Tafsir Surah an-Nas Ayat 4 – 6 (Cara berlindung dari Syaitan)

Ayat 4: Sekarang masuk kepada perbincangan musta’az minhu pula.

مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ

Sahih International

From the evil of the retreating whisperer –

 

Malay

“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ

“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

شَرِّ adalah sesuatu keburukan yang boleh menyusahkan kita. Ianya adalah sesuatu yang amat buruk untuk kita. Ianya berasal dari katadasar شرر yang bermaksud ‘percikan api’.

Siapa yang bisik? Allah tak gunakan pun perkataan ‘syaitan’ dalam ayat ini. Mari kita lanjutkan perbincangan. Perkataan وَسْوَاسِ bukan sahaja bermaksud ‘bisik’. Ianya adalah dari katadasar وس yang bermaksud ‘bisik’. Tetapi ada juga perkataan lain untuk ‘bisik’ iaitu همس. Seperti yang digunakan dalam Taha:108. Apakah bezanya antara dua jenis bisikan itu? Yang pertama, همس digunakan untuk membisikkan sesuatu yang baik ataupun buruk. Tapi, وَسْوَاسِ hanya digunakan apabila yang dibisikkan itu adalah perkara yang buruk sahaja.

Yang kedua, apabila digunakan dua kali perkataan ‘was’ jadi ‘was-was’, bermaksud ianya sesuatu yang berterusan dan berulang-ulang.

Dari segi bahasa, الْوَسْوَاسِ bukan bermaksud ‘pembisik’ biasa sahaja, tapi ianya dalam bentuk isim Mubalaghah (bersangatan) – kuat sangat membisikkan dan tidak berhenti. Kerana kalau pembisik sahaja, perkataan muwaswis boleh digunakan.

Oleh itu, perkataan الْوَسْوَاسِ bermaksud ‘pembisik’ dan bukan ‘bisikan’ kerana kalau ‘bisikan’, perkataan waswasa yang digunakan.

Jadi, ulama sepakat mengatakan yang perkataan الْوَسْوَاسِ merujuk kepada syaitan. Pertama, kerana ada ال pada perkataan itu – yang dalam bahasa Arab, menunjukkan kepada sesuatu yang spesifik – bukan pembisiki yang tidak tetap atau pembisik yang biasa sahaja. Kedua, sifat yang sentiasa membisikkan keburukan dan tidak berhenti itu adalah hanya ada pada syaitan sahaja.

Kenapa kita minta berlindung dari ‘pembisik’ itu dan bukan dari ‘bisikan’ itu? Kerana ‘pembisik’ itu boleh melakukan lebih lagi dari hanya membisikkan sahaja. Kita minta perlindungan dari apa sahaja yang datang dari syaitan itu.

Apakah yang dibisikkan ke dalam hati manusia? Ianya boleh jadi fikiran, idea, perasaan risau, takut, imajinasi dan sebagainya. Semua itu tidak ada realiti. Jadi, syaitan akan membisikkan ketakutan kepada yang tidak ada. Sebab itu benda tak akan jadi pun kita dah takut. Atau takut kepada sesuatu yang tak buat apa pun kepada kita. Kita sahaja sangka ia ada kemudharatan, tapi tidak sebenarnya.

Syaitan jugalah yang membisikkan perkara-perkara buruk yang menyebabkan berdosa. Syaitan mahu kita melakukan dosa yang tidak disukai oleh Allah. Mereka mahu kita semuanya berdosa dan akhirnya masuk neraka bersama mereka.

Sifat syaitan itu juga diberitahu okeh Allah, iaitu syaitan itu bersifat الْخَنَّاسِ yang bermaksud ‘pergi dan hilang’. Dalam Takwir:15 juga digunakan perkataan dari katadasar yang sama:

فَلَا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

الْخَنَّاسِ dalam ayat surah Takwir ini merujuk kepada bintang yang timbul kemudian hilang dari pandangan. Bukanlah bintang itu tidak ada, cuma menghilangkan diri sahaja. Sama juga dengan syaitan. Syaitan hanya pergi sekejap sahaja dan akan datang kembali untuk menghasut kita.

Bila Allah diingati, dia akan lari dan hilang. Tapi syaitan tak lari jauh. Dia pasti akan datang balik. Dia akan berusaha sentiasa untuk kacau kita dan menghasut kita. Macam waktu kita solat. Kejap sahaja khusyuk, tapi tak lama selepas itu fikiran entah ke mana. Itu adalah kerana bisikan dari syaitan lah tu. Dia tidak akan tinggalkan kita.

Semakin kuat iman kita, semakin kuat dia kacau. Semakin berilmu seseorang itu, yang dihantar adalah syaitan yang lebih kuat. Kalau orang tak beriman, dah memang kawan dia. Tapi kalau beriman, mereka itulah yang akan dikacau dengan lebih teruk lagi. Sebab itu bila kita belajar agama, kita kena berhati-hati dan minta perlindungan. Antaranya, takut walaupun kita sudah belajar agama, sudah pandai, sudah mengajar, tapi masih boleh lagi dihasut oleh syaitan. Tidak kira samada seseorang itu yang belajar agama, hatta yang mengajar sekali pun. Syaitan akan mencari peluang untuk menghasut kita. Janganlah kalau kita rasa kita dah pandai, kita sangka yang syaitan tidak boleh hasut kita lagi.

Ingatlah yang semua kena dugaan dihasut dengan syaitan. Nabi Adam pun pernah kena sampaikan baginda telah diturunkan ke bumi. Jadi tidak ada yang terselamat. Maka, kita hendaklah meminta perlindungan dari Allah.

Dalam Sunan Nasa’i, ada diriwayatkan dari hadis dari Nabi tentang bagaimana syaitan mengganggu manusia.

أَخْبَرَنَا قُتَيْبَةُ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ فَإِذَا قُضِيَ النِّدَاءُ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلاَةِ أَدْبَرَ حَتَّى إِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الْمَرْءُ إِنْ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Qutaibah dari Malik dari Abu Az-Zinad dari Al-A’raj dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Apabila adzan dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran sambil terkentut hingga ia tidak mendengar suara adzan. Jika adzan telah selesai, maka syaitan datang lagi. Ketika iqamah dikumandangkan, maka setan lari bertempiaran lagi. Dan saat iqamah selesai, maka syaitan kembali lagi. Sehingga syaitan ini masuk ke benak seseorang dan berkata; “Ingat ini, ingat itu, terhadap hal-hal yang tadinya ia lupakan. Sampai seseorang tidak tahu berapa jumlah raka’at yang telah ia kerjakan.”

Syaitan juga akan menyebabkan manusia jadi marah. Apabila manusia marah, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan berkata sesuatu perkara yang dia pun akan menyesal nanti.

وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال‏:‏ كنت جالساً مع النبي صلى الله عليه وسلم، ورجلان يستبان، وأحدهما قد احمر وجهه، وانتفخت أوداجه‏.‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ إني لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد، لو قال‏:‏ أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ذهب منه ما يجد‏”‏‏.‏ فقال له‏:‏ إن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏”‏ تعوذ بالله من الشيطان الرجيم‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.‏

Aku sedang duduk dengan Rasulullah ( ﷺ ) ketika dua orang lelaki mula bergaduh dan mengutuk antara satu sama lain dan wajah salah seorang daripada mereka menjadi merah dan urat lehernya telah bengkak (dari kemarahan ) . Rasulullah ( ﷺ ) berkata , “Aku tahu satu perkataan yang jika dia mengucapkan dengannya, kemarahan itu akan hilang dan perkataan itu adalah: A’udhu billahi minash-Shaitan nir-rajim (aku kepada dengan Allah dari godaan syaitan yang direjam) . ” Maka mereka (sahabat ) berkata kepada lelaki itu: “Nabi ( ﷺ ) memberitahu kamu untuk mengucapkan: ‘ Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, yang direjam”. [Al-Bukhari dan Muslim].


Ayat 5:

الَّذي يُوَسوِسُ في صُدورِ النّاسِ

Sahih International

Who whispers [evil] into the breasts of mankind –

 

Malay

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

Allah menerangkan pula apakah yang dilakukan oleh syaitan. Kalau dah syaitan, tentulah tugasnya menghasut, bukan? Contohnya, kalau guru, tentulah tugas dia akan mengajar, bukan? Tak payah nak sebut lagi sebenarnya, tapi Allah sebut sifat syaitan dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang syaitan akan tetap menghasut manusia sampai bila-bila.

Syaitan bisikan was-was dalam صُدُورِ (dada). Iaitu satu tempat yang kita tak nampak walaupun ianya ada pada diri kita. Jadi kita tak tahu apa yang terjadi dalam dada kita itu. Itu lebih bahaya sebab kita tak nampak dan tak tahu. Tapi Allah nampak dan tahu. Maka itu sebab kita minta tolong kepadaNya.

Allah menyebut yang syaitan hanya dapat memasuki ‘dada’ sahaja. Bukan dalam ‘hati’ lagi. Perumpamaan yang kita boleh ambil adalah: hati itu seperti istana dan di keliling istana itu adalah taman dan kawasan lapang. Syaitan hanya boleh berlegar dalam kawasan luar sahaja tapi tak boleh masuk ke dalam istana. Kunci istana atau hati itu ada pada kita. Kalau kita beri kunci itu kepada syaitan, baru dia boleh masuk ke dalam hati kita dan menghasut kita. Dia akan cantikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Yang bidaah pun dinampakkan cantik pada pandangan mata kita. Kalau buat perkara yang berdosa dan hina, macam tidak ada apa sahaja. Sebaliknya kalau kita ada iman, kita akan benci kepada benda-benda salah dan berdosa.

Syaitan menempatkan dirinya di luar hati manusia. Apabila manusia lalai dari mengingati Allah, syaitan akan melemparkan was-was ke dalam hati manusia. Kalau kita ingat Allah, dia akan berhenti. Bila kita lupa Allah, dia akan datang nanti. Dia tidak akan lelah, sentiasa sahaja menunggu peluang untuk bertindak. Mereka memang akan berjuang keras untuk memasukkan manusia ke dalam neraka. Kita mungkin lupa mereka, tapi mereka tidak akan lupa kepada kita. Kerana menghasat itulah kerja mereka.

Kita semua telah diberikan dengan qarin yang sentiasa bersama kita. Qarin itu akan sentiasa menyuruh kita melakukan keburukan. Ini seperti yang telah diberitahu oleh Nabi sendiri:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ »

Sesungguhnya syaitan berjalan dalam manusia seperti perjalanan darah.”

Apabila hasutan itu dibisikkan dalam hati dan hati ikut, akan menyebabkan kerosakan dan masalah kepada diri kita. Sebab badan akan ikut hati. Hati lah yang kawal segala pergerakan tubuh.

Kita minta Allah lindung dari syaitan supaya tak datang pun. Jangan bagi dia bisikkan pun. Jangan bagi dia bisik dari awal lagi.


Ayat 6:

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ

Sahih International

From among the jinn and mankind.”

 

Malay

“(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

“dari kalangan jin dan manusia”.

Dari manusia dan jin. Ini bermakna, Syaitan itu ada dua jenis. Yang tak nampak dan nampak. Ada syaitan dalam bentuk manusia. Manusia? Bagaimana pula ada syaitan yang dalam bentuk manusia pula?

Pertama, syaitan akan hantar manusia untuk kacau kita. Atau, dia tak dapat kacau kita, dia kacau anak bini kita. Sebagai contoh, katakanlah kita nak solat sunat. Dia hantar anak bini kita untuk kacau kita dan minta macam-macam. Lebih-lebih lagi dengan orang yang dekat dengan kita dan kita sayang. Syaitan memang pandai mencari jalan untuk menghasut kita dan melalaikan kita. Keduanya, Jin yang menggunakan manusia dalam menghasut manusia. Dia akan hasut orang lain supaya menghasut pula kita. Dia jadikan orang lain sebagai boneka. Sebagai contoh, kalau nak hasut lelaki, jin akan hasut perempuan untuk menggoda lelaki.

Ayat ini juga adalah dalil bahawa syaitan juga ada dari kalangan manusia. Manusia juga ada bisikkan kita kepada kita untuk buat keburukan. Ramai manusia yang mengajak kepada keburukan. Kalau begitu, mereka itu adalah syaitan. Mungkin ramai yang sangka syaitan itu dari kalangan jin sahaja. Tapi itu adalah syaitan dari jenis jin, dan ada juga syaitan dari kalangan manusia.

Termasuk dalam golongan manusia yang menghasut dan menyebabkan was-was, adalah mereka yang merendahkan martabat Nabi kita. Mereka banyak melakukan kajian dan kononnya mereka mengatakan Nabi menipu, Nabi tidak benar dan sebagainya. Antaranya mereka kata Nabi Muhammad sama sahaja macam manusia biasa dan tidak ada kelebihan pada diri baginda. Sampaikan ada golongan yang kononnya hanya mahu menerima Qur’an sahaja, hadis dah tak mahu terima. Inilah antara was-was yang dibawa oleh manusia yang sesat. Dan ada kalangan orang kita yang termakan dengan hujah-hujah mereka kerana kekurangan ilmu.

Allah sebut syaitan yang jin dahulu sebelum manusia kerana syaitan jinlah yang lebih pandai dalam menghasut manusia dan memberikan was-was kepada manusia.

Penutup:

Surah ini bukan sahaja berkait rapat dengan surah al-Falaq seperti yang kita sebutkan di awal tafsir ini, tapi surah ini juga berkait rapat dengan surah Fatihah. Apabila Nabi Muhammad habis sahaja membaca surah an-Nas dalam tilawah baginda, baginda akan terus membaca surah Fatihah pula. Kerana bukanlah bacaan surah an-Nas ini sebagai penutup pembacaan Qur’an. Sunnahnya adalah terus sambung dengan membaca Fatihah.

1. Terdapat banyak persamaan antara Fatihah dan an-Nas. Dalam Fatihah kita memohon hidayah dan dalam an-Nas kita memohon perlindungan.

2. Ketiga-tiga nama Allah ada persamaan dalam dua-dua surah ini.
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ = الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
مَلِكِ النَّاسِ = مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِلَٰهِ النَّاسِ = إِيَّاكَ نَعْبُدُ

3. Dalam surah Fatihah digunakan ‘kami’ kerana pertolongan yang diperlukan (hidayah) bersifat umum dan dalam an-Nas, permintaan perlindungan lebih bersifat individu. Sebab itu dalam an-Nas, permintaan itu kepada ‘aku’ sahaja.

4. Dalam Surah Fatihah, kita minta dijauhkan dari dua kumpulan (golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat) dan an-Nas juga dua kumpulan juga (jin dan manusia).

5. Fatihah dibahagikan kepada dua bahagian dan begitu juga surah an-Nas ini.
Bahagian pertama Fatihah adalah dari permulaan surah sampai kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Bahagian kedua pula adalah bahagian doa yang dimulai dengan وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Bahagian pertama surah an-Nas pula adalah dari permulaan surah sampai إِلَٰهِ النَّاسِ. Dan ayat seterusnya sampai ke penghujung surah adalah bahagian kedua.

6. Adam diturunkan ke dunia adalah kerana helah iblis yang menghasut Nabi Adam. Kisah itu disebut di tujuh tempat dalam Quran. Syaitan telah berjanji akan menyesatkan manusia. Ini disebut dalam A’raf:16

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Lihatlah janji iblis hendak menghalang manusia dari jalan yang lurus. Dan bukankah dalam Fatihah, kita meminta Allah memberi kita petunjuk kepada jalan yang lurus?

Dan dalam ayat seterusnya iblis berkata:

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Iblis kata kebanyakan dari manusia tidak bersyukur. Dan apakah ayat pertama dalam Fatihah? Bukankah kita mengucapkan syukur kepada Allah dengan menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ? Allah mengajar kita untuk bersyukur.

Dalam banyak banyak hasutan was-was syaitan itu, apakah hasutan yang paling kita kena berhati-hati sekali? Lihatlah apa Allah beritahu yang dilakukan oleh syaitan kepada Nabi Adam dan Hawa, dalam ayat 20 surah A’raf.

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

Syaitan telah menyebabkan aurat Nabi Adam dan Hawa terbuka. Begitulah syaitan sampai sekarang pun akan menyebabkan perkara yang sama kepada manusia. Ia akan menyebabkan perhubungan lelaki dan perempuan seperti tidak ada apa-apa kalau berjumlah tanpa hubungan yang sah. Ia akan menyebabkan lelaki dan perempuan tertarik sesama sendiri. Kalau dengan isteri tak berapa nak cakap tapi dengan orang lain, banyak sahaja cakap.

Kalau dalam media massa, kita dan anak-anak kita senang sahaja melihat aurat lelaki dan perempuan. Dalam masyarakat pula macam dah biasa kalau lelaki dan perempuan bercampur gaul sesama sendiri. Kalau di negara kita pun dah macam negara kufar dah. Macam tiada beza. Itulah kejayaan syaitan dalam merosakkan agama kita. Mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana hendak menyesatkan manusia.

7. Permulaan Qur’an iaitu Fatihah adalah doa dan surah an-Nas sebagai penghujung Qur’an juga adalah tentang doa juga. Maka, jangan kita lupa kekuatan dan kepentingan doa.

Allahu a’lam. Sambung terus kembali membaca Surah Fatihah. Apabila Nabi Muhammad habis baca surah ini, Nabi tidak terus berhenti tapi terus sambung semua kepada Surah Fatihah.

Kemaskini: 6 November 2017


Rujukan:

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair:

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 114: an-Nas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s