Tafsir Surah Baqarah Ayat 216 – 220

Ayat 216: Ini adalah pengulangan semula tajuk jihad. Selepas ayat tentang infak. Kerana infak yang utama adalah kepada jihad fi sabilillah.

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.

MALAY
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ

Kamu diwajibkan berperang

Kita diwajibkan berperang untuk menegakkan agama Allah di dunia ini. Tentunya dengan syarat-syarat yang Allah tetapkan. Ayat ini sebagai dalil bahawa jihad perang ini adalah wajib. Kadangkala kita tidak suka sesuatu perkara itu kerana kita guna akal kita. Sebagai contoh, pada akal kita, mungkin kita rasa tidak elok kalau berperang. Tapi akal kita terhad dan tidak dapat mengetahui dengan penuh sesuatu perkara itu. Ini adalah ujian keimanan untuk kita: adakah kita sanggup taat kepada suruhan dan percaya kepada hikmah yang Allah telah berikan kepada kita, samada kita faham atau tidak.

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِغَزْوٍ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً”
Barang siapa yang meninggal dunia, sedangkan dia belum pernah berperang (berjihad) dan tiada pula keinginan dalam hatinya untuk berperang, maka ia mati dalam keadaan mati Jahiliah.

“لَا هِجْرَةَ، وَلَكِنْ جِهَادٌ ونيَّة، إِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا”
Tidak ada hijrah sesudah kemenangan, tetapi hanya jihad dan niat; dan apabila kalian diperintahkan untuk berangkat berperang, maka berangkatlah.

Begitu pun, kenalah jihad perang itu dijalankan mengikuti syariat. Bukannya kita terus sering orang kafir tidak tentu arah. Kenalah ada protokol yang perlu diikuti. Antaranya, jihad perang itu hendak diarahkan oleh Khalifah.

Dan bukannya semua kena pergi ke medan perang. Ada yang hanya diperlukan untuk beri sokongan; ada yang menerima bantuan kewangan; ada yang tugasnya mengajar; ada yang menjaga keluarga. Semua itu ada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh kerana itu, jihad perang ini adalah fardhu kifayah, bukan fardhu ain. Maka kenalah ada pihak yang menjalankan jihad perang itu dan jika tidak ada, maka kewajiban itu masih jatuh kepada semua orang Islam.

Dan ada keadaan dimana setiap muslim perlu angkat senjata untuk berperang apabila negara diserang musuh. Waktu itu, semua diwajibkan untuk berperang.

وَهُوَ كُرهٌ لَكُم

sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci

Peperangan ini memang perkara yang manusia biasa tidak suka. Manusia membencinya kerana ia adalah naluri biasa manusia. Sebab tidak ada sesiapa pun yang suka mati dan suka membunuh orang lain.

Ada golongan munafik yang mempersoalkan kenapa perlu jihad sedangkan Islam itu agama yang aman. Begitulah orang-orang zaman sekarang pun menggunakan alasan yang sama juga. Ini adalah satu kata-kata dan hujah yang tidak tepat. Seperti yang kita telah bahaskan sebelum ini, memang ada keperluan untuk melakukan jihad itu. Hujah yang melarangnya adalah daripada mereka yang tidak faham tentangnya sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan kerana itu mereka salah faham. Dan mereka tidak taat 100% kepada arahan Allah. Mereka masih nak guna akal yang terhad juga lagi.

 

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَكُم

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, 

Allah beritahu yang mungkin ada perkara yang kita benci tetapi sebenarnya ianya baik bagi kita. Antaranya jihad. Jihad ini penting dan diwajibkan kepada kita kerana jihad fisabilillah ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Tak akan ada orang yang membuat maksiat semasa sedang berjihad di jalan Allah. Waktu itu iman kita sedang diuji dengan hebat sekali dan waktu itu tidak terfikir nak buat maksiat.

Bila jihad tidak ada, maka kebanyakan manusia akan duduk dalam keadaan lalai dan leka. Jadi begitulah walaupun kita benci kepada peperangan dan pembunuhan tetapi jihad fi sabilillah adalah baik untuk kita. Kerana ianya akan menghampirkan hati kita rapat kepada Allah. Kerana selalunya suasana-suasana yang merangsang perasaan kita boleh mengubah apa yang ada dalam diri kita. Kerana apabila sedang berperang maka kita dalam keadaan di mana kita tahu bahawa bila-bila masa sahaja kita boleh mati maka tentunya kita akan ingat kepada Allah dan tidak berani buat dosa. Kerana kemungkinan yang besar yang kita akan mati.

Sama macam seorang ibu yang memaksa anaknya untuk memakan ubat kerana ubat itu baik untuk anak itu dan ibu itu paksa anak itu makan ubat kerana ibu itu sayang kepada anaknya. Jadi, memang anaknya tidak suka dan meronta-ronta tapi ibu itu akan melakukan apa yang perlu untuk anaknya. Kerana ibu itu tahu apa yang baik untuk anaknya, tapi anaknya yang tidak faham.

 

وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُم

dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. 

Dan disebaliknya, mungkin ada perkara yang kita suka sangat, tapi ianya tidak baik bagi kita. Begitulah, ada larangan dari Allah dan Nabi terhadap kita, maka hendaklah kita menahan diri kita dari melakukannya, walaupun hati kita suka dan akal kita pun tak nampak salahnya. Tapi begitulah, akal tidak akan dapat memahami mana yang baik dan tidak untuk diri kita. Allah yang Maha Tahu dan kerana itu Dia telah tetapkan hukum untuk kita patuhi. Maka patuhilah sahaja. Serahkan diri kita kepada Allah.

Kedua-dua potongan ayat ini adalah dalam bentuk yang umum, bukan hanya tentang perang sahaja. Ada benda dalam kehidupan kita yang kita mahu sangat tapi ianya tidak baik kepada kita. Dan ada perkara yang kita nak elak tapi terkena juga kepada kita, tapi kemudian kita dapati yang ianya baik untuk kita. Sebagai contoh, ada yang kena buang kerja, dia amat sedih dan tidak suka. Tapi kerana dia dibuang kerja, dia akhirnya telah mendapat kerja yang lebih baik dari kerja yang sebelumnya yang dia tidak akan dapat kerja baru itu kalau dia tidak dibuang kerja asalnya.

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah sajalah yang tahu hakikat dan keadaan sebenar sesuatu perkara itu dan manusia biasa tidak tahu. Maka kita kenalah ikut arahan dari Allah. Kita kena sedar kedudukan kita. Siapa kita yang hendak mempersoalkan hukum dan arahan Allah?

Ingatlah, kalau kita layan akal kita sangat, syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa.

Kalau kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk serahkan urusan hidup kita kepada Allah. Kita akan selalu doa istikharah kepada Allah untuk memberi panduan dalam membuat keputusan hidup.

Kita juga akan senang untuk bersabar kerana kita yakin yang apa Allah telah takdirkan untuk kita adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya. Maka kita doa kepada Allah untuk tunjukkan hikmah itu kepada kita supaya kita lebih senang untuk menerima takdirNya itu.

baqarah 204-216


Ayat 217:

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقاتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطاعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you about the sacred month – about fighting therein. Say, “Fighting therein is great [sin], but averting [people] from the way of Allah and disbelief in Him and [preventing access to] al-Masjid al-Haram and the expulsion of its people therefrom are greater [evil] in the sight of Allah . And fitnah is greater than killing.” And they will continue to fight you until they turn you back from your religion if they are able. And whoever of you reverts from his religion [to disbelief] and dies while he is a disbeliever – for those, their deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and those are the companions of the Fire, they will abide therein eternally.

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam Bulan Haram

Mereka bertanya kepada kamu tentang bolehkah berperang dalam bulan Haram?
Latar belakang ayat ini: ada sahabat yang dihantar oleh Nabi untuk menjaga sempadan orang Islam. Tiba-tiba mereka terjumpa dengan orang kafir. Oleh kerana keadaan yang mencurigakan, maka terjadilah pergelutan dan orang kafir itu dibunuh. Para sahabat memang menghormati Bulan Haram dan memang dia menyangka yang hari itu masih lagi di luar Bulan Haram tetapi rupanya telah masuk ke Bulan Rejab, salah satu dari Bulan Haram. Maka kejadian ini telah menyebabkan orang kafir bising menyalahkan orang Islam. Mereka kata lihatlah orang Islam itu, konon kata jaga syariat, tapi membunuh di dalam Bulan Haram.

 

قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ

katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,

Allah tidak menidakkan bahawa berperang dalam Bulan Haram itu memang berdosa besar.

Tapi, Allah suruh jawap yang kejadian ini tidak sengaja. Bukan sahabat itu sengaja hendak berperang dalam Bulan. Tapi lihatlah bagaimana sikap Musyrikin Mekah itu, bila orang Islam buat salah terus mereka nampak dan bising, padahal mereka sendiri lagi banyak buat salah. Ada lima kesalahan mereka dan setiap satunya patut sudah boleh mereka diperangi. Kerana ianya bukan kesalahan biasa. Mereka sahaja buat tak nampak.

Biasa begitulah masyarakat dunia dengan orang Islam. Kalau umat Islam buat salah sikit sahaja, kecoh satu dunia dan kaitkan kesalahan itu dengan agama Islam – mereka kata Islam agama pengganas. Kalau ianya dilakukan oleh agama lain, mereka senyap sahaja dan tidak kaitkan dengan agama orang itu. Umpamanya, kalau orang baik yang buat salah, akan nampak pelik tapi kalau orang jahat buat jahat, orang tak kisah pun. Maknanya orang luar melihat Islam ini sebagai orang yang baik dah sebenarnya.

Allah mengajar kepada Nabi cara untuk menjawab soalan mereka itu. Allah memberitahu bahawa memang berperang di Bulan Haram itu memang besar dosanya. Memang berperang dan membunuh dalam Bulan Haram itu berdosa besar jikalau dilakukan dengan sengaja sedangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat lelaki saat ini adalah tidak sengaja.

 

وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ

tetapi perbuatan menghalangi manusia dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya,

Mereka mengutuk dan menyalahkan umat Islam tetapi buat tak pandang perbuatan mereka menghalang orang-orang lain daripada masuk Islam. Mereka memburukkan Islam kerana tidak mahu orang lain masuk Islam.

Sudahlah mereka sendiri kufur kepada Allah

Menghalang orang lain dari masuk ke dalam agama Islam adalah perkara yang lebih besar dan ini sebenarnya sudah cukup untuk berperang dengan mereka.

 

وَالمَسجِدِ الحَرامِ

dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam

Yang kedua, mereka menghalang orang Islam dari guna Masjidilharam untuk beribadat. Sedangkan mereka sendiri sebenarnya tidak layak kerana mereka adalah orang-orang yang mengamalkan syirik. Kamu mempersendakan lambang Islam iaitu masjid yang paling mulia dalam dunia ini. Sepatutnya ia diberikan kepada Nabi untuk digunakan kerana Nabi lebih layak. Tapi mereka telah halang Nabi dan para sahabat dari beribadat di Kaabah. Kalau manusia lain yang datang dari jauh untuk tawaf dan menyembah berhala, mereka benarkan pula.

 

وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ

serta mengusir penduduknya dari situ,

Ketiga, mereka telah menghalau para sahabat yang Mukmin daripada tanah-tanah mereka yang mereka berhak ke atas tanah tanah itu. Kamu halau mereka sampai mereka terpaksa lari ke Habsyah dan ke Madinah meninggalkan kampung halaman mereka yang mereka cintai. Kemudian harta dan tanah mereka telah diambil oleh puak Musyrik itu. Padahal mereka tidak layak mengambilnya.

 

أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ

adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.

Ketiga-tiga perkara yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu adalah kesalahan yang lebih besar daripada berperang di Bulan Haram. Kesalahan mereka itu sudah sepatutnya diperangi tapi setakat itu, umat Islam masih membiarkan sahaja kerana belum datang perintah berperang.

 

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ

Dan (ingatlah), fitnah syirik itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan

Yang ke-empat, mereka telah melakukan syirik di atas muka bumi. Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘syirik’. Fitnah syirik yang mereka lakukan itu sebenarnya lebih besar daripada berperang dan membunuh. Ini kerana jikalau kita membunuh manusia, orang itu akan mati sahaja dan memang lumrah manusia akan mati pun, samada kerana tua atau kerana sakit dan sebagainya. Tapi jikalau melakukan syirik, itu akan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

 

وَلا يَزالونَ يُقاتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطاعوا

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);

Yang ke-lima dan akhir sekali, sampai sekarang pun puak Musyrikin itu masih lagi mahu memerangi puak Islam dan mereka telah bertekad tidak akan berhenti sehingga orang Islam murtad. Mereka mahu umat Islam itu kembali kepada agama syirik mereka. Padahal, umat Islam tidak mengganggu mereka pun.

Lima kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja itu mereka tidak nampak sedangkan satu kesalahan yang dilakukan oleh puak Islam dalam keadaan tidak sengaja itu mereka besar-besarkan.

Begitulah propaganda yang selalu diada-adakan oleh puak kafir untuk menjatuhkan nama Islam. Contohnya mereka mengatakan kepada dunia yang kita adalah agama terroris. Padahal agama Islam tidak mengajar umatnya menjadi terroris. Seorang Islam tidak akan berani hendak membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan, kerana kita takutkan kepada api neraka. Kadang-kadang yang membunuh itu adalah orang kafir dan mereka menuduh orang Islam yang bunuh kerana hendak menjatuhkan nama baik Islam. Mereka sanggup lakukan begitu kerana mereka tidak takut kepada akhirat. Tetapi kerana propaganda mereka itu kuat maka ramai daripada orang orang Islam yang malu dengan Islam dan malu hendak menyampaikan agama Islam ini kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri tidak faham Islam. Sedangkan tugas kita adalah menyampaikan dakwah tauhid kepada umat manusia seluruhnya. Kita tidak perlu malu dengan agama Islam ini kerana ianya adalah agama yang suci, benar dan mulia. Orang-orang yang malu dengan agama sendiri adalah mereka yang jahil.

Orang kafir mengutuk orang Islam dan agama Islam, sedangkan orang-orang kafir itu yang  sepatutnya belajar dengan orang-orang Islam cara-cara memimpin dan cara-cara menjalani kehidupan. Tidak pernah dalam sejarah dunia orang kafir memerintah satu-satu negara dan rakyat semuanya hidup dengan aman. Yang berlaku dalam sejarah dunia, kerajaan yang dipimpin oleh pemerintahan Islam dan negara aman damai dan orang-orang kafir pun dapat menumpang keamanan itu. Jadi janganlah mereka yang hendak mengajar kita sebaliknya merekalah yang kena belajar dengan kita. Tapi malangnya ramai dari orang-orang Islam yang tidak memahami agama sendiri dan akhirnya terpaksa belajar dengan orang-orang kafir tentang cara-cara pemimpinan. Akhirnya orang-orang Islam yang mengikut telunjuk orang-orang kafir. Sudah jadi terbalik pula.

 

وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ

dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir,

Jikalau ada umat Islam yang termakan dengan dakyah dan tekanan dari Musyrikin Mekah itu dan mereka murtad, Allah hendak memberi peringatan kepada mereka. Kalau mereka buat syirik kembali dan sempat bertaubat, masih ada harapan untuk mereka. Tapi jikalau mereka mati tanpa sempat bertaubat, maka nasib mereka adalah amat malang sekali.

 

فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat,

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini peringatan kepada orang orang Islam jikalau mereka murtad, segala amalan-amalan kebaikan yang mereka pernah lakukan akan hancur luluh, tidak bernilai langsung. Jikalau mereka murtad, hukumnya di dunia lagi mereka akan dibunuh dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam yang lain. Dan di akhirat nanti, Allah lebih tahu tentang kedudukan mereka.

 

وَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ

dan mereka itulah ahli neraka,

Asalnya mereka Islam dan ada harapan untuk masuk syurga. Tapi jikalau mereka murtad, mereka akan menjadi ahli neraka. Dan mereka akan kekal dalam neraka, kerana mereka memegang ‘geran’ neraka.

 

هُم فيها خالِدونَ

kekal mereka di dalamnya

Dan mereka akan kekal di dalamnya dengan tidak ada harapan untuk masuk syurga langsung. Kekal mereka di neraka selama-lamanya. Walaupun mereka pernah Islam, tapi kerana mereka mati dalam keadaan kufur, mereka sama sahaja macam orang-orang kufur yang lain.


 

Ayat 218: Ini adalah ayat Tabshir. Dugaan untuk mengikuti agama itu adalah amat tinggi maka Allah berikan berita baik pada mereka yang sudah buat keputusan untuk menjalankannya. Iaitu mereka akan diberikan dengan rahmat Allah. Semua kita mengharapkan rahmat dari Allah. Tapi siapakah yang layak untuk mendapat rahmat Allah? Allah sebut dalam ayat ini. Mari kita baca.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجاهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who have believed and those who have emigrated and fought in the cause of Allah – those expect the mercy of Allah . And Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang sanggup beriman dan berusaha untuk memperbaiki iman mereka sehingga iman mereka sempurna. Bagaimana hendak meningkat iman? Dengan meningkatkan ilmu kita.

 

 

وَالَّذينَ هاجَروا

dan orang-orang yang berhijrah

Hijrah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Hijrah Badan dan juga Hijrah Amal. Janganlah kita sangka yang lafaz hijrah di dalam ayat ini hanya merujuk kepada Hijrah pada zaman Nabi dari Mekah ke Madinah sahaja. Kalau begitu tidak ada peluang lah kita untuk mengamalkan ayat ini dalam kehidupan kita. Hijrah itu memang hijrah yang terbesar tetapi kita yang hidup selepas zaman itu masih juga boleh melakukan hijrah.

Hijrah badan yang dimaksudkan adalah kita berpindah dari tempat yang tidak baik kepada tempat yang baik dari segi agama. Supaya kita tidak duduk lagi bersama orang orang yang lalai dan leka dengan agama mereka. Ia juga bermaksud tidak bermastautin dalam perkampungan kafir harbi tetapi duduk dalam perkampungan orang Islam. Saya teringat bagaimana Syeikh Albani selalu sahaja menasihati sesiapa sahaja orang Islam yang duduk di negara orang kafir untuk berpindah ke negara Islam untuk menjaga agama mereka. Beliau selalu mendapat panggilan telefon daripada orang Islam seluruh dunia untuk bertanyakan tentang hukum agama dan setiap kali ada panggilan daripada orang Islam dari negara kafir, beliau akan menasihati perkara ini.

Hijrah amal adalah kita ubah cara kehidupan kita dari yang buruk kepada yang baik. Contohnya kalau dulu kita berniaga cara riba, tapi kita ubah kepada cara perniagaan yang Sunnah. Kalau dahulu kita malas sembahyang atau lambat menunaikan solat, maka sekarang hendaklah kita bersemangat dan bersegera untuk mengerjakan solat dan memperbaiki solat kita. Kalau kita sekarang bekerja di tempat yang ada syubhat, maka kita tukar pekerjaan kita dengan pekerjaan yang lebih selamat dari segi agama.

 

وَجاهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

serta berjuang pada jalan Allah

Semasa hidup, dia berjuang untuk menegakkan agama Allah dengan menyampaikan wahyu kepada orang lain. Allah telah menetapkan kepada kita untuk usaha dakwah kepada umat manusia dan kita hendaklah berusaha sunguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah itu. Ada perbezaan antara jihad fillah dan jihad fisabilillah. Jihad fillah adalah apabila kita berusaha untuk buat perkara yang Allah suka dengan apa yang kita kita usahakan dalam kehidupan kita. Ini pun kena kita lakukan setiap dan ini adalah misi peribadi kita. Sedangkan jihad Fisabilillah adalah lebih khusus iaitu usaha untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi Allah ini. Inilah misi kita sebagai umat Islam. Jadi, ada misi peribadi kita kepada Allah, dan ada misi kolektif kita bersama dengan umat Islam yang lain.

Maka, jangan kita mencetekkan maksud jihad itu. Ada orang Islam yang tidak faham kerana tidak belajar dengan betul tentang maksud jihad. Dan ada orang kafir yang menyalahkan umat Islam atas maksud jihad itu. Orang Islam yang jahil dan orang kafir yang salah sangka kepada Islam, mengatakan yang ‘jihad’ itu bermaksud ‘perang’. Padahal itu adalah maksud yang cetek. Jihad maksudnya ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Lebih-lebih lagi untuk berdakwah kepada manusia. Dan kalau usaha dakwah itu memerlukan perang, barulah ianya digunakan. Bukanlah kita terus memerangi orang kafir sebelum kita dakwah kepada mereka. Masalah sekarang, sudahkah kita dakwah kepada mereka?

 

أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah

Mereka yang bersifat seperti yang disebut di ataslah yang ada harapan untuk mendapat rahmat Allah. Kita kena berusaha untuk mendapat rahmat Allah. Maknanya dalam ayat ini ada perintah daripada Allah untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmatNya. Bukan dengan berharap sahaja tapi kena ada usaha.

Kita memang amat memerlukan rahmat Allah sebab hanya dengan rahmat Allah sahaja kita buat boleh masuk ke dalam syurga, bukan dengan amalan kita. Ini kita tahu dari hadis yang sahih dari Nabi. Amalan kita dari segi ibadat dan perbuatan baik itu akan dapat meninggikan darjat kita di dalam syurga sahaja tetapi untuk memasukinya, memerlukan rahmat daripada Allah. Nabi bersabda:

سَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا فَإِنَّهُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا الْجَنَّةَ عَمَلُهُ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ وَلاَ أَنَا إِلاَّ أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِمَغْفِرَةٍ وَرَحْمَةٍ

“Tepatlah kalian, mendekatlah, dan bergembiralah, karena sesungguhnya amal tidak akan memasukkan seseorang ke dalam syurga.” Para shahabat bertanya: “Termasuk juga anda wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Ya, termasuk juga aku, kecuali jika Allah menganugerahkan ampunan dan rahmat kepadaku.”

وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Maha Mengampun segala dosa kita asalkan kita mahu meminta ampun kepada Allah. Dan dari rahmat Allah itu, kalau Dia telah mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengazab kita dalam neraka.


 

Ayat 219: Ada lima perkara agama yang memberi kesan kepada kita sama ada baik ataupun buruk. Ia boleh jadi baik, dan boleh jadi buruk. Perkara-perkara ini memberi kekeliruan pada manusia. Dan kerana kekeliruan itu menyebabkan manusia tidak dapat keluar daripada kesesatan menuju kepada kebenaran. Kerana perkara-perkara yang akan disebut selepas ini boleh memberi dua hala iaitu boleh kepada kebaikan dan boleh kepada keburukan. Jadi kita kena dapatkan maklumat yang sahih.

Salah satu darinya adalah tentang arak dan judi. Arak itu dari satu sudut memang ada faedah sebab itu manusia ada yang minum arak kerana mereka nampak kebaikan padanya. Kalau kita tanya mereka kenapa mereka minum arak, mereka akan jawap dengan memberikan berbagai-bagai faedah pada arak itu. Dengan sebab itu mereka tidak boleh meninggalkannya walaupun mereka memang tahu ada keburukan padanya kerana mereka nampak ada faedah kepada mereka.

Begitu jugalah dengan judi yang ada juga kepentingan di dalamnya. Antaranya boleh buat duit. Oleh kerana ada potensi dua hala ini, maka seseorang manusia itu mestilah memikirkan dengan mendalam mengenainya. Jangan nampak yang baik kepada mereka sahaja. Kerana hanya apabila mereka memikirkan dalam-dalam, baru mereka akan nampak bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dan manusia yang mempunyai akal yang waras, apabila nampak banyak keburukan daripada kebaikan, maka mereka akan meninggalkannya. Kita yang tidak pernah minum arak dan berjudi ini mungkin tidak ada masalah tetapi ada orang yang telah bergelumang lama dengan perkara-perkara ini. Jadi tidak boleh ajak mereka kepada kebenaran dan meninggalkannya dengan cara yang keras. Allah ajar bagaimana caranya bercakap dengan mereka di dalam Qur’an.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنافِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآياتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you about wine and gambling. Say, “In them is great sin and [yet, some] benefit for people. But their sin is greater than their benefit.” And they ask you what they should spend. Say, “The excess [beyond needs].” Thus Allah makes clear to you the verses [of revelation] that you might give thought.

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:

يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad tentang arak dan judi kerana ianya telah menjadi perkara yang sebati di didalam kehidupan masyarakat Arab waktu itu sebelum Islam. Mereka nak tahu apakah pandangan Islam tentang dua perkara itu.

 

قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ

Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar 

Allah ajar Nabi untuk memberitahu kepada mereka bahawa pada arak dan judi itu ada dosa besar. Pada sisi Allah, berdosa besar kalau minum arak dan main judi dan terlibat dengannya. Maksud terlibat, contohnya walaupun kita tidak minum tapi kalau kita jual, ianya berdosa besar juga.

Kalau kita menggunakan akal kita yang waras, kita akan nampak bagaimana buruknya arak dan judi itu. Ianya membazir duit, merosakkan kesihatan, merosakkan akal, memecah belahkan keluarga dan masyarakat, membuang masa dan macam-macam lagi keburukan yang ada padanya.

 

وَمَنافِعُ لِلنّاسِ

dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia

Dan dalam masa yang sama, ia juga ada faedah kepada sesetengah orang. Ini tidak dinafikan. Bukan kepada semua orang, tetapi hanya kepada sesetengah orang sahaja. Jangan pula kita sengaja nak mula minum sebab kita kata ada manfaat pula ni.

 

وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَفعِهِما

tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Tetapi Allah beritahu bahawa dosa arak dan judi itu lebih besar daripada faedah yang ada padanya. Oleh kerana itu dua perkara itu kena ditinggalkan. Jangan buat lagi.

Lihatlah bagaimana Allah membandingkan antara ‘dosa’ dan ‘faedah’ – bukannya ‘keburukan’ dan ‘faedah’. Maknanya, bukanlah kita boleh buat senarai apakah kebaikan dan keburukan dan kebaikan arak dan judi itu. Kalau ada lebih faedah pun tidak berguna kerana Allah telah meletakkan hukumNya iaitu arak dan judi itu adalah dosa besar. Tidak boleh kita nak gunakan akal kita lagi untuk mencari jalan untuk memikirkan apakah kebaikan pada arak itu.

 

وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?

Masalah kedua yang mereka tanya adalah kadar yang mereka perlu infakkan. Ini pun ada dua hala juga. Memang mereka tahu mereka kena infak dan mereka nak infak pun, tapi berapa banyak? Kerana kalau infak sampai habis, sudah kena minta sedekah pula. Dan kalau tidak infak langsung Allah murka kepada kita.

 

قُلِ العَفوَ

Katakanlah: “yang berlebih dari keperluan

Allah kata mudah sahaja, iaitu lebih daripada hajat kamu. Iaitu lebih dari keperluan kita dalam kehidupan kita. Ini adalah hukum yang biasa. Sebab ada penambahan lagi tentang perkara ini di dalam surah-surah yang lain kerana ada kelebihan lain yang akan diberikan kepada mereka infak lebih banyak lagi. Oleh itu, ayat yang kita sedang baca ini adalah hukum biasa di mana kita akan beri yang lebih daripada keperluan kita.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآياتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu berfikir:

Allah mengajar kita dalam Quran ini supaya kita boleh menjalani kehidupan kita dengan sempurna. Allah suruh kita menggunakan akal kita dalam kehidupan kita. Akal yang waras adalah akal yang tidak terikat dengan emosi.


 

 

Ayat 220:

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتامىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوانُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

To this world and the Hereafter. And they ask you about orphans. Say, “Improvement for them is best. And if you mix your affairs with theirs – they are your brothers. And Allah knows the corrupter from the amender. And if Allah had willed, He could have put you in difficulty. Indeed, Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mengenai di dunia dan di akhirat 

Ayat ini adalah sambungan terus dari ayat yang sebelumnya. Allah menerangkan seluruh ayat-ayatnya tentang arak, judi dan infak kepada kita semoga kita boleh memikirkan keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat. Apakah kerugian kalau kita terlibat dengan arak dan keuntungan jikalau kita infak harta kita. Kena fikirkan secara mendalam. Jangan ikut perasaan dan nafsu kita sahaja. Hidup kita bukan di dunia sahaja, tapi kita semua akhirnya akan menuju kepada akhirat. Jangan kita untung di dunia tapi rugi di akhirat nanti – itu adalah rugi yang serugi-ruginya.

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk memikirkan tentang akhirat. Memang kita sudah selalu memikirkan tentang dunia. Sebagai contoh, apabila dapat gaji sahaja, kita sudah fikirkan di manakah wang gaji itu akan dibelanjakan, berapa nak beli makanan dan bayar tempat tinggal, hutang yang kita kena bayar, pakaian yang kita hendak beli, pelaburan yang kita boleh laburkan duit itu dan sebagainya. Itu memang selalu kita fikir dah. Tapi bagaimana pula dengan akhirat? Adakah dalam perkiraan penggunaan wang kita itu, kita memikirkan kepada siapakah yang kita boleh tolong? Adakah kita beri infak kepada mereka yang menjalankan kerja dakwah dan sebagainya. Itu semua adalah saham akhirat kita. Ianya tidak akan merugikan kita. Allah telah beritahu yang Dia akan pulangkan balik setiap sen yang kita infakkan itu dengan berlebihan berganda-ganda lagi. Itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan sekali dan tidak ada lagi pelaburan yang lebih untung daripada itu. Kalau kita simpan duit di rumah atau di bank, ia boleh hilang – tapi kalau kita simpan dengan Allah, ianya tidak akan hilang dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Sudahlah tidak hilang, ianya akan dilipatgandakan berkali-kali ganda.

 

وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتامىٰ

dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. 

Masalah ketiga adalah tentang anak yatim. Iaitu tentang masalah dalam urusan memelihara mereka. Islam memang menggalakkan umatnya menjaga anak yatim.

Imam Bukhari meriwayatkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Aku dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini”. (Sambil menunjuk jari telunjuk dan ibu jari)

Ibn Majah meriwayatkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mengasuh tiga anak yatim, maka dia bagaikan orang yang bangun pada malam hari dan puasa pada siang harinya, dan bagaikan orang yang keluar tiap pagi dan petang menghunus pedangnya untuk berjihad fisabillah. Dan kelak nanti dia akan bersamaku di syurga bersama bagaikan saudara sebagaimana jari ini bersaudara, yaitu jari telunjuk dan jari tengah”.

Imam At- Tarmizi meriwayatkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

“Sesiapa yang memelihara anak yatim diantara kaum muslimin, memberi makan dan minum, maka pastinya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia telah berbuat dosa yang tidak dapat diampunkan”.

Ibn Majah meriwayatkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik rumah kaum muslimin, ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik, dan seburuk buruk rumah kaum muslimin merupakan rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mengusap kepala anak yatim benar-benar kerana rasa sayang dan kerana Allah, maka Allah akan memberinya pada tiap rambut yang diusap oleh tangannya beberapa kebaikan.

Hadith-hadith ini menunjukkan akan ketentuan Allah taala memberikan pahala dan ganjaran kepada mereka-mereka yang secara ikhlas memelihara anak yatim. Baginda Nabi Muhammad s.a.w malah menerangkan bahwa si penjaga akan bersama-sama bagaikan saudara dengan baginda di syurga kelak, inilah antara ganjaran yang terbesar yang diinginkan umat Islam semuanya.

Tapi dalam masa yang sama, kita dilarang dari memakan harta anak yatim. Allah sebut dalam ayat yang lain:

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara dzalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). (QS. AN – NISA’ : 10)

Jadi, sahabat takut kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang mereka pelihara kerana sifat mereka yang amat menjaga hukum. Mereka tak berani nak langgar larangan Allah. Jadi, mereka sudah rasa susah kalau mereka pelihara anak yatim. Dalam satu sudut, mereka tahu ada banyak ganjaran dan kebaikan kalau menjaga anak yatim, tapi dalam masa yang sama juga, mereka takut kalau mereka membuat dosa kalau termakan harta anak yatim itu. Sampaikan ada antara mereka yang buat dua dapur – satu untuk ahli keluarga mereka dan satu lagi untuk anak-anak yatim itu. Dan mereka tak makan bersama, kerana takut termakan dari bahagian anak-anak yatim itu. Itu sudah menyusahkan mereka.

Itulah yang dikatakan ada dua hala itu. Bukannya para sahabat tidak mahu menjaga anak yatim. Maka Allah buat undang-undang untuk menguruskan perkara ini.

 

 قُل إِصلاحٌ لَهُم خَيرٌ

Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”

Allah beritahu dalam ayat ini, kalau tujuan mereka untuk kebaikan anak-anak yatim itu, kesannya adalah baik. Islah itu maksudnya tujuan untuk kebaikan. Kalau mereka berniat membantu dan menjaga anak yatim itu untuk kebaikan, ianya amat bagus sekali.

Kalau anak-anak yatim itu ada harta dan mereka gunakan sebagai pelaburan yang menguntungkan, itu adalah baik. Iaitu cari perniagaan atau pelaburan yang berkemungkinan menguntungkan – jangan labur dalam saham Bursa pula sebab itu ada kemungkinan akan rugi wang mereka. Allah sebut dalam ayat lain:

Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa. (QS. AL – ISRO’ : 34)

Kita boleh ambil harta anak yatim itu dan laburkan di tempat yang bermanfaat. Beli rumah dan sewakan dan seumpamanya. Sebab kalau tidak dilaburkan pun, harta itu akan berkurangan sebab kena bayar zakat tiap-tiap tahun – lama-lama akan susut. Jadi elok kalau harta itu disuburkan supaya bertambah. Supaya apabila anak yatim itu sudah cukup umur, harta itu boleh diberikan kepadanya dan ianya telah bertambah. Bolehlah dia gunakan untuk kegunaannya melangsungkan hidupnya. Tidaklah dia kesusahan nanti apabila dia sudah dewasa. Semuanya ini memerlukan hati yang ikhlas dan keinginan kepada kebaikan anak itu. Kalau tidak ada, susah nak buat begini. Sebab memerlukan usaha yang banyak dan lama.

Jadi, kalau kita kena luangkan masa untuk menjaga harta anak yatim itu, maka sudah tentu kita tidak ada masa untuk buat kerja lain. Maka dalam keadaan itu, kita boleh ambil gaji atau upah dari wang itu sekadar yang patut. Kena jujur dalam perkara ini.

Kalau kita memelihara anak yatim dan mereka ada harta, kita boleh memakan sedikit harta mereka kerana kita menjaga mereka. Tetapi jikalau kita orang kaya dan tidak memerlukan harta anak yatim itu, maka kita tidak perlu memakannya atau mengambilnya. Maka dalam keadaan begitu, kita simpan sahaja dan seeloknya dilaburkan ke tempat yang menguntungkan.

Jagalah anak yatim itu dan beri pendidikan agama kepada mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh. Allah akan membalas segala susah payah kita itu. Dan memang menjaga anak-anak yatim bukan mudah kerana kita kena berhati-hati supaya kita tidak termakan harta mereka dengan cara salah atau terbuat kezaliman kepada mereka. Jadi jikalau kita lakukan semua itu untuk kebaikan anak itu maka insyaallah, Allah akan bantu kita untuk menjadikan kebaikan di dalamnya.

 

وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوانُكُم

dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu

Jikalau makanan kita bercampur aduk dengan makanan mereka maka anggaplah mereka itu adik beradik kita bukan orang lain. Janganlah sampai tidak makan bersama kerana takut termakan makanan mereka. Makan sekalilah, jangan takut. Tak perlu sampai kena buat dua dapur yang berbeza.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ

dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaikinya.

Allah tahu isi hati dan niat mereka yang menjaga anak-anak yatim sama ada mereka mahukan kebaikan untuk anak yatim itu ataupun tidak.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم

Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu

Kalaulah Allah mahu, Allah boleh menyusahkan kita yang menjaga anak yatim itu, iaitu kita tetap juga kena menjaga anak yatim itu dalam kesusahan dan kepayahan. Sampai tak boleh langsung makan harta anak yatim itu, kena makan asing, kena buat dapur berbeza dan sebagainya. Tetapi Allah tidak buat begitu di mana Allah telah memberikan kemudahan didalam urusan menjaga mereka. Supaya kita boleh dapat pahala dan kelebihan menjaga anak yatim, tapi tidaklah menyusahkan kita sangat.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah boleh balas segala dosa dan kesalahan kita samada di dunia atau di akhirat. Maka takutlah kepada azab Allah kalau kita salahguna harta anak-anak yatim itu atau berlaku zalim terhadap mereka.

Kalau kita bersalah dalam hal menjaga harta anak yatim itu dan Allah tidak balas semasa di dunia, itu adalah kerana atas hikmah kebijaksaan Allah, yang antaranya Allah mahu memberi peluang kita untuk memperbaiki keadaan itu dan bertaubat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s