Tafsir Surah Nuh Ayat 11 – 22

Keutamaan istighfar taubat

Khabar gembira untuk orang yang mahu bertaubat dan sentiasa beristighfar.

Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.

Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)

Kelebihan Beistighfar:

Beristighfar ialah mengucapkan perkataan Astaghfirullah hal Azim. (Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung) diikuti dengan meminta ampun dengan ucapan dan perbuatan. Dari segi perbuatan, ialah meninggalkan kesalahan yang telah kita lakukan. Allah akan mengampunkan kesalahan kita sebagaimana firman Allah bermaksud, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh: 10)

 

Ayat 11:

71:11
Sahih International

He will send [rain from] the sky upon you in [continuing] showers

Malay

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

Sekiranya manusia melakukan istighfar kepada Allah, Allah akan menurunkan hujan kepada kita dengan banyak. Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah السَّمَاءَ – langit. Tapi diterjemahkan sebagai ‘hujan’. Kerana takkan langit pula yang jatuh ke atas kita. Jadi yang dimaksudkan adalah hujan yang akan diturunkan kepada manusia. Ini adalah penting kerana hujan amat diperlukan oleh umat manusia. Dengan air hujan yang diturunkan oleh Allah itu, akan menumbuhkan tanam tanaman untuk makanan kita, makanan binatang ternak kita yang akhirnya kita makan dan kehidupan yang lain. Bayangkan kalau hujan tidak turun seminggu dua pun, manusia sudah kecoh. Oleh kerana pentingnya hujan kepada manusia, Allah sebut dalam ayat ini.

مِّدْرَارًا berasal dari katadasar yang bermaksud unta betina yang memberi banyak mengeluarkan susu. Jadi مِّدْرَارًا bermaksud hujan yang lebat. Dan hujan itu turun berterusan.

Dari ayat ini, kita boleh tahu yang bukan sahaja Allah akan mengampunkan dosa mereka yang melakukan istighfar, tapi Allah akan memberi rezeki yang mencurah-curah kalau kita istighfar meminta ampun kepadaNya.

Disebut tentang hujan yang lebat kepada kaum Nabi Nuh kerana apabila mereka menolak ajakan dakwah baginda, mereka telah dikenakan dengan azab yang kecil – iaitu mereka telah ditimpa kemarau. Seperti kebiasaan, jikalau kaum menentang ajakan dakwah, mereka akan diberikan dengan azab yang ringan untuk mengingatkan mereka dan merendahkan ego mereka supaya menerima ajakan agama. Kerana selalunya, mereka yang menentang kebenaran adalah mereka yang ada ego yang tinggi – jadi kalau direndahkan sedikit, barulah mereka boleh menerima ajakan kepada kebenaran. Macam orang kita juga, kalau dah jatuh terduduk, baru nak dengar nasihat orang lain, bukan?

Jadi, Nabi Nuh menasihatkan mereka supaya meminta ampun kepada Allah supaya mereka diberikan dengan hujan lebat yang mereka perlukan.

Kita digalakkan membaca ayat ini dalam solat istisqa‘ (Solat meminta hujan). Ada riwayat yang menyebut Saidina Umar telah membaca ayat ini ketika meminta hujan semasa beliau di atas mimbar. Sepertimana Nabi pun pernah doa minta hujan di atas mimbar. Oleh itu, doa untuk meminta hujan tidak semestinya perlu diiringi dengan solat. Tidak semestinya kerana Nabi Muhammad sendiri pun pernah hanya berdoa sahaja dari atas mimbar untuk meminta hujan. Semasa Umar atas mimbar, beliau telah baca istighfar bersama bersama-sama dengan jemaah yang ramai. Kerana bukan baginda sahaja yang memerlukan hujan tetapi seluruh umat waktu itu. Beliau buat begitu kerana itulah janji Allah kepada kita seperti yang disebut dalam ayat ini.

Ada sedikit ironis dalam ayat ini. Umat Nabi Nuh waktu itu memang memerlukan hujan, tapi akhirnya nanti, hujanlah yang menghapuskan mereka.


 

Ayat 12:

71:12
Sahih International

And give you increase in wealth and children and provide for you gardens and provide for you rivers.

Malay

“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ

“Dan Dia akan memanjangkan kepada kamu dengan harta kekayaan

Kalau istighfar dan taat kepada Allah, Allah akan beri rezeki yang banyak. Apabila perkataan مدِدْ digunakan, bermaksud Allah akan memanjangkan atau menambah lagi apa yang mereka ada. Mereka yang sudah sedia kaya, Allah boleh tambahkan lagi kekayaan mereka. Mereka yang miskin, Allah akan beri kekayaan kepada mereka.

 

وَبَنِينَ

serta anak-pinak;

Begitu juga, mereka sudah ada anak, Allah akan tambah lagi anak kepada mereka. Atau kalau mereka tidak ada anak, Allah boleh anak kepada mereka.

Entah berapa ramai yang tidak dikurniakan dengan anak. Sedih sangat kehidupan mereka kerana tidak diserikan dengan hilai tawa anak-anak. Apakah yang mereka boleh ambil dari ayat janji Allah ini? Ada kisah bagaimana satu pasangan mengadu tidak ada anak kepada seorang ulama setelah sekian lama berkahwin. Ulama itu menasihati mereka untuk melakukan ‘Terapi Istighfar’. Dan terbukti mereka telah mendapat anak yang ramai selepas itu. Mereka suami isteri telah melakukan istighfar sepanjang masa dan mereka telah dikurniakan dengan anak seorang demi seorang.

 

وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ

dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman,

Ini adalah nikmat yang amat diperlukan dan dikehendaki oleh manusia. Banyak disebut tentang kebun-kebun dalam Quran kerana ianya merujuk kepada keinginan manusia di dunia.

 

وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai

Sungai diperlukan untuk mengairi tanam tanaman dan juga dijadikan sebagai punca perjalanan.

Ada satu kisah bagaimana ada yang mengadu keadaan yang kemarau kepada Hasan al Basri. Hasan Basri suruh lelaki itu balik rumah dan melakukan istighfar. Kemudian, datang pula lelaki lain yang mengadu kemiskinan yang melanda. Hasan Basri suruh lelaki itu balik rumah dan melakukan istighfar juga. Kemudian ada yang datang mengadu kerana tidak dapat anak. Hasan al Basri memberikan nasihat yang sama. Kemudian ada yang datang mengadu keringnya kebun beliau. Hasan Basri memberi nasihat yang sama juga.
Anak murid yang melihat kejadian itu kehairanan dan bertanya kepada Hasan al Basri kenapa masalah yang berlainan tetapi semuanya dinasihatkan untuk istighfar.
Beliau jawap nasihat itu bukan darinya tapi pemahaman dari surah Nuh ayat ini dan beliau membacakan ayat ini.

Begitulah kehebatan istighfar. Banyak faedah padanya kerana ianya janji dari Allah. Janji Allah kepada kaum Nabi Nuh itu masih ada lagi sehingga ke hari ini kepada kita. Setiap Nabi telah mengajak kaum mereka untuk istighfar kepada Allah. Nabi Muhammad pun banyak melakukan istighfar. Dan Nabi banyak mengajak umatnya untuk meminta ampun kepada Allah. Maka, perbanyakkan istighfar kepada Allah.

Tapi ingatlah, doa dan mengharap kepada Allah adalah wajib, tapi samada Allah beri atau tidak, itu adalah harus – terpulang kepada Allah. Kerana Allah lebih tahu apakah yang kita perlukan. Tidak semestinya yang kita minta akan dimakbulkan. Allah dengan segala ilmuNya, akan memberikan apa yang kita perlukan. Jadi, jangan patah hati kalau apa yang kita minta dan harapkan, tidak diberi di dunia ini.

Ini adalah contoh ayat targhib – ayat galakan untuk kita melakukan sesuatu. Galakan-galakan itu diberikan sebagai memberi motivasi kepada manusia untuk melakukan sesuatu. Secara ringkasnya, dalam ayat ini dan sebelumnya telah disebut lima kelebihan yang akan diberi kepada kita oleh Allah kalau kita banyak istighfar:

1. Hujan
2. Harta
3. Anak
4. Kebun tanaman
5. Sungai.

Kenapa kita disuruh untuk memohon keampunan dari Allah? Kerana kesusahan yang kita hadapi mungkin disebabkan oleh dosa-dosa kita. Mungkin kerana kesalahan kita, Allah berikan azab yang ringan. Ini disebut dalam Sajdah:21.

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Allah beri kesusahan dan azab yang ringan supaya kita sedar diri dengan kesalahan yang kita lakukan. Apabila kita sedar kesalahan kita dan meminta ampun, Allah ampunkan dosa kita. Oleh itu, hendaklah kita meminta ampun dari Allah dengan harapan Allah akan mengangkat azab itu dari kita. Maknanya, kesusahan yang Allah berikan itu adalah rahmat sebenarnya – kerana ianya mengingatkan kita dan supaya dapat menyelamatkan kita dari kesusahan azab yang lebih besar di akhirat kelak.

Oleh itu, kalau ada yang datang kepada kita dan menceritakan masalah mereka, maka nasihatilah mereka untuk pulang dan banyakkan minta ampun kepada Allah. Ini adalah satu nasihat dan jalan penyelesaian kepada banyak perkara. Mudah sahaja untuk mereka lakukan. Buatlah sebanyak mana yang mereka mampu. Tidaklah perlu beritahu berapa istighfar yang kena baca. Cuma bacalah ikut kemampuan kita.

Lihatlah bagaimana 5 kelebihan yang disebut itu adalah kelebihan-kelebihan dunia, bukan? Kenapa begitu? Kenapa disebut kebaikan di dunia pula? Kerana sifat manusia yang mahukan kesenangan dunia dan mereka mahukan pulangan dengan kadar yang segera. Mereka nak lihat hasilnya semasa mereka di dunia lagi. Memang tidak boleh disangsikan lagi, manusia memang begitu. Maka, Allah layan mereka begitu juga.

Ayat ini juga memberitahu manusia dengan kelebihan-kelebihan yang mereka boleh dapat kalau mereka mengamalkan Islam. Kerana Islam ini adalah panduan hidup dan cara menjalani kehidupan di dunia juga. Kalau amalkan agama, kelebihan di dunia pun boleh dapat, dan bukan hanya di akhirat sahaja. Islam ini adalah agama untuk dunia dan juga akhirat.


 

Ayat 13: Selepas diberikan dengan berita-berita baik sebagai motivasi kepada manusia, sekarang Allah takutkan pula. Ini adalah jenis ayat-ayat Tarhib.

71:13
Sahih International

What is [the matter] with you that you do not attribute to Allah [due] grandeur

Malay

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),

مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا

“Kenapa kamu ini, tidak berharap kepada Allah dengan hormat, –

Perkataan مَّا لَكُمْ bermaksud “Apa tak kena dengan kamu ini?” Kenapa tak agungkan Allah dengan sebenar-benar pengagungan?

Ada dua elemen yang ada dalam perkataan تَرْجُونَ yang berasal dari katadasar رجو iaitu ‘Harap‘ dan ‘Takut‘. Untuk kita harap kepada sesuatu, hendaklah kita mempercayainya, bukan? Maka kita kena percaya kepada Allah untuk berharap kepada Allah. Kalau kita tidak percaya yang Allah boleh beri segala keperluan kita, tentu kita tidak dapat untuk meletakkan pengharapan kita kepadaNya, bukan? Dan untuk kita percaya kepada Allah, kita kena belajar sifat-sifatNya. Ini banyak diterangkan dalam ayat-ayat Quran. Dengan belajar tafsir Quran, kita akan kenal Allah melalui maklumat yang diberikan olehNya.

Perkataan وَقَارًا dari katadasar وقر yang bermaksud ‘hormat’. Nabi Nuh menegur mereka kenapa mereka tidak mengagungkan Allah sebagaimana yang sepatutnya? Kenapa mereka tidak mempercayai sifat Allah sebagaimana yang sepatutnya? Kenapa sampai ada yang merendahkan martabat Allah? Sebagai contoh, ada yanng mengatakan Allah ada anak, sedangkan keperluan kepada anak itu adalah kepada mereka yang lemah, seperti manusia – kita sebagai manusia memerlukan anak untuk melangsungkan penerusan hidup kita, membantu kita, memberi kegembiraan kepada kita dan sebagainya – tapi Allah tidak bersifat begitu, maka Allah tidak memerlukan anak. Jadi, apabila kita kata Allah memerlukan anak, kita sudah merendahkan martabat Allah.

Seperti yang kita telah sebut tadi, dalam perkataan raja’, ada elemen ‘takut’ di dalamnya. Oleh itu, ayat ini juga mempersoalkan mereka yang tidak takut kepada Allah. Kenapa tak takut dengan Tuhan? Kenapa kamu berani melakukan segala kesalahan-kesalahan yang tidak patut itu? Adakah kamu sangka Allah tidak melihat segala perbuatan kamu itu? Adakah kamu sangka Allah tidak balas perbuatan itu?


 

Ayat 14: Kenapa manusia tidak agungkan Allah sedangkan Allah lah yang telah menjadikan kita,

71:14
Sahih International

While He has created you in stages?

Malay

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا

“Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu berperingkat-peringkat?

Allah menjadikan manusia dari nutfah, kemudian menjadi darah beku, kemudian menjadi daging dan seterusnya. Ini telah difirmankan oleh Allah dalam Mukminoon:14.

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Ayat ini adalah salah satu dari ayat yang menunjukkan mukjizat Quran. Allah menyebut dengan terperinci kejadian manusia dalam rahim ibunya. Dulu manusia tak tahu yang kita dijadikan berperingkat-peringkat. Ilmu janin ini dulunya manusia tak tahu langsung kerana mereka tidak dapat lihat apa yang berlaku dalam perut ibu. Tapi Quran dah beritahu lama dah.
Bayangkan berapa lama manusia tidak tahu. Kalau ikut teori Aristotle, dia kata air mani yang bercampur dengan darah haid yang menghasilkan bayi. Lama sekali manusia pegang pendapat ini dan tidak berani nak lawan kerana tidak ada ilmu lain untuk menolaknya.

Selepas diciptakan mikroskop, baru kita tahu yang manusia tidak dijadikan begitu. Mereka sudah boleh nampak bahawa memang ada sesuatu dalam air mani itu. Tapi mereka sangka dalam air mani itu dah siap ada manusia kerdil yang akan membesar jadi manusia. Ini adalah kerana mikroskop waktu itu tidaklah cukup kuat untuk melihat dengan lebih detail lagi apakah yang ada dalam air mani itu.

Tapi lihatlah bagaimana ayat Quran telah lama mengatakan bahawa kejadian manusia itu berperingkat-peringkat. Sekarang kita dapat lihat mukjizat Quran itu. Quran tidak berlawanan dengan sains. Perkara yang tidak diketahui pada zaman dahulu sudah disebut dalam Quran. Apabila sains semakin maju, kebenaran Quran itu semakin terserlah satu persatu. Nanti, kita akan lihat lagi kebenaran ayat Quran yang memberitahu tentang Mahsyar, syurga dan neraka. Malangnya, itu hanya boleh dilihat apabila kita sudah mati nanti. Mereka yang tidak percaya, akan mengalami kejutan yang amat sangat.

Perkataan أَطْوَارًا juga bermaksud ‘keadaan’. Ini boleh bermaksud yang Allah telah menjadikan kita dalam berbagai keadaan. Ada yang sihat dan ada yang tidak. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Ada yang pandai dan ada yang bijak. Allah telah menjadikan kita berlainan antara satu sama lain. Kita jangan komplen tapi gunakan apa sahaja kelebihan yang Allah telah berikan itu untuk berbuat kebaikan.


 

Ayat 15: Tadi ayat tentang kehebatan dalam penciptaan diri manusia. Sekarang Allah menyebutkan kehebatan dalam penciptaan alam ini pula.

71:15
Sahih International

Do you not consider how Allah has created seven heavens in layers

Malay

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

أَلَمْ تَرَوْا كَيْفَ خَلَقَ اللَّهُ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا

“Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat,

Langit itu berada atas setiap satu yang di bawahnya. Ini menunjukkan kehebatan Allah SWT dalam penciptaan. Segala ilmu bintang yang sedang dikaji ini, tidak lepas lagi pun langit yang pertama. Sedangkan ada lagi langit-langit lain yang lebih besar dari langit yang pertama.

Kenapa kita tidak mengagungkan Allah yang Maha Agung ini, yang telah menciptakan kita dan alam yang lebih luas ini?


 

Ayat 16: Kita tidak dapat melihat keseluruhan langit, tapi kita boleh melihat matahari dan bulan setiap hari. Allah sebut pula tentang keduanya selepas disebut tentang langit yang tujuh lapis.

71:16
Sahih International

And made the moon therein a [reflected] light and made the sun a burning lamp?

Malay

“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا

“Dan Ia menjadikan padanya bulan yang terang

Apabila malam tiba, maka keluarlah bulan menerangi malam dengan cahayanya. Manusia memandang bulan dan mengagumi keindahan cahaya bulan itu. Keluarlah banyak sajak dan lagu tentangnya. Tapi siapakah yang menjadikannya? Allah SWT.

 

وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا

serta menjadikan matahari sebagai lampu

Allah bezakan terang cahaya bulan dan terang cahaya matahari. Tidak sama ‘terang’ antara keduanya. Kalau keliling gelap dan ada satu cahaya, cahaya itu dipanggil نُورًا . Ini kerana apabila malam, suasana sekeliling adalah gelap tapi bulan itu sahaja yang bercahaya.

Perkataan سِرَاجًا pula digunakan apabila punca cahaya itu terbakar seperti pelita. Dulu manusia tidak tahu yang matahari itu terbakar. Tapi semakin sains maju dan boleh meneropong matahari, kita tahu bahawa matahari itu dalam keadaan terbakar yang sampai masanya, akan berhenti dan malap.

Bulan dan matahari dijadikan sebagai tanda kiraan kepada manusia. Dengan dua ciptaan ini, manusia boleh tahu hari siang atau malam, cukup waktu sebulan dan sebagainya. Apabila kita melihat kedua penciptaan ini, maka akan teringatlah kepada ayat ini.


 

Ayat 17:

71:17
Sahih International

And Allah has caused you to grow from the earth a [progressive] growth.

Malay

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,

وَاللَّهُ أَنبَتَكُم مِّنَ الْأَرْضِ نَبَاتًا

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu dari bumi, seperti tumbuh tumbuhan

Kita dikatakan ‘tumbuh’ dari bumi kerana asal manusia dari tanah. Kerana Nabi Adam dijadikan dari tanah dan kita ini adalah anak cucunya.

Dan dikatakan kita ditumbuhkan dari tanah kerana keperluan hidup kita dari tanah juga. Kita membesar dengan memakan makanan yang tumbuh dari tanah. Dan kalau kita makan daging binatang, bukankah binatang itu juga makan hasil dari tanah juga? Jadi, memang kita tidak dapat lari dari memakan hasil dari bumi.


 

Ayat 18: Kita asal dari tanah dan akan kembali ke tanah dan akan dikeluarkan dari tanah juga nanti apabila Kiamat.

71:18
Sahih International

Then He will return you into it and extract you [another] extraction.

Malay

“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا

“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati),

Kamu membesar macam tumbuhan, tapi nanti akan mati dan masuk ke dalam bumi itu sendiri. Ini mengingatkan kita tentang kematian. Selalu ayat-ayat Quran akan mengingatkan yang kita akan mati. Kerana manusia selalu terlupa.

 

وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا

dan mengeluarkan kamu daripadanya dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

Apabila Kiamat kelak, kita semua akan dikeluarkan dari kubur kita. Kita semua akan keluar cukup umur dewasa, walaupun ada yang mungkin mati semasa kanak-kanak. Kita akan dijadikan sebagaimana Nabi Adam dijadikan dahulu – sudah siap-siap dewasa. Tidaklah dahulu Nabi Adam itu dijadikan dari bayi dan membesar tapi terus baginda dalam keadaan dewasa. Kita tidak dibangkitkan dengan tubuh kita yang di dunia tapi kita akan diberikan dengan tubuh baru.


 

Ayat 19:

71:19
Sahih International

And Allah has made for you the earth an expanse

Malay

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ بِسَاطًا

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

Kita tinggal di atas kerak bumi. Kerak bumi ini seperti hamparan karpet yang dihamparkan. Bukan maksudnya bumi ini leper. Quran tidak kata yang bumi ini leper seperti yang didakwa oleh golongan yang mencari-cari salah dalam ayat-ayat Quran. Kerana Quran tidak bersalahan dengan ilmu sains.


 

Ayat 20: Kenapa Allah hamparkan bumi ini untuk kita?

71:20
Sahih International

That you may follow therein roads of passage.’ “

Malay

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

لِّتَسْلُكُوا مِنْهَا سُبُلًا فِجَاجًا

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

Allah tetapkan bumi supaya kita boleh gerak dengan bebas di bumi ini. فِجَاجًا bermaksud luas dan lapang. Laluan dalam bumi ini adalah luas dan mudah untuk kita melaluinya. Bumi ini tidak sempit kerana kalau sempit, kita tidak selesa.

Allah ingatkan manusia dengan kekuasaanNya dan apa yang Dia telah jadikan untuk kita.

Mari kita lihat apa yang Allah telah berikan kepada kita:
Allah telah ciptakan kita berperingkat
Allah telah berikan cahaya kepada kita. Waktu siang, ada cahaya matahari dan waktu malam, ada cahaya bulan.
Allah telah berikan kita punca kehidupan dari bumi ini
Dan Allah telah lapangkan jalan-jalan di bumi ini supaya kita dapat berjalan dan bergerak dengan selesa. Kita boleh bergerak ke mana-mana dengan mudah.

Ayat ini memberitahu yang kita boleh bergerak ke merata tempat dengan selesa kerana jalan yang luas. Kerana itu, Nabi Nuh telah bergerak dan mengembara untuk menjalankan kerja dakwah. Begitu juga dengan kita. Berjalanlah di mukabumi ini untuk berdakwah kepada Allah.

Lihatlah bagaimana Allah mengenalkan DiriNya kepada kita dalam bahasa yang mudah untuk difahami. Kita akan ingat dan kagum kepada Allah dengan melihat diri kita, melihat matahari dan bulan, melihat makanan kita dan semasa kita berjalan di bumiNya ini. Inilah cara Allah mengingatkan kita kepadaNya.

Ini juga menunjukkan kepada kita yang kita kena memperkenalkan Allah kepada manusia. Supaya manusia lebih kenal Allah dan sedar siapa Allah itu. Bukannya belajar tentang feqah dahulu, atau memperkenalkan Allah dengan ilmu falsafah macam pelajaran Sifat 20 sampaikan tidak kenal Allah dah. Kita kena kenalkan Allah dengan cara yang mudah, seperti yang Allah ajar dalam Quran. Apabila kita kenal Allah, sedar tentang Allah, maka akan mudah untuk kita menjalankan hukum-hukumNya, melakukan ibadah kepadaNya dan taat kepadaNya.

Masalah yang dihadapi manusia yang tidak taat kepada Allah dan berat untuk melakukan ibadah adalah kerana mereka tidak diperkenalkan kepada Allah – termasuk orang Islam sendiri pun. Walaupun mereka tahu Allah, dah masuk Islam, tapi mereka tidak kenal Allah sebagaimana yang sepatutnya. Kerana kalau kita kenal Allah dengan sebenar-benar kenal, kita akan mudah untuk taat dan melakukan ibadat kepadaNya. Kerana kita sedar siapa Dia, dan siapa kita.


 

Ayat 21: Setelah diberikan segalanya itu, apakah kaum Nabi Nuh buat? Setelah sekian lama Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada mereka dan mengingatkan mereka kepada Allah, apakah sambutan dari kaumnya?

71:21
Sahih International

Noah said, “My Lord, indeed they have disobeyed me and followed him whose wealth and children will not increase him except in loss.

Malay

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

قَالَ نُوحٌ رَّبِّ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku!

Nabi Nuh memberitahu Allah apa yang telah dilakukan oleh kaumnya itu, padahal Allah dah tahu dah. Allah lebih mengetahui dari Nabi Nuh lagi. Tapi Nabi Nuh masih juga beritahu dan mengadu kepada Allah. Ada orang kata kita tak perlu beritahu Allah apa-apa pun kerana Allah dah tahu segala-galanya. Hujah itu nampak macam betul dah. Tapi tidak begitu berdasarkan dalil yang ada. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh telah menzahirkan pengharapan baginda kepada Allah. Baginda juga mengadu kepada Allah. Ayat-ayat sebelum ini adalah kata-kata Nabi Nuh yang memberitahu Allah apa yang baginda telah sampaikan kepada umatnya. Dan sekarang, baginda memberitahu apakah reaksi kaumnya itu.

Maka, walaupun Allah itu Maha Tahu, tak beritahu pun Dia memang sudah sedia tahu, tapi lihatlah bagaimana Nabi Nuh mengadu kepada Allah. Nabi Muhammad pun buat macam tu juga. Oleh itu, ini mengajar kita bahawa kita kena cakap apa yang kita hendak. Allah hendak kita zahirkan apa yang ada dalam hati kita walaupun Allah sudah tahu apa yang dalam hati kita. Sama macam apa yang Nuh sedang lakukan.

 

إِنَّهُمْ عَصَوْنِي

Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku,

Kaumnya tidak mahu mendengar kata kata baginda. Awal surah baginda sudah suruh mereka mentaatinya, tapi mereka tolak. Mereka degil dan sombong dan derhaka kepada Rasul mereka.

Kita kena ingat bahwa bukan salah Nabi Nuh yang kaum dia tak mau ikut. Jangan kata baginda tak pandai dakwah pula. Nabi Muhammad pun ada yang tolak. Sedangkan Nabi Muhammad itu adalah sebaik-baik manusia dan amat bijak sekali dalam berfikir dan berkata-kata – tapi masih lagi manusia menolak baginda. Kalau para Rasul pun ditolak oleh manusia, apatah lagi kita? Maka bersabarlah kalau ada yang tidak mahu mendengar ajakan dakwah kita.

 

وَاتَّبَعُوا مَن لَّمْ يَزِدْهُ مَالُهُ وَوَلَدُهُ إِلَّا خَسَارًا

dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahi melainkan kerugian

Sebaliknya mereka ikut orang-orang yang kaya dan banyak anak pinak. Bagaimanakah harta dan anak anak mereka itu merugikan mereka?

Allah jadikan kekayaan mereka itu sebagai penyebab kekafiran mereka. Sebab dengan ada harta dan anak yang ramai itu, mereka rasa mereka yang benar, mereka jadi sombong. Banyak yang tak dengar cakap penyebar agama adalah mereka yang kaya dan berkuasa. Kekayaan mereka menjadi istidraj kepada mereka.

Kaum Nabi Nuh menolak hujah Nabi Nuh dengan mengatakan walaupun mereka tak beriman dengan baginda, mereka masih hidup senang juga, anak-anak mereka ramai juga. Manusia yang engkar itu bangga kalau anak-anak mereka ramai kerana mereka anggap itu adalah satu kelebihan yang ada pada mereka. Padahal anak-anak itu adalah pemberian Allah, bukannya usaha mereka pun.

Manusia sebenarnya menjadi ujian kepada manusia lain. Orang ramai terpedaya dengan kedudukan pemuka kaum mereka yang kaya sampaikan mereka tinggalkan penyebar tauhid. Mereka hendak menjadi pengikut orang-orang kaya dan tidak mahu jadi seperti orang-orang miskin yang jadi pengikut Nabi Nuh. Itulah ujian kepada kita semua. Kerana mereka nampak orang kaya itu berjaya, manusia rasa tentulah mereka yang kaya itu benar. Ini kerana masyarakat memandang tinggi orang yang kaya dan berjaya. Mereka samakan ‘kejayaan’ dengan ‘kebenaran’. Pada mereka, berjaya = benar. Ini adalah salah perkiraan.

Kita sendiri boleh lihat bagaimana ada manusia yang semakin kufur apabila semakin banyak kekayaan mereka. Tetapi kekayaan mereka itu bukanlah tanda mereka itu semestinya benar. Malah kekayaan mereka itu menyebabkan mereka semakin jauh dari Allah.

Inilah masalah besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat dunia sekarang. Kita mementingkan kebendaan dan harta. Kita mahukan kehidupan yang senang dan mewah, boleh pakai barang dan baju yang branded, dipandang hebat oleh orang lain. Oleh kerana itulah kita terperangkap dengan dunia sampaikan lupa kepada akhirat. Ramai yang tidak mampu mempunyai segala kemewahan, tapi kerana mereka mahu jadi seperti orang lain, mereka sampai berhutang, mengikat perut dan tidak ada wang langsung lagi dah untuk infak pada jalan Allah. Contohnya, ada tak mampu nak pakai iphone, tapi kerana semua orang pakai iphone, dia sanggup berhutang sebab nak pakai juga iphone. Maka, dia sanggup berhutang – handphone sudah rosak, tapi hutang tak habis bayar lagi. Dia telah menyusahkan dirinya sendiri.

Tidak ada masalah untuk mempunyai harta yang banyak, asalkan tidak melupakan akhirat. Kita boleh buat banyak perkara baik kalau kita ada harta – kita boleh sedekah, kita boleh bina kelas pengajian, meningkatkan pengajaran agama, dakwah dan sebagainya. Masalahnya hanya apabila wang dan harta itu menjadikan kita sangkut dengan dunia dan lupa kepada akhirat. Masalahnya apabila kita sombong dengan kekayaan kita itu.

Dalam ayat ini, Nabi Nuh mengadu kepada Allah bagaimana harta dan anak pinak kaumnya yang kaya itu bukannya menambah keimanan mereka, malah menjauhkan lagi mereka dari agama.


 

Ayat 22: Apakah yang dilakukan oleh pemuka masyarakat yang kaya itu?

71:22
Sahih International

And they conspired an immense conspiracy.

Malay

“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

وَمَكَرُوا مَكْرًا كُبَّارًا

“Dan mereka telah merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya.

مَكْرًا adalah rancangan jahat untuk berbuat kerosakan. Pemuka kaum Nabi Nuh telah membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Nabi Nuh. Tujuan mereka adalah supaya kaum mereka tidak ikut Nabi Nuh. Mereka nampak Nabi Nuh sebagai satu ancaman kepada cara hidup mereka. Pada mereka, Nabi Nuh tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Bukan sahaja mereka tidak mahu ikut, mereka malah menentang lagi dakwah baginda itu.

Rancangan itu pula adalah كُبَّارًا (amat besar) dalam bentuk isim mubalaghah yang berasal dari katadasar كبر yang bermaksud ‘besar’. Maknanya, rancangan itu amat besar dan amat jahat. Bukan rancangan main-main yang difikirkan semasa minum-minum kopi sahaja tapi rancangan yang besar.

Mereka gunakan harta mereka supaya pengikut mereka terus kufur. Mereka kata kepada pengikut mereka, kalau ikut cara hidup mereka, pengikut mereka itu akan jadi kaya dan berjaya seperti mereka dan sebaliknya kalau ikut Nabi Nuh, mereka akan jadi susah. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk mengelabui mata rakyat.

Beginilah orang-orang kufur menggunakan harta mereka untuk menyesatkan manusia. Dari dulu sampailah sekarang. Lihatlah bagaimana filem-filem yang memakan belanja yang besar untuk melakukannya, dengan tujuan untuk menggalakkan manusia untuk menjalani kehidupan yang jauh dari agama. Mereka boleh buat begitu kerana mereka ada banyak harta dan sumber kewangan yang besar. Malangnya, ramai masyarakat kita yang terpengaruh. Mereka nak jadi macam orang-orang dalam filem itu, mereka nak ikut idola-idola mereka yang mereka lihat di media massa.

Perancangan Freemason adalah hendak menaikkan kehidupan yang rosak dalam masyarakat. Mereka akan naikkan seseorang yang boleh dijadikan sebagai model kehidupan pilihan mereka. Mereka akan gunakan cara marketing di media massa yang mereka kuasai, supaya orang-orang yang akalnya pendek akan ikut mereka. Maka, ramai manusia yang akan ikut kata-kata orang itu, cara pakaian, cara berhibur dan sebagainya. Maknanya, ini adalah rancangan yang terperinci dari mereka. Dari zaman Nabi Nuh lagi telah dibuat cara itu.

Sebagai contoh, kalau di nusantara ini, mereka menaikkan nama Negara Singapura. Lihatlah bagaimana segala barangan kena masuk melalui pelabuhan Singapura dulu. Padahal, tak perlu pun melalui pelabuhan di Singapura itu kerana ada pelabuhan lain pun. Tujuan dilakukan itu adalah supaya negara itu dikayakan supaya manusia nampak bagaimana kalau dengan cara kehidupan yang tidak ikut agama seperti yang diamalkan oleh Singapura, akan menyebabkan kejayaan di dunia ini. Mereka mahu manusia ikut cara hidup Negara Singapura yang liberal dan sekular itu. Mereka mahu kita kaitkan kehidupan moden dengan cara hidup rakyat Singapura.

Ketahuilah bahawa memang ada perancangan jahat golongan manusia untuk menyesatkan orang lain. Mereka itu adalah syaitan dalam bentuk manusia. Ramai yang sudah dan akan terpedaya. Kerana mereka hanya tahu mengikut sahaja tanpa berfikir dalam-dalam. Dalam Saba:33, Allah menceritakan tentang golongan yang disesatkan itu. Mereka akan marah kepada golongan yang telah menyesatkan mereka dulu di dunia.

وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَن نَّكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَندَادًا وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.

Malangnya, mereka marah itu selepas mereka dah masuk dalam neraka. Bukan boleh buat apa-apa pun waktu itu. Patutnya mereka marah semasa mereka di dunia, tapi semasa di dunia, mereka ikut rapat mereka yang menyesatkan mereka itu.

Allah sebutkan penyesalan mereka di akhirat nanti. Maka, kita kenalah berhati-hati dan jangan terpedaya dengan orang-orang yang cuba menyesatkan kita. Gunakan akal dan iman kita, kerana walaupun kita disesatkan oleh orang lain, kita masuk neraka juga bersama mereka. Tidaklah kita selamat walaupun kita ditipu. Yang ditipu dan menipu akan dua-dua masuk neraka. Kita tidak boleh guna alasan kita ditipu kerana Allah telah memberikan kepada kita akal untuk memikirkan manakah yang benar.

Dalam Ahzab:66-68, Allah menceritakan penyesalan manusia lagi kerana mereka telah ikut pembesar-pembesar semasa di dunia dulu.

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”

Beginilah penyelasan banyak orang nanti. Mereka tahu ikut sahaja apa yang dilakukann oleh orang-orang besar, ustaz-ustaz dan ulama, ahli politik dan sebagainya tanpa usul periksa. Mereka sambut tahun baru, kita sambut. Mereka sambut Mawlid Nabi, kita ikut. Mereka zikir menari, kita pun tengok sahaja tak tegur.

Maka, jangan kita salahkan orang lain kalau kita buat dosa dan tinggal agama. Jangan salahkan mak dan ayah yang tak ajar kita kerana selepas kita baligh, kita kena bertanggungjawab atas urusan agama kita. Jangan kita salahkan ustaz, ulama yang ajar perkara yang salah kerana kita telah diberikan akal untuk mencari kebenaran. Kita yang bersalah kerana meletakkan perkara yang penting dalam tangan orang lain. Itulah orang yang apabila ditanya kenapa mereka buat perkara bidaah, mereka jawap: “Ustaz itu kata boleh”.

Hadis Nabi juga ada mengatakan yang kita akan mengikuti orang yang sebelum kita sejengkal demi sejengkal sampai kita akan jadi macam mereka. Nabi tidak redha dengan keadaan itu. Ini adalah ujian kepada kita. Untuk melepasi ujian itu, kita kena gunakan akal dan iman kita.

Allahu a’lam


 


 

Ref: UAd, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 071: Nuh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s