Tafsir Surah al-Falaq

Muqaddimah

Surah ini adalah salah satu dari dua surah yang dikenali Muawwizatain. surah An-Naas dan surah Al-Falaq merupakan dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (‘Al-Mu’awwizataini’). Kedua Surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di antara surah-surah yang lain. Surah al-Falaq diturunkan selepas surah Fiil dan diletakkan selepas surah al-Ikhlas dalam susunan mushaf al-Quran. Hampir kesemua orang Islam menghafal surah ini, maka ada baiknya kalau kita melihat apakah makna ayat-ayat dalam surah ini, supaya apabila kita membacanya, kita memahami apakah kesan dan harapan kita semasa membacanya.

Seperti yang kita tahu, surah ini mempunyai permohonan perlindungan kepada Allah. Ada empat keburukan yang kita minta perlindungan kepada Allah dalam surah ini:
1. Keburukan dari semua ciptaan Allah
2. Keburukan yang ada pada malam
3. Keburukan Sihir
4. Keburukan Hasad Dengki

Semasa kita membaca surah ini, kita memohon kepada Allah supaya menjauhkan kita dari semua kejahatan yang datang dalam empat perkara ini. Kita mohon supaya semuanya itu terdinding dari kita. Kesemua perkara itu terlindung dari kita dan kerana itu, kita perlukan pertolongan Allah. Dan satu persamaan keempat-empat perkara ini adalah: ianya adalah perkara yang kita tidak dapat kawal langsung. Dibandingkan dengan satu lagu Surah Muawwizatain – Surah an-Nas, ianya tentang sesuatu yang kita ada kawalan – syaitan. Kerana syaitan boleh bisikkan was-was kepada kita, tapi kita ada pilihan samada hendak ikut atau tidak.

Lihat kembali susunan 4 perkara itu. Ianya adalah susunan dari yang umum kepada yang lebih khusus. Inilah yang hebatnya susunan al-Quran dalam surah ini.
1. Segala keburukan yang boleh datang ciptaan Allah – ini memang betul-betul dalam bentuk yang umum. Ianya boleh merangkumi apa-apa sahaja dan segala benda, bukan?
2. Kemudian keburukan malam lebih khusus lagi dari segi waktu – waktu malam.
3. Kemudian tentang sihir pula. Lebih khusus lagi dari segi perbuatan jahat itu, tapi ia masih dalam bentuk jamak.
4. Yang paling khusus adalah tentang mereka yang hasad dan melakukan sesuatu dari sebab hasad dengki mereka itu.

Antara kelebihan surah ini adalah ianya dapat melindungkan kita dari sihir yang hendak dikenakan kepada kita. Ada riwayat yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad telah disihir. Ini ada disebut dalam Sahih Bukhari.

٥٣٢٣ – حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُيَيْنَةَ يَقُولُ أَوَّلُ مَنْ حَدَّثَنَا بِهِ ابْنُ جُرَيْجٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي آلُ عُرْوَةَ عَنْ عُرْوَةَ فَسَأَلْتُ هِشَامًا عَنْهُ فَحَدَّثَنَا عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلَا يَأْتِيهِنَّ قَالَ سُفْيَانُ وَهَذَا أَشَدُّ مَا يَكُونُ مِنْ السِّحْرِ إِذَا كَانَ كَذَا فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَعَلِمْتِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ الَّذِي عِنْدَ رَأْسِي لِلْآخَرِ مَا بَالُ الرَّجُلِ قَالَ مَطْبُوبٌ قَالَ وَمَنْ طَبَّهُ قَالَ لَبِيدُ بْنُ أَعْصَمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ حَلِيفٌ لِيَهُودَ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ وَفِيمَ قَالَ فِي مُشْطٍ وَمُشَاقَةٍ قَالَ وَأَيْنَ قَالَ فِي جُفِّ طَلْعَةٍ ذَكَرٍ تَحْتَ رَاعُوفَةٍ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ قَالَتْ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِئْرَ حَتَّى اسْتَخْرَجَهُ فَقَالَ هَذِهِ الْبِئْرُ الَّتِي أُرِيتُهَا وَكَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ وَكَأَنَّ نَخْلَهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قَالَ فَاسْتُخْرِجَ قَالَتْ فَقُلْتُ أَفَلَا أَيْ تَنَشَّرْتَ فَقَالَ أَمَّا اللَّهُ فَقَدْ شَفَانِي وَأَكْرَهُ أَنْ أُثِيرَ عَلَى أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ شَرًّا
5323. Telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Muhammad dia berkata; saya mendengar Ibnu ‘Uyainah berkata; orang yang pertama kali menceritakan kepada kami adalah Ibnu Juraij, dia berkata; telah menceritakan kepadaku keluarga ‘Urwah dari ‘Urwah, lalu aku bertanya kepada Hisyam tentang haditsnya, maka dia menceritakannya kepada kami dari Ayahnya dari ‘Aisyah radliallahu ‘anha dia berkata; bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah disihir hingga seakan-akan beliau telah mendatangi para isterinya, padahal baginda tidak mendatanginya, -Sufyan mengatakan; “Bahawa keadaan seperti ini termasuk sihir yang paling berat- kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu mengetahui bahawa Allah telah memberikan fatwa (menghukumi) dengan apa yang telah aku fatwakan (hukumi)? Dua orang laki-laki telah datang kepadaku, lalu salah seorang dari keduanya duduk di atas kepalaku dan satunya lagi di kakiku. Kemudian seorang yang berada di kepalaku berkata kepada yang satunya; “Kenapa laki-laki ini?” temannya menjawab; “Terkena sihir.’ salah seorang darinya bertanya; “Siapakah yang menyihirnya?” temannya menjawab; “Lubid bin Al A’sham, laki-laki dari Bani Zuraiq, seorang munafik dan menjadi sekutu orang-orang Yahudi.” Salah seorang darinya bertanya; “Dengan benda apakah dia menyihir?” temannya menjawab; “Dengan rambut yang terjatuh ketika disisir.” Salah seorang darinya bertanya; “Di manakah benda itu diletakkan?” temannya menjawab; “Di mayang kurma yang diletakkan di bawah batu dalam sumur Dzarwan.” Aisyah berkata; “Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendatangi sumur tersebut hingga beliau dapat mengeluarkan barang tersebut, lalu beliau bersabda: “Ini adalah sumur yang diperlihatkan padaku, seakan-akan airnya berubah bagaikan rendaman pohon inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syetan.” Abu Hisyam berkata; “apakah beliau meminta barangnya dikeluarkan?” Aisyah berkata; Lalu aku bertanya; “Apakah anda tidak meruqyahnya?” beliau bersabda: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku dan aku hanya tidak suka memberikan kesan buruk kepada orang lain dari peristiwa itu.”

Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam. Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut, terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang.

Disebabkan riwayat itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa surah ini adalah madaniyyah. Tapi yang menolaknya mengatakan surah ini Makkiah, cuma malaikat mengingatkan Nabi bahawa dua surah itu boleh digunakan sebagai Ruqyah.

Nabi juga pernah bersabda lagi tentang kelebihan surah ini:

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu ‘Al-Mu’awwizataini’ (Surah An-Naas dan surah Al-Falaq).” (HR Muslim no. 814, At Tirmidzi no. 2827, An Naasa’i no. 944)

Ada satu pendapat yang dipegang oleh ibn Mas’ud bahawa dua surah ini bukan sebahagian dari Quran tapi ianya adalah doa Ruqyah sahaja. Ini adalah pendapat minority sahaja dan ditolak kerana ijmak sahabat yang lain bahawa dua surah ini adalah sebahagian dari Quran dan dimasukkan ke dalam mushaf. Tambahan pula ada riwayat yang mengatakan Nabi ada membaca dua surah ini dalam solat, maka tentulah ianya adalah sebahagian dari Quran.

Uqba bin Amar RA meriwayatkan “Muhammad SAW berkata kepadaku di dalam suatu perjalanan, ‘Maukah kamu belajar dua surat yang luar biasa.’ Aku menjawab ‘ya, ajarkanlah padaku.’ Nabi mengajarku surat Al Falaq dan Surah An-Nas . Ia mengulang surat-surat yang sama ketika shalat Magrib hari itu. Lalu ia berkata kepadaku, ‘Kamu harus membaca kedua surat ini ketika hendak berangkat tidur maupun ketika baru bangun tidur.’” (Thirmidhi, Abu Dawud, & Nasai)

Selesai solat dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas, setiap satunya sekali. Daripada Uqbah bin Amir, katanya;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ الْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan padaku untuk membaca Muawwizaat  di akhir solat (sesudah salam).” (HR. An Nasai no. 1336 dan Abu Daud no. 1523. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).

.

Uqbah bin ‘Amir membawakan hadis dari Rasulullah shalallahu’ alaihi wasallam, bahawa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berkata:

اقْرَأُوا الْمُعَوِّذَاتِ فِيْ دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ

“Bacalah Al-Muawwizat pada setiap kali selepas solat.” (HR. Abu Dawud no. 1523, disahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah no. 1514)

 


 

Ayat 1:

113:1

Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan waktu pagi,

Terdapat arahan dari Allah untuk kita baca surah ni. Perkataan أَعُوذُ adalah istiaazah iaitu meminta perlindungan dan berharap dan setelah itu tidak meninggalkan sedikit pun perlindungan itu. Kerana kalau kita tinggalkan, kita akan susah. Kita mengucapkan istiaazah apabila kita meminta perlindungan Allah dari sesuatu yang tidak dapat dilihat. Apabila kita mengucapkannya, bermaksud kita menyerahkan diri kita dalam perlindungan Allah semata-mata.

Ada mufassir yang mengatakan yang kita bukan lagi ‘meminta’ perlindungan dari Allah, tapi kita meletakkan diri kita dalam perlindungannya – bukan nak minta-minta lagi. Sebagai contoh, kalau kita sedang lapar hampir kematian, tiba-tiba kita jumpa orang yang ada kemampuan untuk beri kita makan. Adakah kita minta-minta sahaja, tapi kita terus meminta sampai orang itu beri kita makan? Tentu kita akan terus minta dan meminta, bukan? Begitulah kita dengan Allah. Jangan kita minta main-main sahaja, tapi hendaklah kita tahu bahawa kita sedang meminta kepada yang boleh menolong dan memberi perlindungan kepada kita dan kita tidak ada harapan lain lagi. Bukannya kita boleh minta kepada selain Allah, bukan?

الْفَلَقِ berada dari katadasar yang bermaksud ‘membelah sesuatu’. Ada beberapa pendapat dari maksud perkataan ini.
1. Ianya bermaksud ‘waktu pagi’ kerana waktu itu seperti langit dibelah. Apabila langit dibelah, maka masuklah cahaya matahari dan kegelapan malam dihilangkan. Konsep ‘gelap’ pun banyak digunakan dalam surah ini – kegelapan malam, ahli sihir yang melakukan kerja sihir mereka dalam gelap, kegelapan syirik mereka yang mengamalkan sihir dan kegelapan niat manusia yang hasad kepada kita.
2. Juga digunakan untuk isyarat kepada penciptaan makhluk. Kerana setiap kejadian memerlukan ‘belahan’. Macam telur pecah, biji benih pecah, sel badan kita pecah dan darinya kita dijadikan. Jadi semuanya akan pecah terbelah dan kejadian baru akan jadi.

Oleh itu, ayat ini mengingatkan kita yang Allah lah yang menjadikan siang. Allah lah yang menukar malam kepada siang. Menukarkan gelap kepada cahaya. Dalam masa yang sama, kita berdoa kepada Allah: Berilah cahaya kepada kami.

Juga daripada kelahiran siang dan kelahiran segala makhluk, ia mengingatkan kita bahawa Allah adalah Tuhan Kelahiran. Dalam surah al-Ikhlas sebelum ini, Allah mengatakan yang Dia tidak melahirkan anak dan tidak dilahirkan. Sebaliknya, dalam ayat ini, kita diberitahu yang Dia adalah Tuhan kepada kelahiran. Semua kelahiran adalah keranaNya. Maknanya, ada kaitan dengan surah sebelum ini.

Satu lagi kaitan dengan surah al-Ikhlas: dalam surah al-Ikhlas, Allah dikatakan sebagai الصَّمَدُ – Dia tidak memerlukan sesiapa sebaliknya semua makhluk memerlukanNya. Dan bukankah dalam ayat ini menekankan lagi yang kita amat memerlukan Allah? Kita meletakkan diri kita dalam perlindunganNya kerana tidak ada tempat lain lagi untuk kita berharap melainkan kepadaNya. Jadi dalam surah al-Ikhlas, disebutkan konsep pengharapan dan dalam surah al-Falaq ini, konsep itu dipraktikkan.

Al-Falaq juga dikatakan adalah satu penjara dalam neraka. Yang apabila pintunya dibuka, akan menyebabkan api neraka lebih menyala-nyala. Isyarat kepada kita yang mereka yang mengamalkan kejahatan sihir dan hasad, mereka akan dimasukkan ke dalam al-Falaq itu. Kerana Allah adalah Tuhan kepada al-Falaq itu.

Kenapakah Allah menggunakan perkataan قُلْ di awal surah ini? Ianya kerana Allah nak kita iklankan kelemahan kita dengan lidah kita sendiri. Allah nak kita merendahkan diri. Allah nak kita berdoa dengan zahir kepadaNya. Allah hendak kita buang segala ketinggian diri kita dan merendahkan diri kita di hadapanNya. Buang semua ego kita dengan mengatakan dengan jahar yang kita memerlukan pertolongan dari Allah. Jangan sombong untuk meminta kepada Allah. Allah nak kita ikhlas kepadaNya. Dan bukankah surah sebelum ini adalah al-Ikhlas?

Apabila kita kata seperti yang Allah suruh – قُلْ – ini menunjukkan kita taat kepada suruhan Allah. Allah suruh kita doa dan kita terus doa. Bukankah doa akan makbul apabila kita taat kepada Allah?


 

Ayat 2:

113:2

“Dari keburukan makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;

Perkataan شَرِّ digunakan untuk jenis keburukan yang dikenali okeh semua orang. Kerana ada perkara yang setengah orang anggap buruk tapi setengah lagi tidak menganggapnya begitu. Tetapi kalau keburukan jenis شَرِّ  ini, semua manusia akan menilainya sebagai buruk. Ianya adalah keburukan yang boleh menyusahkan dan merosakkan dan menyebabkan kecederaan.

Kenapa Allah suruh kita berlindung dari ciptaanNya? Kerana semua yang Allah ciptakan ada potensi kepada kebaikan dan juga kepada keburukan. Semua kejadian ada kemungkinan boleh menyebabkan keburukan. Termasuk juga diri manusia. Allah telah berfirman dalam Syams:8

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –

Sebab itu ada manusia, ada kala baik dan ada kalanya dia jadi jahat. Orang yang sama, tapi kejap baik, kejap tidak. Kerana setiap makhluk tidak ada yang sempurna. Matahari, air dan macam-macam. Matahari memberi kehidupan kepada kita dengan menyebabkan tanaman boleh tumbuh, tapi kalau panas sangat, sampai boleh mematikan tumbuh-tumbuhan itu; air sangat berharga, tapi kalau banyak sangat seperti banjir, boleh membunuh; api digunakan untuk cahaya dan untuk memasak, tapi kalau tidak terkawal, boleh membakar rumah dan harta benda kita; Oleh itu, semua ciptaan ada boleh bawa kepada kebaikan dan ada masa, boleh memusnahkan.

Kita minta Allah selamatkan kita dari keburukan yang boleh datang dari makhluk ciptaan Allah. kita tidak boleh kawal keburukan yang boleh timbul dari perkara-perkara itu. Kita kadang-kadang takut nak buat sesuatu kerana takut dengan apa yang terjadi kepada kita dari keburukan makhluk. Takut nak cuba, sebagai contoh, takut nak kahwin, takut nak keluar rumah, takut untuk memandu kereta dan sebagainya. Inilah yang dinamakan fobia.

Tapi, takkan nak takut sentiasa. Kita ada kehidupan yang perlu dijalankan, kerja yang perlu dilakukan. Maka Allah ajar dalam ayat ini, jangan takut. Sebaliknya, minta perlindungan kepada Allah. Minta Dia selamatkan kita. Minta Dia lindung.

Ada beberapa keburukan yang boleh terjadi dari ciptaan Allah. Antaranya:

1. Yang pertama adalah dari keburukan nafsu kita sendiri. Kerana nafsu kita menyuruh kepada keburukan. Dalam Yusuf:53 Allah dah berfirman:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Nafsu adalah bahaya paling besar kepada kita, kerana:
1. Nafsu selalu membisikkan keburukan kepada kita. Ianya tidak akan jemu.
2. Nafsu sentiasa ada dengan kita. Ia tidak ke mana-mana, maka ia akan senang nak membisikkan keburukan ke dalam hati kita.
Maka, pertama sekali, kita minta Allah lindung kita dari nafsu jahat kita. Bukanlah semua nafsu itu buruk. Kerana nafsu itu adalah naluri manusia. Nafsu makan kena ada, nafsu kepada seks dan lain-lain. Cuma jangan memuaskan nafsu jahat itu dengan perkara yang salah.

2. Kedua, keburukan dari bisikan syaitan. Ini juga amat bahaya kerana syaitan kerja mereka adalah membisikkan keburukan kepada kita dan mereka tidak jemu-jemu untuk membisikkan keburukan kepada kita.

3. Ketiga, makhluk-makhluk yang lain yang kita takut kepada mereka. Ada macam-macam perkara buruk yang boleh timbul dari makhluk-makhluk itu. Terlalu banyak contoh yang kita boleh berikan, maka tidaklah perlu kita sebutkan di sini.

Maka, kalau kita ada takut dengan apa-apa, mintalah perlindungan kepada Allah. Kerana semuanya Allah yang cipta dan Allah ada kuasa ke atasnya.


 

Ayat 3:

113:3

“Dan dari bahaya kegelapan apabila ia masuk;

Perkara kedua yang kita perlukan perlindungan dari Allah adalah ‘Kegelapan Malam’. غَاسِقٍ lebih tepat lagi, adalah ‘awal malam’. Iaitu apabila hari semakin gelap.
Atau ia bermaksud ‘kegelapan bulan’. Dan bulan pun memang datang waktu malam.

Dalam ayat ini, kita diajar untuk meminta perlindungan dari keburukan malam kerana pada waktu malam, banyak perkara tersembunyi dari pancaindera kita. Kita tak tahu apa yang berlaku di depan dan belakang. Kita tak tahu apa yang boleh mengganggu kita. Kalau siang, kita masih boleh nampak dan mempertahankan diri kita. Tapi, apabila malam, kita tidak dapat berbuat apa-apa. Maka kita harap Allah selamatkan kita waktu malam.

Pada waktu malam, macam-macam boleh terjadi. Seperti yang kita tahu, jenayah banyak berlaku pada waktu malam. Binatang bisa pun banyak keluar pada waktu malam. Masalahnya, kita tak nampak mereka pada waktu malam. Malam amat berbeza dengan siang. Nak jalan pun bahaya. Maka jangan takut dengan malam tapi mintalah Allah lindungi kita. Itupun kalau kita perlu untuk melakukan aktiviti pada waktu malam kerana Nabi melarang kita berbuat aktiviti pada waktu malam.

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ ، وَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا ، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا ،  وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada di sore hari, maka tahanlah anak-anak kalian, karena sesungguhnya ketika itu setan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, karena sesungguhnya setan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula wadah minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekedar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.” (HR. Bukhari, no. 3280, Muslim, no. 2012)

Perkataan وَقَبَ pula bermaksud apabila sesuatu telah tetap. Ianya apabila malam sudah betul-betul gelap sampaikan tak nampak langsung.

وَقَبَ juga ada kaitan dengan bulan. Kalau bulan mengambang, air laut akan naik/pasang, bukan? Kerana ada daya tarikan bulan kepada air laut itu. Dan bukankah dalam badan kita pun ada air juga? Ada kajian sosiologi yang melaporkan bagaimana kejadian jenayah meningkat semasa bulan mengambang. Macam manusia jadi lain macam waktu bulan mengambang. Dalam bahasa Inggeris, bulan adalah ‘lunar’. Dan orang yang gila tak tentu arah, digelar ‘lunatic’. Mungkin itu ada kaitan dengan bulan dan malam dan bagaimana timbulnya keburukan pada waktu itu. Allahu a’lam.


 

Ayat 4:

 

113:4

“Dan dari kejahatan yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan

النَّفَّاثَاتِ bermaksud yang menghembus dan jenis yang ada air liur sikit – bukan hembus kosong sahaja. Ianya adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bersangatan. Maknanya, yang menghembus itu, menghembus dengan banyak, berkali-kali pula. Perkataan ini dalam bentuk muannas (feminine) sebab hendak menekankan mubalaghah pada perkataan itu. Kerana ia dalam bentuk jamak dan nafs memang dalam bentuk muannas. Maknanya, kita minta perlindungan daripada semua yang menghembus. Tapi, ini bukanlah hembus yang biasa, tapi hembusan yang dibuat dengan niat yang buruk – untuk melakukan sihir. Ada cara-cara yang dilakukan oleh ahli sihir untuk menjalankan sihir mereka dan salah satunya adalah dengan hembusan.

الْعُقَدِ bermaksud ‘simpulan ikatan’. Ahli sihir ada yang mengikat pada tali dan menghembus pada tali itu dengan tujuan melakukan sihir. Seperti yang telah dikenakan kepada Nabi Muhammad dalam hadis yang telah disampaikan sebelum ini. Oleh itu, perkataan النَّفَّاثَاتِ  merujuk kepada ahli sihir. Mereka baca jampi dan kemudian hembus pada simpulan.

Dari segi bahasa nahu, kenapa ada ال pada perkataan النَّفَّاثَاتِ? Kita tahu apabila digunakan ال, ianya adalah untuk menunjukkan sesuatu yang khusus. Kenapa begitu? Kerana النَّفَّاثَاتِ sudah pasti ada keburukan dalamnya, kalau tidak, dia tidak akan buat sihir itu. Tapi malam dan hasad tidak semestinya. Memang ada kemungkinan ada keburukan dalam malam dan hasad, tapi tidak semestinya ia pasti ada.


 

Ayat 5: Apakah sebab keburukan yang disebutkan sebelum ini? Hasad dengki. Kerana hasad dengkilah yang menyebabkan orang melakukan sihir kepada orang lain.

113:5

“Dan dari kejahatan yang dengki apabila ia dengki”.

حَسَدَ bermaksud dengki. Ianya adalah perasaan benci yang timbul dalam hati kerana Allah dah beri sesuatu kebaikan kepada seseorang. Boleh jadi apa-apa sahaja. Ada orang dapat kereta baru, anak, kejayaan dan sebagainya. Yang benci ini adalah jenis orang yang tak suka orang lain dapat kebaikan. Dan dia nak kebaikan itu ditarik daripada orang yang dapat kebaikan itu. Perasaan itu timbul dalam hati dan kemudian dikeluarkan dengan kata-kata, fitnah, atau apa-apa sahaja untuk merosakkan imej seseorang dan sebagainya. Dia bukan simpan sahaja perasaan itu tapi dia zahirkan perasaan itu ke dunia nyata. Perbuatan itu pula perbuatan yang boleh merosakkan seseorang. Contohnya, kalau ada rakan sekerja kita dapat naik pangkat, ada yang membuat fitnah yang tidak benar tentang orang itu, sampaikan pangkat orang itu boleh ditarik balik.

Banyak sangat perasaan hasad dalam masyarakat kita. Ianya timbul kerana tidak redha dengan apa yang Allah telah berikan kepada orang lain. Ada sahaja rasa tidak puas hati dalam hati manusia. Ianya sampai boleh menyebabkan kerosakan yang banyak. Kerosakan dalam keluarga, dalam masyarakat dan juga dalam negara.

Kita minta diselamatkan dari perbuatan orang yang hasad itu. Iaitu apabila dia menjalankan perasaan hasad itu. Kalau ada hasad sahaja, sudah ada bahaya. Kerana ayat ini kata: ‘apabila’ إِذَا dia berhasad, bukan ‘jika’ إن dia berhasad. Kerana kalau dia tidak melakukan sesuatu yang fizikal pun, dia boleh mencederakan juga orang lain. Macam apa yang terjadi dari ‘al-ain’ (evil eye). ‘Ain merupakan satu perkara yang agak asing dalam masyarakat kita walaupun ia sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting untuk diketahui kerana besarnya mudarat yang boleh tertimpa ke atas seseorang melalui ‘ain. Sebagai contoh, kita takut orang dengki dengan anak kita kalau orang nampak. Katakanlah kita dapat anak yang comel, ada orang yang dengki tengok anak itu. Dari kerana perasaan dengki itu, boleh menyebabkan anak itu jatuh sakit. Itulah sebabnya, tidak digalakkan memasukkan gambar anak-anak kecil kita dalam Facebook, contohnya, kerana kita tidak tahu apakah perasaan mereka yang melihat gambar-gambar itu. ‘Evil eye’ atau dalam bahasa Arab dipanggil al-Ain ini memang telah pernah terjadi di zaman Nabi dan ada disentuh dalam Quran pun. Iaitu dalam ayat Qalam:51

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ

Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: “Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila”.

Terdapat banyak hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai ‘ain dan ini  membuktikan kebenarannya dan kewujudannya. Ia mungkin kedengaran agak janggal bagaimana pandangan mata itu boleh merosakkan, memudaratkan atau menyebabkan seseorang itu sakit. Tetapi sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan perkara ghaib, kita wajib menerima perkara ini walaupun ia sukar diterima akal dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan ‘ain supaya tidak menimpa kita dan ‘ain kita tidak pula menimpa orang lain.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : Sesungguhnya pandangan mata itu adalah benar. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad]

Dari Ibn ‘Abbas radhiyallallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Pandangan mata itu adalah benar, jika ada satu perkara yang boleh mendahului qadar (ketetapan Allah), maka ‘ainlah yang boleh mendahuluinya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam melihat seorang hamba perempuan di rumahnya dan mukanya berubah warna kehitaman. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Berilah ia ruqyah (jampi), sesungguhnya dia telah ditimpa pandangan mata”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim].

Dalam satu hadis juga ada menceritakan kisah seorang Sahabat yang bernama Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu seorang Sahabat yang lain yang bernama ‘Aamir bin Rabi’ah berjalan melewatinya yang sedang mandi. Apabila ‘Aamir ternampak kulit Sahl yang putih dan cantik itu, beliau terus berkata dengan penuh kagum : “Demi Allah, aku tidak pernah melihat (sesuatu) seperti yang aku nampak hari ini hatta tidak seperti kulit hamba perempuan!”. Lalu Sahl terus jatuh pengsan. Maka Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam datang kepada ‘Aamir dan dengan marah Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Untuk apa kamu hendak membunuh saudaramu? Apakah kamu tidak mendoakan keberkatan baginya? Mandilah untuk dia!”. [Diriwayatkan oleh al-Imam Malik; al-Arna-uth berkata : Perawinya semua dipercayai]

Tulisan yang bagus berkenaan al-ain ini boleh dibaca di sini.

Macam juga dengan keburukan yang lain yang kita tak nampak, orang yang hasad kepada kita akan melakukan sesuatu tanpa kita sedar. Maka kita minta perlindungan kepada Allah.

Kalau kita lihat, ayat مِن شَرِّ مَا خَلَقَ sudah pun merangkumi segala bentuk kejahatan. Ketiga-tiga perkara selepas itu boleh diletakkan di bawahnya. Tetapi kenapa Allah sebut satu persatu perkara-perkara itu? Kerana ianya adalah pengkhususan dari kejahatan. Ada banyak kejahatan, tetapi yang ketiga-tiga ini yang paling bahaya. Maka Allah suruh kita minta perlindungan yang khusus kepada ketiga-tiganya.

Ada hasad yang dibenarkan. Iaitu dalam perkara sedekah dan amalkan ilmu. Maknanya, bukanlah semua hasad tidak dibenarkan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak ada hasad kecuali dalam dua perkara: seorang lelaki yang diberikan ilmu oleh Allah tentang al-Qur’an sehingga dia pun membacanya sepanjang malam dan siang maka ada tetangganya yang mendengar hal itu lalu dia berkata, “Seandainya aku diberikan sebagaimana apa yang diberikan kepada si fulan niscaya aku akan beramal sebagaimana apa yang dia lakukan.” Dan seorang lelaki yang Allah berikan harta kepadanya maka dia pun menghabiskan harta itu di jalan yang benar kemudian ada orang yang berkata, “Seandainya aku diberikan sebagaimana apa yang diberikan kepada si fulan niscaya aku akan beramal sebagaimana apa yang dia lakukan.”.” (HR. Bukhari dalam Kitab Fadha’il al-Qur’an [5026])

Ini adalah dua jenis hasad yang dibenarkan dan digalakkan. Iaitu apabila kita lihat ada yang melakukan kebaikan, kita nak ikut seperti mereka juga. Bukannya kita harap semua kebaikan itu ditarik dari mereka, tapi kita nak jadi macam mereka juga.

Ada jenis hasad yang tak suka tengok lain jadi baik. Mereka nak terus buat salah. Apa kita kena buat? Terus buat apa yang kita kena buat sahaja. Jangan hirau mereka. Ini disebut oleh Allah dalam Baqarah:109

وَدَّ كَثيرٌ مِن أَهلِ الكِتابِ لَو يَرُدّونَكُم مِن بَعدِ إيمانِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِن عِندِ أَنفُسِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Mereka jenis itu tidak suka kalau kita jadi baik. Kerana kalau kita jadi baik, akan menyusahkan mereka untuk buat jahat pula. Bukan ahli Kitab sahaja begitu, orang Islam juga ada yang begitu juga. Sebagai contoh, kalau dulu kita pun nakal juga, bersama-sama kawan-kawan kita buat perkara tak elok. Tapi, lama kelamaan, Allah beri taufik kepada kita, maka kita tinggalkan perkara buruk itu. Bila jadi begitu, kawan-kawan yang bersama kita dulu buat onar itu, tentu tidak suka kerana dah tak boleh kawan dengan kita dah, dah tak boleh buat perkara nakal dah.

Kalau musuh Islam pun tidak suka kalau kita beriman dengan Islam. Mereka akan cuba bawa kita balik kepada keburukan. Mereka lakukan dengan berbagai-bagai cara. Antaranya, mereka akan sebarkan hiburan-hiburan yang melalaikan kepada anak-anak kita. Itu semua adalah konspirasi jahat mereka. Tapi Allah ajar dalam ayat ini supaya jangan takut dgn konspirasi mereka. Seperti yang diajar dalam ini, serahkan kepada Allah untuk menyelamatkan kita. Kita cuma perlu lakukan apa yang kita perlu lakukan, iaitu berbuat amal kebaikan. Jangan hiraukan tentang mereka.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya


Ref: UAI, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 113: al-Falaq. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah al-Falaq

  1. أم معاذ says:

    Assalamualaikum,
    Alhamdulillah, saya bersyukur dengan adanya blog ini yang memuatkan tafsir-tafsir dari kelas ayah aji. Saya baru jumpa blog ni, saya suka cara penyampaian ayah aji, semoga Allah membalas usaha-usaha beliau dan juga penulis blog ini dengan balasan yg terbaik.

    saya nak minta kebenaran untuk share ilmu disini dengan keluarga dan mereka-mereka yang saya kenal, ya?
    cuma kalau boleh saya nak tahu rujukan tafsir ni dari tafsir mana, ya?…kalau saya ditanya saya blh bg reference.

    barakallahu feekum

    • tafsirsunnah says:

      Terima kasih atas lawatan anda dan keinginan untuk menyebarkannya. Itulah harapan saya kepada pembaca blog ini.

      Berkenaan soalan anda, sumber rujukan tulisan dalam blog ini banyak. Buat masa ini:
      1. Ustaz Rosman dari Tok Bali, Kelantan
      2. Taimiyyah Zubair dari al-Huda foundation
      3. Nouman Ali Khan dari Bayyinah Instititute
      4. Syeikh Nasir Jangda dari Qalam Institute
      5. Ustaz Abu Ihsan dari Asas Training Center
      6. Ustaz Adli dari Yayasan Taalim, Taman Tun Dr. Ismail
      7. Ibn Kathir

      Setakat ini, itulah sumber utama penulisan blog ini.
      Sekurang-kurangnya, setiap posting akan ada tiga sumber yang akan saya ambil sebelum saya post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s