Tafsir Surah Ali Imran Ayat 92 – 100 (Ayatul Birr)

Ayat 92: Kita sekarang masuk ke juz yang keempat. Ianya berkenaan dengan ‘birr’. Ayat birr juga ada dalam Surah Baqarah dahulu – ayat 177. Disentuh lagi dalam surah Ali Imran ini.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will you attain the good [reward]1 until you spend [in the way of Allāh] from that which you love. And whatever you spend – indeed, Allāh is Knowing of it.

  • Another meaning is “You will never attain righteousness.”

MALAY

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

 

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

Kita tidak akan dapat pahala yang sebenar dan kebaikan yang sebenar sehingga kita infakkan apa yang kita kasih. Iaitu kita korbankan benda yang kita kasih. Oleh kerana surah ini tentang dakwah kepada penganut Kristian, maka antara perkara yang mereka kena korbankan adalah fahaman yang mereka kasih. Untuk masuk Islam kena ada pengorbanan. Mereka kena tinggalkan fahaman salah tentang Nabi Isa, tentang syirik, tentang Nabi Ibrahim dan macam-macam lagi. Tentunya mereka kasih dengan fahaman mereka itu kerana mereka telah belajar dan memegangnya semenjak dari kecil lagi. Tapi ini adalah ujian yang mereka perlu lepasi.

Begitu juga, untuk terima jalan Sunnah, kena tinggalkan guru-guru dan fahaman yang salah tentang bidaah. Jangan lagi terima guru-guru yang membenarkan amalan-amalan bidaah yang meringankan sahaja amalan-amalan itu. Ramai dari kalangan ustaz yang tidak berani menegur amalan bidaah. Atau mereka setakat kata, nak buat boleh, tak mahu buat jangan bising. Malah, ada ustaz di negara kita ini yang jadi pengamal bidaah pun ada. Kita kena tinggalkan mereka dan jangan ambil ilmu lagi dari mereka. Ini terpaksa kita lakukan. Banyak ustaz-ustaz yang sunnah di negara kita sekarang. Walaupun pergerakan mereka terhad, kerana dihalang oleh mereka yang berkuasa, tapi mereka masih banyak lagi, in sha Allah.

Mereka amat sayang dengan agama mereka. Mungkin ada yang dah jadi guru dan banyak pengikut dan banyak dapat imbuhan keduniaan dengan kedudukan mereka itu. Kerana tentunya ada yang kena sanjung oleh masyarakat mereka. Kalau ikut Nabi, dah kena belajar semula dari mula; dah kena cemuh dengan masyarakat mereka; mungkin kena pulau oleh ahli keluarga mereka; macam-macam lagi.

Mafhum kedua dari maksud ‘infak’ adalah infak harta yang biasa. Telah banyak disebut dalam surah Baqarah sebelum ini, maka ini adalah pengulangan perkara itu. Kita kena beri harta yang kita kasih. Lafaz مِمَّا bermaksud sebahagian, bukan semua. Jadi, tidaklah perlu kita nak kena beri semua sekali harta kita.

Yang penting, kita kena infak benda yang kita sayang, bukan barang yang kita pun tak suka dah. Kena beri barang yang boleh dipakai lagi. Semua syarat-syarat ini telah diterangkan dalam perbincangan surah Baqarah.

Infak itu bukan keluarkan harta sahaja kerana ayat ini menggunakan lafaz وَمَا yang memberi isyarat yang ia boleh jadi macam-macam. Satu perkara yang kita sayang juga adalah masa. Ianya paling berharga semasa kita muda. Selalunya orang muda akan menggunakan masa muda mereka kepada perkara membuang masa. Tapi kita kena luangkan masa yang amat kita hargai ini untuk belajar, mengajar, berdakwah, buat kebajikan, buat amal ibadat dan lain-lain lagi perkara dalam agama.

 

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Dan sesuatu apa jua yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Apa sahaja yang kita infakkan itu, Allah amat mengetahui tentangnya dan Allah sudah tulis apa yang kita infakkan. Tak payah kita nak beritahu sesiapa yang kita infakkan kerana Allah tahu.


 

Ayat 93:

Ayat ini adalah tentang kesamaran Ahli Kitab tentang halal dan haram daging unta.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ قُلْ فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

All food was lawful to the Children of Israel except what Israel [i.e., Jacob] had made unlawful to himself before the Torah was revealed. Say, [O Muḥammad], “So bring the Torah and recite it, if you should be truthful.”

MALAY

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

 

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil,

Semuanya sebenarnya halal termasuk unta. Perkataan كُلُّ itu, bukanlah bermaksud semua sekali. Perumpamaan seorang seorang suami yang kata kepada isterinya: “aku dah beri semuanya kepada kamu, apa lagi yang kamu hendak?” Tentulah suami itu tidak beri semua, bukan? Banyak lagi tak bagi, rumah, kereta, mahligai, tanah, bulan, bintang dan sebagainya. Oleh itu, maksud كُلُّ itu maknanya banyak makanan yang halal kepada mereka.

 

إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ

kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri 

Kecuali pantang Nabi Yaakob keatas dirinya sendiri kerana sebab-sebab rawatan. Atau ada yang kata, dia tidak suka makan daging unta. Bukannya dia haramkan, cuma dia sendiri tak makan. Kita kena tahu bahawa إِسْرَائِيلُ adalah nama gelaran kepada Nabi Yaakob.

Tapi malangnya, ada keturunan baginda yang mengharamkan kepada diri mereka apabila mereka tahu yang Nabi Yaakob tidak makan unta.

 

مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ

sebelum diturunkan Kitab Taurat.

Kejadian pantang Nabi Yaakob itu terjadi sebelum turunnya Taurat pun. Sebelum dan selepas turunnya Taurat, memakan unta adalah halal pun. Bacalah Taurat, mana ada kata haram unta.

Ini adalah satu perkara yang besar yang banyak bersangkutan dengan kita juga, bukan tentang unta sahaja. Puak Bani Israil telah mengharamkan makanan yang Allah tidak haramkan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah melakukan satu kesalahan yang besar, kerana menghalal dan mengharamkan sesuatu adalah haq Allah. Kalau mereka pandai-pandai haramkan, maka mereka telah mengambil haq Allah dan ini adalah perkara yang berat. Oleh itu, mengharamkan benda yang halal akan menyebabkan murtad.

Oleh itu, bagaimana dengan kalangan masyarakat kita yang memandai mengharamkan/pantang beberapa jenis makanan kepada diri mereka? Contohnya, semasa bersalin, semasa mengamalkan ilmu-ilmu rahsia yang entah dari mana, mengharamkan jenis-jenis makanan kepada keturunan mereka, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah al-An’am. 

 

قُلْ فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Allah suruh Nabi Muhammad cabar mereka untuk keluarkan kitab Taurat dan tunjuk di manakah ada dikatakan yang unta itu haram dimakan?


 

Ayat 94:

فَمَنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever invents about Allāh untruth after that – then those are [truly] the wrongdoers.

MALAY

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

Sesiapa yang mengadakan benda baru dalam agama, mereka itu dikira sebagai zalim. Ini adalah kerana agama ini adalah hak Allah, disampaikan melalui Rasul-rasul baginda. Maka tidak patut kalau kita datangkan perkara baru dalam agama yang tidak ada asalnya dari Allah dan Nabi.

Begitulah kita menentang amalan-amalan bidaah dalam masyarakat kita. Mereka dengan mudah melakukan amalan bidaah, seperti ianya tidak ada apa, padahal itu adalah mereka-reka perkara baru dalam agama. Mereka tidak faham apakah maksud ‘bidaah’ itu, sampaikan ada yang menggunakan tiket ‘Bidaah Hasanah’ di dalam membolehkan amalan yang mereka lakukan. Ini adalah amat bahaya sekali.


 

Ayat 95:

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Allāh has told the truth. So follow the religion of Abraham, inclining toward truth; and he was not of the polytheists.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

 

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah,

Allah benar dalam wahyu yang diturunkan.

Apa yang Allah firman adalah benar.

 

فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ

maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim

Ikutlah agama Nabi Ibrahim yang meninggalkan syirik. Maksud مِلَّةَ adalah satu penyatuan agama yang disebabkan oleh cinta.

 

حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

yang berdasarkan Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

Agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim adalah agama Islam yang hanif – yang lurus dan fokus kepada Allah.

Selalu apabila disebutkan agama Nabi Ibrahim yang hanif, ditambah bahawa baginda tidak syirik. Ini adalah kerana puak Musyrikin Mekah juga ada menggelarkan diri mereka beragama hanif, kerana mereka kata mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim. Tapi Allah tekankan kalau agama Nabi Ibrahim, ianya adalah tauhid dan tidak ada syirik di dalamnya.

Macam orang kita lah juga – mengaku beragama Islam dan mengikut ajaran Nabi Muhammad, tapi sebenarnya ada antara mereka yang mengamalkan juga fahaman dan amalan syirik yang mereka tidak sedari.

Ali Imran 81-95


Ayat 96: Ini adalah jawapan kepada satu lagi kesamaran dalam fahaman Yahudi Nasara iaitu tentang Kiblat di Mekah. Mereka tidak dapat terima Mekah sebagai kiblat. Mereka kata kiblat mereka lebih lama dari kiblat umat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Kalau dah lama, kenapa nak pakai kiblat yang baru pula? Lalu Allah memberikan penjelasan dalam ayat ini sebagai bukti bahawa tidak salah Nabi Muhammad apabila beralih ke Mekah sebagai kiblat.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the first House [of worship] established for mankind was that at Bakkah [i.e., Makkah] – blessed and a guidance for the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

 

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah yang di Bakkah

Rumah ibadat yang pertama dibina untuk manusia sebagai rumah ibadat adalah Makkah. Ianya untuk semua manusia, bukannya untuk bangsa tertentu sahaja. Agama Islam ini adalah untuk semua manusia. Ianya adalah agama yang terbuka. Jadi tidaklah agama Islam ini terhad seperti agama Yahudi yang hanya kepada bangsa mereka sahaja.

‘Bakkah’ adalah nama lama bagi Mekah. Allah sebutkan juga sejarah Mekah itu. Ianya ada juga dalam Kitab Suci Yahudi dan Nasara. Tapi mereka telah tukar kepada ‘Sakkah’ dan mereka kata ianya adalah tempat lama yang tidak diketahui lagi, tak boleh jumpa. Mereka tutup maklumat itu dari orangramai.

 

مُبَارَكًا

yang berkat

Kelebihan Mekah itu ialah ia diberi Keberkatan oleh Allah. Maksudnya diganda pahala  apabila beribadat di dalamnya, dibandingkan dengan masjid lain sebanyak seratus ribu kali ganda. Tanah Haram juga ada keberkatan yang kita sendiri mungkin tidak tahu.

Ini mengingatkan kita bahawa keberkatan pada apa-apa atau sesiapa sahaja, ditentukan oleh Allah. Kena ada dalil yang sesuatu itu berkat. Bukan manusia yang pandai-pandai kata ianya berkat. Sebagai contoh, ada yang kata orang balik Mekah itu ada berkat; atau guru itu ada berkat; atau kubur itu ada berkat; dan sebagainya. Itu semua tidak ada dalil maka hendaklah ditolak. Jangan kita terlibat dalam perkara rekaan-rekaan seperti itu.

 

وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi sekelian alam.

Dan Mekah itu sebagai hidayat. Maknanya di tengah-tengah Mekah itu ada Kaabah dan setiap umat Islam kena hadap kepadanya dalam solat. Hidayat itu nisbah kepada kiblat tawajjuh, iaitu tempat untuk kita hadapkan wajah kita. Tidak diterima solat kalau mengadap ke tempat yang lain. Melainkan kalau kita berada di tempat yang kita tidak tahu mana kiblat, barulah boleh kalau kita solat mengadap mana-mana arah. Tetapi sebelum itu, kita kena usaha untuk cari manakah kiblat dahulu.

Dengar kata, Syiah sudah mula menukar kiblat mereka. Ada nampak di media bagaimana mereka solat mengadap arah selain dari Mekah. Ini adalah satu perbuatan yang amat salah sekali. Kalau dulu, persamaan kita dengan mereka adalah kiblat yang sama sahaja, sebab yang lain memang sudah tidak sama. Tapi kali ini, nampaknya kiblat kita dan mereka pun sudah berlainan.


 

Ayat 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In it are clear signs [such as] the standing place of Abraham. And whoever enters it [i.e., the Ḥaram] shall be safe. And [due] to Allāh from the people is a pilgrimage to the House – for whoever is able to find thereto a way. But whoever disbelieves [i.e., refuses] –then indeed, Allāh is free from need of the worlds.¹

  • He has no need for His servants’ worship; it is they who are in need of Him.

MALAY

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

 

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata

Pada kiblat itu ada tanda dan kelebihan-kelebihan lain yang jelas nyata kepada kita.

 

مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ

Makam Nabi Ibrahim. 

Salah satunya adalah Maqam Ibrahim – tempat Nabi Ibrahim berdiri semasa membina Kaabah. Ianya adalah kenangan susah payah baginda membina Kaabah. Jangan ada pula yang salah faham maksud ‘makam’ di sini macam kubur pula – takut ada sangka di sinilah kubur Nabi Ibrahim. Disunatkan solat di situ selepas menunaikan Tawaf.

 

وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا

Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. 

Sesiapa yang masuk Tanah Haram ini aman dari musuh. Kuasa zalim tidak boleh masuk. Ini dijamin oleh Allah. Bandingkan dengan satu lagi tempat suci, BaitulMaqdis. BaitulMaqdis itu telah berapa kali diserang dan dimasuki. Tetapi tidak berlaku kepada Baitullah. Kerana Allah beri jaminan.

Dilarang untuk berbunuhan di dalam Tanah Haram. Jangan kata nyawa manusia, pokok-pokok dan binatang pun dilarang untuk diganggu.

Sesiapa yang masuk Tanah Haram juga akan rasa aman. Kalau sesiapa yang pernah pergi ke sana, akan dapat rasa perasaan ini. Sebab itulah sesiapa yang sudah pergi ke sana, akan mahu sahaja untuk pergi lagi kerana satu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Juga boleh bermaksud, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, dia akan selamat dari neraka. Perkataan ‘haji’, ada kena mengena dengan ‘hujjah’. Iaitu apabila kita sudah menjalankan ibadat Haji, ianya menjadi hujjah kepada kita untuk selamat dari api Neraka.

 

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. 

Bagi menyempurnakan tuntutan agama, Allah mewajibkan manusia untuk menunaikan Haji ke Mekah. وَلِلَّهِ maksudnya pekerjaan Haji itu dilakukan kerana Allah. Bukan kerana nak pergi melancong, bukan kerana malu dengan orang lain, bukan kerana lain, tapi kerana Allah.

‘Haji’ dan ‘hujjah’ datang dari katadasar yang sama. Sesuatu yang tidak boleh dibangkang – indisputable. Sepertimana juga Quran akan menjadi hujah ke atas kita – samada kita ikut atau tidak, ia akan jadi hujah untuk kita atau terhadap kita. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, maka itu adalah hujjah untuk dirinya dimasukkan ke dalam syurga.

Haji itu wajib kepada mereka yang mampu untuk pergi menunaikannya. Maknanya mereka yang ada bekalan dan kenderaan untuk sampai ke sana. Bekalan untuk pergi dan bekalan semasa di sana. Termasuk dalam makna سَبِيلًا (jalan) ini, bermaksud perjalanan ke Mekah itu juga kena selamat. Kalau ada kemampuan tetapi jalan tidak selamat, mungkin ada perang, atau kejadian alam yang menghalang, maka tidak wajib kepada orang itu untuk mengerjakan Haji sampailah ianya selamat. Zaman sekarang, ada macam-macam lagi sekatan – mungkin visa nak masuk tak dapat, passport kita ditahan kerajaan atau apa-apa sahaja lagi. Macam negara kita, kena tunggu giliran untuk menunaikan Haji sebab ada kuota untuk setiap negara.

 

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian makhluk.

Sesiapa yang engkar dengan kewajipan Haji ini, mampu untuk pergi, jalan pun selamat, tapi dia tidak pergi juga, maka Allah beritahu yang Allah tidak berkehendak kepada ibadat hambaNya. Kaya itu maksudnya ‘tidak perlu’, iaitu Allah tidak perlukan pun ibadat kita. Kalau tidak ada hamba yang beribadah langsung kepada Allah, tidaklah Allah berkurang kekuasaanNya, tidak berubah langsung kedudukan Allah. Ianya tidak membahayakan Allah langsung, tapi akan bahaya kepada hamba itu kerana dia akan diazab kerana tidak menunaikan kewajiban yang perlu dipenuhinya.

Ma sha Allah, berapa orang yang sudah mampu untuk pergi menunaikan Haji ke Mekah, tapi masih menangguhnya lagi.


 

Ayat 98: Ini adalah teguran pertama kepada Ahli Kitab, setelah kesamaran mereka dihilangkan. Sepatutnya mereka dah masuk Islam dah. Kerana sudah diperjelaskan dengan lengkap dah. Kalau tak beriman juga, itu hanya kerana mereka degil sahaja, bukan kerana jahil.

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, why do you disbelieve in the verses of Allāh while Allāh is Witness over what you do?”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?”

 

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab!

Ini adalah kata-kata dari Allah. Kita pun kena sampaikan ayat ini kepada Ahli Kitab juga.

 

لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ

Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah,

Allah tegur mereka. Mereka masih menolak walaupun mereka tahu yang Islam adalah agama yang benar. Tapi mereka sanggup tolak dan pusingkan kebenaran. Mereka sanggup pusing perkataan Bakkah dengan mereka tukar kepada Sakkah. Dan banyak lagi keterangan lain yang mereka tukar.

 

وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan”

Mereka diingatkan bahawa Allah melihat segala perbuatan mereka dan dicatit apa yang mereka lakukan. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat nanti. Mereka mungkin selamat di dunia, tapi tidak di akhirat nanti. Maka, jangan mereka sangka yang mereka akan diselamatkan oleh Nabi-nabi mereka nanti. Mereka tidak akan selamat. Bagaimana mereka sangka yang Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sedangkan mereka menolak ajaran Nabi mereka sendiri?


 

Ayat 99: Ini adalah teguran kedua. Sudahlah mereka sendiri kufur, mereka nak kufurkan orang lain pula.

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, why do you avert from the way of Allāh those who believe, seeking to make it [seem] deviant, while you are witnesses [to the truth]? And Allāh is not unaware of what you do.”

MALAY

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

 

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! 

Ini Allah suruh kita cakap kepada Ahli Kitab ni. Jadi kena ambil perhatian. Pertama yang disuruh beritahu adalah Nabi Muhammad, tapi sekarang Nabi sudah tiada, maka kitalah yang kena ambil tugas baginda.

 

لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ

Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan-jalan Allah?

Kenapa kamu menghalang orang yang mahu beriman, atau orang yang telah beriman? Yang nak mula kenal-kenal Islam kamu halang, dan yang sudah muslim kamu kacau supaya mereka jadi murtad. Kenapa kamu buat begitu?

 

تَبْغُونَهَا عِوَجًا

mencari-cari supaya agama itu nampak bengkok, 

Kamu halang mereka dengan bertanya soalan-soalan yang boleh meragukan mereka. Sengaja mencari kelemahan dan kesilapan dalam agama. Mereka gunakan proganda karut.

Maka jangan terpedaya dengan helah dan tohmahan mereka. Kalau belajar agama dengan molek, In sha Allah tidak akan keliru dan terpedaya dengan kata-kata mereka. Bahayanya kepada mereka yang jahil. Mereka yang agama sendiri pun tidak kenal. Jadi, apabila ada orang Kristian yang datang dan tanya-tanya tentang agama Islam, boleh terpedaya dan terpecaya pula. Beginilah yang banyak terjadi dengan anak-anak muda kita. Emak ayah memang tidak pentingkan agama, tinggalkan anak begitu sahaja tanpa pengetahuan agama, biarkan sahaja mereka berkawan dengan sesiapa sahaja. Sampaikan anak jahil agama dan ada yang berkawan dengan mubaligh Kristian. Mubaligh-mubaligh itu menggunakan berbagai-bagai tipu daya dan helah untuk menyesatkan anak-anak muda kita. Akhirnya ramai yang terjerumus. Kita pun tidak pasti berapa banyak dari kalangan anak muda kita yang telah murtad, sedangkan kerajaan tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar kerana mereka pun tidak ambil kisah. Pada mereka, yang penting adalah keadaan negara tidak kacau bilau. Kerana kalau mereka beritahu kisah sebenar, takut ada kacau bilau pula dalam negara.

 

وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ

padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?

Sedangkan kamu tahu yang perkara yang kamu buat itu adalah salah. Kamu sendiri tahu yang agama Islam itu benar, bukan?

 

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Allah tahu apa yang mereka buat. Tak payah takut dengan cubaan mereka. Allah akan jaga agamaNya. Mereka yang buat perkara itu tidak akan menang. Dan mereka akan menerima azab yang pedih nanti. Kerana Allah bukan tengok sahaja, Allah akan beri balasan yang setimpal nanti.


 

Ayat 100:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you obey a party of those who were given the Scripture, they would turn you back, after your belief, [to being] unbelievers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Ayat sebelum ini telah sebut bagaimana pihak Ahli Kitab itu cuba hendak memesongkan agama orang Islam. Sekarang khitbah Allah kepada orang Islam pula. Dengar baik-baik.

 

إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu,

Kalau kamu termakan pujuk rayu dan terkeliru dengan tohmahan-tohmahan mereka.

 

يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ

nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

Kamu kamu termakan tohmahan mereka, kamu boleh jadi murtad. Jadi jangan ikut mereka pula. Oleh itu, kena waspada selalu. Jangan masuk perangkap mereka.

Berikan pendidikan agama kepada anak-anak kita. Ceritakan kepada mereka tentang Islam dan tentang bahaya dugaan di luar sana. Jangan sibuk nak beri makan dan pelajaran akademik sahaja kepada anak-anak. Kamu sendiri kenalah juga belajar, supaya boleh nasihat anak itu sikit. Jangan sibuk nak cari harta sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s