Tafsir Surah Qiyama Ayat 1 – 19

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Makkiah. Seperti juga surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang iman. Dan surah ini adalah tentang iman kepada hari kiamat.

Nama Hari Kiamat itu banyak, bukan ‘kiamat’ sahaja. Antara namanya yang lain adalah al-Haqqah, salah satu surah Quran juga. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang selalu digunakan adalah ‘Kiamat’. Perkataan Qiyama dari perkataan ‘qiyam’ yang bermaksud ‘bangkit’. Ini adalah kerana kita akan dibangkitkan dari kubur kita pada Hari Kiamat nanti.

Surah Haqqah menceritakan tentang apa yang berlaku semasa hari Kiamat, manakala surah Qiyama ini pula tentang apa yang berlaku di awal-awalnya. Ia bermula dengan kematian seseorang. Sebab itulah kematian juga dinamakan ‘Kiamat Kecil’.

Musyrikin Mekah tidak mempercayai kebangkitan semula. Jadi, surah ini banyak menyentuh tentang perkara itu.


 

Ayat 1:

75:1
Sahih International

I swear by the Day of Resurrection

Malay

Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;

لَا أُقْسِمُ بِيَوْمِ الْقِيَامَةِ

Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan Hari Kiamat. Perkataan لَا (tidak) itu untuk penekanan dan juga untuk menafikan fahaman mereka-mereka yang sentiasa menolak tentang adanya Kiamat. Janganlah pula sangka ia bermaksud ‘Aku tidak bersumpah’ pula. Allah mulakan dengan perkataan ‘tidak’ kerana hendak menolak pemahaman mereka yang jahil. Golongan yang jahil mengatakan tidak akan dibangkitkan jasad-jasad yang telah mati.

Itulah fahaman musyrikin Mekah semasa Nabi memberitahu mereka tentang hari kiamat. Sampai sekarang pun ada agama yang tidak menerima adanya pembalasan dalam kehidupan selepas mati. Mereka tidak percaya adanya kehidupan akhirat seperti yang kita faham. Sebagai contoh, penganut Buddha percaya Konsep Reinkarnasi. Mereka percaya setelah mati, mereka akan dihidupkan semula.

Perkataan لَا (tidak) itu juga digunakan sebagai penekanan. Allah bersumpah dengan Hari Kiamat kerana hendak menekankan bahawa ianya adalah sesuatu yang PASTI akan berlaku.

Kiamat adalah sesuatu yang semua orang telah tahu. Ada 70 ayat dalam Quran yang menggunakan perkataan الْقِيَامَةِ ini. Oleh itu tidak perlu dibincangkan dengan panjang lebar di sini.

Allah hendak memberikan dalil tentang benarnya ada Hari Kiamat itu. Dalam ayat ini, dalil yang pertama telah diberikan. Memang Allah yang bersumpah, tapi ianya dibacakan oleh Nabi Muhammad. Ini bermakna, Nabi Muhammad juga bersumpah dengan Hari Kiamat. Siapakah Nabi Muhammad di kalangan Musyrikin Mekah? Bukankah baginda seorang yang amat dipercayai oleh mereka, sehinggakan mereka memanggil baginda dengan gelaran ‘al-Amin’ (yang dipercayai)? Kalau seorang yang selama itu dipercayai tidak pernah menipu, adakah dia menipu juga kali ini? Tentu tidak.

 


 

Ayat 2: Ini adalah sumpah Allah yang kedua. Sumpah pertama tadi adalah dengan Hari Kiamat.

75:2
Sahih International

And I swear by the reproaching soul [to the certainty of resurrection].

Malay

Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah”!

وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ

Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah”!

Ada beberapa maksud perkataan النَّفْسِ اللَّوَّامَةِ itu. Secara dasarnya, ia boleh membawa maksud ‘Jiwa yang mencela’ atau boleh membawa maksud ‘Jiwa yang tercela’. Kenapa boleh jadi dua maksud yang berlawanan pula? Diberikan beberapa pendapat berkenaan maksud النَّفْسِ اللَّوَّامَةِ:

1. Ianya bermaksud jiwa yang mencela dirinya sendiri. Kata اللَّوَّامَةِ adalah dalam bentuk isim Mubalaghah jadi ia bermaksud ‘sentiasa’ mencela. Jiwa yang sentiasa mencela dirinya. Ini adalah jiwa yang sentiasa memikirkan tentang dirinya. Dia sentiasa muhasabah dirinya. Dia akan mencela dirinya sendiri kalau dia melakukan kesilapan. Sudah ada perasaan ini dalam diri setiap insan. Dia akan ada rasa bersalah atas kesalahan yang dilakukannya. Atau menyesal kerana tidak melakukan kebaikan yang dia ada peluang untuk melakukannya.

Sebagai contoh, selepas buat sesuatu perkara, dia bertanya kepada dirinya: “Kenapa lah aku buat macam itu?”; atau kalau selepas makan terlalu banyak, dia akan tanya diri dia: “Kenapa aku makan banyak itu?”

Itulah sifat yang perlu ada dalam seorang mukmin sebenarnya. Selepas buat sesuatu, dia akan fikirkan balik. Dia akan menyesal dan mencela dirinya kalau perbuatannya itu tidak molek. Banyak perkara yang dia akan baiki dirinya, dalam banyak hal, seperti perkataan yang dia kata, perkara yang dia pandang, pegang, ke mana kakinya membawanya berjalan dan macam-macam lagi.

Dia juga akan sentiasa memikirkan apakah tujuan hidupnya. Persoalan dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi,  apakah tujuannya hidupanya di dunia ini, semua itu akan sentiasa bermain dalam fikirannya. Dia berkata dalam dirinya: Apa tujuan aku hidup di dunia ini? Dia juga selalu memikirkan nikmat yang Allah telah berikan. Tanpa kena apa-apa musibah pun dia dah rasa begitu. Kerana selalu terjadi, apabila sesuatu kejadian besar berlaku pada seseorang, seperti kematian, jatuh sakit yang teruk dan sebagainya, baru dia memikirkan tentang dirinya. Tapi orang mukmin, tidak perlu tunggu perkara sebegitu berlaku baru mereka hendak memikirkan.

Sedangkan orang yang tidak mukmin, tidak begitu. Mereka tak tanya atau fikirkan pun apakah kesan perbuatan mereka. Mereka tak kisah pun samada ianya baik atau tidak, Allah suka atau tidak. Maka, mereka tidak langsung mencela diri mereka kalau mereka buat perkara yang salah. Kadang-kadang siap cerita apakah yang mereka telah lakukan dan berbangga dengan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan (kau tahu semalam apa aku buat? Aku pukul budak kampung sebelah tu…). Mereka tak rasa bersalah langsung. Padahal, perasaan rasa bersalah ini sudah ada dalam diri mereka. Kerana perasaan ini Allah letakkan dalam diri semua insan. Cuma mereka yang tidak mukmin akan pendamkan perasaan itu. Mereka buat tak dengar suara yang mengecam dirinya.

2. Pendapat kedua mengatakan, ayat ini hendak memberitahu bahawa setiap jiwa akan mencela dirinya sendiri di akhirat nanti. Pendapat pertama tadi, merujuk kepada orang mukmin, dan kejadian itu semasa di dunia lagi. Pendapat kedua ini, ianya kepada ‘semua orang’ dan kerana dah nampak syurga dan neraka. Waktu itu, semua akan menyesal tapi waktu itu tak boleh buat apa dah. Ini akan berlaku kepada semua insan. Mereka akan menyesal atas kebaikan dan keburukan yang telah dilakukan.

Yang telah buat baik pun akan menyesal juga. Kerana mereka akan menyesal kerana tak buat lebih banyak lagi kebaikan. Kalau yang dah buat kebaikan pun akan menyesal, bagaimana agaknya dengan mereka yang tak buat?

Ada juga yang menyesal kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Antara yang menyesal adalah mereka yang tak maafkan orang lain, kerana mereka kena tunggu orang yang menzalimi mereka untuk dapat pengadilan. Oleh kerana itu, mereka akan lewat masuk syurga. Kalau mereka dah maafkan semasa di dunia lagi, tentu mereka dah selamat masuk syurga, dan kemaafan yang mereka berikan itu akan dibalas oleh Allah berkali-kali ganda lagi dengan kebaikan. Tapi, mereka kena tunggu untuk mendapatkan keadilan yang mereka mahukan. Memang mereka yang dizalimi boleh mendapatkan keadilan, kerana Allah Maha Adil, tapi kena tunggu.

Selain dari itu, ramai yang akan menyesal atas segala kebaikan yang terlepas mereka lakukan. Baru merkea nampak dengan jelas yang setiap zikir akan membawa kebaikan di syurga, setiap pahala ada nilai yang tidak terhingga, setiap kebaikan akan dibalas berkali-kali ganda. Tapi, dia akan mencela dirinya sendiri kerana tidak beramal atau tidak lakukan amal dengan lebih banyak lagi. Dia akan menyesal kerana tidak menggunakan setiap nafasnya untuk kebaikan.

3. Maksud lain adalah ‘jiwa yang tercela’. Kerana kesalahan yang mereka telah lakukan dalam dunia. Kerana mereka telah melakukan amalan-amalan syirik dan bidaah dan banyak dosa-dosa yang mereka lakukan, mereka akan dicela dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Inilah pendapat ketiga.

‘Jiwa yang sentiasa mencela’ ini adalah salah satu bukti adanya hari kiamat. Kenapa begitu? Kerana dalam diri kita sendiri sudah ada sifat rasa bersalah dengan apa yang kita lakukan. Kita sendiri tahu yang kadang-kadang yang kita lakukan itu tidak benar. Kita tahu adanya satu sistem yang menjadi kayu ukur mana yang benar dan mana yang tidak. Itu sudah tersedia ada dalam diri kita sendiri. Kalau perasaan itu sudah ada, bagaimana pula dengan konteks yang lebih besar? Adalah kita sangka yang kalau kita buat kesalahan, kita akan lepas begitu sahaja? Tentu tidak. Kita tahu sendiri yang kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan. Kita mencela diri kita sebagai hakim terhadap diri kita. Maka ketahuilah yang akan ada hakim yang lebih besar iaitu Allah.

Tapi rasa bersalah itu boleh hilang kalau manusia berterusan melakukan dosa. Sampai ada manusia yang tak rasa bersalah langsung walaupun bila buat jenayah, walaupun mereka membunuh manusia!

Jadi Allah dah siap letakkan emosi rasa bersalah itu dalam diri manusia. Semua emosi yang ada dalam diri manusia itu, ada gunanya. Termasuk emosi yang kita tak suka. Kalau tidak ada rasa takut, kita tidak dapat nak takut kepada neraka. Kalau tidak ada rasa sedih, kita tidak dapat nak faham kesedihan orang lain. Oleh itu, dengan adanya rasa bersalah, ia akan menggerakkan kita untuk memperbaiki diri kita. Begitu juga dengan emosi lain, semuanya ada gunanya.


 

 

Ayat 3: Ini adalah jawap (jawabul qasam) kepada dua sumpah dalam dua ayat di atas tadi.

75:3
Sahih International

Does man think that We will not assemble his bones?

Malay

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَلَّن نَّجْمَعَ عِظَامَهُ

Adakah manusia menyangka bahawa Kami tidak akan mengumpulkan tulang-tulangnya?

Kenapa ada manusia tidak mahu menerima adanya Hari Kiamat? Adakah kerana mereka tidak percaya yang Allah boleh mengembalikan tulang-tulangnya? Mereka lihat tulang-tulang yang hancur itu dan mereka rasa takkan boleh tulang-tulang itu bercantum semula. Inilah sebabnya musyrikin Mekah tak boleh terima. Allah jawap apa yang ada dalam hati mereka dengan ayat ini.

Dari sirah dan dari ayat-ayat yang lain, kita dapat tahu yang Musyrikin Mekah tidak percaya yang tulang yang hancur boleh dicantum semula. Mereka tak dapat terima yang Allah boleh hidupkan semula manusia. Ini adalah kerana mereka nak menolak adanya hari kiamat dan kebangkitan semula manusia. Allah sebut tentang perkara ini dalam Yaasin:78

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَن يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ

Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami, dan ia lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Allah hendak memberitahu mereka yang Dia mampu mencantumkan semula tulang-tulang itu, walau macam mana pun keadaan tulang itu. Tidak kisah mati di mana pun orang itu. Walau ditelan buaya atau hancur di lautan atau telah dibakar menjadi abu.


 

 

Ayat 4:

75:4
Sahih International

Yes. [We are] Able [even] to proportion his fingertips.

Malay

Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya,

بَلَىٰ قَادِرِينَ عَلَىٰ أَن نُّسَوِّيَ بَنَانَهُ

bahkan Kami berkuasa menyusun semula hujung jarinya,

Seperti yang kita tahu, identiti manusia diketahui pada cap jarinya. Ianya unik kepada setiap manusia. Tidak ada dua manusia yang sama cap jarinya, walaupun mereka itu kembar. Tetapi ini hanya diketahui oleh manusia pada tahun 1900. Tapi Allah dah sebut dalam Qur’an dari dulu lagi. Ini adalah salah satu mukjizat Quran, dimana ianya memperkatakan perkara yang tidak diketahui lagi pada zaman ianya diturunkan. Ini salah tanda menunjukkan yang Quran itu dari Allah dan bukan dari manusia.

Allah nak beritahu, bukan sahaja tulang kita Allah boleh susun balik, tapi hujung jari yang halus itu pun Allah boleh susun balik macam di dunia. Allah akan susun balik dengan sempurna. Semua itu tidak ada masalah buat Allah.

Oleh itu, ketahuilah yang kebangkitan itu pasti akan ada. Tubuh badan akan dibangkitkan semula dengan sempurna, dengan tulang belulang, dengan cap jari, semuanya sekali. Kalau Allah boleh susun dengan tepat cap jari manusia, maksudnya Allah tahu dengan terpinci tentang makhlukNya. Allah tahu apa yang kita lakukan dan tidak kita lakukan. Allah tahu apa yang kita telah lakukan dengan tubuh kita, dengan kaki dan tangan dan apa yang mulut kita katakan. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah.

Nota: perkataan banana (pisang) diambil dari perkataan بَنَانَهُ. Kerana bentuk pisang macam jari, maka bahasa Inggeris gunakan perkataan بَنَانَهُ untuk banana.


 

 

Ayat 5: Kenapa manusia menolak Kiamat,

75:5
Sahih International

But man desires to continue in sin.

Malay

(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).

بَلْ يُرِيدُ الْإِنسَانُ لِيَفْجُرَ أَمَامَهُ

bahkan manusia hendak meneruskan melakukan perbuatan jahat di depannya.

Sifat manusia itu sentiasa ingin nak buat benda tak elok. Mereka hendak ikut nafsu sahaja. Ini adalah mereka yang tidak dapat nak kawal nafsu mereka. Kita bukan hendak manusia hilangkan nafsu, kerana itu adalah fitrah manusia. Nafsu makan, nafsu bersuami isteri dan sebagainya, itu semua adalah keinginan yang Allah telah berikan kepada manusia. Cuma ianya perlu dipenuhi dengan cara-cara yang halal. Malangnya, kebanyakan manusia hanya hendak melakukan apa sahaja yang ada di hadapannya, tidak kira halal atau haram, dia nak buat terus. Apa yang difikirkanya, dia nak buat. Sedangkan, kalau dia percaya adanya hari kiamat, susahlah dia nak buat ikut nafsunya. Kerana rasa bersalah itu akan menghalangnya.

Ramai manusia yang nak buat apa yang dia hendak dan mereka simpan dalam hati mereka, bila tua nanti baru nak taubat. Sebab itu banyak yang buat maksiat dan simpan niat untuk taubat. Manusia memang sifatnya hendak semua sekali yang mereka ingini. Mereka sentiasa menyegerakan dosa dan menangguh taubat. Itulah mereka yang kata: “Hidup hanya sekali!”. Kononnya, selagi hidup, mereka kena buat semua sekali.

Sepatutnya, kita jangan tangguh untuk bertaubat. Pintu taubat terbuka sepanjang hari. Jangan tunggu malam nanti, esok, bulan depan, bukan ramadhan. Sedangkan Nabi Muhammad bertaubat sepanjang hari sebanyak seratus kali. Kalau kita, tentulah lagi banyak kita buat dosa. Tak terkira banyaknya.

Manusia memang ada keinginan untuk buat dosa. Dari dulu sampai bila-bila. Samada dalam perkara maksiat atau dalam perkara agama. Kalau dalam perkara maksiat, sema jelas mana yang salah, mana yang tidak. Tapi, dalam hal agama, banyak yang keliru. Sebagai contoh, ramai yang dah semakin teruk dari semasa ke semasa. Bertambah perkara bidaah dan syirik yang dilakukan. Dulu tiada kita dengar golongan Habib. Dulu, tiada qasidah, tiada minta doa kepada orang dalam kubur secara terang terangan sebelum datangnya golongan ini. Tapi sekarang, dah macam-macam. Dulu hanya ada Arqam. Tapi sekarang golongan Habib yang sesat ini sampai masuk TV, masuk masjid dan bergendang ke sana sini dengan mudah sahaja. Yang hendak kepada agama pun kena tipu. Kerana yang mahukan agama, tetapi mahukan ilmu, sedikit sahaja. Mereka tertipu dengan keindahan yang ditonjolkan oleh golongan-golongan ‘penyanyi’ ini. Mereka sangka, kerana rupa mereka nampak bersih dan alim, nampak warak, pakai serban dan jubah, tentulah mereka ini pandai dan benar. Tidak semestinya begitu.

Jiwa manusia akan sentiasa mengheret tuannya ke arah maksiat. Kecuali mereka yang dilindungi Allah taala. Maka, hendaklah kita berdoa kepada Allah supaya menyelematkan kita dari ilmu yang salah, sesat dan merugikan kita. Kerana kalau Allah tidak pelihara kita, tidak tahulah kita akan ke mana.


 

 

Ayat 6: Lihatlah apa kata mereka.

75:6
Sahih International

He asks, “When is the Day of Resurrection?”

Malay

Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”

يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ

Dia bertanya: “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”

Mereka yang kufur bertanya bilakah Hari Kiamat itu. Orang Muslim sekarang pun sibuk nak tahu bila kiamat. Sibuk nak tanya bila Imam Mahdi turun. Padahal kita tidak disuruh tunggu pun. Sepatutnya kita buat amal kita sahaja dan tak perlu nak tunggu-tunggu lagi. Sedangkan kiamat itu pasti terjadi. Kalau kita tak sempat jumpa Kiamat Besar, sudah pasti kita kita akan bertemu dengan ‘Kiamat Kecil’ iaitu kematian kita.

Mereka bertanya itu adalah kerana mereka rasa jauhnya kiamat itu. Macam tak akan jadi sahaja Kiamat itu. Mereka nak mengejek sebenarnya, bukannya nak tahu. Ini penting kerana dalam hadis kita akan bertemu dengan hadis-hadis di mana ada sahabat yang bertanya tentang bilakah Kiamat. Dia bertanya itu memang kerana nak tahu, bukannya seperti orang yang bertanya dalam hadis ini.

Sahabat Nabi bernama Abu Hurairah (semoga Allah redha kepada beliau) menceritakan pada suatu hari seorang lelaki Arab Badwi datang bertanya kepada Nabi, “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata, “Manakah orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata, “Aku, wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab, “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”. Orang itu bertanya lagi untuk mendapatkan penjelasan, “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?”. Nabi menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)

Anas bin Malik ra mengisahkan, “Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi saw tentang hari kiamat, “Bilakah kiamat datang?” Nabi pun menjawab, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Orang itu menjawab, “Wahai Rasulullah, aku belum mempersiapkan salat dan puasa yang banyak, hanya saja aku mencintai Allah dan Rasul-Nya” Maka Rasulullah saw bersabda, “Seseorang (di hari kiamat) akan bersama orang yang dicintainya, dan engkau akan bersama yang engkau cintai.” Anas pun berkata, “Kami tidak lebih bahagia daripada mendengarkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, ‘Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’” Anas kembali berkata, “Aku mencintai Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar, maka aku berharap akan akan bersama mereka (di hari kiamat), dengan cintaku ini kepada mereka, meskipun aku sendiri belum beramal sebanyak amalan mereka.” (HR. Al-Bukhari dalam Sahihnya)

Dalam hadis ini menceritakan kepentingan cinta kepada Nabi. Tapi tidaklah maksud cinta kepada Nabi itu ditunjuk dengan menyanyikan qasidah seperti yang dilakukan oleh puak Habib dan pengikut mereka. Jangan keliru sampai begitu sekali. Dan jangan pula kata kami yang menolak Qasidah ini benci kepada Nabi. Kami sayang kepada Nabi, maka akan selawat seperti yang diajar oleh Nabi dan kami mengamalkan sunnah seperti yang diajar oleh Nabi dan para sahabat baginda yang tentunya lebih faham agama dari kita. Adakah para sahabat mengalunkan Qasidah?


 

 

Ayat 7: Apakah musibah yang akan terjadi pada hari itu? Allah menceritakan keadaan pada hari itu.

75:7
Sahih International

So when vision is dazzled

Malay

apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),

فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ

apabila pemandangan menjadi berpinar-pinar

Perkataan بَرِقَ asalnya bermaksud ‘kilat’. Kalau kilat, bukankah mata akan berpinar? Berpinar-pinar yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah berpinar kehairanan dan ketakutan. Macam yang Allah telah firman dalam Ibrahim :43

مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ

(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

Mata manusia akan ke sana dan ke mari kerana sangat ketakutan. Mereka kebingungan yang amat sangat waktu itu dengan kejadian yang berlaku waktu itu. Mata mereka tidak boleh tetap pada satu perkara. Kerana hebatnya musibah dan dahsyat pada hari itu. Nampak kehancuran merata rata, nampak malaikat dengan ramai dan besarnya, nampak azab yang dikenakan, peluh memercik-mercik, tanpa boleh bergerak ke mana -mana. Memang menakutkan. Mata mereka sahaja yang boleh melihat kejadian itu dengan ketakutan.


 

 

Ayat 8:

75:8
Sahih International

And the moon darkens

Malay

Dan bulan hilang cahayanya,

وَخَسَفَ الْقَمَرُ

Dan bulan hilang cahayanya,

Apabila Bulan sudah tiada cahaya. Bulan dari gerhana hilang cahaya. Asal maksud خسف adalah ‘ditelan’. Khusuf boleh bermaksud ‘gerhana’ dan kerana itulah Solat waktu gerhana dipanggil Solat Khusuf.


 

 

Ayat 9:

75:9
Sahih International

And the sun and the moon are joined,

Malay

Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,

وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ

Dan matahari serta bulan dihimpunkan,

Apabila graviti tiada, semua akan berlanggar sesama sendiri. Kita sekarang mungkin melihat planet duduk tetap di tempatnya, tetapi ianya tidak kekal begitu. Allah tak sebut planet lain kerana matahari dan bulan adalah dua perkara langit yang kita biasa lihat.

Bukan sahaja matahari dan bulan sahaja yang akan hancur tetapi planet-planet lain juga. Allah telah berfirman dalam Takwir:1-2

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);

وَإِذَا النُّجُومُ انكَدَرَتْ

Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;


 

 

Ayat 10:

75:10
Sahih International

Man will say on that Day, “Where is the [place of] escape?”

Malay

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?”

يَقُولُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ

berkatalah manusia pada hari itu: “Ke manakah hendak melarikan diri?”

Bila manusia melihat segala musibah itu, mereka mahu melarikan diri jauh-jauh dari kejadian dan keadaan itu. Tapi nak lari ke mana? Kalau di dunia, boleh lari ke Balai Polis, kedutaan negara masing-masing, lari ke gunung, masuk dalam gua dan sebagainya. Tapi waktu itu nak lari ke mana?


 

 

Ayat 11: Bolehkah mereka melarikan diri?

75:11
Sahih International

No! There is no refuge.

Malay

Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!

كَلَّا لَا وَزَرَ

Tidak sekali kali! Tidak ada tempat perlindungan!

Tidak akan ada tempat nak lari dah. Tidak ada tempat perlindungan dah. Nak lari ke mana? Takkan boleh lari dari Allah. Kalau lari dari manusia, boleh lagi, tapi bagaimana mungkin lari dari Allah?

Asal perkataan وَزَرَ adalah seperti lubang di pergunungan. Ianya sekarang seperti ‘bunker’ yang digunakan semasa perang.

Contoh gambar satu bunker


 

 

Ayat 12:

75:12
Sahih International

To your Lord, that Day, is the [place of] permanence.

Malay

Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ

Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja tempat yang tetap.

Kita akan hanya pergi kepada Tuhan. Tidak ada tempat lain lagi. Tidak ada keselamatan kepada mereka pada hari berkenaan. Shura:47

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ مَا لَكُم مِّن مَّلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ وَمَا لَكُم مِّن نَّكِيرٍ

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).

Maka hendaklah kita bersedia untuk hari itu. Jangan leka sangat dengan dunia ini. Belajarlah apa yang perlu dibuat. Jangan buat amal sahaja, tapi tidak ada ilmu. Kerana apabila tidak ada ilmu, kita mungkin buat perkara yang salah. Apabila buat perkara yang salah, ianya akan menjadi dosa kepada kita. Mahukah kita mengadap Allah dengan dosa-dosa amalan yang salah? Kita sangka kita dah banyak amalan dah, tapi rupanya amalan bidaah yang tidak ada nilai – selawat Syifa’ lah, Qasidah lah dan sebagainya – itu bukan pahala, tapi mengundang dosa sahaja!


 

 

Ayat 13:

75:13
Sahih International

Man will be informed that Day of what he sent ahead and kept back.

Malay

Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan.

يُنَبَّأُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang dia tinggalkan.

Semua amalannya akan diberitahu. Yang lama dan terkini. Kecil atau besar. Setiap lafaz dan setiap langkah. Seperti yang Allah sebut dalam Kahf:49.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Jadi kita kena lihat apa kita lakukan. Berhati-hati dengan amalan kita. Kerana ianya akan dibentangkan kembali dan akan dinilai. Buat apa buat amalan yang tidak pasti benar atau tidak, sedangkan banyak lagi amalan-amalan yang pasti benar?

Ada beberapa maksud perkataan قَدَّمَ وَأَخَّرَ:

1. Amalan yang kita buat dan amalan yang kita tinggalkan. Kita ada amalan yang kita buat, tapi ada banyak lagi amalan yang kita tinggalkan. Samada yang wajib dan sunat. Begitu juga, ada manusia yang lengahkan melakukan amalan yang baik. Kerana dia rasa dia ada masa banyak lagi nak buat amalan baik itu. Jadi, dia tinggalkan dulu buat amalan yang baik sebab mereka rasa mereka ada masa lagi. Bila lapang, baru nak buat; bila dah tua nanti dah pencen, baru nak buat; bila ada kawan nak buat sekali, baru nak buat; macam-macam lagi alasan yang manusia guna untuk lengahkan melakukan amalan yang baik.

Kita kena tanya diri kita: Apa yang penting sangat sampai kita lengahkan buat amal kebaikan? Adakah penting sangat nak kena tengok wayang? Adakah penting sangat nak kena pergi ke merata dunia bercuti puas-puas? Adakah pengajian kita di universiti sibuk sangat sampai tidak ada masa nak beramal ibadat? Apakah politik penting sangat sampai siang dan malam dengan manusia sahaja sebab nak berkempen dan tunjuk muka sampai tidak ada masa untuk Allah? Apa yang penting sangat hal dunia ini?

2. Yang kita telah lakukan semasa hidup dan selepas kita mati. Yang dilakukan selepas kita mati atas perbuatan kita dahulu. Kita yang mulakan dan diikuti oleh orang selepas kita. Ada hadis bagaimana sesiapa yang memulakan perkara yang baik. Akan dapat pahala kalau disambung oleh orang lain. Hadith yang dimaksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.

Hadis ini banyak sekali yang salah faham. Mereka sangka, inilah bidaah hasanah. Mereka sangka, kalau mereka reka amalan yang mereka ‘sangka’ baik, dan ianya diikuti oleh orang selepasnya, mereka akan dapat pahala. Ini adalah salah faham yang amat besar sekali, kerana tidak belajar dan tidak faham apakah maksud ‘sunnah yang baik’ yang disebut dalam hadis ini. Untuk memendekkan tulisan ini, anda boleh rujuk di sini untuk pemahaman hadis ini. Semoga tidak lagi digunakan hadis ini sebagai hujah kepada ‘bidaah hasanah’. Dan kepada mereka yang baru dalam sunnah, harap boleh faham maksud hadis ini dan tidak keliru lagi tentangnya. Anda sudah boleh jawap kepada orang lain kalau mereka menggunakan hadis ini sebagai hujah.

Maka, buatlah sesuatu kebaikan yang boleh diambil oleh orang lain apabila kita sudah tiada. Sebab itulah saya berharap tulisan ini akan menjadi saham pahala buat saya selepas saya tiada. Apa yang anda boleh lakukan? Cari jalan bagaimana kita boleh meninggalkan sesuatu yang baik selepas kita tiada. Tapi pastikan yang ianya adalah sesuatu yang benar-benar baik.

Dalam pada itu, hendaklah kita ingat bahawa, bukan perkara yang baik sahaja yang akan memberi saham kepada kita, tetapi yang buruk pun. Kalau kita ajar anak-anak kita, pelajar-pelajar kita dengan perkara yang salah, dan mereka meneruskan amalan salah itu, kita pun akan dapat ‘saham’ buruk dari amalan mereka itu. Jadi, berhati-hati dengan apa yang kita ajar kepada orang lain.

3. Ada juga yang mengatakan maksud ayat ini adalah amalnya yang awal dan amalnya yang terakhir sekali. Maknanya, semua amalannya akan diambil kira. Amalan masa muda dan amalan tua. Malangnya orang kita semasa muda malas nak beramal, mereka lewatkan bila dah tua. Tapi bukankah susah kalau kita nak buat amal yang banyak apabila dah tua?

Maka jangan kita berlengah dalam melakukan amal kebaikan. Takut nanti kita menyesal pada hari kiamat nanti.


 

 

Ayat 14:

75:14
Sahih International

Rather, man, against himself, will be a witness,

Malay

Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,

بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ

Bahkan manusia itu, terhadap dirinya sendiri, dia melihat.

‘Melihat’ itu bermaksud menjadi ‘saksi’. Kerana yang menjadi saksi itu bermaksud seorang yang melihat sendiri kejadian yang dibicarakan. Kalau dalam mahkamah, hakim akan pastikan yang saksi itu memang melihat sendiri kejadian yang dibicarakan, kalau tak, tak layak nak jadi saksi. Dan setiap insan tentunya akan melihat sendiri perbuatannya semasa di dunia.

Setiap insan akan menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun dia hendak beri alasan. Maknanya alasan atau penafiannya tidak berguna. Sebab tubuh badannya sendiri akan jadi saksi. Nak tipu macam mana lagi?

Allah berfirman dalam Nur:24

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.

Malah kulit akan bercakap jadi saksi. Lihatlah apa yang Allah firman dalam Fussilat 20-21.

حَتَّىٰ إِذَا مَا جَاءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا قَالُوا أَنطَقَنَا اللَّهُ الَّذِي أَنطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

Pada hari Perbicaraan itu, manusia akan membaca sendiri buku amalannya seperti yang Allah sebut dalam Isra:14

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.

Selepas baca sendiri apa yang tertulis tentang amalannya, dia sendiri akan tahu kedudukan dirinya, samada ahli syurga atau ahli neraka. Tak payah bagitahu pun, orang itu dah tahu sendiri dah. Bayangkan seorang pelajar yang melihat buku laporan sekolah dia, dan dia nampak merah sahaja, tentulah dia dah tahu samada dia lulus peperiksaan tahun itu atau tidak, bukan? Aduh, entah apalah yang kita akan baca nanti.


 

 

Ayat 15:

75:15
Sahih International

Even if he presents his excuses.

Malay

Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).

وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُ

Walaupun ia melemparkan alasan-alasannya

Walaupun dia berdebat untuk membela diri, dia tidak akan berjaya. Kerana tubuhnya sendiri yang menjadi saksi. Tidak diterima alasan-alasannya itu. Atau hujah-hujahnya.

Lihatlah An’am:23 bagaimana mereka cuba berdalih dan menidakkan perbuatan mereka semasa di dunia.

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا وَاللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Juga mereka diceritakan akan cuba berdalih dalam ayat Mujadila 18.

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعًا فَيَحْلِفُونَ لَهُ كَمَا يَحْلِفُونَ لَكُمْ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ عَلَىٰ شَيْءٍ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْكَاذِبُونَ

(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.

Manusia memang ada banyak alasan. Di akhirat, mereka akan cuba berdalih, dalam dunia pun mereka akan beri alasan. Macam-macam alasan yang diberikan untuk tidak beramal. Sibuk dengan tak siap lagi, kena hantar anak ke sekolah, tempat beribadat tidak ada, tak tahu macam mana nak buat amal, penat, dan macam-macam lagi. Tapi, dalam masa yang sama, macam-macam hal keduniaan mereka mampu lakukan pula. Kalau tengok filem, berjam-jam pun tidak mengapa. Ada pula masa kalau nak bermain sukan, berjalan-jalan melancong dan sebagainya.

Alasan-alasan yang dilemparkan oleh manusia itu ada tiga jenis:
1. Mereka akan menidakkan perbuatan mereka. Mereka tak mengaku yang mereka pernah buat apa yang dikatakan kepada mereka itu.
2. Mereka beri alasan kenapa mereka melakukan perbuatan itu. Mereka akan beri sebab itu dan ini. Kalau dalam dunia, mereka kata: “ustaz tu pandai agama dan dia buat, takkan dia salah?”. Dan macam-macam lagi alasan batil.
3. Mereka akan minta maaf dan ampun dan berjanji tidak buat lagi.

Ketiga-tiga jenis alasan yang diberikan itu tidak akan diterima. Tidak ada harapan lagi untuk mereka. Alasan mereka sia-sia sahaja nanti.

Belajarlah dari kisah Nabi Adam a.s. Apabila baginda telah melakukan kesalahan, baginda mengaku dan tidak memberi alasan. Lihatlah apa kata baginda dalam A’raf:23

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.


 

 

Ayat 16: Ayat ini adalah jenis Jumlah Mu’taridah. Di celah-celah ayat tentang hari kiamat, Allah menyebut tentang penurunan wahyu pula. Mungkin tidak jelas kaitan ayat ini dengan ayat-ayat sebelum kalau tidak belajar. Kaitannya, sebagaimana Allah mampu nak kumpul semula manusia, Allah mampu untuk memberikan wahyu kepada Nabi.

Pendapat lain mengatakan ianya masih tentang ‘bersegera’. Musyrikin Mekah bersegera nak buat dosa sedangkan Nabi pun bersegera juga, tapi untuk buat kebaikan.

75:16
Sahih International

Move not your tongue with it, [O Muhammad], to hasten with recitation of the Qur’an.

Malay

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Janganlah engkau menggerakkan lidahmu dengannya untuk percepatkan ia.

Ini adalah pengajaran Allah kepada rasulNya tentang penerimaan wahyu. Ayat ini adalah tentang cara terima ilmu dari malaikat.

Nabi nak cepat dapat bacaan Qur’an. Kerana baginda takut terlepas atau lupa. Sampaikan mendahului bacaan Jibrail. Belum habis dibacakan kepada baginda, baginda dah potong. Ini adalah kerana baginda rasa berat sekali tanggungjawab baginda untuk mengingati ayat-ayat Quran itu. Dan kita kena ingat, waktu itu sudah banyak ayat yang disampaikan kepada baginda, di mana hendak disusun, duduk selepas ayat mana dan macam-macam lagi.

Allah ajar Nabi untuk dengar sampai habis dahulu. Jangan cepat nak kejar dan jangan bimbang dan jangan gopoh gapah. Memang molek untuk bersegera dalam melakukan kebaikan, tapi kalau tidak kena caranya akan jadi tak elok. Jangan sampai kita nak bersegera sampai kita jadi kelam kabut. Perbincangan ini lebih panjang dalam tulisan ini.

Memang kita digalakkan mempercepatkan ibadat. Macam solat, bantu orang lain, bermaaf-maafan dan sebagainya. Tapi kalau solat sebelum waktunya pun tidak boleh, bukan?

Apabila Allah tegur Nabi jangan kelam kabut untuk mengulang bacaan Quran  yang disampaikan oleh Jibrail, Allah jamin akan bantu baginda dalam tiga perkara:
1. Allah akan kumpulkan Qur’an dalam dada Nabi.
2. Allah akan bantu baginda dalam pembacaan Quran itu.
3. Allah akan bantu dalam tafsir dan penjelasan makna ayat-ayat Qur’an itu.

Ayat ini mengajar kita dalam pembelajaran Quran juga, bukan hanya kepada Nabi sahaja. Kita kena dengar, hafal, baca balik dan belajar tafsir.

Dalam Taha:114 Allah sebutkan juga perkara ini.

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.

Ayat ini juga mengajar kita tentang adab kita dengan Quran: kita kena senyap dan dengar dengan baik. Ini dikuatkan lagi dengan ayat al-A’raf:204

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka hendaklah kamu semua mendengarnya dan diam, mudah-mudahan kamu semua beroleh rahmat.”

Perkataan فَاسْتَمِعُواْ itu bermaksud dengar betul-betul, bukan dengar biasa sahaja. Kalau dengar dengan baik, kita akan faham dan akan ingat. Tak boleh buat perkara lain semasa dengar ayat Qur’an dibacakan. Macam kita dalam kelas, kalau buat benda lain, kita tak faham apa yang disebut. Sebab itu Nabi ditegur. Oleh itu, ada ulama berpendapat, dari dalil ayat ini, tidak boleh kita sengaja pasal ayat Quran tanpa mendengarnya dengan teliti. Ramai orang kita yang pasang MP3 bacaan Quran dan biarkan sahaja ianya tanpa benar-benar mendengar. Mungkin niat mereka baik – daripada pasang lagu, baik pasang Quran – tapi ini tidak kena dengan ayat ini. Kalau kita pasang bacaan Quran, kita kena senyap dan dengar baik-baik bacaan ayat Quran itu.

Ayat itu walaupun dituuujan kepada Nabi, tapi ianya juga mengajar kita untuk fokus dalam pembelajaran kita. Kalau guru di depan mengajar, jangan buat benda lain. Kerana kalau kita tidak fokus, kita tidak dapat faham apa yang diajar.


 

 

Ayat 17:

75:17
Sahih International

Indeed, upon Us is its collection [in your heart] and [to make possible] its recitation.

Malay

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Sesungguhnya atas Kamilah yang akan mengumpulkan Al-Quran itu, dan menetapkan bacaannya.

Allah berjanji akan menyimpan Qur’an dalam dada Nabi dan akan bantu baginda dalam pembacaannya. Menyimpan Qur’an itu bermaksud Allah akan membolehkan Nabi menghafal Qur’an itu. Dan menetapkan bacaan itu bermaksud Nabi tidak akan salah dalam pembacaan Qur’an itu. Sebab itu baginda disuruh dengar dengan teliti tanpa kumat kamit membacanya dan kemudian nanti baginda bacakan seperti yang Jibrail bacakan.

Allah telah berjanji untuk menjaga Qur’an termasuklah bacaannya yang benar. Allah sebut dalam Hijr:9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Maknanya Allah jaga Quran itu dalam semua bentuk, seperti tulisan, ayat-ayatnya, termasuklah cara sebutan. Maka sebutan tajwid yang kita belajar dari kecil itu juga adalah dalam penjagaan Allah. Kita bukan sahaja mendapat teks Qur’an yang terpelihara tapi bacaannya juga sama dari dulu sampai sekarang.

Allah juga telah berfirman dalam A’la:6

سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰ

Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,

Oleh itu pengajarannya adalah tumpukan perhatian kepada pelajaran kita. Kita fokus semasa belajar atau buat apa-apa perkara pun.

Ada juga yang mengatakan ayat ini juga sebagai dalil kepada pengumpulan Qur’an selepas Nabi wafat supaya kita boleh membacanya dengan lengkap. Maknanya, Allah sudah memberitahu yang Qur’an itu akan dikumpulkan supaya memudahkan kita membacanya.


 

 

Ayat 18:

75:18
Sahih International

So when We have recited it [through Gabriel], then follow its recitation.

Malay

Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya, maka bacalah menurut bacaannya itu;

Nabi disuruh membaca Quran selepas Jibrail siap membacakan kepada baginda. Ikut sahaja sebagaimana yang telah dibacakan oleh Jibrail. Baginda pasti akan dapat membacanya. Inilah janji Allah.

Ayat ini juga boleh bermaksud suruhan kepada kita untuk mengikut apa yang telah dibacakan. Bukan baca sahaja tapi ikutlah apakah ajaran-ajaran di dalamnya. Kerana ianya adalah kitab yang mengandungi ajaran yang perlu diikuti. Bukan hanya dibaca sahaja.

Ini bermaksud kita kena ulangkaji bacaan Qur’an itu selepas kita sudah belajar. Ulangkaji akan menyebabkan kita akan ingat apakah bacaan Qur’an itu. Inilah tertib pembelajaran – selepas belajar, ulangkaji. Jangan biarkan sahaja. Sebagaimana kita ulangkaji pelajaran di sekolah dan universiti, begitu juga dengan pelajaran Qur’an.

Allah akan beri Nabi boleh bacakan balik Quran itu kepada manusia. Kerana ini adalah tugas baginda. Selepas Jibrail tinggalkan baginda, baginda akan dapat baca seperti Jibrail bacakan. Selepas Jibrail selesai membacakan ayat-ayat baru diturunkan, Nabi akan panggil penulis wahyu untuk menulisnya. Ada 42 penulis wahyu yang telah ditugaskan.


 

 

Ayat 19:

75:19
Sahih International

Then upon Us is its clarification [to you].

Malay

Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Kemudian, sesungguhnya ke atas Kamilah menjelaskan kandungannya

Tugas Allah lah untuk menjelaskan maksud Qur’an itu kepada Nabi untuk disampaikan kepada manusia. Selepas penghafalan dan pembacaan Qur’an, Allah akan terangkan apakah maksud ayat-ayat itu. Kerana pemahaman dan ambilan hukum dari Quran itu adalah amat penting. Allah akan jelaskan apakah yang halal dan haram dalam ayat-ayat itu, apakah suruhan dan larangan, apakah pengajaran yang boleh diambil darinya. Maka, bacalah Quran dan selepas itu kenalah ikut hukum yang ada di dalamnya.

Nabi Muhammad lah yang paling faham Qur’an. Oleh itu, tugas Nabi mengajar kepada kita apakah yang mesti dilakukan. Ayat-ayat Qur’an itu dalam bentuk yang ringkas sahaja. Oleh itu, kita amat memerlukan ajaran dari Nabi. Kerana itulah pentingnya kita belajar hadis juga. Kita kena faham Quran itu sebagaimana Nabi faham dan para sahabat yang belajar dengan Nabi, faham. Ini amat penting kerana kalau tidak, banyaklah pemahaman yang salah dari ayat-ayat Quran itu. Ini telah banyak berlaku. Kita boleh lihat bagaimana banyak sekali ajaran sesat dan salah yang timbul dari pemahaman Quran yang tidak didasari dari pemahaman salaf.

Ayat ini mengajar kita yang Nabi Muhammad bukan sahaja diajar bagaimana membaca Qur’an tetapi pemahaman Qur’an itu juga. Allah sebut dalam Nahl:44

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Taimiyyah Zubair

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 075: Qiyama. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah Qiyama Ayat 1 – 19

  1. Abdullah says:

    Assalamualaikum, mohon salin untuk rujukan..terima kasih..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s