Tafsir Surah Balad Ayat 1 – 10 (Pilihan yang Allah berikan)

Pengenalan:

Surah ini diturunkan di Mekah.

Bahaya cinta dunia telah disebut dalam Surah al-Fajr. Musyrikin Mekah itu terhalang dari menerima ajakan tauhid Nabi Muhammad kerana mereka terhijab dari kebenaran dek kerana mereka lihat Nabi Muhammad itu miskin, maka mereka tak rela nak turun darjat kerana nak jaga kedudukan mereka. Mereka rasa kalau mereka ikut Nabi Muhammad, mereka akan jadi hina, jadi miskin dan mereka tak sanggup. Maka mereka mati kufur seperti juga Abu Talib yang sedar kebenaran Islam, tapi tak sanggup nak masuk Islam. Sebegitu juga Raja Rom waktu itu yang tahu Islam itu benar, Nabi Muhammad itu Rasulullah, tapi dia tak sanggup nak jatuh pangkat dari jadi Raja Rom dan masuk Islam. Dia juga mati kufur dan kisah beliau ada disebut dalam Sahih Bukhari. Begitulah kalau tidak ada sifat sanggup berkorban, tidak akan masuk syurga. Jadi ada yang degil untuk terima kebenaran Islam kerana hendak jaga kedudukan mereka dalam dunia. Seolah-olah nilai tauhid itu lebih rendah dari kedudukan mereka. Mereka lebihkan dunia lagi dari mendapat tauhid.

Antara sifat cinta dunia adalah tidak infak kepada agama. Dalam surah ini pula, Allah sebut walaupun manusia tidak infak untuk agama, mereka tetap akan infak untuk perkara yang sia-sia juga. Bukan sahaja infak ke tempat yang salah tidak mendapat pahala, malah ia boleh dapat dosa pula. Mereka kedekut untuk infak pada agama, tapi dapat beri pula untuk benda yang lain. Mereka akan mendapat kerugian dan dosa sahaja kerana infak itu kena pada tempat yang betul, dan kena ikhlas untuk Allah, barulah boleh dapat pahala.


Ayat 1: Ini adalah sumpah Allah yang pertama.

لا أُقسِمُ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

I swear by this city, Makkah –

Malay

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan negeri Mekah. Perkataan لا bermaksud ‘tidak’. Tetapi apabila diletakkan sebelum satu sumpah seperti dalam ayat ini, ianya hendak menekankan (tahkik) sumpah itu; ada juga pendapat yang mengatakan لا itu adalah untuk menidakkan fahaman salah Musyrikin Mekah dalam beragama. Ada ketikanya, bila Allah bersumpah, Dia tidak terus guna perkataan ‘uqsimu’, tapi Dia akan mulakan dengan perkataan ‘la’. Penggunaan ‘la’ ini tidaklah sama dengan penggunaan biasa. Ianya kerana Allah hendak menidakkan pemahaman orang kafir. Allah hendak beritahu yang benar. Dengan menggunakan perkataan ‘la’, Allah hendak menarik perhatian pembaca kepada ayat Quran ini.

Perkataan البَلَدِ dalam ayat ini bermaksud Negeri Mekah. Quran tidak sebut ‘Mekah’ dalam ayat ini. Tapi apabila ada alif lam sebelum perkataan ‘balad’ itu, ia bermaksud negeri yang sudah dikenali, dan dalam konteks ini, ulama tafsir sepakat bahawa negeri yang dimaksudkan adalah Mekah. Allah cintakan Mekah dan kerana itulah Allah bersumpah dengan Negeri Mekah. Baitillah (Rumah Allah) berada di Mekah. Ianya adalah tempat yang amat istimewa. Ianya adalah tempat dibangkitkan Rasul dan Nabi yang terakhir dan di situlah juga diturunkan Quran yang Agung.

Mekah adalah satu negeri yang orang yang duduk di dalamnya susah kerana hendak mempertahankan agamanya. Ini adalah sebagai ujian dari Allah. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW. Ini hendak mengajar kita, bukan mudah untuk menegakkan dan mengamalkan agama. Maka, agama itu kena ada, bukan goyang kaki untuk mengamalkan agama. Bila pergi ke Mekah, kita akan ingat tentaang kesusahan yang dialami oleh para Nabi dan sahabat kita. Bayangkan 13 tahun Nabi jaja kalimah tauhid kepada kaumnya.

Dalam surah sebelum ini, Allah berkata tentang nafsu yang tenang. Dan bukankah apabila kita berada di Mekah, jiwa kita akan tenang? Ini adalah kerana Mekah adalah tempat yang paling tenang dalam dunia. Apabila kita pergi ke Mekah, seperti kita pulang ke tempat kita. Tanyalah kepada mereka yang telah pergi ke sana. Mereka yang telah pergi, akan teringin lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Mereka sentiasa rindu kepada Mekah.

Begitu juga, panggilan ‘jiwa yang tenang’ itu adalah ucapan kepada orang mukmin semasa mereka memakai pakaian ihram apabila menjalankan Umrah atau Haji. Ianya juga adalah pakaian yang sama kita pakai apabila kita mati nanti (kafan). Ini semua mengingatkan kita kepada mati dan kita amat berharap semoga kita mendapat ucapan yang baik dari malaikat semasa nyawa kita dicabut.

Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, Allah menaikkan martabat sesuatu yang digunakan sebagai sumpah itu. Dan memang Mekah adalah tempat yang penuh berkah. Nabi Ibrahim telah berdoa kepada Allah untuk memberhati negeri Mekah itu. Dan sampai sekarang, Mekah adalah tempat yang aman dan tidak ada orang yang kebuluran di Mekah. Makanan akan sentiasa sahaja ada di Mekah, dan semua orang boleh dapat makanan walaupun mereka tidak ada wang kerana akan ada sahaja orang yang memberi makan kepada orang lain.

Allah boleh bersumpah dengan apa sahaja. Tapi manusia tak boleh. Tak boleh kalau kita pula nak bersumpah dengan negeri Mekah.


 

Ayat 2: Ayat ini adalah penerangan (jumlah mu’taridah) kepada sumpah yang pertama. Nak lahirkan anak pun bukan senang. Selepas lahirkan susah pula untuk menjaga anak itu. Tanggungjawab yang tinggi. Emak dan ayah, dua-dua susah. Oleh itu, memang ada kesusahan dalam kehidupan. 

Untuk jadi manusia pun susah juga. Masa nak mula belajar berjalan pun susah, sebab jatuh dan bangun.

وَأَنتَ حِلٌّ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

And you, [O Muhammad], are free of restriction in this city –

Malay

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini,

 

Ayat ini menekankan bahawa Nabi Muhammad tinggal di negeri Mekah ini. Baginda bermukim di sana. Ayat pertama Allah bersumpah dengan ‘ketua segala negeri’ (Mekah) dan ayat kedua ini, Allah bersumpah dengan ‘penghulu segala Nabi’ (Nabi Muhammad).

Ada beberapa tafsir tentang apakah yang hendak ditekankan oleh Allah dalam ayat ke-2 ini. Perbezaan pendapat ini adalah kerana perbezaan penafsiran kalimah حِلٌّ dalam ayat ini.

Pendapat 1: Jika kita mengambil maksud perkataan حِلٌّ  sebagai ‘halal’, ia bermaksud: Engkau wahai Muhammad akan menjadi ‘halal’ di negeri ini. Maknanya Allah memberitahu kepada Nabi bahawa ada perancangan untuk membunuh baginda. Walaupun orang Arab memandang haram untuk membunuh kehidupan di Tanah Mekah, sampai binatang pun mereka tak buru di situ, tapi mereka akan melupakan pegangan mereka nanti untuk membunuh kamu – mereka meng’halal’kan darah kamu. Begitulah betapa mereka tidak sukakan Nabi. Padahal dulunya mereka sayang dan percaya kepada Nabi. Tapi apabila Nabi membawa akidah tauhid yang berlawanan dengan pemahaman mereka, mereka sanggup nak buruk baginda.

Pendapat 2: Allah menghalalkan kepada Nabi untuk menghukum orang kafir pada satu waktu di Mekah. Walaupun tempat itu adalah suci, tidak boleh menumpahkan darah, tapi akan dibenarkan kepada Nabi – tapi hanya pada satu waktu – iaitu semasa Pembukaan Mekah.

Nabi Muhammad pasti akan masuk ke dalam Mekah dengan cara aman. Memang baginda akan dihalau dari negeri Mekah ini, tapi baginda akan masuk dengan cara aman akhirnya. Iaitu semasa Nabi menakluk Mekah dan mengambilalih Kaabah dari Musyrikin Mekah. Surah ini adalah Surah Makkiyah, diwaktu Islam sedang lemah. Jadi ini bermakna, Allah menceritakan satu kejadian di masa depan, iaitu akan sampai satu masa nanti apabila Islam akan berkuasa di Mekah. Memang ada hadis yang mengatakan bahawa Nabi hanya dibenarkan buat perkara itu satu waktu sahaja. Dan selepas itu tidak boleh lagi dah.

٣٩٥٧ – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ شُرَحْبِيلَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ الْعَدَوِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِعَمْرِو بْنِ سَعِيدٍ وَهُوَ يَبْعَثُ الْبُعُوثَ إِلَى مَكَّةَ ائْذَنْ لِي أَيُّهَا الْأَمِيرُ أُحَدِّثْكَ قَوْلًا قَامَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَدَ يَوْمَ الْفَتْحِ سَمِعَتْهُ أُذُنَايَ وَوَعَاهُ قَلْبِي وَأَبْصَرَتْهُ عَيْنَايَ حِينَ تَكَلَّمَ بِهِ إِنَّهُ حَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنْ مَكَّةَ حَرَّمَهَا اللَّهُ وَلَمْ يُحَرِّمْهَا النَّاسُ لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْفِكَ بِهَا دَمًا وَلَا يَعْضِدَ بِهَا شَجَرًا فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ لِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا فَقُولُوا لَهُ إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ وَإِنَّمَا أَذِنَ لِي فِيهَا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ وَقَدْ عَادَتْ حُرْمَتُهَا الْيَوْمَ كَحُرْمَتِهَا بِالْأَمْسِ وَلْيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَقِيلَ لِأَبِي شُرَيْحٍ مَاذَا قَالَ لَكَ عَمْرٌو قَالَ قَالَ أَنَا أَعْلَمُ بِذَلِكَ مِنْكَ يَا أَبَا شُرَيْحٍ إِنَّ الْحَرَمَ لَا يُعِيذُ عَاصِيًا وَلَا فَارًّا بِدَمٍ وَلَا فَارًّا بِخَرْبَةٍ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْخَرْبَةُ الْبَلِيَّةُ

3957. Telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Syurahbil telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Al Maqburi dari Abu Syuraikh Al’Adawi, ia berkata kepada Amru bin Said yang ketika itu ia mengirim beberapa utusan ke Makkah; “Wahai Amir, izinkanlah aku mengajakmu bicara suatu hal yang akan diucapkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam besok pada penaklukan Makkah, yang kudengar dengan kedua telingaku dan diperhatikan oleh hatiku serta dilihat oleh kedua mataku ketika baginda mengucapkannya. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah lantas bersabda: “Sesungguhnya Makkah telah Allah sucikan dan manusia tidak mensucikannya sebelumnya, tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk menumpahkan darah di sana, tidak pula menebang pohon, kalaulah seorang berkilah bahawa Rasulullah pernah memberi keringanan untuk perang, katakan padanya: ‘Allah mengizinkan khusus untuk Rasul-Nya dan tidak mengizinkan untuk kalian, dan Allah pun mengizinkannya hanya beberapa saat ketika siang, dan kesuciannya telah kembali hari ini sebagaimana kesucian kelmarin, hendaklah yang menyaksikan menyampaikan yang tidak hadir.” Ditanyakan kepada Abu Syuraikh; “Apa yang Amru ucapkan kepadamu? Jawabnya; “Aku lebih tahu terhadapnya wahai Abu Syuraikh, sesungguhnya tanah haram tidak akan melindungi pelaku kemaksiatan dan tidak pula manusia yang lari menumpahkan darah dan tidak pula yang lari melakukan penghancuran-penghancuran.” Kata Abu Abdullah, makna Kharibah adalah bencana (kehancuran). Riwayat Bukhari.

Pendapat 3: حِلٌّ bermaksud ‘bermukim’. Iaitu apabila sampai ke sesuatu tempat untuk tinggal berterusan, kita berhenti dan memasang segala peralatan kita di situ. Ia bermaksud tinggal berterusan di sesuatu tempat. Dan memang Nabi membesar dan kebanyakan dari usia baginda adalah di Mekah.

Ini juga bermaksud, walaupun Nabi Muhammad akan dihalau daripada Mekah, tapi baginda akan datang semula ke Mekah. Allah memberi isyarat ini kepada Nabi dan memberi jaminan kepada Nabi bahawa baginda akan menguasai Mekah.

Pendapat 4: Allah memuliakan Mekah dengan kehadiran Nabi Muhammad di dalamnya. Kerana apabila kita bercakap tentang Mekah, kita tentu teringat yang ianya adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad. Sudahlah ianya tempat yang mulia, dimuliakan lagi dengan kehadiran Nabi di dalamnya.


 

Ayat 3: Ini adalah satu lagi sumpah.

وَوالِدٍ وَما وَلَدَ

Sahih International

And [by] the father and that which was born [of him],

Malay

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

 

Ada beberapa pendapat tentang maksud ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini:

1. Pendapat yang kuat mengatakan ‘bapa’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Ibrahim dan zuriatnya Nabi Ismail dan kemudian termasuklah Nabi Muhammad sendiri. Pendapat ini lebih kuat kerana dalam ayat sebelum ini, disebut tentang negeri Mekah dan Mekah itu kuat kaitannya dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Dan kepada bangsa Arab, apabila dikatakan ‘walid’, mereka akan teringat ‘datuk’ mereka iaitu Nabi Ibrahim. Dan mereka juga mengaku bahawa apa yang mereka lakukan adalah dari ajaran Nabi Ibrahim. Walaupun banyak yang sudah diubah dari ajaran baginda, tapi mereka masih mengaku mereka mengikut Nabi Ibrahim. Pendapat ini kata begini kerana ayat pertama memperkatakan tentang Mekah dan Nabi Ismail adalah lelaki pertama di Mekah.

Oleh itu, ayat ini menempelak Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad. Mengapakah mereka mahu menentang baginda sampai mahu membunuh baginda, padahal Nabi Muhammad membawa ajaran yang sama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sendiri? Mereka kata mereka mengikut agama Nabi Ibrahim, tapi apa yang mereka amalkan adalah jauh dari apa yang diajar oleh Nabi Ibrahim.

2. Ada juga pendapat lain yang tidak kurang kuatnya, yang mengatakan ‘bapa’ dalam ayat ini adalah Nabi Adam dan anak yang dimaksudkan adalah anak cucunya. Bermakna, apabila Allah bersumpah begini, menunjukkan kemuliaan anak Adam. Dan memang begitupun. Kita ini memang mulia, dan ada dalam ayat-ayat yang lain yang mengatakan demikian. Kita lebih mulia dari jin, tapi dalam Quran disebutkan ada manusia yang memuja jin. Padahal mereka itu rendah dari kita. Apabila yang rendah dipuja, naik tocanglah mereka. Kerana tidak faham dengan perkara inilah yang menyebabkan ramai yang takut dengan jin/hantu sedangkan mereka tidak boleh buat apa pun kepada kita. Tapi kalau kita takut, itulah yang menyebabkan mereka boleh kacau kita.

3. Ianya merujuk kepada semua bapa dan semua anak. Samada manusia atau pun binatang. Kerana ianya adalah sesuatu yang menakjubkan, bagaimana keturunan berlangsung dari seorang bapa kepada anaknya, dan anaknya pula nanti menjadi bapa pula kepada anaknya sendiri. Kejadian ini silih berganti sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Allah sebut tentang anak kerana untuk melahirkan anak itu, ibu dan bapa akan susah. Nak lahirkan susah, nak jaga dan besarkan anak itu pun susah juga. Dan jadi anak pun susah juga kerana nak membesar dari kecil akan susah – nak mula-mula belajar jalan pun susah juga. Allah hendak mengajar yang Allah sengaja ciptakan manusia hidup dalam susah, supaya dia boleh jadi biasa bersusah untuk Allah taala. Bukan manusia itu hidup senang sentiasa. Memang manusia akan sentiasa mengalami kesusahan. Dalam hidup nak cari makan pun susah juga, bukan senang.

Dan Allah uji manusia dengan kesusahan untuk menegakkan agama Allah dan mengamalkan agama Allah. Tapi susah semasa di dunia sahaja, nanti akan senang di akhirat. Kalau tidak susah untuk agama, mereka akan susah selepas mereka mati nanti – semasa dicabut nyawa pun susah, akan susah di barzakh, di Mahsyar dan di akhirat kelak kerana akan dimasukkan ke dalam neraka.

4. Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Ibnu Atiyyah, dari Syarik, dari Khasif, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: dan demi bapak dan anaknya. (Al-Balad: 3) Al-walid artinya orang yang beranak, dan wama walad artinya orang yang mandul tidak dapat beranak.

Jadi ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, tidak dapat dipastikan dengan terang siapakah ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini kerana tidak ada ال dalam perkataan والِدٍ dan وَلَدَ yang digunakan. Ianya dalam isim nakirah, oleh itu, ianya adalah dalam bentuk yang umum.


 

Ayat 4: Allah telah bersumpah dengan Negeri Mekah, Nabi Muhammad, bapa dan anak. Jadi apakah sumpah ini nak cerita? Sebab sumpah-sumpah itu adalah kerana hendak menceritakan sesuatu yang penting. Maka, kenapakah sumpah itu diutarakan? Apakah jawaabul qasm kepada qasm (sumpah) sebelum ini? Sumpah digunakan untuk menekankan kepada perkara yang penting. Maka, apakah perkara penting yang Allah hendak tekankan?

لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في كَبَدٍ

Sahih International

We have certainly created man into hardship.

Malay

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

 

Jangan kita faham dari pembacaan ayat ini yang Allah itu zalim, sampai nak jadikan kita hidup dalam susah pula. Allah senang sahaja nak jadikan manusia – kun fayakun, dan Allah boleh jadikan kita semuanya hidup dalam kesenangan. Dan Allah pernah buat kerana Allah dah pernah pun letakkan Nabi Adam dalam syurga. Allah boleh juga jadikan seluruh anak cucu Adam tinggal dalam syurga pun. Tapi Allah tidak hendak jadikan begitu. Kerana Allah jadikan dunia ini sebagai ujian untuk kita.

Tapi Allah telah menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan kesulitan dan risaukan tentang sesuatu. Dari bayi, dan berterusan sepanjang hidupnya. Di mana sahaja mereka berada, walau siapa pun mereka. Tentu ada kesusahan yang akan dialaminya. Lain orang lain perkara yang dia risaukan. Semua manusia akan ada kerisauan yang sentiasa difikirkannya. Ada yang berat dan ada yang ringan. Ada perkara yang merisaukan orang lain tapi tidak merisaukan kita dan begitu juga sebaliknya – perkara yang sama tapi kerisauan yang berbeza. Contohnya, orang miskin risaukan pasal makanan. Orang kaya mungkin tidak risau pasal makanan sebab mereka senang nak dapat makanan, tapi mereka risaukan pasal kesihatan pula kalau tak jaga makanan – sebab mereka dah ada darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sedangkan orang yang miskin boleh makan apa sahaja yang mereka hendak makan.

Kenapa Allah beri kesusahan kepada manusia? Semua itu adalah sebagai ujian kepada manusia. Allah beri ujian kesusahan kepada makhlukNya, supaya makhluk itu sedar yang tidak ada manusia yang selamat dari kesusahan. Selagi hidup di dunia, mereka akan berhadapan dengan kesusahan hidup di dunia. Dunia ini adalah pentas ujian. Hidup yang tidak ada kesusahan dan untuk menerima nikmat, hanya di syurga. Selagi tinggal di dunia, akan kena uji. Sebab dunia adalah tempat diuji. Oleh itu, kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga. Untuk dapat syurga, kena susah sikit di dunia. Kena susah sikit untuk dapat tempat di dalam syurga.

Oleh itu, kita kena sabar dengan kesusahan di dunia ini. Jangan lari dari kesusahan sampai kita melakukan dosa. Tidaklah kalau kita lari dari syariat Allah akan memudahkan kita. Ada orang yang kerana hendakkan kesenangan, mereka sanggup buat dosa dengan menipu dan menindas manusia lain. Mereka lari dari kesusahan yang kecil di dunia untuk mendapat kesusahan yang lebih besar di akhirat kelak.

Padahal, kalau kita mengikut suruhan Allah, lagi mudah dan akan lagi mendekatkan kita dengan Allah. Sedangkan Allah telah letakkan jalan yang banyak untuk ke syurga. Orang kaya dengan cara mereka dan orang miskin dengan cara mereka. Beramallah dengan apa yang kita mampu. Mungkin ada orang yang suka membersihkan jalan untuk orang ramai. Dan itulah punca dia dapat masuk syurga. Semua kita tahu kisah seorang penzina Bani Israil yang masuk syurga kerana memberi air minum kepada anjing. Kita tak tahu dengan amalan kita yang mana yang membolehkan kita masuk syurga. Allah akan memberi balasan yang banyak waktu kita paling ikhlas beramal. Kadang-kadang amal kita itu sedikit, tapi kerana ikhlasnya tinggi, ianya bernilai amat berharga kepada Allah.

Ayat ini juga hendak memberitahu yang bukan Nabi sahaja yang mengalami masalah, tapi orang lain juga struggle juga dalam dunia ini. Semua orang ada masalah masing-masing. Jadi, ini untuk menenangkan Nabi yang sedang bersusah payah dalam perjuangan baginda. Baginda dicemuh, disakiti, ditohmah dan sebagainya dalam usaha baginda menyampaikan Islam ini kepada masyarakat Arab. Allah pujuk Nabi dengan ayat-ayat sebegini.

Begitu jugalah kita, apabila membaca ayat ini, akan memberi kelegaan kepada kita. Kalau kita dalam kesusahan dan kepayahan menghadapi kehidupan di dunia ini, terubat sedikit apabila kita baca ayat ini. Kerana apabila kita tahu orang lain pun ada juga kesusahan mereka, kesusahan yang kita hadapi ini pun rasa dapat tertanggung.

Surah ini menceritakan bahawa ada pilihan kepada manusia – samada mengambil jalan menuju kepada Allah atau jalan yang menjauh dari Allah. Jalan mana pun yang mereka pilih, kedua-duanya ada struggle masing-masing. Tapi yang satu membawa kepada Allah dan satu lagi menjauh dari Allah. Oleh itu, manusia kena pandai pilih. Dan jangan risau dengan struggle yang perlu dihadapi.


 

Ayat 5: Apakah mereka menyangka tidak ada yang berkuasa atas mereka dan mereka bebas buat apa sahaja?

أَيَحسَبُ أَن لَن يَقدِرَ عَلَيهِ أَحَدٌ

Sahih International

Does he think that never will anyone overcome him?

Malay

Patutkah manusia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasinya?

 

Ada banyak manusia yang sangka tiada siapa pun boleh mengatasinya termasuklah Tuhan sendiri pun. Ini apabila mereka berasa mereka ada kuasa dan kekayaan. Mereka rasa mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Mereka lupa dan tidak ambil peduli tentang Tuhan dan orang lain. Mereka rasa mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Mereka rasa mereka boleh tindas orang lain, ambil apa yang mereka hendak dan sebagainya.

Manusia memang selalu lupa diri kalau Allah telah beri kedudukan kepadanya. Ataupun apabila Allah telah beri kekayaan dan kesenangan kepadanya. Mereka mula rasa mereka ada kuasa dan mereka boleh melakukan apa sahaja. Mereka terlupa yang segala apa yang mereka lakukan adalah tertakluk dengan qadar Allah. Dalam ayat ini, Allah menceritakan sifat buruk manusia.

Manusia ramai yang tidak faham dan tidak ambil peduli dengan qada dan qadar Allah. Mungkin dulu semasa mereka susah, mereka selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan sesuatu. Tetapi kalau mereka dah senang, dan ada kuasa, mereka lupa kepada Allah dalam hal qada dan qadar. Mereka sangka apa yang mereka dapat itu adalah hasil dari usaha dan kepandaian mereka menguruskan sesuatu sahaja. Padahal, kalau Allah tidak benarkan dan Allah tidak tolong usahanya itu, usahanya itu langsung tidak memberi bekas sebenarnya.


 

Ayat 6: 

يَقولُ أَهلَكتُ مالًا لُبَدًا

Sahih International

He says, “I have spent wealth in abundance.”

Malay

Manusia berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak

 

Perkataan ‘Lubad’ bermaksud banyak sangat, sampai bertimbun-timbun. Yang berkata begitu adalah mereka yang rasa mereka boleh buat sahaja seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

1. Manusia yang dijadikan contoh di dalam ayat ini membanggakan diri dengan bercerita yang dia sudah banyak mengeluarkan harta untuk beli itu dan ini, menunjukkan dia kaya sangat. “Aku buat rumah ini kosnya dua juta”, “Aku beli beg ini di Itali, harga 20 ribu, tau!” dan sebagainya. Dia suka bercerita kepada orang lain tentang wang yang dibelanjakannya. Tujuannya untuk memberitahu yang dia ada duit yang banyak. Dia hendak menunjuk-nunjuk. Yang dia tunjukkan adalah dia telah menghabiskan wang yang banyak untuk memuaskan nafsunya.

2. Dia juga hendak  memberitahu yang kejayaan yang dicapainya itu didapati dengan membelanjakan wang yang banyak. Iaitu mereka telah keluarkan modal yang banyak untuk mendapatkan keuntungan yang mereka sedang kecapi sekarang. Jadi, mereka nak kata yang mereka layak lah untuk dapat segala kelebihan itu.

3. Dia juga sangka yang dengan duit yang banyak itu boleh menyelamatkan dia. Dia pun kata yang ia dah derma banyak duit kepada orang, kepada masjid, kepada persatuan itu dan ini. Dia sangka, dia akan selamat di dunia dan akhirat dengan sumbangannya itu. Tapi, kalau sumbangan tidak ikhlas, tidak diterima; kalau hanya beri sumbangan sahaja tanpa dia buat amalan yang wajib, pun tidak selamat juga.

4. Dia sangka, untuk mendapatkan pujian dari orang lain, dia kena habiskan duit yang banyak. Mereka mengharapkan pandangan orang terhadap mereka sahaja. Mereka rasa kalau mereka tidak kaya atau berkuasa, orang tidak hormat mereka. Jadi, untuk dihormati, mereka rasa yang mereka kena belanjakan harta mereka.

Mereka ini adalah orang-orang yang tertipu dengan dunia. Allah sedang menceritakan karektor-karektor manusia dalam surah ini.

5. Musyrikin Mekah ada yang menghabiskan wang mereka untuk menentang Nabi Muhammad. Mereka berbangga kerana keluarkan harta untuk lawan Nabi; dan belanja harta untuk puja selain Allah. Puak syirik memang ambil banyak duit. Mereka habis harta tapi bukan untuk agama Allah. Allah nak beritahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan akan menjerumuskan mereka kepada neraka.


 

Ayat 7: Adakah mereka sangka mereka dijadikan begitu sahaja? Tidak, Allah jadikan mereka kerana ada tujuan. Kalau tidak sempurnakan tujuan hidup dia, dia akan diseksa. Kalau penuhi, Allah akan beri nikmat. Allah tengok sentiasa apa yang manusia itu lakukan.

أَيَحسَبُ أَن لَم يَرَهُ أَحَدٌ

Sahih International

Does he think that no one has seen him?

Malay

Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya?

 

Kita sebagai manusia selalunya akan lupa yang kita dalam pengawasan Allah. Allah sebenarnya sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan dengan harta kita dan masa kita. Ada yang digunakan untuk kebaikan dan ada yang digunakan untuk keburukan. Ada juga yang menggunakan harta dan masa mereka untuk menentang Islam dan Allah memberitahu dalam ayat ini yang Allah sedang melihat segala perbuatan itu.

Dalam ayat sebelum ini, diceritakan bagaimana manusia membelanjakan harta mereka untuk keburukan dan perkara yang sia-sia. Adakah mereka sangka yang mereka tidak diawasi? Adakah mereka sangka mereka tidak dilihat semasa mereka membelanjakan harta mereka itu? Allah sentiasa sahaja melihat bagaimana cara mereka menghabiskan wang mereka. Jadi, ayat ini mengajar kita untuk berhati-hati dalam membelanjakan harta kita. Samada kita gunakan untuk keburukan atau perkara yang sia-sia. Semua yang kita belanjakan itu akan direkodkan.

Allah juga melihat perbuatan baik yang manusia lakukan. Oleh  itu, carilah segala peluang untuk beramal kebaikan. Buatlah sesuatu yang baik yang dalam kemampuan kita. Jangan terhadkan kepada sesuatu perkara sahaja. Sebagai contoh, bukan semua boleh mengajar agama. Oleh itu, jangan sangka yang menjadi seorang pendakwah, kena jadi seorang yang pandai mengajar sahaja, ada lagi yang kita boleh buat untuk mengembangkan agama Islam ini selain dari mengajar. Sebagai contoh, boleh infakkan harta untuk mereka yang berdakwah. Yang penting, buatlah apa yang termampu.

Bukanlah semua amal itu dalam perkara ibadah sahaja. Segala bahagian kehidupan kita tertakluk kepada agama, dan bukan hanya dalam perkara-perkara solat, puasa sahaja. Sebagai contoh, pekerjaan yang kita lakukan setiap hari juga bergantung kepada niat. Untuk apakah kita buat sesuatu? Adakah kita hanya bekerja untuk mencari wang sahaja ataukah kita bekerja untuk menyara kehidupan keluarga kita?

Adakah kita sangka Allah jadikan kita begitu sahaja, tanpa diawasi? Oleh itu, kita sepatutnya sentiasa rasa yang kita sedang dalam pengawasan Allah setiap masa. Kalau kita faham perkara ini, kita tidak berani untuk melakukan perkara dosa dan maksiat. Dan perasaan ini dipupuk dalam solat. Dalam solat, kita sepatutnya khusyuk dan menyedari yang Allah sedang memerhatikan setiap gerak geri dan hati kita. Kemudian, perasaan itu dibawa ke luar solat supaya kita sedar tentang pengawasan Allah itu. Supaya kita sedar yang Allah sedang melihat kita sebenarnya.


 

Ayat 8: Allah terus sambung menegur mereka yang berpaling dari agama. Mata bukan jadi sendiri tapi Allah yang jadikan. 

أَلَم نَجعَل لَهُ عَينَينِ

Sahih International

Have We not made for him two eyes?

Malay

Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata

 

Ini adalah kesinambungan dari ayat sebelum ini yang menceritakan bagaimana Allah sedang melihat kita. Kalau Allah yang telah menjadikan bagi kita mata ini, tidakkah Dia juga boleh melihat apa yang kita lakukan? Tentulah penglihatan Allah lebih lagi dari penglihatan kita.

Dalam masa yang sama, ayat ini mengingatkan kita untuk mengingati nikmat mata dan penglihatan yang Allah telah beri kepada kita. Mata itu bukan terjadi sendiri tapi Allah yang jadikan. Duit yang banyak pun tidak dapat membayar harga mata itu. Amal ibadat yang banyak pun tidak dapat membalas nikmat sebelah mata pun.

Mata yang Allah berikan ini adalah ujian kepada kita. Untuk kita gunakan untuk kebaikan. Maka gunakanlah nikmat mata dan penglihatan ini dengan sebaik-baiknya. Kerana nanti Allah akan tanya, Dia telah berikan mata kepada kita, untuk apakah kita gunakan mata itu? Adakah kita gunakan untuk kebaikan atau keburukan? Adakah kita gunakan untuk melihat perkara maksiat, atau kita gunakan untuk melihat tanda-tanda kewujudan Allah dalam dunia ini?

Ingatlah bahawa mata itu adalah pemberian dari Allah untuk memudahkan kita mendapat ilmu, terutama sekali ilmu agama. Kita gunakan mata ini untuk belajar dan untuk membaca ilmu pengetahuan agama, baca Quran dan baca hadis dan sebagainya.

Dengan mata itu kita boleh melihat alam ini yang Allah telah jadikan sebagai tanda. Dengan mata ini juga kita boleh melihat dunia ini dan segala perjalanannya. Tujuannya adalah untuk kita ambil pengajaran dari apa yang kita lihat itu.

Mata adalah salah satu dari alat ilmu selain daripada telinga. Dengan alat-alat ilmu ini, kita boleh memilih samada jalan kebaikan atau jalan keburukan. Pilih Iman atau Kufur. Pilih Iman atau Kemunafikan. Pilih Tauhid atau pilih Syirik. Pilih Sunnah atau Bidaah.


 

 Ayat 9: Allah yang jadikan.

وَلِسانًا وَشَفَتَينِ

Sahih International

And a tongue and two lips?

Malay

Dan lidah serta dua bibir?

 

Allah juga mengingatkan kita yang Dia telah memberi kita lidah dan bibir. Ianya tidak terjadi sendiri tapi Allah yang beri nikmat ini kepada kita.

Lidah dan bibir memberi isyarat kepada percakapan kita. Adakah lidah dan bibir itu digunakan untuk kebaikan atau keburukan? Maknanya, ingatlah bahawa lisan kita ini pun adalah ujian kepada kita. Kalau kita gunakan untuk kata perkataan yang salah, kita akan ditanya dan akan diazab kerananya.

Malangnya, ramai yang menyalahgunakan lidah dan bibir mereka. Dengan lidah itulah mereka membangga-banggakan diri mereka tentang apa yang mereka lakukan dengan harta benda mereka. Dengan lidah itu juga mereka mengajar perkara-perkara yang salah dalam kehidupan dan dalam agama; ada yang mengajar untuk mencuri; ada juga yang mengajar perkara-perkara bidaah dan syirik kepada anak murid. Semua itu perkara yang salah belaka.

Lihatlah bagaimana Allah bukan sahaja beri lidah kepada kita, tetapi Allah beri bibir kepada kita. Dengan bibir itulah sepatutnya digunakan untuk menjaga lidah. Dalam hadis dikatakan bibir itu untuk menjaga mulut kita. Kita kena kawal lidah kita dari bercakap perkara-perkara yang tidak baik. Dari bercakap perkara yang salah, baik kita katup mulut kita dengan bibir kita. Allah berikan kita mulut dan Allah berikan juga bibir untuk menutupnya.

Ingatlah bahawa dengan lidah ini dapat kita menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orangramai. Bayangkan kalau kita tidak ada suara, bagaimana kita hendak mengajar orang lain? Tidaklah mustahil, tapi tentu susah.

Bayangkan dengan lidah ini mudah untuk kita berkata-kata. Lihatlah bagaimana payahnya seorang yang menggunakan bahasa isyarat itu – tidakkah susah payah dia menggerakkan tangannya ke sana dan ke sini? Sedangkan dengan lidah dan bibir yang Allah berikan ini, sedang sahaja untuk kita berkata-kata.


 

Ayat 10: Allah beri pilihan baik dan buruk untuk manusia pilih. Samada dalam kehidupan atau dalam agama. Boleh pilih mana makanan dan mana racun; boleh pilih mana jalan agama yang baik dan mana jalan yang buruk. Untuk agama, Allah telah berikan wahyu dan panduan untuk kita boleh buat pilihan yang baik. Tidaklah Allah biarkan kita begitu sahaja.

وَهَدَيناهُ النَّجدَينِ

Malay

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

 

نجد adalah ‘jalan yang menuju kepada tempat yang tinggi’. Dua jalan itu adalah jalan yang baik dan satu lagi adalah jalan yang jahat. Dalam diri manusia sebenarnya telah ada keinginan kepada kebaikan. Kita tidak suka kejahatan sebenarnya. Sebagai contoh, apabila dibuat kajian tentang orang yang menipu pada kali pertama, mereka akan rasa tidak sedap hati dah. Kerana ianya berlawanan dengan naluri asal manusia. Kalau diletakkan pengesan di jantung, orang yang menipu itu boleh dikesan yang dia menipu kerana degup jantungnya laju. Ini menunjukkan bahawa dalam diri kita sudah ada fitrah untuk kebaikan dari alam roh lagi. Itu adalah bekalan dari Allah kepada kita. Ini telah disabda oleh Nabi:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ قَالَ هَذَا مَا حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يُولَدُ يُولَدُ عَلَى هَذِهِ الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ كَمَا تَنْتِجُونَ الْإِبِلَ فَهَلْ تَجِدُونَ فِيهَا جَدْعَاءَ حَتَّى تَكُونُوا أَنْتُمْ تَجْدَعُونَهَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ مَنْ يَمُوتُ صَغِيرًا قَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan, melainkan dalam keadaan fitrah ini, maka bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, sebagaimana mereka mendapatkan unta yang lahir, akankah mereka mendapatkan padanya cacat, sehingga kalianlah yang membuatnya cacat? Para sahabat bertanya: Bagaimana pendapat anda dengan seorang anak kecil yang meninggal? Baginda menjawab: Allah lebih tahu dengan apa yang mereka kerjakan. [HR. Muslim No.4806].

Hadis ini memberitahu kita bahawa seorang anak dilahirkan dalam fitrah kebaikan. Tapi ibubapanyalah yang melencongkannya menjadi baik atau tidak. Ini mengajar kita bahawa manusia itu ikut didikan yang diterimanya. Kita boleh lihat bagaimana seorang anak itu akan mengikut apa yang ayah dia suka dan ajar. Kalau seorang ayah itu suka pasal kereta, anak dia pun akan kenal kereta sahaja. Maka, kenalah kita menjadi ibu dan ayah yang baik. Ajarlah anak-anak kita supaya suka kepada kebaikan.

Kemudian, Allah hantar pula rasul kepada kita. Yang tak sempat jumpa rasul, Allah bekalkan dengan Quran yang dijaga sendiri olehNya. Tidak ada orang yang boleh memesongkan Quran kerana telah ada jaminan oleh Allah untuk menjaganya. Oleh itu, kita belajar sahaja Quran, jangan runsing tentang orang nak ubah Quran. Maka apabila kita baca dan belajar tafsir Quran, kita tak rasa ragu. Tidak ada kitab yang macam Quran. Kerana ada kitab yang kita boleh tak setuju, tapi dengan Quran tidak boleh kita menidakkannya. Maka kenalah belajar tafsir Quran supaya kita faham apa yang kita baca dan apa yang Allah hendak sampaikan kepada kita.

Kalau manusia memilih jalan kebaikan, Allah akan membantu untuk sampai kepada kebaikan itu. Dan kalau dia memilih jalan keburukan, Allah akan biarkan dia untuk berada di jalan itu. Allah tak kacau dia kalau dia memang hendak keburukan. Allah akan biarkan dia dengan pilihannya, cuma di akhirat nanti, Allah akan menghukum dia disebabkan salah pilihnya itu.

Dalam ayat sebelum ini, Allah telah menyebut bagaimana Dia telah memberikan mata sebagai alat ‘input’ dan lidah sebagai alat ‘output’. Input – memasukkan ilmu dan Output – menyampaikan ilmu; Dengan dua alat ini, manusia sepatutnya tahu untuk memilih jalan kebaikan dan keburukan.

Kita seperti juga jin, telah diberi pilihan untuk memilih. Tidak sama macam malaikat dan binatang. Kedua-dua jenis makhluk itu tidak ada pilihan. Maka, jangan salah guna kebolehan memilih itu. Kalau kita salah pilih, maka kita akan terjerumus ke dalam neraka.

Berkenaan kebolehan memilih ini, mungkin ada yang kadang-kadang keliru dengan kaedah-kaedah falsafah. Sebagai contoh, ada yang kata: “Tuhan dah jadikan aku macam ni, jadi bukanlah salah aku.” Ini adalah faham yang salah. Banyak fahaman yang salah dalam dunia ini. Antaranya, Muktazilah membincangkan samada manusia itu ‘musayyar’ atau ‘mukhayyar’.

Musayyar – segala yang berlaku dalam kehendak Allah

Mukhayyar – makhluk ada hak memilih

Fahaman Ahli Sunnah adalah: manusia ada dua-dua elemen. Kita boleh memilih, tapi ada perkara yang telah ditetapkan oleh Allah. Semua yang berlaku adalah dalam rahsia Allah. Sebagai contoh, kita tidak boleh kawal apa yang terjadi kepada kita, tetapi kita boleh memilih apakah respons kita kepada apa yang berlaku. Sebagai contoh, kita tidak boleh kawal orang yang fitnah kepada kita, tapi kita boleh kawal apakah tindakbalas kita kepada fitnah itu – adakah kita balas balik atau kita biarkan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 090: al-Balad. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s