Tafsir Surah Muzzammil Ayat 1 – 12

Pengenalan

Banyak yang salah sebut nama surah ini. Ramai tidak perasan ada syaddah pada huruf ز dalam nama surah ini. Jadi ramai yang sebut nama surah ini ‘Muzammil’, padahal yang betulnya adalah ‘Muzzammil’.

Surah ini adalah surah Makkiah dan diturunkan di awal periode kenabian Nabi Muhammad.

Dalam surah ini, Nabi disuruh meninggalkan berselimut dan bangun menunaikan solat malam. Dalam surah Muddathir pula, baginda disuruh bangun untuk berdakwah.

Selepas isyak sahaja kita dah boleh solat malam. Bukan hanya sepertiga akhir malam sahaja. Bangun malam dinamakan ‘qiyamullail’. Kalau tidur dahulu dan kemudian bangun, itu dinamakan ‘tahajjud’.

Surah ini menceritakan kelebihan solat malam berbanding solat siang. Ia menganjurkan kita membanyakkan solat malam dan memperbanyakkan bacaan Quran di dalamnya.

Solat Malam ini wajib kepada Nabi Muhammad tetapi ianya sunat kepada kita, seperti yang disebut dalam Isra:79.

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Surah ini mengajar kita kadar berapa lama kena bangun mendirikan solat malam.


 

 

Ayat 1:

73:1
Sahih International

O you who wraps himself [in clothing],

Malay

Wahai orang yang berselimut!.

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ

Wahai orang yang berselimut!.

Yang dimaksudkan dengan ‘yang berselimut’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad. Ianya adalah panggilan yang manja dari Allah. Bangsa Arab suka memanggil seseorang dengan keadaan mereka waktu itu. Waktu itu Nabi sedang berselimut dan Allah panggil baginda dengan gelaran orang yang berselimut. Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad menjumpai Saidina Ali sedang baring di atas tanah sampaikan belakang beliau penuh dengan tanah. Nabi telah mengusap pasir dari belakang Saidina Ali dan memanggil beliau dengan panggilan ‘ya Aba Turab’ – Wahai Bapa Tanah. Saidina Ali sukakan gelaran itu sampaikan beliau suka kalau beliau dipanggil dengan gelaran itu kerana Nabi Muhammad yang telah memberikan gelaran itu kepadanya. Maka, kita kena tahu yang panggil Allah kepada Nabi ini adalah panggilan yang mesra. Dan Muzzammil adalah salah satu dari gelaran kepada Nabi Muhammad.

Manusia berselimut semasa takut, sejuk atau ketika sedang berehat. Manusia rasa selamat bila ada selimut. Mereka kalau hendak berehat, akan membalut diri. Walaupun waktu itu tidak berapa sejuk pun. Itu adalah sifat manusia. Atau ada yang menyorok bawah selimut kerana takut atau berasa tidak yakin.

Selepas Nabi menerima wahyu pertama dari Jibrail di Gua Hira’, baginda berasa amat takut dan baginda meminta Khadijah menyelimuti baginda. Itulah sebabnya Nabi Muhammad dipanggil dalam ayat ini sebagai seorang yang berselimut. Kerana baginda waktu itu dalam ketakutan. Maka Allah nak kata kepada Nabi: jangan takut.

Ataupun, baginda dikatakan berselimut kerana waktu itu baginda sedang berselimut kerana sedang tidur. Maknanya Allah memberi arahan kepada baginda supaya jangan terus tidur, dan ini bukanlah larangan kepada kita untuk berselimut semasa tidur. Waktu ayat ini diturunkan, samada Nabi sedang tidur atau baginda sedang berselimut. Ianya memberi isyarat bahawa baginda sudah tidak boleh bersedap-sedapan tidur sepanjang malam lagi. Sekarang baginda telah diangkat menjadi rasul, maka ada tanggungjawab yang baginda perlu lakukan.


 

 

Ayat 2:

73:2
Sahih International

Arise [to pray] the night, except for a little –

Malay

Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا

Berdirilah (untuk sembahyang) pada waktu malam, selain dari sedikit masa

Dari ayat ini, Nabi diperintahkan untuk meluang masa malam baginda untuk solat melainkan sedikit sahaja. Maknanya, tidur sedikit sahaja. Yang lainnya, bangun untuk solat.

Perkataan قُمِ digunakan yang bermaksud bangkit berdiri dari kedudukan apa sahaja. Samada dari keadaan baring, atau duduk. Dalam keadaan Nabi Muhammad, baginda sedang berselimut.

Perkataan قُمِ juga berkait dengan perbuatan ‘qiyam’ dalam solat. Waktu itu adalah waktu yang amat penting kerana itulah waktunya kita membaca ayat Quran dan mentaddabur ayat-ayat itu.

Apabila Nabi Muhammad diberikan tugas sebagai rasul, baginda rasa takut. Allah mengajar Nabi yang ketakutan itu boleh dihadapi dengan solat. Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang akan disebut selepas ini.


 

 

Ayat 3: Kadar berapa lama solat malam itu diberitahu dalam ayat ini.

 

73:3
Sahih International

Half of it – or subtract from it a little

Malay

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Solat malam itu dilakukan selama separuh malam atau boleh dikurangkan lagi sedikit. Ulama mengatakan boleh dikurangkan kepada 1/3 dari malam itu.


 

 

Ayat 4:

73:4
Sahih International

Or add to it, and recite the Qur’an with measured recitation.

Malay

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya;

Samada separuh malam, kurang sedikit dari separuh malam, atau lakukan lebih sedikit dari separuh malam. Ayat ini dan sebelumnya memberi kadar berapa lama masa solat malam itu. Samada separuh malam, lebih sedikit atau kurang sedikit. Maknanya, tanda aras yang digunakan adalah ‘separuh malam’. Kurang atau lebihkan sedikit dari separuh malam itu.

Ini maknanya Allah telah memberi kelapangan kepada manusia untuk memilih kadar lama mana untuk dia solat malam. Kerana setiap orang tahu kemampuan dirinya sendiri. Ada yang sanggup melakukan solat dengan banyak dan ada yang sanggup buat sedikit sahaja. Dan tidaklah setiap malam sama sahaja kekuatan sesorang itu untuk beribadat. Ada masanya dia rasa lemah atau sibuk dengan hal lain. Maka, dia boleh mengurangkan atau melebihkan waktu solat malam itu.

Dan tidaklah ditetapkan berapa lama masa dengan tepat untuk solat kerana susah nak agak berapa lama kita dah solat. Lebih-lebih lagi kalau zaman dahulu yang tidak ada jam.

Apakah yang dilakukan dalam solat malam itu?

 

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

Satu perkara penting dalam solat malam itu adalah membaca Quran. Allah tak suruh baca sahaja Quran itu tetapi Allah suruh baca dengan ‘tartil’. Apakah maksud ‘tartil’ itu? تَرْتِيلًا dari katadasar رتل yang bermaksud sesuatu yang tersusun dengan seimbang. Ianya adalah sesuatu yang disusun dengan cantik. Juga bermaksud sesuatu itu cantik dan indah.

Arahan untuk membaca Quran dengan ‘Tartil’ dalam ayat ini maksudnya membaca Qur’an dengan perlahan-lahan. Sebut satu persatu ayat Quran itu dengan jelas. Baca dengan indah dan cantik. Makhraj dan tajwid mestilah dijaga dengan baik. Berhenti dan menyambung bacaan pada tempat yang sepatutnya. Kerana kalau kita salah tempat berhenti, maka maksud bacaan itu boleh jadi tidak sesuai.

Oleh itu, bacalah Quran dalam solat malam itu dengan molek dan indah. Tapi bukanlah macam pertandingan musabaqah sekarang. Itu sebenarnya bukanlah tajwid tapi ianya adalah taranum dan sebenarnya diilham dari bunyi-bunyian muzik. Kerana raja-raja dulu suka dengar muzik dan apabila sampai Islam, sudah diberitahu yang muzik itu haram. Maka mereka telah menyusun bacaan Quran tapi dalam lagu muzik yang mereka biasa dengar. Jadi tidak perlu kita buat begitu. Dan kalau kita dengar musabaqah pun, ianya tidaklah memberi ketenangan melainkan menyebabkan kita rasa macam susah pula nak baca Quran. Ianya adalah bacaan Quran yang susah dan sudah kehilangan keindahan bacaan Quran itu sendiri. Tambahan pula, bacaan Quran bukanlah untuk dipertandingkan.

Dengan baca Quran dengan perlahan, ianya akan membantu kita tadabbur (memahami maksud) Quran. Yang paling penting bukan hanya membaca dengan indah, tapi membaca dengan pemahaman. Begitulah cara Nabi membaca Quran di dalam solat. Baginda akan memanjangkan bacaan Quran dalam solat. Baginda juga membaca satu persatu ayat Quran. Baginda menghayati apakah yang baginda bacakan. Apabila dibaca satu persatu, akan memudahkan kita memberi perhatian kepada apa yang kita baca. Pemahaman itu amat penting supaya kita dapat mengambil manfaat dari bacaan Quran itu. Kalau sampai kepada ayat yang mengagungkan Allah, kita rasakan dalam hati kita keagungan Allah. Bila sampai kepada ayat azab, ianya sepatutnya menakutkan kita. Apabila sampai kepada ayat hukum, maka kita fahamkan apakah hukum yang perlu kita perhatikan. Kita juga boleh berdoa dalam bacaan Quran itu. Apabila sampai kepada ayat tentang Syurga, kita boleh berdoa dalam hati supaya Allah memasukkan ke dalam Syurga. Sebaliknya, kalau ayat tentang azab, kita boleh berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari azab itu.

Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran. Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)

Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu: “Bagaimanakah cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran?” Anas menjawab: “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

– Ini mengajar kita yang Nabi telah memberi hak-hak ayat Quran itu. Baginda akan memanjangkan mana ayat yang perlu dipanjangkan. Maka, kena belajar tajwid untuk membaca dengan baik. Kena luang masa untuk belajar dan berlatih. Kalau anda sudah dewasa atau tua, ia bukanlah alasan untuk tidak belajar. Walau umur apa pun anda, anda masih kena belajar juga. Memang menyedihkan melihat banyak orang Melayu tak pandai baca Quran, lebih-lebih lagi kalau mereka sudah tua. Ini adalah kerana semasa mereka muda, mereka tak kisah dengan Quran. Kalau anda juga begitu, kenalah anda bayar kesilapan anda semasa muda dengan bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk belajar tajwid ini. Berilah nasihat kepada mereka yang masih muda untuk belajar tajwid dan baca Quran semasa mereka masih muda lagi. Ajarlah anak-anak anda cara membaca Quran dengan betul semasa mereka muda lagi.

Zaid bin Thabit telah menyebutkan sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi :-

“ان الله تعالي يحب أن يقرأ القرءان غضا كما أنزل”

“Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hambanya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan”

Kita takut kita baca Qur’an itu dengan salah sampaikan dilaknat okeh Quran itu sendiri. Seperti sabda Nabi :

رب قارئ القرءان والقرءان يلعنه

Ramai orang yang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatnya.

– Percubaan kita membaca Quran walaupun tidak betul lagi pun akan diberi pahala kerana usaha kita itu. Dan kerana untuk berlatih, mereka akan baca berulang-ulang. Dan setiap kali membacanya, pahala akan bertambah. Sebagaimana yang telah diberitahu oleh Nabi kepada kita:

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:

“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat).

Baginda membaca ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘ lalu berhenti.

Kemudian Baginda membaca ‘الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ‘ lalu berhenti.

Kemudian Baginda membaca ‘مَالِكِ يَوْمِ الدِّين‘.”

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

– Kita digalakkan berhenti selepas setiap ayat supaya kita dapat menghargai makna ayat itu. Tapi untuk menghargai nya, hendaklah kita faham apakah Tafsir ayat itu. Kalau tak faham, kita baca kosong sahaja. Ini memerlukan usaha dari kita untuk belajar.

Pembacaan Quran yang baik adalah amat berharga, sampaikan Nabi pun suka mendengar sahabat yang pandai membaca Quran.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:

Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku: “Bacakanlah Al-Quran untukku.”

Aku berkata: “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan? Padahal kepada tuan lah Al-Quran diturunkan.”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.”

Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا

(Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).

Kemudian Baginda bersabda: “Cukuplah sampai di sini.”

Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Maka, jangan baca Quran dengan kelam kabut. Jangan baca Quran macam baca puisi atau sajak. Kena ambil perhatian dengan apa yang kita bacakan. Bukan baca kerana hendak menunjuk kepada orang lain. Hati kita sepatutnya tersentuh dengan apa yang kita baca. Jangan nak cepat habis baca sahaja. Malangnya, ramai yang membaca Quran, nak cepatkan habis sahaja. Mereka nak kata mereka dah baca sehari satu juz, setengah juz dan sebagainya. Tapi mereka tak faham pun apa yang mereka baca.

Solat malam itu adalah waktu untuk mengadu kepada Allah atas kelemahan kita, masalah kita, harapan kita dan sebagainya. Tapi itu adalah komunikasi satu hala sahaja. Untuk menjadikannya dua hala, itulah sebabnya kita membaca ayat Quran dengan tartil supaya kita boleh mendengar apakah nasihat Allah kepada kita. Ianya adalah seperti Allah berkata-kata kepada kita, memberi nasihat kepada kita. Ia akan jadi komunikasi dua hala antara kita dan Allah.

Ayat ini menolak perbuatan mereka yang membaca Quran dengan laju dalam solat mereka. Mereka baca dengan laju sebab nak habiskan Quran sahaja. Tapi itu bukanlah apa yang dikehendaki oleh Allah. Tapi mereka yang tidak faham, tidak belajar tafsir Quran, menyangka yang kalau mereka baca dengan banyak dan laju, itu sudah baik. Sebab itulah ada sesetengah masjid yang buat rekod dunia membaca Quran dalam Solat Terawih. Mereka buat 20 rakaat, tapi mereka buat dengan kelam kabut kerana hendak menghabiskan solat itu dengan cepat. Ini adalah salah.


 

 

Ayat 5: Kenapa Nabi disuruh baca Qur’an dalam solat malam itu dengan tartil dan menghayati ayat-ayat Quran itu?

73:5
Sahih International

Indeed, We will cast upon you a heavy word.

Malay

(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Sesungguhnya Kami akan memberikan kepadamu wahyu yang berat

Solat Malam itu adalah latihan kepada para pendakwah. Ada beberapa maksud ‘berat’ di dalam ayat ini.

1. Berat untuk menyampaikannya kepada manusia. Kerana ianya mengajak manusia kepada meninggalkan nafsu mereka yang menyuruh mereka kepada keburukan. Para pendakwah akan ditentang, termasuklah baginda. Maka baginda diberikan persediaan dengan mendirikan solat pada waktu yang lama di malam hari. Baginda kena meninggalkan kesenangan hidup baginda dan rehat baginda, supaya baginda dapat bersedia menerima tugas yang berat itu. Bagaimana mana pula solat boleh membantu baginda?

Tugas Nabi menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia lebih-lebih lagi kepada musyrikin Mekah adalah amat berat. Baginda akan mendapat tentangan yang amat banyak. Baginda akan menghabiskan waktu di siang hari berdakwah dan baginda memerlukan tenaga dan daya juang yang tinggi. Dengan melakukan solat malam, ianya akan memberi ‘tenaga’ kepada baginda. Mungkin akal kita merasakan macam tidak kena sahaja kenapa baginda kena solat malam dalam kadar yang lama. Akal kita mungkin berkata yang kalau siang dah kena kerja berat, maka malam kenalah banyak rehat, bukan? Tapi Allah telah menjadikan solat itu sebagai satu aktiviti yang memberi tenaga rupanya. Begitulah juga kebaikan dan kelebihan solat kepada kita pun. Ianya adalah satu rahmat kepada kita.

Ianya adalah rahmat kepada kita kerana solat malam adalah senjata seorang pendakwah. Kerana ia adalah tali untuk mendekatkan seorang daie dengan Tuhannya. Kerana kalau kita berhubungan baik dengan seseorang, tentunya kita banyak berkomunikasi dengan orang itu, bukan? Kita selalu bercakap dengannya, mengadu hal kita kepadanya, bukan? Maka, itulah yang kita lakukan dengan Allah kalau kita melakukan solat malam. Kita merayu kepada Allah, berhubung dengan Allah, mendengar apakah perintah Allah. Kerana dalam solat itu, kita mentaddabur ayat-ayat suci Quran.

2. Wahyu itu berat bagi yang ragu kepadanya dan tidak beriman kepadanya. Mereka tidak rela melakukan amal ibadat dan pengorbanan dalam Islam. Mereka akan menolak dengan hati dan dengan fizikal mereka. Mereka nampak berat sangat apa yang disuruh dan yang dilarang dalam agama ini.

3. Atau berat waktu turunnya wahyu itu kerana kebesarannya. Banyak hadis-hadis yang menunjukkan bagaimana susahnya keadaan Nabi semasa menerima wahyu itu.

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ صَالِحِ بْنِ كَيْسَانَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ حَدَّثَنِي سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ السَّاعِدِيُّ، أَنَّهُ رَأَى مَرْوَانَ بْنَ الْحَكَمِ فِي الْمَسْجِدِ، فَأَقْبَلْتُ حَتَّى جَلَسْتُ إِلَى جَنْبِهِ، فَأَخْبَرَنَا أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمْلَى عَلَيْهِ لاَ يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَجَاءَهُ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَهْوَ يُمِلُّهَا عَلَىَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَاللَّهِ لَوْ أَسْتَطِيعُ الْجِهَادَ لَجَاهَدْتُ ـ وَكَانَ أَعْمَى ـ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صلى الله عليه وسلم وَفَخِذُهُ عَلَى فَخِذِي، فَثَقُلَتْ عَلَىَّ حَتَّى خِفْتُ أَنْ تُرَضَّ فَخِذِي، ثُمَّ سُرِّيَ عَنْهُ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ ‏{‏غَيْرَ أُولِي الضَّرَرِ‏}‏

Bahawa Nabi (ﷺ) bersabda kepadanya: “Tidaklah sama antara orang-orang mukmin yang duduk (di rumah) dan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah.” Zaid berkata: Ibn Um Maktum datang ketika Rasulullah (ﷺ) telah membacakan kepada saya dan dia berkata, dan dia adalah seorang yang buta “Wahai Rasulullah, Demi Allah, jika saya mempunyai kuasa untuk melawan (di jalan Allah), saya akan pergi,” Maka Allah mewahyukan kepada Rasul sambil pahanya berada di atas pahaku, dan pahanya menjadi begitu berat yang saya takut mungkin patah paha saya. Kemudian keadaan Nabi (ﷺ) begitu berlalu dan Allah menurunkan: – “Kecuali orang-orang yang kurang upaya (oleh kecederaan atau buta atau lumpuh dan lain-lain). Sahih Bukhari.

Ada lagi hadis bagaimana susahnya keadaan baginda semasa menerima wahyu.

أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ أَنْبَأَنَا سُفْيَانُ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ سَأَلَ الْحَارِثُ بْنُ هِشَامٍ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْىُ قَالَ ‏ “‏ فِي مِثْلِ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ فَيَفْصِمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَىَّ وَأَحْيَانًا يَأْتِينِي فِي مِثْلِ صُورَةِ الْفَتَى فَيَنْبِذُهُ إِلَىَّ ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Ishaq bin Ibrahim dia berkata; telah memberitakan kepada kami Sufyan dari Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari Aisyah dia berkata; “Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam; Bagaimanakah wahyu datang kepada engkau? ‘ Rasulullah Shallallallahu’alaihi wasallam bersabda: ‘Seperti suara lonceng, lalu wahyu terputus dariku dan aku telah hafal (wahyu tersebut), dan keadaan seperti itu yang paling berat kurasakan. Kadang-datang kepadaku dalam bentuk seorang pemuda, lalu ia memberikan wahyu kepadaku’.” Sunan Nasa’i

Diriwayatkan daripada Aisyah, Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan kepadamu? Rasulullah SAW menjawab: “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi loceng. Daripada pelbagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang selepas aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemuiku dalam keadaan seorang lelaki dan berbicara kepadaku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah menambah: Ketika Nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukahri)

أخبرنا عمرو بن يزيد قال ثنا سيف بن عبيد الله قال ثنا سوار عن سعيد عن قتادة عن الحسن عن حطان بن عبد الله عن عبادة بن الصامت قال كان نبي الله إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الْوَحْىُ كُرِبَ لِذَلِكَ وَتَرَبَّدَ لَهُ

Dari ‘Ubadah bin Ash Shamit Radhiyallahu’anhu, dia berkata: “adalah Nabi Muhammad Sholallahu Alaihi Wasalam apabila wahyu sedang turun kepadanya, beliau kesusahan karenanya dan wajahnya berubah menjadi ke hitam-hitaman”.(An-Nasai’)

Dalam Hashr:21 pun Allah sudah memberitahu betapa beratnya Quran itu, sampaikan kalau diturunkan kepada gunung, gunung itu akan hancur:

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

4. Ianya akan menjadi pahala yang berat di akhirat kelak kalau diamalkan dan dijaga. Ini menunjukkan kepada kita bahawa menerima dan menjalankan kewajipan wahyu itu adalah sukar. Tetapi, kalau kita sanggup melakukan amal yang payah di dunia, ianya akan menjadi timbangan yang berat di akhirat kelak.

5. Ianya adalah firman Allah, bukan kata-kata manusia biasa, maka sebab itulah ianya amat berat. Tetapi kepada orang mukmin, ianya akan mudah sahaja. Seperti Allah sebut dalam Qamar: 40

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Jadi walaupun firman Allah itu adalah berat, tapi kepada orang mukmin, ianya ringan sahaja. Jadi, adakah kita rasa berat dengan suruhan dan larangan dalam Quran ini atau kita rasa berat? Kalau kita rasa berat, maka itu menunjukkan ada masalah dengan iman kita.


 

 

Ayat 6: Kenapa Solat Malam itu penting dan berkesan?

73:6
Sahih International

Indeed, the hours of the night are more effective for concurrence [of heart and tongue] and more suitable for words.

Malay

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا

Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

نَاشِئَةَ اللَّيْلِ bermaksud mana-mana waktu dari malam. نَاشِئَةَ asalnya bermaksud ‘keluar’, macam benih yang keluar dari tanah. Oleh itu, perkataan نَاشِئَةَ bermaksud bangun selepas tidur kerana ianya seperti pokok yang keluar dari tanah. Ianya bermaksud mana-mana dari bahagian malam tapi ada juga yang kata waktu selepas waktu isyak. Ada yang kata waktu sepertiga malam yang terakhir. Allahu a’lam.

أَشَدُّ وَطْئًا bermaksud lebih efektif. وَطْئًا asalnya bermaksud ‘memijak-mijak tanah’. Juga bermaksud kesusahan dalam hidup. Dalam ayat ini, ia membawa maksud yang solat waktu malam adalah lebih berkesan untuk memijak-mijak nafsu kita. Ianya adalah latihan untuk merendahkan nafsu kita. Kerana kita berlatih melawan nafsu kita yang waktu itu mahu tidur dengan nyenyak. Seperti yang disebut sebelum ini, ia juga bermaksud ‘susah’. Oleh itu, ia membawa maksud, ianya lebih susah untuk solat malam kalau dibandingkan dengan solat waktu siang. Dan kerana susahnya, maka ia mempunyai kelebihan yang lebih dan memberi pahala yang lebih banyak.

Kenapa waktu malam lebih berkesan? Kerana waktu malam adalah waktu paling kuat tautan antara hati dan lidah. Lidah dan hati menjadi seiring. Tidak ada gangguan lain, maka kita lebih memberi tumpuan kepada ibadat kita. Bandingkan dengan waktu siang yang menyibukkan kita dengan banyak hal. Nak solat, ada kerja, ada orang yang panggil kita, telefon kita berbunyi dan sebagainya. Jadi tidak dapat nak tumpu sangat solat waktu siang. Kalau solat malam, ianya menusup hati sampai kita boleh menangis kerana hati lebih terpaut dengan apa yang kita baca. Malangnya sekarang malam kita pun dah macam-macam hal yang boleh melekakan kita. Sebagai contoh, ramai yang lebih suka tengok bola dan tengok tv dari melakukan ibadat malam. Itulah untungnya kehidupan dulu, mereka tidak ada aktiviti malam yang mereka boleh lakukan, maka mereka boleh tumpukan perhatian kepada ibadat waktu malam.

وَأَقْوَمُ قِيلً bermaksud ‘bacaan yang lebih baik’. Bila kita baca Quran waktu malam, kita akan lebih faham dengan apa yang kita baca, sebab kurang gangguan. Kita boleh dengar baik-baik sebab malam itu lebih tenang. Kita baca dengan lebih tumpuan dan kurang salah dari segi bacaan.

Ia juga adalah bacaan yang lebih ikhlas. Kerana kalau siang, ada orang yang mungkin dengar dan mungkin kita nak mereka dengar bacaan kita kerana kita sukakan pujian orang. Tapi kalau malam, tidak ada sesiapa yang boleh beri pujian kepada kita. Maka, kita tidak mengharapkan pujian sesiapa pun waktu itu melainkan Allah sahaja.

قِيلً juga boleh bermaksud ‘doa’. Maknanya, orang yang berdoa waktu malam akan lebih makbul doa mereka. Nabi Muhammad telah memberitahu kita yang Allah memakbulkan doa mereka yang berdoa waktu sepertiga dari malam.

١٠٧٧ – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ وَأَبِي عَبْدِ اللَّهِ الْأَغَرِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
1077. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Ibnu Syihab dari Abu Salamah dan Abu ‘Abdullah Al Aghor dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Rabb Tabaaraka wa Ta’ala kita turun di setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir dan berfirman: “Siapa yang berdo’a kepadaKu pasti Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepadaKu pasti Aku penuhi dan siapa yang memohon ampun kepadaKu pasti Aku ampuni”. Sahih Bukhari.

Akhir sekali, waktu itu adalah waktu yang amat sesuai untuk melatih diri kita. Nabi melatih sahabat untuk bangun malam supaya mereka semua dapat berjaga-jaga jikalau ada apa-apa keperluan, seperti mempertahankan kawasan mereka dari serangan musuh. Kadang-kadang kita diserang di awal waktu pagi ataupun tengah malam. Maka, kalau kita dah biasa bangun dan berjaga malam, maka kita tidak ada masalah. Pernah kedengaran seperti Madinah diserang musuh. Sebelum sempat para sahabat buat apa-apa, baginda sudah pergi ke tempat bunyi itu.


 

 

Ayat 7: Bagaimana pula dengan siang? Apakah beza siang dan malam?

73:7
Sahih International

Indeed, for you by day is prolonged occupation.

Malay

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang;

إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا

sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

سَبْحًا bermaksud bergerak dengan laju di lautan atau di udara. Kalau di lautan, ianya bermakna ‘berenang’. Dari sini, ada beberapa pemahaman yang kita boleh ambil dari maksud ayat ini:

1. Maknanya pada waktu siang, kita sibuk ke sana ke mari – seperti ‘berenang’ ke sana dan ke sini. Kita berpindah dari satu perkara ke perkara yang berlainan – dari hal keluarga, hal kerja, hal kawan-kawan dan kejiranan dan sebagainya. Macam kalau kita sedang berenang, kita kena terus berenang. Pada siang hari juga, kita melayan keinginan nafsu kita yang macam-macam. Oleh kerana pada waktu siang kita sibuk, maka pada waktu malam, sibukkanlah pula diri kita dengan solat dan ibadat.

2. Banyak perkara sunat boleh juga dibuat di siang hari kerana waktunya yang panjang. Malam khususkan untuk solat tapi pada waktu siang, banyakkan dengan tasbih. Itulah kaitan perkataan سَبْحًا dalam ayat ini. Kerana perkataan ‘tasbih’ datang dari katadasar yang sama dengan سَبْحًا. Semasa kita menjalani kehidupan dunia sepanang hari, jangan lupa untuk berzikir kepada Allah.

3. Allah memberitahu kita bahawa kita ada waktu yang panjang di siang hari. Maka kita boleh tidur di siang hari, dan khususkan malam untuk beribadat. Sebab itu, ada orang yang mengambil sedikit waktu untuk tidur di siang hari – waktu itu dinamakan Qailullah.

Ayat ini turun sebelum isra mi’raj dan waktu itu, solat lima waktu tidak diwajibkan lagi. Solat yang wajib waktu itu adalah solat malam. Selama setahun Nabi dan para sahabat mengamalkan solat malam sepanjang malam. Sampai bengkak-bengkak tumit dan kaki mereka. Bila dah turun ayat فاقرءوا ما تيسر منه, maka diringankan solat malam itu menjadi sunat, maka barulah mereka berhenti dari melakukan solat malam sepanjang malam.

Allah beri keringanan dalam ibadat kerana Allah tahu yang manusia tak mampu nak buat secara berterusan. Kenapa Allah tak bagi kewajipan yang ringan terus sedangkan Allah tahu kekuatan dan kelemahan manusia? Allah tidak terus buat begitu supaya manusia tahu yang kehendakNya lebih lagi dari apa yang manusia mampu lakukan. Kerana apa yang Allah beri nikmat kepada kita itu jauh lebih baik dari apa yang kita boleh balas dengan ibadat. Bayangkan, kalau kita nak balas nikmat satu mata pun, tidak akan mampu kita membalasnya walau kita beribadat sepanjang masa.


 

Ayat 8: Apa yang kita kena lakukan dalam solat malam itu?

73:8
Sahih International

And remember the name of your Lord and devote yourself to Him with [complete] devotion.

Malay

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ

Dan ingatlah nama Tuhanmu

1. Apabila memulakan solat malam itu, sebutlah nama Allah banyak-banyak. Ini kerana topik surah ini adalah tentang Solat Malam.

2. Dalam kehidupan kita sepanjang hari pun, kenalah ingat kepada Allah sentiasa. Ini kalau kita mengambil sambungan dari ayat sebelum ini. Sebelum ini disebut bagaimana kita ada banyak urusan di siang hari. Dan sekarang Allah mengingatkan kita untuk menyebut namaNya. Maka, ianya adalah isyarat – walaupun kita sibuk dengan hal dunia, jangan lupa mengingatiNya.

 

وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

serta tumpukanlah kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

وَتَبَتَّلْ dari katadasar بتل yang bermaksud potong sesuatu dan asingkan dari yang lain. Ayat ini bermaksud, diri asingkan diri kita dari kesibukan dunia dan dekatkan diri kita dengan Allah pada waktu solat malam itu.

Bukanlah ini bermaksud asingkan terus dari manusia lain. Kita kena ingat ada hak orang lain ke atas kita – isteri kita, anak kita, keluarga kita ada hak ke atas kita. Cuma malam sahaja kita beri hak Allah ke atas kita. Iaitu hak Allah atas tanggungjawab menghambakan diri kepadaNya.

Dalam kita melakukan ibadat, kita kena ikut sunnah Nabi. Jangan kita buat berlebihan dalam beribadat kepadaNya. Nabi telah bersabda:

Anas bin Malik Radhiyallahu anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تُشَدِّدُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَيُشَدِّدُ اللهُ عَلَيْكُمْ فَإِنَّ قَوْمًا شَدَّدُوْا عَلَى أَنْفُسِهِمْ فَشَدَّدَ اللهُ عَلَيْهِمْ فَتِلْكَ بَقَايَاُهْم فِي الصَّوَامِعِ وَالدِّيَارِ وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوْهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ

“Janganlah kamu memberat-beratkan dirimu sendiri, sehingga Allah Azza wa Jalla akan memberatkan dirimu. Sesungguhnya suatu kaum telah memberatkan diri mereka, lalu Allah Azza wa Jalla memberatkan mereka. Sisa-sisa mereka masih dapat kamu saksikan dalam biara-biara dan rumah-rumah peribadatan, mereka mengada-adakan rahbaniyyah (ketuhanan/kerahiban) padahal Kami tidak mewajibkannya atas mereka.” Hadits riwayat Abu Dâwud dan dishahîhkan oleh al-Albâni dalam Silsilah Shahîhah (3124).

Pernah ada tiga orang sahabat yang ingin mengetahui apakah ibadah Nabi di rumah. Mereka tidak bertemu dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas mereka bertanya kepada ‘Aisyah r.ah tentang ibadah baginda. Setelah diberitahukan, mereka merasa ibadah baginda itu hanya sedikit. Mereka berkata: “Dimanakah kedudukan kami dibanding dengan Nabi!? Padahal telah diampuni dosa-dosa baginda yang lalu maupun yang akan datang.”
Maka salah seorang dari mereka berkata: “Aku akan salat malam terus menerus tidak akan tidur.”
Yang lain berkata: “Aku akan puasa terus menerus tanpa berbuka.”
Dan yang lain berkata: “Aku tidak akan menikah selama-lamanya.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi mereka seraya mengatakan:

أَنْتُمُ الَّذِيْنَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللهِ إِنِّي لأَخْشَاكُمْ للهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ؛ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Kaliankah yang mengatakan begini dan begini?! Adapun diriku, demi Allah Azza wa Jalla , aku adalah orang yang paling takut dan paling takwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa aku juga berbuka, aku salat dan aku juga tidur serta aku menikahi wanita! Barangsiapa membenci sunnahku maka ia bukan termasuk golonganku.” Muttafaqun ‘alaihi.

Lihatlah bagaimana mengikut sunnah itulah agama. Dalam ibadat kita, jangan kita buat berlebih-lebihan sampai menyusahkan diri kita sendiri. Jangan terpedaya dengan gerakan Tarekat dan Sufi yang kononnya hendak mendekatkan diri dengan Allah, sampai guru mereka mengajar mereka amalan-amalan yang menyusahkan diri yang tidak diajar Nabi pun. Sudahlah mereka menyusahkan diri, mereka membelakangkan sunnah Nabi pula!


 

 

Ayat 9: Siapakah Allah?

73:9
Sahih International

[He is] the Lord of the East and the West; there is no deity except Him, so take Him as Disposer of [your] affairs.

Malay

Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

رَّبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat;

Menguasai ‘timur dan barat’ itu bermaksud, Allah menguasai segala-galanya. Maka, kalau Allah sahaja yang menguasai segala-galanya, maka minta kepadaNya sahaja. Jangan minta kepada selain dariNya, kerana selain dariNya tidak dapat memberikan kita apa-apa.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tiada ilah melainkan Dia;

Tidak ada Tuhan yang layak disembah, diibadati, ditaati dan diharapkan selain daripada Allah. Kita telah membincangkan dengan panjang lebar tentang konsep ini dalam tulisan-tulisan yang lain. Ianya bukan hanya mengatakan ‘tidak ada tuhan selain Allah’, tapi lebih lagi. Harap dapat dirujuk di tempat-tempat yang lain.

 

فَاتَّخِذْهُ وَكِيلًا

maka ambillah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Wakila adalah yang menguruskan semua hal dan keperluan kita. Yang boleh selesaikan masalah kita. Orang yang dipercayai oleh kita sepenuh-penuhnya.

Ayat ini mengajar kita untuk tawakal kepada Allah. Segala sesuatu yang berlaku hanya berlaku dengan izin Allah. Maknanya, kita tidak boleh bergantung kepada selain Allah. Kita tidak boleh berharap kepada manusia kerana manusia tidak mentadbir alam. Hanya Allah sahaja. Kepada diri kita pun tidak boleh harap.

Kita serahkan semuanya kepada Allah. Apabila kita sudah tawakal dan sudah serahkan segala urusan kita kepadaNya, kita terima sahaja apa yang berlaku. Kalau ada kata ‘kalau-kalau’. Bukankah kita selalu kata begini? – Kalaulah aku tahu nak jadi macam ini, tentu aku akan buat begitu begini. Ini adalah salah kerana kata ‘kalau’ itu dari syaitan. Syaitan kita menolak tawakal dan penyerahan kepada Allah. Syaitan nak suruh kita sangka yang kita ada usaha dalam mengubah takdir. Padahal, kita tidak mungkin boleh mengubah takdir kerana Allah dah atur semua sekali apa yang terjadi.

Ini bukanlah menidakkan usaha kita untuk mendapatkan sesuatu atau menghalang sesuatu dari terjadi. Usaha kena tetap dijalankan kerana Allah hendak melihat usaha kita. Tapi usaha kita itu tidak memberi ‘bekas’ kalau Allah tidak izinkan ia berlaku. Tapi, kalau kita ikhtiar, janganlah kita melakukan sesuatu yang di luar syarak. Sebagai contoh, ramai yang menyalahgunakan perkataan ‘ikhtiar’ ini dalam usaha mereka dalam perubatan. Mereka kata tidak salah kalau jumpa bomoh, jumpa pawang, pergi Darul Syifa’ dan sebagainya, kerana itu adalah ‘ikhtiar’. Kita tidak boleh menggunakan cara-cara yang di luar syarak. Kita kena usaha dalam lingkungan syarak dan kalau itu tidak berjaya, kita kena redha dengan apa yang berlaku.


 

 

Ayat 10: Sebelum ini adalah ayat-ayat tentang hubungan dan komunikasi dengan Allah. Sekarang Allah sentuh tentang komunikasi manusia dengan manusia pula.

73:10
Sahih International

And be patient over what they say and avoid them with gracious avoidance.

Malay

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka,

Allah memerintahkan Nabi bersabar dengan apa yang dikatakan oleh kaumnya yang menentang. Mereka kata baginda menipu, mereka kutuk baginda, tohmah baginda dan sebagainya. Ianya bukan mudah untuk menadah telinga mendengar kata-kata mereka tanpa melakukan apa-apa. Kerana kalau orang cakap buruk dengan kita, selalunya kita akan terasa. Sampai sepanjang hari kita akan teringat. Sebagai contoh, ada orang tuduh kita kata sesuatu yang kita tidak kata, buat sesuatu yang kita tidak buat, sampai menuduh kita munafik, itu semua adalah perkara-perkara yang payah untuk untuk kita dengar.

Itu kalau kita, apatah lagi Nabi yang hatinya memang lebih sensitif. Tapi lihatlah bagaimana Allah suruh Nabi bersabar dgn kata-kata buruk kaumnya yang tentunya amat teruk sekali. Itu sebabnya Nabi disuruh solat malam supaya dapat membersihkan hati dan menenangkan dirinya. Segala luka pada hatinya hasil dari kata-kata kaumnya, diubati dengan solat malam itu.

Ini mengingatkan kita bahawa orang yang kita beri dakwah itu tidak semuanya akan menerima kata-kata kita. Ada sahaja yang akan menentang. Ada sahaja yang akan gelar kita dengan gelaran wahabi dan sebagainya.

 

وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Allah suruh Nabi Muhammad meninggalkan mereka. Tapi suruhan itu adalah untuk memulaukan mereka dengan ‘cara yang baik’. Maksudnya, jangan sampai memutuskan hubungan terus dengan mereka. Tidak ada celaan kita beri bersama pulauan itu. Jangan kita maki mereka sebelum kita tinggalkan mereka. Mereka pun tak tahu mereka kena pulau.

Kenapa disuruh tinggalkan mereka? Nabi disuruh meninggalkan mereka supaya baginda boleh beri tumpuan kepada orang mukmin. Ada ramai lagi orang mukmin yang mahu menerima dakwah dari baginda. Daripada melayan mereka yang memang menentang sahaja, baik tumpukan kepada mereka yang mahu menerima.

Bagaimana kalau kita kena fitnah atau ada yang tuduh kita dengan tuduhan tidak baik seperti menuduh kita munafik? Kita boleh tinggalkan mereka tanpa kita mencela mereka, tanpa kita memaki balik kepada mereka.

Maksud ‘meninggalkan’ mereka bukanlah bermaksud memutuskan langsung hubungan dengan mereka yang menentang, sampaikan tidak berdakwah lagi kepada mereka. Tapi ianya bermaksud berhenti dari berhubungan rapat dengan mereka, bercampur gaul dengan mereka dalam amalan salah mereka.


 

 

Ayat 11:

73:11
Sahih International

And leave Me with [the matter of] the deniers, those of ease [in life], and allow them respite a little.

Malay

Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

وَذَرْنِي

Dan biarkanlah Aku

Biarkan sahaja Allah untuk membalas kepada mereka. Tak perlu buat apa-apa kepada mereka. Serahkan sahaja kepada Allah untuk membalas kepada mereka.

Dalam ayat 9 tadi, kita sudah disuruh untuk bertawakal kepada Allah, serahkan urusan kita kepada Allah. Ini dikuatkan lagi dengan ayat ini.

 

وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ

orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang dalam kemewahan,

Biar sahaja Allah menguruskan dan membalas kepada mereka yang mendustakan itu.

Dalam potongan ayat ini, Allah menyebut orang-orang yang berada dalam kemewahan selepas menyebut mereka yang menentang. Ini meunjukkan bahawa orang-orang yang menentang itu selalunya golongan-golongan yang mewah. Bukanlah Islam menentang orang kaya. Tapi mereka yang kaya itu, selalunya tidak beriman. Sebab mereka sibuk dengan harta dan dunia. Padahal mereka sepatutnya lebih mudah untuk datang belajar dan berdakwah kerana mereka banyak duit. Sebab itu dituntut lebih lagi dari mereka kerana mereka telah diberikan dengan banyak kelebihan.

Yang menentang itu selalunya dari golongan yang berada, yang kaya dan berkuasa kerana agama yang benar dan lurus itu akan menggugat kedudukan mereka. Mereka selalunya berjaya dan berkuasa di atas sistem yang tidak betul. Jadi, kalau ada yang datang  membawa sistem yang betul, tentu mereka akan menentang.

 

وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلًا

dan berilah tangguh kepada mereka sedikit masa;

Maksud ‘beri tangguh’ itu adalah – Jangan lawan mereka. Biar Allah sahaja yang akan uruskan mereka. Kita hanya bersabar sahaja.

‘Beri tangguh’ itu juga bermaksud jangan doakan keburukan untuk mereka. Jangan doakan kebinasaan untuk mereka.

Kenapa? Supaya mereka dapat masa dan diberi peluang untuk masuk Islam. Ada ramai yang lambat masuk Islam. Seperti Saidina Umar, Khalid al Walid, Abu Sufyan dan ramai lagi. Kalaulah Nabi doakan kehancuran untuk mereka dari awal lagi, tentu mereka tidak ada peluang untuk masuk Islam dan itu adalah merugikan sekali.

Ini mengajar kita yang mungkin ada yang menolak dakwah kita pada mulanya. Tetapi jangan kita terus kata yang mereka tidak ada harapan langsung. Kerana mungkin lama kelamaan mereka akan diberikan taufik oleh Allah dan mereka mahu pula beriman.

Atau, ayat ini juga boleh bermaksud – biarkan mereka, tak lama lagi mereka akan dapat balasan azab untuk mereka.


 

 

Ayat 12: Ini adalah ayat ancaman dari Allah. Apakah yang Allah akan lakukan kepada mereka? Allah membayangkan apakah yang dilakukan kepada mereka.

73:12
Sahih International

Indeed, with Us [for them] are shackles and burning fire

Malay

Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

إِنَّ لَدَيْنَا أَنكَالًا وَجَحِيمًا

Kerana sesungguhnya di sisi Kami, belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

أَنكَالًا adalah belenggu yang digunakan untuk membelenggu binatang. Ianya adalah belenggu yang lebih kuat dari yang digunakan untuk manusia. Kerana binatang lebih kuat.

Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan api yang menjulang-julang. Itulah balasan bagi mereka yang menentang dan mendustakan Nabi dan agama.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UAd, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 073: Muzzammil. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s