Tafsir Surah Baqarah Ayat 275 – 281 (Riba)

Ayat 275: Dalam Allah banyak sebut tentang infak iaitu suruhan himpun harta kita di akhirat, dalam ayat ini Allah sebut pula tentang mereka yang himpun harta di dunia dengan cara haram. Sudahlah himpun harta itu dengan tidak infak, sudah tidak molek, tapi masih boleh lagi, tapi mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka himpun dengan cara haram.

الَّذينَ يَأكُلونَ الرِّبا لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطانُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ الرِّبا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ الرِّبا ۚ فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِن رَبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who consume interest cannot stand [on the Day of Resurrection] except as one stands who is being beaten by Satan into insanity. That is because they say, “Trade is [just] like interest.” But Allah has permitted trade and has forbidden interest. So whoever has received an admonition from his Lord and desists may have what is past, and his affair rests with Allah . But whoever returns to [dealing in interest or usury] – those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَأكُلونَ الرِّبا

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba

‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba. Kerana yang memberi hutang berlandaskan riba itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Mereka sudah tidak kira kesusahan orang lain. Mereka ambil keuntungan atas kelemahan manusia dengan cara yang langgar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih dari modal yang diberi. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.

Zaman Jahiliah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi. Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan turun temurun, kena dibayar oleh anak beranak yang meminjam kalau mereka mati dahulu tak sempat bayar semua hutang.

 

لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطانُ مِنَ المَسِّ

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.

Keadaan mereka itu macam orang kena rasuk hantu. Memang tak macam manusia biasa. Rambut kusut masai, jalan hoyong hayang. Dah tak dapat nak nasihat dekat mereka dah sebab mereka tak dengar. Mereka ke sana dan ke sini sebab nak kutip duit mereka dari orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab nak kutip hutang dari orang yang berhutang. Mereka sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja.

Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Memang ianya berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Tapi ianya adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini.

Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam kena rasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa closing time tu, dah macam orang gila atau monyet dah.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ الرِّبا

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka kata riba itu halal sama macam perniagaan biasa. Adalah alasan mereka. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja. Kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga. Dan macam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba mereka itu. Teruk sekali fahaman dia.

Padahal, tidak sama hutang riba dan perniagaan. Perniagaan adalah dimana seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka dua-dua pihak akan dapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung.

Zaman sekarang, macam tak boleh dah untuk mengelak dari terlibat dengan riba. Di mana-mana sahaja ada riba. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tapi dah mula kena bayar bunga riba.

 

وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ الرِّبا

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Padahal Allah telah mengharamkan riba. Ianya menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin.

Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga 20 ribu, mungkin sudah jadi sejuta. Pembeli pertama akan pinjam wang dari bank yang kenakan riba. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana nak masukkan kos riba yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan dia. Yang beli pula kena pinjam bank pakai riba juga. Kemudian dia pun akan jual mahal lagi. Akhirnya mana orang nak duduk? Itulah keburukan riba sampai merosakkan ekonomi dunia.

Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba itu adalah buruk kepada ekonomi. Kitalah yang kena sampaikan ajaran Allah tentang keburukan riba ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang ada menentang riba.


  

فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِن رَبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan dari Tuhannya lalu ia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,

Boleh ambil modal/pokok. Sebab masa ayat turun, ada sahabat yang amalkan riba. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus ringgit dan peminjam kena bayar 150 ringgit, dia boleh ambil balik seratus ringgit itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.

Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Berhenti sahaja dari buat riba, tapi tidaklah perlu nak ganti bayar balik kepada penghutang yang dah banyak kamu makan harta mereka.

 

وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ

dan perkaranya terserahlah kepada Allah. 

Terpulanglah kepada Allah samada akan mengampunkannya atau tidak. Serahkan kepada Allah semoga Allah ampunkan. Sama juga macam perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi. Kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah dah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.

 

وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, 

Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tapi masih tak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.

 

هُم فيها خالِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali.


 

Ayat 276:

يَمحَقُ اللَّهُ الرِّبا وَيُربِي الصَّدَقاتِ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah destroys interest and gives increase for charities. And Allah does not like every sinning disbeliever.

MALAY

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

يَمحَقُ اللَّهُ الرِّبا

Allah musnahkan riba 

Riba mesti dimusnahkan habis-habisan kerana keburukan yang amat sangat. Ia amat menyusahkan manusia dan menyebabkan kemunduran ekonomi.

Ia juga bermaksud yang Allah tidak memberi berkat kepada harta yang diperoleh melalui cara riba.

 

وَيُربِي الصَّدَقاتِ

dan Ia pula mengembangkan sedekah-sedekah

Allah menyuburkan sedekah. Sedekah mendekatkan hubungan antara yang memberi dengan yang diberi; dan yang diberi sedekah itu tentunya mendoakan si pemberi sedekah itu.

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Allah tidak suka kepada mereka yang melanggar hukum yang telah ditetapkan. Riba adalah sesuatu berat dan kalau ada yang tidak mahu ikut cakap, Allah amat marah.


 

Ayat 277: Ini adalah ayat Tabshir (beri berita gembira).

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَأَقامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكاةَ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who believe and do righteous deeds and establish prayer and give zakah will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, 

Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik.

Beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh dari Nabi. Maka ini menolak amal Ibadat rekaan seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Amalan yang bukan dari contoh Nabi dan para sahabatnya dinamakan bidaah.

 

وَأَقامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكاةَ

dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

Allah menyebut dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah (ibadat) dan hubungan dengan makhluk (adat). Solat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik dari adat.

Masyarakat Islam yang mengamalkan solat berjemaah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam. Yang kaya akan suka untuk infak dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.

 

لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah janjikan pahala kepada mereka yang sebegitu.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak ada ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Mereka tidak berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.


 

Ayat 278:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ الرِّبا إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, fear Allah and give up what remains [due to you] of interest, if you should be believers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Dengarlah wahai orang yang beriman.

 

 اتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah

Ikutlah dan jagalah segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Tanda orang bertaqwa adalah mereka akan memikirkan apakah hukum dalam sesuatu perkara itu dan akan taat kepada hukum itu.

 

وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ الرِّبا

dan tinggalkanlah saki baki riba 

Jangan buat langsung riba itu. Kalau dulu ada mengamalkan riba, jangan buat lagi. Tinggalkan 100%.

Ayat-ayat tentang riba ini diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi, maka perincian tentang hadis tidak banyak. Maka pegang lah nasihat dari Saidina Umar ini:

“Sesungguhnya ayat Qur’an yang akhir sekali turunnya adalah ayat Riba. Dan Rasulullah telah wafat, padahal belum seluruhnya baginda terangkan kepada kita. Oleh kerana itu, tinggalkanlah mana yang menimbulkan keraguan di dalam hati kamu dan pilihlah apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan.”

 

إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Kalau kamu beriman, maka kamu akan ikut. Sudah tidak hanya melihat kepada keuntungan harta sahaja.


 

Ayat 279:

فَإِن لَم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموالِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.

MALAY

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

فَإِن لَم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau dah tahu hukum haram riba, tapi masih degil juga…

 

 فَأذَنوا بِحَربٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,

Allah iklan isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini.

 

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموالِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba, tapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit dimana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal.

 

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak dari yang diberi adalah zalim.

Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus lupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.


 

Ayat 280:

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.

MALAY

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

 

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar. Samada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dan dia dah usaha nak bayar. Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia nak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan  bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu.

 

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya 

Wajib bagi masa hingga dia boleh bayar. Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat  begini.

 

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu, 

Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita dah dapat pahala. Dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam. Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata, tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya. Dan masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Qur’an. Kerana nasihat ini diberikan dalam Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Qur’an, macam mana nak tahu?

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui 

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan lepaskan peluang untuk menyedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu.


 

Ayat 281: Jumhur ulama kata ayat ini adalah ayat terakhir turun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.

MALAY

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. 

Allah sentiasa suruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat. Kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, 

Dan apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, samada baik atau jahat.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi. 

Allah tidak akan menzalim hambaNya dimana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda dari amal perbuatan baik kita itu.

Dan kita tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Tapi Allah tidak akan tersalah.

Dan dosa hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir al-Azhar

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah, Tafsir and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s