Tafsir Surah Baqarah Ayat 260 – 264 (syarat dalam infak)

Ayat 260: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang Tauhid. Mereka yang sudah ada akidah tauhid, Allah akan ajar dia untuk kuatkan akidahnya dengan berbagai-bagai cara. Supaya semakin beriman dan semakin kukuh imannya.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And [mention] when Abraham said, “My Lord, show me how You give life to the dead.” [ Allah ] said, “Have you not believed?” He said, “Yes, but [I ask] only that my heart may be satisfied.” [ Allah ] said, “Take four birds and commit them to yourself. Then [after slaughtering them] put on each hill a portion of them; then call them – they will come [flying] to you in haste. And know that Allah is Exalted in Might and Wise.”

MALAY

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”

Permintaan Nabi Ibrahim ini adalah kerana baginda hendak melihat bagaimana cara Allah hidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hanya hendak tahu cara sahaja, kerana Nabi Ibrahim tentunya sudah yakin.

 

قالَ أَوَلَم تُؤمِن

Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya?

Allah tanya itu sebagai pengukuhan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim yakin, cuma hendak tahu sahaja. Dengan pertanyaan Allah ini, dan jawapan yang diberikan oleh baginda, tahulah kita yang baginda hendak tahu sahaja dan supaya mengukuhkan iman baginda.

 

قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِيَطمَئِنَّ قَلبي

Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku

Tujuan Nabi Ibrahim tanya itu adalah supaya tenang dan teguh hati baginda dengan melihat cara dihidupkan makhluk yang telah mati. Oleh itu, ‘yakin’ dan ‘teguh hati’ adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapat keteguhan itu dengan macam-macam cara. Kadang-kadang kita dapat sesuatu dalam mimpi. Kadang-kadang dengan kejadian yang terjadi kepada orang lain. Atau kadang-kadang selepas kita mendengar ceramah atau buku yang sentuh hati kita. Ada yang mendapatnya setelah belajar tafsir Quran kerana dengan faham lebih mendalam, dapat meneguhkan iman seseorang juga.

Macam-macam cara Allah boleh beri keteguhan hati itu tetapi kepada para Nabi, mereka ditunjukkan dengan perkara-perkara ajaib seperti yang kita akan baca sebentar lagi.

 

قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِنَ الطَّيرِ

Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, 

Boleh jadi apa-apa jenis burung sahaja. Jenis burung itu tidak penting.

 

فَصُرهُنَّ إِلَيكَ

kemudian jinakkanlah kepada kamu

Ada dua terjemah kepada potongan ayat ini:

  1. Pelihara sampai jinak. Beri makan sampai jinak. Apabila kita beri binatang seperti burung makan, burung-burung itu akan jinak dengan kita. Kalau dipanggil mereka akan datang. Maka Allah suruh Nabi Ibrahim jinakkan burung-burung itu kepada baginda.
  2. Cincang. Iaitu Allah suruh Nabi Ibrahim cincang burung-burung itu, gaulkan sekali.

 

ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِنهُنَّ جُزءًا

Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. 

Setelah digaul sekali, pecahkan kepada empat bahagian dan letak setiap satu di empat-empat bukit itu.

 

ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا

Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.

Burung-burung itu akan dihidupkan semula oleh Allah dan akan datang kepada Nabi Ibrahim setelah dipanggil. Nabi Ibrahim sudah menjinakkan kepada baginda, maka apabila dipanggil, mereka akan datang.

 

وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja.

Baqarah 253-260


 

Ayat 261: Kembali membicarakan mengenai infak. Ini adalah perkara yang paling baik kita boleh lakukan dengan harta kita. Nanti kita akan belajar perkara paling buruk dengan harta kita, iaitu riba. Dan diantara infak dan riba itu ada perkara yang diharuskan, iaitu perniagaan dan pinjaman sesama manusia. Jadi Allah cerita tentang yang bagus, yang dilarang dan harus dilakukan dengan wang dan harta kita.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Sebelum ini ayat-ayat tentang mereka yang percaya kepada Allah dan Hari Akhirat dengan sebenar-benarnya. Mereka yang percaya sungguh, akan melabur untuk akhirat. Dan itulah infak.

Ayat ini mengenai kelebihan infak. Dan nanti dalam ayat-ayat seterusnya akan diberikan syarat diterima infak itu. Ada lapan syarat semua sekali.

Allah hendak hambaNya mengumpulkan sebanyak mungkin amal kebaikan untuk dihantar ke akhirat sebagai simpanan kita. Kerana kita hidup di dunia sekali sahaja dan waktu inilah sahaja peluang untuk berbuat kebaikan. Tidak ada peluang kedua. Kalau tanpa Qur’an yang beritahu kepada kita kelebihan ini, kita tidak akan dapat tahu.

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموالَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضاعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

The example of those who spend their wealth in the way of Allah is like a seed [of grain] which grows seven spikes; in each spike is a hundred grains. And Allah multiplies [His reward] for whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Knowing.

MALAY

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

 

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموالَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, 

Perkara yang paling baik adalah keluarkan harta kita untuk mengembangkan dakwah tentang tauhid kepada manusia. Kalau kita keluarkan duit untuk kebaikan pun memang sudah dapat pahala dah. Lebih-lebih lagi yang melibatkan semua urusan yang melibatkan agama Islam. Hatta beri makan kepada binatang, pun akan dapat pahala. Tapi yang paling baik adalah dalam ‘jalan Allah’, iaitu untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Termasuk dalam perkara itu adalah infak kepada jihad perang.

 

كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ

ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;

Allah memberi perumpamaan infak kita itu akan membuahkan hasil seumpama satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai. Allah gunakan contoh tanaman sebab apabila kita bercucuk tanam, kita tidak melihat hasilnya dengan segera, bukan? Begitu juga dengan infak itu. Kita hanya boleh lihat di akhirat kelak. Ada juga yang kita dapat di dunia, tapi selalunya kita tidak perasan.

 

في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ

tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Setiap satu tangkai ada seratus biji. Maka 1 x 7 x 100 = 700. Bayangkan kalau satu jadi 700! Maknanya kalau kita beri seringgit, Allah gandakan infak kita itu dengan pahala seumpama kita beri 700 ringgit! Perniagaan Allah sahaja yang boleh untung sebegini. Dan untung pula yang berkekalan. Tidak macam untung di dunia sebab di dunia tidak berkekalan.

 

وَاللَّهُ يُضاعِفُ لِمَن يَشاءُ

Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya,

Allah boleh lipat gandakan lagi pahala infak kita itu, mengikut keikhlasan dan susah payah (musyaqqah) dalam infak kita itu. Kerana ada orang yang ikhlasnya tidak sama. Dan ada orang susah nak beri infak tapi dia keluarkan juga wang untuk jalan Allah. Tidak sama infak seorang kerani yang tidak berduit sangat dengan infak seorang jutawan.

Allah boleh gandakan infak kita itu sampai menjadi sejuta atau tidak ada had. Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada mereka yang infak mengikut kadar masing-masing. Kalau dalam dunia, tidak akan dapat gandaan seperti ini. Kalau kita kerja makan gaji, buat kerja dalam susah pun akan sama sahaja, majikan tak tambah gaji pun.

 

وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Maha luas maksudnya Allah boleh bagi gandaan banyak mana pun.

Allah Maha Tahu keikhlasan hambaNya dalam infak itu.


 

Ayat 262: Dalam kita menjalankan suruhan infak ini, kena juga ikut syarat yang Allah tetapkan. Ada 8 syarat yang Allah tetapkan. Daripada 8 syarat itu, 4 kena ada, dan 4 kena tiada:

Pertama, tidak boleh ada syirik. Kalau kita infak banyak mana pun, tapi ada syirik dalam diri kita, sia-sia sahaja kerana pahala tidak diberikan langsung.

Kedua, dalam kita infak itu, jangan riak.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموالَهُم في سَبيلِ اللَّهِ ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا وَلا أَذًى ۙ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who spend their wealth in the way of Allah and then do not follow up what they have spent with reminders [of it] or [other] injury will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموالَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, 

Allah hendak memberitahu apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi supaya infak kita kepada jalan Allah itu berkekalan.

 

ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا

kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit

Syarat yang ketiga dalam infak ini adalah jangan ungkit pemberian kita itu untuk hina dan rendahkan orang. Sebab boleh kalau nak sebut kerana nak beri galakan kepada orang lain. Tapi jangan kita ungkit sebab nak hina atau jatuhkan martabat orang lain.

Kita jangan ungkit supaya pahala infak itu berkekalan. مَنًّا adalah perbuatan ungkit pemberian untuk hina dan rendahkan orang lain. Sebagai contoh, kita ada tolong seseorang yang dalam kesusahan, sampai dia boleh bangkit balik. Tapi katakanlah sampai suatu masa, kita berbalah dengan dia. Sampai keluar lafaz dari mulut kita: “kamu ni, kalau aku tak tolong dulu entah jadi apa pun aku tak tau.” Bila kita sebut macam itu, terus musnah pahala infak itu. Maksudnya, batal pahala itu. Masa kita beri infak itu, kita dapat pahala tapi apabila kita ungkit sahaja untuk menghina dia, terus batal pahala infak itu.

 

وَلا أَذًى

dan tidak pula menyakiti 

Syarat keempat yang tidak boleh ada semasa dan selepas kita infak adalah: tidak boleh menyakiti hati orang yang diberi infak itu. Jangan kita sebut sesuatu perkataan untuk menyakiti hati dia. Atau, kita buat sesuatu yang boleh sakit hati dia. Contohnya, selepas kita beri, kita arah dia, paksa dia buat benda yang dia tak suka. Mungkin dia buat juga sebab kita dah beri duit kepada dia, tapi dia tidak suka dan dia lakukan apa yang kita suruh itu dalam hati yang sakit.

 

 لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Kalau mereka memenuhi semua syarat-syarat itu, barulah akan dapat pahala dan kekal pahala itu sampai ke akhirat.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Mereka tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.

Kita telah sebut 4 syarat yang tidak boleh ada dalam infak. Empat syarat yang kena ada pula:

  1. Barang pemberian itu mesti halal. Jangan hina hukum Allah dengan infak pakai benda yang haram. Benda haram tidak boleh digunakan untuk kebaikan. Contohnya, jangan kita beri duit hasil riba.

2. Kedua, barang itu mesti baik. Sebagai contoh, jangan beri nasi basi tapi berikan nasi yang boleh dimakan. Maksudnya, beri benda yang boleh digunakan lagi. Dan barang yang sesuai digunakan oleh yang hendak menerimanya – contohnya, jangan beri baju perempuan kepada lelaki. Barang yang diberi itu tidak semestinya benda yang baru, tapi pastikan ianya boleh dipakai. Senang sahaja untuk kita kenal pasti samada ianya boleh dipakai atau tidak: kalau barang itu diberikan kepada kita, kita pun senang hati untuk terima.

3. Ketiga: kita infak itu kerana mencari redha ilahi.

4. Keempat: gembira semasa memberi infak. Ada orang yang beri infak, tapi dia rasa macam rugi sebab beri. Atau terkilan pula selepas dia beri infak itu. Maknanya dia tak yakin dengan janji Allah yang Allah akan balas dengan berganda-ganda di akhirat kelak dan di dunia, sebab itu dia tidak suka dan menyesal. Perasaan suka ini akan datang kalau kita percaya dengan balasan yang kita akan dapat dengan infak itu. Kena usaha supaya kita dapat jadi suka semasa memberi itu. Kena didik hati kita.


 

Ayat 263:

۞ قَولٌ مَعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى ۗ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Kind speech and forgiveness are better than charity followed by injury. And Allah is Free of need and Forbearing.

MALAY

(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

قَولٌ مَعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى

perkataan yang baik dan pemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. 

Ada orang yang tidak ada duit nak beri. Mungkin dia tiada langsung barang untuk diberikan. Maka sekurang-kurangnya beri ucapan baik yang boleh beri pahala.

Atau dia katakan sebegini: ‘Minta maaf sebab saya tak boleh beri sekarang, nanti kalau ada, saya beri yer…. Saya doakan supaya masalah awak selesai segera…. ” Katakan dengan perkataan sebegitu dan sebagainya. Orang yang terdesak itu pun sejuk sikit dengar walaupun tidak dapat apa yang dia perlukan dari kita. Maknanya, kita kena minta maaf kepada orang yang kita tidak dapat beri itu.

 

وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

Allah Maha Kaya maksudnya Allah tidak memerlukan pemberian infak dari kita. Bukan boleh menambahkan kekayaan Allah pun. Tapi Allah mahu kita beri infak itu sebab ianya adalah kebaikan untuk kita. Allah nak beri pahala yang banyak kepada kita, tapi kenalah kita berikan infak itu dahulu supaya Allah boleh balas.

حَليمٌ maksudnya Allah tidak tergesa-gesa nak hukum kita.


 

Ayat 264:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُبطِلوا صَدَقاتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا ۖ لا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِمّا كَسَبوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكافِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, do not invalidate your charities with reminders or injury as does one who spends his wealth [only] to be seen by the people and does not believe in Allah and the Last Day. His example is like that of a [large] smooth stone upon which is dust and is hit by a downpour that leaves it bare. They are unable [to keep] anything of what they have earned. And Allah does not guide the disbelieving people.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Kena dengar baik-baik kalau kita anggap diri kita orang yang beriman.

 

لا تُبطِلوا صَدَقاتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ

Jangan batalkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti,

Jangan batalkan pahala sedekah kamu dengan mengungkit dan perbuatan yang boleh menyakitkan hati seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

 

كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ

seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)

Allah tunjuk bandingan. Iaitu kalau kita ungkit dan sakiti, ianya sama dengan riak menunjuk-nunjuk kepda orang lain. Kalau riak, pahala tak sampai, kalau ungkit dan menyakiti pun tak sampai juga.

 

وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau orang ada amalan syirik pun, pahala infak dan sedekah tak sampai. Itulah sebabnya kalau orang kafir banyak sedekah, ianya tidak memberi pahala kepada mereka di akhirat kelak. Memang kita pun tahu yang ramai orang kafir yang baik-baik dan mereka banyak sedekah ke arah kebaikan. Allah akan balas perbuatan baik mereka itu di dunia lagi, tapi mereka tidak ada bahagian di akhirat. Nanti di akhirat kalau mereka tanya manakah pahala infak dan sedekah mereka, Allah akan beritahu yang Dia telah balas semuanya di dunia lagi. Sebab itu kalau kita lihat orang kafir yang banyak derma, mereka akan dapat banyak lagi rezeki. Ini kerana Allah balas terus derma mereka semasa di dunia lagi.

 

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, 

Allah beri perumpamaan batu besar yang licin. Atas batu itu pula ada pasir. Apabila batu itu licin, mudah pasir itu nak hilang.

فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا

kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin

Sudahlah batu itu licin dan senang pasir itu untuk hilang, hujan lebat pula menimpa batu itu. Maka akan kosonglah batu itu.

Allah beri perumpamaan dengan mudah supaya manusia boleh faham. Tidak ada langsung pahala untuk orang yang tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah seperti yang telah disebut sebelum ini. Orang lain nampak banyak dia infak, tapi sebenarnya dah hilang dah segala pahala.

 

لا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِمّا كَسَبوا

mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. 

Tidak mampu ambil balasan kerana ianya semua telah batal.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكافِرينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Allah beri isyarat bahawa perbuatan ini adalah kufur. Infak tetapi tak ikut syarat yang Allah berikan. Mereka sebenarnya menidakkan Allah yang beri rezeki kepada mereka. ‘Kufur’ adalah satu sifat sebenarnya. Walaupun seseorang itu mengaku Islam, tetapi kalau buat sesuatu tak ikut syarat, menidakkan kehendak Allah, maka itu adalah perbuatan kufur.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s