Tafsir Surah Baqarah Ayat 210 – 215 (Menangguh dalam agama)

Ayat 210: Ayat ini adalah ayat takhwif duniawi. Ianya tentang azab yang mungkin diberikan kepada mereka yang degil untuk menerima Islam dan mengamalkannya 100%. Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini, dimana kita disuruh berpegang dengan agama 100%.

هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِنَ الغَمامِ وَالمَلائِكَةُ وَقُضِيَ الأَمرُ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

SAHIH INTERNATIONAL

Do they await but that Allah should come to them in covers of clouds and the angels [as well] and the matter is [then] decided? And to Allah [all] matters are returned.

MALAY

(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

هَل يَنظُرونَ

Adakah mereka menunggu?

Adakah mereka menangguh-nangguh? Maksud perkataan ‘menunggu’ itu adalah mereka tidak mengamalkan agama Allah dengan sepenuhnya dan kalau begitu, yang mereka tunggu adalah azab Allah. Apa lagi yang mereka tunggu? Apa lagi yang menghalang mereka dari mengamalkan Islam sepenuhnya?

Ini adalah sifat orang Munafik. Dia tahu yang sebagai seorang Muslim, kenalah amalkan agama Islam dengan sepenuhnya seperti yang disebut dalam ayat 208. Tapi mereka menangguh juga lagi. Mereka kata: “takpelah aku muda lagi”; bila nak kahwin, apabila keluarga suruh bersanding, mereka buat juga dan dalam hati kata: “waktu ini sahaja aku buat syirik sebab nak jaga hati keluarga, nanti selepas dah duduk rumah sendiri bolehlah aku amalkan Islam sepenuhnya”; waktu kerja atau berniaga mereka sibuk sampai tak jaga solat – mereka kata bila dah tak sibuk nanti mereka akan jaga solat – dan macam-macam lagi alasan mereka apabila menangguh itu. Semua itu buat sedap hati sahaja.

 

إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِنَ الغَمامِ

melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan,

Allah nak beritahu bahawa masa yang mereka tunggu untuk mengamalkan Islam sepenuhnya itu tidak akan datang, yang akan datang adalah azab Allah. Tidaklah yang mereka tunggu melainkan azab Allah sahaja yang akan sampai kepada mereka.

Allah datang itu dengan membawa azab. Atau, bukanlah Allah datang tapi Allah datangkan azab itu. Azab Allah itu mungkin boleh datang dalam bentuk di bawah awan yang gelap. Pernah terjadi di zaman dulu telah berlaku kemarau yang panjang dan apabila datang awan yang gelap, mereka kegembiraan kerana mereka sangkakan yang hujan akan turun. Padahal yang sebaliknya adalah awan yang gelap itu adalah azab dari Allah yang akan datang kerana di dalam awan yang mendung itu ada api yang membakar.

 

وَالمَلائِكَةُ

dengan malaikat

Boleh juga terjadi azab itu dibawa oleh malaikat dalam bentuk tempikan dan gegaran dari malaikat. Ini biasa juga terjadi seperti yang terjadi kepada umat-umat yang terdahulu.

 

وَقُضِيَ الأَمرُ

dan diputuskanlah perkara itu

Dan apabila azab itu datang, selesailah segala keputusan. Maknanya mereka akan dimatikan dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah maksud ‘selesai’. Mereka yang ‘selesai’.

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

Allahlah yang berhak menentukan segala keputusan yang dikenakan kepada manusia. Allah yang menentukan samada hendak mengenakan azab kepada kita atau tidak. Semuanya di tangan Dia.

Jangan sangka perkara ini tidak boleh terjadi kepada kita. Allah boleh sahaja mengenakan azab kepada kita semasa kita di dunia lagi, atau Allah boleh tangguh azab itu di akhirat kelak. Kalau Allah tangguhkan, itu adalah kerana Allah beri peluang kepada kita untuk bertaubat.


 

Ayat 211: Allah memberi contoh apa yang terjadi kepada umat yang dahulu iaitu Bani Israil. Sebelum umat Nabi Muhammad dibangkitkan, Bani Israillah umat Islam pada zaman mereka. Tetapi mereka tidak mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, maka mereka telah diazab.

Ayat ini peringatan untuk kita, sebenarnya. Allah nak ingatkan kita sebagai umat Islam yang menggantikan mereka, supaya jangan jadi macam mereka.

سَل بَني إِسرائيلَ كَم آتَيناهُم مِن آيَةٍ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL

Ask the Children of Israel how many a sign of evidence We have given them. And whoever exchanges the favor of Allah [for disbelief] after it has come to him – then indeed, Allah is severe in penalty.

MALAY

Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

سَل بَني إِسرائيلَ

Tanyalah kepada Bani Israil,

Allah beri contoh perkara yang sudah berlaku, iaitu kepada Bani Israil. Mereka masih lagi berdegil tidak mahu menggunakan sepenuhnya wahyu yang telah diberikan kepada mereka. Kita telah banyak belajar dalam surah Baqarah bagaimana mereka pilih-pilih mana nak pakai dan mana merekan nak tolak. Maka ingatlah bahawa perkara yang sama juga boleh terjadi kepada kita. Ada juga masyarakat kita yang tidak pakai semua ayat Quran. Mana yang tidak kena dengan jiwa dan nafsu mereka, mereka tolak.

Allah suruh tanya kepada Bani Israil itu, kerana mereka ada di kalangan umat Islam di Madinah waktu itu. Tanya apa?

كَم آتَيناهُم مِن آيَةٍ بَيِّنَةٍ

berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka 

Allah suruh tanya kepada puak Bani Israil itu berapa banyak tanda-tanda yang telah diberikan kepada mereka. Mereka telah dapat melihat banyak mukjizat-mukjizat, tanda-tanda dan Kalam Allah yang diberikan kepada mereka berupa kitab Taurat dan Kitab Injil.

Mereka telah melihat berbagai-bagai tanda dan mukjizat kepada kebenaran seperti terbelahnya laut, air keluar dari batu, makan Manna dan Salwa yang turun dari langit, awan yang melindungi mereka dan macam-macam lagi, tapi mereka masih degil untuk taat sepenuhnya.

وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ

dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, 

Bani Israil itu telah menukar nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Dan sesiapa yang menukar nikmat agama yang diberikan dengan mendurhaka kepada Allah, mereka akan menerima azab yang keras. ‘Menderhaka’ itu bermaksud tidak bersyukur dengan nikmat hidayah yang telah diberikan setelah nikmat itu sampai kepada mereka, maka ingatlah yang Allah amat keras azabnya.

Mereka tidak endahkan wahyuNya dan masih lagi mementingkan perkara yang lain. ‘Nikmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah wahyu. Wahyu dah ada tapi masih nak pakai pendapat selain dari wahyu. Antaranya mereka pakai pendapat pendita mereka yang bercanggah dengan Kalam Allah. Atau mereka rujuk kitab karangan manusia tanpa memeriksa samada pendapat penulis kitab itu bersesuaian dengan wahyu atau tidak.

Malangnya, begitulah yang terjadi di kalangan masyarakat Islam kita sekarang. Ramai yang tidak menggunakan Quran dan Sunnah, tapi sebaliknya ‘tukar’ hidayah dengan ambil pendapat tok guru, kitab karangan manusia, dan hawa nafsu mereka.

 

فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

maka sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

Ketahuilah bahawa azab Allah itu amat berat. Memang tak sanggup nak tanggung.

Kita jangan sangka perkara ini tidak boleh berlaku kepada kita. Jikalau kita tidak mementingkan wahyu yang Allah telah berikan kepada kita, dan kita tukar dengan pakai pendapat yang lain, maka azab yang sama boleh dikenakan kepada kita.

‘Tukar’ itu bukan sahaja bermaksud kita tidak percaya kepada wahyu itu tetapi ianya juga terjadi kalau kita lebih mementingkan perkara-perkara lain dalam agama kita – umpamanya mementingkan pendapat dari guru atau kitab. Atau kita lebih mementingkan dunia kita – harta, kedudukan, keluarga dan macam-macam lagi tanpa rujuk kepada Quran sebagai panduan hidup kita.

 


 

Ayat 212: Ini adalah dorongan kepada jihad (targhib) yang kelima. Allah nak beritahu kedudukan orang yang bertaqwa.

Dan Allah hendak mengingatkan kita bahawa dunia ini sementara sahaja, maka jangan tertipu dengan godaan dunia.

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا الحَياةُ الدُّنيا وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا ۘ وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ القِيامَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

 

SAHIH INTERNATIONAL

Beautified for those who disbelieve is the life of this world, and they ridicule those who believe. But those who fear Allah are above them on the Day of Resurrection. And Allah gives provision to whom He wills without account.

MALAY

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

 

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا الحَياةُ الدُّنيا

Dunia diperhiaskan pada (pandangan) orang-orang kafir,

Soalan yang mungkin timbul di dalam fikiran manusia adalah kenapa mereka yang dikatakan derhaka kepada Allah diberikan dengan nikmat dunia yang berganda-ganda? Dari dulu sampai sekarang, kita boleh lihat bagaimana orang kafir itu sentiasa sahaja lebih kaya, lebih maju dari orang Islam. Mungkin ada yang kata, nampak macam Allah lebihkan mereka pula. Adakah mereka itu dalam puak yang benar dan Allah sayang mereka? Tapi dikatakan mereka derhaka kepada Allah pula? Kenapa jadi macam ini ?

Allah beritahu bahawa kekayaan dan kesenangan yang mereka dapati itu bukanlah kayu ukur atau sebagai tanda yang Allah sayang kepada mereka atau kedudukan mereka lebih tinggi. Sebenarnya dunia diperlihatkan indah kepada orang-orang kafir dan kerana itu mereka bersusah payah dan berusaha bersunguh-sungguh hanya kepada hal-hal keduniaan sahaja. Orang-orang Islam bukanlah tidak memandang keindahan dan kesenangan dunia, tapi dalam masa yang sama, kita juga nampak kepentingan akhirat . Orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting dan indah. Orang Mukmin pula mementingkan akhirat. Kalau ada percanggahan antara dunia dan akhirat, akhiratlah yang lebih diutamakan.

Oleh kerana orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting, maka mereka berusaha dengan sekeras-kerasnya untuk mendapat dunia itu dan sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun terpaksa menipu dan sebagainya. Tumpuan mereka hanya pada dunia sahaja. Maka mereka dapatlah dunia itu kerana mereka berusaha keras untuk mendapatkan dunia. Kerana kalau mereka hendak sangat dunia, Allah akan berikan kepada mereka dan menjadikan dunia itu sebagai ujian untuk mereka. Tapi orang Islam tidak boleh buat begitu, maka adalah kekurangan di sana sini.

 

وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا

mereka memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. 

Oleh kerana mereka hanya nampak kejayaan dunia sahaja, maka mereka memperkecilkan dan merendah-rendahkan orang-orang beriman yang tidak ada kedudukan dan kekayaan dalam dunia. Ini adalah kerana mereka hanya memandang kejayaan itu daripada segi kedudukan keduniaan sahaja. Itu adalah silap. Kalau kita menilai kejayaan manusia dengan melihat pencapaian mereka dalam hal keduniaan sahaja, itu adalah salah.

Orang kafir kata orang Islam itu bodoh. Sebab hidup kita tersekat dengan berbagai sekatan agama. Macam-macam tak boleh buat. Pakaian kena jaga aurat, hari-hari kena solat, bercakap nak kena jaga sebab tak boleh cakap sebarang, pergi kelab malam tak boleh, tak boleh makan riba dan macam-macam kekangan lagi. Mereka kata kita hidup dalam kerugian. Begitulah Nabi telah bersabda bahawa dunia ini adalah penjara kepada orang beriman.

Ad-dunya sijnul mukmini wa-jannatul-kafiri.’

(Yang bermaksud: Dunia ini adalah penjara bagi orang iman dan syurga bagi orang kafir.) [Hadith at-Termidzi]

Allah beritahu yang nampak dunia itu indah hanyalah kepada orang kafir sahaja. Malangnya, ada orang Islam pun macam itu juga, bukan? Mereka yang ajak kita buat maksiat, ajak pergi majlis bidaah, buat benda yang salah dan macam-macam lagi. Lalu siapakah mereka itu sebenarnya?

وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ القِيامَةِ

Padahal orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak. 

Inilah berita gembira kepada orang yang bertaqwa itu: Allah memberitahu bahawa mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang menjaga hukum Allah, lebih tinggi kedudukan daripada orang-orang kafir itu di akhirat kelak. Mungkin di dunia orang bertaqwa itu nampak rendah dan hina, tapi di akhirat orang bertaqwa yang lebih tinggi kedudukan mereka.

Dalam ayat ini, Allah gunakan perkataan ‘orang-orang bertaqwa’ kerana beriman sahaja tidak cukup. Kerana taqwa adalah peringkat yang lebih tinggi selepas beriman. Kerana beriman itu maksudnya ‘percaya’ dan ‘taqwa’ adalah menjaga hukum dan perintah Allah selepas percaya.

Orang-orang yang bertaqwa akan masuk ke dalam syurga dan orang kafir itu akan masuk ke dalam neraka. Apabila masuk ke dalam syurga, maka kedudukan ahli syurga memang akan lebih tinggi dari kedudukan mereka yang di neraka. Waktu itu orang bertaqwa pula yang akan mentertawakan orang kafir itu.

 

وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira 

Sama ada rezeki lebih atau kurang itu adalah daripada takdir Allah. Tidak boleh kita persoalkan kepada siapa Allah nak beri. Kalau Allah nak beri lebih banyak kepada orang kafir, bukan hak kita untuk persoalkan. Semuanya adalah atas budi bicara Allah untuk menguji hambaNya.

Kenapa sebut tentang rezeki dalam ayat ini? Kerana orang-orang kafir itu pada mereka mudah sahaja mereka rasa nak dapat harta – boleh kerja macam-macam tanpa halangan, boleh makan riba, boleh menipu dan sebagainya.

Maka Allah nak beritahu bahawa Allah boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Kalau kita bertaqwa, Allah masih juga akan beri rezeki yang kadang-kadang kita tidak sangka. Allah akan beri jalan keluar. Seperti yang Allah sebut dalam Talaq:3

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.

Tidak perlu kita melanggar hukum Allah untuk mendapatkan rezeki.


 

 

Ayat 213: Ini adalah dorongan/targhib jihad yang ke-enam.

كانَ النّاسُ أُمَّةً واحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الكِتابَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ ۚ وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ بَغيًا بَينَهُم ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ آمَنوا لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Mankind was [of] one religion [before their deviation]; then Allah sent the prophets as bringers of good tidings and warners and sent down with them the Scripture in truth to judge between the people concerning that in which they differed. And none differed over the Scripture except those who were given it – after the clear proofs came to them – out of jealous animosity among themselves. And Allah guided those who believed to the truth concerning that over which they had differed, by His permission. And Allah guides whom He wills to a straight path.

MALAY

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

 

كانَ النّاسُ أُمَّةً واحِدَةً

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu

Kita kena menjalankan jihad ini kerana asalnya seluruh umat manusia adalah Islam belaka dan kita kena kembalikan manusia kepada Tauhid itu. Perkataan واحِدَةً dalam ayat ini bermaksud ‘tauhid’. Semua umat manusia asalnya berpegang kepada fahaman tauhid yang sama sahaja.

Fahaman kafir ini adalah fahaman yang baru sebenarnya kerana umat manusia pada zaman Nabi Nuh yang kafir semuanya telah mati belaka. Selepas kejadian Banjir Besar itu, semua umat adalah Islam belaka dan tidak ada orang kafir di dunia ini selepas itu.

Lagi satu hujah yang membuktikan umat manusia ini asalnya adalah atas akidah tauhid kerana Nabi Adam memang sudah berada di atas akidah tauhid. Kekafiran itu datangnya kemudian. Maknanya, bapa kita yang pertama adalah atas pegangan tauhid sebenarnya.

Perpecahan manusia kepada yang berpegang dengan tauhid dan yang syirik itu datangnya kemudian. Syaitanlah yang membisikkan fahaman kesyirikan kepada manusia supaya manusia duduk bersama dengan mereka di dalam neraka. Maka ada manusia yang terima pujukan syaitan dan menjadi kafir dan musyrik dan setengahnya lagi kekal di atas aqidah tauhid.

Jadi tugas kitalah untuk menjadikan umat manusia itu semuanya di atas akidah tauhid kembali. Oleh itu untuk menghapuskan orang kafir atas muka bumi ini ataupun supaya berkurangnya orang kafir di dunia ini, maka jihad perlu dijalankan. Jikalau jihad dijalankan, insyaAllah umat Islam akan semakin ramai dan orang kafir akan berkurangan.

 

فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ

maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran

Untuk memperbetulkan keadaan yang telah kacau bilau ini maka Allah telah bangkitkan para Rasul untuk mengajarkan balik akidah tauhid kepada manusia dan menjadikan umat manusia umat yang satu kembali.

Tugas para Rasul itu adalah memberi berita gembira kepada mereka yang taat dan memberi ancaman kepada mereka yang tidak taat. Maka, oleh kerana para Rasul sudah tiada lagi zaman sekarang, maka tugas itu terbeban ke atas kita umat Islam ini.

 

 

وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الكِتابَ بِالحَقِّ

dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang yang mengandungi kebenaran,

Allah tidak turunkan para Rasul itu dengan tangan kosong tapi mereka diberikan dengan Kitab Kalam Allah. Zaman kita ini, kita telah diberikan dengan Quran. Maka, oleh kerana para Rasul itu berdakwah dengan kitab Wahyu, maka kita pun kenalah menggunakan Quran ini untuk berdakwah kepada manusia. Jangan tinggalkan Quran dalam methode dakwah sama sekali. Malangnya, ramai yang gunakan bermacam-macam cara tapi tidak menggunakan Quran. Kita kena belajar tafsir Quran ini supaya kita boleh sampaikan kepada manusia. Bagaimana kita nak sampaikan kepada manusia kalau kita sendiri tidak tahu tafsir Quran?

 

لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ

untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan

Tujuan kitab itu diturunkan bukanlah untuk disorok tetapi digunakan sebagai sumber hukum kepada manusia. Kitab dari Allah itu menjadi kayu ukur untuk membezakan manakah fahaman yang benar dan manakah fahaman yang salah. Ianya amat jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak belajar atau mereka yang degil setelah mengetahuinya.

 

وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ

tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata,

Perpecahan yang terjadi itu bukanlah sebelum kedatangan para Nabi ataupun sebelum kitab Allah diturunkan, tetapi ianya terjadi selepas adanya para Nabi dan kitab wahyu disampaikan kepada mereka. Maknanya perpecahan itu terjadi selepas manusia telah diberitahu manakah yang salah dan manakah yang betul. Mereka berselisih bukan kerana jahil tetapi mereka berselisih kerana mereka degil.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa antara yang memesongkan agama ini adalah orang yang tahu tentang agama. Mereka menggunakan agama untuk kepentingan dan kedudukan mereka kerana mereka nampak agama ini boleh digunakan. Boleh gunakan untuk dapat duit, boleh dapat kedudukan dan sebagainya. Maka mereka ambil peluang. Mereka itulah yang dinamakan ulama suu‘ – ulama yang jahat. Jangan sangka semua ulama atau ustaz itu sama sahaja. Ramai yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja.

Ataupun kerana mereka memang jahil kerana walaupun kitab wahyu sudah ada, tapi mereka tidak mempelajarinya. Samalah juga dengan masyarakat kita yang tidak faham maksud yang hendak disampaikan oleh Qur’an kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an. Jangan kata masyarakat awam sahaja, malah ada guru-guru agama yang banyak mengajar sekarang pun tidak tahu pun tafsir Quran kerana mereka tidak pernah belajar tafsir Quran lagi. Kita sahaja yang sangka mereka mahir tentang Quran, tapi cubalah tanya guru-guru anda, adakah mereka telah belajar tafsir Quran? Jangan terkejut dengan jawapan yang diberikan nanti.

 

بَغيًا بَينَهُم

kerana hasad dengki sesama sendiri.

Perpecahan itu terjadi kerana ada sifat dengki dalam diri mereka yang tidak mahu orang lain jadi baik. Mereka nak mereka sahaja yang nampak baik pada mata masyarakat.

Ataupun mereka dengki kalau orang lain lebih tinggi kedudukannya daripada mereka kerana mereka nampak kedudukan mereka akan jatuh dan mereka sudah tidak dapat mengawal masyarakat lagi. Inilah yang dilakukan oleh ulama-ulama jahat yang menggunakan agama untuk kepentingan mereka. Ulama-ulama sebeginilah yang tidak mahu masyarakat faham agama kerana jikalau masyarakat bodoh, maka senanglah untuk mereka mengawal masyarakat itu. Sudahlah mereka itu ada yang jahil, dan mereka membodohkan masyarakat lagi dengan menggunakan hujah dan dalil yang bathil di dalam membolehkan ajaran mereka yang salah.

 

فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ آمَنوا لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ

Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka, dengan izinNya. 

Allah tetap memberi pimpinan hidayah kepada orang yang mahu beriman. Kalau manusia hendak beriman, Allah akan memperjelaskan mana yang benar antara perselisihan manusia itu.

 

وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.

Persoalan yang banyak timbul dalam masyarakat awam sekarang adalah: manakah pihak yang benar? Masyarakat awam amat keliru kerana terlalu banyak ahli agama yang berlainan pendapat. Mereka tertanya-tanya manakah pihak yang benar sebenarnya?

Inilah jawapan Allah kepada kita semua. Kalau kita mahu beriman kepada Allah, Allah akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah supaya tunjukkan kebenaran itu walaupun ianya berada di pihak yang lain daripada kita. Ikhlaskan dalam doa kita, kata kita betul-betul mahu kebenaran.. tolonglah tunjukkan kepada Aku.

Malangnya ramai di kalangan kita yang menutup kebenaran daripada sampai kepada kita apabila kita hanya mahu melihat kebenaran daripada pihak kita sahaja. Kalau kita ikhlas mahukan kebenaran, Allah pasti akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita.

Sebahagian besar tentang agama ini adalah tentang akhlak. Malah ianya lebih penting dari ilmu sebenarnya. Kerana kita menambah ilmu agama supaya akhlak kita semakin baik. Bukannya kita belajar ilmu agama ini untuk kita menghentam pihak-pihak yang lain dengan mengatakan mereka salah dan kita benar. Jadi jikalau kita mahukan kebenaran maka hendaklah kita menjaga akhlak kita.


 

Ayat 214: Ini adalah dorongan/targhib jihad yang ke-tujuh. Allah hendak memberitahu bahawa syurga itu tidak diberi percuma. Syurga itu mahal dan kena berkorban untuk mendapatkannya. Mereka yang hendak kepada syurga akan diuji semasa di dunia.

Oleh itu jihad kena dijalankan kerana ianya adalah salah satu dari jalan masuk syurga kerana ianya adalah ujian yang amat besar.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Or do you think that you will enter Paradise while such [trial] has not yet come to you as came to those who passed on before you? They were touched by poverty and hardship and were shaken until [even their] messenger and those who believed with him said,”When is the help of Allah ?” Unquestionably, the help of Allah is near.

MALAY

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, 

Adakah kamu sangka kamu dapat masuk syurga dengan mudah? Syurga itu mahal dan kena ada bayaran untuk memasukinya.

 

وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم

padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? 

Ini adalah ayat yang menakutkan sekali. Allah kata untuk masuk syurga, kita kena diuji macam umat-umat Islam yang terdahulu juga. Umat dahulu telah diuji dengan tiga perkara:

 

مَسَّتهُمُ البَأساءُ

Mereka telah ditimpa kepapaan

Kesusahan harta benda demi menegakkan agama. Ini adalah ujian harta.

 

وَالضَّرّاءُ

dan serangan penyakit,

Sakit pada tubuh. Ini ujian pada fizikal kita.

 

وَزُلزِلوا

serta digoncangkan

Mereka digoncangkan dengan ancaman dari musuh mereka. Ini termasuk dengan ujian-ujian lain seperti sekatan, tohmahan, serangan, cacian dan macam-macam lagi. Ini semua adalah ujian selain ujian harta dan tubuh. Mereka digegar dengan teruk sekali.

 

حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ

sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Nabi dan sahabat sampai bertanya bilakah pertolongan Allah itu kerana Allah memang telah janji akan beri bantuan tapi tidak ditentukan waktu bila ia akan diberi. Oleh kerana sudah lama tak sampai-sampai, maka Nabi dan sahabat cuma bertanya kenapa lama sangat. Bukanlah Nabi dan sahabat sangsi kepada pertolongan Allah, cuma tertanya-tanya bila nak sampai pertolongan itu. Kerana mereka sudah tidak tahan dah sebab teruk sangat mereka kena.

Ayat ini nak beritahu kepada kita yang baca Qur’an ini, bahawa untuk dapat pertolongan Allah, kena duduk dulu dalam sudah payah yang panjang. Dakwah kepada agama Islam ini bukan mudah dan kita kena bersedia. Kita kena ada persediaan mental untuk menghadapinya. Kalau kita sudah tahu yang ianya bukan senang, maka kalau kita menghadapi segala halangan dan dugaan ini, kuranglah sikit kita rasa. Kerana kita sudah bersedia.

Memang pendakwah agama akan menerima ujian dari Allah. Kalau kita melakukan tugas dakwah kita, kita akan diuji kerana Allah telah beritahu yang Dia telah siap sediakan musuh untuk orang Mukmin dari kalangan jin dan manusia. Dan kalau kita tidak menjalankan tugas kita pula dalam dakwah, Allah akan uji kita dengan kita ditundukkan oleh agama lain supaya kita sedar kembali. Jadi, dalam dua keadaan itu, memang kita akan diuji. Maka terima sahajalah. Dan jangan putus asa. Ingatlah bahawa balasan untuk kesabaran kita itu adalah syurga.

 

 أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat 

Allah beritahu bahawa pertolonganNya akan pasti tiba dan tidak lama lagi. Mereka cuma perlu bersabar. Dan kesabaran mereka menunggu pertolongan itu akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tentunya lebih tinggi nilainya dari susah payah manusia yang berdakwah untuk menegakkan agamaNya.

Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa Dia dekat dengan kita. Dan memang Dia telah memberitahu perkara yang sama kepada kita dalam ayat 186.

Yang paling penting adalah sabar. Ada hadis tentang sahabat yang mengadu kepada Nabi Muhammad dan lihatlah bagaimana jawapan baginda.

Daripada Abi Abdillah, Khabbab ibnu Al-Arat r.a telah berkata kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berada di bawah bayangan Kaabah : “ menangkanlah kami, doakanlah kami” maka baginda menjawab: “ Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki yang telah digalikan lubang untuknya, ditanam, kemudian didatangkan dengan sebilah gergaji diletakkan diatas kepalanya dan menggergaji sehingga dipotong dua, ada mereka yang disikat dengan sikat besi – sehingga bercerai daging dan tulangnya-, tetapi perkara tersebut tidak dapat menghalangnya daripada agamanya, sesungguhnya Allah akan menebus perkara ini sehingga manusia boleh berpergian dari son’a ke Hadramaut tanpa rasa takut kecuali kepada Allah dan serigala terhadap ternakannya, tetapi kamu tergesa-gesa. ”


 

Ayat 215: Tajuk baharu adalah tentang infaq. Selepas ini akan diselang-seli dengan tajuk Jihad dan infaq supaya umat Islam bersedia.

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِن خَيرٍ فَلِلوالِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَاليَتامىٰ وَالمَساكينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you, [O Muhammad], what they should spend. Say, “Whatever you spend of good is [to be] for parents and relatives and orphans and the needy and the traveler. And whatever you do of good – indeed, Allah is Knowing of it.”

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan

Dalam ayat ini umat Islam tanya kepada Nabi apakah yang mereka perlu infaqkan. Beginilah sifat para sahabat yang prihatin kepada agama. Selepas diberitahu kelebihan infak, mereka nak tahu apakah yang perlu mereka infakkan.

قُل ما أَنفَقتُم مِن خَيرٍ

Katakanlah: apa jua harta benda yang baik yang kamu infakkan

Allah jawab mereka boleh infaqkan apa sahaja asalkan ianya ada harga. خَيرٍ bermaksud apa sahaja yang bernilai. Ia boleh jadi apa-apa sahaja. Seeloknya benda yang kita pun suka, kita pun mahu lagi. Janganlah beri benda yang orang lain tidak selera nak pakai; sebagai contoh, selalunya bila kita kemaskan almari baju kita, kita jumpa baju-baju lama yang kita pun tak hingin nak pakai lagi. Maka selalunya kita beri baju yang buruk-buruk itu kepada orang lain. Ini tidak patut. Kalau nak beri pun, kenalah yang masih elok lagi.

فَلِلوالِدَينِ

maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, 

Yang lebih penting daripada ‘apa’ yang perlu diinfakkan adalah kepada ‘siapa’kah infak itu perlu diberikan. Itu yang mereka lebih patut mereka tanya. Kita manusia memang selalu mengeluarkan duit kita tetapi persoalannya adalah ke manakah kita keluarkan duit kita itu.

Jadi pertama yang kita perlu infaqkan harta kita yang berharga itu ialah kepada ibubapa kita yang susah.

Kenalah kita tolong ibubapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Jangan kita banyak tolong orang lain, tapi ibubapa kita sendiri kita tidak kisah kan. Kadangkala ada ibubapa yang susah di kampung tapi anak tidak tolong sikit pun. Ada yang senang di ibukota tapi emak di kampung, merempat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang perlu ditolong adalah ibubapa yang susah. Tapi ada juga yang berpendapat tidak perlu khususkan kepada ibubapa yang susah kerana walaupun mereka senang, apabila kita beri sumbangan kepada mereka, mereka amat suka.

Dan kita jangan lupa bahawa infak bukan sahaja dalam bentuk harta benda sahaja tapi dalam bentuk pertolongan dan lain-lain. Maka tolonglah menyenangkan hidup ibubapa kita dalam apa-apa cara pun. Kalau mereka sakit, kitalah yang bawa mereka ke klinik dan hospital.

 

وَالأَقرَبينَ

dan kaum kerabat,

Kemudian kaum kerabat yang susah. Kenalah kita tolong mereka yang berdekatan dengan kita dahulu. Kerana tentu Mereka akan terasa kalau kita tolong orang lain tapi tidak menolong mereka sedangkan mereka saudara mara kita.

Ini selalunya ada masalah. Masyarakat kita ada sahaja masalah dengan saudara mara mereka. Ada adik beradik yang terasa dengan adik beradik sendiri dan sudah bermasam muka. Anak-anak mereka pun menyambung ‘permusuhan’ ibubapa mereka dan berterusanlah perkelahian ini.

Ini amat memalukan. Bayangkan, seteruk-teruk Arab Jahiliyah itu, mereka amat menjaga hubungan sesama kabilah mereka, tapi kita pula berkelahi sesama ahli keluarga kita?

وَاليَتامىٰ

dan anak-anak yatim

Kemudian anak yatim yang susah. Mereka ini adalah golongan yang selalu diabaikan kerana mereka sudah tidak ada ibu bapa. Maka kita kena cari mereka untuk tolong mereka.

Jangan kita sangka kita hanya boleh tolong mereka dengan wang sahaja. Kerana kita bukan semua ada wang. Tapi kita boleh bantu mereka cara yang lain. Kalau kita pandai memasak, kita boleh masak untuk mereka. Kalau kita pandai, kita boleh beri tuisyen kepada mereka. Atau apa-apa sahaja. Kena kreatif sikit bagaimana nak tolong mereka. Jangan hadkan kepada bantuan kepada bantuan kewangan sahaja.

وَالمَساكينِ

dan orang-orang miskin, 

Keutamaan infak diberikan kepada mereka yang susah kerana mereka yang memerlukan pertolongan itu. Kalau ibu bapa kita kaya-raya, atau saudara mara kita memang sudah kaya ataupun anak yatim lebih banyak duit daripada kita, maka tidaklah perlu kita berikan kepada mereka. Maka apabila hendak infakkan kita perlu melihat kepada keadaan.

Walaupun begitu, ada juga yang kata bahawa untuk ibubapa, tidak perlu tunggu mereka susah. Kena sentiasa tolong mereka.

وَابنِ السَّبيلِ

dan anak perjalanan

Maksudnya orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan. Kerana ada musafir yang cukup bekal mereka dan tidak memerlukan pertolongan.

Berinfak kepada musafir ini lebih-lebih lagi perlu diberikan kepada mereka yang bermusafir kerana hendak menegakkan agama Allah. Mereka memerlukan pertolongan kerana mereka berada di tempat yang baru dan susah untuk mereka mendapatkan pertolongan kerana mereka tidak kenal orang lain.

وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya

Allah tahu apa sahaja yang kita infakkan, tidak perlu beritahu orang lain. Tak payah nak masukkan dalam Facebook atau Instagram segala infak yang kita lakukan.

Allah juga ingatkan yang penting adalah ikhlas dalam hati semasa infak. Allah tahu isi hati kita dan samada kita ikhlas atau tidak semasa memberinya. Kalau tidak ikhlas maka tidaklah dapat pahala. Untuk jaga ikhlas, jangan beritahu kepada orang lain segala kebaikan atau infak yang kita lakukan. Kerana takut kalau orang lain tahu, kita akan timbul rasa bangga dan riak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s