Usul Tafsir – 16 Istilah Tafsir

Usul Tafsir

Pengenalan:

Belajar tafsir adalah satu kewajipan kepada diri kita. Bagaimana seseorang boleh mengaku yang dia itu seorang Islam dan tahu tentang agama sedangkan rujukan utama dalam Islam tidak dipelajari? Kerana masyarakat kita tidak belajar tafsir Quran lah yang menyebabkan banyak masalah sekarang. Kerana mereka tidak ada ilmu asas tentang agama.

Apabila sudah belajar tafsir, kita akan tahu perkara yang dulu kita tak tahu. Bila belajar, baru tau ada banyak yang kita tak buat lagi perkara agama. Bayangkan berapa ramai yang tak tahu lagi.

Yang kita dah mula tahu itu pula, ada dua keadaan

1. Ada sebahagian dari yang kita belajar itu, yang kita boleh buat. Mungkin dulu ada yang dah dibuat dah. Atau ada yang baru tahu, tapi rasanya kita boleh buat. Perkara-perkara itu termasuk perkara yang fardhu dan ada yang sunat.

Selepas kita tahu itu, kita minta taufik kepada Allah supaya mana yang kita boleh buat, Allah beri taufik supaya kita boleh buat dengan sempurna dan makbul (diterima). Kerana bukan tentu kita buat dengan sempurna lagi. Contohnya solat kita bukan tentu khusyuk lagi. Berapa ramai yang solat tapi tiba-tiba dah habis dah solat kita tapi fikiran kita entah ke mana masa kita solat tadi. Maka, jangan rasa cukup dengan amal yang kita sedang dan telah lakukan. Lebih elok kalau kita rasa tak cukup sahaja dengan amalan kita itu, supaya kita boleh memperbaikinya.

Akhir sekali, kena doa supaya Allah beri kita dapat istiqamah dengan amalan kita itu.

Dalam Agama, kena ada ikhtiar. Kena sedar keperluan kepada agama dan kemudian kena ikhtiar untuk mendapatkannya. Diikuti dengan doa kepada allah. Kalau keturunan Nabi pun kena usaha juga, apatah lagi kita. Tidak ada sesiapa yang dapat percuma sahaja agama ini, walau keturunan mana pun kita. Jadi, kalau kita anak tok imam, jangan ingat dah selamat. Setiap orang kena berusaha dalam agama.

2. Dari apa yang kita sudah tahu selepas belajar, ada sebahagian yang tak mampu buat lagi. Dan mungkin banyak yang tak mampu buat. Tahulah kita betapa cuainya kita dengan arahan Allah selepas kita belajar tafsir. Itu kalau kita dah tahu, bagaimana dengan mereka yang tak tahu langsung?

Dalam perkara ini, kita kena minta taufiq terus kepada Allah supaya Dia beri kita boleh melakukan mana yang tak mampu buat. Yang tak tahu langsung, memang sudah tak minta langsung. Mereka itu, tunggu mati sahaja. Dia ingat dia dah cukup, jadi dia tidak berdoa kepada Allah. Tapi layakkah dia di depan Allah nanti, dia kata ‘tak tahu ya Allah’? Padahal dia duduk di bumi Allah. Apa alasan dia untuk kata ‘tidak tahu’, sedangkan Allah dah bagi sampai 30 juz sebagai panduan hidup? Allah bagi maklumat yang amat banyak supaya tidak ada alasan lagi untuk kita mengatakan ‘tidak tahu’. Allah beri maklumat yang banyak dan lengkap supaya kita tahu dengan detail. Ingatlah bahawa mereka yang tidak taat kepadaNya, Allah tak rela nikmat yang dipakai dalam dunia. Akan ditanya nanti nikmat yang kita pakai. Ini dalil dari Quran.

Dan kalau kita tahu yang kita tak mampu buat, minta ampun terus atas ketidaksanggupan kita itu. Minta taufik satu hal, kena minta ampun terus kerana kita tak dapat buat lagi.

Pembelajaran tafsir Quran ini amatlah penting sekali. Para sahabat tidak akan lepaskan anak mereka belajar ilmu lain sebelum khatam Tafsir Quran. Mereka juga khatam baca quran dengan tadabbur empat kali sebulan – mereka bukan baca kosong tapi mereka baca dengan faham sekali. Dan mereka akan sentiasa muzakarah Quran di masjid dan rumah mereka. Pada waktu malam, mereka baca apakah arahan Allah dan pada siang harinya, mereka akan sempurnakan apa-apa tuntutan yang mereka baca malam tadi. Mereka juga akan ajar juga kepada sesiapa yang datang ke Madinah kerana Madinah waktu itu adalah pusat ilmu.

Itu membawa kepada satu lagi perkara penting yang kita ingat. Kita belajar bukan untuk kita sahaja tapi untuk semua manusia. Kita kena azam untuk sampaikan ajaran Quran kepada manusia lain. Maknanya, ada tuntutan untuk belajar dan ada tuntutan untuk sampaikan. Jangan tunggu dah habis belajar baru sebar. Mana yang tahu, terus sebarkan.

 

Surah-surah Penting

Semua surah kita kena belajar, tapi ada 10 surah yang kena faham kemas dan perlu diberikan penekanan:
1. Fatihah
2. Baqarah
3. Zumar
4. 7 surah yang dimulai dengan ‘ha mim’

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Pengenalan kepada 16 Istilah

Untuk kita lebih memahami Ilmu Tafsir Quran, kita hendaklah mahir tentang istilah-istilah kepada surah-surah dalam Quran. Tidak semua ayat-ayat dalam Quran membawa penekanan yang sama. Kefahaman pelajar bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah-istilah ini.

Setiap surah dalam Quran akan termasuk di bawah ketegori salah satu istilah ini. Setiap surah akan ada sekurang-kurangnya satu. Ada surah yang ada lebih dari satu istilah, sebagai contoh, Surah Baqarah ada ksemua 16 istilah.

Istilah-istilah ini adalah hasil dari rujukan 50 kitab tafsir dalam 4 bahasa. Ianya adalah kelebihan yang Allah berikan kepada ulama yang telah menyusun istilah-istilah ini. Nama beliau adalah Maulana Husain Ali al-Wani.

 

1. Dakwa / Maksud Asal bagi sesuatu Surah. دعوى أو مقصود

Pokok perbahasan surah itu. Apa yang Allah hendak sampaikan. Ianya adalah ‘Maksud’ surah itu diturunkan. Ianya paling penting yang kita kena tahu dahulu. Ini adalah kerana kita kena faham maksud ayat itu. Oleh itu, semasa kita baca ayat-ayat yang lain, jangan lari dari Dakwa itu. Kita kena kaitkan ayat-ayat yang ada dalam surah itu dengan Dakwa Surah itu.

Dakwa Surah juga dienal sebagai ‘tajuk perbahasan’ dan ‘kajian’ sesuatu surah itu.

Untuk menerangkan Dakwa itu, Allah dibawakan ‘dalil-dalil’ dalam ayat lain. Oleh itu, ayat-ayat lain yang datang selepas Dakwa Surah itu adalah sebagai penyempurnaan kepada Dakwa Surah itu.

Tidaklah sama Dakwa Surah dalam surah-surah dalam Quran ini. Kebanyakan surah hanya ada satu Dakwa sahaja. Tapi ada surah-surah iaitu ‘hamim tujuh’, hanya ada satu Dakwa untuk ketujuh-tujuh surah. Ada surah yang ada lebih dari satu Dakwa. Sebagai contoh, ada tiga ayat Dakwa dalam Surah Baqarah.

Selain dari Dakwa utama, Ada surah yang ada tanwirul dakwa, iaitu ‘Dakwa tambahan’. Ini selalunya disampaikan dalam bentuk soalan dan jawapan.

Dakwa umpama biji untuk satu pokok. Semua bahagian lain pokok itu seperti akar, dahan, batang dan sebagainya tentu ada hubungan dengan biji itu. Kerana semua berasal dari biji itu. Oleh itu, semua ayat ada hubungan dengan Dakwa surah itu.

Ada tiga bahagian perbincangan di dalam Dakwa Surah:
A. Tauhid. Allah nak kita kenal Dia. Kalau baca Quran tapi tak kenal Allah, tak kena kalau begitu. Oleh kerana itu, kebanyakan surah dalam Quran adalah tentang Allah.
B. Risalah – kerasulan. Cara untuk dapat keredhaan Allah adalah dengan mengikut Rasul. Hanya dengan cara ini sahaja. Selain dari cara ini ditolak dan akan menyebabkan kemurkaan Allah.
– Sedikit sahaja Dakwa tentang risalah. Hal Risalah banyak diuraikan dalam hadis. Ini juga penting kerana Hadis adalah Wahyu Kedua.
C. Akhirat. Allah nak kita buat persiapan untuk jumpa Dia. Dan Allah hanya berjumpa dengan hambaNya dalam syurga. Iaitu kita dapat berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita. Kita belajar ayat-ayat Dakwa tentang Akhirat kerana kita kena yakin bahawa ada satu alam selepas mati. Itulah alam yang akan kekal.
– Ayat-ayat tentang Akhirat lebih banyak dari ayat-ayat tentang Risalah. 1/4 dari Quran menceritakan tentang Akhirat. Dan kebanyakan ayat tentang Akhirat ini duduknya di hujung Quran.

Ketiga-tiga perkara ini adalah kesimpulan agama Islam. Percakapan tentang agama berlegar dalam tiga perkara ini. Kena ada tiga-tiga perkara ini, barulah lengkap agama.

Ketiga-tiga perkataan ini pula dibahagikan kepada dua maf’ul.
A. Kena tahu lawan kepadanya. Sebagaimana kita nak kenal putih, kita kena tahu apakah itu hitam.
Oleh itu, untuk kita tahu tauhid, kena tahu tentang syirik. Oleh kerana tidak faham perkara ini, banyak kalangan orang Islam yang belajar tauhid, tapi lintang pukang agama mereka sebab tidak tahu tentang syirik. Maknanya, walaupun mereka dah belajar, tapi mereka gagal juga.

Lihatlah kepada Syahadah kita. Perkataan La ilaaha itu maksudnya ‘tolak syirik’. Jadi kena tolak syirik dahulu sebelum kita dapat faham Tauhid. Kalau tak kemas perkara ini, boleh menyebabkan amalan ibadat semuanya ditolak. Maka sia-sialah amal ibadat kita yang dibuat bertahun-tahun lamanya. Ini penting sekali kerana syarat amalan diterima adalah pembuat ibadat itu mesti seorang Muslim, bukan? Kalau ada masalah akidah, maka tidak sempurna keislaman seseorang, dan mereka yang tidak sempurna Islamnya, tidak diterima amal ibadatnya.

Dan inilah perkara inilah yang paling dikacau oleh syaitan terhadap hamba. Hal tauhid lah yang mereka akan terkam dahulu. Kerana masalah Tauhid sahaja, amalan semua kosong dan tidak dinilai langsung oleh Allah. Perumpaan Akidah ini adalah ibarat belon. Nak tiup belon, pastikan tidak ada lubang langsung pada belon itu. Kalau ada lubang tidak ditampung, akan ada masalah untuk kita tiup belon dan kumpul udara dalam belon itu. Udara itu adalah ibarat amal ibadat kita. Dan untuk pecahkan belon, cukup dengan satu lubang sahaja, tidak perlu banyak. Maknanya, buat satu syirik sahaja, dah rosak semua akidah kita dan amal ibadat kita semuanya hancur.

Dan untuk menerangkan Tauhid, Allah terangkan semua lubang-lubang syirik dalam Quran ini. Ketahuilah bahawa Quran ini mengandungi 80% hal tauhid. 20% sahaja hal-hal lain. Maka kena belajar semua ayat Quran kerana takut ada tertinggal. Seperti yang kita kata, untuk memecahkan belon, cukup dengan hanya satu jarum sahaja. Oleh itu, kena baca dan kena faham Quran dulu sebelum kita buat amal ibadat. Sebab itulah para sahabat tidak benarkan anak mereka belajar ilmu lain sebelum belajar ilmu Tafsir Quran.

Malangnya, ramai yang tak faham kepentingan belajar Tafsir Quran dan kepentingan belajar Tauhid. Ramai yang tak jelas sebab tak belajar. Padahal bukan susah nak faham. Tapi ramai yang tak mahu belajar juga. Mungkin mereka tak belajar kerana apabila mereka belajar Usuluddin, mungkin tidak banyak diterangkan tentang Syirik. Mungkin ini adalah kerana ulama yang menyusun usuluddin itu sudah menganggap mereka yang belajar Usuluddin itu sudah belajar Tafsir Quran, jadi sepatutnya sudah tahu apakah maksud Syirik. Tapi malangnya, kalangan pelajar di Malaysia, mereka tidak belajar Tafsir Quran langsung, tapi terus masuk belajar Usuluddin, itulah sebabnya mereka tak mahir tentang syirik.

Syirik ini pula hal dalaman. Iaitu ianya perkara dalam hati kita. Tak nampak di luar, jadi susah untuk dikesan. Oleh itu, tuan badan kena belajar sendiri. Sebab itu semua kena belajar Tafsir Quran. Supaya kita boleh suluh hati kita supaya selamat daripada melakukan syirik. Kerana jarang ada orang nak tanya kepada kita samada kita syirik atau tidak, bukan? Kalau perkara amalan seperti solat, mungkin mereka nampak kita buat dengan cara yang salah, bolehlah kalau nak tegur. Tapi kalau perkara dalam hati, siapa yang nak mula tegur kita?

B. Berkenaan Risalah, iaitu risalah Kenabian. Oleh itu, kita kena tahu apakah perbuatan dan amalan Nabi – sunnah. Lawan kepada Sunnah adalah bidaah iaitu perkara yang Nabi dan sahabat tak buat. Jadi kena pastikan apakah amalan agama yang kita lakukan itu adalah sunnah atau tidak.

Tentang perkara feqah, terdapat perselisihan antara ulama-ulama mazhab dan kita kena tahu bahawa kebanyakan perkara yang disampaikan oleh ulama mazhab adalah sunnah kerana di belakang mereka adalah rujukan kepada para sahabat. Maka apa yang mereka bawa itu tidak dikira bidaah. Perselisihan pendapat tidak ada masalah kecuali kalau ada bidaah.

Risalah banyak disebut dalam hadis. Oleh kerana itu, selain Quran, kena juga belajar hadis.

Permasalahan bidaah ini banyak diperbincangkan di Malaysia dan sampai menyebabkan perbalahan antara ahli-ahli agama dan juga orang-orang awam di negara ini. Sebenarnya yang marah tentang bidaah ini adalah kerana mereka sendiri amalan bidaah. Cara untuk selesai masalah mereka ini adalah dengan mereka sendiri datang belajar. Kerana yang jadi keliru tentang maksud bidaah ini adalah kerana mereka tidak belajar. Atau mereka mungkin belajar, tapi hanya sedikit. Dan memang jiwa manusia tidak suka ditegur.

Kita bukan berdebat dengan puak-puak yang mengamalkan bidaah itu kerana nak menang. Kita kesian kepada mereka kerana mengamalkan benda yang salah. Tapi apabila kita tegur, mereka lagi nak lawan kita balik. Ada ulama yang memberi perumpamaan mereka yang mengamalkan bidaah itu adalah seumpama budak kecil yang main dengan pisau cukur. Tentulah ianya adalah bahaya. Kita tak mahu dia terluka, tapi bagaimana kita nak ambil pisau cukur itu dari dia? Kalau kita berkeras rebut dari dia, dia akan pegang kemas lagi dan akan melukakan dirinya. Lalu bagaimana? Caranya adalah dengan tunjuk benda lain yang lebih menarik kepada budak itu, contohnya, buah limau. Kerana nak ambil buah limau itu, dia akan tinggalkan pisau itu. Maka dengan orang yang amal bidaah, berikan dia ilmu sunnah yang benar dan insha Allah, dia aka tinggalkan amalan bidaah dia itu. Kerana amalan sunnah jauh lebih molek dari amalan bidaah.

C. Maf’um Akhirat. Apabila roh sudah ditarik, dan sudah mula dipertontonkan apa yang hamba itu akan dapati dari nasibnya – baik atau buruk, itu sudah dikira sebagai permulaan akhirat dah. Itulah permulaannya, sampai kepada abadi yang tiada hujung.

Apa yang dialami oleh mereka yang hampir itu dinamakan ‘nazak’. Saat itu, taubat dah tidak bernilai lagi dan amalan tidak dikira lagi. Padahal roh ada dalam tubuhnya lagi. Oleh itu, semua amal kebaikan kena buat sebelum itu. Banyakkan amalan selama mana nyawa tak sampai ke halqum.

Lawannya adalah dunia. Kerana bahayanya dunia kepada manusia, Allah huraikan juga tentang dunia dalam Quran. Allah Maha tahu tentang dunia lebih dari kita, jadi Dia beritahu kepada kita supaya kita tahu hakikat sebenar dunia itu. Supaya kita berwaspada dan dapat elak tipudaya dunia.

 

2. Dalil. دليل  

Setiap Dakwa mesti ada dalil. Dalil adalah suatu bukti yang dikemukakan bagi mensabitkan Dakwa. Biasanya Allah mendatangkan berbagai-bagai dalil dalam Quran dengan tujuan untuk mensabitkan Dakwa Surah. Biasanya, di mana sahaja ada Dakwa, di situ akan ada dalilnya. Dan kebiasaannya, Dalil akan datang menyelusuri Dakwa.

Memanglah setiap ayat dalam Quran itu sebenarnya adalah dalil, tapi terma ‘dalil’ yang dimaksudkan ini adalah Dalil kepada Dakwa Surah.

Pemahaman dalil yang mantap akan memberikan seseorang itu kefahaman yang tinggi terhadap Dakwa Surah itu.

Dalil terbahagi kepada tiga jenis: Aqli, Naqli dan Wahyi.

A. Dalil Aqli – عقلي

Dalil Aqli ialah sejenis dalil yang dapat diterima oleh setiap yang berakal (tidak gila) atau boleh diterima oleh setiap yang memiliki naluri fitrah yang Allah berikan kepada semua manusia. Allah berikan naluri fitrah ini sama-rata – setiap orang akan dapat, tidak kira kalau lahir dalam keluarga muslim atau kafir. Lahir-lahir sahaja, sudah ada.

Oleh itu sekiranya manusia tidak dikuasai oleh hawa nafsu jahat atau suasana sekeliling yang buruk yang merosakkannya (contohnya ajaran agama yang kafir dan sesat), nescaya dengan akal dan fitrah yang sedia ada, mereka dapat memahami setiap tuntutan dalil dan seterusnya penerimaan dalil akan membawa kepada penerimaan Dakwa. Dengan kata lain, dalil itu didatangkan bagi tujuan mengajak manusia kepada penerimaan Dakwa. Maknanya, mereka kalau baca dalil aqli dari Quran ini, mereka sepatutnya boleh terima.

Dalil Aqli ini terbahagi pula kepada tiga jenis:

a. Dalil Aqli Anfusi – دليل عقلي انفسي

Ianya adalah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t  tentang Qudrat dan IradahNya didalam mencipta sesuatu yang ada pada diri manusia itu sendiri. Melalui dalil aqli anfusi, seseorang yang berakal dapat memahami betapa sempurnanya ciptaan Allah s.w.t, sekaligus mengajak manusia itu mengakui dan menerima bahawa Allah s.w.t jualah Dzat yang wajib disembah dan ditaati. Kalau ada dzat lain yang boleh buat macam itu, kena tunjuk bukti. Kalau tidak ada yang lain, maka hanya sembah dan taat kepada Allah sahaja.

 

b. Dalil Aqli Afaqi – دليل عقلي آفاقي

Ianya adalah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t tentang Qudrat dan IradahNya di dalam mencipta sesuatu yang ada di luar diri manusia itu yakni daripada segenap ufuk pada alam semesta. Iaitu pada kejadian alam.

Dalil aqli afaqi dibahagi kepada tiga:

◼ علوي

– ‘ilwi – atas langit hingga ‘arasy ilahi. Langit, awan, Arash dan lain-lain.

◼ سفلي

–  sifli –  permukaan bumi, segala lautan dan daratan termasuk malaikat, jin dan sebagainya.

◼ جوّي

– jawwi – tengah-tengah – penciptaan makhluk yang di udara, seperti burung dan sebagainya (bawah pada langit yang pertama).

Maknanya, berbagai-bagai bentuk Allah beri hujah kepada kita.

 

c. Dalil aqli i’tirafi (دليل عقلي اعترافي) 

Ianya adalah sejenis dalil yang memang diakui (iktiraf) oleh pihak lawan (yakni musyrikin Mekah semasa di Mekah dan Yahudi semasa di Madinah – mereka-mereka inilah penentang permulaan), dalil yang menjelaskan betapa Qudratnya Allah s.w.t didalam mencipta perkara-perkara yang besar ( الامور العظام).

Musuh-musuh Islam itu sebenarnya dah terima dah perkara-perkara yang besar. Musyrikin Mekah, walaupun mereka menolak Nabi Muhammad, tapi mereka terima yang Allah lah yang menjadikan alam ini, bumi, langit dan sebagainya. Jadi apabila pihak lawan telah menerima perkara-perkara besar, seterusnya mereka diajak untuk menerima bahawa Allah s.w.t jualah yang mengurus perkara-perkara besar dan seperti itulah Allah mengurus perkara-perkara kecil ( الامور الحقيرة ). Inilah perkara yang ramai silap faham. Ini adalah kerana mereka memahami perkara-perkara kecil (الامور الحقيرة) diurus oleh wakil-wakil Allah s.w.t. Mereka rasa perkara remeh temeh, Allah beri wakil untuk selesaikan, seperti roh wali, roh Nabi dan malaikat.

Biasanya dalil-dalil i’tirafi ini berbentuk soalan dan jawapan. Sebagai contoh, ada ayat yang Allah berfirman, sekiranya engkau tanya mereka siapakah yang menjadikan langit dan bumi…. hingga akhir ayat.

 

B. Dalil Naqli – نقلي

– ialah sejenis dalil berbentuk nukilan daripada kisah-kisah atau hikayat atau nukilan berbentuk perkataan. Perkataan makhluk, jin, malaikat dan perkataan haiwan juga. Semua itu adalah Dalil Naqli. Nak beritahu bahawa bukan Nabi sahaja berfahaman seperti tauhid tapi semua sekali. Orang Mekah sahaja yang tidak mahu terima kerana mereka jahil. Sama juga dengan mereka yang tidak belajar, maka mereka jadi sesat.

Dalil Naqli ini menjadi bahan bukti kedua selepas dalil aqli. Dalil ini adalah jenis yang boleh dilihat dan boleh didengar. Ianya didapati dari riwayat dan ayat-ayat Quran. Terbahagi pula kepada 7 jenis:

a. Dalil Naqli Kutubi – نقلي كتبي – Allah zahirkan dalil-dalil dari kitab-kitab terdahulu. Allah hendak memberitahu bahawa kitab-kitab kalamullah yang sebelum Quran juga memperkatakan tentang tauhid juga. Bukannya Nabi Muhammad sahaya yang berkata tentang Tauhid; kadang-kadang nama Kitab disebut dan kadang-kadang hanya disebut secara umum sahaja.
b. Dalil Naqli Anbiya’i Mufassal – نقلي أنبيائي مفصّل – Daripada para Nabi, apabila disebut nama Nabi-nabi secara spesifik. Allah hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang selepasnya yang bukan Nabi Muhammad sahaja yang memperkatakan tentang Tauhid tapi Nabi-nabi terdahulu pun begitu juga.
c. Dalil Naqli Anbiya’i Mujmal – نقلي أنبيائي مجمل – mujmal bermaksud ‘ringkas’. Ini apabila disebut ‘nabi’ sahaja tanpa disebut nama.
d. Dalil Naqli Ahlu Kitab – نقلي اهل الكتاب – dari kata-kata Ahlu Kitab, apabila disebut berkenaan pengikut Nabi-Nabi yang ada kitab seperti Kitab Taurat, Injil dan Zabur. Orang Mekah pun hormat kepada Ahlu Kitab juga kerana mereka sudah ada kitab dan ilmu tentang agama. Allah memberi dalil bagaimana Ahlu Kitab terdahulu pun terima Tauhid juga, jadi kenapa tidak mereka? Ia juga digunakan sebagai dalil bagi Ahli Kitab zaman Nabi dan juga zaman-zaman seterusnya. Kalau Ahli Kitab dulu boleh terima tauhid, kenapa tidak mereka?
e. Dalil Naqli Jinni – نقلي جنى – dalil yang menyebut amalan, kata atau perlakuan jin. Ini adalah kerana jin pun ada yang menerima tauhid, selepas mereka belajar. Kalau jin boleh terima, kenapa manusia tidak boleh menerimanya? Jin yang menerima Tauhid tidak bergaul dengan manusia. Tidak ada hubungan antara jin dan manusia sebenarnya, keduanya menjalani kehidupan yang berlainan. Sedangkan sahabat Nabi pun tidak ada berhubungan dengan golongan jin, kenapa kita pula nak berkawan dengan jin? Nabi Muhammad memang sekat para sahabat dari berhubungan dengan jin. Manusia yang berhubungan dengan jin itu adalah mereka yang ada mengamalkan syirik sebenarnya dan ada akidah syirik.
f. Dalil Naqli Malaki – نقلي ملكى – Dalil yang menyebut tentang iman para malaikat. Kerana mereka juga menerima tauhid
g. Dalil Naqli Hayawani – نقلي حيوانى – Dalil-dalil tentang ketaatan binatang. Ini kerana binatang pun terima tauhid. Ada disebut dalam Quran bagaimana ada burung dan semut yang berpegang dengan tauhid. Kalau binatang pun terima tauhid, kalau kita tidak terima tauhid, kita lebih teruk dari binatanglah maknanya.

Bahaya kalau kita belajar tafsir Quran selain dari sumber yang sunnah, kerana boleh terpakai dalil-dalil dari Kisah Israiliyat. Ini kerena puak Ahli Kitab itu ada yang mereka telah putar belit kitab mereka.

 

C. Dalil Wahyi- دليل وحي

Ianya adalah Dalil untuk Dakwa. Semua ayat-ayat dalam Quran sudah dikira ‘wahyu’ dah. Tapi Dalil Wahyi yang dimaksudkan dalam pemahaman kita ini adalah ‘titah khas’ yang ditujukan kepada Nabi untuk disampaikan kepada manusia tentang tuntutan mentauhidkan Allah. Semua ayat-ayat lain adalah wahyu yang perlu disampaikan kepada umat, tapi ada ayat-ayat yang mempunyai titah yang khas. Ianya disebut dengan lafaz yang khusus supaya baginda sampaikan tuntutan tauhid dalam ibadat atau adat.

Ia menghilangkan salah anggap manusia (pihak lawan), kerana ada yang kata yang Nabi memandai reka sahaja suruh beritahu sesuatu perkara. Dulu orang tohmah kepada Nabi, sekarang manusia kata kepada kita pula yang menyampaikan ayat-ayat Quran ini. Termasuk orang kafir yang tidak menerima Nabi Muhammad. Maka, kepada mereka, kita katakan, kita kena sampaikan kerana sudah ada arahan khusus dari Allah untuk sampaikan ajaran itu kepada manusia, maka itulah sebabnya kita kena sampaikan. Begitu jugalah, golongan bidaah kata ajaran sunnah yang kita bawa ini hanya rekaan kita sahaja, tidak ada dalam Quran. Jadi, kita beritahu kepada mereka, kita sampaikan kepada mereka kerana ianya adalah arahan dari Allah untuk kita sampaikan. Kalau kita tak sampaikan, kita yang salah. Walaupun apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham.

Orang Mekah tak kisah kalau Nabi Muhammad pegang fahaman dia. Cuma mereka marah apabila baginda ajak orang lain. Oleh itu, Allah turunkan ayat kepada Nabi beritahu yang maklumat tauhid itu kena disampaikan atas arahan khusus kepada manusia. Kita yang sedang sampaikan ajaran tauhid dari Qur’an ini adalah kerana dalil wahyu itulah. Kerana sebagaimana Nabi diarahkan untuk menyampaikan ajaran Tauhid, begitu jugalah kita pun kena sampaikan.

Biasanya senang dikenali apabila ada perkataan قل (katakanlah) di dalam ayat itu
atau perkataan: ‘aku telah diperintahkan oleh Tuhanku’, atau perkataan: ‘telah diwahyukan kepadaku’. Atau ayat-ayat lain yang semakna dengannya.

Kita kena ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Kalau selain daripada itu, ada masalah. Ajaran syirik dan bidaah adalah dari syaitan. Maka, kita kena sampaikan kepada manusia. Kalau mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka. Samada mereka terima atau tidak, kita kena sampaikan juga. Biasalah kalau ubat itu, ada yang pahit dan susah untuk diterima, tapi kita kena tegas dalam menyampaikan.
3. Takhwif Ukhrawi – تخويف أخرو

Takhwif ukhrawi azab neraka

Ancaman Akhirat. Ianya adalah ayat-ayat ancaman supaya gerun dengan keadaan dan kejadian akhirat. Itulah ancaman seksa. Manusia memang kena diberi rasa takut atau warning. Macam juga speed-trap di jalanraya kita, kalau tidak ada, manusia tidak takut. Memang manusia dah jenis macam itu dan Allah memang kenal dengan makhluk yang dijadikanNya. Oleh itu, diberikan ayat-ayat sebegitu supaya kita takut dan beringat. Sepatutnya, apabila kita baca ayat-ayat Quran berkenaan akhirat, kita dah takut dah. Sepatutnya kita lebih takut kepada akhirat lebih dari takut kepada manusia.

Akhirat itu bermula dari sakaratul mawt seorang makhluk sampai ke dalam neraka. Itulah permulaan akhirat bagi orang itu.

Ayat takhwif (ancaman) didatangkan oleh Allah s.w.t supaya pihak lawan yang masih enggan menerima da’wa itu akan merasa takut serta bimbang terhadap masa depan mereka, lalu melalui takhwif ukhrowi ini akan mendorong mereka mengakui serta menerima Dakwa yang terdapat dalam Quran. Ayat-ayat Quran ini adalah mukjizat, ianya membuka hati manusia untuk mendengar dan membuka hati mereka. Kadang-kadang ada yang tidak mahu terima, tapi setelah dibacakan ayat-ayat takhwf ukhrawi ini, ada yang lembut hati mereka. Quran itu pandai pujuk manusia.

Contoh Takhwif Ukhrawi adalah,

وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَى جَهَنَّمَ وِرْدًا

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga. (Maryam:86)

 

4. Takhwif duniawi – تخويف دنيوي

surah taha ayat 124-takhwif duniawi

Ancaman di Dunia. Ianya adalah ugutan atau ancaman dengan keadaan yang akan berlaku di dunia. Ayat-ayat sebegini memberitahu kita yang kalau kita tolak agama, dalam dunia lagi dah boleh kena azab. Ketahuilah yang ancaman seksa itu boleh dikenakan semasa kita hidup di dunia lagi. Tak payah tunggu di akhirat lagi dah kena di dunia. Kesusahan yang dikenakan oleh Allah tidak akan mampu diselamatkan oleh sesiapa pun. Dalam Bahasa Arab, sebagai contoh, dinamakan ايام الله ayyaamullah (Hari-hari Allah) di mana Allah menceritakan bagaimana kaum-kaum yang terdahulu telah diberikan dengan azab mereka di dunia lagi seperti kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya.

Contoh lain Takhwif Duniawi adalah

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;  (Maryam:98)

Takhwif duniawi kalah perang

 

5. Tabshir Ukhrawi – تبشير أخروي

surga-selamanya tabshir ukhrawi-baqarah ayat 82

Khabar Gembira tentang Akhirat. Ianya adalah ayat-ayat tentang berita gembira dengan keadaan di akhirat bagi yang menerima Dakwa. Mereka yang menerima Dakwa dan tuntutan wahyu dijanjikan akan diberikan dengan nikmat akhirat yang tidak terhingga. Kadang-kadang mereka terpaksa bercanggah dengan kebanyakan manusia. Kalau jadi begitu, maka abaikanlah apa kesusahan kita di dunia ini kerana kita akan dibalas dengan kesusahan kita itu. Ayat-ayat sebegini memberi semangat kepada kita yang menerima Dakwa itu.

Contoh tabshir ukhrawi adalah ayat

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). (Kahf:107)

6. Tabshir Duniawi – تبشير دنيوي

Tabshir duniawi surah nuh 10-12 fadhilat istighfar

Contoh tabshir atau khabar gembira semasa di dunia.

Khabar Gembira dalam Kehidupan Dunia. Ianya adalah ayat-ayat tentang berita gembira tentang perkara yang boleh diterima semasa di dunia lagi kepada mereka yang menerima Dakwa.

Ianya menceritakan tentang kepuasan hidup yang akan dimiliki oleh orang yang menerima Dakwa, seperti yang diberikan kepada para Nabi. Ianya dikenali sebagai hayyatan thoyyibah. Ianya adalah kepuasan yang tidak dapat dirasai oleh orang kafir. Kalau sesuatu perkara itu orang kafir pun boleh dapat, maka itu bukanlah tabshir duniawi yang dimaksudkan. Ia bukanlah kekayaan kerana ramai orang kaya tapi ada yang bunuh diri mereka. Tabshir Duniawi ini adalah kepuasan hidup yang diberikan kepada mereka yang menerima Dakwa dari dalam Quran. Lihatlah bagaimana Nabi-nabi miskin belaka tetapi mereka puas dengan kehidupan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi sengaja tolak kekayaan dari hidup baginda walaupun baginda boleh dapat perkara itu. Jadi takkan Nabi tak dapat tabshir ini? Nabi bersyukur kerana Nabi dah dapat kepuasan. Kepuasan hidup Nabi adalah menderita kerana Allah. Inilah kenikmatan sebenar.

Ini bukanlah menyuruh kita menolak nikmat zahir. Tapi ianya memberitahu kita bahawa bukan nikmat zahir sahaja yang kita mahu. Nikmat zahir itu pun tidak ada harga pun sebenarnya. Lihatlah bagaimana, apabila para isteri Nabi teringin lebih sikit dari kenikmatan dunia, Nabi dengar sahaja, terus baginda terasa. Mereka boleh dapat semua itu, tapi kalau mereka hendakkan kenikmatan dunia, mereka tak layak duduk dengan Nabi. Nabi sedih kerana mereka tak faham sedangkan mereka duduk dengan baginda. Pada baginda, kalau isteri-isteri yang duduk dengan baginda pun tidak faham, orang lain macam mana lagi? Oleh kerana baginda amat terkesan dengan peristiwa itu, Nabi tak bercakap dengan mereka selama sebulan. Waktu itu, Saidina Umar terus pergi berjumpa Nabi untuk bertanyakan samada baginda telah menceraikan isteri-isteri baginda kerana dia takut kalau Nabi ceraikan anaknya Habsah kerana anaknya adalah salah seorang isteri Nabi. Waktu itulah dia melihat keadaan rumah Nabi. Beliau sedih dengan keadaan itu dan telah menyuruh baginda berdoa supaya diberikan lebih lagi dari hal dunia. Nabi kata: kamu tak faham lagi? Apa yang mereka dapat di akhirat lebih baik lagi. Ini mengajar kita, semakin kita menderita, semakin tinggi di akhirat.

Sedikit sahaja disebut tabshir dunia dalam Quran kalau dibanding dengan tabshir ukhrawi. Kerana segala kenikmatan dunia ini akan kena tinggal pun akhirnya. Oleh kerana ianya tidak kekal, maka cukuplah disebut sedikit sahaja.

Contoh lain tabshir duniawi adalah ayat

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (an-Nasr:1)

 

7. Shikayah atau shakwa – شكاية

Ianya adalah ayat rungutan Allah tentang sikap degil manusia. Tujuan Shikayah adalah supaya hamba tahu yang Allah tak suka dengan apa yang mereka sedang lakukan dan mereka kena tukar cara. Kalau Allah tak suka sampai merungut, itu ada masalah, maka kena ubah cara hidup.

Allah hendak manusia masuk syurga, diajar cara-caranya, tapi tak mahu juga. Allah nukilkan dalam Quran ini, perkataan-perkataan hambaNya yang degil. Ianya adalah jenis ayat, apabila Allah menceritakan tentang kata-kata mereka yang tak munasabah. Seumpamanya seperti Allah nak kata: Tengoklah betapa teruknya mereka ini …. tengoklah kata-kata mereka….

Atau, kata-kata mereka yang mencabar Nabi dan menghina Nabi. Memang kedudukan kebanyakan Nabi-Nabi adalah rendah dalam dunia, sampai ada yang mencabar dan menghina Nabi atau pembawa Dakwa. Nabi dah molek dah ajar manusia bagaimana cara nak masuk dalam syurga, tapi mereka tolak dan hina para Nabi. Ada yang kata nabi nak kaya, nak kerajaan dan macam-macam lagi. Atau kata-kata mereka yang mencabar kemampuan Nabi. Maknanya, bukan pendakwah sahaja yang dihina, tapi para Nabi juga dihina. Sebagaimana Nabi bersabar, kita pun kena bersabar juga. Tujuan mereka menghina begitu adalah kerana nak tundukkan pembawa Dakwa dan menghalang mereka dari menyampaikan dakwah. Kalau berhenti, berjayalah mereka dan sukalah syaitan kalau jadi macam begitu. Jadi, kita yang menyampaikan wahyu ini, jangan berhenti. Kerana perbuatan dan perkataan mereka itu akan terus berlaku. Mereka mengeluarkan perkataan dari bisikan syaitan. Tapi Allah cerita kepada kita supaya kita jangan berhenti menyampaikan ayat-ayat Allah. Kerana kalau kita teruskan, ada kemungkinan orang yang melawan itu akan lembut hati dan mahu menerima wahyu Ilahi. Kadang-kadang, apa yang mereka kata itu, sekejap sahaja. Kalau kita terus sampaikan, syaitan pun akan tinggalkan mereka.

Cara untuk kenal ayat-ayat sebegini adalah apabila ada kata قال atau قالوا. Allah nukilkan kata-kata mereka yang Dia tidak suka. Contoh ayat Shikayah adalah:

وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami. (al-isra’: 90)

 

8. Zajrun – زجر

Ini adalah jenis ayat-ayat teguran. Ada dua jenis: kepada yang mengikut Quran dan juga kepada yang melawan.

A: Dikira sebagai ‘teguran membina’ atau nasihat yang berguna, jikalau ianya diberikan kepada Nabi dan umat Islam yang beriman. Kerana manusia perlu memperbaiki diri mereka walaupun mereka tidak buat salah.

B: Kalau kepada yang melawan, ianya adalah ‘teguran keras’ dan ‘kiasan pedas’. Kerana tuntutan mereka yang tidak munasabah dan sikap mereka yang salah.

Kedua-dua jenis teguran itu adalah untuk memperbaiki sifat manusia. Termasuk teguran yang membina pun. Ini susah sikit nak faham. Sebagai contoh dalam tawbah:41, Allah berfirman

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Dalam ayat ini, suruhan Allah adalah untuk semua sekali umat Islam waktu itu pergi untuk berjihad. Allah telah pesan untuk kosongkan Madinah untuk berperang di Tabuk. Tabuk itu adalah tempat yang jauh, waktu itu adalah musim panas dan musuh yang hendak dihadapi adalah ramai. Ditambah pula yang hasil kurma waktu itu sedang elok dah sudah boleh dikutip. Itu semua adalah dugaan-dugaan berat untuk pergi berperang. Ramai yang sudah tidak mahu pergi berperang dan ada beberapa munafik datang jumpa Nabi untuk beri alasan palsu. Tapi Nabi beri izin kepada mereka untuk tidak ikut berperang. Kerana Nabi beri izin itulah yang Allah tegur. Inilah yang dinamakan ‘teguran membina’. Ini terdapat dalam ayat Tawbah:43, dimana Allah telah tegur dan maafkan Nabi.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ

Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi tak bagi izin. Kalau baginda tidak benarkan, tentulah akan dapat tahu siapakah yang beriman dan siapa yang munafik, kerana yang munafik tentu tidak akan pergi berperang. Tapi, disebabkan Nabi telah beri izin kepada mereka untuk tidak berperang, maka tidaklah jelas siapakah yang munafik dan siapa yang tidak. Kerana munafik yang tidak pergi berperang itu boleh kata yang Nabi telah benarkan mereka untuk tidak pergi.

Dengan ayat ini, mengajar kita bahawa kalau Khalifah sudah beri perintah untuk berjihad, yang tidak pergi adalah munafik. Kerana ayat itu walaupun asalnya untuk Nabi, tapi ianya kepada kita juga. Ini adalah kaedah pengecaman yang kita boleh gunakan untuk menentukan siapakah kalangan munafik di kalangan kita. Iaitu mereka itu tidak pergi berperang dan mereka tidak keluar infak.

Kadangkala Nabi ditegur kerana khilaful awla – perkara yang kurang baik dari yang lebih baik – menyalahi yang terbaik. Bukanlah Nabi telah buat satu kesalahan tetapi ianya adalah kesilapan sahaja yang tidak dipersalahkan kepada Nabi. Oleh itu, kena berhati-hati dalam menghurai ayat sebegini, kerana takut kita kata sesuatu kata yang tak sesuai terhadap Nabi. Jangan kita kata sesuatu yang sampai boleh merendahkan kedudukan Nabi. Boleh rosak akidah kalau merendahkan Nabi Muhammad. Kerana tidaklah sama teguran kepada Nabi dan orang mukmin dan teguran kepada puak penentang. Teguran Allah kepada orang mukmin tidak berat.

Contoh ayat Zajrun untuk penentang pula adalah seperti yang disebut dalam Ghafir:83

فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرِحوا بِما عِندَهُم مِنَ العِلمِ

Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka;

Mereka lebih berbangga dengan ilmu sesat yang mereka ada. Padahal itu adalah ilmu khayalan yang bukan datang dari wahyu tapi dari nafsu mereka. Macam kita zaman sekarang, kita bawa dalil yang sahih, tapi mereka kata mereka ada hujah juga, tapi dari kata tok guru-tok guru salah mereka. Mereka berbangga dengan ilmu salah mereka pula. Ayat ini kena sangat kepada pengamal bidaah di negara ini. Jadi, jangan kita malu alah dengan dalil yang mereka bawakan – kita kena periksa dalil mereka itu, datang dari mana, sah atau tidak.

 

9. Tasliah atau tasalli – تسلية / تسلّى

Ini adalah ayat-ayat pujukan atau penghibur hati kepada penyebar Dakwa – merangkumi Nabi dan semua umat yang menyebar tauhid – termasuk pengikut Nabi. Apabila kita berdakwah menyampaikan ajaran agama, akan ada yang kata buruk terhadap kita. Bukan senang nak dakwah – walaupun kita benar, tidaklah semua orang akan terima. Ramai yang belajar benda selain dari Quran dan Sunnah, maka mereka ikut nafsu mereka. Marah betul mereka apabila kita kata apa yang mereka faham dan amalkan itu salah. Mereka bukan sahaja tidak terima, tapi ada yang menentang dan kata buruk terhadap kita. Tambahan pula mereka sudah lama amal ikut bisikan syaitan, syaitan dah banyak tanam saham dengan mereka, maka tidak mudah syaitan nak lepaskan mereka ikut Sunnah.

Apabila itu berlaku, hati ini akan kecewa sungguh. Kepada mereka yang menerima dugaan itu, ada ayat-ayat yang Allah turunkan kepada Nabi dan penyebar dakwa sebagai penghibur dan pujukan hati – supaya mereka mendapat ketabahan. Jangan mudah kecewa. Allah memberitahu kita untuk menelan apa yang kena kepada kita, nanti akan dibalas dengan baik di akhirat kelak. Susah sekejap sahaja di dunia, bukan lama. Diberikan ayat-ayat sebegitu supaya mereka mendapat ketenangan dalam menyebar dakwah. Bukan hanya kita sahaja yang kena, tapi Nabi pun menderita kerana kata-kata umat baginda. Apabila kita memperjuangkan perkara yang sama, maka kita pun akan terima juga. Ayat-ayat yang menghiburkan hati Nabi, ia juga akan menghiburkan hati kita yang mendapat tentangan dalam usaha dakwah kita.

Ada tiga jenis ayat-ayat Tasliah:
a. al balwa iza ‘ammat, khaffat. لبلوى اذا عمّت خفّت
‘Penderitaan itu apabila ia telah jadi umum, ianya dirasa ringan’. Musibah itu jika ianya umum, iaitu apabila kita tahu yang orang ramai lain pun terkena juga, maka yang kita yang menerimanya juga akan rasa ringan. Kita rasa ringan sebab tak rasa kita sahaja yang kena, tapi ramai juga yang lain kena – kita tidak berseorangan yang kena. Adalah kurang sedikit rasa kesusahan itu. Contoh, kalau kita sakit perut, kita akan rasa kurang rasa sakit itu kalau kita tahu yang ramai lagi yang sakit perut. Sebagai contoh, ayat Fathir: 25

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.
(Melayu)

Dalam ayat ini, Nabi dan penyebar Dakwa diberitahu yang bukan mereka sahaja yang kena tolak dalam usaha dakwah mereka, tapi orang-orang terdahulu sebelum mereka pun kena juga. Maka, itu mengurangkan sedikit keresahan dan sakit hati yang dialami oleh Nabi. Kalau mereka boleh sabar, takkan kita tidak boleh sabar?

 

b. Tarqul qaliili lil kathir. ترك القليل للكثير.

‘Meninggalkan yang sedikit demi untuk mendapat yang lebih banyak’. Meninggalkan yang sedikit untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar nilainya dan lebih banyak. Perumpamaan, kita tinggalkan projek yang kecil dan pulangan yang sedikit, asalkan kita boleh dapat projek yang berjuta-juta harganya – kita tak kisah pun kalau orang lain berebut nak dapatkan projek yang kecil-kecil itu.

Seperti yang kita tahu, Allah tak limpahkan kelebihan keduniaan kepada pendakwah seperti yang diberikan kepada mereka yang menentang dakwah. Kadang-kadang kita lihat orang yang kafir dan yang menentang Islam, kehidupan dunia mereka nampak sangat mewah. Sedangkan kita lihat penyeru Dakwa seperti Nabi kita sendiri, seperti tidak ada apa-apa dalam dunia ini, mereka hidup dengan serba kedaifan. Tapi dalam masa yang sama mereka kena dakwah kepada mereka-mereka yang kaya dan yang berkedudukan tinggi dalam dunia. Semua ini mencabar Nabi dan penyeru Dakwa sedikit sebanyak.

Tapi Allah beritahu bahawa dunia ini kecil sahaja, dan akhirnya semuanya akan ditinggalkan. Allah memujuk: Tahanlah sekejap kesengsaraan yang dialami semasa di dunia ini. Ianya tidak ada apa-apa pada hakikatnya. Hasil dari kesabaran itu, mereka akan dapat kelebihan di akhirat yang lagi besar. Dengan membaca ayat-ayat itu, menjadi ringan untuk menghadapi segala kesusahan yang kita alami di dunia.

Contoh ayat sebegini adalah seperti ayat Ali Imran:196-197

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh bebasnya orang-orang yang kafir bergerak di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Kelebihan keduniaan yang mereka dapat itu sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Nabi akan dapat di akhirat nanti. Berapa sangatlah kelebihan mereka dapat itu, kalau makan banyak, berapa sangat yang mereka boleh makan? Maka, biarkanlah mereka apa sahaja mereka nak kata. Dan Nabi dan mereka yang beiman akan dapat kelebihan yang berkali-kali ganda. Kita pun sebagai pendakwah, akan tentunya berjumpa dengan mereka yang harta dan kemewahan berjuta-juta, tapi janganlah kita terpesona dengan kelebihan yang mereka ada itu.

 

c. Tarqul mubalaati bil mukhaaliifin biada’i syukri ترك المبالاة بالمخالفين بأداء الشكر على نعم المنعم
‘Tidak peduli pada penentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran’. Tidak mempedulikan sikap segala mereka yang menentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran ke atas nikmat kepada Allah, sebesar-besar pemberi nikmat. Nikmat-nikmat itu dalam bentuk rohani yang tidak ternilai sekali. Kalau kita memikirkan sangat apa yang orang kata terhadap kita, kata kita sesat, wahabi dan sebagainya, akan sesak fikiran dan nafas kita – buang masa sahaja, baik kita solat dan buat amalan ibadat yang lain. Memang syaitan mahu kita buang masa dan susah hati memikirkan perkara itu. Oleh itu, tumpukan fokus kita kepada buat amal ibadat. Itu lebih baik dari kita memikirkan apa yang mereka katakan itu. Mereka sibuk cari dosa, kita sibukkan diri kita dengan cari pahala.

Allah mengajar kita supaya jangan layan apa kata mereka yang menentang, tapi banyakkan bersyukur kepada Allah. Jangan hirau dengan cakap para penentang. Takkan kita nak marah kepada pekerja sampah yang tidak ada kedudukan? Macam kita yang sudah tahu tauhid ini, takkan nak lawan dengan mereka yang tidak ada nikmat iman? Syaitan sampaikan kata-kata mereka kepada kita kerana syaitan nak kita berhenti dakwah. Kenanglah bagaimana Allah dah bagi Quran, bagi wahyu, bagi Nabi kepada kita, dan itu sudah sebesar-besar nikmat dah.

Dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, hati kita akan jadi tenang. Fikirkan yang positif. Kenangkan juga nikmat iman yang Allah dah berikan kepada kita. Sibukkan hati kita dengan ibadat kepada Allah. Ucapkan syukur kepada Allah sentiasa. Jangan serabutkan fikiran dengan perkara-perkara yang tidak penting. Ingatlah bahawa kesusahan yang kita alami ini akan mendapat balasan baik di akhirat. Kita kena Tawajuh (hadapkan wajah) kepada Allah. Lihatlah bagaimana Nabi tenang dan damai walaupun baginda dikelilingi dengan musuh yang ramai, kerana baginda telah diberikan dengan ayat-ayat tasliah macam ini.

Contoh ayat tasliah jenis ini: Taha:130

فَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ

Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).

Apabila kita hadapkan hati kita kepada Allah, Dia akan berikan ketenangan kepada kita. Inilah ubat untuk mengubat hati kita dari terganggu dengan apa yang mereka lakukan dan katakan terhadap kita.

 

10. Umur Muslihah – أمور مصلحة

‘Amalan-amalan yang memberi kesan kepada Islah diri’. Ianya adalah ayat-ayat yang mengajar amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah (memperbaiki) diri.

Apabila kita terima Allah dan kenal Allah, maka kita akan berkeinginan untuk mendekatkan diri dengan Allah dan cara untuk menghampirkan diri kepadaNya adalah dengan cara ibadat yang Nabi ajar berdasarkan dari Quran dan Sunnah.

Bukan setiap manusia yang terima Islam itu sudah sempurna agama mereka. Maka kena ada usaha untuk memperbaiki diri. Nak dapat hasil, kena luang masa. Dan untuk mendapatkan ilmu, ianya berhajat kepada tempoh dan melalui proses.

Dalam kita berdakwah, kita mesti akan bertemu penentang yang ramai. Walaupun ianya berat, tapi kita kena sampaikan juga Dakwa kepada mereka. Dan untuk menyampaikan dakwah, kita sendiri kena hidup dalam sistem yang baik yang boleh menjadi tauladan kepada orang lain. Jangan orang lihat cara hidup kita yang buruk sampai mereka tidak selera nak dengar dakwah kita. Ini termasuklah perkara yang nampak macam kecil seperti menjaga kebersihan dan sebagainya. Apabila hidup kita elok, barulah senang nak sampaikan dakwah. Baru orang pandang baik kepada kita. Tidaklah sama sahaja kita dengan orang yang berperangai buruk. Kadang-kadang perangai buruk kita menjadikan orang susah terima Islam kerana mereka mengaitkan perangai kita dengan agama Islam itu sendiri. Untuk mendapatkan kehidupan yang baik, kita memerlukan kepada ayat-ayat jenis umur munazimah yang akan diterangkan selepas ini.

Ada kaitan yang amat rapat antara ayat-ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Ayat-ayat umur munazimah adalah untuk menyusun hidup kita jadi baik dan harmoni, bertimbang rasa dan supaya menjadi baik. Untuk mengamalkan ayat-ayat Umur Munazimah, kena ada amalan khusus yang Allah beri untuk menyusun kita. Itulah umur muslihah. Bila umur muslihah betul, barulah umur munazimah menjadi. Maknanya, kena mulakan dengan Umur Muslihah dahulu.

Ayat Umur Muslihah adalah ayat-ayat tentang ibadat khas seperti solat. Allah mendidik kita untuk jadi molek dengan solat kerana solat adalah Umur Muslihah yang terbaik. Contoh ayat-ayat Umur Muslihah adalah seperti firman Allah dalam 2:238

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Peliharalah kamu segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (Asar atau Subuh) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Ayat ini diletakkan diantara ayat-ayat tentang kehidupan berkeluarga. Tiba-tiba sahaja masuk tentang solat. Kalau dikira ikut susunan, macam tidak kena. Macam silap cetak pula. Dan memang golongan Syiah ada kata yang inilah kesilapan golongan sunni dalam menulis semula Qur’an – mereka gunakan ini sebagai dalil yang puak sunnah reka Quran.

Solat yang baik adalah solat yang menjaga khusyuk dan dengan berjemaah di masjid. Merekalah yang boleh dibentuk menjadi masyarakat yang baik, yang boleh ikut hukum-hukum Umur Munazimah yang Allah berikan. Begitulah, ayat Umur Muslihah ini dimasukkan di antara ayat-ayat muamalah dan mu’asharah. Kalau tak belajar, tak nampak kaitan antara ayat-ayat itu.

Kaitan yang lain adalah apabila kita buat baik di satu bahagian, ianya akan merangsang kebaikan di bahagian yang lain. Kerana ianya menjadi satu dorongan kepada yang satu lagi. Itu sebab diselangi antara ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah.

Dari kebaikan yang ada itu, ‘adat’ atau Umur Munazimah akan jadi elok dan teratur. Umur Muslihah jadi ‘ibadat’ dan Umur Munazimah jadi ‘adat’. Ada empat jenis ‘adat’ dalam kehidupan:
1. Mu’asharah – adat dengan keluarga kita.
2. Muamalah – hubungan sesama masyarakat. Iaitu hubungan satu keluarga dengan keluarga yang lain. Semua ada kerja masing-masing yang perlu dijalankan. Kita sentiasa memerlukan sesuatu dari orang lain. Ianya memerlukan pertukaran keperluan yang baik antara satu sama lain.
3. Siasatul madaniah – Keluarga yang lebih besar adalah masyarakat. Masyarakat yang baik kena ada pemimpin. Jadi ayat-ayat jenis ini mengajar sistem pentadbiran.
4. Akhlak dan budi pekerti – Ini merangkumi semua perhubungan antara manusia dan manusia dan juga antara manusia dan haiwan juga.

Semua ‘adat’ ini akan jadi baik kalau ‘ibadat’ kita baik. Kalau kita buat dosa dalam ibadat, dosa itu akan mengheret kita kepada melakukan dosa dalam perkara kehidupan kita. Kerana dosa itu akan meransang kita untuk buat dosa lain. Kita kena bertaubat atas dosa-dosa yang kita buat dalam ibadat kita. Sebab itu kita diajar untuk melakukan taubat dalam solat. Kalau bertaubat, perasaan untuk buat dosa lain akan jadi lemah. Inilah adalah cara yang amat mantap dan penting untuk dilakukan.

Kalau kita buat pahala, akan melahirkan dalam hati satu dorongan baru untuk berusaha untuk buat kebaikan lain. Mula-mula solat fardhu, kemudian kita akan berasa nak solat sunat pula. Amalan baik akan mendapat taufik dari Allah.

 

11. Umur Munazimah – أمور منظمة

Ayat-ayat ini mengajar cara hidup bermasyarakat Islam kepada mereka yang telah menerima Dakwa. Ini adalah kesinambungan dari umur muslihah. Oleh itu, kena ada umur muslihah dahulu. Kerana itu di celah-celah ayat umur munazimah, akan ada ayat-ayat umur muslihah.

Ianya adalah ayat-ayat tentang kaedah hidup bermasyarakat termasuk nikah kahwin, jual beli, cara memiliki harta, cara membelanjakan harta, pembahagian harta pusaka dan undang-undang jenayah (apabila berlaku keterlanjuran) serta cara-cara  “muhakamah” (mengadili) dan lain-lain lagi. Dari awal kita hidup, sampailah kita mati, semuanya telah disentuh. Tidak perlu panduan cara hidup dari budaya lain. Takut kalau tambah dari cara lain, boleh punah dan rosak kehidupan kita. Apa yang ada dalam Quran dan Sunnah sudah cukup untuk kita menjalani kehidupan kita dari mula hidup sampai kita mati. Banyak orang belajar perkara lain sampai ke universiti, tapi agama dia tak belajar lagi. Kalau dia belajar, dia akan tahu bahawa agama Islam adalah agama yang syumul. Untuk kita tahu yang agama Islam ini hebat, kenalah dia belajar dahulu. Kalau belajar sikit sahaja, ala kadar sahaja, tentulah tak nampak. Kita kena seru umat Islam semua sekali menerima dan belajar agama Islam. Supaya kita boleh jadi contoh kepada mereka yang tidak tahu, terutama sekali mereka yang belum masuk Islam. Kita ada cara hidup yang sempurna, maka tunjuk dan ajak kepada mereka. Tidak perlu tunjuk pun, mereka lihat pun mereka dah terkesan nak ikut. Sebagai contoh, peperangan yang berlaku dalam Islam adalah untuk membebaskan masyarakat kafir yang tertindas dengan pemimpin mereka. Raja mereka mungkin tidak mahu masuk Islam dan sebab itu terjadi peperangan – tapi masyarakat itu sendiri, mereka memang nak masuk Islam.

Ingatlah bahawa kita tidak dapat menjalankan tugas dakwah kalau kehidupan kita sendiri kucar kacir. Susah hendak menjalankan kerja dakwah kalau kehidupan kita sendiri tidak boleh dicontohi. Ini adalah masalah besar yang dihadapi oleh kita sekarang. Lihatlah bagaimana kita hidup berpuak-puak dan berpecah belah.

Belajarlah bagaimana Quran ini boleh menyusun hidup kita. Semua sudah disentuh dalam Quran asalkan kita mahu belajar. Allah yang menjadikan kita, maka tentulah Allah tahu bagaimana cara yang terbaik untuk kita. Allah tak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan.

Contoh ayat-ayat Umur Munazimah adalah seperti ayat tentang mu’asyaroh dalam 2:226

لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ 
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan.

Juga ayat tentang mua’malah dalam 2:282

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكتُبوهُ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu

Diingatkan kembali, Umur Munazimah tidak akan sempurna kalau Umur Muslihah tidak sempurna. Kena baikkan hubungan dengan Allah dahulu, untuk mendapat hubungan yang baik dengan makhluk.

 

12. Idmaj – ادماج atau Jumlah Muqaddar

Perkataan yang tidak ada dalam Quran tapi mesti ditakdirkan ada bagi melahirkan makna sesuatu ayat. Ada perkataan dalam Quran yang tidak disebut, tapi sebenarnya ada. Ini adalah kerana ianya sudah dihazafkan (dihilangkan). Ianya adalah suatu jumlah yang tiada disebut di dalam al-Quran, tetapi mesti di’taqdir’kan bagi melahirkan makna sebenar sesuatu ayat, atau dinamakan di dalam istilah lughah (bahasa) Arab, “jumlah muqaddaroh”.

Sebagai contoh dalam bahasa Melayu: Perkataan ‘terima kasih’ sebenarnya telah dihazafkan, sepatutnya panjang lagi (aku ucapkan terima kasih kepada kamu) tapi kita sebut ‘terima kasih’ sahaja. Ini berkaitan dengan ilmu balaghah. Ini membawa kita kepada belajar nahu Arab.

Contoh ayat Idmaj adalah 2:17

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api;

 

13. Idkhal ilahi – ادخال الهى

Ianya bermaksud: ‘pencelahan Tuhan’. Antara ayat yang ada hubungan antara satu sama lain. Tujuannya supaya ada penekanan khas kepada ayat tersebut. Ia menunjukkan yang ada benda penting Allah nak beritahu. Dalam ayat yang panjang, tiba-tiba ada ayat yang nampak macam tak kena dengan rentetan ayat-ayat yang lain, tapi sebenarnya Allah letak di situ sebagai penekanan.

Kadang-kadang ianya dimasukkan kerana Allah nak beri jawapan kepada soalan muqaddarah iaitu jawapan kepada pihak lawan. Macam ada soalan yang akan timbul dari mereka setelah diberitahu sesuatu perkara dalam Quran. Soalan itu memang tidak ada dalam ayat-ayat Quran, tapi sebenarnya ada. Ada dalam fikiran manusia. Maka, untuk tutup terus hujah mereka, Allah beri jawapan terus. Ini untuk memastikan fakta yang disampaikan dalam Quran itu mantap.

Contoh ayat idkhal ilahi ada terdapat dalam Ghafir:28

وَإِنْ يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ

Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu,

Ayat idkhal Ilahi ini diletakkan dicelah hujah dalam ayat yang sama:

رَجُلٌ مُؤمِنٌ مِن آلِ فِرعَونَ

seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun

Contoh lagi satu adalah dalam ayat 14- 15 dari Surah Luqman, dimana Allah masukkan Idkhal Ilahari dalam nasihat Luqman kepada anaknya. Ayat 14 dan 15 itu berlainan dari rentetan nasihat Luqman kepada anaknya. Ayat itu hendak menceritakan kepentingan tauhid kepada Allah.

 

14. I’aadahاعادة

Ianya bermaksud ‘pengulangan semula’. Diulang kalimah yang telah disebut sebelumnya supaya hukum dalam ayat sebelumnya boleh difahami dengan lebih mudah.

Atau kalimah itu akan mendekatkan semula hukum yang akhir dengan kandungan-kandungan yang panjang sebelumnya. Contoh terdapat dalam Waqiah:83 dimana ada pengulangan perkataan فَلَوْلَا .

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

Diulang perkataan فَلَوْلَا dalam ayat 86. Inilah yang dipanggil I’aadah.

فَلَوْلَا إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ

Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), –

Dalam rentetan ayat-ayat ini, Allah menceritakan tentang keadaan orang yang hampir mati. Tiada ada sesiapa yang boleh menahan roh untuk keluar dari jasad. Walau bagaimana berkuasa pun seseorang itu, dia tidak akan dapat menahan roh dari keluar. Sekuat mana pun seseorang itu, dia kena mengalah satu hari dimana kematian akan datang dan dia terpaksa akur kepada qudrat Allah. Allah cabar mereka yang ada kuasa, kenapa mereka mengalah waktu itu? – Kalau betul kamu berkuasa, maka tahanlah roh itu dari keluar -. Waktu itu semua tahu yang tidak ada sesiapapun yang boleh sekat. Kalau kamu mengalah waktu itu, kamu patut mengalah kepada hukum Allah yang lain dan percaya bahawa ada kehidupan selepas mati. Ayat ini diberikan kepada mereka kerana mereka tak percaya ada akhirat.

Allah nak beritahu yang akhirat dan pembalasan itu ada. Dalilnya adalah, apabila Dia nak ambil nyawa sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh sekat. Diberikan penekanan kepada mereka dengan dibawakan ayat-ayat dalam kaedah ini.

 

15. Khatmul qalbi – ختم القلب

‘Kunci mati mata hati’. Ayat yang menceritakan bagaimana Allah akan ‘kunci mati mata hati’.

Ianya adalah ayat-ayat yang didatangkan sebagai keputusan terakhir kepada penentang Dakwa. Setelah diberi peluang berkali-kali bagi mereka untuk menerima dakwah. Setelah didatangkan kepadanya akal, pancaindera dan telah dibawakan pembawa Dakwa, dari kalangan Nabi dan pengikutnya. Semua bawa dalil dan bukti serta contoh tauladan dan nasihat berguna. Semua itu dibawa supaya mereka menerima dakwa. Tapi mereka masih berdegil. Maka Allah, pada satu waktu akan menarik balik peluang untuk mereka mengikut hikmahNya dan taqdirNya. Setelah peluang itu tidak ada lagi, akan dikunci mati hati mereka. Waktu itu tidak ada jalan yang boleh menyampaikan mereka kepada haq. Penarikan peluang itulah yang dinamakan Khatmul Qalbi. Ini adalah tahap keempat. Maknanya, sebelum terjadi perkara ini, ada tiga peringkat lain sebelum itu. Maka kena beringat-ingat takut kita pun terkena juga. Peringkat-peringat itu adalah:

1. Syak atau was-was terhadap ugama. Tolak tidak, terima pun tidak. Ini pun sudah dikira sesat kerana kita sepatutnya kena terima kebenaran. Mereka ada syak terhadap Qur’an dan agama. Oleh kerana syak, maka mereka tunggu dan lihat apa yang terjadi, tanpa buat apa-apa. Itulah mereka yang kalau kita ajak mereka belajar, mereka tak mahu nak ikut.

2. Berada di atas kesesatan (dolalah). Iaitu apabila dia terima yang salah. Setelah ajaran yang betul dibacakan, mereka masih tidak terima. Ini terjadi kalau masalah dalam peringkat 1 tidak diselesaikan dan diperbaiki.

3. Sentiasa mujadalah (membantah dan melawan). Melawan kebenaran setelah dibacakan kebenaran kepadanya. Peringkat 1 dan 2, mereka duduk diam sahaja, tidak membantah. Tapi dalam peringat 3 ini, mereka mula bantah.

4. Kunci mati mata hati. Sampai bila-bila dia tidak akan terima Islam.

Mengunci mati hati manusia bukan kerja kita. Kita pun tak boleh kata seseorang itu telah dikunci mati hatinya. Kita jangan ambil kerja Tuhan pula dengan mengatakan seseorang itu tidak ada harapan lagi untuk terima iman. Kita kena seru kepada semua orang.

Kita baca ayat ini untuk kita sendiri beringat, bukannya nak hukum orang lain. Dan supaya kita dapat ingatkan kepada orang lain. Sebab ramai yang tak tahu langsung perkara ini.

Tiga perkara berkenaan Khatmul Qalbi ini disebut dalam Quran.

1. Apakah makna Khatmul Qalbi itu. Supaya manusia tahu apakah ia. Selepas kita sudah tahu apakah ia, maka kita kena doa kepada Allah supaya kita dijauhkan darinya.
2. Cara ianya berlaku dan kenapa berlaku.
3. Siapa yang melakukan Khatmul qalbi itu. Tentulah yang hanya boleh melakukannya adalah Allah. Hanya Allah yang menentukan siapa yang akan dikunci mati hati mereka. Ianya dilakukan mengikut ‘hikmah ilahiah’. Allah sahaja yang tahu kenapa hati mereka dikunci mati.

Apabila kita mati dalam keadaan itu, ianya adalah Su’ul khatimah dan ianya adalah perkara yang amat malang. Maka kita kena minta berlindung darinya.

Contoh: A’raf: 179

لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ayat ini menceritakan apakah Khatmul qalbi. Iaitu mereka yang ada hati tapi kebenaran tidak akan masuk.

Bagaimana pula cara ianya berlaku? Allah sebut dalam Mutaffifin:14

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Allah telah menutup hati mereka sampaikan mereka tak boleh nak nampak kebenaran.

Siapakah yang melakukan Khatmul qalbi itu? Allah lah yang melakukannya. Seperti Allah sebut dalam Baqarah: 7

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

 

16. Rabtul qalbi – ربط القلب

‘Peneguhan Hati’. Ianya adalah lawan kepada Khatmul qalbi. Ianya adalah peneguhan hati atau keyakinan yang sejati. Maksudnya, seseorang itu diberikan iman yang sempurna yang membawa kepada kejayaan. Ianya akan diberikan kepada hamba yang berusaha.

Iman yang tidak sempurna akan sentiasa melanggar hukum Allah. Iman mereka ada, tapi tidak sempurna. Menyebabkan dia akan diazab beberapa lama di neraka. Mereka yang iman sempurna tidak akan masuk neraka langsung.

Ianya adalah Ayat-ayat yang menceritakan tentang hati Pembawa Dakwa. Iaitu mereka yang belajar dan menerima Quran. Mereka Istiqamah dalam pendirian mereka. Mereka akan menegakkan hukum dalam segala ujian. Mereka tetap teguh walaupun mereka diuji dengan berbagai-bagai ujian. Hati mereka sampai ke peringkat sukar kembali kepada kesesatan. Mereka takkan sesat dah kerana mereka telah memiliki Rabtul qalbi. Kalau orang lain, ada lagi kemungkinan boleh jatuh ke lembah kesesatan.

Ini pun tahap iman yang keempat. Ada tahap tahap lain sebelumnya. Inilah tahap yang kita mahu. Semua tahap-tahap itu disebut dalam Quran.

1. Sifat inabah. Ada keinginan kepada kebenaran, mereka mencari-cari kebenaran, ingin belajar dan sebagainya. Walaupun tak buat lagi, tapi ianya adalah permulaan kepada hidayah. Mereka sanggup dengar dahulu apa yang hendak diberitahu dalam agama. Mereka mahu kepada kebenaran. Mereka hendak mencari kebenaran.

2. Duduk di atas jalan hidayah. Sudah menerima kebenaran.

3. Istiqomah. Setelah diduga, ditentang tapi masih tetap di atas jalan hidayah, Allah akan angkat lagi kedudukan manusia itu. Mereka dapat melepasi ujian yang Allah berikan. Mereka sabar dengan ujian dan tidak meninggalkan agama. Kenalah kita ingat yang ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat.

4. Diteguhkan hatinya di atas aqidah tauhid. Setelah melalui berbagai-bagai dugaan dan tentangan tapi dia masih tetap tidak kisah. Tidak terkesan lagi dengan mana-mana dugaan. Maka, mereka akan tetap terus beriman dan akan mati dalam Husnul Khotimah.

Nabi dan para sahabat telah sampai ke tahap keempat ini. Sebab itu mereka boleh dijadikan sebagai contoh tauladan. Selain dari mereka, tidak boleh lagi dijadikan contoh kerana belum tentu mereka itu telah selamat. Kerana kita tak tahu mereka tahap mana. Macam Nabi dan para sahabat, telah diberitahu oleh Allah yang mereka telah sampai ke tahap keempat. Semua sahabat dikira sebagai ‘adil’. Merekalah neraca syariat yang kita kena ikut.

Contoh yang diberikan: Kahfi:14

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Semua pemuda Kahfi itu telah mendapat Robtul Qalbi. Mereka sanggup berdiri menegakkan hujah berdepan dengan raja yang zalim. Maka Allah telah berikan Robtul Qalbi kepada mereka. Mereka telah dilindungi dalam gua untuk menjaga akidah mereka. Para wali, seperti Pemuda Kahfi ini, ada sifat ini. Oleh kerana mereka telah dijadikan sebagai contoh, maka kita kena jadikan mereka sebagai contoh. Iaitu kita kena cakap tentang kebenaran walaupun kita berdepan dengan orang yang bahaya, yang boleh memudharatkan kita. Oleh itu, kita boleh mendapat Robtul Qalbi ini kalau kita sampaikan kepada mereka yang melawan.

Allahu a’lam. Sambung ke Risalah ke 2: Fawaid Tafsir


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Ilmu Usul Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s