Tafsir Surah Ali Imran Ayat 16 – 22 (Agama di sisi Allah adalah hanya Islam)

Ayat 16: Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah sedang perhati apa yang mereka lakukan. Semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini.

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا آمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who say, “Our Lord, indeed we have believed, so forgive us our sins and protect us from the punishment of the Fire,”

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا آمَنّا

orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, 

Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawasul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Inilah tawasul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawasul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.

فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا

oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami 

Kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut lagi.

وَقِنا عَذابَ النّارِ

dan peliharalah kami dari azab neraka”;

Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita tak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu. Oleh itu, kita minta kepada Allah supaya berilah kepada kita sifat boleh tinggal dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk neraka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.


Ayat 17: Sambungan ayat sebelum ini. Allah jelaskan siapakah hamba yang dimaksudkan. Apakah sifat-sifat yang mereka ada. Ada lima sifat yang akan disebut.

Ini adalah cara-cara untuk kawal nafsu dari tergelincir kepada keinginan salah. Nafsu itu tidak salah, tapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja, brek tidak ada, tentu akan berlanggar akhirnya.

الصّابِرينَ وَالصّادِقينَ وَالقانِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

SAHIH INTERNATIONAL

The patient, the true, the obedient, those who spend [in the way of Allah ], and those who seek forgiveness before dawn.

MALAY

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

الصّابِرينَ

orang-orang yang sabar

Pertama, kena sabar dalam taat. Nak taat Allah kena sabar kerana kadang-kadang ianya susah dilakukan dan banyak dugaan.

Sabar itu hanya ada pada orang taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Kita akan dapat pahala atas sabar itu. Orang kafir pun akan ada musibah juga. Tapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah azab. Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Sabar mereka dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Kita sabar dapat pahala.

Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan dari Allah – dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allah memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak mendapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.

Juga sabar dari ikut kehendak nafsu yang salah. Kita sabar dengan tidak ikut ajakan nafsu kerana kalau kita sabar dari melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga. Contohnya, jika kita sabar dari berzina di  dunia, kita akan dibalas dengan bidadari di syurga.

وَالصّادِقينَ

dan orang-orang yang benar 

Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tak masuk syurga. Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa bijak, suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tapi dia tidak jujur.

Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Allah dah letak keinginan itu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu. Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tak normal.

Benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati.

Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita.

وَالقانِتينَ

dan orang-orang yang sentiasa taat

Ada kepatuhan. Bersedia nak berkhidmat. Patuh dengan segala arahan dari Allah dan Nabi. Jenis orang yang awal pergi solat. Jenis kalau suruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?”

Dia taat dan mendahulukan kehendak Allah dan rasul dalam kehidupannya.

وَالمُنفِقينَ

dan orang-orang yang membelanjakan hartanya

Mereka yang rajin Infak. Mereka yakin dengan janji Allah yang Allah balas infak mereka di akhirat. Infak itu bermaksud mengeluarkan harta. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan.

وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur.

Memohon ampun waktu sahur. Iaitu selepas Solat Tahajjud. Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya Istighfar setelah taat. Mereka amat lembut hati mereka sampai masih rasa bersalah walaupun semasa buat taat. Takut kalau tak cukup apa yang dia dah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah. Kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang dah biasa dah, tapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.

Tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan ada duit banyak dengan mengeluarkan infak, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.

Ayat ini mengajar kita cara berdoa. Doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, selepas mengerjakan Solat Tahajjud.

Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Rabb kita tabaroka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdo’a kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145  dan Muslim no. 758).

Ali Imran 1-17


Ayat 18: Dalil naqli ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Qur’an. Diulang kembali dalam Qur’an untuk kita.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَالمَلائِكَةُ وَأُولُو العِلمِ قائِمًا بِالقِسطِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah witnesses that there is no deity except Him, and [so do] the angels and those of knowledge – [that He is] maintaining [creation] in justice. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,

Allah bersaksi yang hanya Dia sahaja ilah. Allah sendiri menjadi saksi. Dia tidak jadikan selain Dia, ilah-ilah yang lain. Samada wali, Nabi atau malaikat. Tidak ada tempat menumpang harap lain bagi makhluk melainkan Allah sahaja.

وَالمَلائِكَةُ

dan malaikat-malaikat

Para malaikat juga bersaksi.

وَأُولُو العِلمِ

serta orang-orang yang berilmu

Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Pengikut Nabi adalah wali dan mereka juga bersaksi.

قائِمًا بِالقِسطِ

menegakkan keadilan

Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu tauhid.

Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ianya juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Tetapi ianya ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah menekankan kesamarataan pada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights.

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sifat Aziz bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu.

Tapi, Dia juga al-Hakim yang tangguh hukuman kepada makhluk di dalam kebijaksanaanNya.

Allah maha berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja. Tapi Allah menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu.


Ayat 19: Hal ilah ini kena jelas. Tapi ada juga berlaku perselisihan. Allah jelaskan kenapa ada perselisihan itu.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلامُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِآياتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, the religion in the sight of Allah is Islam. And those who were given the Scripture did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And whoever disbelieves in the verses of Allah , then indeed, Allah is swift in [taking] account.

MALAY

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلامُ

Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam.

Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan agama, ia terdiri dari akidah dan cara hidup. Cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar.

Islam juga bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah adalah menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Islam’, tapi tidak taat kepada perintah Allah, maka tidak bermakna langsung status Islam mereka itu di mata manusia. Kerana yang penting adalah kita Islam di mata Allah.

وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ

Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu 

Yang berselisih itu adalah ulama dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Samalah dalam masyarakat Islam pun, ulama ramai yang bercakaran. Memang buat malu.

Ulama-ulama dari kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri. Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa adalah tauhid. Tapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang pakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.

إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan

Maknanya mereka yang ada ilmu tentang kitab. Bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang dah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Sepatutnya ulama kenalah tahu yang mana benar dan mana yang tidak. Malangnya ada ulama yang ikut syariat dan ada yang tidak. Kita kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama dan ustaz. Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Qur’an kerana inilah asas agama.

بَغيًا بَينَهُم

semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki. Kerana ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua nak tunjuk pandai. Takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka. Ini perkara yang memalukan dengan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka tak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan. Macam sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tapi cuma mahu taklid buta sahaja.

وَمَن يَكفُر بِآياتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Allah cepat buat keputusan. Tak kira samada mereka itu ulama atau tidak. Kalau mereka yang buat salah, mereka dulu yang paling awal kena seksa.


Ayat 20:

فَإِن حاجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِلَّذينَ أوتُوا الكِتابَ وَالأُمِّيّينَ أَأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلاغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

So if they argue with you, say, “I have submitted myself to Allah [in Islam], and [so have] those who follow me.” And say to those who were given the Scripture and [to] the unlearned, “Have you submitted yourselves?” And if they submit [in Islam], they are rightly guided; but if they turn away – then upon you is only the [duty of] notification. And Allah is Seeing of [His] servants.

MALAY

Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

فَإِن حاجّوكَ

jika mereka berhujah membantahmu

Mereka berbantah tentang hal tauhid, bukan perkara lain. Kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah.

فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ

maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah

Jawap sahaja begini. Jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Sebab dah banyak hujah yang diberikan kepada mereka.

Digunakan lafaz ‘Wajah’ tapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Walaupun sebut wajah sahaja tapi maksudnya semua sekali.

Serah diri kepada Allah dengan ikut syariat.

وَمَنِ اتَّبَعَنِ

dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”

Dan siapa sahaja yang ikut Nabi Muhammad. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka ikut Nabi dan syariat Islam.

وَقُل لِلَّذينَ أوتُوا الكِتابَ وَالأُمِّيّينَ أَأَسلَمتُم

Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”:  “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut?

Beritahu kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab, adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah pada hal akidah dan amalan?

Tanya mereka adakah mereka ikut ajaran Nabi-Nabi mereka sendiri yang Islam? Yahudi kata ikut Nabi Musa, Kristian kata ikut Nabi Isa dan orang-orang Arab kata mereka mengikut Nabi Ibrahim; sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-Nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Islam? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-Nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran dari rabbi, dari paderi dan dari ulama-ulama kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?

فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا

Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; 

Sekiranya mereka mahu serah diri, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya.

وَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلاغُ

dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan

Kalau mereka tak terima, kamu hanya ditugaskan untuk sampaikan sahaja. Malangnya mereka takkan dengar. Janji, kita dah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita.

Ayat ini ajar kita tentang dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita dah dakwah tapi orang yang didakwah tak ikut pun. Tapi Allah beritahu, tidak mengapa, tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan. Dan kita akan meningkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Allah sedang melihat mereka yang berdakwah. Kalau kita tidak dakwah, Allah lihat kita dan akan azab kita kerana tidak meneruskan tugas Nabi.

Allah juga sedang melihat mereka yang berpaling.


Ayat 21: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi. Mereka yang kufur dari Kristian Najran itu asyik nak tanya Nabi Muhammad padahal mereka dah ada kitab dah. Tak puas hati bila dengar ada pula umat lain dapat kitab, maka mereka nak datang tanya.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِآياتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who disbelieve in the signs of Allah and kill the prophets without right and kill those who order justice from among the people – give them tidings of a painful punishment.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِآياتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah

Kepada mereka yang ingkar tak mahu nak pakai wahyu. Walaupun telah diajak kepada Islam, tapi masih degil tidak mahu beriman juga lagi. Mereka menutup telinga dan hati mereka dari kebenaran.

وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ

dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,

Allah tegur mereka yang banyak tanya Nabi. Tak payah nak tunjuk pandailah. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan tidak pernah membunuh Nabi, tapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad sendiri.

Ya, memang benar Bani Israil banyak membunuh Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya dan anaknya Nabi Yahya. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa sendiri, tapi telah gagal. Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tak kena dengan jiwa mereka, mereka akan bunuh.

وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ

serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil

Juga mereka bunuh guru yang mengajar ajaran tauhid. Kalau ajar agama sahaja tidak mengapa, tapi kalau dah sentuh tentang keadilan, maka kerajaan akan takut hilang pengaruh dan mereka akan lakukan sesuatu untuk tutup mulut ulama itu. Sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi.

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Allah perli mereka. Beri berita gembira tapi berita menakutkan sebenarnya.


Ayat 22:

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

They are the ones whose deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and for them there will be no helpers.

MALAY

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Gugur amalan mereka kerana kufur. Salah satu cabang kufur adalah syirik. Buat dosa besar tak gugur amalan lagi.

Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infak akan menambah rezeki kita; itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah beri semasa di dunia lagi. Tetapi mereka langsung tidak dapat kebaikan di dunia itu dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Musyrikin Mekah sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga kaabah. Tapi Allah jawap yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Kristian sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawap jangan harap.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Prof Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s