Tafsir Surah Maarij Ayat 11 – 27

Ayat 11:

70:11
Sahih International

They will be shown each other. The criminal will wish that he could be ransomed from the punishment of that Day by his children

Malay

Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

يُبَصَّرُونَهُمْ

Masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain;

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kenalan tidak bertanya kenalan mereka yang lain. Bukan mereka tak nampak kenalan dan saudara mereka di akhirat itu. Mereka akan dinampakkan dengan kenalan mereka. Mereka nampak dan mereka akan kenal. Tapi mereka buat tidak tahu sahaja.

 

يَوَدُّ الْمُجْرِمُ لَوْ يَفْتَدِي مِنْ عَذَابِ يَوْمِئِذٍ بِبَنِيهِ

orang yang berdosa suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab hari itu dengan anak-anaknya sendiri,

Orang yang berdosa sampai sanggup nak jual anak mereka sendiri kerana nak selamatkan diri mereka. Ini adalah kerana mereka telah nampak yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka telah melihat sendiri neraka itu dan mereka tidak sanggup nak masuk ke dalamnya. Mereka sanggup buat apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka akan kata, masukkanlah anak mereka ke dalam neraka, asalkan mereka tidak masuk neraka. Macam penjenayah dalam dunia ini, sanggup beri maklumat tentang kawan mereka yang sama-sama mencuri, asalkan mereka boleh selamat. Mereka buat perjanjian dengan polis, kalau mereka beri maklumat, hukuman mereka akan diringankan.

Mereka sanggup buat begitu di akhirat kelak. Perkara ini takkan dilakukan begitu di dunia. Kerana takkan ibubapa hendak mencelakakan anak sendiri pula, bukan? Ibubapa yang normal sanggup menyabung nyawa mereka untuk menyelamatkan anak mereka semasa di dunia. Kalau anak ditangkap, seorang ibu sanggup masuk penjara asalkan nak selamatkan anaknya. Tapi lain jadinya apabila di akhirat kelak. Di akhirat nanti, emak pun sanggup nak jual anak. Begitulah teruknya keadaan di sana kelak. Tak sanggup nak masuk dalam neraka. Sebab mereka dah nampak neraka itu. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.

Dalam ayat ini, Hanya orang berdosa الْمُجْرِمُ sahaja yang disebut yang sanggup buat begitu. Sedangkan ahli syurga, mereka masih ingat dan hiraulan lagi keluarga dan kenalan mereka. Ada riwayat yang menyebut bagaimana mereka akan bertanya keluarga dan kenalan mereka. Mereka akan bertanyakan di manakah kenalan mereka kerana tak nampak pun mereka di syurga.


 

Ayat 12:

70:12
Sahih International

And his wife and his brother

Malay

Dan isteri serta saudaranya,

وَصَاحِبَتِهِ وَأَخِيهِ

Dan isteri serta saudaranya,

Bukan sahaja anak mereka sanggup jual untuk menebus diri mereka, tapi isteri dan saudara lain pun mereka sanggup untuk jual. Padahal, semasa di dunia, pasangan hidupnya dan saudara maranya itu amat disayangi. Mereka sanggup buat segalanya untuk pasangannya itu. Begitu juga, mereka akan pertahan saudara mara mereka apabila ada masalah atau diganggu oleh orang lain. Tapi, lain jadinya bila di akhirat nanti. Dan tak kisah dengan isteri dan saudara mara yang lain.


 

Ayat 13:

70:13
Sahih International

And his nearest kindred who shelter him

Malay

Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

وَفَصِيلَتِهِ الَّتِي تُؤْوِيهِ

Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

فَصِيلَتِ adalah ahli keluarga yang rapat. Iaitu suku sakat dia semasa di dunia dulu. Perkataan فَصِيلَتِ dari katadasar فصل yang bermaksud ‘pecah’ – bermaksud pemecahan manusia. Manusia berpecah-pecah ikut puak, ikut suku dan sebagainya. Puak adalah kumpulan yang besar dan suku pula adalah pecahan yang lebih kecil di dalam puak yang besar. فَصِيلَتِ bermaksud sukunya yang paling rapat dengannya.

Dulu kaum kerabat dialah yang selamatkan dia masa di dunia semasa dia ada masalah. Merekalah yang menanggung hidupnya dulu. Mungkin dulu dia susah semasa di dunia dan merekalah yang menyelamatkannya. Sepatutnya kenalah dia berbuat baik pula kepada mereka, bukan? Tapi dia sanggup nak menembus dirinya dengan memberi mereka itu masuk neraka.


 

Ayat 14:

70:14
Sahih International

And whoever is on earth entirely [so] then it could save him.

Malay

Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ يُنجِيهِ

Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – jikalau tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Kalau boleh seluruh penduduk dunia dia nak jual. Kalaulah dengan melakukan sedemikian akan boleh menyelamatkan dirinya dari dimasukkan ke dalam neraka.

Balaghah: Takdim wa ta’khir. Ada yang didahulukan dan ada yang dikemudiankan. Kenapa? Lihatlah bagaimana susunan dalam ayat ini dari ayat ke 11. Susunannya menjauh. Dimulakan dengan orang yang rapat dengan kita dahulu, iaitu anak. Kemudian paling jauh sekali – seluruh makhluk. Ini adalah kerana kalau kita nak tebus, kita mulakan dengan orang yang paling rapat dengan kita dahulu.

Sedangkan dalam Abasa:34, dimulakan dengan orang yang jauh, dan semakin mendekat dengan kita. Kerana dalam surah itu, ianya tentang menjauh, jadi kita senang untuk menjauhkan diri dari orang yang tidak rapat dengan kita. Sebagai contoh, kalau kita kena pindah, kita tidak kisah untuk pindah jauh dari orang yang tidak rapat dengan kita. Tapi kita tidak sampai hati untuk berpindah jauh dari orang yang rapat dari kita, bukan?

Tapi adakah boleh diterima semua itu?


 

Ayat 15:

70:15
Sahih International

No! Indeed, it is the Flame [of Hell],

Malay

Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya,

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Perkataan كَلَّا ini menidakkan kehendak orang-orang berdosa itu yang mahu diganti dengan orang lain untuk menyelamatkan dirinya. Tidak akan diterima apa pun dari orang itu. Walau apa pun yang akan digunakan untuk tebus dirinya. Walaupun dengan emas sebanyak bumi. Walaupun dia menebus dengan seluruh manusia.

 

إِنَّهَا لَظَىٰ

Sesungguhnya ia adalah api yang menjulang-julang,

Ianya adalah api yang maraknya melampau. Api yang masuk menjulang-julang tinggi kerana amat panas. Ianya adalah api yang telah matang – telah lama membakar

Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah nama salah satu neraka.


 

Ayat 16:

70:16
Sahih International

A remover of exteriors.

Malay

(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,

نَزَّاعَةً لِّلشَّوَىٰ

(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,

Api itu sangat panas sampai boleh menanggalkan kulit. Daging dan saraf pun akan hancur. Semua itu akan hancur tapi jantung akan kekal menderita. Alangkah menakutkan sekali!

شَّوَىٰ adalah anggota badan yang kalau tiada, tidak membunuh seseorang. Sebagai contoh, kalau kaki dipotong, tidaklah mematikan orang. Api itu akan membakar semua anggota badan manusia itu, tetapi tidak membunuhnya.

Api itu akan membakar hangus kulit dan kulit itu akan diganti balik untuk dibakar semula. Ini telah disebut dalam Nisa:56

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kenapa Quran menyebut kulit secara spesifik? Kerana kajian menunjukkan bahawa kulitlah yang merasa kesakitan dan kepedihan. Ini adalah kerana deria rasa itu ada pada kulit. Orang dahulu tidak tahu, tapi setelah kajian sains membongkarnya, nampaklah bagaimana kehebatan sains yang terdapat pada Quran. Quran tidak bercanggah dengan penemuan sains.


 

Ayat 17:

70:17
Sahih International

It invites he who turned his back [on truth] and went away [from obedience]

Malay

Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),

تَدْعُو مَنْ أَدْبَرَ وَتَوَلَّىٰ

Neraka itu juga memanggil orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),

Neraka akan memanggil-manggil penghuninya untuk datang kepadanya.

Allah dah tahu siapa ahli neraka. Ini adalah satu fahaman akidah. Tidaklah Allah letakkan manusia di dunia untuk melihat samada mereka akan buat baik atau tidak. Allah dah tahu dah apa yang jadi kepada mereka. Macam seorang guru yang dah tahu siapa yang akan lulus dan gagal. Kalau guru pun boleh tahu apatah lagi Allah. Tapi bagaimana kita boleh agak siapakah ahli neraka? Dari perangai manusia kita boleh agak dah. Kerana ahli neraka mudah buat amalan ahli neraka. Jadi, kalau kita mudah sahaja buat dosa, kita kena beringat-ingat. Ditakuti kita ini adalah ahli neraka.

“Tidak ada makhluk yang bernafas kecuali Allah telah menentukan tempatnya di syurga atau neraka, telah dituliskan celaka atau bahagia.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah , apakah kita berpegang dengan ketentuan tersebut dan meninggalkan amal?” Baginda menjawab, “Bekerjalah kalian dan setiap orang akan diberikan kemudahan sesuai dengan apa yang diciptakan baginya. Adapun orang-orang yang berbahagia akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan kebaikan dan orang-orang celaka akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan yang akan membawanya kepada kecelakaan.” – HR Bukhari.

Mungkin ramai yang susah hendak terima ketetapan takdir itu. Kita kena ingat yang kita sebagai manusia mempunyai 4 takdir yang telah ditetapkan untuk dirinya.
1. Takdir kita telah ditentukan sebelum kita dijadikan lagi. Ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz

وَعِندَهُ ۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَ‌ۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ‌ۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ۬ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٍ۬ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٥٩

“Dan disisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” QS – Al-An’am:59

2. Taqdir kita ditentukan sekali lagi apabila persenyawaan sperma dan ovum. Ini terjadi pada hari ke 40.

Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud melaporkan; “Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan baginda adalah orang yang benar dan dibenarkan, ‘Sesungguhnya penyempurnaan penciptaan kamu berlaku di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat, lalu ditiupkan roh padanya. Kemudian diperintahkan supaya menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selain –Nya, sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” – HR Bukhari dan Muslim.

3. Pada Malam Qadr telah ditentukan taqdir kita tahun itu.

تَنَزَّلُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم مِن كُلِّ أَمرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

4. (Tertinggal, akan dimasukkan nanti)

Kita kena terima perkara yang telah ditentukan kepada kita. Yang penting, kita jangan mendahului Qadr. Jangan kita berlagak yang kita sudah tahu apa yang akan terjadi. Ramai yang sebelum cuba untuk buat sesuatu sudah kata mereka tak boleh buat. Contoh, selalu kita orang yang kalau dah tua, mereka dah tak boleh dah nak hafal quran. Atau ramai yang kata mereka takkan faham agama sebab mereka orang tak pandai. Semua itu mereka belum cuba lagi, tapi mereka dah tahu keputusan.

Allah tak suka kalau kita buat begitu. Itulah sebabnya ada hadis Nabi yang mengatakan akan terbatas doa kalau kita kata dah doa tapi Allah tak bagi pun.

Dalam ayat ini, disebut yang Neraka akan memanggil penghuninya. Tapi bagaimana caranya – bagaimana mereka yang dipanggil itu boleh faham? Manusia akan faham kerana mereka akan dipanggil dengan bahasa yang boleh difahami oleh mereka yang dipanggil. Neraka akan memanggil ‘nama’ orang itu – disebut seorang satu persatu.

Ada juga yang berpendapat ayat ini bermaksud yang Neraka akan kutip mereka yang akan menjadi penduduknya. Bagaimana caranya, kita tidak tahu.

Mereka itu dimasukkan ke dalam neraka kerana dulumya semasa di dunia, mereka berpaling dari agama.


 

Ayat 18:

70:18
Sahih International

And collected [wealth] and hoarded.

Malay

Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).

وَجَمَعَ فَأَوْعَىٰ

Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya

Ini adalah sifat ahli neraka – Mereka akan kumpul harta dan simpan harta itu. Mereka sibuk kumpul harta dan suka mengira-ngira harta itu.

Maksud ‘Simpan’ dalam ayat ini adalah kumpul dan tidak mengeluarkannya untuk beri nafkah dan zakat. Mereka juga simpan dengan tidak beri sedekah. Sampaikan mereka sorok supaya orang lain tak nampak. Kerana mereka rasa, kalau orang lain nampak, mereka akan meminta harta mereka itu.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan simpan sangat harta sampai tak beri kepada yang berhak.


 

Ayat 19: Ayat menyebut tentang sifat manusia

70:19
Sahih International

Indeed, mankind was created anxious:

Malay

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); –

إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah

Allah memberitahu tabiat manusia dalam ayat ini. Sifat manusia memang telah dijadikan dan tidak boleh dinafikan yang ianya ada pada diri kita. Ini adalah sifat semulajadi. Ini adalah akhlak yang tidak baik kerana ia adalah sifat yang tidak sabar.

Ini ada kena mengena dengan sifat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang sifat ahli neraka yang kedekut. Mereka rasa kedekut sebab takut kerugian. Mereka takut susah dan mereka rasa resah gelisah kalau mereka jatuh miskin dan susah.

Kebanyakan manusia, dalam perkara kecil pun rasa resah gelisah. Mereka membesar-besarkan perkara yang kecil. Inilah sifat manusia. Allah telah menjadikan manusia bersifat begini sebagai ujian. Walaupun memang Allah telah meletakkan sifat ini dalam diri manusia, tapi hendaklah kita ingat yang ini tidaklah bermakna kita kena terima sahaja sifat itu. Kita kena perbaiki diri kita. Sebagai contoh, mungkin telah Allah lahirkan kita dengan sifat buruk – pemarah,  contohnya. Tidaklah bermakna kita terima sahaja sifat itu dan kata: “nak buat macam mana, Allah dah bagi begitu”. Ini adalah pendekatan yang salah. Kita kena perbaiki diri kita ke arah kebaikan. Kerana Allah juga telah berikan kita dengan kekuatan untuk melawan sifat buruk itu. Kita kena terima yang sifat buruk itu adalah ujian kepada manusia.

Mereka yang bersifat هَلُوعًا tidak tetap dengan satu keadaan. Mereka akan tergesa-gesa buat keputusan. Sebagai contoh, mereka tidak sabar dalam buat keputusan dalam membeli barang. Nampak sahaja benda yang mereka suka, mereka terus ambil dan bayar sahaja. Mereka tidak fikirkan samada mereka perlukan barang itu atau tidak. Mereka inilah yang senang terpedaya dengan iklan-iklan di televisyen dan media massa. Mereka itu membazir sahaja dengan duit mereka. Hasilnya, mereka tidak ada wang lagi untuk berikan kepada orang lain. Mereka akan jadi kedekut.


 

Ayat 20: Allah jelaskan lagi sifat هَلُوعًا

70:20
Sahih International

When evil touches him, impatient,

Malay

Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;

إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا

Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat bimbang;

Apa sahaja kesusahan yang ditimpakan padanya, dia akan bimbang. Risau sahaja dengan nasibnya. Sampaikan macam nak tercabut jantung kerana melampau keresahan. Ini pun dari sifat tidak sabar dengan qadr yang Allah telah tentukan. Dan bukan sahaja tidak sabar, mereka tunjukkan juga sifat tak sabar itu – orang yang melihat mereka tahu yang mereka sedang bimbang dan tidak keruan.

Orang yang sebegini akan senang untuk putus asa. Perbuatan mereka itu macam tidak ada hari esok lagi dah. Mereka sudah tidak nampak kebaikan yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal kebaikan sentiasa datang. Allah beri kesusahan selalunya sekejap sahaja. Tapi mereka keluh kesah terlebih-lebih sangat.

Manusia sepatutnya kena baik sangka dengan Allah. Mereka kena lihat sifat rahmah pada Allah. Mereka juga kena ingat entah berapa banyak kebaikan yang Allah telah berikan kepada mereka dan kebaikan yang Allah tentu akan beri kepada mereka. Tapi begitulah sifat manusia: mereka akan persoal kenapa keburukan kena padanya. Mereka akan menangisi nasib malang mereka dan berkata: “Kenapalah Allah buat aku jadi begini…. apa salah aku?”. Dan berbagai lagi kata-kata mereka yang tidak elok. Tidak elok kerana mereka seperti sangka buruk dengan Allah.


 

Ayat 21: Sebelum ini disebut apa yang terjadi kepada mereka kalau nasib buruk diberikan kepada mereka. Sekarang, apa pula tindakan mereka kalau mereka dapat kebaikan?

70:21
Sahih International

And when good touches him, withholding [of it],

Malay

Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;

وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا

Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;

مَنُوعًا bermaksud ‘tahan’. Masa dia susah, dia berharap kepada orang lain. Mereka akan minta tolong ke sana dan ke sini. Semua orang dia akan telefon dan jumpa untuk minta tolong. Dan mereka akan marah kalau orang tak tolong mereka. Tapi, bila dia sendiri ada kesenangan, dia kedekut dan tak mahu tolong orang lain.

Seperti telah disebut sebelum ini, dia sampai tak tunjuk apa yang dia ada sebab dia takut orang miskin nampak dan minta darinya. Dia akan suruh isterinya sorok barang kemas, makanan yang sedap-sedap dan sebagainya. Mereka berlagak susah supaya orang lain tak minta tolong kepada mereka.

Maka, itulah dua sifat yang kalau kita perhatikan, terdapat pada kanak-kanak. Kanak-kanak, memang sifat semulajadi mereka adalah tidak sabar dan kedekut. Kita pun telah sebut sebelum ini yang memang Allah jadikan manusia macam itu. Tapi, kalau kanak-kanak, munasabah lah kalau mereka begitu, tapi takkan dah dewasa pun masih macam itu lagi? Seperti kita telah sebutkan, dua sifat itu Allah jadikan sebagai ujian untuk manusia. Kita kena berusaha untuk menghilangkan sifat yang buruk itu.


 

Ayat 22: Bagaimanakah cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan dua sifat buruk itu? Allah ajar kita dalam ayat seterusnya ini.

70:22
Sahih International

Except the observers of prayer –

Malay

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang –

إِلَّا الْمُصَلِّينَ

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang –

Dengan mengerjakan solat, dapat menyelamatkan kita dari dua sifat buruk yang telah disebut sebelum ini.

Perkataan الْمُصَلِّينَ dari segi bahasa bermaksud ‘sentiasa solat’. Iaitu mereka yang menjaga solat mereka – bukan sekali sekala sahaja solat, bukan solat ikut suka dan ikut bila ada masa. Bagaimanakah solat boleh menyelamatkan kita dari dua sifat buruk itu? Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang sifat tidak sabar. Oleh itu, perbuat Solat mengajar kita untuk sabar. Oleh itu, Solat sebenarnya adalah ubat kepada sifat buruk itu.

Mereka yang sentiasa mengerjakan solat, menjaga slat mereka, Allah akan pelihara dan beri taufik kepada mereka. Allah akan masukkan sifat-sifat yang baik dalam diri kita. Oleh itu, janganlah kita sombong kalau kita orang baik. Kerana sifat yang baik itu pun diberi oleh Allah juga, bukan dari diri kita sendiri. Sebaliknya, kenalah kita bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan kita begitu. Allah beri ajaran dan nasihat kepada kita dengan macam-macam cara. Sebagai contoh, mungkin Allah kita dengan kawan-kawan yang menguji kesabaran kita yang menjadikan kita seorang yang penyabar.

Orang yang menjaga solat akan sentiasa ingat kepada Allah. Dengan melakukan solat, dia telah berlatih untuk menyedari bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Apabila kita sedar yang Allah sedang memerhatikan kita, tentulah kita takut untuk melakukan dosa. Orang yang solat, tapi masih mempunyai perangai buruk adalah kerana dia tak faham apakah makna solat itu. Mereka solat sebab lain – sebagai contoh, ada yang solat sebab nak dapat rezeki – mereka takut kalau mereka tak solat, Allah tidak beri rezeki kepada mereka. Itu adalah motivasi yang salah. Mereka ingin supaya Allah sayang mereka dan pada mereka, apabila Allah sayang, tentulah Allah beri rezeki. Ini pun salah konsep juga, kerana rezeki yang banyak bukanlah tanda Allah sayang – tidak semestinya begitu. Lihatlah bagaimana banyak orang-orang yang alim, malah para Nabi sendiri, banyak yang miskin. Oleh itu, ingatlah jangan solat untuk dapat rezeki.

Oleh itu, kenapa kita solat? Kita kena tahu apakah sebab kita solat. Ada tiga sebab:
1. Supaya kita menjadi dekat dengan Allah. Apabila kita dekat dengan Allah, Allah akan sayang kepada kita dan kita inginkan kasih sayang Allah ini.

2. Supaya membersihkan diri kita dari dosa. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang mengatakan solat itu macam mandi sungai yang dapat membersihkan kita dari kekotoran.

DIRIWAYATKAN daripada Hazrat Abu Hurairah r.a katanya, “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah lagi kekotoran (pada badannya)?

Para sahabat menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikit pun kekotoran,”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka demikianlah juga solat lima waktu, melalui solat Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa,” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

3. Supaya melatih diri kita menyedari yang Allah sedang memerhatikan kita sentiasa. Dalam solat, kita kena khusyuk kerana kita sedang berhadapan dengan Allah. Apabila kita sedar Allah melihat kita sentiasa, kita akan takut untuk buat dosa. Itulah maksud ayat Ankaboot:45

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;

Jadi, kerana tidak faham konsep solat, maka ada kemungkinan ada orang yang solat tapi masih mempunyai perangai teruk dan sentiasa melakukan dosa.

Dalam solat, kita juga sepatutnya mengambil peluang untuk tadabbur ayat-ayat Quran. ‘Tadabbur’ bermaksud kita tahu dengan mendalam sesuatu perkara itu. Katakan kita lihat satu bangunan. Mungkin kita sudah biasa lihat bangunan itu dari bahagian depan. Tetapi ‘tadabbur’ bermaksud semua bahagian bangunan itu kita tahu – depan dan belakang sekali. Oleh itu, ‘tadabbur Quran’ bermaksud kita bukan membaca sahaja ayat-ayat Quran, tetapi kita cuba memahami maksud ayat yang dibaca. Perkataan ‘Tadabbur’ itu dari kata dubur yang bermaksud ‘belakang’. Apabila kita tadabbur Quran, kita mencari pengajaran di belakang atau di sebalik ayat itu. Kita mencari apakah pengajaran ayat itu kepada kita.

Jadi, kembali kepada solat. Dalam solat, kita tadabbur ayat-ayat Quran. Bukankah dalam solat kita akan membaca Quran dan inilah peluang untuk kita tadabbur ayat-ayat Quran yang kita baca itu. Proses tadabbur memerlukan konsentrasi dan dalam waktu solatlah kita paling boleh menumpukan perhatian kerana waktu itu kita tidak melakukan apa-apa kerja lain melainkan solat sahaja. Kita tidak sepatutnya memikirkan kerja, keluarga dan lain-lain. Allah dah buatkan kepada kita satu masa setiap hari yang kita tak buat kerja lain langsung waktu itu dan tidak fikirkan perkara lain. Itulah solat lima waktu sekurang-kurangnya.

Jadi sebelum mula solat, ingat balik apa sebab kita nak solat itu. Jangan terbawa perkara dunia dalam solat.

Oleh itu, jangan salah anggap yang kita kena solat atas sebab-sebab yang lain. Kalau hendak berdoa pun, tidak perlu solat dulu. Itulah sebabnya, ‘Solat Hajat’ tidak ada. Memang ada hadis dhaif dalam Sunan Tirmizi tentang ‘hajat’. Tetapi, kita kena faham yang hadis itu mengajar tentang ‘doa’, bukannya tentang solat. Tidak ada gandingan doa dengan perkara lain – tidaklah kena solat dulu baru boleh doa. Ini sama dengan istikharah. Hadis tentang istikharah itu mengajar bagaimana berdoa. Nabi mengajar apa yang perlu diucapkan dalam doa itu. Sama juga dengan istisqa’. Tidak semestinya perlu solat untuk minta hujan kerana ada masa Nabi tak solat untuk minta hujan – Nabi terus doa sahaja. Allah tidak pernah letakkan syarat untuk doa kepadaNya. Walaupun begitu, memanglah molek kalau kita solat dahulu sebelum kita berdoa. Kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan ibadat dan kebajikan.

Yang penting dolam berdoa, Allah nak kita berharap dengan Dia sahaja. Doa lebih makbul apabila waktu kita tidak berharap kepada lain dari Allah. Waktu itu, hati kita bulat hanya minta kepada Allah. Yang penting, kita kena doa sahaja. Tidak ada syarat khusus untuk berdoa kepada Allah, sehinggakan orang bukan Islam pun boleh berdoa kepadaNya.


 

Ayat 23:

70:23
Sahih International

Those who are constant in their prayer

Malay

Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;

الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ

Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;

Maksudnya, mereka yang menjaga waktu solat. Apabila masuk waktu, mereka akan mengerjakan solat dalam waktunya. Setiap hari dan setiap waktu, dan bukannya solat bila suka sahaja, bila orang sekeliling solat sahaja. Mereka tidak tinggalkan solat walau sibuk macam mana pun.

Juga bermaksud mereka yang menjaga kewajipan-kewajipan dalam solat. Ini perlu belajar tatacara solat Nabi. Janganlah hanya menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah rendah sahaja. Ramai yang tidak menambah ilmu mereka tentang solat. Sampai ke tua, pakai yang belajar masa sekolah rendah sahaja. Oleh itu, banyak kekurangan yang mereka lakukan dalam solat mereka. Bukan sahaja kurang, tapi ada juga yang mereka tambah-tambah, contohnya, sapu muka selepas solat. Itu adalah perbuatan bidaah yang kita tengok merata-rata masyarakat kita lakukan.

Juga bermaksud menjaga diam dan khusyuk dalam solat. Menjaga khusyuk adalah satu keperluan. Seperti yang Allah firmankan dalam Mukminoon :1-2

قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خاشِعونَ

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

Khusyuk itu adalah seperti air yang tenang. Untuk mendapatkan khusyuk, wajib menjaga tumakninah. Jangan kelam kabut dalam solat tapi cubalah untuk solat dengan tenang. Tumakninah sebenarnya adalah rukun bukannya sunat. Sebab Nabi pernah tegur seorang sahabat yang solat tidak betul kerana dia tidak menjaga tumakninahnya.

Tubuh mereka yang khusyuk dalam solat juga tenang tidak bergerak yang tidak patut. Orang yang solat sebegini akan menjadikan orang itu sabar. Barulah solatnya bermakna. Bukan pakai buat sahaja seperti melepaskan batuk di tangga.

Ayat ini juga bermaksud kalau mereka beramal ibadat, mereka akan berterusan melakukannya. Inilah yang dinamakan istiqamah. Itulah amal yang Allah paling suka. Walaupun sikit amalnya, tapi dia melakukannya berterusan. Itulah sunnah Nabi.


 

Ayat 24:

70:24
Sahih International

And those within whose wealth is a known right

Malay

Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum –

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ

Dan mereka pada harta-hartanya, ada hak yang termaklum –

Dalam harta kita sebenarnya ada hak orang lain. Iaitu mereka yang memerlukan. Oleh itu, kita perlu memberi rezeki yang Allah berikan kepada kita kepada orang lain samada dalam bentuk zakat atau sedekah. Kita kena selalu memberi kepada mereka yang memerlukan. Ayat ini turun pada zaman tidak ada hukum kewajipan zakat lagi. Tapi lihatlah bagaimana Abu Bakr selalu memberi kepada mereka yang memerlukan.

Juga bermaksud memberi kepada yang diperakui dalam tanggungan kita. Contohnya, kepada anak beranak dan mereka yang dibawah tanggungan kita.

Oleh itu, kalau ada yang minta sedekah, cubalah kita beri setakat yang kita mampu. Sekarang memang banyak yang minta sedekah di negara kita, lebih-lebih lagi di kedai-kedai makan. Memanglah ada sindikit. Tapi kita tidak ditanya tentang itu – kita tidak disuruh tanya samada mereka terlibat dalam sindikit atau tidak – bagaimana kalau mereka memerlukan?

 


 

Ayat 25: Siapakah yang perlu kita beri bantuan infak?

70:25
Sahih International

For the petitioner and the deprived –

Malay

Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);

لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ

Bagi orang yang meminta dan tidak mendapat.

Nabi dan sahabat akan memberi kepada yang perlu dan meminta. Tak tanya banyak. Tidaklah macam Pusat Zakat sekarang, tanya macam-macam kepada mereka yang datang untuk meminta wang zakat. Kita kena sedar, kebanyakan orang amat segan untuk meminta. Mereka tentunya amat malu untuk datang kepada kita meminta pertolongan. Jadi, apabila mereka datang meminta, kita tahulah bahawa mereka telah fikir banyak kali samada hendak meminta atau tidak. Entah berapa lama mereka susun ayat sebelum datang berjumpa kita.

Selain dari mereka yang meminta, ada juga yang tertahan rezeki mereka. Tapi mereka tidak datang meminta. Atau mereka yang tertahan mendapat rezeki kerana perniagaan rugi, atau tanaman mereka rosak. Mereka tidak meminta minta. Bukan dia tidak ada harta tapi tertahan. Macam ayat surah Waqiah:67

بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ

“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) “

Dalam ayat ini, disebut mereka yang ‘meminta’. Bagaimana pandangan Islam tentang meminta-minta seperti Peminta Sedekah? Meminta-minta sebenarnya tidak baik dalam pandangan Islam. Ada riwayat hadis Nabi yang menyebut bagaimana orang yang meminta untuk menambah harta mereka itu adalah seperti mengambil batu arang.

Dibenarkan meminta hanya kepada mereka yang:
1. Berhutang dan dia tidak mampu bayar. Sebagai contoh, dia jadi penjamin dan dia kena bayar.
2. Harta mereka musnah disebabkan oleh bencana.
3. Memang mereka itu orang yang miskin dan disaksikan oleh tiga orang yang mengatakan mereka itu benar-benar miskin.

Itulah tiga golongan yang telah disebut boleh meminta. Kalau selain dari itu, tidak dibenarkan dalam Islam. Maka ayat ini tentang meminta yang dibenarkan.

Golongan مَحْرُومُونَ ini tidak meminta minta . Maka kita yang kena tahu keperluan mereka dan memberi bantuan tanpa diminta oleh mereka. Jadi itu maksudnya kita kena ambil tahu dengan apa yang terjadi dengan orang di sekeliling kita. Tidak kira samada mereka muslim atau tidak. Kerana ayat ini tidak kata kepada orang Islam sahaja kita kena tolong.

Yang disekat itu juga adalah mereka yang tidak layak mendapat bantudan dari Baitulmal. Kerana mereka sebenarnya ada kerjaya. Tapi tak cukup untuk menampung keperluan mereka. Ada orang yang Allah telah takdirkan dia takkan kaya. Tapi sifatnya, dia tidak minta dengan orang.

Atau termasuk mereka yang hilang hartanya. Mereka yang sebegini, kita kena perhatikan. Kita kena tolong mereka juga.


 

Ayat 26:

70:26
Sahih International

And those who believe in the Day of Recompense

Malay

Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);

وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ

Dan mereka yang membenarkan Hari Pembalasan

Mereka percaya kepada janji Allah dan Nabi tentnag syurga, neraka, Mahsyar, Akhirat dan sebagainya. Mereka percaya dengan benar-benar yakin.

Dan apabila seseorang itu benar-benar percaya dengan Hari Pembalasan, tentulah dia akan memberi kesan kepada kehidupan orang itu. Dia benar-benar mengharap kepada pembalasan di akhirat nanti. Sampaikan kalau kakinya tercucuk duri pun tidak akan mengadu atau menjerit marah, kerana dia tahu bahawa kesakitannya itu akan dibalas dengan pahala di akhirat nanti.

Dia juga akan banyak memberi sedekah kerana dia yakin bahawa pemberian sedekah itu nanti akan dibalas di akhirat.

Oleh itu, kepercayaan kepada Hari Pembalasan akan menjadikan seseorang itu sabar dan pemurah. Oleh itu kepercayaan yang yakin kepada Hari pembalasan akan menghilangkan dua sifat buruk manusia telah disebut sebelum ini – tidak sabar dan kedekut. Kerana mereka sanggup luangkan dua aset penting manusia – masa dan harta. Iaitu apabila kita solat dan sedekah.

Kepercayaan kepada Hari Pembalasan ini adalah benar. Oleh itu, amat pelik bila ada yang tak balasan pahala dan syurga. Kononnya tak mahu ganjaran itu sebab mereka melakukan amal ibadat dengan ikhlas. Itu adalah ajaran yang salah. Kita pun tahu yang kita manusia ada nafsu. Semua manusia mahukan kesenangan dan Allah majukan kehendak manusia itu kepada balasan syurga.


 

Ayat 27:

70:27
Sahih International

And those who are fearful of the punishment of their Lord –

Malay

Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, –

وَالَّذِينَ هُم مِّنْ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ

Dan mereka yang takut daripada ditimpa azab Tuhannya, –

Azab yang dimaksudkan itu boleh jadi azab akhirat atau azab di dunia.

Sebelum ini telah disebut sifat mereka yang menjaga solat dan memberi infak. Tapi lihatlah bagaimana walaupun mereka telah melakukan amal-amal kebaikan yang banyak seperti solat dan memberi sedekah, tapi mereka masih juga takut. Kenapakah mereka takut?

Kerana mereka tahu bahawa amal-amal kebaikan yang mereka lakukan masih tidak cukup untuk membalas nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka. Mereka tahu bahawa segala amal kebaikan mereka itu tidak dapat memastikan yang mereka akan dapat masuk ke dalam syurga. Kerana manusia tidak masuk ke dalam syurga disebabkan oleh amal ibadat. Jadi, walaupun mereka berbuat kebajikan, mereka masih lagi takut seperti yang disebut dalam Mukminoon: 60

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم راجِعونَ

Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;

Mereka juga takut kerana mereka tidak pasti sama ada amal ibadat dan amal kebaikan yang mereka lakukan itu diterima Allah atau tidak. Mereka takut hendak bertemu dengan Tuhan mereka kerana mereka tidak pasti. Bagaimana kalau amalan mereka itu tidak seperti yang Allah kehendaki? Bagaimana kalau mereka tidak ikhlas dalam amalan mereka itu? Kerana kalau amalan tidak ikhlas, ianya tidak diterima.

Begitulah sifat orang mukmin: walaupun banyak amal, mereka rasa sikit sahaja amal itu. Rasa tak cukup sahaja dengan apa yang mereka telah lakukan. Berlawanan dengan mereka yang tidak mukmin – amal mereka sikit sahaja sebenarnya, tapi mereka rasa banyak dah mereka buat. Buat sikit, tapi bangga yang lebih.

Mereka bukan hanya takut untuk diri mereka sahaja tapi takut untuk orang lain juga. Kita patut risaukan nasib orang lain di akhirat juga. Allah ajar kita bersedekah kepada orang lain kerana kita hiraukan mereka, bukan? Tapi itu tentang kesenangan di dunia. Tidakkah kita kisahkan tentang kesenangan mereka di akhirat juga? Takkan dunia sahaja kita hendak mereka selamat? Oleh itu, hendaklah kita memberi peringatan kepada orang di sekeliling kita tentang agama dan menjaga agama. Jangan kita ingat nak lepaskan diri kita sahaja. Maka, kita kena jalankan kerja dakwah dan memberi peringatan kepada manusia. Kalau kita sayang orang-orang di sekeliling kita, sepatutnya kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan, bukan?

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Ref: UAd, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 070: Maarij and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s