Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 – 286 (Doa yang hebat)

Ayat 283:

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهانٌ مَقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمانَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهادَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you are on a journey and cannot find a scribe, then a security deposit [should be] taken. And if one of you entrusts another, then let him who is entrusted discharge his trust [faithfully] and let him fear Allah , his Lord. And do not conceal testimony, for whoever conceals it – his heart is indeed sinful, and Allah is Knowing of what you do.

MALAY

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang  kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh, juga berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dalam situasi begini.

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهانٌ مَقبوضَةٌ ۖ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang 

Kalau dalam musafir ada payah sikit sebab susah nak cari penulis dan saksi. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis juga surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Tapi kalau susah nak cari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Barang itu adalah barang yang ada harga, selalunya ia lebih berharga dari jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal dari yang diberi. Apabila orang pegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia. Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang adalah beri barang gadaian. Dan tidak dinyatakan di tempat lain kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan dari harta itu. Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu. Tapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

 

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Kemudian kalau satu pihak memberi amanah kepada pihak yang satu lagi   

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian.

 

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمانَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanah yang diamanahkan kepadanya,  

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang sudah beri kepercayaan dengan beri hutang tanpa ambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu. Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan. Kalau kata nak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. 

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah. Takut kepada Allah, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, Allah akan murka kepada kita.

 

وَلا تَكتُمُوا الشَّهادَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula.

 

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. 

Kalau sembunyikan persaksian, berdosa hati dia.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah lihat dan Allah akan balas perbuatan kita itu.


 

Ayat 284:

لِلَّهِ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

لِلَّهِ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah sahaja, tidak ada entiti lain.

Allah memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak dengan kita.

 

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota,

 

 أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu,

Allah nak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah tahu. Dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun nak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah perhatikan sahaja.

 

 يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah tahu. Dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah masih akan hisab amalan kita.

Bila diturunkan ayat ini, para sahabat amat risau kerana mereka kata kalau lidah dan anggota mereka, bolehlah mereka jaga lagi, tetapi kalau hati, mereka susah nak jaga. Kerana lintasan hati yang buruk banyak sangat, sampai tak boleh nak kawal. Jadi mereka tanya kepada Nabi, macam mana nak amal ayat ini? Sebab akan ada sahaja lintasan-lintasan hati kita yang tidak baik. Nabi menjawab bahawa yang Allah akan azab bukanlah lintasan di dalam hati tetapi apa yang telah ada ‘azam’ di dalam hati. Kalau memang telah ada kesungguhan di dalam hati untuk melakukan sesuatu, barulah diambil kira. Kalau setakat lintasan hati sahaja, tidak dikira lagi. Alhamdulillah kalau begitu, kalau tidak, susah kita.

 

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Allah mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah.

Lafaz غفرُ dari segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah sahaja.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya

Kalau Allah nak seksa kita, kita tidak boleh buat apa dah.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah berkuasa atas segala sesuatu. Kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hambaNya. Kita kena terima sahaja.

Baqarah 267-284


 

Ayat 285: Dalam hadis ada disebut bahawa dua ayat terakhir surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi semasa Nabi Muhammad mi’raj bertemu dengan Allah. Maka ianya adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah.

Ayat ini dalah Ayat Tabshir. Ianya tentang golongan yang Alah beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman macam mana? Macam dalam ayat ini.

آمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِن رُسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL

The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

 

آمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, 

Nabi Muhammad sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Nabi kena percaya dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain. Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tapi bayangkan keadaan Nabi waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat waktu itu sampaikan ramai yang kata baginda gila. Dia pun terkejut pada mulanya. Ingat kembali bagaimana terkejutnya baginda apabila pertama kali menerima wahyu, sampai baginda kena diselimuti apabila balik ke rumah dan baginda telah ditenangkan oleh Khadijah.

Kerana Nabi Muhammad percaya kepada kerasulannya lah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Kalau tidak yakin, tentu baginda tidak sanggup.

 

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga mukmin yang sempurna iman, beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal’, iaitu terima belaka wahyu yang disampaikan.

Allah sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad bertemu dengan Allah.

 

كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.

Sebelum ini disebut iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu perkara yang perlu diimani. Dari susunan ayat ini, kita boleh susun – Allah beri wahyu, sampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Disebut dalam ayat ini perkara-perkara yang penting untuk diimani. Kita telah percaya kepada Allah. Bagaimana percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanya hamba Allah, bukan wakil Allah. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Kita percaya bahawa semua kitab itu dari Allah. Tetapi yang kena ikut adalah Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Surah ini mula dengan iman dan tutup dengan iman juga.

 

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِن رُسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Maksud ayat ini adalah semua rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi itu adalah utusan Allah juga. Tapi kepada Nabi Muhammad, kita ikut syariat baginda. Oleh itu, kita dengan hadis kena ada hubungan. Kena belajar hadis-hadis Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi macam Yahudi yang tolak Nabi Isa. Dan jadi macam Nasara yang tidak terima Nabi Muhammad sebagai Nabi.

 

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tapi tak taat, tak ikut, pun tidak berguna langsung. Berapa ramai dari kalangan orang kita tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tapi mereka tidak lakukan? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tapi mereka tidak taat. Jadi kalau kita tidak taat setelah dengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu.

Ini juga mengajar kita yang kita kena dengar wahyu Allah – kena belajar. Orang kita selalu kata mereka taat, tapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ini. Maka hendaklah belajar tafsir Quran, belajar syarah hadis-hadis kerana hadis juga adalah wahyu dari Allah juga.

 

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunanMu wahai Tuhan kami,

Kita minta ampun kepada Allah kerana kita banyak dosa. Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat. Tapi kenapa mereka minta ampun lagi? Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dari perbuatan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tak kisah tentang perkara ini.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah.


 

Ayat 286: Ini adalah huraian bahawa Allah tak azab kerana lintasan hati yang buruk. Tapi akidah dan sifat mazmumah tidak boleh ada walau dalam hati pun. Kerana lintasan hati bukan perkara mukallaf – yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولانا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكافِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah does not charge a soul except [with that within] its capacity. It will have [the consequence of] what [good] it has gained, and it will bear [the consequence of] what [evil] it has earned. “Our Lord, do not impose blame upon us if we have forgotten or erred. Our Lord, and lay not upon us a burden like that which You laid upon those before us. Our Lord, and burden us not with that which we have no ability to bear. And pardon us; and forgive us; and have mercy upon us. You are our protector, so give us victory over the disbelieving people.”

MALAY

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kita tidak dibebankan dengan apa yang kita tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu. Oleh itu, kita kena tengok kemampuan diri kita. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Kita kena lakukan sebaik mungkin untuk berkhidmat dalam dunia ini. Kemampuan itu kena ikut zaman dan suasana.

Ayat ini juga bermakna yang syariat yang Allah berikan kepada kita adalah yang boleh ditanggung manusia. Tidaklah Allah beri syariat yang kita tidak mampu tanggung. Allah maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah beri kepada kita syariat agama yang praktikal. Tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, kalau kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syariat, ianya akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk solat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan macam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu.

Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah dalam Quran ini dan hadis dari Nabi. Kita boleh bawa Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ianya berat sangat kerana ianya adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah sendiri yang cakap kita boleh.

Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman. Kalau tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat.

 

لَها ما كَسَبَت

Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, 

Kita akan dapat pahala dari segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Dari segi bahasa yang digunakan, كَسَبَت ia menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah mudahkan untuk kita buat pahala.

 

وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. 

Dan kita akan tanggung dosa dari amalan keburukan yang kita lakukan. Dari penggunaan bahasa, perkataan اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat. Mungkin ada yang rasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ianya bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan gundah gulana dan berdebar?

Satu lagi, ianya bermaksud susah, kerana kalau kita buat dosa, Allah akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang kena kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.

 

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَسينا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa

Dalam ayat ini, Allah ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufik, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama kena mula dengan doa.

Untuk buat segala amal agama dan taat dalam agama, kena ada usaha. Dah banyak hukum kita belajar dalam surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula rasa berat. Maka Allah ajar tentang doa di hujung surah untuk beri kunci untuk mengamalkan hukum yang telah diberikanNya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.

Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadis, Nabi terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud dari lafaz terjemah ayat itu: terlupa. Kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, solat empat rakaat tetapi terbuat tiga rakaat sahaja.

 

أَو أَخطَأنا

atau kami tersalah. 

Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah, tapi kerana tersalah sahaja.

Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana tidak tahu. Kerana kita kenalah belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kerana tidak belajar pula.

 

رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا

Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami.

Maksud ayat ini, kita minta supaya agama tidak disusahkan untuk kita. Dari sejarah kita dapat tahu yang syariat yang diberikan kepada bangsa Bani Israil itu adalah amat berat dan beban sekali. Kita doa kepada Allah supaya jangan jadikan kita macam mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.

Syariat kepada Bani Israil itu amat berat. Antara: mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu – hari kita adalah Hari Jumaat, tapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja, Allah suruh berhenti kerja waktu solat sahaja; kita telah belajar bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah sapi adalah hukuman bunuh, kita tidaklah sampai begitu; mereka telah diharamkan dari makan banyak jenis makanan; dan macam-macam lagi syariat yang berat-berat dikenakan kepada mereka. Allah telah kabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah telah sebut yang Allah tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja.

 

 رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. 

Sebelum ini tentang bebanan dalam syariat agama. Kali ini kita berdoa kepada Allah supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tak mampu nak tanggung. Dalam hal takwini seperti sakit, hutang, anak yang degil dan macam-macam lagi.

 

وَاعفُ عَنّا

Dan maafkanlah kesalahan kami,

Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah untuk ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syariat agama yang kami tidak dapat penuhi.

 

وَاغفِر لَنا

serta ampunkanlah dosa kami,

Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tak mampu buat dan larangan kami tak mampu tinggal. Tutuplah kesalahan kami itu. Supaya orang lain tak nampak.

 

وَارحَمنا

dan berilah rahmat kepada kami.

Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufik untuk menjalankan segala suruhan Kamu dan meninggalkan segala larangan Kamu, ya Allah.

Kasihanilah kami, ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tak mampu tanggung. Jadi ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa mari semula dalam potongan ayat ini.

 

أَنتَ مَولانا

Engkaulah Penolong kami;

Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawlana. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong. Tapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita.

 

فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكافِرينَ

tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Bantulah kami menegakkan agama Engkau, ya Allah. Kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita kena lawan perang dengan orang kafir. Maka kita memerlukan nasrun dari Allah. Nasrun adalah pertolongan yang besar. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat berharap kepada bantuan dari Allah sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut.

Baqarah 285-286

Allahu a’lam. Habislah sudah tafsir Surah Baqarah ini, alhamdulillah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.

 


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s