Tafsir Surah Ali Imran Ayat 10 – 15 (Kehendak syahwat manusia)

Ayat 10:

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموالُهُم وَلا أَولادُهُم مِنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.

MALAY

Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموالُهُم

Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Harta mereka tak boleh bantu mereka sedikit pun. Tak kira betapa kaya macam mana pun.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak bernilai langsung waktu itu. Maka kalau orang engkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Maka, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan.

 

وَلا أَولادُهُم مِنَ اللَّهِ شَيئً

dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun

Atau anak atau pengaruh untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah tidak berguna sedikit pun.

Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta dan anak pinak. Ramai yang sibuk mengumpul harta kerana mereka nak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

Puak Yahudi telah mainkan perasaan para sahabat yang baru pulang dari kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang mereka baru hadapi itu tidak ada apa-apa sebenarnya dan nanti mereka kata puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar. Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Maka Allah turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat.

 

وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Takhwif Ukhrawi. Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi makin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri jadi sakit kerana bertambah panasnya. Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.


 

Ayat 11:

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِآياتِنا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL

[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.

MALAY

(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

 

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka;

Allah hendak beritahu yang kekufuran orang kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Seperti Firaun juga. Kerana dia kaya dan ada pengaruh besar, dia tidak mahu dengar dakwah Nabi Musa.

Bukan dengan Firaun sahaja, kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama.

Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah lawan Nabi Muhammad kerana Nabi Muhammad itu anak yatim dan miskin. Ini kerana mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.

 

كَذَّبوا بِآياتِنا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. 

Kerana mereka tak mahu juga pakai ayat Allah, maka Allah akan azab mereka.

 

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

Allah mengingatkan kita betapa beratnya azab dariNya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal.


 

Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Dunia lagi Allah dah boleh tunjuk.

قُل لِلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

SAHIH INTERNATIONAL

Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

 

قُل لِلَّذينَ كَفَروا

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: 

Allah suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi samada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi.

 

سَتُغلَبونَ

Kamu akan dikalahkan

Allah nak beritahu yang mereka akan dikalahkan. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tapi nanti mereka akan dikalahkan.

 

وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ

dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,

Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Neraka itu bukanlah tempat berehat tapi tempat kena azab. Tidak ada tempat yang lebih buruk dari neraka itu. Maka takutlah kita. Dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.


 

Ayat 13:

قَد كانَ لَكُم آيَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقاتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِأُولِي الأَبصارِ

SAHIH INTERNATIONAL

Already there has been for you a sign in the two armies which met – one fighting in the cause of Allah and another of disbelievers. They saw them [to be] twice their [own] number by [their] eyesight. But Allah supports with His victory whom He wills. Indeed in that is a lesson for those of vision.

MALAY

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

 

قَد كانَ لَكُم آيَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu

Allah bukan cakap beri ancaman kosong sahaja, malah Allah beri contoh perkara yang telah berlaku. Allah beri contoh bagaimana Dia telah tolong golongan yang benar dan kalahkan golongan sesat. Yang dimaksudkan adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud.

 

فِئَةٌ تُقاتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ

satu pasukan berperang pada jalan Allah

Yang dimaksudkan adalah tentera Islam. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun mereka sikit, tetapi kerana yakin dengan Allah, mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap dari mereka.

Balaghah: kita tahu yang pihak yang berperang pada jalan Allah ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ianya dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ianya tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain. Iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’. Jadi, Allah tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman dari lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.

 

وَأُخرىٰ كافِرَةٌ

dan yang satu lagi dari golongan kafir 

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai dari puak Islam.

Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan Allah kerana telah disebut lawannya.

 

يَرَونَهُم مِثلَيهِم رَأيَ العَينِ

Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya 

Waktu itu kumpulan kafir nampak puak mereka berkali-kali ganda lebih ramai dari puak Islam. Mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai dari tentera Islam.

Ataupun boleh juga bermaksud, mereka nampak puak Islam itu yang berkali-kali ganda lebih ramai dari mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai.

 

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ

Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolonganNya, sesiapa yang dikehendakiNya,

Walaupun kafir waktu itu lebih ramai dari orang Islam, tapi Allah tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukan alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِأُولِي الأَبصارِ

Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat

Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa.

Yang melihat adalah mereka yang kuat pemikiran sampai dapat tengok natijah kesudahan sesuatu perkara. Yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi.


 

Ayat 14: Allah beritahu kenapa musyrikin jadi degil. Kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka.

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَواتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَناطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعامِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

SAHIH INTERNATIONAL

Beautified for people is the love of that which they desire – of women and sons, heaped-up sums of gold and silver, fine branded horses, and cattle and tilled land. That is the enjoyment of worldly life, but Allah has with Him the best return.

MALAY

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

 

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَواتِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat, 

Segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanya sample sahaja, bukan yang original. Macam handphone sample tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sample kepada madu di syurga. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.

Sample itu nilainya tidak sama dengan yang original, Tapi dinampakkan kepada orang kafir itu, kecantikan pada sampel. Yang sampel mereka nampak macam original. Mereka nampak sample itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai tak ingat. Dan apabila ianya digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad membawa ajaran yang mereka nampak menggugat keduniaan mereka, mereka lawan Nabi habis-habisan.

Senarai yang diberikan dalam Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah tak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan.

Mereka hendak memuaskan nafsu syahawat kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib Nabi yang diajar oleh Nabi. Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tapi kenalah makan makanan yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ianya dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan menikah. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.

Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya.

 

مِنَ النِّساءِ

iaitu perempuan-perempuan

Yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Sebanyak mungkin yang boleh mereka dapati. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja.

Zaman sekarang, hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali.

Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Ramai yang tergelincir.

 

وَالبَنينَ

dan anak-pinak

Yang kedua, mereka mahukan pengaruh. Anak-anak adalah lambang pengaruh. Terutama sekali kalau anak lelaki. Ini adalah normal. Anak-anak memang menjadi kebanggaan kepada para bapa. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu, tapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah sendiri sebut dalam ayat ini. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.

Ada instint dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia tahu yang dia akan mati. Tapi kalau dia ada anak, anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya.

Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu.

 

وَالقَناطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; 

Harta yang bertumpuk-tumpuk. Manusia memang suka kumpulkan harta. Kalau dah ada sejuta, nak sejuta lagi. Kalau dah jadi millionaire, dia nak jadi billionaire pula.

Nabi sendiri ada bersabda dalam riwayat Bukhari dan Muslim:

“Kalau adalah bagi anak Adam itu dua lembah daripada emas, masihlah dia inginkan yang ketiga. Tapi tidaklah yang akan memenuhi perut anak Adam, selain tanah. Dan Allah akan memberi taubat kepada yang bertaubat.”

Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tak pegang emas dan perak lagi sebagai wang tukaran. Tapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam reserve bank. Kita bawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja.

 

وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ

kuda peliharaan yang diasuh

Ini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ayat Quran ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi.

Digunakan dalam ayat ini: Kuda yang terpilih. Ini adalah kerana kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta proton dan kereta BMW. Dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali. Iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik.

Walaupun manusia sudah tidak naik kuda lagi, tapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang guna lambang kuda, bukan? Dan kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa horsepower kereta ini?

 

وَالأَنعامِ

dan binatang-binatang ternak

Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau zaman Nabi, ianya adalah binatang ternak. Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Kepada barangan kedai kita, simpanan dalam gudang dan macam-macam lagi. Manusia akan kumpul aset dunia sebanyak mungkin.

 

وَالحَرثِ

serta tanaman yang dituai

Hasil yang dituai. Segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasilnya di hujung. Kalau zaman sekarang, dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun. Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

 

ذٰلِكَ مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Semua yang mereka kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali.

Bukan tak boleh guna dan diambil manfaatnya dari semua perkara yang telah disebutkan itu, tapi kena ikut tertib Nabi. Kena buat dengan cara yang halal dan jangan sampai menolak agama. Musyrikin Mekah tolak dan lawan Nabi sebab semua perkara ini.

Puak Islam pun suka juga kepada keindahan dunia. Tapi mereka tidak menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut. Mereka tetap tinggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad juga.

 

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya

Semua perkara itu tidak akan memuaskan kita. Kalau dah dapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang lebih baik, bukan? Kalau dah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik dari isteri kita; kalau dah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas;

Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga itu. Kerana apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas – itulah di syurga. Itulah sebaik-baik tempat kembali.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa utusan dari Najran itu datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun dari emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.

Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu, maka diturunkan ayat ini.

Juga ada orang yang nampak kebenaran Islam, tapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan ditarik.


 

Ayat 15: Ayat ini adalah bayangan kepada maksud husnul ma’ab yang disebut dalam ayat sebelum ini.

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها وَأَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضوانٌ مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “Shall I inform you of [something] better than that? For those who fear Allah will be gardens in the presence of their Lord beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and purified spouses and approval from Allah . And Allah is Seeing of [His] servants –

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

 

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? 

Mahukah kalau Allah beritahu yang lebih baik dari nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah suruh tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawabannya.

 

 لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Hanya bagi orang yang bertaqwa iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar dari tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh.

Yang Allah akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus dari perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Mula sekali Allah sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah fizikal. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Allah selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana itulah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia.

 

خالِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya. 

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga. Tapi syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka kita akan tenang sahaja di sana kerana kita tidak takut yang kita akan dikeluarkan.

 

وَأَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, 

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tapi kalau duduk seorang sahaja pun, tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah berikan teman hidup untuk kita.

Pasangan itu yang suci dari segi fizikal dan akhlak. Dari segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Dari segi akhlak, mereka tidak ada langsung sifat buruk.

 

وَرِضوانٌ مِنَ اللَّهِ ۗ

serta keredhaan dari Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan dari Allah. Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat dari nikmat ini.

Kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita dah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan? Tapi adakah yang lebih besar dari Allah? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu.

Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita tidak akan rasa puas. Tapi kalau nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah, kita akan puas.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

Allah sedang melihat kita dari segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah melihat tempat yang sedang kita tuju, samada ke syurga atau neraka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s