Tafsir Surah Ali Imran: Pengenalan Surah Ali Imran

Muqaddimah:

Dalam ayat terakhir surah Fatihah, telah disentuh tentang empat golongan yang sesat: Yahudi, Musyrikin, Nasara dan munafik. Kisah Yahudi sudah banyak disebut dalam baqarah. Kisah Nasara pula banyak disebut dalam surah Ali Imran. Sebenarnya, Yahudi yang kawal Nasara dari dahulu sampai sekarang. Yang menyesatkan mereka pun asalnya adalah puak Yahudi. Jadi kisah Yahudi pun ada dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka ada kaitan yang amat rapat.

Kita kena tahu apakah sifat Nasara sebab kita telah minta dijauhkan dari jadi macam mereka. Maka kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh periksa dengan diri kita. Kerana takut kita sendiri atau kenalan dan keluarga kita pula ada sifat macam mereka.

Surah an-Nisa pula akan menerangkan tentang sifat-sifat munafikin. Dan akhirnya, surah al-Maidah akan menyebut tentang ketiga-tiga golongan itu. Dijelaskan lagi dalam surah al-Maidah Supaya ketiga-tiga golongan itu semakin jelas kepada kita.

Kemudian surah al-An’am pula menceritakan tentang musyrikin. Ini adalah kerana Surah itu turun di Mekah, maka ia menceritakan tentang sifat-sifat Musyrikin Mekah.

Begitulah Surah-surah awal ini diberikan kepada kita untuk menjelaskan golongan-golongan itu. Semua golongan itu sesat tapi ada kelainan antara mereka. Iaitu sesat mereka berbeza-beza.

Seperti yang kita telah belajar, surah al-Baqarah ada menyentuh tentang tauhid, risalah, jihad dan infak. Surah Ali Imran ini akan ulang semula empat perkara ini dengan cara lain sikit. Iaitu akan ditambah penjelasan tentang kesamaran-kesamaran yang ada dalam hati manusia. Itulah rumusan kepada surah-surah yang awal yang akan kita belajar nanti. Kerana apabila surah Baqarah memberitahu tentang hukum-hukum, ada perkara yang menyebabkan manusia keliru kerana ada kesamaran. Maka kesamaran itu dijelaskan dalam surah ini.

Surah Baqarah banyak menyentuh tentang taqwa dan perkara yang berkaitan dengan iman. Sedangkan surah Ali Imran ini nanti, kita akan lihat banyak memperkatakan tentang Rukun Islam pula.

Surah Ali Imran ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1-92 adalah bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang Tauhid dan risalah.

Ayat 93-200 adalah bahagian kedua dan ia mengandungi Dalil-dalil tauhid serta jihad dan infak.

Surah Baqarah ada kisah lembu di dalamnya. Antaranya, Allah melarang manusia dari puja lembu dan sebaliknya Allah suruh puja Dia sahaja. Puak Yahudi pula selain dari puja Allah, mereka juga ada memuja lembu. Mereka lakukan begitu kerana mereka lihat ada kepelikan pada lembu. Jadi, walaupun bangsa Yahudi itu cerdik-cerdik belaka, ada juga kebodohan mereka dan akidah mereka punah.

Kalau Yahudi puja Baqarah (lembu), maka Nasara pula puja Ali Imran. Ali Imran adalah Keluarga kenabian. Mereka puja ahli keluarga Imran seperti Maryam dan Nabi Isa kerana mereka keliru. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Nasara puja Ali Imran Kerana mereka ada karamah dan mukjizat. Selain dari mereka berdua yang dipuja, Nasara juga puja Ruhul Qudus, iaitu Jibrail.

Nasara yang asal tidak begitu. Apabila setelah sekian lama barulah menjadi sesat. Macam Islam, asalnya betul tapi lama kelamaan ada ajaran sesat. Ini adalah kerana ramai yang jahil kerana tidak belajar maka senang ditipu. Macam juga penganut Nasara yang tidak belajar agama mereka. Maka kena jelaskan kepada orang Islam yang sesat dan Nasara kerana mereka itu sesat kerana jahil sahaja. Kerana jahil, maka ada yang reka dan tambah benda baharu dalam agama. Ini terjadi kepada Nasara dan kepada orang Islam juga. Kalau mereka mahu kepada kebenaran, mereka akan terima.

Jadi lambang pujaan Yahudi dalam surah Baqarah adalah Baqarah dan pujaan Nasara adalah Ali Imran. Jadi kekeliruan dan kesesatan mereka diperbetulkan dalam surah Ali Imran ini dan memang sudah ramai Kristian yang telah masuk Islam setelah mereka faham surah Ali Imran ini. Tambah dengan surah Maryam.

Ada masalah yang timbul dalam masyarakat kita dimana ramai yang telah masuk agama Kristian kerana mereka jahil dan senang ditipu. Kalau mereka tahu apakah yang benar dengan belajar tafsir surah Ali Imran ini, mereka tidak akan masuk Kristian.

Sebelum surah ini turun, ada wakil dari Najran yang datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad. Kejadian itu berlaku pada tahun 9 Hijrah iaitu setelah Makkah ditakluki dan negara Islam telah terbentuk di Madinah. Najran adalah daerah penganut Kristian. Mereka dengar tentang Nabi Muhammad dan Islam dan mereka marah apabila dikatakan yang penganut kristian sesat. Ada dalam 60 orang datang nak jumpa Nabi dimana 14 darinya adalah pemuka agama mereka. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan mereka ditempatkan di Masjid Nabawi. Umat Islam melayan mereka dengan baik. Walaupun mereka kafir, dan nak debat pasal Islam pun, tapi dilayani dengan baik.

Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa itu hanya manusia sahaja dan tidak boleh dipuja. Macam orang kita juga, kalau dikatakan yang tok wali tidak boleh dipuja dan tidak boleh bertawasul dengan mereka, ramai lah yang melompat marah.

Apabila mereka hendak berhujah dengan Nabi, Nabi kata tunggu sahaja. Maka Allah turunkan surah ini. Dan akhir surah ini nanti ada ajakan mubahalah dengan mereka. Itu adalah sumpah laknat antara kita dan mereka buat Allah tunjuk siapa yang benar. Kalau dah beritahu juga ayat-ayat dari surah Ali Imran ini, masih degil juga. Mubahalah ini adalah syariat antara Islam dan musyrik sahaja. Maka jangan pula ada orang Islam nak mubahalah dengan orang Islam lain. Pernah Syiah ajak mubahalah tapi akhirnya tidak mari. Mubahalah ini adalah senjata terakhir. Kepada yang degil sangat. Hafiz ibn Hajar pernah mubahalah dengan ajaran tarekat sesat di Mesir. Ibn Hajar dah kata ajaran itu sesat kufur. Memang terjadi. Pengamal tarekat itu mati dalam masa tidak sampai tiga hari.

Dalam Akhir Surah Baqarah, kita minta bantuan Allah ke atas orang kafir. Sifat orang kafir itu akan diterangkan dalam surah ini.  Surah Ali Imran sambung ayat dari Baqarah. Ini dinamakan ‘Robtul Suwar’ (sambungan/kaitan antara surah).

Apakah kesamaran dalam Surah Baqarah yang akan dijawab dalam Ali Imran?

1. Allah menggunakan gelaran kepada Nabi Isa yang boleh menyebabkan kesamaran dan kekeliruan kepada manusia terutama penganut Nasara. Terutama yang tidak belajar kitab mereka dengan benar. Sebab Kalam Allah tidak akan menyesatkan manusia. Cuma yang tidak belajar sahaja. Macam yang berlalu kepada umat Islam sekarang pun. Mereka baca ayat Quran dan mereka dapat faham yang salah sebab tak belajar sahaja. Ini banyak terjadi. Samada baca sendiri atau belajar dengan orang yang salah faham juga.

Antara yang disebut dalam Kitab-kitab sebelum Qur’an, Allah sebut Nabi Isa itu adalah Anak Allah dan Roh Allah. Maka keliru habis penganut Nasara yang tidak belajar.

Dijawab dalam Ayat 7.

2. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa. Hebat sangat. Sampai boleh hidupkan orang mati, sembuhkan orang buta asli, pekak asli. Semua itu penyembuhan luar biasa. Mereka pula umat yang suka kepada bidang kedoktoran. Boleh buat burung dan hidup. Dari segi ilmu, boleh tahu apa yang disimpan dalam rumah. Bila Nabi Isa boleh buat benda benda ajaib dan hebat begitu, mereka pandang baginda lain macam. Kerana mukjizat itu semua adalah sifat Tuhan sahaja. Padahal itu adalah mukjizat Nabi Isa. Ini kekeliruan tentang mukjizat. Allah nak tunjukkan yang baginda itu adalah benar seorang Nabi. Dan bukan boleh buat sentiasa. Waktu itu sahaja.

Dijawab dalam Ayat 49 hingga ayat 51.

3. Ada kitab tulisan ulama mereka yang kata Nabi Isa itu anak tuhan dan ada kuasa. Penganut Nasara pandang tinggi kitab ulama mereka itu. Mereka percaya habis. Macam masyarakat kita jugalah, kalau ada dalam kitab, mereka anggap macam dah benar belaka. Sikit-sikit mereka hujah dengan kata ada dalam kitab sekian -sekian.

Allah nak beritahu dalam surah Ali Imran ini, yang kalau ada kitab yang ajar akidah yang salah, itu bukan kitab ulama, tapi kitab syaitan. Tidak kira siapa tulis pun.

Dijawab dalam Ayat 79.

4. Kekeliruan tentang Maryam. Dia bukan Nabi tapi wali. Dia dapat rezeki kerana ketaqwaan. Kerana Maryam hanya duduk di loteng buat ibadat sahaja. Tidak ada orang lain yang boleh naik jumpa dia. Dan yang menjaga beliau adalah Nabi Zakariya sahaja. Nabi Zakariya sahaja yang beri dia makan, dan apabila baginda nampak ada makanan lain yang ada pada Maryam, baginda terkejut. Makanan pula makanan yang segar dan buah buahan yang di luar musim. Bila ditanya, Maryam jawap yang itu adalah rezeki dari Allah kerana taqwa dia. Sebab dia jaga mata dan mulut dia dari maksiat maka Allah makbulkan doa beliau dan Allah hantar rezeki. Perkara ini luar biasa dan kerana itu penganut Nasara puja Maryam. Mereka lihat beliau bukan manusia biasa.

Dijawab dalam Ayat ke 37.

5. Kekeliruan tentang Nabi Zakariya. Nabi Zakariya pun dalam kalangan keluarga Ali Imran juga. Kerana ada dari kalangan mereka yang puja baginda. Kerana baginda dapat anak dalam usia sangat tua dan isteri yang tidak pernah dapat anak. Maka mereka ada puja dan ada yang minta berkat. Macam orang kita juga, ada yang tidak dapat anak maka ada guru sesat ajar minta berkat dari Nabi Zakariya.

Allah ajar bahawa perkara pelik yang terjadi kepada baginda adalah dari Allah. Nabi Zakariya pun terkejut apabila baginda diberikan dengan anak. Maknanya, bukan kuasa baginda lah. Kalau kuasa baginda, takkan baginda terkejut. Padahal Nabi Zakariya telah berdoa kepada Allah setelah melihat bagaimana Maryam boleh dapat rezeki dari Allah sedangkan Maryam bukan Nabi pun.

Dijawab dalam ayat 38.

Kelima-lima syubhat di atas adalah tentang tauhid dan Allah telah jawab. Kesamaran/syubhat tentang risalah pula ada tiga.

1. Tentang Kiblat. Mereka kata kalau Nabi Muhammad itu benar, kenapa tidak ikut nabi-nabi lain? Manusia waktu itu sudah bahawa Mekah itu adalah satu kiblat pada suatu waktu dahulu. Dari Nabi adam sampai Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kiblat  adalah Kaabah. Cuma bermula Nabi Ishak dan Nabi Nabi selepasnya sahaja yang tukar ke BaitulMaqdis.

Cuma sementara waktu sahaja Nabi Muhammad berkiblat kan ke BaitulMaqdis dan selepas itu telah tukar semula ke Kaabah. Iaitu kembali kepada kiblat asal. Kalau mereka kaji, memang tidak salah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kerana memang kaabah adalah kiblat juga. Dan kalau mereka mengkaji agama mereka sendiri, dalam kitab mereka juga ada diberitahu yang Nabi akhir zaman akan berkiblat kan Kaabah. Jadi kenapa mereka menolaknya?

Kekeliruan ini dijawab oleh Allah dalam ayat 97.

2. Kalah dalam perang Uhud. Macam mana seorang Nabi boleh kalah? Adakah kerana Allah tak tolong Nabi? Allah jawap dalam ayat 121-152. Panjang Allah jawap kerana kalah itu ada maksud tersendiri. Allah nak beritahu bahawa bukan Dia tidak tolong Nabi Dia. Perang Badr Allah dah tolong dah. Dan awal Perang Uhud itu pun Allah telah tolong dan memang pihak Muslim sudah menang dah pun. Tapi apabila adalah arahan Nabi yang tidak ditaati oleh segelintir dari kaum muslimin yang berperang waktu itu, maka Allah hentikan pertolongan itu. Akhirnya baru Allah tolong semula. Allah nak ajar, selain dari tauhid kepada Allah, kena taat kepada rasul. Kena ikut sunnah. Kerana kena berpegang kepada tauhid dan juga kena ikut sunnah. Ada manusia yang tauhid tapi tidak ikut sunnah. Itu tidak sempurna. Maknanya kita kena ikut hukum.

3. Tentang makan unta. Dalam syariat Bani Israil, mereka pegang unta tidak boleh dimakan. Tapi Nabi Muhammad kata ianya halal. Mereka kata halal dan haram ini adalah keputusan Allah, bukan dari manusia. Maka Allah jelaskan bahawa unta itu sebenarnya halal. Nabi Yaakob tidak makan unta kerana dinasihati oleh tabib yang unta tidak sesuai untuk baginda kerana masalah kesihatan baginda. Kerana itu baginda tidak makan. Bukannya unta itu haram kepada semua orang. Anak cucu dia yang silap faham sampai mengharamkan kepada umat Bani Israil keseluruhannya. Kerana mereka buat begitu, pandai pandai pantangkan sendiri, maka Allah haramkan terus kepada mereka. Sebagai hukuman kepada mereka untuk menyusahkan mereka. Kepada umat Nabi Muhammad, balik kepada hukuman asal. Dijelaskan dalam ayat 93.

Allahu a’lam. Sambung kepada tafsir ayat. 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s