Tafsir Surah Baqarah Ayat 226 – 230 (Hukum Cerai)

Ayat 226: Setelah menyebut tentang sumpah dalam ayat sebelum ini, Allah sekarang menyebut tentang salah satu kebiasaan orang Arab dalam bersumpah.

لِلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِسائِهِم تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ ۖ فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

For those who swear not to have sexual relations with their wives is a waiting time of four months, but if they return [to normal relations] – then indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

لِلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِسائِهِم

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka,

Iaitu mereka biasa bersumpah atas nama Allah untuk tidak menyetubuhi isterinya. Sumpah ini dinamakan Sumpah ila’. Mereka lakukan begitu apabila mereka marah kepada isteri mereka. Mereka pula ada banyak isteri maka tidak ada masalah kepada mereka kalau mereka menahan diri dari bersetubuh dengan isterinya yang satu itu, kerana mereka ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya. Tetapi isteri-isteri mereka yang merana kerana dibiarkan begitu sahaja dan mereka tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain kerana mereka masih lagi berstatus isteri kepada suaminya. Mereka boleh ‘tergantung tanpa tali’ sampai mati. Ini adalah perbuatan kepada zalim kepada wanita maka Allah turunkan ayat ini untuk memperbetulkan kezaliman ini.

تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ

diberikan tempoh empat bulan.

Masalah dengan sumpah ila’ ini adalah tidak ada cara untuk membatalkannya di dalam fahaman dan undang-undang Arab Jahiliah. Apabila tidak ada, maka ianya menjadi satu kezaliman kepada kaum isteri. Maka Islam tidak membatalkan perbuatan sumpah itu tetapi yang diubah adalah sistem tersebut. Masa yang ditetapkan di dalam Islam adalah empat bulan. Jadi sudah ada had yang ditetapkan, tidaklah sampai bila-bila. Maknanya, seorang isteri itu tahulah yang ada masa maksima yang dia perlu tunggu dan tidak lebih dari itu. Jikalau dia bersetubuh dengan isterinya sebelum empat bulan, maka dia dikira sudah membatalkan sumpahnya itu dan dia kena bayar dam kerana telah membatalkan sumpah.

Oleh itu, si suami oleh ila’ isterinya berapa lama sahaja, tapi tidak boleh lebih dari empat bulan. Itu adalah had maksima. Suami itu akan berkata: “aku ila’ engkau selama sebulan”, atau “aku ila’ engkau selama empat bulan”, dan sebagainya. Apabila dia telah bersumpah dan menetapkan  masa, dia kena tunggu masa itu sampai habis.

Dan jikalau telah cukup empat bulan dan dia tidak melakukan apa-apa, isterinya boleh pergi mengadu hal ini ke mahkamah dan qadi boleh mengeluarkan keputusan untuk menceraikan mereka. Ia akan menjadi talaq bain (talaq yang tidak boleh dirujuk). Dalam Mazhab Syafie, perempuan itu kena mengadu ke mahkamah, tetapi dalam Mazhab Hanafi, pasangan itu telah bercerai secara otomatik apabila telah cukup empat bulan.

Cerai Bain tidak boleh rujuk dan kalau nak bersama kembali, pasangan itu kena nikah semula, bayar mahr semula dan sebagainya.

فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Suami boleh rujuk semula dengan menyetubuhi isterinya itu. Allah akan mengampun kesalahan mereka sebelum itu dan kalau Allah sudah ampunkan, Dia tidak akan mengazab hambaNya itu.


Ayat 227:

وَإِن عَزَمُوا الطَّلاقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if they decide on divorce – then indeed, Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

وَإِن عَزَمُوا الطَّلاقَ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak

Ini kalau suami itu berazam juga untuk bercerai. Dah lepas empat bulan pun tapi masih lagi marah dan tidak dapat nak berbaik kembali. Dalam keadaan ini, kena biarkan wanita itu bebas supaya dia boleh kahwin lain. Jangan lagi gantung mereka tanpa tali. Berlapang dadalah dan biarlah dia menjalani kehidupannya yang baru.

Ayat ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa selepas empat bulan, perhubungan suami isteri itu tidak terus terputus. Keputusan kena dilakukan samada untuk bercerai atau tidak.

فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Allah mendengar apa isi hati kita. Dan Allah mengetahui apa yang kita mahu dan apa yang kita lakukan

Oleh itu, berkenaan perkara ila’ ini ada empat jenis keadaan:

  1. ila’ tanpa masa yang ditetapkan
  2. ila’ empat bulan telah dilafazkan oleh suami
  3. ila’ lebih dari empat bulan telah dilafazkan
  4. ila’ kurang dari empat bulan telah dilafazkan

Kalau si suami mendatangi isteri (menjimak) sebelum masa yang ditetapkan, maka secara otomatik, ila’ itu terputus. Tapi suami itu kenalah bayar kaffarah sumpah kerana dia telah melanggar sumpahnya. Situasi ke 3 itu tidak dibenarkan kerana lebih dari empat bulan.

Kalau suami dan isteri terpisah lebih dari empat bulan, itu tidaklah termasuk dalam ila’ lagi. Kerana mungkin mereka terpisah buat sementara waktu kerana tinggal berjauhan kerana kerja dan sebagainya. Ataupun ada suami isteri yang tidak berjima’ lebih dari empat bulan kerana keadaan kesihatan salah seorang dari mereka. Ini tidak termasuk ila’. Kita sebutkan kerana ada fahaman salah dalam kalangan masyarakat, kalau tidak berhubungan lebih dari empat bulan, terus terbatal perkahwinan itu. Ini tidak benar.


Ayat 228: Apabila sudah disebut tentang cerai, maka adalah apa yang dinamakan iddah – tempoh tunggu setelah bercerai. Hikmah diadakan iddah ini adalah kerana takut-takut ada benih suami pertama di dalam perut isteri yang diceraikan itu. Kalau tidak ada iddah, seorang wanita ada berkemungkinan terus kahwin lain dengan lelaki lain selepas bercerai dengan suaminya yang pertama. Padahal dia mungkin sudah bersetubuh dengan suami pertama dan sudah ada benih dalam perutnya. Dia pun kahwin dengan lelaki yang baru dan bersetubuh pula dan kemudian mengandung. Suami kedua sangka itu anaknya padahal itu adalah anak suami pertama. Kalau ini terjadi, terdapat masalah seperti salah nasab anak itu (letak bin nama bapa yang salah), salah kepada pemberian harta pusaka dan sebagainya. Jadi, bagi mengelakkan perkara ini, Islam mewajibkan untuk menunggu selama tempoh iddah sebelum wanita itu boleh berkahwin lain supaya dapat pastikan tidak ada benih suami yang telah bercerai itu.

وَالمُطَلَّقاتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُروءٍ ۚ وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللَّهُ في أَرحامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ إِن أَرادوا إِصلاحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ ۚ وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Divorced women remain in waiting for three periods, and it is not lawful for them to conceal what Allah has created in their wombs if they believe in Allah and the Last Day. And their husbands have more right to take them back in this [period] if they want reconciliation. And due to the wives is similar to what is expected of them, according to what is reasonable. But the men have a degree over them [in responsibility and authority]. And Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَالمُطَلَّقاتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُروءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci

Tiga kali furu’. Perkataan قُروءٍ ini ada makna yang bertentangan. Ia boleh bermakna ‘suci’ dan juga boleh bermakna ‘haidh’ (tidak suci). Oleh itu, Imam Syafie kata ia bermaksud ‘tiga kali suci’ tetapi Imam Abu Hanifah kata ia bermaksud ‘tiga kali haidh’.

وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللَّهُ في أَرحامِهِنَّ

Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka,

Bekas isteri itu tidak dibenarkan menyembunyikan jika sudah ada benih dalam perut mereka, kerana mereka sahaja yang tahu. Mungkin ada isteri yang marah atau benci sangat kepada suaminya sampai dia tidak beritahu yang dia mengandung anak suaminya itu.

إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Menyembunyikan ada anak dalam dalam kandungan itu adalah haram dan seorang isteri tidak boleh melakukannya. Dia mesti memberitahu suaminya itu bahawa dia telah mengandung. Itu kalau mereka nak jaga agama mereka. Kalau mereka beriman, mereka tidak buat begitu.

وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ

Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka

Suami mereka lebih berhak untuk rujuk mereka dalam kes talaq yang boleh rujuk. Bukan wanita yang ada hak itu. Seorang isteri kena terima, samada dia suka atau tidak.

إِن أَرادوا إِصلاحًا

 jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.

Selagi tidak habis tiga furu’ lagi, suami itu boleh rujuk sampai dua kali. Kalau dah cerai kali ketiga, baru tidak boleh ruju’ dah. Kalau tak suka pun, isteri itu kena tunggu dua kali rujuk itu.

وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya

Hak yang seimbang sama seperti yang perlu ditunaikan kepada suami. Ada hak yang Allah suruh suami jaga dan ada yang disuruh isteri jaga. Begitu juga seorang isteri itu ada hak sebagai seorang manusia juga seperti dia boleh ada harta, boleh ada masa untuk dirinya, dia boleh membuat keputusan sendiri dan sebagainya.

Islam tidak merendahkan kedudukan wanita. Tidak seperti agama-agama lain yang merendahkan kedudukan wanita mereka sampaikan mereka itu seperti makhluk kelas kedua dalam agama mereka. Kalau zaman dahulu, seorang wanita dalam agama lain tidak ada hak untuk bersuara, tidak ada hak untuk belajar, mempunyai harta dan sebagainya. Jadi, adalah amat menyedihkan apabila ada tohmahan dari golongan kafir dan muslim sendiri yang mengatakan Islam merendahkan martabat wanita.

‘Makruf’ maksudnya buat baik walau hati tidak semestinya rasa senang untuk melakukannya. Tapi seorang yang mukmin akan tetap lakukannya kerana mereka sedar yang itu adalah tanggungjawab. Oleh itu, katakanlah hubungan sudah tidak baik, tapi hak dan tanggungjawab tetap perlu dijalankan.

Perbincangan Balaghah: Hazfu wal zikru: Secara dasarnya,

Kalimah ل digunakan untuk hak, dan
Kalimah على digunakan untuk kewajiban/tanggungjawab;

Oleh itu, ayat ini tidak lengkap dan ada hazaf, kerana tidak disebut dengan lengkap tanggungjawab (على) siapa dan kepada (ل) siapa.

Ayat yang lengkap adalah:

وَلَهُنَّ (عليهم) مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ (لهم) بِالْمَعْرُوفِ

Untuk para isteri ada hak yang perlu dipenuhi oleh para suami,
sama seperti yang perlu dipenuhi oleh para isteri kepada suami.

Maknanya: isteri ada tanggungjawab dan suami pun ada tanggungjawab. Tanggungjawab isteri tentulah kepada suami dan tanggungjawab isteri tentulah kepada suami.

Tanggungjawab tidak sama antara suami dan isteri kerana lelaki dan perempuan berlainan sifat. Tanggunjawab suami selalunya di luar dan isteri di rumah. Tapi bilangan sama dan setara – sama-sama ada tanggungjawab. Katakanlah lelaki ada sepuluh tanggungjawab, maka si isteri pun ada sepuluh tanggungjawab juga.

Begitu juga, isteri ada hak, sepertimana suami juga ada hak.

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan

Cuma ada sedikit kelebihan ke atas lelaki – dalam hal akad nikah, rujuk, cerai dan nafkah, ada kuasa hak pada suami dan tidak ada pada isteri. Selain dari perkara-perkara itu, isteri pun ada hak dan mereka boleh melaporkan ketidakpuasan hati mereka kepada mahkamah.

Janganlah potongan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa suami atau lelaki itu lebih tinggi darjat mereka daripada wanita. Ayat ini perlu dibaca dalam konteks ayat ini di mana seorang suami itu mempunyai kelebihan dalam hal nikah, cerai dan rujuk sahaja.

Kalau semua belajar Quran dan agama, semua akan tahu hak masing-masing. Tapi masalahnya, ramai yang belajar tentang hukum nikah cerai semasa kursus nak kahwin sahaja. Itu pun dua hari sahaja dan banyak perkara lawak sahaja yang diajarkan. Oleh kerana itu, banyak masalah dalam masyarakat terjadi kerana jahil agama dan hukum. Sedangkan hukum Islam telah menjaga semua keperluan manusia dan adil. Manusia sahaja yang tidak tahu dan kerana itu ramai yang ambil kesempatan.

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Walaupun suami itu mempunyai kelebihan atas wanita dalam hal nikah, rujuk dan cerai tapi mereka hendaklah ingat bahawa Allah lebih berkuasa lagi untuk menentukan segala perkara.


Ayat 229:

الطَّلاقُ مَرَّتانِ ۖ فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ أَو تَسريحٌ بِإِحسانٍ ۗ وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا آتَيتُموهُنَّ شَيئًا إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَعتَدوها ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Divorce is twice. Then, either keep [her] in an acceptable manner or release [her] with good treatment. And it is not lawful for you to take anything of what you have given them unless both fear that they will not be able to keep [within] the limits of Allah . But if you fear that they will not keep [within] the limits of Allah , then there is no blame upon either of them concerning that by which she ransoms herself. These are the limits of Allah , so do not transgress them. And whoever transgresses the limits of Allah – it is those who are the wrongdoers.

MALAY

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

الطَّلاقُ مَرَّتانِ

Talak itu hanya dua kali.

Talak yang boleh dirujuk kembali itu hanya dua kali. Selama dua kali itu, si isteri kena tunggu dan terima kerana hak itu ada pada suami. Maknanya, kalau selepas bercerai, suami rujuk kena terima balik. Kemudian cerai kali kedua dan suami rujuk, kena terima juga. Kalau tak suka pun, kenalah bersabar.

فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ

Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya

Selepas dah rujuk kali yang kedua, bolehlah dia tahan wanita sebagai isteri dengan cara baik. Kalau nak tahan, kena tahan dengan cara baik. Dah dua kali cerai dah, dan dah dua kali rujuk dah. Kenalah fikirkan apakah sebab cerai rujuk dan cerai rujuk itu. Kalau ada masalah antara keduanya, kena cari jalan untuk selesaikan. Jangan sampai cerai kali yang ketiga kerana cerai kali yang ketiga tidak sama dengan cerai kali pertama dan kedua.

أَو تَسريحٌ بِإِحسانٍ

atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik

Atau boleh lepaskan isteri untuk kahwin lain dengan cara baik. Isteri itu tunggu habis iddah dan boleh kahwin lain kalau dia mahu.

Maksud dengan cara baik itu adalah kena ikut syariat. Kahwin dan cerai biasa sahaja berlaku kerana tidak semestinya sesuatu pasangan itu serasi apabila sudah berkahwin. Yang penting kita ikut undang-undang Islam dan jangan derhaka dengan Allah. Nikah kena ikut cara yang Islam sudah gariskan dan kalau cerai pun kena ikut cara Islam juga – jangan ikut perasaan.

Antara cara tidak baik adalah dengan mengeluarkan kata-kata nista kepada pasangan masing-masing. Lepaslah dengan cara baik. Jangan bercerai untuk memburukkan isteri itu. Jangan bawa cerita suami dan isteri itu merata-rata. Jangan aibkan kesalahan dan keburukan orang lain. Kerana pasangan itu walaupun sudah bercerai, masih lagi boleh berbaik, tambahan pula kalau mereka berkongsi anak yang sama. Tapi, kalau susah mengeluarkan kata-kata yang tidak patut, kata huduh dan nista, perkara itu boleh menyebabkan mereka bermasam muka sampai bila-bila. Dan yang lebih teruk, kesannya boleh terpalit kepada anak-anak sekali.

وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا آتَيتُموهُنَّ شَيئًا

dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka

Seorang suami tidaklah boleh meminta balik apa benda yang telah diberikan kepada isterinya itu termasuklah mahr yang telah diberikan semasa mereka bernikah. Janganlah sebab marah dan sebab dah cerai, minta balik apa yang telah diberikan.

إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ

kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. 

Ini tentang Talaq Khulu’. Atau dipanggil Tebus Talak dalam bahasa Melayu. Katakanlah seorang suami tidak mahu cerai, tapi isteri yang nak cerai. Mungkin isteri itu sudah tidak sanggup nak tinggal dengan suaminya itu. Dengan apa-apa sebab pun. Sepatutnya seorang isteri kena taat kepada suami, tapi kalau sudah tidak suka sangat, takut dia akan melakukan sesuatu yang melanggar syarak.

Maka kalau jadi kes begitu, seorang isteri itu kena bawa hal ini ke mahkamah. Mahkamah akan tanya samada isteri itu sanggup bayar balik pemberian yang telah diberikan suami itu dahulu kepada suami dia semula. Kalau dulu suami itu beri kebun, adakah dia sanggup nak pulangkan kebun itu?

Kalau dua-dua setuju, maka Cerai Khulu’ boleh dijalankan. Cuma tidak boleh minta lebih dari yang dikeluarkannya sebagai mahr semasa berkahwin dahulu. Janganlah suami itu minta lebih dari apa yang diberikannya. Masa nak kahwin, beri 80 ringgit sahaja, tapi bila nak cerai, letak syarat kena bagi dua juta pula. Jangan begitu.

فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ

Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, 

Suami isteri bimbang kalau duduk sebagai suami isteri, mereka tidak dapat menjaga hukum Allah.

فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ

maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya

Kalau mahkamah bimbang mereka tidak dapat menjaga hukum, mahkamah boleh membenarkan isteri memulangkan balik mahr yang telah diberikan bagi melepaskan isterinya itu. Tidak salah isteri untuk beri dan tidak salah untuk suami ambil balik.

تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَعتَدوها

Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; 

Allah dah ajar dah cara-cara nikah dan cara-cara nak nikah. Maka kenalah ikut dan jangan langgar. Jangan pandai buat keputusan sendiri. Jangan pandai buat hukum sendiri. Jangan cari jalan untuk membolehkan perkara yang tidak boleh.

وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah beri amaran keras kepada mereka yang melanggar hukum yang telah digariskanNya. Hukum yang Allah buat, kenalah ikut, jangan baca sahaja.

Maulana Hadi – Baqarah-223-229


 

Ayat 230: Masih lagi pada perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah. Masih lagi perbincangan bab feqah tentang perceraian.

Perkara yang selalu di ulang-ulang di dalam Qur’an adalah tentang tauhid dan syirik (akidah) tetapi tentang hukum feqah, Allah akan sebut sekali sahaja dan tidak diulang di tempat lain. Tidak diulang-ulang macam ayat tentang akidah. Kalau ada diulang tentang perkara yang sama di ayat lain, itu adalah kerana hendak memberi hukum yang lain. Maknanya cukup Allah beritahu hukum Feqah sekali sahaja dan kita patut mengikuti dan taat kepadanya.

Tetapi bab akidah akan selalu diulang-ulang dalam Quran dan kerana itu, kita kena bersabarlah kalau guru yang mengajar tafsir selalu menyebut tentangnya kerana memang Quran pun mengulang perkara yang sama dengan berbagai-bagai cara. Allah ulang berkali-kali itu supaya kita boleh boleh faham dan supaya pengajaran akidah itu masuk ke dalam hati kita. Perkara akidah amat penting kerana jikalau ianya tidak mantap, maka segala amal ibadat yang kita lakukan tidak sah dan segala hukum yang kita ikut, tidak berguna. Kerana syarat amalan diterima adalah seseorang itu mestilah seorang Muslim dan kalau akidah tidak kemas, dia belum dikira sebagai Muslim yang sejati lagi – Muslim pada nama sahaja. Maka kita kena pastikan akidah kita kemas kerana akidah ini adalah seperti batu asas untuk satu-satu bangunan dan jikalau batu asas itu tidak mantap, maka bangunan yang dibina akan lemah dan roboh. Penat sahaja buat bangunan tapi ianya akan runtuh. Begitu juga, penat sahaja buat amal ibadat kalau ada salah faham akidah.

Oleh kerana hukum Feqah disebut secara ringkas dan padat di dalam Qur’an, maka kita perlu merujuk kepada hadis dan kitab-kitab Feqah untuk melihat perbincangan ulama Feqah di atas sesuatu perkara feqah itu. Tidak dibincangkan dengan panjang lebar dalam tafsir Quran ini.

Ayat yang kita akan baca ini adalah tentang perempuan yang telah dicerai rujuk dua kali dan sekarang telah dicerai untuk kali yang ketiga. Kalau nak cerai sampai kali ketiga, maka kena berjaga-jaga. Kerana kalau masih juga mahu cerai kali ketiga, pasangan itu mungkin tidak boleh berkahwin sampai bila-bila. Boleh lagi kahwin, tapi dah panjang cerita. Inilah yang akan dibincangkan dalam ayat ini.

فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللَّهِ ۗ وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if he has divorced her [for the third time], then she is not lawful to him afterward until [after] she marries a husband other than him. And if the latter husband divorces her [or dies], there is no blame upon the woman and her former husband for returning to each other if they think that they can keep [within] the limits of Allah . These are the limits of Allah , which He makes clear to a people who know.

MALAY

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu,

Tidak halal bagi mereka untuk berkahwin semula selepas cerai kali yang ketiga. Rujuk tak boleh, nak kahwin selepas habis iddah pun tidak boleh.

Selalunya seorang suami akan menceraikan isterinya kali pertama, kemudian kali kedua dan paling banyak sekali, sampai ketiga kali. Tapi ada juga orang yang bodoh sampai melafazkan cerai talak tiga terus walaupun mereka hanya bercerai kali yang pertama. Atau ada yang lagi bodoh, sampai lafaz cerai talak seratus terus. Ini sebab marah sangat, dah tak guna akal yang waras, sampai sebut benda yang bodoh. Dan kemudian menyesal.

Kalau ada yang buat macam ini juga, kena rujuk kepada mahkamah apakah keputusan yang mereka akan berikan. Kerana ada khilaf samada cerai kali pertama, tapi lafaz ‘talak tiga’, jadi talak satu atau talak tiga terus. Yang menentukannya adalah mahkamah kawasan itu.

حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ

sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.

Mereka tidak boleh kahwin sampai bila-bila, sehinggalah isteri itu kahwin dengan suami lain, tapi itu pun dengan syarat-syaratnya. Tidak boleh ikut suka kita sahaja.

Pertama, isteri itu kena kahwin dengan lelaki lain,

kedua, suami kedua itu ceraikan wanita itu

dan ketiga, itu pun kalau bekas isteri itu hendak kahwin dengan dia balik. Kerana kalau isteri itu tidak mahu kembali kepada suami asal, suami itu tidak boleh paksa, kerana ini bukan rujuk, tapi pernikahan yang baru.

فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا

Setelah itu kalau ia diceraikan, maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali

Kalau suami kedua itu menceraikan wanita itu selepas ditiduri, bolehlah wanita itu berkahwin semula dengan suaminya yang pertama apabila sudah habis iddah. Suami yang kedua itu mestilah boleh dan sudah melakukan hubungan kelamin dengan wanita itu. Pernah terjadi pada zaman Nabi, seorang sahabiah telah berkahwin dengan suami yang lain dan apabila diceraikan oleh suami yang kedua itu, dia hendak kembali kepada suami yang pertama. Apabila ditanya oleh Nabi kenapa dia hendak kembali kepada suami yang pertama, wanita itu beritahu bahawa suaminya yang kedua itu tidak boleh melakukan persetubuhan. Nabi kata tidak boleh kalau begitu kerana untuk dia kembali kepada suaminya yang pertama dia mesti telah melakukan persetubuhan dengan suaminya yang kedua.

Ini adalah perkahwinan yang baru, bukannya rujuk kembali. Jadi kena dapatkan persetujuan wanita itu. Kena melalui proses seperti pernikahan yang biasa.

Perkara yang biasa timbul dalam masyarakat kita adalah tentang ‘Cina Buta’. Iaitu suami yang telah menceraikan isterinya tiga kali, menggunakan ‘pak sanggup’ atau dinamakan ‘Cina Buta’ untuk berkahwin dengan isterinya dan kemudian ada perjanjian untuk menceraikan isterinya itu. Adalah bayaran yang dikenakan kepada Cina Buta ini, selalunya. Ini dilakukan untuk membolehkan dia kahwin semula dengan isterinya. Ini adalah satu perbuatan yang menghina hukum Allah dan percubaan untuk menipu Allah dan ini adalah perbuatan yang keji. Jangan kita terlibat dalam perkara ini.

إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللَّهِ

 jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah

Mereka dibenarkan untuk bernikah semua kalau mereka rasa mereka ada harapan untuk jaga hukum. Iaitu mereka hendak menjaga hukum Allah. Maknanya, Allah meletakkan penjagaan hukum sebagai asas kepada perkahwinan. Kalau agak tak boleh jaga hukum, tak payahlah nak kahwin lagi.

وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ

dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan mahu memahaminya.

Allah memberitahu cara-cara perhubungan antara suami isteri ini kepada mereka yang hendak tahu. Sepatutnya kita sebagai seorang muslim dan beriman dengan Allah, hendaklah merujuk kepada Quran untuk mendapatkan cara-cara untuk menyelesaikan satu masalah yang dihadapi dalam kehidupan mereka. Jangan buat perkara dan cari jalan penyelesaian ikut akal sendiri sahaja.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s