Tafsir Surah Baqarah Ayat 238 – 245

Ayat 238: Dalam ayat-ayat sebelum ini kita telah banyak belajar tentang ayat-ayat Umur Munazimah iaitu tentang hubungan sesama manusia. Tetapi kita diingatkan di sini bahawa hubungan dengan manusia itu hanya boleh menjadi baik jikalau kita menjaga hal-hal Umur Muslihah iaitu hubungan dengan Allah Taala. Tidak mungkin hubungan dengan manusia ini akan menjadi baik jikalau tidak dijaga hubungan dengan Allah. Sebab itulah di antara ayat-ayat yang mengajar menjaga hubungan dengan manusia itu, diselitkan dengan ayat-ayat tentang menjaga hubungan dengan Allah.

حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قانِتينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Maintain with care the [obligatory] prayers and [in particular] the middle prayer and stand before Allah , devoutly obedient.

MALAY

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ

Peliharalah kamu segala sembahyang fardu

Hal-hal perkahwinan dan perceraian yang telah banyak disebut sebelum ini hanya boleh dijaga oleh mereka yang menjaga sembahyang sahaja. Kalaulah mereka itu bukan jenis mereka yang menjaga solat, mereka tidak akan ikut pun hukum dan saranan Allah itu sebab mereka tidak pandang penting arahan yang telah diberikan oleh Allah itu. Sedangkan hukum tentang ibadat pun mereka langgar, apatah lagi hukum tentang ‘adat’.

Sebagai manusia, tentulah perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan dimana satu perhubungan rapat telah terputus. Tapi Allah nak ingatkan, kalau perkara itu terjadi, masih kita kena jaga satu lagi hubungan – hubungan dengan Allah. Semasa dalam solat itulah kita adukan segala kesedihan kita kepada Allah. Kita minta petunjuk dari Allah bagaimana cara menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan beri kita kekuatan untuk menghadapinya.

Jagalah hubungan kita dengan Allah dan lebih-lebih lagi hendaklah kita menjaga sembahyang Fardu. Solat lima waktu itu telah dipilih khas oleh Allah untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Allah Taala. Memang telah disusun sebegitu dalam waktu-waktu tertentu supaya walaupun kita dalam keadaan sibuk dengan kehidupan di dunia, masih kita luangkan masa untuk bersama dengan Allah.

Allah telah susun waktu-waktu solat itu supaya ia merangkumi sepanjang hari. Oleh itu, walaupun kita solat sebanyak 17 rakaat, tidaklah boleh kita buat semua sekali dalam satu waktu. Kita ikut waktu solat yang telah ditetapkan. Supaya kita solat, kemudian kita menjalani kehidupan seharian kita, kita kemudian tidak lama kemudian akan solat kembali. Sebagai contoh, apabila kita telah solat subuh, kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah dari waktu subuh membawa ke Zohor keberkatan itu dan apabila waktu Zohor tiba dan kita solat, kita berhubung kembali dengan Allah. Keberkatan Solat Zohor itu dibawa sampai ke Asar dan sampai waktu Asar, kita solat kembali. Kemudian seterusnya dengan solat-solat yang lain.

 

وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ

khasnya Sembahyang Pertengahan

Dalam solat Fardhu yang lima waktu itu, solat yang paling utama perlu dijaga adalah solat pertengahan. Jumhur ulama mengatakan solat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Solat Asar. Adalah kerana Solat Asar duduknya di tengah-tengah antara siang dan malam. Solat Subuh dan Zuhur dikira solat dalam waktu siang dan waktu Maghrib dan Isyak dikira solat waktu malam dan Asar duduknya di tengah-tengah.

Walau bagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Solat Pertengahan ini adalah Solat Subuh dan ini juga adalah salah satu pendapat Mazhab Syafie.

 

وَقوموا لِلَّهِ قانِتينَ

dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Jadi dalam ayat ini, ada dua perkara yang Allah suruh jaga dalam ayat ini – jaga waktu solat dan jaga khusyuk dalam solat. Bukan itu sahaja, hendaklah kamu berdiri solat semata-mata kerana Allah – ikhlas. Dan dalam solat itu, jaga rukun, jaga syarat yang wajib, jaga adab dan jaga hati. Maknanya kena jaga semua. Kena jaga zahir dan batin.

Kalau nak dikirakan, sepatutnya boleh dijaga semua perkara ini kerana bukan lama pun solat itu. Selalu orang solat dalam masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Kalau pendek macam itu, sepatutnya memang boleh jaga. Tapi realitinya menjaga solat itu memang payah sikit sebab semasa nak solatlah syaitan akan hebat serang dan kacau kita. Ini adalah kerana Syaitan tak mahu kita ingat kepada Allah.

Oleh itu, segala perkara ini perlu dilatih dalam solat-solat sunat. Dan semua zikir dalam solat perlu dilakukan di luar solat juga supaya kita biasa melakukannya.


 

Ayat 239: Suruhan menjaga solat ini bukan sahaja semasa aman, tetapi semasa perang pun. Semasa kita berperang dengan musuh yang zahir, jangan kita lupa untuk berperang dengan musuh yang batin juga, iaitu syaitan. Maka dalam keadaan perang pun kita masih disyari’atkan untuk solat. Kena jaga juga hubungan kita dengan Allah Taala iaitu dengan menjaga solat kita. Kalau perang pun kena jaga solat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman. Maka, tidak ada alasan untuk meninggalkan solat.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you fear [an enemy, then pray] on foot or riding. But when you are secure, then remember Allah [in prayer], as He has taught you that which you did not [previously] know.

MALAY

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,

Kalau kamu bimbang disebabkan oleh peperangan yang berlaku, maka ada keringanan yang diberikan kepada manusia dalam mengerjakan solat.

Solat masih tetap wajib dilakukan tetapi diringankan iaitu boleh dilakukan semasa berjalan dan juga di atas kenderaan.

 

فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم

kemudian apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah, sebagaimana Allah telah ajar kamu

Dalam ayat ini disebutkan bahawa kita kena ingat Allah, maknanya ayat ini hendak memberitahu yang dalam solat itu, perkara yang paling penting kita kena lakukan adalah ingat kepada Allah.

Apabila dalam keadaan aman, kena ikut cara solat sebagaimana yang Allah ajar kita untuk solat dalam keadaan biasa.

Ingatlah bahawa solatlah ibadat terbaik.

 

ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

apa yang kamu dulu tidak mengetahuinya.

Sebelum ini kita tidak tahu pun cara-cara untuk solat tapi Allah telah ajarkan kita melalui NabiNya.

Dua-dua ayat di atas adalah ayat Umur Muslihah. Lihatlah bagaimana Allah selang selikan antara ayat-ayat hubungan dengan masyarakat (Umur Munazimah) dengan ayat-ayat tentng hubungan dengan Allah (Umur Muslihah). Allah selang selikan kerana dua-dua jenis ayat ini adalah amat berkaitan sekali.


 

Ayat 240: Kembali kepada ayat-ayat Umur Munazimah tentang hal-hal perkahwinan.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزواجًا وَصِيَّةً لِأَزواجِهِم مَتاعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And those who are taken in death among you and leave wives behind – for their wives is a bequest: maintenance for one year without turning [them] out. But if they leave [of their own accord], then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable way. And Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزواجًا

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, 

Ayat ini adalah kepada suami yang mati dan ada meninggalkan isteri. Tentulah perkara ini biasa sangat terjadi maka Islam telah meletakkan saranan tentang apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti itu. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung dan terkontang kanting.

 

وَصِيَّةً لِأَزواجِهِم

hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka

Suami itu hendaklah berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. Tidak patut isterinya itu dibiarkan begitu sahaja.

 

مَتاعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ

iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.

Kena sediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak kahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik. Isteri-isterinya itu memang boleh kahwin lain tetapi jikalau mereka tidak kahwin lain, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka.

Isterinya itu kena dibiarkan tinggal di rumah yang dia tinggal dengan suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi.

 

فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَعروفٍ

Kemudian jika mereka keluar maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut 

Isteri itu boleh tinggal selama setahun di rumah itu, tapi kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu. Tapi kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf. Sebagai contoh, dia kahwin lain, atau kerja tempat yang jauh. Tidaklah boleh dibenarkan kalau ikut lelaki lain pula.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


 

Ayat 241:

وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And for divorced women is a provision according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

MALAY

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut,

Kepada wanita yang diceraikan seeloknya diberikan sedikit sebanyak hadiah kepada mereka. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.

Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik; waktu kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan dan kemarahan kepada wanita itu. Ada orang yang beri tetapi mereka tunjukkan yang mereka tidak suka semasa memberi hadiah itu. Jadi kita kena tahu tujuan kita memberi hadiah itu iaitu untuk mengurangkan kesedihannya. Jadi kalau kita memberi itu tetapi dalam masa yang sama menyebabkan dia sakit hati maka itu tidak mendapati syariat.

 

حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Ini adalah tanggungjawab kepada orang yang jaga akidah dan taqwanya.


 

Ayat 242:

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم آياتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Thus does Allah make clear to you His verses that you might use reason.

MALAY

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم آياتِهِ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumNya

Begitulah Allah mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai dan dapat menjaga hukum Allah di atas muka bumi ini.

 

لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

mudah-mudahan kamu dapat memikirkannya

Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini.

Baqarah 234-242


 

Ayat 243: Ini adalah pengulangan semula bab jihad. Banyak ayat-ayat jihad dan infak diselit antara ayat-ayat Umur Munazimah. Ini adalah kerana Allah hendak memberitahu bahawa perkara-perkara Umur Munazimah itu penting supaya jihad dan infak dapat dilakukan. Bila umat Islam baik dan bersatu, barulah jihad dan infak dapat dilakukan. Maknanya, tujuan utama adalah untuk jihad dijalankan.

Dan tujuan jihad dilakukan pula adalah untuk kenalkan Allah kepada manusia. Jadi kalau orang yang melakukan jihad itu sendiri tidak kenal Allah, tak tahu apa tauhid dan syirik, maka jihadnya itu adalah sia-sia sahaja. Nak ajak orang kenal Allah, tapi dia sendiri tak kenal Allah. Kalau dia sendiri mati semasa berjihad itu, dia akan terus masuk neraka kerana dia sendiri mungkin ada amalkan syirik.

Kalau seseorang itu mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik, barulah Allah akan tolong dia dalam jihad. Apabila kita kata ‘kenal Allah’, kenalah kenal Allah sebagaimana yang Dia ajar kita dalam Quran. Bukanlah mengenali Allah itu macam cara tarekat dan tasawuf yang banyak zikir untuk kenal Allah. Itu bukan caranya. Untuk kenal Allah, ianya dengan ilmu. Dan untuk dapat ilmu, kena belajar. Dan yang penting adalah kena belajar tafsir Quran kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Quran.

Apabila disebut tentang jihad, salah satu perkara yang menghalang jihad dijalankan adalah takut mati. Maka Allah buka cerita dalam ayat ini tentang golongan terdahulu yang takut mati sampai tidak menjalankan jihad. Kisah ini dibawa semasa umat Islam akan berperang dengan Musyrikin Mekah (Perang Badr). Allah bawakan kisah Bani Israil sekali lagi dalam ayat ini. Ada kisah yang bagus dan ada kisah yang tidak baik tentang mereka. Kita dah banyak baca tentang kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini. Tapi ada juga dari kalangan mereka yang Allah suruh kita jadikan sebagai contoh.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيارِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحياهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Have you not considered those who left their homes in many thousands, fearing death? Allah said to them, “Die”; then He restored them to life. And Allah is full of bounty to the people, but most of the people do not show gratitude.

MALAY

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيارِهِم

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya

 

Ini tentang golongan Bani Israil dulu yang lari keluar dari kampung halaman mereka kerana takut jihad. Mereka lari dari berjihad mempertahankan tanahair mereka kerana mereka takut mati. Oleh kerana itu, mereka telah dihalau dari Jerusalem dan telah dibawa ke Babylon dan dijadikan hamba abdi.

 وَهُم أُلوفٌ

sedang mereka beribu-ribu ramainya

Sedangkan bilangan mereka beribu-ribu dan lebih ramai dari musuh mereka waktu itu. Tapi mereka masih juga takut dan mereka tetap lari. Kalau musuh itu ramai, masuk akal juga, tapi tidak. Ini adalah kerana mereka takut mati sangat sampaikan mereka tidak mempertahankan kampung halaman mereka sendiri.

Kita manusia biasa memang takut mati pun, jangan kata tidak takut pula. Tapi kalau kita dijanjikan syurga kalau kita mati, siapa yang tidak mahu? Ingatlah bahawa Roh orang yang mati syahid akan terus dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama dengan roh orang lain. Roh mereka yang mati bukan semasa jihad, kena tunggu dibicarakan di Mahsyar barulah boleh masuk syurga. Oleh kerana telah dijanjikan dengan syurga sebegitu rupa, Jadi tidak patut kalau kita takut mati dalam jihad.

 

حَذَرَ المَوتِ

kerana takutkan mati

Inilah bahayanya apabila cintakan dunia sangat sampaikan tidak mahu meninggalkan dunia walaupun dengan cara yang mulia. Sedangkan kita semua akan tetap mati akhirnya, tidak ada yang hidup selama-lamanya.

 

فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحياهُم

Maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka.

Maka oleh kerana mereka takutkan mati sangat, Allah arahkan mereka mati terus. Dalam tafsir ada disebut bahawa mereka dimatikan selama lapan hari. Dan memang mereka mati betul, bukan pengsan. Kerana mereka takut mati sangat, Allah matikan mereka terus.

Ada juga yang mengatakan bukan mereka dimatikan dari segi fizikal, tapi hati mereka yang dimatikan sampai tidak mempunyai daya untuk melawan dan berjihad. Hanya keturunan di bawah mereka sahaja yang kemudian berjihad.

Kemudian Allah hidupkan kembali setelah seminggu mereka mati. Allah nak beritahu yang mereka takut mati sangat itu kenapa? Sedangkan mati itu adalah hak Allah. Allah boleh hidupkan dan Allah boleh matikan.

 

إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ

Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia

Allah ada banyak kurnian besar kepada manusia. Iaitu Allah masih lagi beri peluang kepada manusia walaupun manusia dah banyak buat salah. Sebagai contoh, boleh sahaja kalau Allah matikan mereka dan kemudian terus masukkan mereka ke neraka. Tapi Allah masih beri peluang lagi kepada mereka dan hidupkan kembali mereka. Begitulah juga kita, entah berapa banyak peluang Allah telah berikan kepada kita.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Tapi ramai manusia yang tidak bersyukur atas peluang yang Allah telah berikan kepada mereka.


 

Ayat 244:

وَقاتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And fight in the cause of Allah and know that Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَقاتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ

Dan berperanglah kamu pada jalan Allah

Kemudian Allah beri arahan berjihad. Ini adalah berperang dalam jihad kemuncak, iaitu jihad perang yang ada kemungkinan boleh mati. Kita gunakan terma ‘jihad kemuncak’ untuk membezakan antara beberapa jenis jihad. Jihad kemuncak adalah jihad yang paling tinggi iaitu iaitu jihad perang yang ada kemungkinan mencabut nyawa kita. Iaitu jihad yang berhadapan dengan mati. Ini hendak membezakan sebab jihad itu ada lain – jihad melawan nafsu, jihad lisan dalam dakwah dan sebagainya. Kemuncak segala jihad itu adalah jihad perang.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah tahu laungan hamba yang menyeru dan mengajak kepada jihad. Dan Allah juga tahu laungan hamba yang hendak menghentikan jihad. Ada yang sanggup mengatakan jihad perang tidak ada dalam Islam. Itu adalah pendapat yang salah kerana itu sudah menidakkan satu perkara yang penting dalam agama Islam.

Dan Allah tahu hati manusia samada mereka ikhlas dalam jihad atau tidak.


 

Ayat 245: Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat jihad akan diselangi dengan ayat-ayat tentang infak kerana infak perlu untuk jihad dijalankan. Jihad memerlukan belanja yang besar untuk menjalankannya. Jihad dan infak adalah seperti dua sayap pada burung. Kena ada dua-dua sayap untuk burung itu terbang. Oleh kerana itu, setelah Allah sebut tentang jihad, Allah sebut pula kelebihan infak untuk jalan Allah.

مَن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضاعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Who is it that would loan Allah a goodly loan so He may multiply it for him many times over? And it is Allah who withholds and grants abundance, and to Him you will be returned.

MALAY

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

مَن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik

Allah sebut tentang pinjaman yang ikhlas. Allah gunakan perkataan pinjaman dalam ayat ini kerana Allah hendak mengingatkan kita bahawa apa yang kita berikan dalam infak itu adalah sebagai ‘pinjaman’ sahaja. Bukannya beri terus. Kalau kita pinjamkan barang, kita boleh ambil balik, bukan? Maknanya, Allah akan pulangkan balik infak kita itu berganda-ganda banyaknya. Allah simpan dalam khazanahNya dan akan dikembalikan kepada kita di akhirat kelak.

Malu juga apabila Allah gunakan perkataan ‘pinjaman’ ini. Bayangkan, bukankah segala apa yang kita ada dari rezeki ini semuanya dari Allah? Tapi apabila nak kita infak, Allah kata berikan ‘pinjaman’ kepadaNya… Macam Allah perli kita, “tidak mengapa… Aku nak ‘pinjam’ sahaja, nanti Aku pulangkan balik…”  Bayangkan kalau emak kita yang sudah banyak jasa membesarkan dan memberikan pendidikan kepada kita, apabila dia kesulitan wang, datang kepada kita dan minta pinjam wang…. adakah kita sanggup beri ‘pinjam’? Adakah kita sanggup nak tuntut balik wang yang kita beri itu? Bukankah sepatutnya kita awal-awal lagi sudah beri pertolongan kepada emak kita? Tidak patut emak kita susah sampaikan nak kena jumpa kita dan minta pinjam duit kita. Kita patut kena peka dengan masalah emak kita dan beri terus pertolongan tanpa perlu emak kita rasa malu datang kepada kita minta pertolongan. Dan kita kena minta maaf kepada emak kita kerana dia sampai susah tapi kita lambat tahu sampai dia kena datang minta tolong kepada kita…kerana kita sepatutnya awal-awal lagi dah kena tahu yang emak kita ada masalah. Tak payah tunggu dia datang dan beritahu kita.

 

 

 فَيُضاعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً

supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya

Allah balas infak kita dengan sangat banyak. Tak tergambar betapa banyaknya.

 

وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan

Mungkin ada yang takut nak infak banyak sebab takut habis harta mereka. Allah beritahu yang Dia lah sahaja yang mengecilkan – menahan harta jadi sikit. Dan Dia juga yang mengembangkan harta kita jadi banyak. Maka kalau Allah yang suruh kita infak, tentulah Allah akan balas dengan lebih banyak, sebab Dia boleh kembangkan rezeki kita. Macam-macam cara Allah kembangkan rezeki kita – kita dapat kerja yang baik dengan gaji besar, perniagaan kita maju, hutang kita selesai, duit sedikit tapi cukup untuk seisi keluarga, dan macam-macam cara lagi Allah balas kita. Maka jangan bimbang untuk infak dengan banyak. Jangan takut harta kita habis. Allah akan kembangkan rezeki kita. Tapi kena percaya kepada Allah lah.

 

وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Allah ingatkan, kalau sayang sangat harta kita pun, ingatlah yang kita semua akan mati dan pulang ke akhirat juga akhirnya. Harta yang kita sayang sangat itu, bukan boleh bawa mati. Harta yang kita simpan banyak-banyak itu akan jadi milik orang lain pun kerana kita dah tinggalkan. Kalau anak-anak kita ingat kepada kita, mereka sedekah dan niatkan pahala itu untuk kita. Tapi kalau mereka habiskan sahaja, tidak ada pulangan untuk kita dalam bahagian harta itu dan ia habis begitu sahaja. Maka baiklah kalau kita simpan dengan Allah. Supaya kita boleh ambil balik di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ayat seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s