Tafsir Surah Muddaththir Ayat 32 – 47

Ayat 32:

74:32
Sahih International

No! By the moon

Malay

Sebenarnya! Demi bulan,

كَلَّا وَالْقَمَرِ

Sebenarnya! Demi bulan,

Allah bersumpah dengan bulan. Huruf ‘waw’ bukan sahaja bermaksud ‘dan’, tetapi ia juga digunakan dalam sumpah.

Kenapa Allah bersumpah dengan bulan? Tentu ada sebab kerana Allah tidak saja-saja menggunakan sumpah. Benda yang dijadikan sumpah oleh Allah ada kepentingan. Untuk mengetahuinya, maka kita kena lihat apakah sifat bulan? Bulan ada cahaya tapi tidak banyak dan menyerlah sangat kerana ianya mengambil cahaya pun dari matahari. Oleh itu, cahaya bulan tidak tidak sama macam matahari. Cahaya dan sinaran tidak sama.

Kita simpan dahulu dan lihat lagi apakah sumpah Allah dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 33:

74:33
Sahih International

And [by] the night when it departs

Malay

Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,

وَاللَّيْلِ إِذْ أَدْبَرَ

Dan malam apabila ia meninggalkan

Dalam ayat ini, Allah bersumpah pula dengan malam. Malam datang dan pergi, seperti juga bulan.

Dalam ayat sebelum ini, Allah bersumpah dengan bulan, sekarang dengan malam pula. Sewaktu bulan ada, ada cahaya sedikit. Tapi kalau malam tidak ada bulan, langsung gelap gelita. Kita lihat pula sumpah Allah yang ketiga.


 

Ayat 34:

74:34
Sahih International

And [by] the morning when it brightens,

Malay

Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,

وَالصُّبْحِ إِذَا أَسْفَرَ

Dan waktu subuh apabila mula cerah

Malam pergi dengan datangnya subuh. Semua kejadian alam ini menunjukkan kehebatan Allah kerana Allah yang menguruskannya. Tetapi digunakan ketiga-tiga makhlukNya itu sebagai isyarat kepada cahaya wahyu:
Bulan: sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi, masih ada lagi wahyu dalam dunia waktu itu, seperti Kitab Taurat dan Injil. Tapi ianya ibarat cahaya bulan sahaja – lemah dan tidak boleh bergantung kepada cahaya bulan itu sahaja.
Malam: isyarat kepada kegelapan kesyirikan dimana kesyirikan berlaku dengan berleluasa.
Subuh: apabila cahaya matahari mula menyinari bumi sepertimana cahaya wahyu begemerlapan dengan datangnya Nabi Muhammad sebagai Nabi membawa Qur’an.

Ayat ini dan banyak ayat-ayat lain, Allah bersumpah dengan makhlukNya. Allah boleh bersumpah dengan apa sahaja. Ini hak Allah. Allah bersumpah untuk menekankan satu-satu perkara.

Kita pula tidak boleh bersumpah ikut suka kita. Kalau nak sumpah juga, kena gunakan nama Allah. Kalau kita sumpah ‘demi negara’ pun, dah ada masalah dah. Maka jangan lagi buat macam itu. Demi bulan, demi bintang, demi Nabi sekalipun tidak boleh.

nota tambahan: ‘Waktu Asfar’ adalah waktu dimana cahaya sudah mula kelihatan. Ianya masih lagi dalam waktu Subuh. Kalau kita lihat di luar, kita dah nampak itu kambing, itu lembu, itu orang dan sebagainya. Kepada mazhab Hanafi, Waktu Asfar adalah masuk waktu Solat Subuh. Ini berlainan dengan mazhab-mazhab yang lain yang berpendapat Waktu Subuh masuk lebih awal, dinamakan iaitu selepas keluar Fajar Sadiq. Antara hujah mazhab Hanafi, ‘Waktu Asfar’ ini ada disebut dalam Qur’an, iaitu di dalam ayat ini.


 

Ayat 35: Ini adalah jawap kepada sumpah Allah dalam ayat sebelum ini.

74:35
Sahih International

Indeed, the Fire is of the greatest [afflictions]

Malay

Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,

إِنَّهَا لَإِحْدَى الْكُبَرِ

Sesungguhnya ia adalah adalah salah satu yang amat besar,

Sesuatu yang dimaksudkan dalam ini adalah neraka. Surah Makkiah banyak menyentuh dan mengajar tentang akidah. Ini adalah tentang kepercayaan kepada neraka. Allah menceritakan sifat neraka dalam ayat ini. Ianya adalah sesuatu yang amat besar, amat menakutkan.

Kita kenalah tahu hal neraka. Kerana dengan mengetahui apakah neraka, sifatnya dan kepayahan yang tidak terhingga di dalamnya, maka akan menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa. Allah dah beritahu siap-siap, tentang hukuman yang akan diberikan kalau kita tidak menurut perintahNya.

Jangan jatuh kepada perbincangan golongan falsafah yang kata neraka itu hanyalah sebagai ‘gula-gula’ untuk menakutkan manusia sahaja. Sampai ada golongan tarekat dan Sufi yang kata kalau takut kepada neraka adalah syirik kerana mereka kata ianya seperti takut kepada makhluk selain Allah. Pemahaman ini amat jauh dari pemahaman yang ada dari Quran dan sunnah. Kerana ingatlah yang Allah dan Nabi lah yang menakutkan kita dengan neraka.

Ada juga yang mengatakan bahawa إِنَّهَا bermaksud Qur’an. Kalau yang dimaksudkan Qur’an, ianya juga adalah sesuatu yang amat besar kerana ianya memberi hidayah kepada manusia.


 

Ayat 36:

74:36
Sahih International

As a warning to humanity –

Malay

Yang menjadi amaran bagi umat manusia,

نَذِيرًا لِّلْبَشَرِ

Yang menjadi amaran bagi umat manusia,

Neraka itu adalah amaran kepada manusia. Allah menceritakan tentang neraka untuk menakutkan manusia. Supaya kita semua beringat. Begitu dengan para pendakwah, kena beri amaran dan menceritakan keburukan yang akan manusia terima kalau mereka tidak taat. Bukan nak cerita benda sedap sahaja seperti syurga. Neraka pun kena cerita juga.

Dan kalau إِنَّهَا itu merujuk kepada Qur’an, maka Qur’an itu juga sebagai peringatan kepada manusia juga.


 

Ayat 37:

74:37
Sahih International

To whoever wills among you to proceed or stay behind.

Malay

(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).

لِمَن شَاءَ مِنكُمْ أَن يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ

(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).

‘Maju’ itu bermaksud mereka yang mahu menerima peringatan dan menerima petunjuk dan melakukan kebaikan dalam kehidupan mereka di dunia.

Tapi ada yang mundur dan berpaling.

Yang menerima akan untung dan yang menolak akan kerugian yang besar. Terpulang kepada manusia mana mereka nak ikut. Tapi Allah dah beri amaran dengan neraka.

Keimanan kepada syurga dan neraka adalah kepercayaan kepada perkara ghaib. Kerana kita tak akan nampak syurga dan neraka. Inilah latihan membina taqwa dalam diri kita. Kerana walaupun tak nampak, tapi kita percaya juga.


 

 

Ayat 38:

74:38
Sahih International

Every soul, for what it has earned, will be retained

Malay

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Tiap-tiap diri, dengan apa yang telah dikerjakannya, tergadai.

Setiap manusia akan disoal tentang apa yang dilakukannya. Kecil atau besar akan ditanya. Lihat ayat Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Manusia akan terkejut kerana melihat segala-gala perbuatan mereka di dunia telah ditulis. Mereka ingat yang besar-besar sahaja, tapi rupanya yang mereka anggap kecil pun ditulis dan akan dipersoalkan. Macam kita sekarang ni, dalam zaman media mudah, senang sahaja apa yang kita nak tulis sampaikan seluruh dunia boleh lihat apa yang ditulisnya.

Perkataan رَهِينَةٌ bermaksud gadai. Apabila kita gadai barang kita ke kedai pajak gadai, barang itu akan tertahan di kedai itu sampailah kita boleh tebus barang itu dengan bayaran. Dan bayaran di akhirat nanti adalah dengan amalan ibadat kita dan iman kita. Amal ibadat itu tidak terus diterima, ianya akan diperiksa dahulu. Kerana ada amalan kita yang salah, ada amalan yang tidak ikhlas dan sebagainya. Oleh itu, amalnya tergantung hingga dipersoalkan.


 

Ayat 39:

74:39
Sahih International

Except the companions of the right,

Malay

Kecuali puak Kanan,

إِلَّا أَصْحَابَ الْيَمِينِ

Kecuali puak Kanan,

Golongan ini adalah mereka yang akan menerima Kitab Amal mereka di tangan kanan. Mereka ini akan melalui perbicaraan dengan mudah sahaja. Pengiraan mereka mudah sahaja. Siapa ‘Puak Kanan’ ini ada disebut dalam surah Waqiah dari ayat 27-40


 

Ayat 40:

74:40
Sahih International

[Who will be] in gardens, questioning each other

Malay

(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,

فِي جَنَّاتٍ يَتَسَاءَلُونَ

di dalam Syurga, mereka bertanya-tanya,

Mereka akan bertanya sesama sendiri. Samada sesama ahli syurga atau mereka bertanya kepada ahli neraka.


 

Ayat 41:

74:41
Sahih International

About the criminals,

Malay

Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,

عَنِ الْمُجْرِمِينَ

Tentang orang-orang yang bersalah,

Mereka bertanya sesama ahli syurga tentang orang lain yang dulu di dunia berbuat kesalahan.

Ataupun mereka tanya sendiri kepada orang yang berdosa (ahli Neraka). Allah boleh jadikan mereka boleh bertanya walaupun mereka duduk di tempat berlainan – satu di syurga dan satu di neraka.

Siapakah orang yang bersalah ini? Adakah orang kafir atau orang muslim yang jahat? Mufassir mengatakan yang ianya boleh dua-dua sekali. Kerana kita kena faham, tidak semestinya seorang yang mengaku Islam itu terus masuk syurga. Mereka ada yang dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 42: Inilah soalan yang mereka tanyakan kepada ahli neraka.

74:42
Sahih International

[And asking them], “What put you into Saqar?”

Malay

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

Ini adalah dalil bagaimana semua akan ditanya perbuatan di dunia. Termasuklah orang kafir sekali. Orang orang kafir pun akan ditanya tentang solat mereka, puasa mereka dan sebagainya. Jangan ingat kerana mereka itu sudah kafir, mereka tidak ditanya tentang amalan-amalan yang mereka sepatutnya lakukan.


 

Ayat 43: Inilah jawapan pertama yang diberikan.

74:43
Sahih International

They will say, “We were not of those who prayed,

Malay

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Yang pertama adalah tentang solat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu adalah mereka yang tidak solat. Maka solat adalah perkara yang amat penting. Inilah perkara pertama yang disebut menyebabkan masuk neraka.

Kena tahu ilmu tentang solat. Jaga segala perkara yang berkaitan dengan solat. Jangan ambil mudah dengan solat. Takut cara solat kita lakukan itu tidak betul sampaikan tidak diterima dan tidak dikira melakukan solat lagi.

Ramai orang sibuk dengan hadis-hadis yang menceritakan keburukan kalau meninggalkan solat. Banyak pula hadis-hadis itu dhaif atau palsu. Apakah tidak cukup dengan amaran dari ayat ini? Ini sepatutnya sudah cukup menakutkan kita. Kalau tidak solat, boleh dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 44: Ini adalah sebab kedua kenapa mereka dimasukkan ke dalam neraka.

74:44
Sahih International

Nor did we used to feed the poor.

Malay

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

Mereka buat tak kisah kepada orang miskin. Mereka pandang sahaja, tanpa menolong. Mereka tidak tahu dan kenal pun siapa orang miskin dalam masyarakat mereka kerana mereka tidak bercampur gaul melainkan dengan kalangan mereka yang kaya raya.

Solat adalah hubungan dengan Allah dan memberi makanan adalah hubungan dengan manusia. Kedua-duanya kena dijaga.


 

Ayat 45: Ini adalah sebab ketiga.

74:45
Sahih International

And we used to enter into vain discourse with those who engaged [in it],

Malay

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

Perkataan خوض bermaksud ‘memperdalam perbahasan’. Nampak macam perkara baik tapi ia merujuk kepada perkara yang tidak elok. Iaitu berbincang benda yang tak perlu bincang. Macam bincang tentang Dzat Allah. Atau apabila dengar tentang suruhan Allah, bincangkan kebaikan atau tidak suruhan itu. Atau bincang kenapa Allah tak masukkan kita terus dalam syurga. Banyak lagi perkara-perkara lain. Perkara-perkara itu semua buang masa sahaja.

Masalah zaman kita sekarang, kita sekarang banyak ‘mufti’. Mufti Internet, mufti Facebook, whatsapp dan sebagainya. Banyak yang menulis dan berbahas di media massa supaya orang puji mereka, kononnyak mereka banyak ilmu. Berdakwah memang bagus, tapi masalahnya, mereka berkata-kata tanpa ilmu. Lihat A’raf 33.

وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Kalau nak bercakap tentang Islam, kenalah ada pengetahuan asas tentang agama. Kenalah pergi belajar di kuliah dan kelas agama. Janganlah baru membaca sedikit, sudah nak bahas tentang agama dan hukum. Janganlah baca ayat Quran dan hadis sendiri-sendiri. Kena belajar tafsir ayat-ayat Qur’an itu dan syarah hadis-hadis itu. Kerana kalau baca sahaja, kita tidak faham kerana asas tidak ada.

Orang Melayu kita memang ada baca Qur’an dan hadis. Tapi bila tak biasa pergi majlis ilmu, hanya sekali sekala dengar ceramah di masjid dan surau, mereka sangat keliru tentang agama. Sebagai contoh, mereka baca Nabi pernah pacak pelepah tamar di kubur, mereka pun nak buat begitu juga. Padahal, sahabat pun tak buat begitu walaupun mereka nampak Nabi melakukannya. Kerana mereka tahu itu bukanlah sunnah. Dan tidaklah Nabi buat perkara yang sama kepada kubur yang lain. Memang hadis perbuatan Nabi itu ada, tapi, ini perlu dipelajari. Jangan baca hadis sahaja tanpa faham.

Ilmu dalam mengamalkan sesuatu itu amat penting, kerana Allah telah berfirman dalam Isra:36

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Ayat ini memberitahu kita yang kita kena ada ilmu untuk beramal. Dalam mazhab syafie, kalau beramal tanpa ilmu, amalan itu tertolak. Dan ilmu itu bukan taklid, hanya mengikut apa kata ustaz sahaja. Oleh itu, jangan ambil jalan mudah dengan hanya mengikut sahaja. Kita kena tahu apakah dalil dari sesuatu amalan itu, bagaimana Nabi melakukannya. Jangan hanya dengar kata-kata ustaz sahaja.


 

Ayat 46: Ini adalah kesalahan keempat yang dilakukan oleh ahli neraka.

74:46
Sahih International

And we used to deny the Day of Recompense

Malay

“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ

“Dan kami dahulu mendustakan hari pembalasan,

Perkataan الدِّينِ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘agama’ tapi bermaksud ‘pembalasan’. Ada ustaz yang tak tahu bahasa Arab, mereka terjemahkan ayat ini sebagai ‘Hari Agama’.

Ahli neraka itu kata mereka masuk neraka kerana dulu semasa di dunia, mereka tidak percaya kepada hari pembalasan – Hari Kiamat. Ataupun kalau mereka percaya, mereka menjalani kehidupan mereka macam Hari Kiamat itu tidak datang.

Jadi ada empat perkara yang menyebabkan mereka masuk neraka Sabar:
1. Tidak solat
2. Tidak beri makan orang miskin
3. Berbincang tentang agama, tentang perkara yang tidak perlu dibincang, tanpa ilmu.
4. Tidak percaya kepada Hari Kiamat/akhirat


 

Ayat 47:

74:47
Sahih International

Until there came to us the certainty.”

Malay

“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.

حَتَّىٰ أَتَانَا الْيَقِينُ

“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang diyakini”.

Perkataan الْيَقِينُ dalam ayat ini adalah ‘kematian’. Seperti yang digunakan dalam Hijr:99

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yang diyakini (kematian).

Ayat dari surah Hijr ini banyak yang salah faham. Ada golongan yang sesat kata mereka buat ibadat kalau belum sampai tahap yakin sahaja. Apabila kononnya mereka dah yakin dengan agama, dah tak perlu buat ibadat dah. Padahal Nabi sampai mati pun masih sibuk buat ibadat.

Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Qur’an, tapi baca Qur’an dan faham sendiri sahaja. Mereka hanya tahu maksud ‘yakin’ itu, satu sahaja. Mereka tak tahu bahasa Qur’an. Inilah masalah kalau salah belajar.

Kenapa kematian dipanggil sebagai ‘al-yaqin’? Kerana ianya adalah sesuatu yang kita pasti, kita yakin dia akan datang. Semua benda lain kita tidak boleh pastikan, tapi kita yakin yang suatu hari nanti, kita semua akan mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

  1. Ustaz Adli (Yayasan Ta’lim)
  2. Nouman Ali Khan (Bayyinah Institute)
  3. Hijaab Iqbal (al-Huda Foundation)

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 074: Muddaththir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s