Tafsir Surah Baqarah Ayat 253 – 256 (Ayat Kursi)

Ayat 253: Apabila syariat hendak ditegakkan, rasul telah diangkat dan dakwah telah dijalankan, maka akan ada manusia yang engkar. Dan mereka akan menentang dakwah Islam. Maka tidak cukup dengan dakwah mulut sahaja, kena juga ada kekuatan ketenteraan dan kena jalankan perang juga. Kalau biarkan sahaja, mereka akan terus mengganas. Ini adalah satu faedah dari jihad perang.

Yang kedua, Jihad perang juga adalah ujian kepada pendakwah Islam dimana mereka bukan sahaja berkorban harta dan masa untuk menegakkan agama Islam, tapi mereka juga akan melepasi ujian mempertaruhkan nyawanya untuk Islam. Faedahnya, iman mereka akan meningkat ke tahap kemuncak. Kerana kalau berhadapan dengan mati, ianya memerlukan iman yang tinggi sekali.

۞ تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ مِنهُم مَن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجاتٍ ۚ وَآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّناتِ وَأَيَّدناهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ وَلٰكِنِ اختَلَفوا فَمِنهُم مَن آمَنَ وَمِنهُم مَن كَفَرَ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

SAHIH INTERNATIONAL

Those messengers – some of them We caused to exceed others. Among them were those to whom Allah spoke, and He raised some of them in degree. And We gave Jesus, the Son of Mary, clear proofs, and We supported him with the Pure Spirit. If Allah had willed, those [generations] succeeding them would not have fought each other after the clear proofs had come to them. But they differed, and some of them believed and some of them disbelieved. And if Allah had willed, they would not have fought each other, but Allah does what He intends.

MALAY

Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ

Itulah Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain

Rasul yang dilantik khas untuk menyampaikan wahyu untuk mengenalkan Allah dengan cara tauhid. Kerana ada yang kenal siapa Allah, tapi tidak mentauhidkanNya. Dan selain dari itu, para Nabi itu tugasnya mengajar manusia cara taat kepada Allah. Mereka adalah penyatu umat manusia sebenarnya kerana mereka membawa mesej akidah yang sama. Tapi ada juga fahaman yang kata Nabi-nabi itu lah yang menyebabkan manusia berpecah. Mereka kata asalnya kita semua anak Tuhan tapi manusia berpecah ikut Nabi-nabi yang berlainan. Ini adalah fahaman yang salah. Kerana Nabi Nabi itu bukan memecahkan fahaman. Mereka bawa mesej akidah yang sama sahaja zaman berzaman. Yang berpecahnya adalah manusia selepas mereka.

Ayat sebelum ini tsabit tentang kedudukan Nabi Muhammad. Tapi Nabi lain pun dihormati juga. Semua mereka adalah model ikutan kita. Jangan jadi umat dahulu yang tidak terima kenabian sesetengah Nabi. Kita tidak tafriq tapi ada tafdhil. ‘Tafriq’ maksudnya bezakan Nabi itu, ada yang terima sebagai Nabi dan ada yang tidak. ‘Tafdhil’ pula adalah membezakan kedudukan Nabi antara satu sama lain, kerana ada yang kedudukan lebih tinggi dari sesetengah yang lain. Allah sendiri yang buat begitu. Bukan kita yang bezakan sendiri.

Allah lebihkan kedudukan setengah rasul berbanding rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain. Ada rasul yang digelar sebagai Rasul Ulul Azmi dan ada yang tidak. Dan semua Nabi-nabi itu tidak dapat menandingi kedudukan Nabi Muhammad. Walaupun umur Nabi kita itu pendek, tetapi cabaran dan dugaan yang diberikan kepadanya dulu adalah amat berat. Sebagai contoh, setelah baginda menghadapi musuh di Mekah dan setelah berhijrah ke Madinah, musuh Baginda bertambah dan bukannya berkurang. Semasa di Mekah, musuhnya hanya kafir Quraish sahaja, tetapi semasa di Madinah, baginda berhadapan dengan musyrikin Mekah, Yahudi, munafik, kerajaan Rom, kerajaan Parsi dan kafir kawasan sekitar.

 

مِنهُم مَن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ

Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya

Yang dimaksudkan adalah Nabi Musa. Ingat bahawa puak Yahudi sedang membaca Quran juga dan apabila disebut ada Nabi yang bercakap terus dengan Allah, mereka terus tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Nabi mereka yang utama, Nabi Musa. Maka tentu mereka suka, sebab itu adalah Nabi yang mereka sayangi.

 

 وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجاتٍ

dan ditinggikanNya sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. 

Ada Nabi yang ada kedudukan Rasul Ulul Azmi. Itu adalah lima orang Nabi yang telah melalui ujian yang hebat dan mereka telah diberikan dengan kedudukan yang tinggi dibandingkan dengan Nabi-Nabi yang lain.

Dan kedudukan Nabi Muhammad adalah yang paling tinggi. Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa baginda telah diuji dengan berat dan tidak ada Nabi lain yang diuji seperti ujian yang dikenakan kepada baginda. Bila ujian kepada Nabi Muhammad itu lebih berat, maka darjat baginda pun lebih juga.

 

وَآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّناتِ

Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran

Selepas menyentuh tentang Nabi Musa, Nabi utama Bani Israil, Allah sebut pula Nabi Isa, iaitu Nabi yang Bani Israil tidak iktiraf. Ini mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad bukanlah Nabi pertama yang ditolak oleh mereka. Sebelum ini pun mereka sudah tolak seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa.

Nabi Isa telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat dan juga telah diberikan dengan Kitab Injil.

 

وَأَيَّدناهُ بِروحِ القُدُسِ

serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril)

Sokongan tambahan telah diberikan kepada Nabi Isa dimana setiap kali baginda keluar berdakwah, baginda akan disokong oleh Jibrail. Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa itu bukanlah anak Tuhan sampaikan baginda perlu diberi sokongan tambahan. Baginda diberikan sokongan dengan Jibrail kerana baginda tidak ada ayah dan kedudukan baginda dalam masyarakatnya waktu itu adalah amat lemah.

Jibrail juga disebut kerana bukankah Bani Israil bermusuh dengan Jibrail? Mereka suka Malaikat Mikail tetapi mereka tak suka Jibrail seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini. Kita kena ingat bahawa para rasul terdiri dari manusia dan juga malaikat. Kerana malaikat juga menyampaikan ‘risalah’ dari Allah. Rasul dari kalangan malaikat pun kita terima juga semuanya, tidak seperti Bani Israil yang memilih milih mana yang mereka suka sahaja.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم

Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah boleh jadikan tidak ada perang langsung sesama manusia, hidup aman damai sahaja, tetapi Allah jadikan juga perang itu kerana ianya adalah untuk kebaikan hambaNya.

 

مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan

Mereka berpecah itu bukannya sebab tidak ada Nabi, tidak ada kitab dari Allah, tapi selepas semua petunjuk telah datang kepada manusia.

 

وَلٰكِنِ اختَلَفوا

Tetapi mereka bertelingkah,

Ada yang berhujah, kalau agama Islam itu benar, kenapa ada perpecahan dikalangan penganutnya? Dan memang kita tidak nafikan pun, kerana kita biasa lihat pun bagaimana ulama ini kata begitu, ulama ini kata begini pula dan sebagainya. Boleh dikatakan perbalahan dan perpecahan fahaman dalam Islam ini menyeluruh dan tidak dapat disangkal lagi.

Jawapnya, bukan dalam agama Islam sahaja ada pertelingkahan, perbezaan pendapat, malah peperangan. Zaman dulu pun sudah berlaku. Masalahnya bukan pada agama, tapi pada manusia. Memang sifat manusia itu selalu berbeza, semua ada pendapat sendiri. Dan kadang-kadang mereka tidak tahu menangani perbezaan pendapat itu sampai boleh membawa kepada peperangan. Maka, jangan salahkan agama.

 

فَمِنهُم مَن آمَنَ

di antara mereka ada yang beriman, 

Ada yang tetap di dalam akidah tauhid yang benar, terus mereka beriman dengan Allah dan perkara-perkara yang wajib diimani.

 

وَمِنهُم مَن كَفَرَ

dan ada dari kalangan mereka yang kafir.

Dan lebih ramai lagi yang terpedaya dengan bisikan syaitan dan mereka memilih jalan kekufuran. Mereka sangka mereka benar dan mereka sampai sanggup mengangkat senjata untuk menegakkannya.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا

Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;

Kalau Allah hendak menjadikan umat manusia ini taat sahaja semuanya, Allah boleh buat. Sebagaimana Allah telah jadikan para malaikat yang lebih ramai dan lebih kuat dari kita itu, taat sahaja kepada Allah.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

 tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

Tetapi bukan begitu yang Allah kehendaki kepada umat manusia. Ini semua adalah ujian kepada kita belaka. Kita tidak boleh mempersoalkan Allah yang Dia nak buat.


 

Ayat 254: Selepas sebut jihad, Allah terus sebut tentang infak, kerana infak dan jihad memang berkait rapat.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا أَنفِقوا مِمّا رَزَقناكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لا بَيعٌ فيهِ وَلا خُلَّةٌ وَلا شَفاعَةٌ ۗ وَالكافِرونَ هُمُ الظّالِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, spend from that which We have provided for you before there comes a Day in which there is no exchange and no friendship and no intercession. And the disbelievers – they are the wrongdoers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Kalau kita beriman, kita kena dengar dan amalkan ayat ini betul-betul.

 

 أَنفِقوا مِمّا رَزَقناكُم

infakkanlah dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, 

Allah mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa rezeki yang kita dapat itu adalah dari pemberian Dia juga. Ada yang kata, Allah beri rezeki dengan banyak supaya kita boleh banyakkan infak.

 

مِن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لا بَيعٌ فيهِ

sebelum tibanya hari yang tidak ada jual-beli padanya,

Allah mengingatkan kita untuk infak sebelum datang hari yang usaha kita tidak berguna lagi. Semasa dalam dunia, kita boleh dapat rezeki dengan usaha kita dan dengan pertolongan dari orang lain.

Usaha yang pertama adalah dengan usaha jual beli – berniaga. Disebut berjual-beli di dalam ayat ini kerana berjual-beli atau pun berniaga adalah cara usaha yang paling menguntungkan sekali untuk mendapatkan harta dan punca pendapatan. Selain dari itu termasuklah usaha lain seperti bekerja dan sebagainya.

 

وَلا خُلَّةٌ

dan tidak ada kawan

Yang kedua, kita boleh mendapat pemberian harta dan pendapatan daripada orang lain iaitu kawan-kawan kita, keluarga kita.

 

وَلا شَفاعَةٌ

serta tidak ada pula pertolongan syafaat.

Yang ketiga, adalah pertolongan daripada orang-orang yang tidak kenal kita tetapi mereka mempunyai simpati kepada kita.

Jadi melalui ketiga-tiga cara itu bolehlah kita mendapat harta semasa di dunia. Tetapi Allah nak ingatkan bahawa tiga-tiga cara ini tidak akan ada lagi di akhirat. Oleh itu hendaklah kita infak semasa di dunia ini lagi supaya ianya yang menjadi bekal untuk kita di akhirat nanti.

Sebab di akhirat nanti, tidak ada jual beli. Memang ada yang cuba jual keluarga mereka tapi tidak diterima nanti; kawan-kawan atau kenalan rapat kita langsung tidak dapat tolong kerana mereka pun ada masalah mereka sendiri; ramai yang mengharapkan syafaat nanti di akhirat. Sebagai contoh, Bani Israil sangka Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sebab kedudukan mereka, tapi tidak. Orang kita pun ada masalah kefahaman tentang syafaat ini, kerana mereka sangka Nabi Muhammad tentu akan tolong, tapi tidak semestinya. Hal syafaat ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam ayat-ayat lain.

Ketiga-tiga lafaz yang digunakan: شَفاعَةٌ, خُلَّةٌ ,بَيعٌ, digunakan dalam bentuk yang umum, maksudnya tidaklah menidakkan terus adanya jual beli, persahabatan dan syafaat. Tetapi dalam bentuk-bentuk yang dibenarkan sahaja. Sebagai contoh, memang Nabi Muhammad akan memberi syafaat di akhirat kelak. Tapi tidaklah dalam pemahaman yang banyak difahami oleh masyarakat kita. Nanti apabila sampai ke tempatnya, kita akan berbincang bagaimana jual beli, persahabatan dan syafaat ini akan ada di akhirat kelak.

وَالكافِرونَ هُمُ الظّالِمونَ

Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Orang-orang yang kafir adalah mereka yang tidak beriman dengan Allah dan rasa yang harta yang mereka ada itu adalah hak mereka dan bukan pemberian dari Allah; juga mereka yang tidak mahu beriman dengan ayat ini dan tidak mengeluarkan infak kerana mereka tidak percaya kepada hari akhirat; mereka ada salah faham yang mereka boleh menyelamatkan diri mereka kerana mereka boleh berjual beli, kerana mereka ada kaitan dengan orang-orang alim atau mereka yang hanya berharap kepada syafaat sahaja.


 

Ayat 255: Ini adalah ayat yang terkenal sebagai Ayat Kursi. Memang ramai yang hafal ayat ini dan diamalkan.

Diulangi semula tajuk tauhid atau Dakwa Surah dalam ayat ini untuk kali yang ketiga. Cuma di dalam ayat ini diberikan Dakwa dahulu kemudian disertakan dalilnya sekali. Dakwa ayat ini adalah: Hanya Allah sahaja yang boleh diminta pertolongan untuk masalah kecil ataupun besar. Dalilnya adalah Sifat-SifatNya yang sempurna yang Allah akan sebut satu persatu.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ ۚ لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ ۚ لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۖ وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ ۚ وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّماواتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما ۚ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of [all] existence. Neither drowsiness overtakes Him nor sleep. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Who is it that can intercede with Him except by His permission? He knows what is [presently] before them and what will be after them, and they encompass not a thing of His knowledge except for what He wills. His Kursi extends over the heavens and the earth, and their preservation tires Him not. And He is the Most High, the Most Great.

MALAY

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah, dicintai, ditaati dan diibadati) melainkan Dia,

Kita selalu terjemah ayat ini sebagai tidak ada yang layak ‘disembah’ melainkan Allah. Tapi bukan itu sahaja. Kerana ada orang yang beribadah kepada Allah tetapi tidak taat kepadaNya. Tidak lengkap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh, mereka tidak pernah tinggal solat, mereka pergi haji, tapi mereka tidak taat dalam hal perniagaan berlandaskan riba. Maknanya mereka tidak taat sepenuhnya kepada Allah. Mereka tidak sebenar-benar menghambakan diri kepada Allah.

Potongan ayat ini mengingatkan kita kembali kepada kalimah syahadah kita yang menjadi pegangan kita seumur hidup. Kita telah menerangkan dengan panjang sebelum ini apakah maksud ‘ilah‘ itu dan tidak perlu diulangi lagi di sini.

Selepas memberitahu Dakwa ayat, Allah meneruskan dengan memberikan dalil-dalil kenapa Dia sahaja ilah. Iaitu Allah menceritakan Sifat-sifatNya.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan

Allah sahaja yang Maha Hidup. Selain daripada Allah akan mati belaka. Oleh kerana semuanya akan mati, kenapa nak meminta kepada yang akan mati? Maka hendaklah kita meminta kepada Allah yang Maha Hidup dan tidak akan mati. Allah sahaja yang sebenar-benar hidup. Kehidupan yang lain itu adalah kerana Dia sahaja. Maka bergantunglah kepada Allah sahaja, Dzat yang sebenar hidup.

Allah lah sahaja yang bersedia untuk mengurus dan mentadbir untuk segala hamba. Dia sentiasa menjaga segala kejadian supaya terus berdiri. Maknanya, Allah yang jadikan alam dan meneruskan kewujudan alam ini. Bukanlah Allah cipta dan jadikan alam ini dan tinggalkan begitu sahaja.

 

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ

Yang tidak mula rasa mengantuk, tidak tidur.

Allah tidak ada rasa nak mengantuk pun. Perkataan yang digunakan bukan ‘mengantuk’ tapi permulaan untuk mengantuk. Yang dimaksudkan dengan سِنَةٌ adalah mula-mula rasa mengantuk, kerana kalau ‘mengantuk’, ada perkataan lain yang digunakan dalam Qur’an. Apabila kita mengantuk, orang yang ada di depan kita pun kita dah tak berapa cam dah. Tetapi sebelum betul-betul mengantuk itu, akan ada rasa nak mengantuk – سِنَةٌ. Mengantuk dan mula-mula rasa mengantuk pun tidak ada pada Allah.

Ada Ilmu Balaghah dalam ayat ini. Iaitu tentang Takdim dan ta’khir – dimulakan dan dikemudiankan. Allah sebut mengantuk dahulu sebab mengantuk datang sebelum tidur.

Allah juga tidak pernah tidur. Tidur pun banyak peringkat juga kerana ada tidur-tidur ayam, ada yang tidur nyenyak, dan ada yang ‘tidur mati’. Tidur nyenyak itu sampai kalau kena sepak pun tidak bangun kerana dah tidur nyenyak sangat dah. Ada tidur yang lebih lagi iaitu seperti tidur Ashabul Kahfi yang tidur selama lebih 300 tahun. Semua ini tidak ada langsung pada Allah. Bandingkan dengan pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu bangunan. Walaupun mereka sepatutnya menjaga bangunan itu tetapi selalunya kita pun tahu yang mereka itu samaada tidur ataupun mengantuk dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya. Allah tidak begitu, Dia tetap menjaga alam ini kerana Allah tidak pernah tidur-tidur.

 

لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Allah memberitahu bahawa alam ini adalah kepunyaan Dia. Kalau kita ada barang, agaknya cara penjagaan kita kepada barang itu berbeza tak jikalau barang itu kita punya ataupun orang lain punya? Tentu ada beza kalau kita menjaga barang orang lain dengan menjaga barang kita. Tentunya kita lebih sayang barang kita dan akan memberi perhatian yang lebih kepadanya. Dan Allah beritahu dalam ayat ini yang alam ini kepunyaan Dia dari situ, kita dapat tahu bahawa Allah akan menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.

 

مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat tanpa izin daripada Allah. Begitu juga dengan Nabi Muhammad. Walaupun kita tahu yang baginda akan meminta syafaat untuk manusia tetapi baginda pun tidak berani membuka mulut baginda melainkan setelah diizinkan oleh Allah. Dan baginda pun hanya akan mengatakan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Allah sahaja. Nabi hanya boleh memberi syafaat kepada mereka yang dibenarkan menerima syafaat sahaja. Maknanya, Allah sahaja yang menentukan siapakah yang boleh terima syafaat itu, bukannya Nabi.

Sebelum kita membantu seseorang dengan meminta pertolongan untuk mereka hendaklah kita tahu kedudukan seseorang itu. Kita bawakan satu contoh untuk mudah faham. Katakanlah seorang ketua syarikat telah marah kepada seorang pekerja dan dia telah memecat pekerja itu. Mungkin kerana pada pengetahuan beliau, pekerja itu telah melakukan satu kesalahan berat. Katakanlah kita tahu keadaan sebenar, yang pekerja itu tidak lakukan pun kesalahan yang dituduh itu, dan kita hendak membantu pekerja yang telah dipecat itu. Kita pun berjumpa dengan ketua syarikat itu untuk tidak memecat pekerja itu kerana kita kata ada perkara yang ketua syarikat itu tidak tahu. Maka kita pun menjelaskan kepada beliau kedudukan perkara yang sebenar. Maknanya ketua syarikat itu telah membuat keputusan kerana ada perkara yang dia tidak tahu dan kita telah membantu pekerja yang telah dipecat itu dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Tetapi bagaimana kita hendak memberitahu Allah kedudukan seseorang yang dimurkai oleh Allah kerana Allah sendiri tahu perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku. Semua perkara tentang seseorang itu Allah ketahui, lalu bagaimana kita hendak nak rekomen orang itu kepada Allah?

 

 يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم

yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, 

Allah Maha Tahu dengan apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tidak ada yang mengetahui apa yang sedang berlaku dan yang telah berlaku seperti yang ilmu yang ada pada Allah. Melainkan sekadar apa yang Allah beritahu kepada mereka.

 

وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki 

Ilmu yang ada pada Allah tidak dapat diliputi atau difahami oleh manusia. Apa yang Allah beri adalah sedikit sahaja kepada manusia. Sebagai contoh, ilmu tentang roh. Allah kata Dia beri pengetahuan sedikit sahaja. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain. Maka banyak sangat benda yang kita tidak faham. Kadang-kadang manusia mempersoalkan apa yang Allah telah takdirkan dan lakukan. Mereka kata kenapa jadi begini dan kenapa jadi begitu? Macamlah Allah salah buat keputusan. Kita tidak layak nak mempersoalkan tindakan Allah. Kita tidak tahu kenapa Allah buat sesuatu perkara maka hendaklah kita redha sahaja.

 

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّماواتِ وَالأَرضَ

Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;

Maha luas kekuasaanNya meliputi langit dan bumi. Bila sebut ‘kursi’, mungkin akal kita tertanya, apa maksudnya? Bagaimana rupanya? Kalau besar, berapa besar? Apakah hakikatnya dan macam-macam lagi lagi soalan yang bermain dalam akal fikiran kita. Jawapannya dalam potongan ayat sebelum ini: iaitu kita tidak dapat menjangkau ilmu itu. Kita tidak akan dapat faham. Bukan dalam jangkauan akal kita yang cetek ini.

 

وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Begitu hebat alam ini, tapi Allah tidak rasa berat pun untuk menguruskan segalanya. Segala apa yang terjadi adalah dalam jangkauan ilmu Allah. Maka tidak ada apa pun tentang kita yang Allah tidak tahu.

 

وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung

Kalau langit itu tinggi dan Arash itu lebih tinggi dari langit, Allah lebih tinggi dari Arash itu. Keagungan Allah tidak ada tolok bandingnya.


 

Ayat 256:

لا إِكراهَ فِي الدّينِ ۖ قَد تَبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّاغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

There shall be no compulsion in [acceptance of] the religion. The right course has become clear from the wrong. So whoever disbelieves in Taghut and believes in Allah has grasped the most trustworthy handhold with no break in it. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Selepas Allah memberitahu Sifat-sifatNya, Allah kata tidak ada paksaan dalam agama. Kalau selepas diberitahu SifatNya sebegitu hebat, tapi masih tidak mahu beriman, tidak ada gunanya untuk memaksa sesiapa. Sepatutnya selepas tahu sifat Allah, siapakah Allah itu, manusia kena datang taat kepada Allah dengan rela.

Tidak boleh paksa sesiapa pun untuk masuk agama Islam. Tidak boleh tangkap orang dan suruh mereka mengucap. Tetapi apabila telah masuk agama Islam, mereka boleh dipaksa dalam perkara-perkara hukum. Maka kita kena bezakan dua jenis paksaan ini. Macam kita, kalau sudah masuk sekolah, kena taat kepada guru. Selagi belum masuk sekolah, guru tidak boleh paksa pelajar itu untuk masuk kelas atau nak angkat sampah. Tetapi apabila pelajar sekolah itu sudah mula belajar di sekolah itu, maka guru-guru boleh memaksa pelajar itu untuk melakukan sesuatu kerana telah ada perjanjian dari pelajar itu untuk taat kepada guru.

Agama Islam tidak mahu manusia memasukinya jika diatas dasar paksaan. Kerana iman adalah perkara hati dan hati itu tidak boleh dipaksa oleh manusia lain. Yang kena paksa masuk Islam ini, dan katakanlah mereka mengaku masuk Islam, ianya adalah seumpama telur yang luarnya nampak cantik tapi di dalamnya sudah busuk iaitu telur tembelang.

Mungkin ada hujah yang kata bukankah Islam mengembangkan agama dengan pedang? Kerana mereka baca dalam sejarah, umat Islam banyak menjalankan jihad perang dari zaman Nabi Muhammad lagi. Kalau ada yang berkata begitu, mereka telah mendapat maklumat yang salah tentang peperangan dalam Islam. Nabi dan Islam tidak pernah memaksa manusia masuk Islam. Nabi berperang untuk menegakkan keadilan. Agama Islam menjalankan jihad perang untuk membebaskan rakyat yang ditindas, bukannya memaksa mereka masuk Islam. Islam tidak perlukan manusia masuk Islam dalam paksaan. Allah mahu hambaNya yang ikhlas hati mereka untuk menyembah dan taat kepadaNya.

 

قَد تَبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan

Fahaman tauhid ini sangat jelas kebenarannya sampai tidak perlu dipaksa manusia untuk masuk Islam. Sangat jelas yang petunjuk tauhid itulah yang benar, kalau dibandingkan dengan kesesatan syirik. Yang tidak jelas itu adalah kerana mereka jahil tidak belajar maka hendaklah mereka itu belajar tafsir Qur’an barulah jelas. Ataupun mereka sudah nampak tapi mereka menutup hati mereka kepada Islam.

Apabila tauhid sudah jelas, maka syirik itu juga jelas sepertimana juga apabila hitam telah jelas maka putih pun jelas. Tapi kalau yang tidak belajar, mereka tidak akan tahu. Oleh itu, apabila kita memberitahu tentang apakah akidah yang lawannya syirik, masyarakat Islam banyak yang kekeliruan kerana tidak biasa mendengar tentangnya.

 

فَمَن يَكفُر بِالطّاغوتِ

Oleh itu, sesiapa yang engkar kepada Taghut,

Taghut itu bermaksud segala apa yang dipuja selain daripada Allah. Tidak kira apa benda pun. Boleh jadi manusia, kerajaan, fahaman, wang dan sebagainya. Orang yang beriman akan menolak taghut itu. Mereka tidak akan sembah selain dari Allah.

 

وَيُؤمِن بِاللَّهِ

dan ia pula beriman kepada Allah, 

Dan kena beriman benar-benar dengan Allah. Itulah iman yang sempurna iaitu tidak menyembah dan taat kepada selain dari Allah. Ini penting kerana manusia ada yang beriman dengan Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka beriman dengan ilah-ilah yang lain lagi.

Lihatlah susunan dalam ayat ini – Kena tolak taghut dulu baru sebut beriman dengan Allah. Macam kalimah la ilaaha illallah – kena tolak ilah selain Allah dulu. Selepas sudah tolak, barulah kita terima masuk iman itu. Begitulah kalau kita hendak memasukkan air ke dalam gelas, kita kena pastikan yang gelas itu bersih dari kekotoran dahulu. Jangan terus masukkan air yang baru kerana itu akan menyebabkan air itu akan bercampur dengan kekotoran yang sudah ada.

Malangnya, masyarakat Islam kita sekarang banyak yang mencampur adukkan fahaman iman dan fahaman syirik. Ini adalah kerana

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها

sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus.

عُروَةِ adalah sesuatu yang boleh dipegang. Macam steering kereta pun boleh dikatakan sebagai salah satu عُروَةِ juga. Allah berikan perumpamaan tali yang disimpul kuat sampaikan boleh dipegang. Dalam keadaan yang bergolak, seperti kapal yang dilanda badai lautan, kita kena pegang kepada sesuatu yang boleh menyelamatkan kita.

Ada tafsir yang mengatakan bahwa عُروَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Qur’an. Maknanya kita kena berpegang dengan Qur’an. Maka, kenalah belajar sampai habis tafsir Quran ini dan terus mempelajari dan mendalami pemahamannya.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s