang akan tahu yang mereka itu adalah bakal ahli neraka.

 

أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ

“Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?

Dikatakan kepada mereka oleh malaikat: kenapa kamu murtad setelah kamu beriman?

Termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang munafik dan ahli bidaah. Mereka itu dikira murtad kerana telah tolak syariat. Inilah bahayanya melakukan amalan bidaah. Kerana amalan bidaah itu melawan sunnah. Ingatlah penipuan syaitan. Syaitan mulanya akan suruh buat perkara bidaah dulu, tapi sebenarnya dia nak kita murtad, sebenarnya.

 

فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

Azab yang kekal dalam neraka.


 

Ayat 107:

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for those whose faces turn white, [they will be] within the mercy of Allāh. They will abide therein eternally.

MALAY

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

 

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya,

Nasib kepada mereka yang putih wajahnya kerana iman mereka, tidaklah sama.

 

فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ

maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah

Rahmat yang dimaksudkan itu adalah syurga. Kerana kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan dengan usaha dan amalan kita.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Kalau sekejap sahaja tinggal di syurga, itu tidak lah hebat mana, kerana kita tidak akan dapat merasai nikmat itu sepenuhnya kerana kita tahu yang kita akan keluar dari tempat itu akhirnya. Jadi, Allah beritahu yang penghuni syurga akan kekal di dalam syurga selama-lamanya.


 

Ayat 108:

تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَالَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are the verses of Allāh. We recite them to you, [O Muḥammad], in truth; and Allāh wants no injustice to the worlds [i.e., His creatures].

MALAY

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

 

تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan haq. 

Allah hendak menegaskan bahawa ada sebab ayat-ayat ini dikhabarkan. Ianya dijelaskan untuk menceritakan kebenaran.

 

وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَالَمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

Tidaklah Allah mahu kezaliman kepada hambaNya. Tapi yang mahukan begitu adalah syaitan. Sebab ada perkataan مَا disitu. Maksudnya, ada yang hendak melakukan kezaliman kepada manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s