Daurah Tafsir: Surah Fatihah

Pengenalan:

Walaupun Surah Fatihah pendek sahaja, tetapi ianya mewakili seluruh makna Quran 30 juzuk. Sebab itu sah solat kalau baca Surah Fatihah sahaja dalam setiap rakaat. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami maksud Surah Fatihah kerana dengan memahaminya, seolah-olah kita memahami ringkasan seluruh Qur’an.

Kalau sesiapa baru masuk Islam, Surah Fatihah adalah surah pertama yang kena diajar kepada mereka. Supaya mereka dapat memahami kesimpulan Quran.

Semasa kita di dalam solat, kalau kita dapat faham maksud Surah Fatihah, ianya akan memberi kesan yang mengesankan dan mendalam dalam solat kita. Inilah salah satu cara untuk membolehkan kita khusyuk dalam solat. Kita boleh jadi khusyuk kalau kita memahami apa kita lafazkan.

 

Nama Surah Fatihah

Ada banyak nama yang digunakan untuk Surah Fatihah selain dari ‘Fatihah’ itu sendiri. Perkataan ‘Fatihah’ itu maksudnya ‘pembukaan’. Ianya bermaksud ‘Pembukaan’ kepada Qur’an. Ia juga memberi isyarat ‘penutup’. Maka ianya adalah amat indah sekali, kerana ada maksud buka dan maksud tutup – lengkap. Macam Surah Yusuf yang ada pembukaan dan penutupan di dalam awal surah itu. Kerana itulah ianya adalah ahsanul qasas – sebaik-baik kisah. Nanti kita akan belajar bagaimana dari mimpi yang ringkas di awal surah itu, sudah ada rumusan keseluruhan kisah baginda. Maka ianya adalah kisah yang indah. Begitu juga dalam lafaz ‘Fatihah’, sudah ada isyarat kepada penutup.

Seperti yang kita tahu, Surah Fatihah ini ada banyak nama. Daripada banyak nama-nama Surah Fatihah itu, kita akan bahaskan dua sahaja dari nama-nama tersebut. Ianya ada dua nama Surah Fatihah yang paling terkenal: Ummul Qur’an dan Taklimul Mas’alah.

1. Ummul Quran – bermaksud ‘Induk Quran’ atau ‘Ibu Quran’.
Oleh kerana Fatihah itu adalah Induk Quran, maka apabila kita sudah belajar makna Surah Fatihah, maka kita telah telah belajar ringkasan seluruh Quran. Ini menunjukkan betapa pentingnya Surah Fatihah ini. Perkara-perkara penting dalam keseluruhan ayat-ayat Qur’an itu ada dalam Surah Fatihah. Iaitu, semuanya telah disebut dalam Fatihah dalam bentuk isyarat. Ianya akan jelas kepada mereka yang belajar.

Untuk mula memahaminya, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Quran:
1. Tauhid
2. Risalah – kerasulan
3. Akhirat
4. Ahkam – hukum dan undang-undang
5. Keadaan orang yang taat
6. Keadaan orang yang durhaka

Apabila dikatakan Surah Fatihah itu adalah Induk Quran, maka keenam-enam perkara itu mesti ada dalam Fatihah.
1. Tentang Tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

2. Tentang Akhirat disentuh dalam ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

3. Tentang Risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepadaNya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.

4. Tentang Ahkam, tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayatاهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. Oleh itu, ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang Risalah.

5. Keadaan mereka yang taat dan diberi nikmat disentuh dalam potongan ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada Risalah (Kerasulan). Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat.

6. Tentang keadaan orang yang durhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya
ْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Di atas adalah cara pembahagian yang pertama. Iaitu Qur’an 30 juzuk dibahagikan kepada enam bahagian. Ada lagi cara pembahagian yang kedua. Pertamanya, kita kena tahu bahawa semua ajaran kitab-kitab Samawi (langit) seperti Taurat dan Injil, ada dimasukkan dalam Qur’an. Dihimpunkan semuanya sekali dalam Quran. Tetapi oleh kerana persamaan dalam semua ajaran Nabi-Nabi adalah dalam hal akidah, maka yang disebut hanyalah tentang akidah sahaja. Tentang syariat, tidak disebut kerana syariat Nabi-Nabi terdahulu telah dimansuhkan/tidak diamalkan lagi, maka tidak perlu disebut lagi. Selain dari Hukum Aqidah, Hukum Akal juga dimasukkan kerana boleh dipakai sampai ke Kiamat.

Oleh kerana kita umat Nabi Muhammad tahu perkara ini, maka kitalah nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak untuk menyatakan persamaan yang ada dalam segala kitab-kitab itu. Kitalah nanti yang akan menjadi saksi kepada para Nabi-Nabi yang terdahulu yang mereka telah menyampaikan risalah mereka. Bagaimana kita tahu? Kerana ianya ada disebut dalam Quran. Bagaimana kita tahu? Kerana kita belajar Tafsir Quran dan kita boleh sampaikan dan kita boleh menjadi saksi. Tapi kalau kita tidak belajar, bagaimana kita nak jadi saksi?

Baik, setelah dikumpulkan semua ajaran Kitab-kitab Samawi itu dalam Quran, Quran itu telah dibahagikan pula kepada 4 bahagian dari sudut Tauhid atau dari sudut ketuhanan. Pembahagian ini hanya berkenaan tauhid atau tentang Allah sahaja kerana tujuan utama kita belajar wahyu adalah untuk kenal Allah. Ini penting kerana untuk taat kepada Allah, kita kenalah kenal Dia dulu.

Keempat-empat bahagian itu boleh dikatakan telah dibahagikan sama rata dalam Qur’an. Dan kita boleh kenal pembahagian itu kerana semua bahagian itu dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’. Ada empat surah yang dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.
– al-Fatihah
– al-An’am
– al-Kahf
– Saba’

Kalau kita lihat secara kasar, kita akan nampak bagaimana pembahagian itu adalah sama rata. Setiap bahagian itu mewakili sifat-sifat khas Allah yang perlu diketahui oleh hamba. Tiga bahagian tentang kehidupan di dunia, dan satu bahagian tentang kehidupan di akhirat. Kita akan lihat bagaimana Qur’an 30 juzuk itu dibahagikan kepada empat bahagian dan bagaimana dalam surah Fatihah juga akan ada Pembahagian sebegitu. Ini adalah kerana Surah Fatihah adalah Ummul Qur’an yang mewakili keseluruhan Qur’an.

Mari kita lihat Pembahagian tersebut di dalam Qur’an 30 juzuk dahulu:

A. Bahagian Pertama adalah dari Surah Fatihah sampai kepada Surah Maidah.
Dalam bahagian ini, Allah banyak menceritakan tentang sifat KhaliqiahNya. Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia sahaja yang berkuasa dan Maha mencipta. Tiada lagi Dzat lain yang boleh mencipta. Oleh itu, hanya Allah sahaja yang layak kita minta pertolongan di dunia dan di akhirat. Sebab yang lain dari Allah tidak ada kuasa mencipta.

Itulah penekanan dalam bahagian pertama ini. Selain dari itu, memang ada perkara-perkara yang lain tetapi penekanan keseluruhan adalah Sifat Khaaliq Allah. ‘Mencipta’ itu bermaksud menjadikan sesuatu dari ‘tidak ada’ kepada ada. Ini berbeza dengan menjadikan sesuatu dari benda yang sudah ada. Sebagai contoh, kita mencipta kereta dari besi yang dijadikan oleh Allah. Itu dalam bahasa Arab digunakan perkataan ‘menyusun’ sahaja.

B. Bahagian Kedua adalah dari Surah al-An’am sampai surah al-Isra’ – kita boleh lihat bagaimana Surah al-An’am juga dimulakan dengan lafaz ‘alhamdulillah’ – Bahagian kedua ini menekankan sifat Rububiyyah Allah. Iaitu Sifat Allah yang Maha Memelihara ciptaanNya. Allahlah sahaja yang menjaga makhlukNya dari permulaan sehingga sampai ke tahap kesempurnaan. Dan kemudian Dia terus menjaga makhlukNya tanpa membiarkan mereka begitu sahaja. Tujuan bahagian ini adalah supaya kita tahu dan ingat yang Allahlah sahaja yang memelihara alam ini. Selepas Dia cipta, Dia tidak biarkan sahaja. Oleh itu, hanya kepadaNya sahaja yang kita patut sembah dan tidak ada pujaan yang lain.

C. Bahagian Ketiga bermula dari surah al-Kahf sampai surah al-Ahzab. Bahagian ini menekankan sifat Allah al-malikul wa tasarruf – memiliki dan mengurus sekalian hamba. Allah tak kongsi urusan pengurusan itu dengan sesiapa pun. Hanya Allah sahaja yang mengurus alam ini dan Allah tidak memberikan tugas pengurusan ini kepada entiti yang lain. Maka, hanya Allah sahaja yang layak disembah.

Itulah tiga sifat tauhid yang pertama. Ketiga-tiga sifat ini ada hubungan dengan kehidupan di dunia.

D. Bahagian Keempat bermula dari surah Saba sampai ke hujung Quran. Bahagian ini hendak menekankan yang Dialah sahaja Dzat yang memiliki kuasa syafaat pada Hari Pembalasan. Tidak ada kuasa lain yang boleh beri syafaat melainkan dengan izinNya sahaja. Maka, kenalah minta syafaat kepadaNya sahaja, jangan minta kepada yang lain.

Inilah satu Sifat yang berkaitan dengan kehidupan di akhirat. Ia mengingatkan kita yang kalau hubungan kita baik dengan Allah semasa di dunia, kita akan mendapat kehidupan yang baik di akhirat kelak.

Audio Kuliah boleh didengar di sini: Fatihah 1

Dan oleh kerana Fatihah adalah Ummul Qur’an,  ringkasan kepada seluruh Qur’an, maka keempat-empat elemen ini ada dalam surah Fatihah. Mari kita lihat bagaimana:

A. Dalam Fatihah, ayat pertama الْحَمْدُ لِلَّهِ َ adalah mewakili bahagian pertama. Maksudnya Allahlah sahaja yang berhak dipuji. Perkataan الله dalam ayat ini membawa maksud ‘Pencipta’. Bagaimana pula? Ini kerana ia dinisbahkan kepada orang Arab Mekah. Apabila disebut nama الله, orang Mekah terus ingat kepada sifat Pencipta Allah. Ini adalah makruf kepada mereka. Mereka sudah tahu yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Tidak dipertikaikan fakta ini pada mereka.

Maksud ‘mencipta’ adalah bermaksud mengadakan sesuatu yang tidak ada langsung kepada menjadi ada. Ini khas kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh buat.

B. Bahagian kedua diwakilli oleh ayat رَبِّ الْعَالَمِين. Rabb bermaksud ‘Tuhan yang memelihara’. Allahlah yang memelihara selepas Dia mencipta. Allah tidak biarkan ciptaanNya itu begitu sahaja.

C. Bahagian ketiga diwakili oleh ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. Ia mewakili sifat Allah yang memiliki, mengurus dan mentadbir. Allahlah sahaja yang menguruskan segala hajat dan keperluan hamba. Segala urusan apa pun, diurus oleh Allah, samada kecil atau besar.

D. Bahagian keempat diwakili oleh ayat مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ. Allah yang berkuasa penuh di Hari Kiamat nanti. Tidak ada boleh berkuasa atau memberi syafaat tanpa keizinan Allah.

Tiga ayat Fatihah ini adalah induk kepada Quran. Ianya merangkumi empat bahagian dari Quran seperti yang telah kita sebutkan. Apabila kita sudah faham, maka setiap kali kita baca ayat-ayat dari Surah Fatihah ini, kita akan teringat kepada Allah. Akan teringat kepada bahagian-bahagian tauhid dalam Qur’an yang diwakili itu. Itulah kepuasan seorang hamba. Seorang hamba sepatutnya selalu hendak belajar tentang Allah. Itulah ilmu yang sentiasa dirindui dan dia akan mahu belajar lagi dan lagi.

Mana pula Basmalah? Basmallah tidak terkecuali. Dalam Basmalah, ada rumusan tiga ayat selepasnya, yang mewakili empat bahagian Tauhid Allah. Tapi, disebut dua sifat dan dihazafkan dua lagi sifat kerana sudah dikenali. Ini adalah salah satu dari kaedah bahasa Arab. Menggunakan konsep ringkasan. Bagaimana?
– sebut الله tapi hazafkan رَبِّ الْعَالَمِينَ.
– sebut الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ tapi hazafkan مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ.

Selain dari itu, ulama tafsir ada juga taqdirkan sebelum huruf ب dengan lafaz ‘aku mulai’ atau ‘aku baca’ kerana tidak boleh dalam bahasa Arab mula perkataan dengan huruf jar. Maknanya, tidaklah basmalah itu hanya ‘Dengan nama Allah’ sahaja, tetapi ia berbunyi: “Aku mulai dengan Nama Allah”. Ini adalah mengikut munasabah mereka. Yang mereka fikirkan sesuai.

Tapi ada satu lagi cara dimana taqdir itu dinisbahkan kepada ayat Quran. Ini lebih baik kerana kita ambil sendiri dari pemahaman dalam ayat Quran sendiri. Seperti yang kita telah belajar, dalam Fatihah, ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ merupakan kesimpulan Fatihah. Maksudnya kita meminta taufik dan hidayah dari Allah. Maka taqdir yang digunakan: “Dengan nama Allah, aku minta bantuan supaya memberi taufik dan hidayah kepadaku.”

Audio Kuliah boleh didengar di sini: Fatihah 2

Hamim Tujuh dan Intipati Quran

Setiap sesuatu ada intipatinya dan intipati bagi Qur’an itu adalah ‘Ha mim Tujuh”. Ini merujuk kepada tujuh surah yang berturutan dalam Quran yang dimulai dengan lafaz hamim.

Dakwa dalam surah-surah hamim tujuh adalah: ‘mengesakan Allah dalam doa’. Ianya mengajar kita untuk memohon dan merayu hanya pada Allah dan tidak berdoa kepada selainNya.

Sebelum surah-surah hamim tujuh, ada surah az-Zumar. Surah Zumar ini seolah-olah sembah pembuka kepada surah-surah Hamim Tujuh. Dakwa dalam surah Zumar pula adalah ‘tauhid dalam ibadah’. Ia mengingatkan kita bahawa ibadah hanya boleh dilakukan kepada Allah. Dan setelah kita melakukan ibadat, barulah kita berhak untuk merayu dan berdoa kepada Allah. Oleh itu, susunan dalam Quran adalah Zumar (ibadat) dan kemudian surah-surah Hamim Tujuh (doa).

Cantuman dari dua perkara inilah khulasah (kesimpulan) kepada keseluruhan Qur’an. Apakah khulasah itu? – Ibadah dan doa *hanya* kepada Allah. Kita akan belajar dengan panjang lebar nanti apabila kita masuk kepada penafsiran surah-surah tersebut.

Dan wakil kepada khulasah Quran ini adalah ayat iyyaka. Apabila perkataan Iyyaka diletakkan di depan, ia menunjukkan elemen ‘khusus’ atau ‘eksklusif’. Maksudnya *hanya* Allah sahaja. Kalau letak di belakang (na’budu iyyaka), ianya tidak eksklusif lagi kerana dari segi bahasa, ia boleh bermakna yang kita mungkin sembah yang lain juga. Tapi bila letak di depan, ada makna eksklusif di situ. Menafikan yang lain. Ia membawa maksud tauhid dari sudut balaghah.

Hanya Allah sahaja yang layak kerana hanya Allah ada sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Oleh itu, hanya lakukan ibadat kepada Allah sahaja. Itu adalah dalam hal agama, dan dalam hal dunia (muamalat), kita akan taat (ubudiah) kepada peraturan yang Allah tetapkan. Begitulah cara untuk hidup sebagai hamba yang taat.

Yang berkait rapat dengan ibadah adalah *doa*. Doa adalah ‘otak ibadah’. Ianya amat penting dalam ibadah jadi jangan lupa untuk berdoa. Dan daripada mafhum ayat Quran, doa selepas melakukan ibadat tidak ditolak. Allah telah berfirman dalam Quran:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

Amal soleh yang lain yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘berdoa’. Begitu juga, kita dalam lihat bagaimana Nabi Musa telah berdoa selepas baginda membantu anak-anak Nabi Syuaib. Ini mengajar kita untuk berdoa selepas melakukan kebaikan samada dalam bentuk ibadat ataupun kebaikan dalam bentuk yang lain.
Huraian iyyaka na’budu – dihuraikan dalam surah az-Zumar. Ia menerangkan maksud ‘Tauhid fil ibaadah’ – Tauhid dalam Ibadah. Dakwa surah Zumar terdapat pada ayat ke 3 surah itu.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدي مَن هُوَ كاذِبٌ كَفّارٌ

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

Lafaz الدّينُ dalam ayat di atas bermaksud ‘ibadah’. Dalam Quran الدّينُ ada 4 makna:
A. Ibadat
B. Doa
C. Pembalasan. Pembalasan hari kiamat. Macam maaliki yaumiddin.
D. Agama. Pegangan dan cara hidup. Dua dua elemen.

Huraian iyyaka nastain – dihuraikan dalam surah hamim tujuh. Tauhid fi dua.
Dakwa ketujuh tujuh surah ini terletak dalam ayat 14 surah Ghafir.

Jadi ayat iyyaka na’budu dan iyyaka nastain itu adalah mewakili tugas manusia untuk sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Sebelum ini kita sudah belajar bagaimana tiga ayat sebelumnya mewakili empat bahagian tauhid. Setelah kenal Allah, maka hendaklah ibadat dan doa kepada Allah sahaja.

Saidina Abu Bakr pernah menyatakan yang rahsia Qur’an terletak dalam surah Fatihah. Dan rahsia surah fatihah itu terletak dalam ayat iyyaka ini.

Demikianlah huraian kenapa Surah Fatihah dikenali sebagai Ummul Quran.

2. Nama kedua bagi Fatihah yang akan kita bentangkan adalah Taklimul mas’alah – mengajar hamba cara berdoa. Cara meminta.

Allah ajar cara berdoa kepadaNya supaya hamba tidak berdoa dengan cara lain. Kerana akal kita yang lemah tidak akan dapat capai untuk mengetahuinya sendiri. Macam kita orang kampung, tentu tidak tahu bahasa istana bukan? Jadi, daripada kita berdoa kepadanya tidak tentu hala, Allah ajar bagaimanakah cara untuk berdoa kepadaNya.

Maknanya ayat-ayat dalam Quran ini adalah suruhan Allah kepada kita membaca sebagaimana yang diajarNya.

Audio Kuliah boleh didengari di sini: Fatihah 3

Jadi kita kena ‘taqdir’ lafaz sebelum ayat-ayat dalam dalam Fatihah.

Quulu sebelum baca Basmalah
Quulu sebelum baca tiga ayat pertama
Quulu sebelum ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Quulu sebelum ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ hingga akhir surah.
Quulu bermaksud: “katakanlah”. Maknanya Allah suruh kita melafazkan ayat-ayat dalam surah Fatihah itu.


 

Segala Puji Yang Khusus Buat Allah:

Allah mengajar kita untuk memujiNya sebelum berdoa kepadaNya. Inilah maksud ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. Selalunya diterjemahkan ‘segala puji kepada Allah’. Tapi mungkin ada persoalan, takkan segala puji bagi Allah sahaja, sedangkan kita pun ada puji yang lain. Kita pun ada puji orang lain yang baik-baik juga, bukan? Oleh itu, ulama akan tafsir bagaimana walaupun kita puji selain Allah, segala puji itu pergi juga kepada Allah. Kerana kalau orang itu baik pun, Allah juga yang jadikan dia baik, bukan? Maknanya, panjang juga kita nak jelaskan.

Satu cara lagi adalah kita nisbahkan pujian dalam الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ itu kepada sebab Qur’an diturunkan. Qur’an mula sekali diturunkan kepada Arab Mekah. Kita kena tahu yang orang Arab Mekah memang dah pakai lafaz الْحَمْدُ dah sebelum Islam. Mereka tujukan pujian itu kepada ilah-ilah mereka. Allah nak beritahu yang mereka buat itu salah. Kena الْحَمْدُ hanya kepada Allah. Yang mereka beri kepada ilah-ilah mereka itu, sepatutnya hanya untuk Allah sahaja. Iaitu pujian yang ‘khusus’. Bukan semua pujian, tetapi pujian yang layak diberikan kepada ilah sahaja.

Kita juga kena faham maksud lafaz رَبِّ. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan yang mencipta’ sahaja. Sebab Arab Mekah sudah terima yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Ia juga ada membawa maksud ‘memelihara’. Allah nak beritahu yang Dia sahaja yang memelihara. Macam Allah pelihara kita dari bayi lagi. Bayi itu dapat apa yang dia perlukan padahal kita tak tahu pun apa bayi itu cakap. Walaupun nampak dari zahir emak ayah yang pelihara, tapi sebenarnya semuanya Allah yang pelihara.

Lafaz رَبِّ juga bermaksud yang membawa kepada tahap kesempurnaan sedikit demi sedikit. Inilah yang dinamakan ‘tarbiah’. Macam kita ditarbiyah dari kecil sampai dewasa,  membesar sedikit demi sedikit. Tidaklah lahir sahaja terus dewasa.

Ada dua syarat untuk tarbiah jadi sempurna dan layak dipanggil sebagai ‘tarbiah’:
1. Yang melakukan tarbiah itu dapat menyelamatkan dari bahaya dan gangguan. Macam kita bercucuk tanam, kita letak pagar untuk memelihara tanaman itu. Iaitu menjaga dari perkara-perkara yang boleh membahayakan pokok itu.
2. Memasukkan benda yang perlu untuk kebaikan perkara yang ditarbiah itu. Macam pokok, kita kena letak baja. Inilah yang dinamakan pengisian.

Oleh itu, tarbiah rohani manusia pun kena ada dua-dua. Kena bebaskan dari perkara yang boleh rosakkan rohani manusia itu. Dan kena beri isian rohani.  Diisi dengan ilmu dan didikan.

Kita selalunya menjaga jasmani dengan makan makanan yang baik, jaga kebersihan dan sebagainya. Tetapi yang lebih penting dari jasmani adalah roh kita. Roh lah yang menyebabkan jasmani kita bernilai. Kalau roh sudah tidak ada pada jasad, orang itu dikira mati dan manusia lain akan tanam jasad itu dalam tanah.

Tapi kita kena ingat yang roh kita ini pun ada rohnya juga. Roh kepada roh kita adalah Quran. Allah telah mengatakan bahawa Quran itu adalah ‘roh’. Sebagaimana roh manusia yang menyebabkan jasmaninya bernilai, begitu juga roh Qur’an inilah yang menyebabkan roh manusia bernilai. Kalau tidak ada Qur’an, roh manusia itu tidak bernilai, layak masuk neraka sahaja. Oleh itulah pentingnya Qur’an itu dan kerana itulah Allah turunkan Quran ini kepada kita.

Audio Kuliah boleh didengar di sini: Fatihah 4
Lafaz seterusnya adalah lafaz الْعَالَمِينَ. Banyak pendapat telah diberikan oleh ulama tentang maksud lafaz ini. Kita bentangkan tiga daripadanya yang masyhur:

1. Ianya diambil dari perkataan علم yang bermaksud ‘alamat’ dari segi bahasa. Kerana semua makhluk adalah ‘alamat’ kepada Qudrat Allah. Dengan kita melihat kepada alamat itu, kita boleh melihat hebatnya Qudrat Allah dalam mencipta. Setiap kejadian alam ini mengingatkan kita kepada Allah.

2. Alam dalam bentuk yang jamak. علم adalah mufrad/singular dan الْعَالَمِينَ adalah dalam bentuk jamak/plural. Iaitu ia merujuk kepada semua yang dicipta dalam alam ini. Dan alam yang paling penting adalah manusia dan jin. Kerana dua makhluk inilah yang dipertanggungjawabkan dengan syariat. Dan kerana semua yang lain yang dicipta adalah untuk manusia dan jin. Bumi langit dan lain-lainnya adalah dicipta kerana manusia dan jin.  Ianya adalah bekas untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian di dunia telah selesai dan Kiamat sudah berlaku, alam ini semuanya akan hancur berkecai dan tidak berguna lagi.

3. Akhir sekali, ada yang menafsir maksud الْعَالَمِينَ sebagai ‘segala kaum’ di dunia ini. Allah telah memilih Nabi yang diutuskan untuk setiap kaum – setiap kaum ada nabinya masing-masing. Tetapi Nabi Muhammad diutuskan untuk segala kaum. Dan Quran itu diturunkan bersama dengan Nabi Muhammad. Maka Quran ini untuk segala kaum. Quran ini sesuai untuk semua kaum. Dan sesuai untuk digunakan untuk semua zaman.

Itulah antara tiga tafsir bagi lafaz الْعَالَمِينَ. Telah selesai tafsir ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.


Sifat Rahmah Allah Taala:

Seterusnya tafsir bagi ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ.
Lafaz الرَّحْمَٰنِ bermaksud ‘Maha Pemurah’ dan ianya bermaksud Allah itu Maha Pemurah yang bersangatan yang meliputi seluruh alam. Allah memberi nikmat dan keperluan kehidupan kepada semua makhlukNya. Tidak kira samada makhluk itu Muslim atau tidak, beriman atau tidak, Allah beri nikmat.

Lafaz الرَّحِيمِ pula bermaksud ‘Maha Mengasihani’ yang hanya khusus untuk akhirat. Di akhirat nanti, Allah hanya bersifat belas kepada hambaNya yang taat sahaja. Ianya tidak diberikan kepada mereka yang tidak beriman.

Setiap hari kita diingatkan dengan dua sifat ini. Jangan kita terpedaya dengan sifat rahman Allah ini dan sangka yang ianya adalah sifat raheem dan ingat kita dah selamat. Maksudnya, jangan kita sangka yang orang yang kaya raya itu tandanya Allah sayang dia lebih dari orang lain.

Untuk lebih memahami apakah perbezaan antara dua sifat ini, ulama telah membanding dua sifat ini dengan sifat kasih sayang ibubapa. Dua-dua ibu dan bapa sayang kepada anak mereka. Tapi sayang yang berlainan. Seorang ayah, walaupun dia sayang kepada anaknya, tapi dia boleh tengok anaknya susah. Kerana dia tahu yang kesusahan itu adalah demi masa depan anaknya itu. Tetapi kasih seorang ibu tidak begitu. Dia terlalu sayangkan anaknya sampai dia tidak sanggup melihat anaknya menderita langsung. Sebagai contoh, kalau ayah tahu yang anaknya susah di sekolah, dia biarkan sahaja. Tapi emak itu, kalau boleh tak mahu anaknya terus di sekolah yang susah. Dua-dua sifat ini kena ada dalam pentarbiahan seorang anak. Kalau hanya ada kasih ayah sahaja, anak itu tentu akan susah hidupnya. Kalau ada kasih ibu sahaja, anak itu tentu jadi manja dan tidak dapat berjaya. Begitulah perumpamaan sifat Rahman Allah. Allah sanggup tengok hambaNya menderita dalam kehidupan dunia. Sebab itulah walaupun hambaNya itu amat disayangiNya, dia masih hidup susah di dunia. Lihatlah Nabi kita Muhammad, dari kecil sampai besar hidup dalam kesusahan. Tapi apabila di akhirat kelak sifat Raheem Allah seperti sifat sayang keibuan. Allah tidak akan biarkan hambaNya yang beriman mendapat sikit pun kesusahan, oleh itu akan dimasukkan hamba itu dalam syurga yang penuh kenikmatan.


 

Allah yang Memiliki Hari Pembalasan:

Seterusnya, tafsir ayat مالِكِ. Maksudnya, Allah sahaja yang memiliki Hari Pembalasan. Deen dalam ayat ini bermaksud ‘Pembalasan’. Seperti yang kita sudah terangkan, lafaz Deen ada 4 makna. Dan dalam ayat ini, ia bermaksud ‘Pembalasan’.

Allah nak ingatkan kita tentang Hari Pembalasan dalam ayat ini. Sedangkan orang yang tak percaya Allah pun percaya yang dia akan mati. Adakah sesiapa yang percaya dia akan hidup kekal? Tentu tidak. Ini adalah jawapan kepada mereka yang kononnya hanya percaya kepada benda yang mereka boleh nampak sahaja. Kononnya mereka tidak percaya wujudnya Tuhan kerana dia tak nampak Tuhan. Tapi akal pun kita tak nampak, bukan? Adakah itu bermakna yang akal itu tidak ada? Jadi walaupun kita tak nampak akhirat, tapi mati itu pasti dan pembalasan selepas itu lagi pasti. Pada hari itu, Allah akan balas apa sahaja yang manusia telah lakukan semasa di dunia dulu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk.


 

Hanya Sembah dan Doa kepada Allah Sahaja:

Selepas kita kenal Allah dalam tiga ayat yang pertama ini, kita pun hendaklah Sembah Allah sahaja dan Doa kepada Allah sahaja. Inilah yang terdapat dalam ayat Iyyaka. Ayat ini kita telah tafsirkan sebelum ini.


Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus:

Ayat seterusnya adalah اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Kita minta pimpinan kepada Allah dan pimpinan yang kita mahukan adalah kepada jalan yang lurus. Tapi apakah jenis hidayah yang kita harapkan dari Allah?

Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Qur’an.
– tunjuk jalan, dan
– pimpin.

Tapi, apakah bezanya antara kedua perkataan itu? Nampak macam sama sahaja. Kalau ada jar seperti إلى selepasnya, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada huruf jar, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Apakah bezanya?

Kalau ‘tunjuk’, ia hanya sekadar tunjuk jalan. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan kerana tempat kita tidak biasa pergi, kita minta seseorang beritahu kita bagaimana ke tempat itu. Dia pun ajar kita macam mana hendak ke sana. Ikut jalan apa, tanda apa kena lihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin sesat, bukan?

Tapi kalau ‘pimpin, maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang dituju. Dia masuk sekali dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi kita. Inilah yang kita lebih suka, bukan? Maka, dalam surah Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’.

Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman? Sebab kita bukan minta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tapi kita nak Allah pimpin kita sampai ke syurga. Ulama tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayah itu sentiasa menjaga anaknya itu, kalau nampak nak rebah sahaja, ayahnya dah pegang dah.

Audio Kuliah boleh didengari di siniFatihah 5
Kita akan mendapat hidayah kalau dalam hati kita ada inabah. Orang yang ada inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk kenal Allah dan kenal agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.

1. Sifat inabah adalah permulaan hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Quran. Maknanya dia mahu mengenali dan mendekati Allah.
2. Peringkat kedua, selepas di mula belajar, dia akan mula hidup dengan ikut syariat.
3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Kalau dia duduk diam belajar, tidak jadi apa-apa. Tapi kalau mula dakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu samada dalam bentuk dalaman atau pun luaran. Kalau dalam bentuk dalaman, dia akan mula rasa malas dan sebagainya. Kalau luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk tengok hamba itu ada kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi pun kena uji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman.
4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka dia kena pohon keteguhan hati dari Allah. Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’. Iaitu hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Inilah tahap yang kita mahu dan harap kita dapat capai.

Kedudukan yang tinggi ini, kita kena minta kepada Allah. Inilah yang kita minta kepada Allah dalam Surah Fatihah ini. Allah tidak akan hampakan harapan hambaNya yang meminta kepadaNya. Saidina Umar pernah berkata: kalau seseorang itu Allah telah beri taufik kepadanya untuk berdoa, maknanya Allah sudah hendak berikan apa yang dia minta itu. Kerana kalau Allah tidak mahu beri, Allah tak campakkan pun perasaan untuk meminta.

Segalanya kita kena minta kepada Allah. Oleh itu, elok guna tempat dan masa yang doa senang dimakbulkan. Dan lebih molek lagi kalau kita berdoa dengan lafaz doa yang Nabi sendiri ajar. Kalau belum tahu, bolehlah guna doa dengan bahasa kita sendiri.

Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Rabtul Qalbi yang telah disebutkan. Kita akan diberikan dengan apa yang kita doakan. Kalau yang kita minta adalah Rabtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Kalau kita tidak minta, Allah tidak berikan. Tapi bukankah kita melafazkan doa yang sama? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, tapi permintaan mereka tidak sama. Sebagai analogi, seorang budak yang meminta duit, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Seorang budak kecil, mungkin inginkan beberapa sen sahaja tapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit. Mereka dua-dua ‘minta duit’, tapi harapan mereka lain. Jadi yang diminta itu pun tahu apakah maksud yang meminta. Dan tentu Allah lebih tahu apa yang dalam hati kita.

Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ianya adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat sehari-hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ianya bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Qur’an. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.


Jalan Orang-orang Yang Telah Diberi Nikmat:

Ayat seterusnya adalah ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ   yang bermaksud jalan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah. Ada empat golongan yang dimaksudkan, seperti yang Allah sebut dalam Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَّهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat ini, disebut empat golongan itu:

1 Para Nabi. Kita tidak ada ikhtiar untuk jadi Nabi. Yang kita boleh jadi adalah ‘pengikut-pengikut Nabi’. Yang tiga lagi boleh untuk kita usahakan untuk mencapainya.
2. Siddiqeen. Pengikut setia para Nabi.
3. Syuhada. Golongan pejuang.
4. Orang-orang yang Soleh. Iaitu mereka yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi.


Golongan-golongan yang Derhaka:

غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ – Bukan jalan mereka yang dimurkai dan sesat. Ada 4 golongan ini yang dimaksudkan dalam Quran.

المَغضوبِ عَلَيهِم – Yang dimurkai adalah golongan Yahudi dan musyrikin. Dua golongan yang amat susah untuk diperbetulkan. Kerana mereka degil sungguh.

الضّالّينَ  – Golongan yang sesat. Yang dimaksudkan adalah Nasara dan munafiqin.

Semua empat golongan ini dihuraikan dalam Qur’an. Kita kena tahu ciri-ciri mereka supaya kita jangan jadi macam mereka.  Takut kita ada perangai mereka. Sebagai contoh, takut kita mengutuk bangsa Yahudi tapi tak perasan kita pun ada perangai mereka.

Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan bangsa Yahudi.

Surah Ali Imran pula banyak menyentuh kesesatan Nasara.

Surah an-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan munafikin.

Surah Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan munafik.

Kemudian surah An’am dan A’raf pula adalah tentang musyrikin. Iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik.

Itulah semua surah-surah awal dalam Quran yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat  غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Kita kena belajar dan periksa diri kita takut takut ada sifat-sifat mereka ada dalam diri kita.

Audio Kuliah boleh didengari di sini: Fatihah 6
Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tapi ada dua jenis kesesatan.

Yang dimurkai itu bukan kerana dia jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan dia belajar tapi dia degil. Telah sampai maklumat yang benar dan dia pun dah faham tapi dia degil untuk terima. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut dalam hadis. Mereka tahu kebenaran tapi tolak. Sampai sekarang mereka belajar Qur’an tapi sebab nak lawan Islam. Dan begitulah juga musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Qur’an kerana ianya dalam bahasa mereka tapi mereka tolak juga.

Golongan Sesat الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Macam golongan sufi dan tarekat yang kononnya nak dapat agama cara pintas. Mereka tak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bidaah mereka. Mereka mencari Tuhan tapi dengan cara yang salah. Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadis. Allah dah ajar cara-cara Tuhan yang benar tapi mereka nak pakai cara sendiri – akhirnya sesat. Tapi mereka ini lebih baik sikit dari golongan yang pertama. Sebab mereka mungkin boleh boleh diajak belajar dan bila mereka sudah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita nak kena ajak mereka belajar sahaja dahulu. Akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini pun semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tapi golongan  Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal.

Tentang sikap mereka terhadap Islam ini, Allah sebut dalam Maidah:82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun macam itu juga. Mereka akan menentang jalan sunnah. Memang susah sangat mereka nak terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka. Syirik ini memang susah keluar dari manusia apabila dah masuk. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa supaya kita diselamatkan dari fahaman dan dari melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita dah belajar, kita kena doa diselamatkan kerana kita bukan kebal.

Zaman Nabi pernah para sahabat telah berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri masuk Islam.  Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka jadi sesat itu sebab malas belajar sahaja. Maka kita kena heret mereka datang belajar. Maknanya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, jadi jangan malas belajar. Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tapi belajar kitab Injil. Iaitu kitab yang salah. Macam orang kita yang belajar juga, tapi kitab yang salah, sampai salah dalam agama.

Soalan: kenapa tidak disebut munafiqin dalam golongan-golongan ini? Mereka juga dikira sebagai lembut sedikit kerana mereka boleh terima sedikit sebanyak agama Islam. Macam munafik zaman Nabi, mereka duduk dengan Nabi dan sahabat, bergaul bersama mereka, siap solat belakang Nabi. Zahirnya mereka nampak seperti menerima Islam tapi batinnya tidak Islam. Masih ada yang tak cuci lagi dalam diri mereka. Tetapi, mereka lama kelamaan boleh terima juga terima Islam. Ini kerana mereka terus duduk bersama Nabi, terus dengar Qur’an, maka lama-lama mereka masuk Islam juga akhirnya. Sebab itu tidak disebut tentang mereka. Kerana mereka ada yang sudah berubah.

Audio Kuliah boleh didengari di sini: Fatihah 7

Allahu a’lam. Tammat sudah Daurah Tafsir Surah Fatihah ini. Boleh sambung baca tafsir yang ijmali tentang surah ini lagi di sini.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 001: al-Fatihah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s