Tafsir Surah Hud Ayat 46 – 49 (Pendaratan Nabi Nuh)

Ayat 46:

قالَ يا نوحُ إِنَّهُ لَيسَ مِن أَهلِكَ ۖ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيرُ صالِحٍ ۖ فَلا تَسأَلنِ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۖ إِنّي أَعِظُكَ أَن تَكونَ مِنَ الجاهِلينَ

Sahih International

He said, “O Noah, indeed he is not of your family; indeed, he is [one whose] work was other than righteous, so ask Me not for that about which you have no knowledge. Indeed, I advise you, lest you be among the ignorant.”

Malay

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

 

قَالَ يَا نُوحُ

Allah berfirman: “Wahai Nuh!

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Nuh telah bertanya kepada Allah kenapa anaknya tidak diselamatkan sedangkan anaknya itu adalah ahli keluarga baginda, darah daging baginda. Baginda keliru kerana sebelum itu, Allah telah menyuruh baginda memasukkan keluarganya dalam bahtera itu. Tapi apabila baginda mengajak anaknya, anaknya tidak mahu mengikut ajakannya. Dan anaknya telah mati kelemasan. Maka, Nabi Nuh hairan dan bertanya kepada Allah. Sekarang Allah jawap.

 

إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ

Sesungguhnya dia bukanlah dari keluargamu

Memang dia ‘anak’ kandung Nabi Nuh, tapi bukan dari ‘keluarga’ baginda. Kalau anak yang beragama Islam barulah dikatakan ‘keluarga’. Allah hanya berjanji menyelamatkan ahli keluarganya yang beriman sahaja. bukan semua sekali.

Seorang anak yang bukan Islam, tidak dikira dalam keluarga Islam lagi. Katakanlah seorang ibu atau bapa masuk Islam, tapi jika anaknya tidak masuk Islam, anaknya itu bukan dari keluarganya lagi. Sebagai contoh, harta pesaka tidak boleh diterima dari ayahnya dalam hukum faraid. Kecuali kalau diberikan melalui wasiat setakat 1/3 dari hartanya.

Atau maksudnya anaknya itu bukan ‘ahli’ dalam ‘deen’. Di sini kita kena ikut takrif Allah. Kalau Allah kata yang dia bukan anak baginda, maka itu bermaksud dia bukan anak baginda. Kita kena ingat yang hubungan kekeluargaan itu hanya di dunia sahaja. Apabila hari Akhirat sudah bermula, maka terputuslah segala perhubungan. Jadi jangan kita pelik kalau anak sendiri pun Allah tidak ketegorikan sebagai ahli keluarga.

Memang anak Nabi Nuh yang tenggelam itu adalah anak kandungnya sendiri. Ada yang kata anak itu bukan anaknya yang sebenar, tapi anak haram hasil dari penzinaan isteri baginda. Ini adalah pendapat yang bathil. Kerana isteri seorang Nabi tidak akan berzina.

 

إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ

sesungguhnya amalannya bukan amalan yang soleh,

Tidaklah Allah kata terus yang anaknya itu kafir kerana itu adalah anak Nabi. Kiranya Allah berbahasa dengan NabiNya, menjaga hati baginda.

Atau ayat ini merujuk kepada doa Nabi Nuh itu tentang anaknya bukanlah satu amal yang soleh. Tak sesuai untuk mendoakan orang yang kufur. Walaupun anak sendiri tapi kalau sudah jelas yang dia kafir, kita tidak boleh mendoakan supaya Allah selamatkan mereka di akhirat. Begitu jugalah yang ditegur kepada Nabi Ibrahim yang mendoakan ayah baginda. Jadi, kalau ada sesiapa yang masuk Islam dan ibu bapa mereka tidak masuk Islam lagi dan telah mati, tidak boleh mendoakan keselamatan untuk mereka, kerana mereka telah jelas mati kufur. Selama mereka hidup, boleh lagi berdoa supaya Allah bukakan hati mereka masuk Islam, tapi apabila sudah mati, jangan lagi berdoa untuk mereka; maka, perbuatan Nabi Nuh mendoakan anaknya itu bukanlah amalan soleh dan tidak boleh diteruskan lagi.

 

فَلَا تَسْأَلْنِ

maka janganlah engkau memohon kepadaKu

Ini adalah satu pengajaran yang penting. Ianya mengajar kita hukum dalam berdoa. Kalau ada ahli keluarga yang mati dalam kufur, maka tidak boleh mendoakan untuk mereka. Telah ada larangan tentang perkara ini. Allah larang untuk berdoa untuk mereka.

 

مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Jangan minta apa yang kita tak tahu tentangnya. Macam Nabi Nuh, dia tidak tahu tidak boleh mendoakan untuk orang yang kafir. Maka sekarang Allah beritahu, maka jangan buat lagi.

Ayat ini juga sebagai dalil melarang kita berdoa apa yang kita tak tahu. Iaitu kita berdoa, tapi kita tak tahu apa yang kita doakan. Selalu terjadi, kita ambil doa-doa dalam teks bahasa Arab, tapi kita tak tahu maknanya. Itu bukan berdoa maknanya. Sebab kita pun tak tahu apa yang kita minta. Jadi, tak perlulah baca doa pakai bahasa Arab kalau kita tak faham makna. Lebih baik kalau pakai bahasa Melayu sahaja. Lagi kita faham dan lagi ikhlas kita dengan doa kita itu dan lagi khusyuk kita semasa berdoa kerana kita faham. Malangnya, ramai dari kalangan masyarakat kita, sebab nak ada juga bunyi Arab, mereka berdoa tanpa mereka faham apakah yang mereka bacakan dalam doa itu.

 

إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

Jangan lagi doa macam itu. Maknanya, kalau anak kita ada yang murtad, jangan berdoa untuk mereka. Kalau ada ahli keluarga yang mati sebelum masuk Islam, jangan doakan untuk mereka. Doa sebegitu tidak diterima, malah dilarang sama sekali. Sama juga kalau kita minta doa untuk orang-orang yang melakukan syirik. Walaupun itu adalah doa anak untuk mak ayah yang syirik. Kalau kita tidak tahu mereka itu mengamalkan syirik, doa itu tidak diterima. Tapi kalau kita tahu mereka mengamalkan syirik, kita tidak boleh mendoakan untuk mereka. Kalau doa juga, itu berdosa.

Ada pernah kejadian di markas tempat pengajian mualaf. Ada ustaz yang mengajar mereka selepas majlis ilmu, ajak mualaf-mualaf itu untuk buat tahlil untuk sedekahkan pahala tahlil itu kepada ibu bapa mualaf-mualaf itu. Ustaz itu kata, mudah-mudahan dengan ikhlas mereka, doa itu sampai kepada ibubapa yang mati kafir itu; ini adalah satu perbuatan yang amat jahil sekali, berlawanan dengan apa yang ada dalam Quran, termasuk ayat ini. Bagaimana seorang ustaz boleh tidak tahu tentang perkara itu? Bagaimana dia boleh mengajar agama kalau perkara asas sebegini pun dia tidak tahu?

Maka jangan doakan untuk ahli keluarga yang mati kufur. Yang kita boleh doakan adalah semasa mereka masih hidup – iaitu kita berdoa kepada Allah supaya memberi hidayah kepada mereka.


 

Ayat 47: Setelah teguran dari Allah itu, inilah tindakbalas Nabi Nuh a.s.

قالَ رَبِّ إِنّي أَعوذُ بِكَ أَن أَسأَلَكَ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ ۖ وَإِلّا تَغفِر لي وَتَرحَمني أَكُن مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

[Noah] said, “My Lord, I seek refuge in You from asking that of which I have no knowledge. And unless You forgive me and have mercy upon me, I will be among the losers.”

Malay

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

 

قَالَ رَبِّ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku!

Nabi Nuh telah sedar kesalahan baginda. Maka baginda meminta ampun kepada Allah.

 

إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu

Nabi Musa berdoa supaya lain kali dia tidak buat lagi. Baginda memohon supaya Allah memberi petunjuk kepadanya.

 

أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

daripada memohon kepadaMu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;

Selepas ditegur, Nabi Nuh a.s. terus terima teguran itu. Dia sedar kesalahannya itu dan terus minta ampun. Walaupun baginda asalnya tanya sahaja, bukan hendak mempersoal perbuatan Allah. Macam Nabi Adam juga, apabila telah melakukan kesalahan, terus Nabi Adam meminta ampun kepada Allah.

 

وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي

dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku,

Nabi Nuh tahu yang dia telah buat salah. Sebab itu dia minta ampun. Nabi Nuh amat mengharap pengampunan dari Allah SWT. Baginda tahu nasib malang sekali kalau Allah tidak ampunkan dosa.

 

وَتَرْحَمْنِي

dan memberi rahmat kepadaku,

Nabi Nuh amat mengharap kepada rahmat dari Allah. Baginda sedar yang segala rahmat dari Allah.

 

أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ

nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Kalau seorang Nabi membuat kesalahan pun akan kerugian, apatah lagi kita yang manusia biasa sahaja?

Kalau seorang Nabi pun tidak dapat menolong anaknya sendiri, apatah lagi kalau antara manusia biasa? Lalu bagaimana kita boleh mengharap syafaat dari orang lain kalau kita sendiri tidak berbuat kebaikan dan beriman?


 

Ayat 48:

قيلَ يا نوحُ اهبِط بِسَلامٍ مِنّا وَبَرَكاتٍ عَلَيكَ وَعَلىٰ أُمَمٍ مِمَّن مَعَكَ ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُم ثُمَّ يَمَسُّهُم مِنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

It was said, “O Noah, disembark in security from Us and blessings upon you and upon nations [descending] from those with you. But other nations [of them] We will grant enjoyment; then there will touch them from Us a painful punishment.”

Malay

Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya”.

 

قِيلَ يَا نُوحُ

Dikatakan: Wahai Nuh!

Allah berfirman kepada Nuh a.s.

 

اهْبِطْ بِسَلَامٍ مِّنَّا

Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dari Kami

Perkataan yang sama digunakan kepada Nabi Adam a.s. Sekarang digunakan kepada Nabi Nuh a.s. pula. Ada persamaan antara keduanya. Kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan. Kedua-duanya telah mengaku dengan kesalahan mereka yang mereka telah lakukan. Nabi Adam bersalah memakan pokok larangan dan Nabi Nuh telah memohon doa untuk anaknya yang kafir; Nabi Adam telah diturunkan dari syurga ke bumi dan Nabi Nuh juga diturunkan dari bahtera ke bumi juga; kedua-dua Nabi Allah itu telah diampunkan oleh Allah atas kesalahan mereka.

‘Selamat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah selamat dari kesusahan. Bayangkan, apabila Nabi Nuh dan sahabat-sahabatnya turun dari kapal itu, semua kehidupan yang mereka kenali dulu sudah tidak ada. Binatang sudah tidak ada kecuali yang dalam bahtera, tumbuh-tumbuhan tidak maka tentu makanan pun susah untuk didapati. Mereka kena memulakan hidup baru, tapi Allah menjanjikan keselamatan untuk mereka. Mereka akan duduk dengan sejahtera di mukabumi.

 

وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ

dan berkat kepadamu

Allah memberi berkat kepada baginda. Apakah maksud ‘berkat’?. Berkat adalah mendapat banyak kebaikan walaupun dari segi kuantiti, mungkin nampak sedikit.  Sebagai contoh, kita sedang dahaga, tapi air yang ada hanya sedikit sahaja. Kalau Allah beri keberkatan kepada kita, air yang sedikit itu sahaja boleh menghilangkan dahaga kita. Begitu juga, kalau gaji kita kecil, tapi kalau Allah beri keberkatan, gaji yang sedikit itu cukup untuk kita dan keluarga kita.

Berkat juga bermaksud berkembang banyak. Allah telah memberi keberkatan kepada Nabi Nuh a.s. Keturunan manusia itu semuanya berasal daripada keturunan Nabi Nuh. Dikatakan bahawa hanya anak cucu Nabi Nuh sahaja yang meneruskan kelangsungan zuriat manusia. Tidak ada anak cucu dari sahabat-sahabat baginda yang lain. Maka, kita ini adalah keturunan Nabi Adam dan juga keturunan Nabi Nuh belaka. Sebab itulah Nabi Nuh juga digelar ‘Adam kedua’.

 

وَعَلَىٰ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ

dan kepada umat-umat yang bersama-samamu.

Yang turun bersama baginda Nuh a.s itu tidaklah ramai, tapi mereka dikatakan sebagai أُمَمٍ – umat-umat. Ini memberi isyarat bahawa mereka bukan sahaja individu biasa, tapi dari keturunan mereka, umat manusia akan berkembang biak dan menjadi bapa kepada umat-umat selepas mereka. Akan tetapi, seperti telah disebut sebelum ini, ada pendapat yang mengatakan keturunan Nabi Nuh sahaja yang berterusan.

Sebagai contoh, salah seorang anaknya yang bernama Sam bin Nuh akan lahir darinya keturunan orang-orang Semitik.

 

وَأُمَمٌ

Dan kaum-kaum lain

Iaitu selepas dari anak cucu Nabi Nuh. Dari keturunan baginda, diteruskan kelangsungan kehidupan hidup anak cucu Nabi Adam dan Nuh di mukabumi.

 

سَنُمَتِّعُهُمْ

yang Kami akan beri kesenangan kepada mereka,

Mereka akan mendapat kesenangan semasa di dunia. Di dunia mereka tidak kena azab.

 

ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

kemudian mereka akan merasakan dari Kami azab yang tidak terperi sakitnya”.

Mereka itu dikenakan azab kalau mereka kufur kepada Allah. Allah dah beritahu kepada Nabi Nuh bahawa ada dari kalangan anak cucunya yang akan menentang Allah. Memang semua mereka yang turun bersama dengan Nabi Nuh itu beriman semuanya. Tapi Allah sudah beri isyarat dalam ayat ini, akan ada dari kalangan mereka yang tidak akan beriman.


 

Ayat 49: Ayat ini sekarang berubah kepada firman Allah kepada Nabi Muhammad pula. Ini dipanggil jumlah mu’taridah – dalam kisah Nabi Nuh, terus khitab kepada Nabi Muhammad pula. 

تِلكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيها إِلَيكَ ۖ ما كُنتَ تَعلَمُها أَنتَ وَلا قَومُكَ مِن قَبلِ هٰذا ۖ فَاصبِر ۖ إِنَّ العاقِبَةَ لِلمُتَّقينَ

Sahih International

That is from the news of the unseen which We reveal to you, [O Muhammad]. You knew it not, neither you nor your people, before this. So be patient; indeed, the [best] outcome is for the righteous .

Malay

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

تِلْكَ مِنْ أَنبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ

Itu adalah dari berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Kisah tentang Nabi Nuh ini adalah satu sahaja kalau kita lihat secara biasa. Tapi Allah menggunakan perkataan أَنبَاءِ iaitu dalam bentuk jamak (plural). Seolah-olah ada banyak kisah di dalamnya. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa kita kena melihat kisah Nabi Nuh ini sebagai banyak. Ada banyak kisah dalam satu kisah yang besar. Maka, kita kena pecahkan dan mengambil pengajaran dari setiap satu kisah itu.

Perkataan أَنبَاءِ bermaksud ‘berita-berita besar’. Berita-berita itu juga relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Jadi jangan kita lihat kisah Nabi Nuh ini sebagai hanya kisah sejarah sahaja, tapi kita kena ambil pengajaran dari kisah baginda ini.

Kisah Nabi Nuh ini termasuk kisah perkara ghaib yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad. Ini menunjukkan Nabi sendiri tidak mengetahui perkara dan ilmu ghaib. Kalau Allah tak beritahu kepada Nabi, Nabi pun tidak tahu.

Ia juga sebagai dalil yang Nabi Muhammad adalah seorang Rasul – kalau tidak seorang Nabi dan Rasul, tidak akan mendapat kisah-kisah ini.

 

مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا

yang engkau tidak mengetahuinya

Nabi tidak akan mengetahui tentang kisah Nabi Nuh itu kalau Allah tidak beritahu kepada baginda. Kisah ini berlaku sangat lama dahulu dan tidak ada dalam buku sejarah. Mungkin disampaikan dari mulut ke mulut sahaja, tapi tidak pasti samada ianya benar atau tidak.

 

أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَٰذَا

engkau dan kaum engkau, sebelum ini.

Sebelum turun ayat ini, Nabi Muhammad dan bangsa Arab tidak tahu pun berkenaan kisah ini. Mereka mungkin ada dengar, tapi tidak pasti kesahihannya.

 

فَاصْبِرْ

Oleh itu, bersabarlah.

Bersabarlah kamu dalam belajar agama ini.
Bersabarlah kamu dalam menyebar agama tauhid ini.

Bersabarlah juga dengan kata-kata nista dan penghinaan dari orang kafir. Kalau mereka tidak terima, maka tetaplah dalam sabar. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh itu telah melalui kesusahan demi kesusahan. Waktu ayat ini diturunkan, Nabi telah berdakwah selama lebih kurang sepuluh tahun. Baginda dan para sahabat yang telah memeluk Islam telah mengalami tentangan yang hebat dari Musyrikin Mekah. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini supaya mereka bersabar dalam dakwah mereka. Untuk beri semangat kepada mereka, Allah bawakan kisah Nabi Nuh yang telah berdakwah lebih lama lagi dari mereka – 950 tahun! Dan dugaan yang Nabi Nuh a.s. alami juga adalah hebat. Oleh itu, mesej utama yang hendak disampaikan dari kisah Nabi Nuh a.s. itu adalah tentang sabar.

 

إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Walaupun susah dalam menegakkan agama dan menyampaikan dakwah kepada manusia, tapi hendaklah kita ingat bahawa balasan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa. Bertaqwa itu maksudnya menjaga hukum yang Allah telah sampaikan kepada kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s