Tafsir Surah Ali Imran Ayat 30 – 37 (Kelahiran Maryam)

Ayat 30:

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ ما عَمِلَت مِن خَيرٍ مُحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

The Day every soul will find what it has done of good present [before it] and what it has done of evil, it will wish that between itself and that [evil] was a great distance. And Allah warns you of Himself, and Allah is Kind to [His] servants.”

MALAY

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

 

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ ما عَمِلَت مِن خَيرٍ مُحضَرًا

hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, dihadapkan ke hadapannya

Kita akan jumpa balik amalan yang kita buat di dunia dahulu. Kita pun dah lupa kebaikan yang kita pernah buat itu. Di akhirat akan ditunjukkan semuanya kepada kita walaupun sekecil beri senyuman kepada orang lain pun. محضرا maksudnya ia akan dibawa ke hadapan kita.

Segala penat lelah kita menjalankan amal yang baik itu semasa di dunia akan dibalas dengan berlebihan lagi. Kira tidak teringat dah susah payah kita dulu kerana terlalu suka dengan balasan yang berlipat kali ganda itu.

 

 وَما عَمِلَت مِن سوءٍ

dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.

Malangnya, semuanya akan ditunjuk, termasuk juga perbuatan buruk kita. Besar dan kecil pun. Sebagai comtoh, jeling tengok perempuan yang bukan mahram pun akan ditulis juga dan akan ditunjuk dosa kita itu.

 

تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا

ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.

Dia akan berharap kalaulah ada cara nak jauhkan benda buruk yang dia buat dulu. أمداً maksudnya masa yang lama sangat. Maksudnya jauh sangat sampai nak pergi ke situ pun tak boleh nak kira masanya. Kemudian Allah tambah بعيداً yang maksud jauh sangat. Apabila digabungkan dua perkataan ini, hendak menunjukkan betapa orang itu hendak dijauhkan sangat dosa dia itu sejauh-jauhnya.

 

 وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya

Allah ajar kita supaya takut kepadaNya. Allah beritahu Sifat-sifatNya dalam Quran supaya kita kenal Dia dan berhati-hati dengan peringatan yang diberikan olehNya. Jangan buat tak tahu sahaja.

 

وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

Selepas takutkan kita dengan Sifat kerasNya, Allah sebut sifat lembut Dia pula. Begitulah Allah dalam memperkenalkan DiriNya, akan menyebut kedua-dua jenis SifatNya itu. Ada Sifat jenis Jalal dan Jamal.

Apakah Sifat رَءوفٌ itu? Macam bila kita tengok kesusahan orang yang kebuluran contohnya dan kita nak tolong mereka. Hati kita remuk bila tengok mereka. Allah nak beritahu yang Dia tahu apa yang kita lalui. Allah tahu apa kita hendak, apa kita rasa, segalanya Allah tahu. Tapi Allah berikan semua yang Allah telah berikan itu sebagai ujian kepada kita. Amat indah sekali kalau kita faham. Semakin kenal dan sayang kepada Allah. Tidaklah kita rasa Allah tinggalkan kita.

Kawan paling rapat kitalah yang kenal dan tahu apa yang kita lalui. Kadang-kadang kita tak payah cakap pun, kita tahu dia tahu. Sekarang Allah kata Dialah kawan itu. Alangkah indahnya.

Allah tahu yang kadang-kadang dalam kita menjaga amal dan perbuatan kita, kadangkala tergelincir juga. Maka cepat-cepatlah mohon keampunan dari Allah dan berhenti dari meneruskan kesalahan itu.

Ali Imran 18-30


 

Ayat 31: Ayat ini adalah Ayat Tabshir.

Dalam ayat sebelum ini, Allah memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka dari kita tahu sifat Allah begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah.

Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah, tapi Allah murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah memberitahu bagaimana hendak mendapatkan kasihNya. Cara untuk kasih kepada Allah adalah dengan ikut cara Allah suruh. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?

Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tapi yang mulia, yang disayangi Allah. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya pujaan-pujaan itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah, supaya kemudian Allah pula cinta mereka. Maka Allah betulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan Habib.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, [O Muhammad], “If you should love Allah , then follow me, [so] Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Forgiving and Merciful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Kalau benar kasih kepada Allah, jangan buat cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya. Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih sebelah sahaja, sedangkan Allah murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi lah yang Allah suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ajar.

Nabi suruh kita ittiba’ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu. Ianya berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan. Iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah. Ittiba’ lebih lagi dari itu. Kalau mahu Allah cinta kita, kena ittiba’ kepada Nabi seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya macam mana nak buat sesuatu. Ada inisiatif untuk tahu dan ikut. Keinginan hendak ikut itu adalah kerana kita cinta dan sayang kepada Nabi. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat macam mana Nabi solat, cara Nabi berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah ittiba’.

 

يُحبِبكُمُ اللَّهُ

nescaya Allah mengasihi kamu

Sekiranya dapat ikut Nabi, maka barulah Allah cinta. Ayat ini menunjukkan betapa Allah sayang Nabi sampai kalau kita ikut Nabi, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita. Yang pertama sekali kita kena ikut adalah ikut dari segi akidah. Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk dari seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah! Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah tapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.

Kemudian selepas ikut hal tauhid, kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dan makhluk. Tentang perkara ini, memang ada yang menjaganya, tetapi kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia.

 

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

serta mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara ini, Allah akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa dari Allah.

Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi, sampai menangis kalau sebut nama Nabi, tapi tak ikut cara dia, tak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bidaah.

Ada pula yang sudah jaga amalan ibadat ikut cara Nabi. Tapi cara Nabi berurusan dengan manusia dan makhluk, mereka tak ikut. Maksudnya, akhlak Nabi mereka tak ikut. Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ dari katadasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah bagaimana interaksi kita dengan makhluk Allah yang lain.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan kita kepada SifatNya yang Maha Pengampun. Ghafara maksudnya Allah akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk.
Allah bersifat kasih kepada makhlukNya. Allah bukan hendak menyusahkan hambaNya.


 

Ayat 32: 

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكافِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “Obey Allah and the Messenger.” But if they turn away – then indeed, Allah does not like the disbelievers.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

 

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.

Kali ini Allah gunakan lafaz ‘taat’ pula. Ini adalah paling kurang yang kita kena lakukan. Maksud literal ‘taat’ adalah ‘sukarela’. Macam perkataan tatawwu’ dalam solat, bermaksud ‘Solat-solat Sunat’ sebagai solat-solat tambahan selain dari solat-solat fardhu. Jadi taat dalam agama adalah taat jenis sukarela. Tidak ada paksaan. Kita kena rela hendak lakukan. Kalau solat kita lakukan tapi dipaksa, itu bukan ‘taat’ sebenarnya.
Hendaklah taat kepada Allah. Dan taat kepada rasul yang mengajar cara taat kepada Allah. Allah telah pilih rasul itu untuk tunjuk cara. Kalau kita cinta seseorang, tentulah kita ikut segala perkataan kekasih itu, bukan?

Taat adalah alamat kasih.

Sebelum ini beberapa ayat yang sudah, Allah larang kita berwalikan kepada selain orang Islam. Dalam ayat-ayat ini pula, Allah memberitahu kepada siapakah yang patutnya kita letakkan kasih kita itu.

Tapi untuk taat, kenalah tahu apakah yang hendak ditaati. Maka, kenalah belajar tafsir Quran dan hadis dan sunnah untuk tahu apakah yang perlu ditaati. Janganlah pandai sebut taat sahaja, tapi tidak tahu apakah yang perlu ditaati.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكافِرينَ

jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Mereka dikira kufur kerana ada peluang untuk ikut taat tetapi mereka tidak ikut. Allah kata mereka kafir.

Perkara dalam hati kita tidak tahu. Oleh itu susah untuk kita mengkafirkan seseorang. Tapi kalau ada yang secara nyata mengatakan sesuatu yang wajib tapi dia kata tidak wajib, itu adalah kufur dengan nyata dan kita sendiri boleh kata dia kafir kerana dia sudah nyatakan kekafiran dia. Tapi kalau perkara dalam hatinya, Allah sahaja yang tahu. Maka jangan kita ringan sahaja mulut untuk kata orang itu kafir, orang ini kafir. Kerja kita bukannya untuk mengkafirkan orang lain tapi berjagalah dengan peringatan Allah ini. Walaupun kita tidak kata seseorang itu kafir, tapi bagaimana kalau dia kafir di mata Allah? Nauzubillahi min dzaalik.


 

Ayat 33: Ini adalah Dalil Aqli yang keempat. Ayat ini hendak menjelaskan kesilapan dalam fahaman Nasara yang menjadikan golongan keluarga Imran sebagai pujaan. Mereka bukanlah pujaan selain Allah, walaupun mereka itu manusia yang taat kepada Allah. Jadi kalau mereka manusia biasa, kenapa seru mereka?

Sebelum ini telah disebut tentang cinta Allah. Untuk mendapatkan cinta Allah, kena taat kepada Rasulullah. Rasulullah bukanlah rasul yang pertama, malah banyak lagi sebelum baginda. Rasul-rasul itulah yang menjadi penyambung kasih antara makhlukNya dan Allah.

۞ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ آدَمَ وَنوحًا وَآلَ إِبراهيمَ وَآلَ عِمرانَ عَلَى العالَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, Allah chose Adam and Noah and the family of Abraham and the family of ‘Imran over the worlds –

MALAY

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

 

إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ آدَمَ وَنوحًا

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,

Nabi Adam a.s. adalah bapa kita semua. Nabi Nuh a.s pula adalah Rasul yang pertama. Semua makhluk adalah keturunan Nabi Adam dan Nabi Nuh. Kerana selepas Banjir Besar, semua keturunan adalah dari keturunan Nabi Nuh, kerana tidak ada zuriat yang lain lagi.

 

وَآلَ إِبراهيمَ وَآلَ عِمرانَ عَلَى العالَمينَ

dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat

Dari Nabi Ibrahim lahirlah Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Dan dari jaluran keturunan Nabi Ishak lah lahirnya keluarga Imran. Di dalam Qur’an disebut dua Imran. Seorang adalah anak Nabi Musa dan seorang lagi adalah bapa kepada Maryam.

Mereka semua telah dipilih untuk jadi rapat dengan Allah. Semua yang disebut adalah keturunan Nabi-nabi dan Allah masukkan sekali dengan Keluarga Imran juga.

Disebut banyak nama Nabi-nabi kerana Nabi Muhammad diajar untuk beritahu yang baginda adalah salah seorang dari rantaian Nabi yang ramai. Baginda bukannya membawa ajaran akidah yang baru melainkan ianya sama sahaja dengan apa yang dibawa oleh para Nabi yang terdahulu. Mereka semuanya dipilih sendiri oleh Allah.


 

Ayat 34:

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Descendants, some of them from others. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

 

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ

satu keturunan yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. 

Allah ingatkan bahawa mereka bukanlah tuhan, melainkan lahir macam manusia juga. Setengah lahir dari setengah yang lain. Maknanya mereka itu semua adalah dari keturunan manusia. Bukan lahir dari Allah. Mereka jenis manusia, jadi kenapa nak jadikan mereka sebagai pujaan?

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Yang maha mendengar dan Maha Mengetahui sahaja yang layak jadi Tuhan. Mereka para nabi dan Keluarga Imran seperti Maryam, Nabi Isa dan lain-lain tidak mempunyai kuasa maha mendengar dan maha mengetahui. Ini adalah kerana mereka itu manusia sahaja.


 

Ayat 35: Kita sudah mula masuk kepada kisah Keluarga Imran ini dan dimulakan tentang Maryam, ibu kepada Nabi Isa.

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرانَ رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا فَتَقَبَّل مِنّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

SAHIH INTERNATIONAL

[Mention, O Muhammad], when the wife of ‘Imran said, “My Lord, indeed I have pledged to You what is in my womb, consecrated [for Your service], so accept this from me. Indeed, You are the Hearing, the Knowing.”

MALAY

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرانَ

ketika isteri Imran berkata:

Isteri Imran bernama Hannah. Imran dikatakan bapa kepada Maryam. Ada juga khilaf tentang perkara ini. Kerana ada yang mengatakan bahawa Imran adalah nama keturunan dan bukannya nama bapa kepada Maryam. Allahu a’lam.

Sebelum ini Allah kata Dia maha mendengar. Sekarang Allah tunjuk contoh bagaimana Dia dengar doa emak Maryam walaupun dia doa dalam senyap di rumah. Dia pun bukan Nabi tapi Allah tetap dengar dan makbulkan juga. Menunjukkan Allah dengar doa semua makhluk.

 

رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا

” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas

Ibu Maryam menazarkan kandungan bayi di dalam perutnya itu untuk menjadikan anaknya itu khusus buat ibadat dan berkhidmat kepada Allah. Maksudnya dia memberikan anaknya itu menjadi khadam BaitulMaqdis. Macam tok siak kalau di negara kita. Muharraran – bebas dari jagaanku. 100% khidmat untuk agama. Bebas dari kehidupan dunia, maknanya duduk berkhidmat di Masjidil Aqsa sahaja tanpa kerja yang lain.
Syariat dulu boleh nazar begitu. Tidak ada dalam syariat kita sebegitu. Janganlah pula ada yang baca ayat ini tanpa belajar, terus nak nazarkan anak dalam perut jadi tok siak masjid pula.

 

فَتَقَبَّل مِنّي

maka terimalah nazarku;

Maknanya kalau ibunya berdoa begitu, Maryam itu adalah anak biasa. Nak dapat Maryam pun dia doa lama kepada Allah. Apabila dia mengandung, dia suka sampaikan dia menazarkan anaknya. Dia sangka anaknya itu adalah lelaki. Kerana syariat agama waktu itu pun, yang jadi khadam di masjid adalah budak lelaki juga.
Lihatlah bagaimana ibu Maryam berharap supaya Allah menerima nazarnya, bukannya dia doa supaya Allah menerima anaknya itu. Maknanya, pemberian anak itu adalah sebagai salah satu ibadat dari dirinya sendiri dan dia mengharap pahala dari nazarnya itu.

 

إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Allah sahaja maha mendengar dan maha mengetahui. Mak dia pun tak mendengar samada Allah terima doa dia atau tidak. Emak Maryam pun tidak tahu apakah kandungan dalam perutnya itu adalah anak lelaki atau tidak. Jadi, kalau Allah sahaja yang ada sifat maha mendengar dan mengetahui, kenapa nak sembah selain Allah? Kenapa nak puja dan seru selain Allah?


 

Ayat 36:

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ ۖ وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

But when she delivered her, she said, “My Lord, I have delivered a female.” And Allah was most knowing of what she delivered, “And the male is not like the female. And I have named her Mary, and I seek refuge for her in You and [for] her descendants from Satan, the expelled [from the mercy of Allah ].”

MALAY

Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

 

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ

Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan

Ibu Maryam berharap supaya anak yang dilahirkannya itu anak lelaki tetapi rupanya yang keluar adalah anak perempuan. Dari lafaz katanya ini, kita dapat rasa bahawa beliau sedih kerana anaknya itu perempuan. Memang dia tidak sangka sama sekali. Maknanya emak Maryam tak tahu perkara ghaib.

 

وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت

dan Allah memang lebih mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu

Allah lebih tahu apakah dan jantina apakah yang akan dilahirkan. Semuanya dalam perancangan Allah. Memang Allah mahukan anak yang dilahirkan itu anak perempuan. Kerana Allah hendak anak itu menjadi ibu kepada seorang Nabi, maka kenalah yang dilahirkan oleh Hannah itu seorang perempuan.

 

وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ

dan memanglah tidak sama lelaki dengan perempuan;

Tidak sama dari semua segi lelaki dan perempuan. Ada persamaan dan ada perbezaan antara jantina. Kadang-kadang ada perkara yang perempuan lebih lagi dari lelaki. Dalam kes ini, untuk menjadi ibu kepada Nabi Isa, hanya orang perempuan sahaja yang boleh ambil tugas itu. Maka, Allah telah pilih Maryam jadi ibu kepada seorang Nabi. Walaupun dia sendiri bukan Nabi (kerana Nabi mesti seorang lelaki) tapi dia emak kepada Nabi. Tidak ada lelaki boleh capai kedudukan ini.

 

وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ

bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, 

Maryam dalam bahasa dia adalah hamba yang sering beribadah kepada Allah.

 

وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam

Mohon perlindungan untuk anaknya dari Allah dari syaitan. Bukan sahaja anaknya sahaja, tapi keturunan anaknya itu. Maknanya, ibu Maryam ini sudah memandang ke hadapan.


 

Ayat 37:

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يا مَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL

So her Lord accepted her with good acceptance and caused her to grow in a good manner and put her in the care of Zechariah. Every time Zechariah entered upon her in the prayer chamber, he found with her provision. He said, “O Mary, from where is this [coming] to you?” She said, “It is from Allah . Indeed, Allah provides for whom He wills without account.”

MALAY

Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”.

 

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ

Maka ia diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik,

Allah menerima Maryam sebagai nazar emaknya; atau boleh bermaksud Allah menerima doa emak Maryam itu.

 

وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا

dan dibesarkannya dengan didikan yang baik,

Diberikan pembesaran yang baik. Allah sendiri yang menjadikannya sebegitu. Kerana kalau anak kita, memang kita hendak dia jadi baik, kita beri didikan yang terbaik, tapi tidak semestinya anak itu jadi baik. Lihatlah bagaimana anak-anak Nabi Yaakob pun, walaupun bapanya seorang Nabi, tapi tidak semua anaknya menjadi. Tapi Allah memastikan yang Maryam dibesarkan dengan pembesaran yang baik.

 

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا

serta diserahkanNya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.

Nabi Zakariya telah dilantik oleh Allah sebagai penjaga Maryam. Ramai yang pakat nak jaga Maryam kerana Imran meninggal. Sampaikan terpaksa dilakukan undian. Cara undian dilakukan adalah dengan setiap mereka yang mahu menjaga Maryam, perlu mencampak qalam (pen-) mereka ke dalam sungai. Qalam Nabi Zakariya sahaja yang timbul. Maka Allah sendiri yang pilih penjaga Maryam, seorang Nabi dan Rasul. Siang baginda akan bawa Maryam ke masjid BaitulMaqdis dan malam dibawa Maryam pulang untuk tidur dengan keluarga baginda.

 

كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki di sisinya. 

Setiap kali Nabi Zakariya menemui Maryam di Mihrab, baginda dapati yang Maryam sentiasa ada rezeki bersamanya. Dikatakan bahawa rezeki dalam bentuk buah-buahan yang luar musim. Ini amat menghairankan kerana bukan ada petiais pun zaman itu.

المِحرابَ adalah tempat yang dijadikan sebagai tempat pertapaan untuk umat Islam zaman itu. Ianya dari perkataan حرب yang bermaksud ‘perang’. Ini adalah kerana tempat itu dijadikan sebagai tempat untuk bersendiri untuk berperang dengan nafsu dan syaitan yang mengganggu iman manusia. Kalau zaman sekarang, ianya adalah tempat yang ada lengkuk yang digunakan sebagai tempat imam solat berdiri semasa menjadi imam.

Mihrab pada zaman sekarang

Mihrab pada zaman sekarang

قالَ يا مَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا

Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati ini?”

Ini amat menghairankan Nabi Zakariya kerana dia yang jaga Maryam dan makanan disediakan olehnya. Dari mana pula datangnya buah-buahan itu?

 

قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ

Maryam menjawab; “Ialah dari Allah,

Maryam menjawap yang ianya adalah dari Allah yang didapati tanpa ikhtiar dari dirinya. Maryam menggunakan lafaz هُوَ (ia) tak pakai هٰذا (ini) walaupun itulah lafaz yang digunakan oleh Nabi Zakariya. Ini adalah kerana apabila menggunakan lafaz هُوَ ia merangkumi semua perkara yang didapati boleh Maryam, dan bukan makanan itu sahaja.

 

إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”.

Allah boleh memberi apa-apa sahaja kepada hambaNya dengan cara tanpa boleh difikir dengan akal. Apa yang diberi kepada Maryam itu adalah satu jenis ‘Karamah’. Karamah boleh diberi untuk orang soleh. Ianya diberikan kepada Maryam kerana taqwa yang ada pada dirinya. Dia seorang yang takut sangat dengan Allah dan amat menjaga dirinya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s