Tafsir Surah Baqarah Ayat 231 – 233 (Menyusukan anak)

Ayat 231: Kita masih lagi dalam bab cerai. Kebiasaan masyarakat Arab Jahiliah, mereka memang ada proses nikah dan cerai tapi proses itu tidak ada had dan mereka boleh melakukannya berkali-kali sebelum Islam menghadkannya kepada tiga kali sahaja. Mereka boleh buat begitu kerana mereka tidak ada kitab dan tidak ada pegangan agama yang benar, jadi mereka buat ikut suka hati mereka sahaja.

Jadi lelaki Arab Jahiliah biasa menceraikan isteri mereka jikalau mereka marah dan semasa masih dalam iddah, mereka akan rujuk semula isteri mereka itu dan kemudian mereka ceraikan berkali-kali. Ini adalah satu kezaliman kepada isteri itu kerana mereka dipermainkan begitu. Lelaki tidak rasa beban dengan perkara begitu kerana mereka boleh berkahwin ramai. Kalau mereka ceraikan seorang isteri, mereka ada isteri-isteri yang lain.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ ۚ وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِتَعتَدوا ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ وَلا تَتَّخِذوا آياتِ اللَّهِ هُزُوًا ۚ وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِنَ الكِتابِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And when you divorce women and they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or release them according to acceptable terms, and do not keep them, intending harm, to transgress [against them]. And whoever does that has certainly wronged himself. And do not take the verses of Allah in jest. And remember the favor of Allah upon you and what has been revealed to you of the Book and wisdom by which He instructs you. And fear Allah and know that Allah is Knowing of all things.

MALAY

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya

Kena terjemah ayat ini: ‘hampir sampai tamat tempoh iddah’ dan bukannya ‘telah sampai tempoh iddah’. Kalau baca lafaz asal, ianya hanya bermaksud apabila telah habis tempoh iddah. Tapi kalau sudah habis tempoh iddah, sudah tidak boleh rujuk kembali, maka tidak sesuai dengan pemahaman hukum. Maka, kena baca: telah ‘hampir’ tempoh iddah.

 

فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik

Maka seorang suami boleh rujuk isteri mereka yang telah diceraikan dan tahan mereka sebagai isteri dengan cara yang makruf. Maksud ‘makruf’ itu, kenalah hidup sebagai suami isteri dengan cara yang biasa. Jangan membahayakan mereka dan berlaku zalim kepada mereka. Jangan seksa emosi mereka.

Kita sudah banyak berjumpa dengan perkataan ‘makruf’ dalam ayat-ayat sebelum ini, tetapi Allah tidak sebut pun dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan maksud ‘makruf’ itu. Ini adalah kerana kita sebagai manusia yang ada akal fikiran ini sudah tahu apakah yang baik dan bagaimanakah cara untuk melayan orang dengan baik. Tidak perlu jadi orang Islam pun tahu bagaimana berbaik-baik dengan orang lain. Tidak perlu ajar pun kita sudah tahu, jadi Allah cuma perlu mengingatkan kita sahaja.

 

أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. 

Atau kamu biarkan sampai telah habis iddah dan sempurnalah proses cerai itu. Dengan cara yang ma’ruf itu adalah jangan rujuk setelah kamu ceraikan tiga kali. Jangan burukkan mereka, jangan letak syarat yang tidak patut-patut, jangan berkelahi, jangan cakap tidak elok kepada mereka dan sebagainya.

Apabila isteri itu dilepaskan, maka bolehlah mereka berkahwin dengan lelaki lain.

 

وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِتَعتَدوا

Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melampau;

Jangan kamu ulangi perbuatan zaman jahiliah di mana seorang lelaki boleh cerai rujuk, cerai rujuk isteri itu berkali-kali sampai bila-bila dan membahayakan wanita itu sampai zalim kepada wanita.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ

dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.

Dikatakan sebagai zalim kerana langgar hukum Tuhan. Kamu berbuat zalim kepada orang lain, tapi apabila kamu lakukan begitu, kamu menzalimi diri kamu sendiri sahaja kerana kerana perbuatan kamu itu, kamu akan mendapat murka Allah dan akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

وَلا تَتَّخِذوا آياتِ اللَّهِ هُزُوًا

dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan

Dikatakan main-main apabila tidak ikut hukum Tuhan. Apabila kena dengan nafsu kamu, kamu ikut; tapi apabila tidak kena dengan nafsu dan rancangan kamu, kamu tolak begitu sahaja. Macam hukum Allah itu tidak ada nilai langsung.

 

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم

Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, 

Ingatlah nikmat Allah yang telah ajar hukum berkeluarga yang adil. Apabila menggunakan hukum itu, keluarga jadi aman dan hidup jadi mudah dan terjaga.

 

وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِنَ الكِتابِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ

(dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. 

Kenanglah nikmat Allah memberikan wahyu kepada kamu dalam bentuk Quran dan hadis Nabi. Lafaz الحِكمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hadis dan sunnah dari Nabi. Dengan adanya dua sumber hukum itu, hidup kita akan terjaga dan masyarakat akan hidup dengan baik.

Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam tidak mengendahkan dua rumber rujukan nas yang dua ini. Mereka tak belajar pun apakah yang Quran dan Sunnah sampaikan. Mereka lebih suka rujuk kepada ajaran-ajaran dari kata-kata manusia biasa.

 

 وَاتَّقُوا اللَّهَ

Dan bertaqwalah kepada Allah

Allah mengingatkan kita untuk bertaqwa kepadaNya. Surah Baqarah ini dimulai tentang taqwa dan banyak ayat-ayat di dalamnya yang mengajar kita untuk taqwa. ‘Taqwa’ maksudnya menjaga hukum. Iaitu kita prihatin dengan hukum yang disampaikan oleh Allah dan kita taat kepadanya. Tapi kalau kita tidak tahu apakah hukum Allah, bagaimana kita hendak taat kepada hukum itu?

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Apa sahaja yang kita lakukan, Allah sedang perhati. Kalau kita langgar hukumNya, Dia akan catit dan Dia akan balas kesalahan dosa itu dengan neraka.


 

Ayat 232: Ini pula khitab (titah) kepada wali pula. Kerana kadang-kadang pasangan itu sudah molek mahu bersama kembali, tapi kadang-kadang ada masalah pada wali pula. Kerana mungkin suami isteri mahu berkahwin kembali tapi dihalang oleh wali. Sebab apabila nak kahwin semula memerlukan kebenaran wali. Mungkin mereka tak suka kalau pasangan itu kembali bernikah. Jadi Allah tegur mereka dalam ayat ini.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزواجَهُنَّ إِذا تَراضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ ۗ ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۗ ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And when you divorce women and they have fulfilled their term, do not prevent them from remarrying their [former] husbands if they agree among themselves on an acceptable basis. That is instructed to whoever of you believes in Allah and the Last Day. That is better for you and purer, and Allah knows and you know not.

MALAY

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ‘ maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka

Ini apabila dah habis iddah. Iaitu kalau masih cuma dua kali cerai sahaja, kerana kalau sudah tiga kali cerai, kalau dah habis iddah pun tidak boleh kahwin balik. Apabila sudah habis iddah, tidak boleh rujuk, tapi boleh kahwin semula. Melalui proses nikah seperti mula-mula kahwin dahulu.

 

فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزواجَهُنَّ

maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka,

Jangan kamu wahai wali, jangan halang mereka untuk berkahwin semula apabila mereka telah bersetuju dengan cara yang baik.

Kepada orang-orang lain yang bukan wali kepada wanita itu juga janganlah menghasut isteri itu untuk tidak kahwin semula dengan bekas suaminya. Kadang-kadang dalam hal perkahwinan ini, banyak pihak yang terlibat, yang memberi nasihat yang tidak patut-patut. Mereka sepatutnya memberi nasihat yang baik, tapi selalunya mereka ikut perasaan sahaja.

 

إِذا تَراضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ

apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik

Mereka mungkin telah sedar kesilapan mereka yang lalu dan mereka sekarang hendak bersatu semula dan hendak ikut undang-undang Islam.

 

 

 ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau mereka nak kahwin semula, apa yang patut kita wali atau ahli keluarga perlu lakukan? – senyap sahaja.

Jika akidah betul, maka akan mudah untuk ikut hukum Tuhan. Itu sebabnya diulang kata: kalau kamu takut kepada Allah dan Hari Akhirat. Itu isyarat kepada akidah.

 

ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ

Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci.

Lebih baik untuk kamu itu maksudnya kamu bebas dari orang kata kamu benci. Sebab kalau kamu halang, orang akan kata macam-macam tentang kamu.

Lebih suci bagi mereka berdua. Sebab kalau ditahan juga mereka dari berkahwin semula, mungkin mereka akan buat benda tidak elok – mereka jumpa sesama mereka, naik kenderaan sekali dan boleh jadi macam-macam. Paling kita takut kalau jadi zina. Orang kampung kalau nampak mereka bersama pun mungkin tak tegur kerana sangka mereka dah kahwin. Nanti wali itu juga yang malu kalau jadi sampai begitu.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya. 

Kamu sangka dengan kamu halang mereka berkahwin semula itu adalah baik; tapi Allah hendak memberitahu yang tidak semestinya begitu. Allah lebih tahu apakah yang baik untuk kamu dan mereka.

Baqarah 230-232


 

Ayat 233: Ini pula kalau suami isteri dah bercerai dan ada anak. Selepas keduanya dah bercerai, mungkin salah seorang dah berkahwin lain atau dua-dua dah kahwin lain. Dan selalu kalau dah cerai, selalunya tak mahu pun tengok pun muka isteri atau suami. Ini adat kebiasaan yang terjadi. Malangnya, ada kes anak yang jadi mangsa. Anak itu bukan tahu apa-apa, mereka nak susu sahaja. Maka Islam jaga kepentingan anak.

۞ وَالوالِداتُ يُرضِعنَ أَولادَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ والِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ ۗ فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما ۗ وَإِن أَرَدتُم أَن تَستَرضِعوا أَولادَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم إِذا سَلَّمتُم ما آتَيتُم بِالمَعروفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Mothers may breastfeed their children two complete years for whoever wishes to complete the nursing [period]. Upon the father is the mothers’ provision and their clothing according to what is acceptable. No person is charged with more than his capacity. No mother should be harmed through her child, and no father through his child. And upon the [father’s] heir is [a duty] like that [of the father]. And if they both desire weaning through mutual consent from both of them and consultation, there is no blame upon either of them. And if you wish to have your children nursed by a substitute, there is no blame upon you as long as you give payment according to what is acceptable. And fear Allah and know that Allah is Seeing of what you do.

MALAY

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

وَالوالِداتُ يُرضِعنَ أَولادَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap

Ibu-ibulah yang boleh menyusukan anak mereka. Maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah, ibu-ibu wajib menyusukan anak-anak mereka. Walaupun sudah bercerai.

Tempoh terbaik adalah selama dua tahun cukup. Tapi tidaklah wajib sampai dua tahun.

 

لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ

bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; 

Kalau boleh, selama dua tahun, tapi kalau kurang pun boleh.

 

وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ

dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Kerana ibu disuruh menyusukan anak itu, maka bapa kena sediakan rezeki untuk ibu. Bukan makanan sahaja, tapi dengan minuman lah sekali. ‘Makruf’ itu maksudnya nenepati syariat. Dan yang bersesuaian dengan masyarakat. Yang diterima oleh masyarakat setempat. Maknanya, beri yang sesuai, jangan beri makanan dan pakaian yang buruk. Allah tidak berikan butiran, kerana perkara ini boleh dinilai sendiri.

 

لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. 

Berapa banyak bayaran dan keperluan tidak ditentukan oleh Allah. Ianya ikut kepada kemampuan. Kepada ibu itu pula, kenalah berpada-pada menetapkan bayaran. Jangan minta bayaran banyak sangat atas alasan dia kena susukan anak itu. Sedangkan itu pun anak dia juga.

 

لا تُضارَّ والِدَةٌ بِوَلَدِها

Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, 

Jangan susahkan ibu itu dalam hal susuan ini. Antaranya, suami itu jangan lari dari tanggungjawap dia. Dalam hal ini, mahkamah kena tolong. Kena pastikan yang lelaki itu bertanggungjawap dan kalau dia hendak lari, kena ada tindakan terhadap mereka.

 

وَلا مَولودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ

dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Begitu juga, jangan susahkan ayah itu. Antaranya, jangan tuntut lebih dari yang patut-patut. Kalau tidak ada persetujuan antara keduanya, maka mahkamah kena buat keputusan apakah yang patut.

Kita banyak sebut tentang mahkamah terlibat dalam hal antara suami isteri yang bercerai ini. Sebenarnya, kalau sama-sama faham agama dan guna akal yang waras dan hati yang suci, tak perlu bawa ke mahkamah pun.

 

وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ

dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut

Jangan juga waris disusahkan. Kerana kadang-kadang waris terlibat dalam hal ini. Contohnya, kalau ayah bayi itu sudah mati. Dalam kes sebegitu, waris suami kenalah tanggung, jangan buat tak tahu sahaja.

Yang penting, tak boleh biarkan bayi itu dalam kesusahan. Seorang anak kena dibesarkan dengan baik. Fikirkanlah juga masa depan anak itu.

 

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما

jika keduanya mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah

Ini pula jikalau tidak boleh teruskan penyusuan itu. Mungkin ibu itu kena pergi ke tempat yang jauh dari bapa itu atau sebagainya. Persetujuan boleh dicapai untuk tamatkan penyusuan – dalam Bahasa Melayu dipanggil Sapih. Dua-dua kena rela dengan keputusan itu. Maka kenalah ada perbincangan antara mereka dengan apa nak buat, jangan buat keputusan sebelah pihak sahaja.

Yang penting, jangan anak itu yang jadi mangsa. Seperti yang kita tahu, susu ibu memang makanan terbaik untuk bayi itu. Maka, mungkin untuk buat keputusan, kena periksa dan tanya dengan doktor. Setelah dilakukan semua ini, baru tidak berdosa dan tidak melanggar ayat ini.

 

وَإِن أَرَدتُم أَن تَستَرضِعوا أَولادَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم

Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu

Penyusu lain pun boleh. Iaitu beri anak itu menyusu dengan orang lain.

 

إِذا سَلَّمتُم ما آتَيتُم بِالمَعروفِ

apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Asal sanggup beri upah kepada penyusu itu. Kena tengok pada keadaan bayi itu dan kemampuan masing-masing dalam segala hal.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah menekankan kepentingan taqwa sekali lagi dalam ayat ini. Segala perkara yang telah disebut ini akan mudah dilakukan dan dicapai jikalau semuanya ada taqwa kepada Allah. Perceraian mungkin tidak dapat dielakkan. Tapi buatlah dengan cara yang baik.

Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan dan keputusan yang kita buat. Allah tahu niat hati kita dan usaha kita untuk menepati kehendakNya.

Baqarah 233

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s