Tafsir Surah Jin Ayat 8 – 13

Pengenalan:

1. Janganlah kita membesarkan jin. Sedangkan kedudukan mereka itu lebih rendah dari kita sebenarnya. Jangan kita ada sangkaan dalam hati kita yang mereka ada kuasa lebih. Dalam satu hadis riwayat Abi Dawud:

كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَعَثَرَتْ دَابَّتُهُ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ . فَقَالَ لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولَ بِقُوَّتِى وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Ketika aku dibonceng Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba-tiba unta beliau tergelincir. Serta merta aku berkata, “Celakalah syaitan.” Maka beliau bersabda, “Jangan kamu katakan, ‘celakalah syaitan,’ sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan dengan sombongnya syaitan akan berkata; ‘Itu terjadi kerana kekuatanku’. Akan tetapi, ucapkanlah ‘Bismillah’ sebab jika engkau mengucapkan basmalah syaitan akan mengecil hingga sebesar lalat. “(HR. Abu Dawud)

Malangnya, orang kita takut dengan jin dan rasa jin boleh buat sesuatu kepada mereka. Maka, itulah sebabnya jin itu lagi mengganas.

2. Jangan juga kita terpesona dengan mereka yang boleh scan dan nampak jin. Itu bukan satu kelebihan sebenarnya. Itu adalah satu kekurangan. Kalau kita atau anak-anak kita boleh nampak jin, ada masalah di mana-mana dan kena belajar lagi tentang jin. Kalau mereka yang ada beramal dengan wirid-wirid khas, salah satu masalah yang mereka akan hadapi adalah mereka akan nampak dan diganggu oleh jin. Kerana amalan mereka itu sebenarnya adalah sihir dan mereka memanggil jin sebenarnya untuk datang dan rapat dengan mereka. Maka, tinggalkanlah amalan-amalan yang tidak tsabit dari Nabi. Termasuklah amalan-amalan yang ustaz beri, yang ayah kita beri, kawan-kawan kita beri. Termasuklah kalau amalan itu membaca potongan ayat-ayat Quran pun. Bukan begitu cara amalan yang diajar oleh Nabi dan Islam.

3. Tidak ada kelebihan kalau boleh nampak jin. Sampaikan Imam Syafie telah berfatwa bahawa mereka yang nampak jin tidak boleh dijadikan saksi. Kerana mereka nampak benda yang tidak sepatutnya mereka nampak. Apa yang mereka nampak sudah tidak boleh dipercayai lagi. Takut mereka memberi persaksian yang salah. Mereka tidak diterima sebagai saksi samada sebagai saksi di mahkamah atau saksi nampak anak bulan.


 

Ayat 8: Ini adalah kisah yang disampaikan sendiri oleh jin, diulang semula oleh Allah dalam Surah Jin ini, bagaimana mereka dulu boleh naik ke langit tapi tidak boleh selepas Nabi diangkat menjadi Rasul.

72:8
Sahih International

And we have sought [to reach] the heaven but found it filled with powerful guards and burning flames.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ

`Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit,

Perkataan لَمَسْنَا dari katadasar لمس yang bermaksud ‘sentuh dengan tangan’ atau ‘mencari-cari sesuatu dengan tangan’. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud mereka mencari-cari maklumat di langit.

Dulunya, jin-jin itu boleh naik ke langit dan mendengar berita dari langit dan kemudian mereka akan menyampaikan berita dari langit itu kepada ahli nujum. Memang ada berita yang benar yang mereka sampaikan, tapi mereka akan tambah dengan beratus penipuan. Tetapi apabila ada satu sahaja berita yang benar, maka manusia terus terima pembohongan-pembohongan jin itu sebagai benar belaka. ‘

 

فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا

lalu kami dapati langit itu dipenuhi dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

حَرَسًا bermaksud ‘pengawal’. Mereka itu adalah para malaikat yang ditugaskan untuk menjaga Quran. Supaya jin-jin itu tidak dapat dekat dengan Quran walau sedikit pun.

Apabila jin-jin naik sahaja ke langit, merkea boleh nampak malaikat yang menjaga langit itu kerana mereka dijadikan dari api dan malaikat dijadikan dari cahaya. Kerana mereka dijadikan dari bahan yang hampir sama, jadi mereka boleh melihat malaikat. Allahu a’lam.

Quran dijaga supaya tidaklah ada jin yang dengar Quran dulu sebelum Nabi Muhammad mendengarnya dahulu. Kalau jin yang dengar dahulu, nanti mereka boleh buat penipuan pula dengan Quran itu.

Jadi, memang tidak pernah ada sesiapa yang mendengar Quran sebelum Nabi Muhammad. Oleh itu, tidaklah benar hujah yang kononnya ada yang kata ada syair Arab yang bunyi macam Quran. Mereka seperti hendak mengatakan yang Nabi Muhammad cedok Quran ini dari syair-syair itu. Hujah ini datang dari kalangan masyarakat kita. Padahal, tidak pernah diberikan hujah ini oleh Musyrikin Mekah sendiri. Tiba-tiba zaman sekarang timbul kisah mengarut macam ini. Kalaulah ada syair Arab yang bunyi macam Quran, Abu Lahab dan Abu Jahal dah lama dah pakai hujah itu, tapi kita tidak pernah dengar pun mereka mengatakan sedemikian. Jadi, tidak tahu dari sumber mana mereka dapat hujah karut itu.

Ayat ini amat penting kerana salah satu tohmah Musyrikin Mekah, mereka kata Nabi mendapat ayat-ayat Quran itu dari jin. Mereka nak kata bahawa jin lah yang mengajar Nabi Muhammad. Ini ditolak dengan ayat ini. Kerana jin-jin itu sendiri sudah tidak dapat lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita dari langit. Lalu mana mungkin mereka boleh kata yang jin yang memberikan ayat-ayat Quran itu kepada Nabi?

Perkara itu tidak akan terjadi. Allah sebut dalam Syua’ra:210-212

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ

Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.

وَمَا يَنبَغِي لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ

Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.

Tidak ada campuran atau gangguan pada ayat Quran kerana Allah sudah berjanji yang Dia sendiri akan menjaga Quran itu seperti yang Allah firmankan dalam Hijr:9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Bukan hanya malaikat yang menanti mereka tetapi ada api yang terbakar. Api itu akan mengejar mereka kalau mereka mendekati langit. Lihat ayat Mulk:5.

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Dalam ayat ini, jelas diterangkan bagaimana salah satu tujuan dijadikan bintang-bintang itu adalah sebagai rejaman kepada jin syaitan.


 

Ayat 9:

72:9
Sahih International

And we used to sit therein in positions for hearing, but whoever listens now will find a burning flame lying in wait for him.

Malay

`Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ

`Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya);

Dahulunya, mereka dapat naik sampai ke langit, iaitu langit dunia sahaja. Mereka akan duduk di tempat yang rendah sedikit supaya mereka boleh mendengar-dengar perbualan malaikat sesama malaikat. Tempat itu malaikat tak nampak. Dari tempat-tempat itu, dapatlah mereka mendengar sedikit perbualan malaikat. Bukan semua mereka dengar pun. Dengan modal yang sedikit itu itulah mereka menipu manusia. Mereka akan sampaikan kepada kawan-kawan mereka dari kalangan ahli nujum.

 

فَمَن يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا

maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu.

Api itu dalam bentuk tahi bintang atau meteorite akan dilemparkan kepada jin-jin yang cuba mendengar itu dan ianya akan mengejar syaitan. Ini berlaku apabila wahyu mula diturunkan kepada Nabi Muhammad. Api itu macam heat seeking missile – ianya akan ikut jin sampai dapat tembak, jadi jin-jin itu tidak boleh elak.

Dulu sebelum Nabi Muhammad mendapat wahyu, memang ada tahi bintang tapi ianya melintas sahaja. Tapi apabila wahyu dah diturunkan, ianya akan mengejar jin yang naik ke langit. Ianya jadi paling banyak semasa Nabi Muhammad baru dinaikkan menjadi Rasul. Kalau zaman sekarang, masih ada lagi sekali sekala kerana itu adalah tanda yang ada jin yang masih lagi cuba naik ke langit. Mereka adalah makhluk yang bodoh, jadi walaupun mereka tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka, mereka masih nak cuba-cuba juga.

Oleh itu, tahi bintang yang jatuh ke bumi itu adalah bekas rejaman jin. Jadi jangan pergi cari ‘batu petir’, sebab itu adalah bekas azab dari Allah. Sepertimana juga Nabi larang duduk di tempat azab Allah diturunkan. Apabila Nabi lalu di kawasan bekas Tentera Bergajah Abrahah dilontar dengan azab batu dengan Burung Abaabil, baginda akan bergerak dengan laju.

Contoh Batu Petir

Oleh itu, jin-jin tidak boleh elak rejaman api itu kepada mereka. Apabila mereka naik sahaja, mereka akan kena tembak. Mereka tak boleh melarikan diri pun. Maka jangan salah sangka dengan tahi bintang itu. Macam orang kita, ada yang wishing upon the stars – nampak tahu bintang jatuh, mereka buat wish, kononnya makbul – ini adalah salah sama sekali! Memang dari dulu lagi manusia ada pemikiran yang salah tentang tahi bintang itu. Ada satu hadis berkenaan perkara ini:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا في نفر من أصحابه قال عبد الرزاق من الأنصار فرمي بنجم فاستنار فقال صلى الله عليه وسلم ” ما كنتم تقولون إذا كان مثل هذا فى الجاهلية ؟ ” قالوا كنا نقول يولد عظيم أو يموت عظيم .قلت للزهري أكان يرمى بها في الجاهلية ؟ قال نعم ولقد غلظت حين بعث النبي صلى الله عليه وسلم قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” فإنها لا يرمى بهـا لموت أحد ولا لحياته ولكن ربنا تبارك وتعالى إذا قضى أمرا سبح حملة العرش ثم سبح أهل السماء الذين يلونهم حتى يبلغ التسبيح السماء الدنيا ثم يستخبر أهل السماء الذين يلون حملة العرش فيقول الذين يلون حملة العرش لحملة العرش ماذا قال ربكم ؟ فيخبرونهم ويخبر أهل كل سماء سماء حتى ينتهي الخبر إلى هذه السماء وتخطف الجن السمع فيرمون فما جاءوا به على وجهه فهو حق ولكنهم يفرقون فيه ويزيدون “

Pada suatu hari, ketika duduk bersama Nabi Muhammad SAW dengan beberapa sahabat, berjaya ibn Razzak, daripada kaum Ansar, tiba-tiba mereka melihat tahi bintang jatuh, kemudian Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang kalian katakan kalau jadi begini pada masa Jahiliyah? Mereka menjawab: “Kami dahulu kata bahawa ianya merupakan tanda lahir orang yang besar atau matinya seorang besar.

Perawi bertanya: adakah tahi bintang jatuh pada zaman jahiliyah? Zuhri kata: ya. Tetapi ianya makin banyak apabila diutuskan Nabi SAW.

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya tidaklah dilemparkan tahi bintang itu kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, akan tetapi apabila Allah taala yang Maha Berkat dan Maha Tinggi memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arsy ( para malaikat ) pada bertasbih, kemudian bertasbihlah penduduk langit yang dibawah pemikul Arash itu, hingga sampai tasbih itu pada langit dunia kemudian penduduk langit bertanya kepada ang dibawah pemikul Arash dan mereka pun bertanya kepada pemikul Arash – Apa kata Tuhanmu?

Pemikul Arash menceritakan kepada mereka dan penghuni langit beritahu kepada yang di bawahnya sehingga berhenti khabar itu kepada langit ini. Jin akan cuba mendengar dan mereka akan dilemparkan. Apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran tetapi mereka memecah-mecahkan di dalamnya dan menambah-nambah” (Riwayat Muslim)

Kalau kita lihat tilikan yang dilakukan oleh Nostradamus, memang ada yang betulnya. Tapi lihatlah bagaimana dia telah memecah-mecahkan dan menambah-nambah. Dia tidak cakap terus terang apakah sebenarnya akan terjadi. Jadi, ini mungkin kerana dia telah mendapat maklumat dari jin yang telah mendengar percakapan malaikat. Tapi itu zaman dahulu, sekarang mereka tak dapat naik dah. Dulu sahaja yang mereka boleh dengar. Selepas Nabi dinaikkan menjadi Rasul, mereka tidak boleh lagi untuk naik ke langit. Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tilik nasib sekarang, itu adalah penipu sahaja. Jin sekarang tak dapat maklumat apa dah. Maklumat yang mereka dapat dulu pun bukan ada guna pun, mereka tak dapat buat apa-apa sebab bukan boleh tukar pun. Apa yang ditetapkan akan terjadi, akan tetap terjadi. Tidak ada sesiapa yang boleh menolak qadar Allah.

Kalau zaman sekarang, kadang-kadang kita keliru macam mana seseorang bomoh itu tahu apa yang kita lakukan sebelum itu. Ini tidak perlu pelik, kerana setiap orang ada qarin (jin) bersamanya. Qarin itu tahu apa yang kita telah lakukan kerana qarin itu sentiasa ada bersama kita. Bomoh itu boleh tahu apa yang kita lakukan kerana jin belaan bomoh itu telah tanya kepada qarin seseorang itu. Qarin itulah yang memberitahu bahawa lelaki itu makan apa, apa dia buat semalam dan sebagainya. Setiap manusia diberikan dengan qarin, termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dan qarin itu akan membisikkan perkara yang tidak baik kepada manusia.

٤١٦٠ – حَدَّثَنَا زِيَادُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْبَكَّائِيُّ حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ قَالُوا وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَيْسَ يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

4160. Telah menceritakan kepada kami Ziyad bin Abdullah Al Bakka`i telah menceritakan kepada kami Manshur dari Salim dari Ayahnya dari Abdullah ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian melainkan telah disertakan untuknya satu qarin (pendamping) dari jin.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana denganmu?” Beliau menjawab: “Demikian pula denganku, namun Allah menolongku atasnya sehingga ia masuk Islam dan tidak menyuruhku selain terhadap kebenaran.” Musnad Ahmad.

Kembali kepada pembicaraan ayat dari Surah Jin ini: Sebab mereka tak boleh naik ke langitlah yang menyebabkan mereka mencari serata dunia kenapa mereka tidak boleh naik lagi. Mereka amat terkejut apabila mereka tak dapat naik. Maka mereka telah melaporkan perkara itu kepada iblis. Iblis suruh mereka ambil tanah dari setiap tempat supaya dia hidu. Selepas dia hidu semua tanah itu, dia kata orang yang mereka cari itu ada di Mekah. Itulah sebabnya dia mengutuskan tujuh jin ke sana. Dan jin-jin itulah yang mendengar bacaan Quran Nabi dalam surah ini.

Selepas mereka dengar Nabi Muhammad baca Quran, barulah mereka tahu kebenaran. Selepas itu, ada jin yang beriman dan ada yang tidak beriman.


 

Ayat 10:

72:10
Sahih International

And we do not know [therefore] whether evil is intended for those on earth or whether their Lord intends for them a right course.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah hendak ditimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka.

وَأَنَّا لَا نَدْرِي أَشَرٌّ

`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah bala bencana

 

أُرِيدَ بِمَن فِي الْأَرْضِ

hendak ditimpakan kepada penduduk bumi,

 

أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا

atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan petunjuk kepada mereka.

1. Mereka tidak tahu apakah sebabnya mereka tidak boleh lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita langit. Adakah keburukan ataukah kebaikan yang dikehendaki oleh Allah kepada penduduk dunia.

Lihatlah, apabila kebaikan, disandarkan kepada Allah {أَرَادَ بِهِمْ}. Tetapi, apabila bala bencana disebut, ianya hanya dalam bentuk majhul (tidak disebut siapakah yang akan memberikan azab itu), tidak disebut siapakah yang memberikan bala itu {أُرِيدَ}. Ini adalah adab mereka kepada Allah. Walaupun pada hakikatnya, baik dan buruk pun datang dari Allah juga. Tapi tidak dinisbahkan perkara yang buruk kepada Allah.

Ayat ini menunjukkan yang jin tidak tahu apakah maksud kejadian itu. Mereka tidak tahu perkara ghaib.

2. Atau pun ayat ini bermaksud, jin-jin sudah tak boleh tahu tentang berita buruk atau tidak. Dulu boleh kerana dulu mereka dapat tahu kalau-kalau ada azab yang akan diturunkan kepada manusia, dan kalau mereka dapat tahu, mereka boleh beritahu kepada kawan-kawan mereka dari manusia (tukang nujum atau kaahin).

Ini tandanya yang jin tidak tahu perkara ghaib. Yang mereka tahu dulu sebab mereka dulu curi dengar percakapan malaikat. Ingatlah bahawa mereka tak boleh baca hati kita. Bacalah kisah bagaimana jin-jin yang jadi kuli kepada Nabi Sulaiman tidak tahu pun yang baginda dah mati. Kalau mereka tahu, tidaklah mereka terus buat kerja atas arahan Nabi Sulaiman. Ini disebut dalam Saba:14

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.


 

Ayat 11: Sekarang jin-jin itu memberitahu tentang diri mereka. Ayat ini masih tentang percakapan sesama jin lagi.

72:11
Sahih International

And among us are the righteous, and among us are [others] not so; we were [of] divided ways.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ

`Dan bahawa sesungguhnya ada dari kalangan kita, ada golongan yang soleh,

1. Iaitu, ada yang telah menjadi soleh dan beriman selepas mendengar ayat-ayat Quran itu. Memang mereka dulu telah buat perkara yang salah dahulu, tapi sekarang, tidak lagi.

2. Atau, mereka merujuk kepada kalangan mereka yang memang telah beriman dengan Nabi-nabi dan kitab-kitab terdahulu. Maknanya, ada kalangan mereka yang beriman dengan agama yang lurus sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Memang ada, tapi tidaklah ramai. Yang lebih banyaknya adalah mereka yang tidak beriman.

 

وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ

dan ada di antara kita yang lain dari itu;

Mereka cuma kata: ‘lain dari itu’. Mereka tidak cakap yang mereka yang dimaksudkan itu adalah kafir, musyrik, fasik dan sebagainya. Maknanya, mereka bercakap dengan nada yang baik dan bahasa yang molek. Mereka tidak bercakap dengan kasar. Kerana mereka masih hendak berdakwah kepada kaum mereka, maka mereka tidak mahu menyakitkan hati mereka. Kerana kalau mereka kata yang tidak beriman itu ‘kafir’, ‘musyrik’, mungkin mereka akan marah tidak mahu mendengar dakwah lagi.

 

كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

kami masing-masing menurut jalan yang berlainan.

Perkataan قِدَدًا dari segi bermaksud ‘koyak’. Dalam ayat ini, ia bermaksud yang agama, perangai dan pendapat mereka berbeza-beza. Macam-macam jenis, macam kita juga. Cuma jalan-jalan mereka lagi banyak dari kita sebab mereka bilangannya lebih ramai dari manusia.


 

Ayat 12:

72:12
Sahih International

And we have become certain that we will never cause failure to Allah upon earth, nor can we escape Him by flight.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun).

وَأَنَّا ظَنَنَّا أَن لَّن نُّعْجِزَ اللَّهَ فِي الْأَرْضِ

`Dan bahawa sesungguhnya kami yakin, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melemahkan Allah di bumi,

Mereka tahu mereka tidak boleh melawan Qadar Allah. Kita pun kena tahu sepertimana yang mereka katakan ini – itu sebab ianya diulang oleh Allah dalam ayat ini. Kita memang tidak dapat lari dari qadar Allah. Banyak sangat perkara yang di luar kawalan kita. Sel badan kita pun tak taat dengan kita – kita tak boleh pun nak suruh ianya jangan jadi tua, sebagai contoh. Apatah lagi benda lain. Jin pun dah tahu.

Malangnya, ramai yang tidak sedar tentang perkara ini. Kalau terjadi sesuatu perkara yang mereka tidak suka, mereka menyalahkan takdir. Padahal sepatutnya mereka tahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kita sebagai hamba, kena belajar untuk redha dengan apa yang terjadi.

Tidak ada yang dapat halang kehendak Allah. Kalau Allah hendak menjatuhkan azab kepada kita, ianya pasti akan terjadi. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang. Kalau ada orang soleh kalangan kita pun, tidak selamat. Inilah salah faham puak tarekat yang kata bala tidak turun sebab mereka kata ‘ada wali’ yang tinggal di kawasan itu.

Ayat ini juga bermaksud mereka mengatakan yang mereka tidak dapat menghalang Allah untuk menyampaikan agamaNya di dunia. Kita pun kena tahu yang Allah akan mendirikan agamaNya. Macam mana usaha keras iblis, Islam akan tertegak. Walau bagaimana usaha orang kafir hendak memburukkan Islam, semakin ramai orang yang masuk Islam.

 

وَلَن نُّعْجِزَهُ هَرَبًا

dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya

Kalau lari di dunia tidak boleh, nak lari ke langit pun tidak boleh. Kalau Allah nak beri azab kepada mereka, mereka tidak dapat lari ke mana-mana termasuk ke langit. Seperti yang disebut dalam Rahman:33

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!


 

Ayat 13:

72:13
Sahih International

And when we heard the guidance, we believed in it. And whoever believes in his Lord will not fear deprivation or burden.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

وَأَنَّا لَمَّا سَمِعْنَا الْهُدَىٰ

`Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran),

Iaitu apabila mereka mendengar bacaan Quran dari Nabi Muhammad.

 

آمَنَّا بِهِ

kami beriman kepadanya

Mereka berbangga kerana terus beriman selepas dengar Quran. Ini adalah elok sampaikan Allah masukkan kata-kata mereka dalam Quran.

Lalu bagaimana dengan orang-orang kita dah mendengar, malah membaca Quran, tapi tidak beriman-iman lagi? Buat malu dengan jin sahaja. Ini adalah kerana mereka dengar tapi tak faham. Tak faham kerana tak belajar. Tak belajar kerana tidak mementingkan agama.

 

فَمَن يُؤْمِن بِرَبِّهِ فَلَا يَخَافُ بَخْسًا

kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian

Tidak akan dikurangkan kebaikan yang mereka patut dapat. Tak bimbang yang Allah akan beri kurang dari yang sepatutnya. Mereka yakin yang mereka akan dapat pahala sebanyak mana yang mereka layak dapat. Allah tidak akan berlaku zalim dengan beri kurang dari yang sepatutnya. Malah Allah akan beri lebih lagi. Berbeza kita dengan di dunia. Kadang-kadang kita kerja lebih, tapi majikan beri tidak setimpal. Allah tidak akan merugikan kita.

 

وَلَا رَهَقًا

dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

Mereka yakin yang mereka tidak akan dihukum kalau bukan salah mereka. Tidak bimbang takut tanggung dosa orang lain. Tidak bimbang kalau-kalau Allah salah hukum mereka.

Tidaklah kita kena tanggung dosa orang lain. Tidaklah benar ajaran Kristian yang mengatakan kita semua berdosa kerana menanggung ‘dosa warisan’.

Dalam ayat ini, menunjukkan sangka baik mereka kepada Allah. Kita pun kena macam itu juga.


Ref: UAd, NAK, TZ.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 072: Jin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s