Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang)

Ayat 282: Ini adalah ayat terpanjang dalam Qur’an. Lihatlah bagaimana Allah berikan penerangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Sebelum ini telah banyak disebut ayat tentang Infak iaitu ayat anjuran dari Allah. Kemudian diterangkan pula ayat tentang Riba, iaitu larangan dari Allah. Pertengahan antara infak dan riba, suruhan dan larangan adalah perniagaan, pinjam meminjam sesama manusia. Itu adalah perkara yang halal.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكتُبوهُ ۚ وَليَكتُب بَينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا ۚ فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ ۚ وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِجالِكُم ۖ فَإِن لَم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ أَن تَضِلَّ إِحداهُما فَتُذَكِّرَ إِحداهُمَا الأُخرىٰ ۚ وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا ۚ وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهادَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا ۖ إِلّا أَن تَكونَ تِجارَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها ۗ وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم ۚ وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ ۚ وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, when you contract a debt for a specified term, write it down. And let a scribe write [it] between you in justice. Let no scribe refuse to write as Allah has taught him. So let him write and let the one who has the obligation dictate. And let him fear Allah , his Lord, and not leave anything out of it. But if the one who has the obligation is of limited understanding or weak or unable to dictate himself, then let his guardian dictate in justice. And bring to witness two witnesses from among your men. And if there are not two men [available], then a man and two women from those whom you accept as witnesses – so that if one of the women errs, then the other can remind her. And let not the witnesses refuse when they are called upon. And do not be [too] weary to write it, whether it is small or large, for its [specified] term. That is more just in the sight of Allah and stronger as evidence and more likely to prevent doubt between you, except when it is an immediate transaction which you conduct among yourselves. For [then] there is no blame upon you if you do not write it. And take witnesses when you conclude a contract. Let no scribe be harmed or any witness. For if you do so, indeed, it is [grave] disobedience in you. And fear Allah . And Allah teaches you. And Allah is Knowing of all things.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Orang yang beriman, kena pandang penting perkara ini.

 

 إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكتُبوهُ

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

Ini adalah ayat Umur Munazimah tentang hutang. Ianya mengajar kita untuk menulis maklumat hutang sesama kita. Walaupun ianya sunat, tapi kalau tak tulis, boleh jadi pecah belah dalam masyarakat dan itu yang hendak dielakkan oleh agama. Sebab takut lupa dan jadi perbalahan apabila masa telah berlalu. Atau yang berhutang telah mati sebelum sempat hutang dibayar dan waris patut kena bayar, tapi kalau tidak ada maklumat, tentu waris pun berat hati nak bayar.

Bab hutang bukanlah perkara kecil yang boleh diremehkan. Kalau seseorang mati syahid tapi ada hutang yang tidak dilangsaikan, dia tak dapat masuk syurga terus, kena tunggu orang yang dia hutang itu di Mahsyar supaya dapat diselesaikan di situ; Nabi sampai tidak solatkan jenazah orang yang mati tapi ada hutang sehingga diselesaikan sebab orang itu ada masalah dengan Tuhan. Oleh itu, tolonglah tulis.

 

وَليَكتُب بَينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ

dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil

Kalau kamu tak boleh tulis, biar ditulis oleh penulis yang adil. Iaitu orang yang boleh dipercayai. Diletakkan keperluan ini kerana zaman dulu ramai tak boleh baca dan tulis, jadi kena pergi minta tolong kepada orang lain.

Zaman sekarang, walaupun semua orang boleh dikatakan pandai menulis, tapi perjanjian seperti ini kita pakai peguam. Jadi, sama sahaja, masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang itu.

 

وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ

dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Jangan penulis yang boleh menulis itu enggan untuk menulis. Jangan dia rasa buang masa dia sahaja nak kena tulis. Bila diminta untuk jadi penulis, hendaklah dia dengan rela hati, memenuhi hajat orang.

Sebagaimana Allah telah ajar mereka boleh menulis, maka gunakanlah kebolehan menulis itu. Allah dah beri satu nikmat boleh menulis kepada mereka, kenalah gunakan untuk kebaikan. Ini mengajar kita, kalau kita ada kelebihan yang Allah telah berikan, maka kita kena gunakan untuk kebaikan umum. Bukan dalam hal menulis sahaja. Mungkin ada yang pandai mengajar, bertukang, mengubat dan sebagainya, mereka kena jalankan apa yang mereka boleh buat. Ada sebab kenapa Allah beri kelebihan dan kepandaian kepada kamu itu, maka gunakanlah untuk kebaikan.

Lagi satu maksud yang kita boleh ambil dari potongan ayat ini, hendaklah penulis itu menulis menurut hukum Allah. Bukan pakai tulis  sahaja. Sebagai contoh, tidak boleh ada riba dalam peminjaman itu. Atau kalau ada unsur-unsur gharar atau zalim dalam perjanjian itu, kenalah penulis itu  tegur. Maka, yang menulis itu pun kenalah orang yang tahu agama juga.

 

فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ

Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu membacakan/menyebut

Imla’ – baca supaya boleh ditulis. Yang kena tulis adalah orang yang berhutang, bukan yang beri hutang. Supaya dia tahu tanggungjawab dia. Kalau dia tulis atau dia yang sebut kepada penulis, dia tahu tanggungjawab dia. Tak boleh nak kata lain selepas itu. Yang beri pinjam pula kena ada supaya dia dengar apa yang dibacakan adalah betul.

Kena tulis sekali bila boleh bayar. Baru mudah nak kira dan agak bila boleh dapat duit itu balik. Kalau tidak ditetapkan tarikh, nanti penerima hutang boleh ambil kesempatan pula. Sedangkan mungkin yang beri hutang itu boleh beri pakai sekejap sahaja kerana dia pun nak pakai duit juga nanti.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا

Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Takutlah kepada Allah. Ini adalah peringatan kepada yang berhutang termasuk penulis itu. Kerana penulis itu kena tulis dengan tepat, jangan tulis lebih atau kurang pula. Jangan tulis kurang atau lebih walau sedikit pun. Kerana kalau tulis sedikit, ianya adalah naya kepada pemberi hutang dan kalau tulis lebih, naya kepada penerima hutang pula.

 

فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ

jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak menyebut, maka hendaklah disebut oleh walinya dengan adil benar);

Kalau ada antara tiga sebab di atas, kenalah ditulis oleh walinya, atau walinya yang membacakan kepada penulis. Sebagai contoh, mungkin penerima hutang itu adalah seorang anak yatim, maka penjaganyalah yang kena mengambil tanggungjawab.

‘Safih’ adalah orang yang tidak pandai mengurus hartanya sendiri, mungkin kerana akalnya kurang. Dalam hal orang seperti ini, mahkamah boleh memegang hartanya dan hanya beri belanja perlu sahaja. Ini adalah untuk menjaga maslahah dia juga, kerana kalau dibiarkan, akan ada yang ambil kesempatan. Atau dia sendiri akan belanja sampai habis hartanya sendiri.

Dha’if pula adalah anak kecil yang belum  mumayyiz atau orang tua yang telah lemah ingatannya.

Yang tidak mampu adalah seperti mereka yang bisu, gagap dan sebagainya.

 

وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِجالِكُم

dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua saksi lelaki. Kerana kalau kes itu kena bawa ke hadapan qadi, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Mereka kenalah ada semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri.

Walaupun tidak saksi disebut kena adil,  tapi kerana telah disebut penulis dan wali kena adil, maka saksi pun begitulah juga sepatutnya.

Dari segi Fiqh, kalau saksi diambil dari kalangan bukan Islam pun boleh juga, asalkan boleh dipercayai.

 

فَإِن لَم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

Kalau cari punya cari, tak dapat dua saksi lelaki, maka bolehlah pakai seorang lelaki dan dua perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga. Dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak.

Ini adalah salah satu dari ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita. Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah. Kita kena ingat yang ini adalah hukum dari Allah, jadi kena taat. Kalau Allah dah kata kena pakai dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja lah.

Kalau kita cuba nak jelaskan, ianya diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang.

Ayat ini tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan dari lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.

Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Kena tengok keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir dari lelaki pun, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Allahu a’lam.

 

أَن تَضِلَّ إِحداهُما فَتُذَكِّرَ إِحداهُمَا الأُخرىٰ

supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Kalau seorang saksi lupa, seorang boleh ingatkan. Kerana manusia itu sifatnya pelupa.

 

وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Janganlah orang-orang enggan jadi saksi apabila dipanggil. Janganlah rasa menyusahkan mereka pula kalau kena jadi saksi. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Tolonglah, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.

 

وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Jangan penulis jemu nak menulis. Kadang-kadang mungkin dah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin dah malas nak tulis dah. Maka, Allah beri peringatan dalam ayat ini.

Samada tulis itu untuk jumlah yang sikit atau banyak. Kerana mungkin sikit pada kita, tapi banyak pada orang lain. Atau nampak sikit sahaja sekarang, tetapi di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar.

 

ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهادَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Ini semua cara paling adil di sisi Allah untuk menjaga hubungan sesama manusia. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis.

Lebih tepat penyaksian apabila dibawa saksi.  Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar. Dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagi lah mudah untuk diadili.

Lebih dekat untuk tidak ada keraguan di kalangan kamu. Supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang. Dan tidak ada perbalahan. Kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Kerana bab duit ini, orang sanggup bertumbuh malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana nak dakwah kepada orang lain kalau diri kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?

 

 إِلّا أَن تَكونَ تِجارَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Melainkan pembelian tunai. Seorang beri duit dan seorang beri barang. Tak payah tulis kalau begitu kerana perkara telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang, tak payahlah nak minta resit setiap kali selepas beri barang. Takkan beli air secawan nak kena beri resit pula.

 

وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Kena ada saksi kalau pembelian jangka panjang. Ini adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Sebab penjual dah dapat duit dia dah, tapi kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak.

Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh pakai yang itu.

 

وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Jangan bahayakan penulis, kena beri upah kepada mereka.

Jangan bahayakan saksi, kena beri upah kepada mereka.

Kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.

 

 وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Kalau tak buat apa yang diarahkan oleh Allah, dikira langgar arahan Allah.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita. Kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah.

 

وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;

Allah ajar kita cara-cara Umur Munazimah supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak.

 

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah sudah pesan bahawa Dia maha tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s