Tafsir Surah Baqarah Ayat 257 – 259 (Kisah Nabi Uzair)

Ayat 257:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ يُخرِجونَهُم مِنَ النّورِ إِلَى الظُّلُماتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah is the ally of those who believe. He brings them out from darknesses into the light. And those who disbelieve – their allies are Taghut. They take them out of the light into darknesses. Those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا

Allah Pelindung orang-orang yang beriman.

Apabila seseorang itu telah berpegang dengan akidah tauhid, sudah betul-betul beriman, tidak menyembah dan memuja taghut dan tidak melakukan syirik, maka Allah akan menjadi wali (pelindung) kepada orang yang beriman itu. Ini adalah sesuatu yang kita amat-amat harapkan.

 

يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ

Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya.

Kelebihan Allah sebagai pelindung adalah, Dia akan mengeluarkan orang yang beriman itu daripada segala kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Maka mereka tidak lagi akan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat. Perkataan الظُّلُماتِ itu dalam bentuk plural bermaksud bermacam-macam jenis kegelapan. Lihatlah bagaimana perkataan النّورِ pula dalam bentuk singular – maknanya, kegelapan ada banyak jenis, tapi cahaya tauhid hanya ada satu sahaja, tidak ada yang lain.

Perkataan يُخرِجُ itu adalah dalam bentuk present continuous tense, maksudnya Allah akan sentiasa melakukannya. Ini penting kerana walaupun kita telah beriman, tapi sekali sekala kita akan ada masalah dengan iman kita kerana ianya akan turun dan naik. Tambahan pula dalam zaman sekarang yang banyak gangguan dan pujukan dunia. Maka kalau kita beriman, Allah akan sentiasa menyelamatkan kita dari masalah kita yang sekali sekala akan berlaku. Kita mungkin tersasar sekejap, tapi Allah akan selamatkan kita balik. Asalkan kita terus beriman dan mahu kepada kebenaran.

Dari segi bahasa, ‘wali’ adalah entiti yang ‘mahu’ melindungi seseorang. Dalam Quran juga, ada disebut satu lagi perkataan dari katadasar yang sama dengan wali, iaitu ‘mawla’. Apakah bezanya? ‘Wali’ bermaksud entiti yang ‘mahu’ melindungi dan menolong, sedangkan ‘mawla’ adalah entiti yang benar-benar boleh melindungi dan menolong. Bapa seorang perempuan juga selalu dikatakan sebagai wali. Ini adalah kerana bapa itu adalah pelindung perempuan itu dan dia memang mahu melindungi anaknya pun. Tapi walaupun dia memang mahu melindungi, tapi apabila datang sesuatu musibah, adakah setiap kali bapa itu dapat melindungi? Tentu tidak, kerana ada masanya bapanya pun tidak dapat membantu dan melindungi anaknya itu kerana ianya adalah di luar kemampuannya, walaupun dia hendak sangat melindungi anaknya itu. Allah tidak mengalami masalah ini kerana Allah sentiasa sahaja mampu.

Kenapa diberi penerangan ini? Kerana dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia adalah wali kepada orang beriman dan wali kepada orang kafir adalah taghut. Jadi, dua-dua pihak ada wali. Tapi nanti dalam surah yang lain, Allah memberitahu bahawa orang-orang beriman akan ada ‘mawla’, tetapi orang kafir tidak ada ‘mawla’. Jadi, orang beriman akan mendapat kelebihan.

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ

Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut 

Pelindung mereka mereka yang kafir adalah taghut. Sebenarnya taghut itu tidak dapat melindungi mereka tetapi mereka sahaja yang sangka pelindung mereka adalah taghut itu.

 

يُخرِجونَهُم مِنَ النّورِ إِلَى الظُّلُماتِ

yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Taghut itu akan mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Begitulah kadang-kadang manusia ada yang nampak kebenaran Islam, tapi sekejap sahaja kerana Syaitan akan menarik mengheret mereka ke dalam kegelapan semula. Bukan orang kafir sahaja ada masalah ini, tapi orang Islam pun ada mengalami masalah ini. Kalau dia seorang Islam pun, tapi kalau dia menjadikan taghut sebagai wali, orang itu akan mengalami masalah ini. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali manusia yang telah dilahirkan Islam tapi kehidupan mereka tidak melambangkan agama yang suci ini.

Dari segi susunan bahasa pun berbeza antara Wali orang mukmin dan wali kepada orang kafir. Apabila disebut Allah sebagai wali, Allah disebut dahulu – (Allah menjadi mubtada’). Tetapi apabila disebut wali kepada orang kafir, orang kafir itu yang disebut dahulu – taghut itu hanya menjadi khabar sahaja. Dalam susunan bahasa Arab, ada perbezaan dalam susunan ini yang tidak dapat difahami kalau kita hanya membaca terjemahan sahaja. Ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang bahasa Arab untuk dapat memahaminya.

 

أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ

Mereka itulah ahli neraka,

Akhirnya mereka akan masuk ke dalam neraka.

 

هُم فيها خالِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan pegang geran neraka. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nasib yang amat-amat malang sekali. Semoga kita diselamatkan dari neraka.


 

Ayat 258: Allah berikan tiga contoh golongan yang beriman kepada tauhid iaitu dua kisah dari Nabi Ibrahim dan satu kisah Nabi Uzair a.s. Sebelum ini Allah telah memberikan teori tentang akidah, dan sekarang Allah berikan contoh pula supaya kita lebih faham.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبراهيمَ في رَبِّهِ أَن آتاهُ اللَّهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَنا أُحيي وَأُميتُ ۖ قالَ إِبراهيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Have you not considered the one who argued with Abraham about his Lord [merely] because Allah had given him kingship? When Abraham said, “My Lord is the one who gives life and causes death,” he said, “I give life and cause death.” Abraham said, “Indeed, Allah brings up the sun from the east, so bring it up from the west.” So the disbeliever was overwhelmed [by astonishment], and Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبراهيمَ في رَبِّهِ

Tidakkah engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya,

Pertama adalah kisah Nabi Ibrahim dan Namrud. Namrud itu adalah raja dunia dan tidak sama dengan Firaun yang hanya Raja kepada negara Mesir sahaja. Walaupun dia seorang raja dunia, tetapi dia tidak berapa cerdik. Sampaikan nama dia pun tidak disebut didalam Qur’an. Allah hanya sebut dia dengan lafaz mubham sahaja (orang yang berhujah) menunjukkan betapa dia tidak cerdik dan namanya tidak layak disebut pun.

Dia membantah Nabi Ibrahim dalam perkara ketuhanan, tentang Allah.

 

أَن آتاهُ اللَّهُ المُلكَ

kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? 

Walaupun dia tidak berapa cerdik, tetapi Allah telah takdirkan yang dia dapat memerintah dunia. Dari kerana dia rasa diri dia besar kerana memerintah dunia, maka dia berani melawan Nabi. Dalam psychology, ini dinamakan “God Complex’. Mereka rasa mereka ada kuasa dan perangai mereka jadi lain macam. Padahal bukan banyak pun kuasa mereka. Sebagai contoh, doktor pun ada rasa macam itu sebab mereka rasa mereka menyelamatkan nyawa manusia.

 

إِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ

Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”.

Dia membantah Nabi Ibrahim itu semasa baginda berdakwah kepadanya.

Dalam ayat Kursi, Allah beritahu yang Dia lah yang Maha Hidup. Dan dalam ayat ini, Allah beritahu yang Dialah yang menghidupkan dan mematikan.

 

قالَ أَنا أُحيي وَأُميتُ

Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud pun kata dia pun Tuhan juga kalau begitu, kerana dia boleh menghidupkan dan mematikan juga. Dalam riwayat ada disebut bagaimana dia panggil dua orang lelaki yang telah dihukum bunuh, bawa ke hadapan Nabi Ibrahim dan dia. Maka dia kata dia ampunkan seorang lelaki dan teruskan hukuman bunuh kepada seorang lagi lelaki itu. Namrud kata dia telah menghidupkan seorang lelaki dan mematikan seorang lagi. Ini hujah yang bodoh. Kita pun boleh tahu bahawa lain apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim itu, bukan?

 

قالَ إِبراهيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Kerana bodohnya Namrud, maka Nabi Ibrahim bawa hujah yang satu lagi. Allah yang takdirkan matahari naik dari arah timur.

 

فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ

oleh itu terbitkanlah dia dari barat.”

Kalau kamu, Namrud, rasa yang kamu pun tuhan juga, maka tolong naikkan matahari dari barat pula esok.

 

فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ

Maka tercenganglah orang yang kafir itu

Maka, dengan hujah itu, Namrud bungkam tidak berkata apa-apa lagi.

Mungkin timbul satu persoalan. Apa kata kalau Namrud berhujah balik? Dia mungkin boleh kata: “baiklah, aku memang tak boleh nak terbitkan matahari dari barat. Kamu kata Tuhan kamu boleh terbitkan matahari dari barat. Suruhlah Tuhan kamu itu terbitkan dari barat!”

Dalam kitab tafsir, ada disebutkan, kalau Namrud berhujah macam itu, Allah akan terbitkan matahari dari barat esok sebagai hujah. Tetapi tidak berlaku perkara itu sebab Namrud mengalah dan tidak menyambung perbalahan itu. Tapi selepas itu Namrud telah memasukkan Nabi Ibrahim ke dalam api.

Nabi Ibrahim tentu sedar yang kalau baginda cakap macam itu, boleh menyebabkan baginda dibunuh. Tetapi baginda yakin yang Allahlah al-hayyul qayyum, Allah lah sahaja yang boleh mematikan, maka baginda tidak takut untuk menyatakan kebenaran.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Zalim kerana degil. Allah tidak memberi hidayah kerana mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk mengetahui apakah yang benar.


 

Ayat 259: Ini adalah Contoh kedua maksud al-hayyul qayyum. Ini pula adalah kisah Nabi Uzair.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَّهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ آيَةً لِلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Or [consider such an example] as the one who passed by a township which had fallen into ruin. He said, “How will Allah bring this to life after its death?” So Allah caused him to die for a hundred years; then He revived him. He said, “How long have you remained?” The man said, “I have remained a day or part of a day.” He said, “Rather, you have remained one hundred years. Look at your food and your drink; it has not changed with time. And look at your donkey; and We will make you a sign for the people. And look at the bones [of this donkey] – how We raise them and then We cover them with flesh.” And when it became clear to him, he said, “I know that Allah is over all things competent.”

MALAY

Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang orang yang melalui sebuah negeri

Daerah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon serang BaitulMaqdis. Puak itu telah bunuh 600 ribu Bani Israil dan jadikan hamba lagi 600 ribu. Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ianya kembali makmur. Dan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israil dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil. Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan banyak menentang.

 

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan: ‘Dinding jatuh timba bumbung’. Sebab kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah. Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh dulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu.

Maknanya, ini hendak menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu. Allah sebut pendek sahaja tapi kita boleh bayangkan.

 

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَّهُ بَعدَ مَوتِها

orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Nabi Uzair berkata dalam hati. Baginda bercakap begitu bukan kerana baginda tak yakin dengan kuasa Allah. Kerana takkan Nabi tidak yakin pula. Tapi dia cakap begitu sebab nak tahu cara sahaja. Sebab dia tengok teruk sangat dah keadaan kota itu, dia tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah akan membinanya kembali.

 

فَأَماتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu ia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah memang betul-betul matikan Nabi Uzair, bukan tidurkan.

 

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Allah tanya dia berapa lama dia tinggal di situ. Tubuh dia nampak biasa sahaja.

 

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, dia kata dia tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari. Dia rasa dia tertidur sahaja dan kadang-kadang kita bangun tidur, tak tahu berapa lama kita tidur, bukan?

Ini menunjukkan bahawa Nabi tidak tahu semua perkara. Allah tanya baginda kerana Allah hendak beritahu.

 

قالَ بَل لَبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin Nabi Uzair terkejut apabila dikatakan yang baginda telah tinggal selama seratus tahun di situ.

 

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah tunjuk contoh QudratNya. Makanan yang senang rosak, Allah jadikan masih baik lagi.

 

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah kekalkan. Tapi binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja.

 

وَلِنَجعَلَكَ آيَةً لِلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah hidupkan Nabi Uzair semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi satu tanda bahawa Allah itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja.

 

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah jadikan binatang itu hidup dengan segera di depan matanya. Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu tengok special effect dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula.

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada Nabi Uzair a.s. yang Allah boleh buat apa sahaja. Dia sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah. Dia tidak akan tanya lagi. Baginda dinampakkan dengan ilmu musyahadah – baginda lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s