Tafsir Surah Qiyama Ayat 20 – 40

Ayat 20: Selepas ayat Jumlah Mu’taridah (ayat 19) tentang wahyu yang diberikan kepada Nabi, sekarang Allah sambung kembali menceritakan tentang Kiamat. Allah terus memberi peringatan kepada manusia.

75:20
Sahih International

No! But you love the immediate

Malay

(Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ

Janganlah begitu. Bahkan kamu sentiasa mencintai benda yang segera.

Manusia engkar kepada hari akhirat kerana mereka cintakan dunia. Inilah sifat manusia yang Allah sebutkan dalam ayat ini. الْعَاجِلَةَ adalah sesuatu yang datang dengan segera dan pergi pun dengan segera juga. Ia merujuk kepada keindahan dan perkara keduniaan kerana semua itu datang dan pergi dengan segera. Kita semua nak dapat semua kebaikan sekarang dan waktu ini juga. Mereka tidak mementingkan akhirat yang nampak jauh pada mereka macam mereka tak percaya adanya akhirat. Ini adalah kerana akhirat itu nampak jauh. Sedangkan dunia ini tidak kekal tapi akhiratlah yang kekal. Tapi malangnya, manusia masih lagi mementingkan dunia.

Bukanlah kita menidakkan kepentingan dunia langsung, malah kita memang disuruh berdoa kepada Allah termasuk kalau kita hendak perkara keduniaan pun. Tapi kita selalau mementingkan dunia lebih lagi dari akhirat. Kalau berdoa, banyaknya tentang dunia sahaja. Dan satu lagi, kita selalu mempersoalkan takdir Allah. Tak puas hati kalau tak dapat apa yang diminta itu dengan segera. Kita tidak sabar menanti pemberian dari Allah. Janganlah begitu, tapi percayalah kepada apa yang Allah telah susun untuk kita. Allah itu bukan budah suruhan kita yang kena beri kita dengan segera apa yang kita minta. Ingatlah yang kita wajib berdoa kepada Allah, tapi Allah ‘harus’ sahaja untuk beri atau tidak permintaan kita itu. Terpulang kepada Allah untuk beri atau tidak. Kalau kita faham perkara ini, kita tidak keruan dan tidak gopoh lagi dan akan berserah kepada takdir. Hasilnya, kita akan menjalani kehidupan ini dengan aman.


 

 

Ayat 21:

75:21
Sahih International

And leave the Hereafter.

Malay

Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).

وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Dan kamu tidak menghiraukan hari akhirat

Kamu sayang dunia sampai lupakan akhirat. Terlalu lalai dan sibuk dengan dunia sampaikan mengabaikan nasib kita di akhirat pula. Semua itu hanya kerana hendakkan kebaikan dunia dengan segera. Bukanlah kita halang manusia untuk mahukan dunia, tapi malangnya, ramai yang kerana hendakkan dunia, sampai meninggalkan akhirat. Mereka sanggup buat dosa asalkan mereka dapat apa yang mereka hendak di dunia itu.

Padahal saham akhirat lebih pasti dan lebih untung. Kalau kita yakin yang ianya lebih kekal, sepatutnya kita jangan lupakan akhirat dan jangan lebihkan dunia atas akhirat. Kalau dapat perkara keduniaan, alhamdulillah, tapi kalau tak dapat, kita letakkan harapan kita kepada pembalasan di akhirat. Kerana kalau kita tidak dapat apa yang minta di dunia, Allah akan ganti perkara yang kita minta itu di akhirat kelak, berkali-kali ganda lebih baik dari apa yang kita minta. Sampaikan, ahli syurga nanti akan berkata: alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun permintaan mereka dahulu dimakbulkan kerana balasan di akhirat jauh lebih baik.

Janganlah kita terkesan sangat dengan keduniaan. Allah telah siapkan rezeki untuk kita semasa kita di dunia. Apa sahaja yang kita patut dapat, kita akan dapat, ianya tidak akan lari ke mana. Kalau kita kejar dunia dengan cara yang salah, tentu kita akan rugi nanti.


 

 

Ayat 22: Ini adalah tentang kebaikan yang akan diberikan kepada ahli syurga. Inilah yang kita patut kejar.

75:22
Sahih International

[Some] faces, that Day, will be radiant,

Malay

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;

Muka mereka akan gembira, bercahaya dan bersinar pada hari itu. Digunakan perkataan ‘wajah’ dalam ayat ini, kerana dari wajahlah yang akan menunjukkan kegembiraan seseorang itu. Kenapakah mereka bergembira? Dijawap dalam ayat seterusnya.


 

 

Ayat 23:

75:23
Sahih International

Looking at their Lord.

Malay

Melihat kepada Tuhannya.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Melihat kepada Tuhannya.

Ini adalah dalil yang ahli syurga akan dapat memandang Allah. Itulah mereka yang melebihkan akhirat atas dunia. Melihat Allah kepada ahli syurga adalah satu kepastian. Malangnya, golongan Muktazilah dan yang sependapat dengan mereka menolak pendapat yang makhluk boleh nampak Allah walaupun di akhirat nanti. Ini adalah pandangan yang salah. Ahli Syurga pasti akan dapat melihat Allah. Bagaimana caranya kita boleh nampak Allah, kita tak tahu. Tapi ketahulah dengan yakin yang kita akan nampak jelas. Kerana banyak dalil-dalil yang ada dalam Quran dan juga hadis yang mengatakan sedemikian.

Dan dari perkataan نَاظِرَةٌ yang digunakan dalam ayat ini, ia memberitahu kita yang apabila kita melihat Allah, kita akan sentiasa melihat Allah, terpegun, tidak berkelip mata. Bukannya sekali sahaja kita dapat melihat atau kita melihat samar-samar sahaja.

Dalam dunia apabila kita beriman dengan yang kita tak nampak, Allah akan beri kita dapat melihatNya. Allah telah sebut juga dalam Abasa:38-39 bagaimana ahli syurga dapat melihatNya.

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ مُّسْفِرَةٌ

Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,

ضَاحِكَةٌ مُّسْتَبْشِرَةٌ

Tertawa, lagi bersuka ria;

Dalam hadis juga, ada dalil yang memberitahu kita dengan jelas yang kita akan dapat melihat Allah. Antara hadis yang membincangkan melihat Allah ini boleh dibaca di sini.

Dalam dunia, memang tidak ada manusia boleh nampak Allah. Yang kata manusia boleh nampak Allah semasa di dunia adalah golongan tarekat dan sufi. Sedangkan Nabi pun tak pernah nampak Allah, berdasarkan dalil yang lebih sahih. Walaupun semasa baginda isra mi’raj. Ini adalah kerana Allah telah berfirman dalam Shura:51.

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah tidak berjumpa terus dengan manusia walaupun para Nabi, walaupun Nabi Muhammad sekali pun. Tambahan pula, ada hadis riwayat Aisyah yang menolak pendapat yang Nabi melihat Allah. Aisyah mengatakan,

من زعم أن محمدًا رأى ربه فقد أعظم الفرية على الله

“Siapa yang meyakini bahwa Muhammad pernah melihat Tuhannya, berarti dia telah membuat kedustaan yang besar atas nama Allah.” (HR. Bukhari 4855, Muslim no. 428, Turmudzi 3068, dan yang lainnya).

Kemudian, dalam hadis riwayat Abu Dzar, beliau pernah bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, apakah Nabi melihat Allah ketika isra mi’raj? Jawab Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

نور أنى أراه

“Cahaya, bagaimana aku melihat-Nya.”

Dalam riwayat lain, “Aku melihat cahaya.” (HR. Muslim 178, Turmudzi 3282, Ahmad 21392, dan yang lainnya).

Kita sedar yang ada juga pandangan yang mengatakan Nabi Muhammad pernah melihat Allah semasa isra mi’raj itu tetapi ianya pandangan yang lemah. Yang suka berpendapat boleh melihat Allah ini adalah golongan tarekat dan Sufi dan memang sifat mereka mengambil mudah dengan dalil yang lemah. Janganlah pegang pendapat mereka yang tidak menggunakan dalil yang sahih itu. Hendaklah kita berpegang dengan dalil sahih yang ada dan jangan pakai akal kita yang tidak mampu memikirkan tentang Allah.

Dalil lain yang menyatakan bahawa orang mukmin akan diberikan dengan kelebihan melihat Allah adalah ayat Yunus:26

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Perkataan زِيَادَةٌ (satu tambahan) dalam ayat ini ditafsirkan sebagai ‘melihat Allah’. Kerana mereka memang telah dimasukkan ke dalam syurga dan mereka diberi dengan ‘tambahan’ nikmat, iaitu dapat melihat Allah.

Sepatutnya kita menyimpan hasrat untuk melihat Allah. Tidakkah kita teringin untuk melihat Dzat yang telah menjadikan kita, memberi nikmat kepada kita dan yang kita sembah selama ini? Bayangkan kalau kita tahu ada seseorang yang memberi bantuan kewangan kepada kita dari kita kecil sampai kita dewasa. Dan kita ada peluang untuk bertemu dengan orang itu. Tidakkah kita beriya -iya untuk bertemu dengannya? Tentulah kita akan teringin sangat nak jumpa. Kalau begitu kita dengan orang lain, apatah lagi kita dengan Allah? Patutnya kita lebih lagi mahu berjumpa dengan Allah. Tapi Allah hanya berjumpa dengan ahli syurga sahaja. Oleh itu, hendaklah kita beramal supaya dapat menjadi ahli syurga.

Dan jangan lupa untuk berdoa supaya Allah memasukkan kita ke dalam syurga untuk bertemu denganNya. Malam-malam semasa hendak tidur, berdoalah yang baik-baik kepada Allah, antaranya kita minta untuk bertemu dan melihatNya.


 

 

Ayat 24: Ayat ini adalah jenis Taqwif Ukhrawi.

75:24
Sahih International

And [some] faces, that Day, will be contorted,

Malay

Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ

Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) bermuram durja,

Yang dapat melihat Allah adalah ahli-ahli syurga sahaja. Sedangkan ahli neraka tidak akan ada peluang itu. Perkara ini telah dijelaskan dalam Mutaffifin:15

كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.

Wajah mereka akan muram sahaja. Kenapa?


 

 

Ayat 25:

75:25
Sahih International

Expecting that there will be done to them [something] backbreaking.

Malay

Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.

تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Mereka yakin bahawa mereka akan ditimpa keburukan yang mematahkan belakang.

Maknanya, mereka bermuram itu sebelum masuk neraka lagi. Kerana mereka dah tahu dah nasib mereka. Di Mahsyar lagi mereka dah tahu dan mereka akan bermuram. Di Mahsyar lagi mereka dah susah dah, dengan keadaan yang menyusahkan diri mereka. Bayangkan orang bersalah yang dibawa ke mahkamah. Muka mereka di mahkamah pun dah muram dah kerana mereka dah tahu yang mereka akan dihukum. Dalam Abasa:40-42 pun telah disebut perkara ini.

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ عَلَيْهَا غَبَرَةٌ

Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,

تَرْهَقُهَا قَتَرَةٌ

Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. –

أُولَٰئِكَ هُمُ الْكَفَرَةُ الْفَجَرَةُ

Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.

Perkataan فَاقِرَةٌ dari katadasar فقر yang bermaksud ‘fakir’ dan juga ‘tulang belakang’. Jadi, perkataan فَاقِرَةٌ dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang mematahkan tulang belakang. Ianya digunakan untuk menceritakan sesuatu yang sangat berat sampaikan boleh mematahkan tulang belakang.


 

 

Ayat 26: Allah mengingatkan kita tentang mati. Itulah ‘kiamat kecil’ untuk kita. Kiamat dari perkataan ‘qiyam’ yang bermaksud berdiri. Oleh itu, qiyamah untuk kita bermula apabila kita tidak boleh berdiri lagi.

75:26
Sahih International

No! When the soul has reached the collar bones

Malay

Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,

كَلَّا إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ

Janganlah! apabila (roh) sampai ke kerongkong,

Allah herdik manusia dengan menggunakan perkataan كَلَّا ‘jangan’ – supaya jangan mementingkan dunia, jangan mementingkan benda yang segera dapat sahaja.

Allah memberitahu keadaan kematian, apabila seseorang itu hampir mati. Itulah terjadi apabila apabila roh dah sampai ke kerongkong (halqum). Kita sudah tahu yang apabila manusia akan mati, rohnya ditarik dari atas. Rohnya akan mula meninggalkan insan itu dari kaki dan naik ke atas. Apabila roh dah sampai ke kerongkong, itu dah dekat sangat nak mati dah.

Kalau mereka melihat Kiamat itu jauh, Allah ingatkan kematian yang dekat dan akan berlaku tidak lama lagi. Tidak kira siapa anda, anda akan mati juga akhirnya.

Allah menceritakan bagaimana apabila nyawa sudah sampai ke التَّرَاقِيَ trachea (lihatlah bagaimana bahasa Inggeris ambil dari bahasa Arab) – halqum atau kerongkong. Inilah permulaan kematian.

Allah akan beri ampun selagi nyawa tidak sampai ke kerongkong. Kalau waktu itu baru nak bertaubat, tidak akan diterima kerana waktu itu dah nampak dah malaikat yang datang bak ambil nyawa.

Allah sebutkan keadaan ini dalam Waqiah: 83

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ

Maka semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

Bercakap tentang kematian, timbul satu persoalan: Adakah manusia mampu tahu bilakah dia akan mati? Banyak kisah-kisah yang sampai kepada kita bagaimana perbuatan seseorang itu seperti menunjukkan dia sudah tahu bilakah dia akan mati. Ada yang dah siapkan kain kafan, bayar hutang siap-siap, minta maaf dengan semua orang. Kita berpegang dengan pendapat yang manusia tidak akan tahu bilakah dia akan mati. Cuma, kalau ada yang berperangai pelik macam dia tahu dia akan mati, itu adalah atas ‘taufik’ Allah. Allah yang pandu dia untuk minta maaf kepada orang, bayar semua hutangnya, siapkan kain kafannya dan macam-macam lagi. Itu adalah kerana Allah pandu dia untuk buat begitu. Bukanlah dia sendiri tahu yang dia akan mati sekian-sekian hari dan tarikh.


 

 

Ayat 27:

75:27
Sahih International

And it is said, “Who will cure [him]?”

Malay

Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?”

وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ

Dan dikatakan: “Siapakah yang dapat menjampi?”

Waktu itu akan ditanya, siapakah yang dapat menyembuhkan orang yang hampir mati itu? Yang berkata itu bukanlah orang yang sudah hampir mati itu tetapi orang di kelilingnya, iaitu ahli keluarganya, kawan-kawannya, pengikut-pengikutnya dan lain -lain lagi.

Perkataan رَاقٍ itu datang dari katadasar yang bermaksud ‘naik’. Dari perkataan itulah datangnya perkata ‘Ruqyah’ yang bermaksud jampi. Jadi, perkataan رَاقٍ bermaksud ‘tabib’ yang boleh melakukan ruqyah. Bukan sahaja merujuk kepada tukang jampi, tapi boleh juga digunakan untuk doktor. Tentulah tidak ada sesiapa pun yang dapat menyembuhkannya. Tidak ada sesiapa yang dapat menahan rohnya dari keluar.

Lihat juga surah Waqiah: 83-87

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

وَأَنتُمْ حِينَئِذٍ تَنظُرُونَ

Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, –

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنكُمْ وَلَٰكِن لَّا تُبْصِرُونَ

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

فَلَوْلَا إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ

Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), –

تَرْجِعُونَهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?

Allah cabar dalam ayat-ayat dari surah Waqiah ini untuk mereka panggil balik roh itu masuk balik kalau mereka ada kuasa atau mereka rasa hebat sangat. Atau kalau mereka suka digelar arifbillah (kenal dengan Allah), kalau kenal sangat dengan Allah dan baik dengan Allah, panggillah semula roh itu kembali masuk ke dalam tubuh orang yang hampir mati itu.

Allah perli dalam ayat ini, kalau pandai sangat buat air penawar atau boleh sembuhkan, kau sembuhkanlah. Tapi ini tidak akan boleh berlaku. Kematian tidak dapat dihalang lagi. Kematian bukan penyakit yang boleh disembuhkan. Semua orang akan mati. Semua orang hanya boleh menanti sahaja.


 

 

Ayat 28:

75:28
Sahih International

And the dying one is certain that it is the [time of] separation

Malay

Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;

وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ

Dan dia yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;

Ini adalah pemahaman orang yang hampir mati itu. Dia dah tahu dah nasibnya. Dia tahu yang dia akan mati. Dia sedar yang dia akan tinggalkan segalanya. Semasa hidup dulu dia ingat semua yang dia ada di dunia akan kekal, tapi waktu dia sedang nazak itu, dia sudah sedar sangat dah.


 

 

Ayat 29:

75:29
Sahih International

And the leg is wound about the leg,

Malay

Serta kedahsyatan bertindih-tindih;

وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ

Bertimpa ke atasnya dunia dan akhirat

Secara literalnya, perkataan ini bermaksud ‘bertemu betis dengan betis’. Ini adalah kata-kata kiasah yang bermaksud bertimpa ke atasnya dunia dan akhirat. Iaitu kesusahan dunia dan akhirat. Kerana perkataan السَّاقُ juga digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada ‘kepayahan’. Kenapa dikatakan kesusahan dunia dan akhirat? Kerana kedua-duanya adalah kesusahan dan kepayahan padanya. Bukan senang nak tinggalkan dunia dan bukan senang nak bertemu dengan akhirat. Sakit nak tinggalkan dunia, dan sakit nak hadapi akhirat.

Kepayahan itu kerana telah sampai kepada penghujung hidup di dunia dan bermulanya hari-hari akhirat. Itulah kepayahan yang amat sangat apabila bertemu dua perkara itu. Betis itu diisyaratkan kepada ‘musibah’. Kerana kalau manusia dalam kepayahan, mereka akan menyelak kain di betis, nak lari, nak redah sesuatu dan sebagainya. Ini adalah perumpamaan dalam bahasa Arab. Maka, apabila seseorang itu mati, maka bertemulah satu bencana dengan bencana yang lain. Iaitu bencana kiamat dan bencana akhirat. Bertemu urusan yang besar dengan urusan yang besar juga. Bertemu bala kematian dan bala akhirat.

Ayat ini ditujukan kepada orang kafir. Kepada orang mukmin, memang kena menghadapi kematian untuk menerima nikmat yang lebih besar. Jadi, kepada mereka, perpindahan alam itu adalah sesuatu yang bagus. Mereka juga tahu dan terima yang setiap manusia akan mati, jadi mereka tidak akan menentang atau risau sangat.

Digunakan perkataan betis kerana betis atau kakilah yang selalunya menyelamatkan kita dari bencana, tapi pada hari itu, betis mereka tidak dapat menyelamatkan mereka lagi dah. Dengan dua kakinya itulah yang dia gunakan untuk merayau-rayau, tapi pada hari itu tidak boleh lagi dah nak lari ke mana-mana. Lihatlah, apabila kaki dan betis dibalut dengan kain kafan, dah tak boleh bergerak lagi dah.

Dari segi bahasa pula, digunakan perumpamaan ‘betis’ dalam ayat ini kerana bahasa Arab juga ada perumpamaan seperti ini. Betis yang dimaksudkan adalah betis unta. Apabila unta sudah lama berjalan di padang pasir berjalan tanpa air dalam waktu yang lama, lama-lama dia akan lemah longlai dan kakinya akan berlanggar satu sama lain dan dia akan jatuh. Itulah perumpamaan َالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ.


 

 

Ayat 30:

75:30
Sahih International

To your Lord, that Day, will be the procession.

Malay

(Maka) kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan).

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ

kepada Tuhanmu – pada waktu itu – dihalau

Kita semua akan dipandu kepada Tuhan. Seperti Allah telah gunakan dalam Zumar:71

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan,

Selepas mati, roh akan diangkat ke langit. Malaikat akan mengiringi roh itu ke langit. Ini kita ketahui dari hadis-hadis yang ada. Ada proses-proses yang panjang yang akan terjadi. Ada roh yang wangi dan ada roh yang busuk. Kemudian semua akan dipandu untuk dibawa kepada Allah.

Rujuk juga al-An’am: 61, 62

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلَاهُمُ الْحَقِّ أَلَا لَهُ الْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

Oleh itu, sebelum kita bertemu dengan Allah, maka bersihkanlah diri kita dari syirik dan dosa. Kerana kita tentunya tidak mahu bertemu dengan Allah dalam keadaan kita bawa banyak dosa yang akan dipersoalkan kepada kita nanti.


 

 

Ayat 31: Ini adalah sifat-sifat orang yang kufur engkar kepada ayat-ayat Allah.

75:31
Sahih International

And the disbeliever had not believed, nor had he prayed.

Malay

(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!

فَلَا صَدَّقَ وَلَا صَلَّىٰ

maka ia tidak mengakui kebenaran dan ia tidak mengerjakan solat

Inilah sifat-sifat orang kafir. Ini adalah gambaran luaran dan dalaman. Kepercayaan kepada kebenaran adalah amalan dalam hati dan mengerjakan solat adalah amalan badan/fizikal. Kedua-duanya kena ada. Janganlah kita beramal tapi akidah kita ada masalah. Dan janganlah kita sangka yang iman kita telah kuat kalau amalan ibadat kita seperti solat ada masalah.

Oleh kerana surah ini adalah tentang Kiamat dan ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiamat, kebenaran yang tidak diakui oleh orang kufur yang dimaksudkan itu adalah membenarkan adanya Hari Kiamat. Dia tidak percaya adanya akhirat.


 

 

Ayat 32:

75:32
Sahih International

But [instead], he denied and turned away.

Malay

Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar!

وَلَٰكِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ

Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar!

Ini sambungan lagi sifat orang kufur. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan kebenaran dan tidak mengerjakan solat, tapi mereka mendustakan kebenaran dan mereka berpaling. Maka tidaklah ada kebaikan untuk diri orang yang bersifat sebegini.

Ada yang mengatakan yang mereka berpaling itu adalah itu adalah berpaling dari mengerjakan solat kerana ayat sebelum ini adalah ayat tentang solat. Amat ramai manusia yang tidak solat. Ada kalangan orang kita pun biasa sahaja kalau tak solat pun. Macam tidak ada apa-apa kalau tak solat. Dalam keluarga kita pun kadang-kadang ada orang yang tak solat.

Jadi, kita kena ambil perhatian dengan mereka-mereka yang sebegini. Jangan terus biarkan mereka begitu. Kadang-kadang kita pun ada masalah juga – kita lihat orang yang tidak solat, tapi kita buat tak kisah sahaja. Berat mulut kita nak tegur – antaranya kerana kita tak mahu berselisih dengna orang itu kerana kadang-kadang mereka itu ahli keluarga kita, kawan-kawan rapat kita dan kadang-kadang orang yang kita tak berapa kenal untuk tegur mereka. Tapi, kita kena cari jalan untuk tegur mereka.


 

 

Ayat 33: Bagaimana keadaannya semasa di dunia dulu?

75:33
Sahih International

And then he went to his people, swaggering [in pride].

Malay

Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.

ثُمَّ ذَهَبَ إِلَىٰ أَهْلِهِ يَتَمَطَّىٰ

Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan sombong.

Maksudnya, dia pergi berjumpa keluarganya dan bergaul dengan mereka, dalam keadaan gembira, jiwanya dalam keadaan jahat, menyombong dan malas. Tidak ada kerunsingan langsung dalam dirinya dan tiada amal yang baik dariya. Dia tak kisah pun samada dia ada buat dosa atau tidak. Dia rileks sahaja, happy sahaja. Rasa macam dah cukup amalan, dah cukup apa yang mereka perlu – rumah ada, kereta ada, anak beranak dah ada. Padahal kita setiap hari tentu melakukan dosa – dosa mata, dosa cakap dan sebagainya. Tapi dia tidak runsing pun dan kalau tidak kisah, tentulah dia tidak meminta ampun.

Kita tidak kisah kalau kita balik dengan keadaan gembira, tambahan lagi kalau bertemu dengan keluarga kita, tapi janganlah gembira sangat sampai tidak teringat mati. Dan jangan gembira sangat sampai tidak memikirkan apakah dosa-dosa kita. Orang mukmin akan sentiasa memikirkan bilakah mereka akan mati dan apakah persedian mereka kepadanya. Kerana mereka sedar yang mereka boleh pergi bila-bila masa sahaja.

Ayat ini seperti yang Allah sebutkan juga dalam Mutaffifin: 31

وَإِذَا انقَلَبُوا إِلَىٰ أَهْلِهِمُ انقَلَبُوا فَكِهِينَ

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira;

Juga Allah sebutkan lagi keadaan ini dalam Insyiqaq: 13-15

إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا

Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya

إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَّن يَحُورَ

Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !

بَلَىٰ إِنَّ رَبَّهُ كَانَ بِهِ بَصِيرًا

(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!

Buatlah apa sahaja perkara yang baik dalam kehidupan kita, tapi janganlah lupa tentang kematian. Bersedialah untuk menghadapi kematian. Antara perkara yang kita patut lakukan untuk menghadapi mati adalah dengan menyediakan wasiat, supaya kalau kita tiba-tiba mati, keluarga dan orang yang berurusan dengan hal kita akan tahu apa nak buat dengan harta-harta kita. Kerana mati itu boleh datang tiba-tiba sahaja.

Fikir-fikirkanlah selalu tentang persediaan kita ke syurga. Jangan nak sibukkan dengan hal dunia sahaja – rumah nak cat apa, kereta nak tambah setiap tahun dan sebagainya. Buatlah persedian. Anak kita janganlah nak ajar piano, jadi ahli sukan dan sebagainya, tapi jadikanlah mereka sebagai aset kita di akhirat nanti. Berilah ajaran agama yang lengkap kepada mereka supaya mereka boleh menyalurkan pahala kepada kita nanti.


 

 

Ayat 34:

75:34
Sahih International

Woe to you, and woe!

Malay

(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!

أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ

Penyesalan bagi kamu, penyesalan

Ini adalah ugutan dan janji buruk yang pasti kepada orang kafir dan berlagak dalam perjalanan kehidupannya. Macam kita kata kepada orang yang sudah buat kesalahan: “ha bagus, bagus, buat lagi, buat lagi”. Tapi kita kata begitu dengan nada yang menghina dan mengejek.

Kalau dengan apa yang mereka lakukan itu, neraka adalah layak sangat untuk mereka. Bahasa yang sama digunakan oleh Allah dalam Dukhan:49

ذُقْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ

(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

Dalam ayat ini, Allah suruh mereka rasa makanan dalam neraka itu dengan nada mengejek.

Dan Allah juga berkata dalam Mursalat:46

كُلُوا وَتَمَتَّعُوا قَلِيلًا إِنَّكُم مُّجْرِمُونَ

Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (wahai orang-orang yang ingkar derhaka) sementara waktu hidup, (kemudian kamu akan menghadapi bahaya), kerana sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa.

Dan Allah berkata dalam Zumar: 15

فَاعْبُدُوا مَا شِئْتُم مِّن دُونِهِ قُلْ إِنَّ الْخَاسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

Begitu juga Allah sebut dalam Fussilat: 40

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا أَفَمَن يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.


 

 

Ayat 35:

75:35
Sahih International

Then woe to you, and woe!

Malay

Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.

ثُمَّ أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ

Kemudian penyesalan bagi kamu, penyesalan

Allah beri penekanan sampaikan disebut dua kali. Jadi setiap ayat ada disebut dua kali, maknanya, sampai empat kali Allah sebut. Begitulah beratnya ugutan terhadap mereka.

Ataupun yang kami kedua ini disebut selepas orang yang engkar itu sudah mati. Ayat pertama semasa hendak mati dan ayat kedua apabila mereka sudah mati.


 

 

Ayat 36:

75:36
Sahih International

Does man think that he will be left neglected?

Malay

Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى

Adakah manusia menyangka, bahawa ia akan dibiarkan sia-sia?

Adakah mereka sangka mereka diciptakan sia-sia sahaja – dijadikan dan tidak dibangkitkan semula? Dan adakah mereka menyangka mereka tidak akan diperintahkan dan ditegah dari melakukan sesuatu semasa di dunia? Adakah mereka sangka mereka boleh apa-apa sahaja ikut suka hati mereka?

Macam sekarang, manusia di dunia ini tak suka kalau ada larangan dari buat apa-apa. Mereka sangka, mereka ada akal, tentulah mereka boleh buat apa yang mereka fikirkan sesuai. Mereka yang kafir hairan dengan agama Islam kerana agama mereka mudah sahaja. Bayangkan, agama Kristian itu senang sahaja, terima sahaja Nabi Isa sebagai penyelamat mereka, kira dah boleh masuk syurga dah. Kalau kita lihat kehidupan mereka, seperti tidak ada larangan apa-apa pun, nak makan dan minum apa sahaja, boleh. Tidak buat amalan agama pun tidak mengapa. Sedangkan kalau mereka bandingkan agama mereka dengan kita, tengok solat lima waktu pun dah nampak susah dah pada mereka.

Ingatlah, kita hidup dalam dunia ini terikat dengan apa yang Allah telah tetapkan hukum untuk kita. Ada benda yang kita boleh buat dan ada benda yang tidak boleh kita lakukan. Allah yang jadikan alam ini dan kerana itu, Allah layak untuk menentukan undang-undang untuk kita. Walaupun Allah menjadikan alam ini memang untuk kita, tapi tidaklah kita boleh buat macam percuma sahaja. Kalau kita ada harta seperti rumah, dan ada orang yang masuk ke rumah kita, tentulah dia tertakluk dengan apa yang kita suka dan tidak. Tidaklah boleh tetamu itu buat seperti rumah dia sendiri. Begitulah juga dengan alam yang Allah telah berikan kepada kita ini. Allah memang benarkan kita hidup dalam alam ini, tapi tidaklah tanpa perlu mengikuti undang-undangNya. Kalau tak suka, boleh cari alam lain untuk hidup.

Adakah manusia sangka mereka tidak akan dibangkitkan semula? Adakah mereka sangka apabila mereka mati, habis begitu sahaja? Tidak, mereka akan dibangkitkan dan akan diadili atas perbuatan mereka.


 

 

Ayat 37: Ayat ini sebagai satu lagi hujah mengatakan adanya hari kiamat, Allah ingatkan kembali dengan kejadian asal manusia.

75:37
Sahih International

Had he not been a sperm from semen emitted?

Malay

Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?

أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِّن مَّنِيٍّ يُمْنَىٰ

Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan?

Adakah manusia lupa kejadian mereka yang hina dulu? Tidak ada nilai langsung kita pada waktu itu. Kalau mani itu tertumpah ke tanah, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu. Orang pun kalau jumpa, geli nak pegang atau tersentuh. Jadi, amat hina kita dulu semasa asal kejadian kita – tapi apabila mereka sudah besar, mereka dah lupa kejadian asal mereka.

Kalau mereka dulunya, dari tidak hidup kepada hidup, tentulah Allah boleh menghidupkannya semula. Allah boleh ulang balik untuk menjadikan mereka, kerana Allah lah yang menjadikan mereka pada asalnya.


 

 

Ayat 38:

75:38
Sahih International

Then he was a clinging clot, and [ Allah ] created [his form] and proportioned [him]

Malay

Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?

ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّىٰ

Kemudian air mani itu menjadi segumpal darah, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya.

Allah menceritakan bagaimana Dia menjadikan manusia daripada tidak ada kepada ada. Begitu hebat sekali kejadian manusia. Akhirnya Allah telah jadikan kita dalam keadaan sempurna.

Kebanyakan dari manusia bersifat sempurna dan jarang sekali ada orang yang cacat. Peratus orang yang cacat kalau dibandingkan dengan yang lengkap adalah amat sedikit. Allah jadikan mereka supaya kita rasa bersyukur kerana kita dijadikan sempurna. Apabila lihat orang yang cacat, maka timbullah rasa syukur kerana kita dijadikan sempurna. Kalau semua orang sempurna sahaja, tidak ada cacat, tentu sukar manusia nak membandingkan nikmat kesempurnaan mereka itu.


 

 

Ayat 39:

75:39
Sahih International

And made of him two mates, the male and the female.

Malay

Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.

فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua pasangan – lelaki dan perempuan.

Allah menjadikan kita dari setitik mani itu kepada lelaki atau perempuan. Maknanya jantina kita pun Allah yang tentukan. Kadang-kadang kita hendak anak lelaki, tapi dapat anak perempuan, bukan? Boleh kita tentukan walaupun kita hendak sangat anak lelaki? Tentu tidak boleh kerana keputusan jadi lelaki atau perempuan itu hak Allah.

Kamu telah dijadikan dalam proses yang lama, dalam keadaan sempurna kejadiannya, adakah kamu sangka kamu dijadikan begitu sahaja? Tentu tidak.


 

 

Ayat 40: Setelah Allah berikan segala dalil itu, Allah akhiri surah ini dengan satu persoalan sebagai dalil adanya Hari Kebangkitan

75:40
Sahih International

Is not that [Creator] Able to give life to the dead?

Malay

Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu – tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!

أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَن يُحْيِيَ الْمَوْتَىٰ

Adakah tidak yang itu – mampu berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati?

Adakah Allah yang telah menjadikan manusia itu tidak mampu menghidupkan semula makhluk yang telah diciptakan dari tidak ada kepada ada? Tentulah Allah mampu nak hidupkan balik manusia. Kalau dah pertama kali Dia yang buat, tentu senang sahaja untuk Dia jadikan makhluk itu untuk kali kedua. Oleh itu, ketahulah wahai manusia, Kiamat itu pasti ada dan tidak ada bantahan kepadanya.

Allahu a’lam.


 

Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Maulana Hadi

Taimiyyah Zubair al-Huda Institute

Nouman Ali Khan Bayyinah Institute

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 075: Qiyama. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s