Tafsir Surah Nuh Ayat 1 – 10 (Lelah Nabi Nuh berdakwah)

Pengenalan

Surah Nuh ini adalah Surah Makkiah dan ianya adalah satu surah yang pendek. Seperti yang kita sudah agak, ianya adalah tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah salah seorang Rasul Ulul Azmi. Berdasarkan satu hadis, kita dapat tahu yang baginda adalah Rasul yang pertama. Walaupun sebelum baginda, telah ada Nabi Adam, tapi Nabi Adam tidak dikira sebagai seorang Rasul. Baginda hidup 10 generasi selepas Nabi Adam. Sebelum Nabi Nuh, manusia tidak ada yang melakukan syirik. Hanya zaman baginda baginda sahaja manusia mula buat syirik. Asalnya manusia hendak mengingati orang alim mereka. Mereka mula dengan gambar sahaja. Lama kelamaan mereka buat patung. Dan akhirnya mereka sembah patung itu. Waktu itulah Nabi Nuh diutuskan.

Ayat ini menceritakan tentang sabar. Dalam surah Maarij sebelum ini, Allah memberitahu kepada Nabi Muhammad supaya mempunyai ‘sabar yang cantik’. Dalam ayat ini, dijelaskan lagi tentang sabar itu dan bagaimana contoh sabar Nabi Nuh a.s.

Ayat ini juga memberitahu kita tentang cara dakwah Nabi Nuh. Allah mengajar cara-cara dakwah kepada manusia. Dalam surah ini, kita belajar bagaimana Nabi Nuh bertungkus lumus menjalankan usaha dakwahnya. Tapi seperti yang kita tahu, tidak ramai yang beriman dengan baginda. Ini mengajar kita bahawa tidak semestinya setelah kita menjalankan usaha untuk dakwah, ramai akan ikut – akan ramai yang menolak. Kita boleh usaha sahaja. Oleh itu, ayat ini mengajar kita supaya jangan putus asa dalam dakwah. Maka, bacalah Nabi Nuh ini untuk terus sabar dalam dakwah.

Tabshir duniawi surah nuh 10-12 fadhilat istighfar

Ramai yang suka buat amalan murah rezeki sehingga sanggup beramal dengan hadis palsu seperti membaca al-Waqiah setiap malam. Padahal dalil paling kuat amalan tentang rezeki yang banyak ialah bertaubat dan membanyakkan istighfar.


 

Ayat 1:

إِنّا أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ أَن أَنذِر قَومَكَ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

Indeed, We sent Noah to his people, [saying], “Warn your people before there comes to them a painful punishment.”

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya,

Ini menunjukkan yang Nabi Nuh adalah rasul kepada kaumnya sahaja dan bukan kepada sekalian alam. Lain dengan Nabi Muhammad yang diberikan kepada semua kaum dan bangsa dalam dunia.

Ada yang mengatakan waktu itu, hanya kaumnya sahaja yang hidup di dunia. Sebab waktu itu, manusia tidak banyak lagi. Kalau begitu, maksud baginda diutus kepada kaumnya sahaja bermaksud baginda diutus kepada manusia sahaja. Berbeza dengan Nabi Muhammad yang diutus kepada golongan jin juga.

 

أَنْ أَنذِرْ قَوْمَكَ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

Perkataan أَنذِرْ adalah dalam bentuk fiil amar sebagai penekanan arahan itu.

Amaran telah diberitahu awal-awal lagi sebelum sebelum mereka dikenakan dengan azab itu. Inilah tujuan baginda diurus untuk memberitahukan kepada kaumnya tentang bahaya syirik.

Azab boleh datang bila-bila masa. Dan mati dalam syirik akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga memberitahu tujuan hidup kita adalah berdakwah. Iaitu kita semua kena beri amaran kepada manusia.


 

Ayat 2:

قالَ يا قَومِ إِنّي لَكُم نَذيرٌ مُبينٌ

Sahih International

He said, “O my people, indeed I am to you a clear warner,

Malay

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

 

قَالَ يَا قَوْمِ

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku!

Baginda memulakan dakwah dengan kata yang lembut. Dan baginda telah memanggil mereka dengan panggilan yang mesra. Dengan mengatakan baginda adalah sama dengan mereka. Baginda ingatkan mereka bahawa mereka itu adalah dari kaum yang sama. Ini menunjukkan sayang antara kaum yang sama.

 

إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata;

Nabi Nuh a.s. membawa mesej yang jelas. Tidak ada keraguan dalam kata-kata dakwah baginda. Tidak ada tersembunyi apa yang perlu disampaikan kepada manusia. Tidaklah macam ajaran tarekat sekarang, ada sahaja ajaran tersembunyi.

Ayat ini mengajar kita yang dalam kita dakwah kita, kita kena beritahu tujuan kita berdakwah itu.


 

Ayat 3: Ada tiga perkara yang baginda sebut dalam ayat ini. Inilah intipati ajaran dalam Islam. Tiga-tiga perkara ini amat penting.

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقوهُ وَأَطيعونِ

Sahih International

[Saying], ‘Worship Allah , fear Him and obey me.

Malay

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

 

أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah

Hanya sembah Allah sahaja, jangan campur sembah Allah dan sembah selain Allah. Ini adalah ajaran Tauhid dan semua Nabi akan ajar perkara yang sama. Maka kita pun kena mulakan dakwah dengan suruh mereka sembah Allah sahaja dan jangan campur sembah yang lain.

Atau dalam kata lain, ayat ini mengingatkan kita untuk menghambakan diri kepada hanya kepada Allah sahaja. Ini lebih luas maksudnya dari ‘sembah’ sahaja. Kerana orang kita, apabila disebut ‘sembah’, mereka sangka itu adalah sujud. Padahal, sembah bukan sahaja bermakna sujud. Maksud menghambakan diri lebih sesuai iaitu kita sedar yang kita ini adalah hamba Allah dan kita kena taat kepadaNya sahaja. Sebagaimana seorang hamba kena taat kepada tuannya. Dan tuan kita dalam hal ini adalah Allah.

 

وَاتَّقُوهُ

dan bertaqwalah kepadaNya,

Keduanya, kena ajar dan ajak manusia untuk bertaqwa kepada Allah. Kita kena takut kepada Allah. Bahagian pertama tadi telah disuruh kita sembah Allah sahaja. Mereka yang sembah Allah sahaja adalah mereka yang takut kepada hanya kepada Allah.

Makna taqwa yang lebih luas adalah sedar tentang Allah. Iaitu sedar yang Allah sentiasa memerhatikan kita. Kalau kita dapat kesedaran ini, kita tidak akan berani untuk buat dosa. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan memikirkan apakah suruhan Allah dalam perkara itu. Kita akan bertanya diri kita: apakah hukum aku lakukan perkara ini?

 

وَأَطِيعُونِ

serta taatlah kamu kepadaku;

Ini juga amat penting. Mereka yang taat kepada Allah adalah mereka yang taat kepada Nabi  juga. Tidak ada taat kepada Allah tanpa taat kepada Nabi.

Kita kena ajar manusia tentang para Nabi untuk menjadikan mereka sebagai ikutan kita.

Dan kita kena belajar apakah arahan dan ajaran Nabi kepada kita dalam bentuk hadis yang sahih supaya kita dapat tahu apakah kehendak agama. Kerana para Rasul adalah penyampai ajaran dari Allah. Tanpa mereka, bagaimana lagi kita boleh tahu apakah yang dikehendaki oleh agama?

Malangnya, masyarakat Islam kita amat jauh dari pelajaran hadis. Mereka hanya terima sahaja apa kata ustaz-ustaz tanpa bertanya adakah itu ajaran Nabi atau tidak. Hasilnya, macam-macam perkara baru dalam agama yang timbul.

Ayat ini mengajar kita apakah tujuan dakwah kita. Mulakan dengan tiga perkara ini. Ayat ini ajar langkah dakwah. Mulakan dengan tiga perkara ini, sembah Allah, taqwa dan ikut ajaran Rasul.

Tiga-tiga perkara ini kena ada. Tidak boleh tinggalkan walau satu pun.


 

Ayat 4: Seterusnya Nabi Nuh menceritakan pula kelebihan beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat tadi.

يَغفِر لَكُم مِن ذُنوبِكُم وَيُؤَخِّركُم إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ۚ إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذا جاءَ لا يُؤَخَّرُ ۖ لَو كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

Allah will forgive you of your sins and delay you for a specified term. Indeed, the time [set by] Allah , when it comes, will not be delayed, if you only knew.’ “

Malay

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.

 

يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu dari dosa-dosa kamu,

Kalau kita beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat sebelum ini, kita akan mendapat keampunan dari Allah. Kita sebagai manusia amat berdosa dan amat memerlukan pengampunan dari Allah. Inilah perkara yang amat penting sekali. Ianya lebih penting dari mendapat pahala yang banyak, kerana dengan dosalah kita dimasukkan ke dalam neraka. Kalau pahala banyak, tapi dosa pun banyak juga, akan ada masalah nanti di akhirat kelak.

Dari perkataan مِّن  dalam ayat ini, ada yang kata keseluruhan dosa akan diampunkan. Dalilnya dari kisah Amr ibn Aas.

Amr bin al-Ash mengatakan, “Pada saat Allah menganugerahkan hidayah Islam di hatiku, aku mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Aku mengatakan, ‘Julurkanlah tangan Anda, aku akan membaiat Anda’. Rasulullah pun menjulurkan tangan kanannya kepadaku. Lalu kutahan tanganku –sebentar-.

Rasulullah bertanya, ‘Ada apa wahai Amr?’

Kujawab, ‘Aku ingin Anda memberikan syarat kepadaku’.

Rasulullah mengatakan, ‘Apa syarat yang kau inginkan?’

Aku menjawab, ‘Agar dosa-dosaku diampuni.’

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tidakkah engkau ketahui, bahawa keislaman menghapuskan dosa-dosa sebelumnya? Demikian juga hijrah menafikan kesalahan-kesalahan yang telah lalu? Dan juga haji menyucikan hilaf dan dosa terdahulu?’ (HR. Muslim).”

Dari hadis ini, kita boleh faham bahawa apabila masuk Islam, segala dosa-dosa yang lalu akan diampunkan.

Tetapi, ada juga mufassir yang mengatakan perkataan مِّن itu bermaksud sebahagian dari dosa yang akan diampunkan. Ini pun boleh diterima maksudnya, kerana dosa-dosa yang dibuat sampai setakat seseorang itu beriman sahaja yang diampunkan. Tetapi tidaklah termasuk dosa-dosa yang dilakukannya selepas itu. Tidaklah seseorang itu boleh buat apa sahaja tanpa dosa.

Tapi, ini tidaklah menidakkan sifat Maha Pengampun Allah. Jikalau kita telah melakukan dosa, kita boleh meminta ampun kepada Allah bila-bila masa.

 

وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

dan memberi kamu hidup hingga ke suatu masa yang tertentu;

Kalau kita beriman, taqwa dan mengikut jejak langkah Rasul, Allah akan tangguhkan ajal kita. Dalam ertikata lain, kalau tak engkar, akan dipanjangkan hidup. Dalam perkara ini, ada perbincangan ulama samada ajal boleh dipanjangkan atau tidak. Ada yang kata tidak kerana ianya telah ditakdirkan oleh Allah dari dahulu lagi dan ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Tetapi Allah telah sebut dalam Rad:38

لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Tiap-tiap satu tempoh dan waktu telah tertulis.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa semua yang terjadi telah ditetapkan. Tidak dapat diubah lagi. Tapi Allah sambung dalam ayat seterusnya:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.

Dari ayat ini, kita boleh berhujah bahawa ada ketetapan yang Allah kekalkan dan ada yang Allah padamkan. Termasuk dalam perkara ini adalah pemanjangan umur. Tentu Allah boleh panjangkan umur manusia lebih dari yang telah ditetapkan pada asalnya. Macam Nabi Adam pernah meminta untuk panjangkan umur Nabi Daud. Dari doa Nabi Adam itu, Allah telah panjangkan umur Nabi Daud a.s.

Pada waktu dikeluarkan daripada keturunannya Nabi Adam diperkenankanNya melihat para nabi-nabi yang lahir setelah kewafatanya.Dilihatnya ada seorang lelaki yang bercahaya. Nabi Adam bertanya pada Allah: “Siapakah orang ini, wahai Tuhan?”
Tuhan : “Ini adalah anakmu Daud.”
Adam berkata: “Ya Tuhan, berapakah umurnya?” Tuhan menjawab: “60 tahun.”
Adam memohon kepada Tuhan: “Ya Tuhan, tambahlah umurnya.”
Tuhan menjawab: “Tidak, kecuali engkau berikan umurmu kepadanya.”Adapun umur Adam 1040 tahun, maka datanglah Malaikat Maut berkata kepadanya:”, telah sampai akhir umurmu.”
Adam berkata:” Bukankah umurku masih berbaki 40 tahun?” Nabi Adam telah lupa mengenai usia yang telah diberikan kepada puteranya, Daud a.s. Maka Allah s.w.t menyempurnakan umur Adam 1000 tahun dan untuk Daud a.s 100 tahun.

Ada juga yang berpendapat, bukanlah Allah akan panjangkan umur tapi Allah tambah keberkatan dalam kehidupan seseorang itu. Umur mungkin tak panjang tapi banyak yang dapat dicapai. Sebagai contoh, kita semua kenal Imam Nawawi. Beliau meninggal semasa umur beliau dalam 30an. Tapi lihatlah apa yang beliau capai dalam umurnya yang singkat itu. Kita pun tahu yang beliau telah susun Kitab Riyadus Salihin yang terkenal itu. Dan macam-macam lagi telah beliau capai.

Menyambung silaturahim adalah perbuatan yang memanjangkan umur. Ini berdasarkan hadis dari nabi Muhammad:

Al-Imaam Al-Bukhaariy rahimahullah berkata :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي يَعْقُوبَ الْكِرْمَانِيُّ، حَدَّثَنَا حَسَّانُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، قَالَ مُحَمَّدٌ هُوَ الزُّهْرِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ “

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abi Ya’quub Al-Kirmaaniy: Telah menceritakan kepada kami Hassaan: Telah menceritakan kepada kami Yuunus: Telah berkata Muhammad – ia adalah Az-Zuhriy – , dari Anas bin Maalik radliyallaahu ‘anhu, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Barangsiapa yang suka diluaskan rizkinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim,” [Shahiih Al-Bukhaariy no. 2067].

Mungkin timbul persoalan, kenapa Allah memanjangkan umur seseorang? Untuk beri peluang orang itu untuk melakukan lebih kebaikan lagi. Dia akan mendapat lebih banyak pahala lagi. Itulah dari rahmat Allah.

Dalam masa yang sama, ada orang yang berdosa pun yang Allah panjangkan umur mereka. Supaya mereka melakukan lebih banyak dosa dan supaya mereka akan dibalas dengan lebih teruk lagi di akhirat nanti.

Jadi, kita kena ingat yang balasan kebaikan yang pasti dapat adalah di akhirat nanti. Balasan kebaikan di dunia belum tentu lagi. Ada yang dapat dan ada yang tidak. Kerana dunia ini adalah tempat ujian. Jadi kena sabar, walaupun kita tidak dapat apa-apa semasa kita di dunia. Kerana kita kena harapkan apa yang menunggu kita di akhirat kelak.

 

إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ

sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah,

Allah lah sahaja yang menentukan ajal kita. Kita tidak tahu bilakah ajal kita akan sampai. Malaikat Maut yang mencabut nyawa kita pun tidak tahu bilakah ajal kita akan tamat. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui”.

Apabila ajal itu sampai, tidak dapat ditangguh-tangguh lagi. Tidak boleh minta supaya ianya dilambatkan. Maka segeralah lakukan taat dan amal ibadat kepada Allah. Kerana apabila Allah dah tetapkan sesuatu, tidak dapat dihalang lagi. Jangan kita buang masa dalam dunia ini dengan meninggalkan perbuatan amal ibadah. Jangan kita terpesona dengan dunia sampai meninggalkan akhirat.

Beginilah kata-kata Nabi Nuh kepada kaum baginda untuk mengingatkan mereka. Tapi, perkataan لَوْ digunakan untuk perkara yang telah berlalu. Oleh itu, ada juga yang mengatakan yang ayat ini lebih kepada kesesalan dari Nabi Nuh kepada kaumnya. Kalau ‘dulu’ mereka tahu, tidaklah mereka akan menerima azab. Maksudnya, kata-kata Nabi Nuh ini adalah dihujung-hujung waktu sebelum berlaku kejadian Banjir Besar. Iaitu sudah hampir berlakukan azab yang akan diberikan kepada kaumnya itu. Kalaulah mereka dulu tahu, tidaklah mereka akan berada dalam kedudukan itu.


 

Ayat 5: Nabi Nuh mula menceritakan kepada Allah apakah yang telah dilakukannya

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا

Sahih International

He said, “My Lord, indeed I invited my people [to truth] night and day.

Malay

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

 

قَالَ رَبِّ

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku,

Nabi Nuh nak mengadu kepada Allah dengan apa yang telah dilakukannya dalam menjalankan dakwah kepada kaumnya dan apa yang terjadi. Kerana apabila seseorang bekerja atas jalan Allah, tentu akan menemui kesusahan. Dan kita mengadu kepada Allah untuk mendapat petunjuk. Tentulah baginda akan mengadu kepada Allah. Kerana kalau kita diberi kerja oleh bos kita, dan kalau ada masalah, kita akan tanya bos kita bagaimana nak selesaikan, bukan? Begitulah juga apabila kita menjalankan kerja Allah, maka tentu Allah sahaja yang boleh menolong kita. Maka, ini mengajar kita untuk serahkan diri kita kepada Allah dalam kerja dakwah. Dengan bantuan Allah lah, kita boleh mendapatkan kekuatan. Kita kena selalu rujuk kepada Allah.

 

إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا

sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang

Nabi Nuh amat tekun dalam melakukan kerja dakwah. Sampai tiada waktu rehat. Siapakah yang kita kenal yang buat kerja mereka siang dan malam? Tentu tidak ramai. Tapi ada orang yang kadang-kadang kerja siang dan malam kerana mahu mendapatkan wang. Tapi orang yang begitu, tidaklah mereka buat ketekunan yang sama dalam kerja-kerja agama.

Terus baginda berdakwah sebab baginda tidak tahu bilakah masa yang mungkin kaum dia nak terima. Mungkin apabila pertama kamu diberitahu, dia tak terima. Esok mungkin baru boleh terima. Kalau siang tidak terima, entah malam mereka akan terima. Maka Nabi Nuh dakwah tanpa henti. Berapa tahun baginda menjalankan dakwah kepada kaumnya itu? 950 baginda berdakwah kepada kaumnya. Jadi, kalau kita sibuk dengan kerja dakwah, dan kita rasa kita dah banyak buat kerja, kita fikir balik, adakah kita sama usaha seperti Nabi Nuh?

Selalunya, Quran akan menyebut ‘siang’ sebelum ‘malam’. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut siang dahulu. Ianya memberi isyarat bahawa Nabi Nuh tidak tidur malam kerana menjalankan kerja dakwah baginda. Allahu a’lam.


 

Ayat 6: Setelah baginda tekun berdakwah, adakah baginda berjaya?

فَلَم يَزِدهُم دُعائي إِلّا فِرارًا

Sahih International

But my invitation increased them not except in flight.

Malay

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

 

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا

“Maka seruanku itu tidak menambah kepada mereka selain daripada mereka bertambah melarikan diri

Semakin banyak baginda dakwah kepada mereka, semakin mereka lari dari baginda. Kerana kaumnya tidak mahu mendengar dakwah baginda. Nampak sahaja kelibat Nabi Nuh, mereka dah lari jauh-jauh. Tak larat nak layan baginda lagi.

Tentulah ini menyayat hati baginda. Tapi adakah baginda berhenti dari berdakwah? Tidak, baginda terus berdakwah. Kalau ini yang terjadi kepada kita, adakah kita buat perkara yang sama macam Nabi Nuh? Selalunya, kita akan berhenti dari dakwah, kan? Katakanlah kita dakwah kepada kawan kita, tapi dia sudah tidak mahu jumpa kita, adakah kita akan cari dia lagi? Kemungkinan besar, kita tidak jumpa dia lagi dah. Kira dah putus kawan dah tu. Tapi lihatlah apa yang Nabi Nuh buat – baginda tidak putus asa.

Jadi, ayat ini memberi semangat kepada kita supaya jangan berhenti dari berdakwah walaupun kepada mereka yang tidak mahu dengar. Kerana kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam neraka. Bayangkan, adakah kita rela kalau orang yang kita kenal baik, masuk neraka? Kalau kita tak sanggup, maka jangan berhenti berdakwah kepada dia.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru. Bandingkan ayat dengan Ibrahim:40.

Dalam Ibrahim:40, kalimah yang digunakan adalah دُعَاءِ (huruf ي dihazafkan) sedangkan dalam ayat Nuh ini, dizikru pula ya mutakallim dalam دُعَائِي. Kenapa ada perbezaan?

Apabila ada hazf, itu membawa maksud berterusan dan kalau zikru ya mutakallim dalam دُعَائِي ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana ajakan dakwah Nabi Nuh itu tidak berterusan. Kalau mereka ikut dan dengar ajakan dakwah baginda dan mereka menjadi mukmin, tidaklah perlu baginda ajak lagi, bukan? Maknanya ajakan Nabi Nuh ada kemungkinan boleh berhenti. Begitu juga, kalau orang yang diajak solat sudah solat, takkan nak ajak solat lagi.


 

Ayat 7:

وَإِنّي كُلَّما دَعَوتُهُم لِتَغفِرَ لَهُم جَعَلوا أَصابِعَهُم في آذانِهِم وَاستَغشَوا ثِيابَهُم وَأَصَرّوا وَاستَكبَرُوا استِكبارًا

Sahih International

And indeed, every time I invited them that You may forgive them, they put their fingers in their ears, covered themselves with their garments, persisted, and were arrogant with [great] arrogance.

Malay

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

 

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, –

Lihatlah tujuan Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya itu – bukan untuk dirinya tapi supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka. Baginda mahu mereka meminta ampun kepada Allah. Nanti akan disebutkan kepentingan meminta ampun dalam ayat seterusnya.

 

جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing,

Mereka masukkan jari mereka ke dalam telinga mereka supaya mereka tak dengar dakwah baginda. Bayangkan mereka sampai sanggup buat begitu.

Tak jauh beza pun dengan orang-orang zaman sekarang. Mungkin mereka tak masukkan jari dalam telinga mereka, tapi apabila kita dakwah kepada mereka, mereka buat tak dengar sahaja. Kerana mereka tak pentingkan akhirat.

Gambar hiasan – kaum Nabi Nuh sumbat telinga tak mahu dengar dakwah baginda

Kaum Nabi Nuh memang benar-benar sumbat telinga mereka dari dengar dakwah baginda. Tentulah ini satu perbuatan yang amat tidak patut. Tapi lihatlah bagaimana Nabi Nuh tidak berhenti dari terus berdakwah.

 

وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ

dan berselubung dengan pakaian mereka,

Mereka angkat baju dan tutup muka mereka. Supaya Nabi Nuh tak kenal mereka. Konon mereka nak kata mereka bukan kaum baginda. Kononnya baginda tidak boleh nampak mereka. Alangkah kurang ajarnya mereka.

Kalau mereka di rumah, mereka akan tutup pintu dan tingkap rumah mereka supaya Nabi Nuh tidak datang. Tapi itu tidak menghalang Nabi Nuh dari terus berdakwah kepada mereka. Begitulah semangat Nabi Nuh yang kita perlu ada.

 

وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا

serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

Kaumnya itu berterusan sombong untuk terima dakwah dan ajakan Nabi Nuh. Mereka rasa diri mereka besar. Mereka rasa sombong kerana mereka itu dari golongan yang kaya dan kuat. Seperti yang telah disebut dalam Hud:27

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

Mereka melihat pengikut-pengikut Nabi Nuh waktu itu adalah mereka-mereka yang lemah dan miskin sahaja. Jadi, mereka rasa mereka terlalu tinggi kedudukan mereka untuk bercampur dengan puak-puak itu. Begitulah yang terjadi zaman berzaman – dari dulu sampai sekarang – yang menerima dakwah agama dan dakwah sunnah adalah mereka yang miskin dan tidak ada kedudukan dalam agama dan masyarakat. Mereka ini sentiasa dipandang hina.

Sama juga yang dialami oleh Nabi Muhammad dengan masyarakat Arab. Pemuka Quraish yang menentang Nabi adalah mereka yang tinggi kedudukan mereka dan kaya raya. Sampaikan mereka suruh dihalau dulu sahabat-sahabat yang miskin dari kalangan baginda dahulu, baru kononnya mereka nak duduk dengan baginda.

Begitulah kadang-kadang ada orang yang meletakkan syarat untuk beriman. Kalau ada kata begitu, mereka itu tidak boleh dipercayai yang mereka akan beriman. Mereka itu sebenarnya tidak mahu beriman.

Ayat-ayat ini memberitahu kita apakah yang Nabi Nuh lakukan dan apakah sambutan dari kaumnya. Tapi Nabi Nuh memang sentiasa bersabar. Baginda terus berdakwah dan hanya berhenti berdakwah apabila Allah beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda.

Ada riwayat yang mengatakan, kaumnya benci dengan dakwah baginda sampaikan mereka akan pukul baginda sampai baginda tidak sedarkan diri. Kemudian mereka akan bungkus baginda dan bawa ke rumah baginda dengan harapan baginda akan mati. Tapi apabila baginda sedar, baginda terus melakukan kerja dakwah.


 

Ayat 8:

ثُمَّ إِنّي دَعَوتُهُم جِهارًا

Sahih International

Then I invited them publicly.

Malay

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

 

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

Nabi Nuh tidak berhenti berdakwah. Salah satu cara yang baginda lakukan adalah baginda menyeru dengan suara yang kuat. Sekuat-kuat suara baginda. Kerana mereka akan menutup telinga mereka maka baginda kena jerit kuat-kuat supaya mereka dengar. Maknanya, baginda berdakwah di khalayak ramai.

Nabi Muhammad pun pernah buat apabila baginda naik ke bukit dan bercakap kepada semua penduduk Mekah.


 

Ayat 9:

ثُمَّ إِنّي أَعلَنتُ لَهُم وَأَسرَرتُ لَهُم إِسرارًا

Sahih International

Then I announced to them and [also] confided to them secretly

Malay

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

 

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang,

Dengan suara yang tinggi dan kepada ramai orang.

 

وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Mungkin ada yang tak suka suara tinggi. Mungkin ada yang segan nak datang kepada baginda di khalayak ramai. Jadi baginda akan berdakwah secara peribadi kepada mereka. Pergi seorang-seorang (one-on-one).

Maknanya, dah macam-macam cara dah Nabi Nuh cuba dalam usaha dakwah baginda. Ayat ini juga mengajar kita untuk mengubah-ubah cara dakwah kita. Kalau satu cara tidak berjaya, kita cuba cara lain. Kerana mungkin cara dakwah kita tidak kena dengan orang tertentu. Sebelum kita salahkan orang lain yang tak mahu terima, kita cuba pendekatan yang lain. Dakwah ada berbagai-bagai cara. Mungkin dengan ceramah, dengan tulisan, dengan bersembang, hantar emel, beri buku untuk mereka baca, beri mesej whatsapp, Facebook, beri mereka web link untuk mereka baca dan sebagainya. Kita kena kreatif dalam jalan dakwah kita. Asalkan tidak melibatkan cara yang berdosa seperti menyanyi dan qasidah – kerana itu adalah cara dakwah yang salah.


 

Ayat 10:

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا

Sahih International

And said, ‘Ask forgiveness of your Lord. Indeed, He is ever a Perpetual Forgiver.

Malay

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

 

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

“aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu,

Nabi Nuh akan mengajak mereka untuk memohon ampun kepada Allah – istighfar. Ini adalah cara yang amat baik. Kerana kebanyakan manusia telah banyak melakukan dosa. Maka kita suruh mereka untuk minta ampun kepada Allah. Kerana bila mereka berdosa, mereka akan rasa bersalah. Dan dosa akan menyebabkan susah untuk terima kebenaran. Ianya seperti benteng akan menutup kebenaran dari masuk ke dalam hati. Oleh itu, kita ajar manusia untuk minta ampun.

Kena minta ampun kepada Allah sendiri. Bukannya suruh orang lain istighfar untuk kita. Bukannya macam agama Kristian yang mengajar umatnya pergi mengadu dosa kepada paderi. Itu bukanlah cara yang betul.

 

إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

Kita kena ingatkan mereka bahawa Allah itu Maha Pengampun. Allah mampu dan sanggup untuk ampunkan segala dosa manusia. Tidak kira berapa banyak dosa mereka. Agama Islam mengajar manusia bahawa Allah itu pemaaf. Allah sebut dalam Zumar: 53

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini memberi harapan kepada manusia yang walau banyak mana pun dosa mereka, Allah masih boleh ampunkan mereka. Janganlah pula kita takutkan manusia dengan mengatakan yang mereka akan masuk neraka tak keluar-keluar kerana mereka banyak dosa – itu adalah cara dakwah yang salah. Kita kena mulakan dengan menceritakan kelembutan dan rahmat Allah. Berilah harapan kepada manusia.

غَفَّارًا bermaksud Allah berkali-kali memberi ampun kepada kita. Kerana kita kadang-kadang sesudah minta ampun, masih buat salah lagi. Perkataan غَفَّارًا bermaksud Allah boleh ampunkan berkali-kali. Itulah sifat allah.

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang hendak menyesatkan kita. Syaitan akan bisikkan ke telinga kita: “buat apa kau minta ampun lagi, berapa banyak kali kau nak minta ampun? Tak malu ke? Buat teruslah dosa kau tu, nanti bila kau dah tua, barulah minta ampun sekali gus!”

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan itu. Kerana kalau kita percaya dengan bisikan itu, kita tidak minta ampun dan entah-entah kita akan mati sebelum kita sempat minta ampun bila dah tua nanti. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengampun dan boleh ampunkan banyak kali segala kesalahan kita.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Adli (Yayasan Taalim)

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 071: Nuh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s