Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 9 (Apakah Ayat Mutashabihat?)

Ayat 1:

الم

Huruf-huruf ini dinamakan ‘Huruf muqatta’ah’ – huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Nabi tak beritahu dan sahabat pun tak tanya. Padahal tugas Nabi untuk sampaikan apa yang patut disampaikan. Maka, perkara ini kita tidak dapat tahu dengan sendiri dan kalau ianya perkara yang perlu diketahui, Nabi akan cakap kepada kita, tapi tidak ada riwayat yang Nabi menjelaskannya. Maka kita kena senyap dan jangan buang masa untuk mencari apakah maksudnya. Memang ada yang boleh cakap tapi mereka bercakap tanpa ada dalil.

Maka, kita memulakan tafsir surah ini dengan kita tidak tahu. Kalau Allah tidak beritahu kepada kita apakah makna sesuatu itu, kita tidak akan tahu. Maknanya, kita mengharapkan ilmu dari Allah tentang sesuatu ilmu itu. Jikalau Allah tidak mengizinkan kita tahu, maka kita tidak akan tahu.


 

Ayat 2:

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of existence.

MALAY

Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Ini adalah ayat Dakwa surah ini. Tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat minta doa kita.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah. Hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Nabi Isa dan Maryam sudah mati.

Allahlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhlukNya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa dan ibunya Maryam tidak dapat mengurus alam ini.


 

Ayat 3:

نَزَّلَ عَلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ التَّوراةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL

He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.

MALAY

Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

 

نَزَّلَ عَلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ

Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, 

Allah telah turunkan Quran kepada Nabi Muhammad. نَزَّلَ maksudnya menurunkan sedikit demi sedikit. Ini adalah kerana Quran diturunkan mengambil masa selama hampir 23 tahun. أَنزَلَ juga diterjemahkan sebagai menurunkan tapi maksudnya turunkan sekaligus. Apabila bercakap tentang Qur’an, Allah gunanya perkataan نَزَّلَ kerana Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit. Tetapi apabila membicarakan kitab-kitab yang lain, Allah menggunakan lafaz أَنزَلَ kerana kitab-kitab itu diturunkan sekaligus. Kitab Taurat turun dalam bentuk kitab terus dan Kitab Injil terus dimasukkan ke dalam dada Nabi Isa a.s.

Kitab Quran itu adalah benar. Dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – kebenaran tentang Allah.

 

مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ

yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,

Quran itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain.

 

وَأَنزَلَ التَّوراةَ وَالإِنجيلَ

dan Ia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.

Disebut Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah.


 

Ayat 4:

مِن قَبلُ هُدًى لِلنّاسِ وَأَنزَلَ الفُرقانَ ۗ إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِآياتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Before, as guidance for the people. And He revealed the Qur’an. Indeed, those who disbelieve in the verses of Allah will have a severe punishment, and Allah is exalted in Might, the Owner of Retribution.

MALAY

Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

 

مِن قَبلُ

Sebelumnya,

Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini – Taurat dan Injil telah diturunkan dahulu sebelum diturunkan Quran.

 

هُدًى لِلنّاسِ

menjadi petunjuk bagi umat manusia. 

Semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah itu adalah sumber hidayat kepada manusia.

Tetapi perlulah kita ingatkan di sini bahawa bukanlah Taurat dan Injil yang ada sekarang menjadi sumber hidayah kepada manusia pula. Kerana Taurat dan Injil yang ada sekarang bukanlah yang asli, tetapi telah ada campur tangan tambahan dari kata-kata manusia. Taurat dan Injil yang asal memang menjadi sumber hidayah, tetapi Taurat dan Injil yang ada sekarang, tidak. Janganlah ada pula yang menggunakan dalil ayat ini dan ayat-ayat lain yang membenarkan dua kitab itu, untuk mengatakan boleh pakai Taurat dan Injil sekarang sebagai sumber hidayat.

 

وَأَنزَلَ الفُرقانَ

Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan

Furqan dari segi bahasa adalah ‘pembeza’ dan dalam ayat ini maksudnya menzahirkan mukjizat. Kerana Mukjizat membezakan antara manusia biasa dan Nabi dan ia adalah sebagai bukti kenabian. Kerana manusia akan percaya kepada Nabi (kepada yang mahu percaya) jikalau mereka menunjukkan bukti dan salah satu bukti kenabian adalah mukjizat.

Banyak kekeliruan tentang mukjizat ini. Allah yang zahirkan mukjizat itu, bukannya dengan kehendak Nabi. Oleh itu, mukjizat bukanlah kuasa yang ada pada para Nabi. Sebagai contoh, kalau Nabi Musa saja-saja ketuk laut atau sungai dengan tongkatnya, untuk menyeberang laut atau sungai itu, laut atau sungai itu tidak akan terbelah. Hanya apabila Allah suruh dan jadikan, baru ianya terjadi. Jadi, kalau Nabi nak buat sendiri, tidak akan terjadi. Oleh itu digunakan lafaz Furqan kerana untuk membezakan antara manusia dan Nabi.

Begitu juga dengan karamah. Karamah pun ramai yang keliru. Mereka sangka karamah itu adalah kuasa para wali. Ini adalah fahaman salah. Seperti juga mukjizat bukan kuasa Nabi, karamah bukan kuasa wali. Hanya apabila Allah hendak tunjukkan, baru ia akan terjadi. Maka, kalau ada orang yang dikatakan wali, dan boleh buat benda-benda ajaib, itu bukan ‘karamah’, tapi itu adalah ‘sihir’.

Furqan juga bermaksud membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Quran itu membezakan manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu agama, hendaklah dibandingkan dengan Quran. Ramai masyarakat kita tidak belajar Quran, tapi terus belajar ‘agama’ dengan guru yang tidak belajar pun tafsir Quran. Ajaran-ajaran mereka ada yang pelik dan berlawanan dengan apa yang diajar oleh Quran. Tapi, apabila guru dan anak murid sendiri tidak belajar tafsir Quran, mereka tidak dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ini adalah masalah besar dalam masyarakat kita, sampai menyebabkan pecah belah dan benci membenci.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِآياتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Untuk menakutkan mereka yang degil untuk beriman dengan ayat-ayat Allah. Setelah diberi dengan dakwah tapi masih tidak mahu beriman, Allah janjikan kepada mereka azab yang pedih di neraka kelak.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa

ذُو انتِقامٍ  maksudnya Allah boleh terus menghukum manusia dengan beri azab kepada makhluk pada bila-bila masa sahaja yang Dia mahu. Maksudnya Allah mempunyai kuasa itu, tapi Allah tidak meletak sifatNya al-Muntaqim. Maksudnya, tidak semestinya Allah terus beri azab sebagai balas dendam kepada manusia. Allah mempunyai sifat-sifat lain yang tidak terus mengazab makhlukNya.


 

Ayat 5: Ini adalah penyempurnaan kepada dalil yang telah disampaikan sebelum ini. Dalil-dalil ini diberi untuk menguatkan hujah bahawa Allah itulah sahaja ilah.

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, from Allah nothing is hidden in the earth nor in the heaven.

MALAY

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun

Hanya pada Allah sahaja yang tidak tersembunyi segala perkara kepadaNya. Nabi Isa dan Maryam itu banyak benda mereka tidak tahu, maka mereka bukanlah ilah yang boleh disembah.

 

فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Allah Maha Tahu apa yang terjadi di bumi dan juga di langit. Manusia langsung tidak tahu apa yang terjadi di langit pun. Pengembaraan manusia ke langit itu hanya pada peringkat langit pertama sahaja dan itu pun hanya sikit sahaja yang kita tahu.


 

Ayat 6:

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL

It is He who forms you in the wombs however He wills. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang dikehendakiNya.

Allah sahaja yang boleh memberikan rupa paras dan menentukan bagaimana bentuk manusia, bukan Nabi Isa dan Maryam. Lihatlah bagaimana semua dalil-dalil yang diberikan ada dibandingkan kepada Nabi Isa dan Maryam kerana hendak membezakan Allah dengan Nabi Isa dan Maryam yang bukan Tuhan. Kita kena ingat yang ayat-ayat ini turun untuk Nasara yang datang dari Najran.

Allah sahaja yang menentukan bagaimana rupa kita, tinggi rendah dan sebagainya, semuanya dalam ketentuan Allah. Maka jangan kita teringin nak jadi macam orang lain. Jangan kita marah kalau rupa kita tidak cantik atau sebagainya. Kerana yang menentukannya adalah Allah. Kalau kita tidak suka dengan rupa kita, maknanya kita marah kepada Allah yang telah menjadikannya begitu.

Entah berapa banyak manusia yang telah dilahirkan dari Nabi Adam sampailah nanti ke hari Kiamat. Tidak ada seorang pun yang sama rupa paras dan keadaan mereka. Allah telah beritahu dalam ayat yang lain, cap jari setiap manusia itu pun berbeza juga. Semua ini terjadi kerana Allah itu Maha Berkuasa dan Dia mampu untuk menjadikan manusia itu berlainan semenjak di dalam janin lagi.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Tiada ilah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ulang sekali lagi Dakwa Surah iaitu hanya Dia sahaja ilah.

al-Aziz maksudnya Allah Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Allah berkuasa dan mampu untuk menyeksa dan memberi azab kepada makhlukNya yang engkar. Kalau Allah nak buat, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

al-Hakim maksudnya Bijaksana dalam menangguh untuk beri hukum. Allah boleh nak azab terus makluknya yang engkar, tapi Dia tak buat. Semuanya dalam kebijaksanaan Allah. Kerana dengan Allah tangguh beri azab kepada kita, ada lagi peluang untuk kita bertaubat dan memperbaiki diri kita.

Allah juga Maha Bijaksana dalam menentukan bagaimana rupa kita. Maka, jangan persoal apa yang Allah telah lakukan.


 

Ayat 7: Ayat untuk memperjelaskan tentang kesamaran-kesamaran seperti yang telah disebut dalam pengenalan surah Ali Imran ini. Antara kesamaran yang ada dalam kitab injil, ada disebut Nabi Isa adalah ‘Anak Allah’, ‘Roh Allah’ dan lain-lain lagi. Itu adalah lafaz-lafaz yang samar yang menyebabkan kekeliruan manusia tentang Nabi Isa.

Dalam Qur’an juga ada ayat-ayat yang samar-samar yang boleh menyebabkan orang Islam salah faham.

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ الكِتابَ مِنهُ آياتٌ مُحكَماتٌ هُنَّ أُمُّ الكِتابِ وَأُخَرُ مُتَشابِهاتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشابَهَ مِنهُ ابتِغاءَ الفِتنَةِ وَابتِغاءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرّاسِخونَ فِي العِلمِ يَقولونَ آمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبابِ

SAHIH INTERNATIONAL

It is He who has sent down to you, [O Muhammad], the Book; in it are verses [that are] precise – they are the foundation of the Book – and others unspecific. As for those in whose hearts is deviation [from truth], they will follow that of it which is unspecific, seeking discord and seeking an interpretation [suitable to them]. And no one knows its [true] interpretation except Allah . But those firm in knowledge say, “We believe in it. All [of it] is from our Lord.” And no one will be reminded except those of understanding.

MALAY

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

 

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ الكِتابَ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran.

Allah memulakan dengan mengingatkan kita bahawa Allah lah yang menurunkan Quran itu kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada kita.

 

مِنهُ آياتٌ مُحكَماتٌ

Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”

Majoriti dalam Qur’an itu ada ayat-ayat yang jelas tentang tauhid dan akidah. Tidak ada ruang untuk kekeliruan dalam ayat-ayat Muhkamat. Ianya ayat-ayat yang kita akan mudah faham kalau kita belajar tafsir. Sebab itu kita tekankan kepentingan belajar tafsir Quran supaya manusia boleh faham apakah yang hendak disampaikan.

Dan ayat-ayat Muhkamat itu juga mengandungi hukum untuk dijadikan panduan oleh makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan syariat – manusia dan jin. Maka, ini pun kita kena belajar juga kerana kita kena taat. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita nak taat?

Cuma, ayat Qur’an akan memberikan hukum secara ringkas dan cara praktiknya akan diajar oleh Nabi dalam hadis. Dan maksud hadis itu pula akan dijelaskan oleh ulama. Maknanya, kena belajar dengan ulama juga, tidak boleh faham sendiri kerana kalau baca sendiri, kita tidak faham. Sebagai contoh, dalam Quran Allah suruh kita mendirikan solat tetapi tidak disebut bagaimanakah cara mendirikan solat itu. Maka perincian cara-cara untuk melakukan solat itu diajar oleh Nabi melalui hadis baginda. Dan kita tidak dapat lihat bagaimana cara Nabi solat, maka kita kena belajar dengan ulama dan guru untuk mendapatkan cara yang betul untuk mendirikan solat itu.

 

هُنَّ أُمُّ الكِتابِ

ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran.

‘Umm’ bermaksud ibu atau induk. Ayat-ayat Muhkamat itu disebut sebagai Ummul Kitab kerana ianya adalah ‘asal kitab’ untuk dijadikan neraca untuk membezakan yang benar dan yang tidak. Ianya adalah perdu atau pati kepada Qur’an. Oleh itu, ayat-ayat Muhkamat ini kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Janganlah lagi jadi orang yang jahil, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Quran ini. Janganlah hanya belajar agama tanpa belajar tafsir dahulu.

 

وَأُخَرُ مُتَشابِهاتٌ

Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”

Cuma selain dari ayat-ayat Muhkamat yang jelas itu, kitab Allah juga ada mengandungi ayat-ayat yang kurang jelas yang dinamakan Mutasyaabihaat. Dari segi bahasa, mutasyabih bermaksud yang serupa, macam-macam, tidak tepat kepada satu erti sahaja, tapi boleh jadi macam-macam makna.

Ianya menyentuh perkara yang selain dari hukum. Kerana ayat hukum memang kena jelas, tidak boleh samar-samar kerana kalau samar, susah manusia nak ikut. Ayat-ayat yang samar-samar ini dinamakan ayat-ayat Mutashabihat dan ianya sukar difahami kalau dibaca sepintas lalu sahaja tanpa belajar. Antara yang termasuk dalam jenis ayat-ayat Mutasyabihat ini adalah ayat-ayat yang kita tidak faham maksudnya, seperti ayat pertama surah ini – alif lam mim dan banyak lagi ayat-ayat muqatta’ah yang lain; termasuk juga dalam jenis ayat-ayat mutasyabihat adalah penerangan tentang Allah – Allah mempunyai tangan, Allah bersemayam di Arash, Allah ada mata, dan sebagainya.

Walaupun ianya samar-samar, tetapi ianya masih boleh dijelaskan lagi supaya ada kefahaman setakat yang kita perlu tahu sahaja. Kalau baca sendiri dan sepintas lalu, tentu tidak faham. Takut kalau cuba nak faham sendiri, akan menyebabkan salah faham dan sesat. Maka kenalah belajar tafsir dengan mereka yang mahir untuk memahaminya. Janganlah pula tanya dengan guru-guru yang tidak tahu seperti guru tarekat atau guru yang tidak belajar tafsir pula kerana mereka akan pusing ayat-ayat itu sampai manusia keliru kerana mereka pun keliru juga.

Ada ayat-ayat Qur’an yang tidak perlu dihuraikan pun kerana Nabi sendiri tidak huraikan. Kalau Nabi sendiri tidak huraikan, itu bermaksud kita tidak perlu tahu. Kerana tugas Nabi adalah menyampaikan syariat dan kalau ada ayat-ayat yang Nabi patut jelaskan kerana boleh menyebabkan kekeliruan, tapi baginda tidak jelaskan, itu maknanya Nabi tidak menjalankan tugas baginda dan tentunya Nabi telah jalankan tugas baginda dalam menyampaikan. Ringkasnya, kalau Nabi tidak huraikan, maknanya kita tidak perlu tahu.

Dan kalau nak huraikan ayat-ayat yang samar itu, kena bandingkan dan baca bersama dengan ayat-ayat muhkamat supaya pemahaman itu tidak lari daripada apa yang disampaikan dalam ayat-ayat Muhkamat. Kerana ayat Muhkamat adalah ayat asal dan induk kepada agama.

Memang ada banyak perkara yang kita tidak akan dapat tahu dengan mendalam. Sebagai contoh, tentang roh. Puak Yahudi Madinah pernah suruh Musyrikin Mekah tanya tentang roh kepada Nabi. Mereka pesan kepada Musyrikin Mekah itu, kalau Nabi Muhammad boleh beritahu tentang roh, maknanya baginda bukan seorang Nabi sebab dalam kitab mereka telah diberitahu yang jawapannya adalah ‘tidak tahu’. Dan memang bila ditanya, jawapan yang diberi oleh Nabi (setelah diberitahu oleh Allah) adalah roh itu adalah urusan Tuhan. Memang kita manusia tidak diberikan dengan ilmu menyeluruh tentangnya. Yang kita tahu, Roh itu ada dan ianya adalah urusan Allah. Maka kena beriman sahaja setakat yang kita tahu. Allah sahaja yang tahu secara keseluruhan. Dan Nabi pun tidak huraikan sedangkan kalau ianya perkara yang perlu diketahui, Nabi dah hurai dah.

Tetapi malangnya, dalam masyarakat kita, ada yang apabila membicarakan ayat-ayat mutashabihat, mereka boleh pula nak hurai panjang-panjang sedangkan maklumat dari nas tidak ada. Ini amat menghairankan kerana mereka masih lagi nak hurai benda yang tidak jelas. Sebagai contoh, Imam Razi kata sampai ada seribu pendapat yang berbeza tentang roh. Padahal ianya adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan. Benda yang patut dihuraikan dan dijelaskan tidak pula dihuraikan, tapi sibuk tentang perkara yang tidak perlu.

 

فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ

adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, 

Tetapi ingat, hati yang sudah ada condong kepada syirik dan kesesatan, akan ikut ayat-ayat  mutashabihah yang boleh bawa makna lain dari ayat-ayat Muhkamat. Hati yang telah punah akan bawa kepada pemahaman makna ayat Quran yang punah. Sepatutnya pemahaman ayat-ayat Mutashabihat itu kena difahami mengikut ayat Muhkamat. Tapi mereka yang hati telah punah itu akan takwil ayat-ayat mutashabihah itu ikut kehendak hati mereka. Kerana mereka nak bawa juga fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman tauhid. Ini pun ada banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang belajar dengan mereka yang tidak tahu. Maka punahlah masyarakat kita macam juga penganut Nasara yang takwil ikut suka mereka.

 

فَيَتَّبِعونَ ما تَشابَهَ مِنهُ

maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar darinya

Ramai yang dalam kalangan orang kita yang suka benar nak bincang tentang ayat-ayat mustashabihat ini. Mereka rasa macam hebat sahaja, membincangkan tentang apa maksud ‘nur’, tentang arash Allah, maksud Alif Lam Mim dan lain-lain lagi. Sedangkan banyak ayat-ayat tentang hukum, mereka tak belajar dan amalkan pun lagi. Sebab itu kita boleh lihat mereka yang banyak bincang ayat-ayat mutashabihat ini adalah orang yang tak berapa pandai dalam agama. Tapi mereka rasa mereka pandai kerana boleh cakap banyak. Kerana mereka sangka mereka boleh berbincang tentang perkara yang manusia lain tidak tahu. Itu sangkaan mereka sahaja.

Bukanlah ayat-ayat mutashabihat itu tidak ada makna. Kerana bila Allah letakkan dalam Quran, tentu ada makna. Cuma kita manusia tidak dapat nak memahaminya. Dan kita tidak perlu tahu pun, kerana dalilnya, Nabi sendiri tidak beritahu kita.

 

ابتِغاءَ الفِتنَةِ

untuk mencari fitnah

Perbincangan tentang benda yang memang tidak boleh difahami akan menyebabkan fitnah dalam masyarakat Islam sahaja. Sebab akan ada banyak pendapat yang berbeza dan ada yang rasa pendapat dia yang benar dan menyalahkan pendapat lain. Maka hasilnya pecah belah dalam masyarakat.

Atau dari penerangan tentang ayat-ayat mutashabihat itu boleh menyebabkan salah faham tentang Allah sampaikan boleh membawa kepada syirik.

 

وَابتِغاءَ تَأويلِهِ

dan mencari-cari takwilnya 

Mereka sengaja buang masa hendak cari dan hendak tahu apakah maksud (takwil) ayat-ayat mutasyabihaat itu.

 

وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Sedangkan Allah sahaja yang tahu takwil kepada ayat-ayat itu. Manusia tidak ada kelebihan itu. Awal-awal surah ini lagi telah diletakkan alif lam mim yang kita sendiri tidak tahu apakah maksudnya. Memang kalau kita pecah kepaaa fikir pun, tidak akan dapat tahu.

 

وَالرّاسِخونَ فِي العِلمِ

Dan orang-orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama,

Iaitu mereka yang dalam, luas dan sudah kukuh ilmu mereka. Mereka telah belajar habis tentang agama, luar dan dalam. Mereka telah belajar sampai ke kemuncak ilmu yang boleh dicapai oleh manusia. Merekalah yang banyak menulis kitab-kitab tafsir yang muktabar.

 

يَقولونَ آمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا

mereka berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”

Mereka kata mereka beriman dengan ayat-ayat mutashabihat itu sebagai ayat Allah. Mereka terima dengan seadanya, tanpa perlu tahu dan fikir secara mendalam sangat. Kerana dalam mencari ilmu agama, yang paling penting kita kena pastikan adalah samada ianya wahyu atau tidak. Kalau ianya wahyu, maka kita terima dan beriman dengannya samada kita faham atau tidak. Tidak ada malunya kalau kita terima ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu. Kerana kita manusia. Sedangkan mereka yang amat-amat alim jauh lebih dari kita pun cakap begitu, apatah lagi kita?

Dan ayat-ayat Mutashabihat itu tidak banyak dalam Qur’an, Tak sampai seratus ayatnya. Jadi, tidak mengganggu agama kita kalau kita tidak faham apakah maksud ayat-ayat mutashabihaat itu.

 

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبابِ

Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Tidak ramai yang boleh mengambil pengajaran ini melainkan mereka yang ada akal yang waras. Akal yang waras akan terima yang ianya hanya diketahui oleh Allah. Semua Imam mazhab empat tidak hurai ayat-ayat mutashabihat. Begitu  juga sahabat yang belajar terus dengan Nabi. Sedangkan kalau yang tahu, tentulah mereka. Tabein pun begitu kerana mereka belajar terus dengan para sahabat. Imam-Imam Mujtahid pun tak hurai juga. Tapi kenapa ulama kampung pula yang nak hurai? Kalau dibaca tafsir ayat-ayat mutashabihat, panjang berjela mereka hurai, tapi akhirnya mereka akan kata itu adalah pandangan mereka sahaja dan Allah lebih tahu. Itu adalah buang masa, namanya.

Ulul Albab adalah mereka yang menggunakan akal yang suci dari emosi seperti marah, dengki, cinta dan sebagainya. Kerana emosi-emosi boleh mengganggu akal. Kerana kalau kita sudah cintakan sesuatu, keputusan yang kita buat akan condong kepada sesuatu perkara; kalau marah, contohnya, kita tidak dapat berfikir dengan baik.

Dan dengan akal yang suci itu, golongan ulul albab akan dapat memikirkan dengan mendalam sesuatu perkara itu. Minda mereka tidak bercampur dengan benda-benda yang buang masa, yang lagha. Dan selepas mereka fikir dengan mendalam pun, mereka tidak huraikan ayat-ayat mutashabihat itu. Mereka beriman sahaja dan hati mereka redha dengan iman itu. Hati mereka tenang walaupun tidak tahu.


 

Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu, iaitu doa mereka.

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

SAHIH INTERNATIONAL

[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.

MALAY

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

 

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,

Ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita nak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah.

Mereka yang dalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta jangan palingkan hati kami. Mereka minta ditetapkan hati mereka. Sebab Allah boleh palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Walaupun dah berilmu pun boleh ada masalah juga. Kerana orang berilmu ada penyakit juga. Iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu nak kata mereka ada benda yang mereka tak tahu. Jadi, ada yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.

Allah dah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar juga, kamu nak masuk juga – itulah paling hati. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah jaga hati kita dari masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah tetapkan hati kita.

 

وَهَب لَنا مِن لَدُنكَ رَحمَةً

dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu;

Minta rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah; Keyakinan kepada hukum Allah seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat.

Sebenarnya, semua rahmat dari Allah, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh beri rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu dari Allah sahaja, tidak dari entiti lain.

 

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah, iaitu dengan memujiNya. Jadi, ini adalah doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.


 

Ayat 9: Selain dari doa di atas, mereka juga doa begini.

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

SAHIH INTERNATIONAL

Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”

MALAY

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

 

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.

Kita mengiyakan yang Allah akan menghimpun semua makhlukNya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Hari itu tidak syak lagi akan berlaku.

Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan dari Allah.

Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ianya adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya. Kerana takkan hanya berharap sahaja, tapi kena ada usaha.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Allah tidak akan memungkiri janji. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah telah tentukan.

Kita kena ingat janji Allah untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah juga untuk mengazab mereka yang lalai dan engkar. Kerana janji Allah inilah, kerana kita tahu Allah tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita menjaga akidah kita dan menjaga amal kita supaya jadi baik.

Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s