Risalah ke 3 Usul Daurah Tafsir: Mabahisut Tauhid

Mabahisut Tauhid – Perbahasan Tauhid

Ini adalah Risalah ke 3 dalam Kuliah Daurah Tafsir yang disampaikan oleh Maulana Hadi. Risalah 1 dan Risalah 2 telah disampaikan.

Perbahasan tentang Tauhid ini meliputi empat jenis derajat/peringkat Tauhid. Perbahasan ini diambil dari Kitab Hujjatullah al-Balighah karangan Syah Waliyullah al-Dihlawi (1702-1762).

Perbahasan tentang Tauhid ini diambil dari Quran kerana Quran sudah bahas banyak tentang tauhid.

Tauhid terbahagi kepada 4 derajat/peringkat:
1. Tauhid wujubil wujood – Allah yang Maha Esa wajib ada. Selain Allah, ‘mungkin’ sahaja ada wujud, tidak semestinya ada wujud. Itu semua ikut kehendak Allah samada hendak menjadikan makhluk atau tidak. Musyrikin Mekah pun terima perkara ini. Mereka kenal Allah dan tahu bahawa Allah itu adalah Tuhan.
2. Tauhid fil khaliqiyah – Hanya Allah sahaja yang ada kuasa mencipta. Agama lain pun terima ada satu Tuhan sahaja yang mencipta. Walaupun mereka tidak menggunakan nama Allah, tapi mereka akan kata: ‘Tuhan yang satu’. Seperti juga tauhid peringkat pertama, tauhid fil khaliqiyah ini juga diterima oleh Musyrikin Mekah. Jadi, apabila ayat-ayat dalam Quran memberitahu kepada mereka bahawa Allah Maha Mencipta, itu bukanlah kerana hendak memberitahu mereka, tapi hendak mengingatkan sahaja, kerana memang mereka sudah terima pun.
3. Tauhid fi tasarruf – Disinilah yang ada perbezaan yang banyak antara manusia. Tauhid ini bermaksud: Hanya Allah sahaja yang mentadbir dan mengurus. Ada yang terima dan ramai yang tidak terima. Kerana salah faham di sini, akan memberi kesan kepada tauhid yang keempat. Kesalahan itu adalah kerana ada yang anggap Allah ada berkongsi mengurus alam ini dengan makhluk.
4. Tauhid uluhiyah wal ubudiyyah – iaitu hanya Allah sahaja yang layak disembah dan diibadati. Inilah beza antara orang Islam dan tidak. Ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.

Seorang muslim yang sempurna kena terima keempat-empat bahagian tauhid di atas. Tidak boleh tinggal satu pun.

Seterusnya perbincangan diteruskan dengan kepentingan mengetahui ahwal Arab Jahiliyah. Iaitu mengetahui apakah fahaman dan amalan mereka. Mereka itu digelar Musyrikin Mekah. Untuk faham Qur’an, kita kena tahu tentang mereka dan kenapa mereka digelar ‘musyrikin’. Kerana Qur’an mula diturunkan kepada mereka. Mereka itu mengaku ikut Nabi Ibrahim tapi mereka rosak akidah dan amalan. Allah angkat Nabi Muhammad untuk betulkan akidah mereka.

Kita kena tahu bahawa musyrikin Mekah itu ada fahaman beragama. Bukannya mereka macam orang asli yang tiada agama langsung. Tapi fahaman agama mereka salah. Tapi mereka ingat mereka yang betul dan yang ikut ajaran Nabi Muhammad itu adalah golongan yang murtad pula.

Ini amat penting untuk kita kena ketahui. Kerana perkara syirik adalah amat bahaya. Kalau buat satu sahaja perkara syirik, sudah tidak ada harapan masuk syurga. Agama kita kalau kita bayangkan sebagai belon, kita masukkan udara ke dalamnya. Tapi dengan satu jarum sahaja, akan pecahlah belon itu.

Dan kita kena terima semua sekali ajaran bawaan Nabi dan tak tolak satu pun. Samada kita sudah tahu atau tidak. Kena ada niat untuk ikut segala ajaran Nabi, walaupun kita belum tahu lagi, sebab kita tak belajar.

Tauhid 1 dan 2 tidak ada banyak permasalahan di situ. Kerana kebanyakan manusia boleh menerimanya dan oleh itu tidak dibincangkan di sini. Cuma akan dibincangkan tauhid yang ke 3 dan 4.

Ada golongan Muktazilah yang dikira golongan sesat tapi tidak kafir. Sebab itu ada karangan mereka dalam feqah yang dikaji juga. Kerana boleh diterima hujah mereka di segi feqah. Cuma masalah mereka dalam hal tauhid. Mereka berbeza dengan ahli sunnah kerana ahli sunnah mementingkan nas daripada menggunakan akal. Sedangkan Muktazilah mengutamakan akal daripada menggunakan nas sunnah.

Pengarang Muktazilah banyak terdapat dalam kajian tafsir. Sebagai contoh, ulama bernama Zamakhshari ada menulis kitab tafsir dan semasa menulisnya, beliau adalah seorang yang berfahaman Muktazilah. Walaupun beliau seorang Muktazilah, tetapi kitab beliau dikaji kerana sudut bahasanya tinggi. Jadi diambil dari sudut bahasa.

Apakah masalah dengan akidah golongan ini? Golongan Muktazilah berpendapat yang Allah memberi setiap hamba kuasa mencipta. Tapi kuasa mencipta itu tertakluk kepada asbab dan alat yang Allah berikan kepada hamba. Sedangkan kepada ahli sunnah, kita percaya yang Allah tidaklah memberikan hambaNya kuasa mencipta tetapi makhluk mempunya kuasa ikhtiar dan usaha sahaja. Ahli Sunnah beriktikad yang terjadinya sesuatu itu adalah dari ciptaan Allah dan bukan dari ciptaan makhluk. Walaupun begitu, Muktazilah tidak dikira kafir kerana mereka masih lagi percaya yang apa yang hamba itu cipta masih lagi ‘ma fauqal asbab’ – di atas sebab (hukum adat). Tapi mereka dikira sesat kerana mereka kata hamba boleh mencipta.

Boleh dengar kuliah audio di sini: Mabahisut Tauhid 1

Perbincangan Tauhid Peringkat ke 3: Tauhid fi tasarruf.

Ianya membataskan kuasa mentadbir dan mengurus langit dan bumi dan apa sahaja makhluk di antara keduanya kepada Allah jua. Hanya Allah sahaja yang mentadbir alam ini.

Dalilnya ada pada ayat Yunus:3

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مَا مِن شَفِيعٍ إِلَّا مِن بَعْدِ إِذْنِهِ

Dia mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya.

Juga dalam ayat Rad:2

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

Juga dalam Sajdah:5

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepadaNya pada suatu masa yang banyak bilangan tahunnya seribu tahun menurut hitungan masa kamu yang biasa.

Tauhid ke 4: Tauhid Uluhiyah wal Ubudiyyah.

Tidak berhak dipuja dan disembah selain Allah. Sebab kuasa mengurus dan mentadbir adalah haqNya sahaja, maka Dialah sahaja yang berhak dipuja dan disembah.

Dalil dalam surah Muhammad:19

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Penerimaan kepada keempat-empat darjat tauhid itu adalah syarat untuk seseorang itu selamat dalam tauhid. Kena terima semua sekali. Kalau kurang salah satu, seseorang itu masih dikira dalam syirik. Tidak selamat di akhirat selama-lamanya. Musyrikin Mekah pun terima derajat Tauhid 1 dan 2 dan ada juga yang terima sebahagian dari Tauhid derajat ke 3. Iaitu mereka terima yang perkara-perkara besar diuruskan oleh Allah. Mereka cuma tawasul kepada ilah yang lain pada perkara-perkara yang kecil-kecil sahaja. Walaupun mereka terima setakat itu, tapi ingatlah yang kita masih panggil mereka kafir. Malangnya, masyarakat Melayu pun ada fahaman salah seperti Musyrikin Mekah ini. Oleh itu, kita kena ajak mereka datang belajar.

Musyrikin Mekah beriktikad yang perkara remeh temeh diuruskan oleh entiti selain Allah. Mereka anggap ada ‘wakil Allah’ yang menguruskan perkara-perkara yang kecil-kecil. Sebagai perumpamaan, pengurusan di kampung tak perlulah sampai minta kepada Perdana Menteri pula. Maknanya, mereka samakan pemerintahan di dunia dengan kerajaan Allah Taala. Sedangkan Allah tak serupa dengan makhluk. Dalam segenap hal, kita kena minta kepada Allah. Sebagaimana Nabi ajar, kalau tali kasut putus pun minta kepada Allah. Memang kita selalu minta tolong kepada manusia, tapi sebelum minta kepada makhluk, kena minta kepada Allah dahulu. Kesimpulannya, kecil mahupun besar kena minta kepada Allah.

Kita kena ingat yang tidak akan masuk syurga mereka yang mengamalkan syirik. Syirik adalah salah satu sebab boleh jadi kafir. Kita katakan ‘salah satu’ kerana bukan itu sahaja yang boleh menyebabkan kufur.

Kerana pentingnya perkara tauhid dan syirik ini, 80% dari Qur’an memperkatakan tentang tauhid. Telah jelas yang Musyrikin Mekah telah mengamalkan syirik. Oleh itu, untuk memperbaiki akidah mereka, Allah utuskan Nabi Muhammad kepada mereka dengan membawakan Quran. Maka, untuk memperbaiki akidah kita, kita kena rujuk kepada Quran.

Oleh itu, sangat penting untuk pelajar tafsir Qur’an yang belajar akidah untuk mengetahui tentang Arab Mekah dan ahwal Jahiliyah – dari sudut akidah. Kerana kalau tak tahu, kita tak faham dengan kemas tentang akidah. Seumpama kalau kita hendak menyembuhkan penyakit, kita kena tahu apakah penyakit itu – ini dipanggil ‘diagnosis’. Kalau Qur’an itu dikira sebagai ubat, maka akidah Arab Jahiliyah itu adalah penyakitnya. Oleh itu kita kena tahu apakah fahaman dan amalan mereka yang salah. Yang buruk kita tinggalkan dan yang baik kita teruskan. Seperti kata Umar r.a:

انما تنقض عرى الاسلام عروة عروة اذا نشأ في الاسلام من لا يعرف الجاهلية
Sesungguhnya akan putus rantai Islam satu demi satu, sekiranya lahir dari kalangan umat Islam yang tidak mengenali siapa itu jahiliyyah.

Kenapa Saidina Umar menggunakan perkataan ‘rantai’? Kerana rantai adalah gabungan untaian cincin-cincin kecil yang menjadi rantai, sebagai isyarat kaitan yang menghubungkan kita dengan golongan terdahulu. Daripada kita, sampai kepada golongan salaf dan sampai kepada Nabi. Kalau kita tak tahu apakah maksud ‘jahiliyah’, maka akan putus hubungan dengan mereka. Takut kita akan melakukan amalan yang tak sama dengan Nabi. Takut kita sendiri ada faham dan beramal yang sama fahaman dan amalan Arab jahiliyah tapi kita sendiri tak tahu.

Keempat-empat tauhid ini mestilah berdasarkan dari dalil-dalil yang qat’ie, tidak boleh kurang dari itu. Dari dalil yang begitu kukuh yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dalil yang qat’ie tidak sama dengan dalil zhonni –  ianya dalil juga, tapi tidak sekuat qat’ie. Dalil qat’ie adalah ayat Quran dan dalil zhonni adalah seperti hadis dan kata-kata manusia. Oleh itu, kalau ada dalil zhonni yang nampak tidak sama dengan dalil qat’ie, ianya hanya boleh diterima setelah ditakwil dengan takwil yang bersesuaian. Maknanya, kena takwil dulu baru boleh pakai. Itu pun kalau ada, bukan kita nak kata ada dalil zhonni yang berlawanan dengan qat’ie. Kaedah kedua adalah dengan ‘menjamak’ (sync) kedua-dua dalil itu – memakai kedua-dua dalil itu tapi diselarikan.

Sebagai contoh, mungkin ada dalil dari hadis yang tidak sama dengan dalil Quran. Itu pun kalau ada hadis sahih yang tidak sama dengan Quran (sebenarnya tidak ada, tapi katakanlah kalau ada).

Kalau dalil dari hadis itu memang sudah dhaif, sudah boleh tolak siap-siap. Kalau tak bercanggah, boleh pakai dua kaedah yang disebut di atas (takwil atau menjamak) – kalau ianya sahih.

Boleh dengar audio kuliah di sini: Mabahisut Tauhid 2

Berkenaan Arab Jahiliyah.

Ahwal Arab Jahiliyah boleh dibahagi kepada dua bahagian – amalan mereka yang sama dengan Quran dan yang berlawanan dengan Quran.

1. Terdapat amalan-amalan mereka yang sama dengan syariat Islam. Mungkin ada yang terkejut dengan kenyataan ini tapi itu dari mereka yang tidak tahu kerana tidak belajar sahaja. Memang ada amalan mereka yang sama dengan agama Islam dan Quran mengekalkan mana yang benar. Ini dibagikan kepada dua pula – dari segi akidah dan keduanya, dari segi akhlak:

A. Dari segi akidah:

i. Musyrikin Mekah adalah golongan beragama. Mereka bukanlah golongan atheist yang tidak percaya kepada Tuhan. Oleh kerana ini adalah bagus, maka Allah kekalkan sifat beragama mereka itu. Dalil yang mengatakan mereka itu ada agama, adalah seperti Allah firman dalam Qur’an Kaafiruun:6

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang sebenarnya Musyrikin Mekah itu ada ‘agama’. Maknanya mereka bukan golongan yang tidak percaya adanya Tuhan. Malah, mereka memang kenal Allah. Cuma cara mereka salah dan kerana itulah mereka digelar Musyrikin Mekah.

Allah juga sebut dalam Sad:7

مَا سَمِعْنَا بِهَٰذَا فِي الْمِلَّةِ الْآخِرَةِ إِنْ هَٰذَا إِلَّا اخْتِلَاقٌ

“Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata”.

‘Agama Terakhir’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah agama puak Quraish Mekah. Apabila Nabi Muhammad beritahu mereka tentang tauhid, mereka kata ianya lain dengan apa yang mereka faham dalam agama. Ayat ini juga sebagai dalil memberitahu kita yang Arab Jahiliyah itu ada agama.

Dalam hadis juga kita tahu dari kisah Abu Talib yang orang-orang Arab itu ada agama. Kerana sampai ke akhir dia kata dia berpegang dengan ‘agama Abdul Muthalib’. Iaitu pegangan agama kafir Quraish sebagaimana yang dipegang dan diamalkan oleh datuk Nabi Muhammad. Dari sejarah, kita tahu yang walaupun dia sayang sangat kepada Nabi, tapi kerana malu dengan masyarakat Quraish, dia tidak terima Islam dan tidak mahu mengucap syahadah. Maka, dia telah mati dalam kufur. Hanya kerana malu dikutuk oleh masyarakatnya. Maka malu yang salah telah menyebabkan dia masuk neraka.

Maknanya, dari dalil-dalil ini, kita tahu yang Arab Mekah pun ada agama. Tapi agama mereka salah kerana pada mereka, bukan Allah sahaja yang ilah, tapi ada banyak lagi selain Allah. Ini kita akan bincangkan dengan panjang lebar nanti.

ii. Mereka mendakwa yang mereka di atas agama Nabi Ibrahim. Mereka mengaku yang mereka beragama Hanif iaitu sama macam yang dipegang oleh Nabi Ibrahim. Hanif adalah gelaran kepada mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim. Dan perkataan Hanif itu berulang kali dilafazkan dalam Quran. Nabi kata Islam juga Hanif, tetapi yang tidak syirik.

Maknanya, mereka itu asalnya mengamalkan ajaran dari Nabi Ibrahim. Yang kita tahu banyaknya berhala itu, semuanya datang kemudian. Itu semua kerana ikut pengaruh agama Nasara. Ada yang melihat bagaimana agama lain diamalkan dan mereka ikut sahaja. Tapi asalnya mereka ikut agama yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim tapi kemudian telah bercampur aduk dengan amalan-amalan yang salah.

iii. Musyrikin Mekah bukan golongan Dahriyyah. Dahriyyah adalah golongan yang tidak mempercayai adanya Tuhan.

iv. Musyrikin Mekah, dan begitu juga Yahudi dan Nasara, menerima tauhid darjat 1 dan 2. Mereka menerima yang Allah itu wujud dan Allah sahaja yang berkuasa mencipta. Mereka tahu yang Allahlah yang menjadikan langit bumi dan segalanya. Ini tidak perlu diperbetulkan kerana ianya memang kebenaran.

v. Arab Jahiliah juga menerima sebahagian dari Tauhid ke 3 – Allah yang mengurus. Dikatakan ‘sebahagian’, kerana mereka menerima Allahlah yang mengurus segala ‘perkara-perkara yang besar’. Tidak ada kuasa lain yang berkuasa mengurus perkara-perkara itu. Allah sebut dalam Quran. Apakah ‘perkara-perkara’ besar itu? Allah ada sebut dalam Quran:

a. Mengurus matahari dan bulan.
b. Perubahan malam dan siang.
c. Menurunkan hujan, menghidupkan bumi dan menumbuhkan tumbuhan.
d. Menghidupkan dan mematikan.
e. Menguasai pendengaran, penglihatan dan hati.

Malang sekali, ada golongan Islam zaman sekarang ini, yang perkara-perkara yang musyrikin Mekah terima ini pun ada yang tak terima. Mereka lagi teruk dari Musyrikin Jahiliah. Mereka dakwa Nabi Muhammad yang mengurus alam. Itulah golongan Brehlawi yang ada di India. Mereka itu mengaku Islam tapi mereka golongan yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad yang memperjalankan matahari dan bulan. Janganlah sampai akidah mereka sampai ke negara kita ini. Jadi, kena sampaikan ajaran yang benar kepada masyarakat kita.

vi. Tiada yang ada kuasa memiliki langit dan bumi dan makhluk di atasnya melainkan Allah sahaja.

vii. Tiada kuasa mencipta serta memelihara langit melainkan Allah.

viii. Tiada yang berkuasa melepaskan makhluk dari musibah di lautan melainkan Allah sahaja. Kalau di lautan, mereka bergantung sungguh kepada Allah. Pada mereka, Allah sahaja yang boleh menyelamatkan.

ix. Tiada yang berkuasa melepaskan musibah yang dikenakan kepada makhluk di daratan melainkan Allah.

x. Tiada yang berkuasa melepaskan diri dari tangkapan dan cengkaman melainkan Allah. Sesiapa yang dihalang dan disekat oleh makhluk lain, mereka tahu Allah sahaja yang boleh melepaskan mereka. Dalam hal ini, mereka tak seru selain Allah. Mereka akan doa terus kepada Allah.

xi. Tiada yang berkuasa bebas membuat ikhtiar dan bebas mentadbir sekalian alam melainkan Allah.

xii. Tiada yang boleh mengembalikan ketetapan – samada mengubah ketetapan, atau menghalang keputusan melainkan Allah sahaja. Iaitu mereka percaya, kalau Allah dah buat satu ketetapan, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

Maka, di atas adalah persamaan dari segi akidah antara Arab Jahiliah dan Islam.

B. Dari segi amalan dan akhlak

Ada amalan dan akhlak mereka yang betul dan dikekalkan dalam agama Islam.

i. Arab Jahiliah mengerjakan solat. Ada antara mereka yang mengerjakan solat, sekali pun ramai yang tidak solat. Jadi, sebab itu kalau ada orang kita yang solat, belum tentu mereka beriman lagi.

Arab Jahiliah mengerjakan solat dengan cara mereka. Wudhuk pun mereka lakukan iaitu mereka akan bersuci sebelum mengadap Allah, sebelum melakukan ibadat. Sebagai contoh, Abu Dzar, telah bersolat sebelum bertemu Nabi dan masuk Islam. Jadi, solat itu adalah satu bentuk ibadat yang memang telah ada diamalkan oleh Arab Jahiliah. Tentulah tidak sama 100% seperti yang kita lakukan sekarang. Lalu bagaimana mereka solat? Yang dapat dikesan adalah mereka akan sujud – nasara dan majusi pun sujud juga. Dan ada beberapa ucapan dalam bentuk zikir kepada Allah.

Mereka juga berkiblatkan Kaabah. Kemudian, apabila mereka masuk Islam, solat mereka lebih sempurna.

Maknanya, di sini kita boleh terima bahawa Musyrikin Mekah juga solat dalam bermunajat kepada Allah.

ii. Musyrikin Mekah juga berpuasa. Dalam hadis sahih Bukhari, ada diberitahu oleh Aisyah bahawa Arab Jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Nabi Muhammad juga biasa berpuasa pada Hari Asyura.

iii. Arab Jahiliah juga beriktikaf di masjid. Saidina Umar pernah tanya Nabi selepas dia masuk Islam tentang nazarnya. Dia kata semasa Jahiliah, dia pernah bernazar untuk iktikaf di MasjidilHaram. Dia tanya, perlukah dia teruskan nazar itu? Nabi suruh beliau tunaikan nazarnya itu. Maknanya, iktikaf dan nazar itu tsabit ada dalam amalan orang Arab Jahiliah.

iv. Musyrikin Mekah mengerjakan Umrah dan Haji.

v. Musyrikin Mekah mengeluarkan zakat dan mengeluarkan wang untuk kebaikan (khairat).

vi. Mereka juga bernazar kepada Allah.

vii. Mereka mandi junub

viii. Mereka berkhatan.

ix. Mereka memandikan mayat, mengkafankan jenazah dan mengebumikan dalam kubur.

x. Menyembelih binatang di halqum. Mereka tidak menjerut tengkuk binatang, tidak membelah perut dan menggunakan cara lain untuk memakan binatang. Mereka akan sembelih macam orang Islam sekarang sembelih.

xi. Mereka mengamalkan aqiqah sebagai tanda kesyukuran kelahiran anak mereka.

xii. Mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama Abdullah. Sebagai contoh, nama ayah Nabi, nama sebenar Abu Bakr dan ramai lagi.

xiii. Mereka memahami mahram – siapa yang tidak boleh dikahwini. Termasuk tidak boleh kahwin saudara susuan.

xiv. Mereka mengamalkan khitbah dan mahr dalam urusan perkahwinan.

xv. Mereka memahami talaq. Mereka tahu ada Talaq yang boleh dirujuk dan talaq yang tidak boleh dirujuk.

xvi. Mereka bersumpah dengan nama Allah untuk menguatkan kata-kata mereka.

xvii. Mereka memahami haramnya zina, mencuri, menyamun.

xiii. Mereka tahu yang mengumpat itu berdosa. Dan mereka akan bertaubat kepada Allah kalau mereka berdosa.

Maka lihatlah, bagaimana ada persamaan amalan dan akhlak mereka dengan Islam. Tapi tidaklah dengan mereka buat begitu, mereka telah selamat. Kerana Allah panggil mereka Musyrikin. Kita pun panggil mereka Musyrikin Mekah. Maka, kalau kita pun buat amalan sebegini, tapi dalam masa yang sama, masih lagi mengamalkan fahaman dan amalan syirik, kita pun dikira ‘musyrikin’ juga.

Audio kuliah boleh didengari di sini: Mabahisut Tauhid 3
Perbezaan fahaman Musyrikin Mekah dengan Islam

Sebelum ini kita telah syarah bagaimana ada persamaan antara akidah dan amalan Musyrikin Mekah dengan Islam. Kalau ada keserupamaan, kenapa mereka tolak juga Nabi Muhammad? Padahal, mereka itu orang yang menghormati Kaabah. Mereka tahu halal dan haram. Sebagai contoh, apabila mereka hendak membina semula Kaabah yang telah dirosakkan oleh banjir pun, mereka tak berani pakai duit haram. Mereka hanya kumpulkan duit mereka yang halal. Maknanya mereka tahu hal halal haram. Tapi, kenapa mereka lawan juga Nabi?

A. Perbezaan fahaman tentang tauhid ilah

Baginda ditentang kerana fahaman berbeza tentang tuntutan tauhid pada lafaz tentang ilah dan perkara berkenaan ilah. Mereka faham yang ilah itu adalah sebagai tempat tumpangan hati, penyempurna hajat. Kalau perkara besar, mereka minta kepada Allah. Tapi perkara yang kecil-kecil, mereka mengadu kepada ‘wakil Allah’. Semua itu dipanggil ‘ilah’ dalam bahasa Arab. Iaitu, Allah adalah ilah, dan ‘wakil Allah’ pun ilah juga. Mereka rasa lega hati kerana ada tempat bergantung. Mereka faham maksud ilah kerana itu adalah bahasa mereka. Orang kita sahaja yang ramai tak faham. Mereka pandai mengucap tapi tak faham apa yang mereka ucapkan. Pandai mengucap sahaja, pandai zikir sahaja, tapi buat syirik; Maka Nabi telah mentauhidkan ilah dan kerana itu baginda ditentang habis habisan oleh mereka.

Musyrikin Mekah kata, bukan Allah sahaja yang ilah tapi yang lain pun boleh jadi ilah. Mereka tak boleh terima ada satu ilah sahaja. Allah ulang kata mereka dalam Sad:5

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَٰهًا وَاحِدًا إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

“Patutkah ia sanggup menjadikan iilah-ilah yang berbilang itu jadi Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang pelik!”

Mereka tidak dapat terima apabila Nabi kata ilah hanya Allah sahaja, dan yang lain tidak. Pada mereka, itu adalah amat pelik sekali.

Kalau kita rasa ada makhluk yang ada sifat sama dengan Allah, itu sudah syirik. Dari 99 asma Allah itu, kalau ada satu sahaja yang sama dengan Allah, dah kufur dah. Oleh itu, ingatlah yang sifat ilah hanya ada pada Allah.

B. Mereka percaya yang sebahagian dari manusia ada yang muqarrab (rapat dengan Allah), sampai boleh jadi wali, dan apabila jadi wali, Allah telah beri kepada mereka beberapa ‘anugerah’. Itu semua adalah ajaran dari bisikan syaitan. Syaitan yang ajar fahaman itu kepada mereka. Apa sahaja fahaman yang lawan Quran tentunya dari syaitan. Kerana mereka tidak fikirkan sendiri dan tidak ada dalil dari mana-mana ajaran, kerana Musyrikin Mekah tidak ada kitab rujukan. Jadi, apakah kepercayaan mereka tentang wali-wali itu?

1. Mereka percaya yang wali-wali itu ada kuasa mengurus yang Allah beri kepada mereka kerana kedudukan mereka yang rapat denganNya. Dengan kuasa itu, mereka boleh beri manfaat atau mudharat kepada orang lain. Kuasa mengurus itu pun bukannya mereka kata dia ada sendiri tapi Allah yang beri. Semasa wali itu hidup, Allah beri keramat kepadanya dan apabila mati, Allah beri kuasa lain. Itu semua kerana Allah sayang sangat kepada wali itu, faham mereka.

Dan bukan penuh pun kuasa itu, tapi dalam ‘lingkungan’ tertentu:
– Dalam kawasan tertentu. Contohnya hanya di Jerteh sahaja.
– Urusan tertentu sahaja. Wali itu berkuasa dalam hal untuk memajukan kedai, wali lain dalam urusan untuk mendapatkan anak dan sebagainya.
– Waktu tertentu sahaja. Ada yang boleh waktu pagi sahaja. Sebagai contoh, untuk boleh jadi Tukang Karut Wayang Kulit, kena bertapa dari malam sampai ke pagi, dan pada pagi hari, baru akan diberi anugerah oleh seorang wali.

Memang ada fahaman sesat sebegini dalam masyarakat Melayu kita. Antaranya ajaran Martabat Tujuh dan tarekat-tarekat yang lain. Mereka tak ajar secara terbuka macam ajaran agama Islam yang benar. Inilah tanda ajaran yang sesat. Mereka pun tak sebarkan kepada semua orang untuk masuk belajar kerana mereka kena pilih golongan-golongan yang mereka agak boleh tipu. Iaitu golongan yang lemah akal dan tidak ada pengetahuan agama.

2. Mereka percaya yang wali-wali itu ada apa yang dinamakan ‘Syafaat Qahriyah’. Maksud Syafaat adalah seperti ‘sokongan’. Yang boleh menyebabkan seseorang melakukan sesuatu atau selamat dari sesuatu kerana adanya sokongan itu. Sebagai contoh, katakanlah seorang warga asing dikenakan hukuman gantung di negara kita. Tapi negara asal warga asing itu kata jangan jatuhkan hukuman gantung itu. Kalau kita jalankan juga hukuman itu, mereka akan melakukan sesuatu tindakan ke atas negara kita. Kita pula bergantung dengan negara itu, mungkin dari segi ekonomi. Maka, kerana sokongan dari kerajaan itu, kerajaan kita tangguhkan hukuman gantung itu atau ganti kepada hukuman lain yang lebih ringan. Ini adalah satu contoh syafaat.

Tapi contoh negara besar yang beri tekanan kepada negara kecil tidak akan berlaku dalam kerajaan Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh desak Allah. Mereka yang bertawasul dengan tok wali itu pun tidaklah kata yang wali-wali itu boleh desak Allah. Maka syafaat yang mereka maksudkan adalah ‘syafaat qahriyyah mahabbah’. Iaitu Allah akan selamatkan seseorang itu kerana sayangkan tok wali itu.

Bagaimanakah fahaman manusia dengan masalah ‘Syafaat’ ini. Katakanlah satu orang banyak buat  salah dengan Allah semasa di dunia. Tapi dulu dia baik dengan tok wali. Dia selalu sembelih binatang jamu di kubur tok wali, bertapa di kubur tok wali, dengan harapan kalau di akhirat nanti Tok Wali itu akan pujuk Allah bagi pihaknya.

Fahaman inilah yang masuk ke dalam masyarakat. Fahaman ini ada dalam agama lain seperti Nasara. Mereka kata Allah sayang sangat kepada wali itu sampai boleh pujuk Allah. Mereka sangka Allah malu nak azab mereka yang rapat dengan tok wali itu. Maka mereka sampai menangis di kubur tok wali dan mengharapkan pertolongan wali itu. Kadang-kadang ada suara yang keluar dari kubur yang memberi arahan suruh sembelih kambing, contohnya. Suara itu sebenarnya adalah suara jin, tapi mereka sangka itu adalah suara tok wali.

Ini adalah syirik fi tasarruf wa tadbir. Iaitu mereka kata tok wali itu ada terlibat juga dalam urusan hukuman Allah taala. Banyak ayat Quran sebut tentang syafaat qahriyyah ini kerana ianya banyak digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. Syaitan tahu yang manusia senang tertipu dengan perkara ini. Maka Allah tegaskan dengan berbagai cara dalam Qur’an yang tidak ada syafaat qahriyyah di akhirat nanti.

3. Salah faham ketiga, mereka sangka wali itu tahu perkara ghaib. Sampai ada orang kita yang takut bercakap dengan orang alim. Kerana mereka sangka orang alim itu boleh baca hati mereka dan tahu apa yang mereka nak lakukan.

Dan mereka sangka, apabila wali itu dah mati, mereka masih boleh dengar seruan mereka yang hidup. Ini adalah syirik fil ilmi (syirik tentang ilmu).  Pada mereka, kalau dah jadi seorang wali, tentu akan tahu ilmu ghaib. Sedangkan Nabi sendiri tidak tahu ilmu ghaib, apatah lagi seorang wali. Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Oleh kerana mereka rasa tok wali tahu perkara ghaib, maka mereka minta pertolongan kepada tok wali. Salah faham berkenaan wali ini juga berangkat kepada salah faham tentang Nabi dan malaikat juga.

Itulah kekeliruan manusia tentang wali, Nabi dan malaikat yang mereka jadikan sebagai ilah mereka. Kita hendaklah yakin yang tidak ada ilah melainkan Allah sahaja. Syafaat, perkara ghaib, seru, penyelesai masalah hanya ada pada Allah. Lebih-lebih lagi pada perkara ma fauqal asbab – di luar lingkungan asbab. Maksudnya kalau kita minta tolong seseorang dalam hal keduniaan seperti tolong angkat barang, itu masih dalam lingkungan asbab orang itu. Tapi kalau kita minta dia menyelesaikan masalah kita dengan Allah, itu bukan dalam lingkungan asbab makhluk.

Timbul satu persoalan: Musyrikin Mekah itu duduk di Mekah yang suci, dekat pula dengan Kaabah, laku bagaimana mereka boleh tersesat? Mereka sesat kerana mereka samakan kerajaan dunia dengan kerajaan Allah taala. Kalau dalam kerajaan dunia, memang bukan semua Perdana Menteri buat kerja, tapi diberikan urusan yang kecil-kecil kepada orang bawahan dia. Tapi tidaklah sama kerajaan makhluk dengan kerajaan Allah taala. Mereka pun tidak belajar agama. Itulah sebabnya kerosakan kepada agama mereka. Begitu juga, akidah masyarakat kita rosak kerana tidak belajar agama.

Soalan seterusnya: Kenapa mereka boleh dapat fahaman begitu? Kerana mereka lihat dalam cerita ghaib pun, mereka ada dengar yang Allah ada suruh malaikat buat kerja. Maka, mereka sangka malaikat-malaikat itulah ‘wakil Tuhan’ macam Perdana Menteri wakilkan penghulu untuk jaga kampung dia. Mereka dengar-dengar sahaja maklumat ini dan kerana tidak belajar, maka mereka telah salah faham. Mereka sangka yang malaikat-malaikat itu menjalankan tugas dengan bebas dan dengan ikhtiar mereka.

Kita pun tahu juga yang Allah berikan tugas kepada para malaikat, tapi tidaklah kita faham seperti yang mereka faham. Kita faham yang malaikat buat semua yang ditugaskan kepada mereka itu atas perintah Allah. Malaikat tidak akan berani buat selain dari yang disuruhkan. Inilah bahaya kalau tak belajar dengan betul. Begitulah orang Mekah yang tidak ada kitab dan tidak ada sumber yang kukuh dan sahih. Mereka dengar-dengar sahaja dan buat andaian sendiri.

Yang kedua menyebabkan mereka boleh keliru itu adalah kerana mereka dengar yang para Nabi dan wali-wali, doa mereka cepat dimakbulkan. Jadi, kerana mereka dengar yang Nabi dan wali cepat dimakbulkan doa mereka, maka mereka memandang tinggi kedudukan mereka dan mereka telah memohon pertolongan kepada Nabi dan wali walaupun mereka telah mati.

Mereka sahaja yang pandai melantik para wali itu. Tidak ada sesiapa yang sepatutnya mengaku sebagai wali. Wali pun tidak tahu dia wali. Selalunya yang kata seseorang itu wali, adalah dari lantikan manusia sahaja. Senang sahaja mereka kata seseorang itu ‘wali’. Allah pun tidak tunjuk perlantikan wali kepada orangramai. Lainlah dengan para sahabat, itu semua orang kenal kerana Allah telah lantik mereka sebagai sahabat Nabi. Tapi siapa boleh kenal wali Allah?

Ketahuilah yang Allah iktiraf seorang wali itu di sisiNya, tanpa diketahui oleh manusia lain. Kerana sangkaan tentang wali yang salahlah yang telah menyebabkan keliru habis masyarakat kita. Sampaikan ada orang tak sembahyang pun mereka kata orang itu wali. Itu semua adalah kerana kejahilan yang merebak dalam masyarakat kita. Nauzubillah!

Allahu a’lam. Audio Kuliah boleh dengar di sini: Mabahisut Tauhid 4

Sambung ke Risalah ke 4

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Ilmu Usul Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s