Tafsir Surah Ali Imran Ayat 23 – 29 (Jangan jadikan orang kafir teman rapat)

Ayat 23: Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِنَ الكِتابِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتابِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِنهُم وَهُم مُعرِضونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Do you not consider, [O Muhammad], those who were given a portion of the Scripture? They are invited to the Scripture of Allah that it should arbitrate between them; then a party of them turns away, and they are refusing.

MALAY

Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِنَ الكِتابِ

Tidakkah engkau pelik memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab,

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang kitab. Mereka ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu darinya.

Perkataan نَصيبًا bermaksud bahagian yang boleh diambil manfaat darinya. Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar dah.

 

يُدعَونَ إِلىٰ كِتابِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka. 

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran patutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab biar sempurna supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut.

 

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِنهُم وَهُم مُعرِضونَ

satu puak dari mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tapi ada yang degil berpaling. فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan.

Mereka terus menerus degil tak mahu ikut seluruh syariat. Tahu tapi tak mahu ikut. Macam orang kita dah tahu dah Qur’an. Memang mereka sayang pun. Baca hari hari, dan ada yang hafal pun. Tapi mereka tak jadikan sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Qur’an, mereka  tidak terima.


 

Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدوداتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم ما كانوا يَفتَرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.

MALAY

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدوداتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka mereka akan masuk neraka selama 40 hari sahaja. Sebab itu mereka berani buat apa sahaja kerana mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun tidak lama. Jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih.

Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Surah Baqarah, dalam ayat 80, digunakan lafaz مَعدودَةً – jumlah yang lebih banyak. Oleh itu, مَعدوداتٍ adalah bilangan yang kurang daripada مَعدودَةً. Ini adalah kerana dalam surah Ali Imran ini, belum banyak diberitahu dosa-dosa mereka. Sedangkan dalam surah Baqarah, lafaz مَعدودَةً itu keluar selepas banyak dosa-dosa puak Yahudi disebut.

 

وَغَرَّهُم في دينِهِم ما كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendita dan ulama agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya. Mereka tidak periksa sama sekali. Macam masyarakat kita juga, kalau ustaz dah cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mula ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia dah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Islam akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya. Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka ingat neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahaja kah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu.


 

Ayat 25:

فَكَيفَ إِذا جَمَعناهُم لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

So how will it be when We assemble them for a Day about which there is no doubt? And each soul will be compensated [in full for] what it earned, and they will not be wronged.

MALAY

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

 

فَكَيفَ إِذا جَمَعناهُم لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; 

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti.

 

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal. Kalau kesalahan akidah sesat, akan kekal dalam neraka bukan sementara sahaja. Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil.

Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil dari usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah tidak zalim. Apa-apa sahaja yang Allah lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.


 

Ayat 26: Ini adalah natijah dari fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu ada masalah dengan tauhid.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Kalau kita lihat di dalam Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut. Ada doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut ini dengan perkataanقل ‏ (katakanlah) di awal ayat ini. Maknanya, Allah sendiri suruh kita berdoa dengan cara begini.

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! 

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah – ya Allah. Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu.

Dia yang memiliki kerajaan. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. Memiliki maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen. Tapi المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

 

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Benda yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja. Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campurtangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan.

Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama.

 

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Itu memang tidak disangka. Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engakau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain.

 

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

 

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

 

بِيَدِكَ الخَيرُ

di tanganMu kebaikan

Segala kebaikan adalah pada Allah. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan. Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan.

 

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?

Sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.


 

Ayat 27:

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL

You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”

MALAY

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

 

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang, 

Allah berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang. Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’.

 

وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.

Allah boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang jadi panjang.

Kejadian ini kita boleh di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang malam jadi panjang dan kadang-kadang siang jadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Allah yang aturkan.

Sebagaimana Allah atur peredaran musim, Allah juga atur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba jadi raja dan ada raja Allah turunkan jadi hamba.

 

وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ

Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, 

Allah juga boleh bawa keluar kehidupan dari kematian. Contohnya, dari air mani yang mati, Allah boleh jadikan manusia; dari telur ayam yang mati, Allah boleh keluarkan anak ayam, dan banyak lagi contoh-contoh.

Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid.

 

وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ

dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.

Allah juga boleh keluarkan mati dari kehidupan. Apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati.

Ia juga bermaksud, dari binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.

Ada juga yang kata, maksud ayat ini adalah Allah boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir dari keluarga yang mukmin. Kerana hati yang sebenar beriman adalah hati yang beriman.

Allah juga boleh keluarkan anak yang pandai dari ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh dari ayah yang pandai.

 

وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Beri rezeki tanpa kira berapa banyak. Allah bagi begitu banyak sampai tidak terkira. Allah tak kira banyak mana Dia beri sebab banyak mana diberi, tidaklah merugikan DiriNya.

Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah dan tidak ada elemen dan entiti lain.

Maka kita akan bersyukur apabila Allah beri nikmat dan bersabar apabila Allah cabut nikmat itu.

Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Dalam berdoa, kita harap kepada Allah sahaja. Dalam rezeki pun harap kepada Allah sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah lah sahaja.


 

Ayat 28:

لا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكافِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL

Let not believers take disbelievers as allies rather than believers. And whoever [of you] does that has nothing with Allah , except when taking precaution against them in prudence. And Allah warns you of Himself, and to Allah is the [final] destination.

MALAY

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

 

لا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكافِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. 

Ini adalah undang-undang kejayaan. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. Wali dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan.

Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka dulu banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah nak tinggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab dah lama kenal dan kawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tapi jangan jadikan mereka sebagai wali.

Untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam:

Pertama, berkawan atas dasar sahabat sama-sama Muslim. Iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syariat yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Perhubungan ini dinamakan muwalat – tunjuk baik luar dan dalam.

Kedua, yang dinamakan muwasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul. Sebab kita kena tolong. Jadi kalau kita nak tolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.

Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tapi dalam hati kita, kita marah. Kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama. Tapi janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita dah tegur dia atas kesalahan dia, tapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Kerana nak tegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah nak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk jelaskan sesuatu permasalahan agama. Macam nak jelaskan tentang konsep syirik dan bidaah, tentu makan masa kalau nak beritahu kepada mereka yang tak faham lagi. Tetapi tidak tegur waktu itu pun, kena dengan hati yang marah. Iaitu kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan. Kecuali kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur waktu itu juga. Contohnya, kalau dia berzina atau mencuri, tak boleh tunggu dah, kena tegur terus sebab dah jelas kesalahan itu.

Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Islam, bukan dengan orang kafir. Kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tak berbaik dengan dia, boleh menyusahkan kita.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ

Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah ia dari Allah dalam sesuatu apapun

Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah.

Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah walau sedikit. Kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu.

 

إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقاةً

kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka

Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri dari bahaya mereka. Tidak dapat dielakkan. Tidak boleh jadikan sebagai pelindung tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka. Maka kalau kerajaan Islam adakan peace treaty dengan Amerika boleh, tapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.

 

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diriNya

Allah ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat Allah. Kena ambil tahu tentang Allah. Kena letak Allah di depan. Jadi kena pegang hukum yang Allah letak. Kena takut Allah lebih dari takut kepada makhluk.

 

وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita.


 

Ayat 29:

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَيَعلَمُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “Whether you conceal what is in your breasts or reveal it, Allah knows it. And He knows that which is in the heavens and that which is on the earth. And Allah is over all things competent.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu

Sama sahaja pada Allah, apa sahaja yang kita lakukan dan rasakan, Dia Maha Mengetahui. Muwalat, muwasat dan mudharat nampak pada luaran sama sahaja, tapi dalam dada kita, Allah tahu. Orang nampak kita layan seseorang itu sama sahaja, tapi dalam hati kita, mereka tidak tahu.

 

 أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ

atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; 

Sama sahaja kepada Allah, kerana IlmuNya sempurna.

 

وَيَعلَمُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ

dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Bukan sahaja Allah tahu apa yang dalam dada kita, segala yang terjadi di langit dan bumi pun Allah tahu juga.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Bukan sahaja ilmu Allah sempurna, kuasa Allah juga sempurna. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu dan kita tidak dapat halang langsung, tidak dapat persoal langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar Dr Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s