Tafsir Surah Ali Imran Ayat 46 – 52

Ayat 46:

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا وَمِنَ الصّالِحينَ

SAHIH INTERNATIONAL

He will speak to the people in the cradle and in maturity and will be of the righteous.”

MALAY

“Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh.”

 

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ

“Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dalam dukungan,

Dalam riwayat, Maryam telah mengandung dan beranak pada hari yang sama. Apabila beliau bawa pulang anaknya yang baru dilahirkan itu, dan menghadapi kaumnya yang tidak mahu percaya dan menuduhnya melakukan perkara yang tidak elok, tentulah Maryam tidak boleh jawap, maka beliau diarahkan untuk tunjuk sahaja kepada Nabi Isa yang berada dalam dukungan. Nabi Isa sendiri yang menjawap tuduhan kaumnya itu semasa dalam pelukan emaknya lagi. Walaupun dia baru sahaja entah berapa jam lahir ke dunia. Ini adalah mukjizat Nabi Isa a.s.

 

وَكَهلًا

dan semasa ia dewasa, 

كَهْلً bermaksud umur 40 ke atas. Maknanya Nabi Isa dikatakan bercakap-cakap pada usia selepas 40. Apakah yang peliknya bercakap di usia dewasa? Yang ajaibnya, baginda telah diangkat ke langit semasa baginda berumur 33 tahun, belum masuk 40 lagi. Ini memberi isyarat bahawa baginda akan turun semula ke dunia dan akan bercakap-cakap dengan manusia sehingga ke usia كَهْلً. Mengikut riwayat, baginda akan turun dalam umur yang sama – 33 tahun. Baginda akan berkahwin dan beramal ibadat dengan syariat Nabi Muhammad. Baginda akan hidup selama 24 tahun lagi di dunia sebelum wafat. Oleh itu, tidak benar kalau ada yang kata baginda sudah mati.

 

وَمِنَ الصّالِحينَ

dan ia adalah dari orang-orang yang soleh.”

Baginda adalah orang soleh darjat Nabi, bukan darjat orang biasa.


 

Ayat 47:

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكِ اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

SAHIH INTERNATIONAL

She said, “My Lord, how will I have a child when no man has touched me?” [The angel] said, “Such is Allah ; He creates what He wills. When He decrees a matter, He only says to it, ‘Be,’ and it is.

MALAY

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”

 

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ ۖ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Ini adalah soalan yang keluar dari Maryam. Bukanlah Maryam tidak yakin dengan berita yang disampaikan oleh Allah melalui malaikat itu. Dia yakin yang Allah boleh buat apa sahaja. Cuma, dia nak tahu cara. Macam itulah juga soalan Nabi Zakariya – nak tahu cara sahaja. Sebab kalau ikut cara biasa, tidak mungkin kerana dia tidak pernah disentuh oleh lelaki.

Dari ayat ini juga, kita dapat tahu yang Maryam pun cakap terus dengan Allah. Sebab dia juga tahu yang malaikat hanya sampaikan berita sahaja. Jadi Maryam tak tanya kepada malaikat yang menyampaikan maklumat itu. Maryam tanya terus kepada Allah.

 

قالَ كَذٰلِكِ

Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, 

Allah jawap, dengan keadaan beliau begitulah juga. Tidak perlu ada lelaki yang bersetubuh dengan dia pun, Allah boleh jadikan anak. Kerana Allah tak perlu ikut proses yang biasa.

 

اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ

Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; 

Sebab Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja yang dikehendakiNya.

Ayat ini menggunakan lafaz يَخْلُقُ. Lain dengan kelahiran Nabi Yahya (digunakan lafaz جعل). Sebab dalam kes Maryam ini, memang digunakan lafaz يَخْلُقُ kerana dijadikan dari tiada kepada ada dengan lafaz Kun fa Yakun. Sedangkan anak-anak lain, melalui proses kejadian dan dalam keadaan itu digunakan lafaz جعل. Tapi dengan menggunakan lafaz يَخْلُقُ dalam ayat ini hendak menekankan yang Nabi Isa a.s. adalah ‘makhluk’, bukan kejadian luar biasa, bukan ‘Anak Tuhan’, tapi dijadikan oleh Allah, sama seperti makhluk-makhluk yang lain.

 

إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah ‘, lalu menjadilah ia.”

Apabila Allah hendakkan sesuatu, mudah sahaja bagi Allah. Lafaz kun fayakun ini hanya sebagai isyarat kepada kita betapa mudahnya Allah hendak menjadikan sesuatu. Allah tidak perlu lafaz pun, ia akan terjadi juga.


 

Ayat 48:

وَيُعَلِّمُهُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَالتَّوراةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL

And He will teach him writing and wisdom and the Torah and the Gospel

MALAY

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

 

وَيُعَلِّمُهُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ

Dan Allah akan mengajarnya al-Kitab dan hikmah,

Lafaz الكِتابَ dalam ayat ini adalah al-Quran. Apabila baginda dibangkitkan semula, baginda akan diajar Kitab Qur’an dan baginda akan beramal dengan syariat dari Qur’an.

Dan baginda juga akan diajar dengan sunnah Nabi Muhammad. Kerana dia kena belajar Qur’an dan sunnah. Walaupun baginda adalah seorang Nabi, tapi baginda tidak boleh pakai syariat lain selain dari syariat Nabi Muhammad.

Begitulah, walaupun seorang Nabi yang mulia macam mana pun, kena juga pakai syariat Nabi Muhammad. Maka, tidak ada pilihan lain kepada manusia. Janganlah dilanggar syariat itu. Kenalah belajar syariat Nabi Muhammad. Jangan jadi sesat pun dengan menggunakan fahaman yang salah seperti yang diamalkan oleh puak tarekat. Mereka amat bodoh ilmu agama sampaikan ada syariat yang dilanggar oleh mereka kerana hendak pakai pendapat guru mereka. Semoga kita dan anak cucu kita terselamat dari ajaran sesat yang dibawa oleh golongan-golongan sebegitu.

 

وَالتَّوراةَ وَالإِنجيلَ

dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Nabi Isa tahu dengan mendalam kitab Taurat. Kita telah tahu yang baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Tapi baginda juga mahir dan hafal kitab Taurat itu. Waktu itu pendita dan pemuka puak Yahudi telah menukar kitab Taurat. Mereka telah memesongkan ajaran agama yang berlainan dengan apa yang ditulis dalam Kitab Taurat. Jadi apabila mereka memesongkan Kitab Taurat, Nabi Isa telah beritahu yang benar. Baginda beritahu, apa yang disampaikan oleh pendita Yahudi itu tidak seperti yang termaktub dalam Taurat. Maka tentunya marah pendita-pendita Yahudi itu kerana Nabi Isa a.s. telah bongkar perbuatan buruk mereka itu. Susahlah mereka cari makan kalau apa yang mereka bawa sekarang dipersoalkan. Mereka nak lawan pun susah, kerana kalau mereka berkeras, Nabi Isa boleh suruh mereka keluarkan kitab Taurat yang asli dan boleh sama-sama periksa siapa yang benar.


 

Ayat 49:

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِآيَةٍ مِن رَبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And [make him] a messenger to the Children of Israel, [who will say], ‘Indeed I have come to you with a sign from your Lord in that I design for you from clay [that which is] like the form of a bird, then I breathe into it and it becomes a bird by permission of Allah . And I cure the blind and the leper, and I give life to the dead – by permission of Allah . And I inform you of what you eat and what you store in your houses. Indeed in that is a sign for you, if you are believers.

MALAY

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

 

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil,

Nabi Isa a.s. adalah Rasul Bani Israil tapi baginda akan jadi Umat Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad.

Ayat ini dijadikan dalil bahawa Nabi Isa itu hanya Nabi untuk Bani Israil sahaja.

 

أَنّي قَد جِئتُكُم بِآيَةٍ مِن رَبِّكُم

“Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa tanda dari Tuhan kamu,

Nabi Isa bukan datang dengan tangan kosong tapi dengan tanda dari Allah. Tanda dia Nabi, dia datang dengan mukjizat. Baginda menegaskan yang tanda itu dari Allah, bukan dari baginda sendiri. Kalau baginda sendiri, tidak boleh buat mukjizat pun. Inilah satu kekeliruan penganut Kristian. Mereka rasa Nabi Isa ada kuasa yang luarbiasa melebihi manusia lain, sampaikan mereka angkat baginda sebagai ‘Anak Tuhan’. Ini adalah kerana salah faham tentang mukjizat.

Masyarakat Islam yang jahil agama pun ada perasaan begitu terhadap Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi Muhammad bukan manusia biasa. Jadi, jangan sangka ayat ini tentang Nabi Isa dan penganut Kristian sahaja, tapi ia boleh digunakan kepada masyarakat Islam kita yang jahil juga.

 

أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ

iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung,

Tanah liat dijadikan macam bentuk burung.

 

فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ

kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; 

Dengan izin Allah, apabila ditiup ukiran burung itu, ianya hidup. Kena tekankan dengan kuat bahawa ianya terjadi ‘dengan izin Allah’. Kita kena sebut sebab kisah ini tidak sama kalau dalam Injil. Mereka buang lafaz ‘dengan izin Allah’ sampaikan penganut Kristian sangka yang Nabi Isa yang mempunyai kuasa itu dari diri baginda.

 

وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ

dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; 

Mujizat baginda yang seterusnya adalah menyembuhkan orang yang buta asli. Memang dari lahir orang itu matanya buta. Kalau buta semasa dewasa, itu belum hebat lagi.

Baginda juga boleh menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak. Dan menghidupkan orang yang telah mati. Mukjizat-mukjizat ini penting pada zaman itu kerana masyarakat waktu itu kuat dalam ilmu perubatan dan mereka memandang tinggi mereka yang boleh mengubat. Begitulah, mukjizat para Nabi berkenaan dengan masyarakat sezaman dengan mereka. Kalau Nabi Musa, mukjizat utama baginda adalah untuk berlawan dengan sihir kerana masyarakat baginda kuat mengamalkan sihir.

Sekali lagi, Allah tekankan dalam ayat ini yang kelebihan itu semuanya dari Allah.

 

وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ

dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan

Baginda boleh beritahu mereka apa yang mereka makan sebelum itu – makan roti kah dan sebagainya.

 

وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم

dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Baginda boleh beritahu apa yang mereka sorok di rumah. Macam kita sorok barang berharga di rumah kita juga. Ada yang letak bawah katil, bawah bantal, atau kita tebuk lubang dalam dinding, bawah lantai, mungkin macam-macam cara. Tentunya mereka terkejut kerana mereka dah sorok baik, tapi Nabi Isa boleh tahu juga. Ini adalah mukjizat Nabi Isa.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda bagi kamu, jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

Itu semua adalah tanda yang jelas yang baginda adalah rasul.

Dalam riwayat ada disebut yang semua mukjizat itu dibuat dengan syarat. Sebelum baginda melakukan mukjizat itu, mereka kena berjanji untuk beriman kalau baginda tunjukkan. Maka, bukanlah baginda sentiasa melakukan perkara-perkara itu. Hanya sesekala sahaja dan bila perlu sebagai bukti kenabian baginda dan sebagai methode dakwah baginda.


 

Ayat 50:

وَمُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّوراةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم ۚ وَجِئتُكُم بِآيَةٍ مِن رَبِّكُم فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

SAHIH INTERNATIONAL

And [I have come] confirming what was before me of the Torah and to make lawful for you some of what was forbidden to you. And I have come to you with a sign from your Lord, so fear Allah and obey me.

MALAY

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

 

وَمُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّوراةِ

“Dan juga mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang ada di hadapanku

Dan Nabi Isa akan membenarkan kitab wahyu yang sebelumnya. Yang ada di depan mereka, iaitu Taurat. Nabi Isa bukan nak ubah kitab Taurat itu. Satu pendapat yang kuat mengatakan bahawa syariat yang dipakai oleh Nabi Isa waktu itu adalah dari Kitab Taurat.

 

وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم

dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu;

Baginda akan menghalalkan benda-benda yang sebelum ini diharamkan. Sebab yang diharamkan itu adalah halal sebenarnya. Tetapi telah diharamkan oleh ulama mereka, bukannya Taurat.

Atau mungkin Allah yang haramkan, dan dihalalkan pula di dalam Kitab Injil. Maka ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh. Oleh itu, dalam Injil pun ada nasikh dan mansukh. Oleh itu, tidak patut kalau mereka pertikaikan hukum-hukum yang dimansukhkan di dalam Islam. Nasikh dan mansukh adalah perkara biasa sahaja di dalam agama.

Atau, seperti yang kita telah kata, mereka sendiri yang haramkan pada diri mereka. Maka Nabi Isa datang untuk menghalalkannya kembali. Sebagai contoh, Nabi Yaakob tak boleh makan daging unta atas sebab-sebab kesihatan. Atau kerana dia tidak suka rasa daging unta. Macam kita pun, ada juga makanan yang kita tak suka, biasalah tu. Yang pastinya, bukanlah Nabi Yaakob mengharamkan daging unta. Tapi Yahudi haramkan kepada diri mereka.

Sebahagian sahaja yang dihalalkan oleh Nabi Isa. Itulah penting kita lihat perkataan بَعْضَ itu yang bermaksud ‘sebahagian’. Ini penting kerana orang Kristian dah salah faham terus. Mereka kata oleh kerana Nabi Isa dah mati disalib, itu telah menyucikan segala dosa mereka, jadi mereka nak kata yang mereka dah selamat dah, boleh buat apa-apa sahaja dah. Pada mereka, tujuan Nabi Isa itu disalib adalah untuk menyucikan dosa mereka, yang mereka panggil ‘Cardinal Sins’ – Dosa Keturunan. Pada mereka, semua bayi yang dilahirkan, terus berdosa dan hanya akan hilang dosa itu jikalau menerima Jesus sebagai penyelamat. Ini amatlah bertentangan dengan fahaman agama Islam kerana semua bayi dilahirkan suci tanpa dosa sebenarnya.

 

وَجِئتُكُم بِآيَةٍ مِن رَبِّكُم

dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa tanda dari Tuhan kamu. 

Nabi Isa datang dengan ayat Tuhan, bukan cakap sendiri. Baginda tunjukkan bukti dan dalil.

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Sepatutnya, dengan segala dalil dan bukti yang diberikan, mereka bertaqwa kepada Allah.

Dan tanda taqwa adalah taat kepada baginda. Itulah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh umat para Nabi kepada Nabi mereka.

Inilah yang selalu dikatakan oleh semua Nabi kepada umat mereka. Begitu juga dengan Nabi Muhammad. Oleh kerana itu, selain dari belajar tafsir Quran, kenalah juga belajar hadis Nabi, supaya kita tahu apakah perkara yang sunnah dalam agama.


 

Ayat 51: Inilah kesimpulan agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۗ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. That is the straight path.”

MALAY

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”.

 

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya sahaja

Nabi Isa pun kata yang Allah adalah rabb dia, jadi kenapa sembah Nabi Isa? Nabi Isa mengingatkan umatnya untuk menghambakan diri kepada Allah sahaja, beribadat kepada Allah sahaja, jangan buat ibadat kepada selain Allah.

Ayat ini adalah ayat tauhid. Tauhid dalam ibadat dan seru. Kena cakap kepada Nasara sekarang tentang perkara ini. Beritahu kepada mereka yang inilah yang Nabi Isa faham dan ajar, bukannya macam yang diajar kepada mereka sekarang.

 

هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Inilah jalan yang lurus”.

Kitalah yang kena beritahu kepada mereka supaya jelas agama ini kepada mereka. Kerana inilah sahaja jalan yang lurus. Mereka keliru sebab tidak belajar sahaja. Sebab mereka telah diajar benda yang salah semenjak kecil lagi. Begitu juga orang-orang kita yang tidak belajar agama dengan betul, tidak dipandu oleh kefahaman Quran.

Oleh itu, jalan yang lurus adalah menghambakan diri hanya kepada Allah sahaja, ibadat kepada Allah sahaja, seru kepada Allah sahaja. Inilah tafsir bagi maksud ‘Jalan yang Lurus’ yang kita minta dalam Surah Fatihah yang hari-hari kita baca. Kita minta dipandu kepada jalan yang lurus, maka ketahuilah yang jalan yang lurus adalah menghambakan, ibadat dan seru hanya kepada Allah sahaja. Selain dari itu, bukan jalan yang lurus.


 

Ayat 52: Ini adalah jenis Ayat Idmaj. Maksudnya ada kisah panjang lagi di sebalik ayat ini.

۞ فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ آمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

But when Jesus felt [persistence in] disbelief from them, he said, “Who are my supporters for [the cause of] Allah ?” The disciples said,” We are supporters for Allah . We have believed in Allah and testify that we are Muslims [submitting to Him].

MALAY

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).

 

فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ

Maka ketika Nabi Isa merasa akan kekufuran dari mereka

Apabila Nabi Isa bawa dakwah tauhid, maka pemuka Yahudi telah menentang baginda kerana mereka telah rasa terancam. Sampai mereka buat rancangan nak bunuh Nabi Isa. Tapi mereka tak boleh nak bunuh sendiri kerana puak Yahudi waktu itu duduk bawah takluk kerajaan Rom yang syirik. Oleh itu, bukanlah mereka yang memerintah. Bukan kerajaan Rom sahaja yang musyrik kerana mereka waktu itu sendiri adalah Musyrikin kerana mereka puja Nabi Uzair sebagai anak Allah. Mereka puja kerana Nabi Uzair boleh hafal Kitab Taurat. Kira waktu itu hebat sangat dah kalau boleh hafal Kitab Taurat sampai mereka puja baginda sebagai anak tuhan. Padahal zaman sekarang orang Islam ramai sahaja yang hafal Qur’an 30 juzuk.

Maka kerana takut pengaruh tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa, mereka telah buat cerita untuk tohmah Nabi Isa kepada kerajaan Rom. Mereka kata Nabi Isa dan pengikut baginda telah buat rancangan nak gulingkan kerajaan Rom. Dan hukuman kepada cubaan guling kerajaan waktu itu adalah kena palang (salib).

 

قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ

berkatalah ia:” Siapakah penolong-penolongku kepada Allah?

Allah telah beri wahyu kepada baginda yang ada rancangan untuk bunuh baginda. Ataupun Nabi Isa dah rasa dan itulah maksud perkataan أَحَسَّ itu. Maka Nabi Isa telah tanya kepada pengikutnya, siapakah yang akan jadi pembantunya? Siapakah yang mahu menjadi pembela agama yang taat setia?

 

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. 

Ada 12 hawariyyun yang sedia membantu. Perkataan hawari ada yang kata berasal dari kata yang bermaksud ‘nelayan’ kerana waktu itu di Jerusalem ramai nelayan. Ada juga yang kata ianya dari perkataan ‘basuh’ yang bermaksud mereka itu adalah tukang cuci (tukang dobi) yang kerjanya mengambil upah membasuh pakaian. Maknanya mereka itu dari golongan bawahan. Merekalah yang sanggup untuk menjadi pengikut kepada Nabi Isa dan sanggup membantu baginda menyebarkan agama. Memang sudah kebiasaan sunnah, pengikut para Nabi selalunya adalah golongan bawahan.

Ada juga yang mengatakan bilangan hawariyyun itu tidak disebut dalam riwayat Islam. Yang dikatakan 12 orang itu adalah dari kisah israiliyat sahaja. Allahu a’lam.

Dari riwayat, disebut bagaimana pemuka Yahudi yang jahatlah yang datang masuk mencari Nabi Isa untuk tangkap Nabi Isa. Orang Rom kata mereka tak kenal macam mana rupa Nabi Isa kerana pada mereka, sama sahaja rupa Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya. Oleh itu, ada seorang yang sanggup jadi tukang cam – dia kata dia yang akan masuk dahulu dan dia akan panggil Nabi Isa dan orang Rom waktu itu tangkaplah Nabi Isa. Allah waktu itu angkat Nabi Isa ke langit. Dan Allah tukar wajah ketua Yahudi jahat itu supaya menyerupai wajah Nabi Isa. Pengikut yang lain nampak macam rupa Nabi Isa, mereka panggilllah orang itu dengan panggilan kepada Nabi Isa. Maka dialah yang kena tangkap oleh orang Rom dan kemudian dia pula yang dipalang.

Puak Yahudi yang jahat telah buat propaganda yang mereka telah bunuh Nabi Isa. Tapi satu kekeliruan, ke manakah hilangnya lelaki yang masuk cari Nabi Isa itu? Tidak dijumpai. Mereka dah tak kisah dah sebab pada mereka, mereka dah dapat tangkap Nabi Isa dah cukuplah.

Penganut Kristian pun diperbodohkan sampai mereka terima cerita yang Nabi Isa mati disalib dan mereka pegang sampai ke hari ini. Mereka tambah pula akidah agama mereka, yang Nabi Isa disalib itu untuk menebus dosa keturunan dari Nabi Adam (Cardinal Sins). Mereka itu ikut sahaja kata orang. Mereka itu kalau dalam perpatah Arab, dikatakan bodoh macam keldai. Kerana keldai itu hanya ikut sahaja arahan manusia. Itulah bahayanya kalau tidak belajar agama, ikut sahaja tanpa usul periksa.

Padahal sepatutnya kita kena ikut dalil. Itulah yang dipanggil ittiba‘ – ikut dengan tahu dalil. Kalau ikut tanpa tahu dalil, itu dinamakan taklid. Dan apabila bertaklid, ia boleh jadi baik, boleh jadi punah, boleh jadi macam-macam. Kerana kita tidak tahu samada orang yang kita ikut itu benar atau tidak. Jadi kenalah kita ittiba’ iaitu ikut orang yang boleh beri dalil. Dalil itu pula adalah wahyu, bukannya hujah manusia dan bukan hujah akal. Dan dalam Qur’an pun, kalau disuruh kita ikut, perkataan yang digunakan adalah ittiba’.

Maka kenalah belajar agama untuk mengetahui dalil itu. Bukan payah pun untuk belajar dan untuk faham. Agama ini mudah sahaja sebenarnya. Yang buat payah itu adalah kerana perkara-perkara bidaah. Tidak ada alasan untuk tidak belajar Qur’an dan hadis sedangkan benda-benda lain, kita boleh pula belajar sampai ke universiti, sampai ada ke tahap PHD. Atau sekurang-kurangnya sampai ke darjah enam.

12 hawariyyun itulah yang menegakkan agama Allah sepeninggalan Nabi Isa. Mereka menegakkan agama dan menyebarkan agama dengan cara senyap dan tersembunyi sebab takut mereka akan dibunuh. Sebab dakwah dan ajaran agama waktu itu dengan cara sembunyi-sembunyi, maka maklumat agama terhalang kepada manusia yang kebanyakan, jadi ramai tak tahu. Kerana itu banyak salah faham dalam agama Kristian kerana mereka disuapi dengan ajaran agama yang salah. Sedangkan, masih ada syariat lagi waktu itu. Maknanya syariat waktu itu sebelum dinaikkan Nabi Muhammad sebagai Nabi, adalah kitab Injil. Maka sesiapa yang tidak beriman dengan kitab Injil waktu itu, maka dia adalah kufur.

Oleh kerana Nabi Isa dapat tahu ada dari kalangan yang duduk dalam halaqah baginda itu yang engkar dengan ajaran tauhid dan akan membelot, maka baginda minta tolong siapa yang boleh tolong baginda. Jadi kalau sampai minta tolong, itu sifat manusia, bukan sifat ‘anak tuhan’ atau tuhan sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa Nabi Isa hanya Nabi dan rasul sahaja.

 

آمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam

12 Hawariyyun itu telah bersedia. Mereka mengaku beriman dan percaya kepada tauhid. Mereka sanggup menyerah diri membela agama.

Mereka minta Nabi Isa jadi saksi yang mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s