Tafsir Surah Hud Ayat 42 – 45 (Air banjir akhirnya surut)

Ayat 42:

وَهِيَ تَجري بِهِم في مَوجٍ كَالجِبالِ وَنادىٰ نوحٌ ابنَهُ وَكانَ في مَعزِلٍ يا بُنَيَّ اركَب مَعَنا وَلا تَكُن مَعَ الكافِرينَ

Sahih International

And it sailed with them through waves like mountains, and Noah called to his son who was apart [from them], “O my son, come aboard with us and be not with the disbelievers.”

Malay

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

 

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ

dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka

Selepas mereka naik, maka berlayarlah Nabi Nuh a.s. beserta dengan orang-orang yang beriman dengannya dan binatang-binatang yang telah dimasukkan ke dalam bahtera itu.

 

فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ

dalam ombak yang seperti gunung-ganang,

Pelayaran itu bukanlah pelayaran yang tenang. Bayangkan waktu itu, air keluar dari bumi dan dalam masa yang sama, air turun dari langit. Ombak memukul-mukul kapal itu. Ombak itu amat besar sekali, macam gunung tingginya. Mungkin kita boleh bayangkan kalau zaman sekarang, ombak itu macam Tsunami besarnya. Bahtera itu hebat sampaikan boleh menghadapi ombak yang besar itu. Walaupun ombak tinggi, tapi bahtera Nabi Nuh dapat bertahan.

 

وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ

dan Nabi Nuh memanggil anaknya,

Anaknya itu dikatakan bernama كِنعَان (Kin’an). Ada juga riwayat yang mengatakan namanya adalah Yaam. Allahu a’lam. Beliau adalah anak Nabi Nuh yang keempat. Emaknya juga, iaitu isteri Nabi Nuh, tidak beriman.

Jadi, seorang anak Nabi Nuh a.s. dan isterinya tidak beriman. Jadi, kalau kita sebar agama, tapi orang tak terima, tidak mengapalah. Kerana Nabi yang juga Rasul pun ada keluarga yang tidak menerima agama. Memang hidayah bukan kita yang beri. Kalau anak Nabi pun ada yang tidak beriman, apatah lagi anak kita.

 

وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ

yang sedang berada di tempat yang terasing

Perkataan مَعْزِلٍ bermaksud ‘berada di sudut’. Ianya dari katadasar عزل yang bermaksud ‘menjauhkan diri’. Dari katadasar yang sama jugalah perkataan ‘muktazilah’ digunakan, kerana mereka mengasingkan diri mereka dari kumpulan Islam yang lain. Ianya seperti seorang yang melarikan diri ke sudut dewan kalau dia tidak mahu bercampur dengan orang lain. Bermakna, anaknya itu menjauhkan diri dari Nabi Nuh. Juga dia menjauhkan diri dari agama. Dia tidak mahu mendekatkan diri dengan ayahnya dan dengan agama kerana dia tidak suka dengan agama.

Apabila banjir terjadi dan air semakin naik, dia sangka dia boleh menyelamatkan diri dengan pergi cari tempat yang paling tinggi.

 

يَا بُنَيَّ

“Wahai anakku,

Ini adalah panggilan manja seorang ayah kepada anaknya. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh a.s. panggil anaknya dengan nada lembut dan sayang. Begitulah seorang ayah yang baik dengan anaknya.

 

ارْكَب مَّعَنَا

naiklah bersama-sama kami,

Nabi Nuh a.s. mengajak anaknya naik bersama-sama mereka menaiki bahtera yang selamat itu. Marilah ke tempat yang selamat.

 

وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ

dan janganlah engkau bersama dengan orang-orang yang kafir”.

Anaknya jadi begitu kerana telah tersilap pilih kawan. Sudah lama dia berkawan dengan orang yang kafir. Ayahnya seorang Nabi tapi dia berkawan dengan orang kafir. Jadi kita kena tengok siapa kita dan anak kita berkawan. Jangan kita biarkan sahaja anak kita berkawan tanpa pengawasan dari kita. Kita kena periksa ke mana mereka pergi. Memang mereka tidak suka kita tanya mereka, tapi kena tanya juga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang mana banyak sangat kemudahan untuk melakukan keburukan dan perkara yang salah.

Allah telah beritahu Nabi Nuh bahawa tidak akan beriman lagi melainkan orang yang telah beriman. Ini termasuklah anak baginda sendiri. Kalau ada yang bertaubat apabila mereka hampir mati dalam banjir ini, mereka tidak akan diterima taubat mereka. Kerana mereka dah tahu mereka akan mati. Apabila bala dah sampai, kalau mereka baru bertaubat waktu itu, taubat itu tidak diterima.


 

Ayat 43:

قالَ سَآوي إِلىٰ جَبَلٍ يَعصِمُني مِنَ الماءِ ۚ قالَ لا عاصِمَ اليَومَ مِن أَمرِ اللَّهِ إِلّا مَن رَحِمَ ۚ وَحالَ بَينَهُمَا المَوجُ فَكانَ مِنَ المُغرَقينَ

Sahih International

[But] he said, “I will take refuge on a mountain to protect me from the water.” [Noah] said, “There is no protector today from the decree of Allah, except for whom He gives mercy.” And the waves came between them, and he was among the drowned.

Malay

Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

 

قَالَ

Anaknya menjawab:

Inilah jawapan anaknya apabila diajak oleh ayahnya, Nabi Nuh a.s. Dia masih tidak mahu mendengar kata dan nasihat ayahnya. Air dah naik tinggi pun masih tidak mahu ikut ayahnya lagi.

 

سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ

“Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung

Waktu itu kapal dah belayar, tapi air belum lebih dari gunung lagi. Jadi anaknya itu sangka, kalau dia lari panjat gunung, tentu dia akan selamat.

 

يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ

yang dapat menyelamatkan aku daripada air”.

Mereka tak pernah tengok keadaan air naik tinggi begitu. Oleh itu anaknya tidak tahu apa yang akan terjadi. Dia sangka dia boleh selamatkan dirinya dengan pergi naik ke gunung yang tinggi. Dia sangka air itu tidaklah sampai akan menghapuskan gunung yang besar. Sangkaanya itu salah sama sekali kerana air banjir itu akan memenuhi bumi dan akan lebih tinggi lagi dari gunung yang tertinggi sekali pun. Memang tidak ada tempat yang akan selamat.

 

قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi pada hari ini dari keputusan Allah,

Sangkaan mereka yang rasa boleh menyelamatkan diri mereka dengan pergi berlindung ke tempat yang tinggi, salah sama sekali. Kalau Allah telah tetapkan yang banjir itu akan memusnahkan semua tempat di bumi, ianya akan terjadi. Tidak ada sesiapa yang boleh lari dari ketetapan Allah taala.

 

إِلَّا مَن رَّحِمَ

kecuali orang yang dikasihani olehNya”.

Yang boleh selamat adalah hanya mereka yang mahu diselamatkan oleh Allah. Mereka itulah yang berada dalam bahtera Nabi Nuh itu.

Ada kisah dongeng tentang Banjir Besar ini. Ada kisah yang kata ada seorang perempuan tua yang selamat dari banjir. Dia sampai tidak ada tahu ada banjir. Ini adalah kisah yang palsu dan berlawanan dengan ayat-ayat Quran. Kalau sengaja menyampaikan kisah itu kepada orang lain, maka itu adalah dosa besar dan boleh jatuh kufur. Maka, kenalah berhati-hati dengan kisah yang disampaikan.

 

وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ

Dan memisahkan antara keduanya, ombak,

Nabi Nuh hulur tangan kepada anaknya itu, tapi anaknya tolak tangan baginda. Dan akhirnya mereka dipisahkan oleh ombak yang besar. Semasa sedang bercakap-cakap itulah dia mati lemas. Anaknya itu lemas di depan mata ayahnya sendiri. Bayangkan keadaan baginda waktu itu. Tentunya baginda amat bersedih yang tidak terhingga.

 

فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ

lalu menjadilah dia dari orang-orang yang ditenggelamkan.

Anaknya itu tidak dapat diselamatkan lagi. Dia bersama dengan mereka yang tidak mahu beriman yang juga semuanya telah ditakdirkan mati dalam Banjir Besar itu.


 

Ayat 44: Ini adalah satu ayat yang indah sekali. Ada kisah seorang Kristian yang pakar dalam bahasa Arab. Dia telah menyediakan beberapa perkara untuk menunjukkan kekurangan dalam Quran dan dia hendak bawa kepada orang Islam untuk berdebat dengan mereka. Tapi, dalam perjalanan itu, dia terdengar seorang budak Islam yang sedang menghafal ayat ini. Apabila dia dengar keindahan bahasa yang digunakan dalam ayat ini, dia telah masuk Islam. Kerana ayat ini walaupun pendek tapi ianya menceritakan kejadian banjir itu dengan indah sekali.

وَقيلَ يا أَرضُ ابلَعي ماءَكِ وَيا سَماءُ أَقلِعي وَغيضَ الماءُ وَقُضِيَ الأَمرُ وَاستَوَت عَلَى الجودِيِّ ۖ وَقيلَ بُعدًا لِلقَومِ الظّالِمينَ

Sahih International

And it was said, “O earth, swallow your water, and O sky, withhold [your rain].” And the water subsided, and the matter was accomplished, and the ship came to rest on the [mountain of] Judiyy. And it was said, “Away with the wrongdoing people.”

Malay

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.

 

وَقِيلَ يَا أَرْضُ

Dan telah dikatakan: “Wahai bumi

Dalam ayat ini, tidak disebutkan Allah yang berkata, tapi kita sudah tahu bahawa ianya Allah yang beri perintah kepada bumi. Begitu juga dengan bumi, apabila disuruh, ia sudah tahu yang arahan itu dari Allah. Bumi sentiasa menunggu arahan dari Allah dan bumi taat. Maksudnya, bumi sekarang sedang menunggu arahan Allah untuk terjadinya Hari Kiamat. Bumi menunggu-nunggu sahaja kerana dia sudah tahu apakah akhir yang terjadi kepadanya nanti.

Allah hanya kata يَا أَرْضُ, tidak ‘ya ayyatutuhal ardhu‘, tidak seperti kalau Allah bercakap kepada manusia. Ini adalah kerana bumi sentiasa sahaja menunggu arahan dari Allah. Tapi, kalau cakap dengan manusia, kena tambah ‘ayyuha‘, untuk menarik perhatian manusia dan kata yang lebih lembut.

Ada riwayat kata banjir itu selama 40 hari 40 malam. Gunung yang paling tinggi dalam dunia pun ditenggelami oleh air. Kalau kapal lalu atas gunung itu pun tidak tersangkut.

Semua sekali kehidupan mati semuanya. Termasuklah haiwan sekali. Walaupun binatang itu tidak buat salah apa-apa. Tapi apabila bala turun, mereka pun kena sekali. Bukanlah Allah zalim kerana buat begitu. Kerana binatang pun akan mati juga akhirnya.

 

ابْلَعِي مَاءَكِ

telanlah airmu.

Dari katadasar بلع yang bermaksud ‘menelan air’. Allah suruh bumi ‘menelan airmu’. Apakah maksudnya? Maksudnya bumi disuruh menelan semua air yang dikeluarkan olehnya sebelum itu. Air yang turun dari langit pula pergi ke laut, tasik dan sungai.

Atau, apabila Allah suruh telan air itu, yang disuruh telan itu adalah air yang turun dengan hujan sahaja. Bukan semua sekali air, kerana kalau ditelan semua air, maka akan kering kontanglah bumi ini. Tapi hanya telan air yang turun dengan hujan itu. Kerana air hujan itu dari bumi juga. Sebab itulah Allah suruh telan ‘airmu’ sahaja, bukan semua air. Allahu a’lam.

Kita tak tahu berapa banyak air yang berada dan disimpan dalam bumi. Allah boleh perintahkan bumi untuk keluarkan dan Allah boleh suruh bumi telan balik.

Allah suruh bumi untuk telan ‘airnya’ sahaja. Kalau Allah cakap ‘telan’ sahaja, tanpa menyebut ‘air’, tentu bumi akan menelan segala pokok, segala bukit bukau, segala tanaman, binatang dan manusia, semua sekali.

Bumi disuruh menelan airnya dahulu kerana air perlu ditelan supaya boleh bahtera mendarat di tanah yang kering.

 

وَيَا سَمَاءُ

dan wahai langit,

Waktu itu langit sedang mencurah-curah menurunkan air hujan.

 

أَقْلِعِي

berhentilah serta merta”.

Dari katadasar خلع yang bermaksud ‘tidak bergerak’ atau ‘berhenti’.  Masa Allah firman itu, hujan sedang turun dengan lebat. Maka, perkataan أَقْلِعِي itu bermaksud untuk berhenti menurunkan air dengan serta merta. Macam seseorang yang sedang sibuk melakukan sesuatu, dan kita suruh dia berhenti terus saat itu juga.

Kita sudah tahu bahawa ayat ini adalah perintah Allah kepada bumi dan langit. Sudah sememangnya Allah layak untuk berkata begitu kepada makhlukNya. Tapi, baru-baru ini (hujung tahun 2014), negara ini telah mengalami satu kejadian banjir di Kelantan yang paling teruk. Waktu itu, terdengarlah bacaan ayat ini digunakan sebagai doa oleh manusia yang jahil. Mereka gunakan ayat ini sebagai ‘arahan’ mereka kepada bumi dan langit supaya berhenti hujan dan supaya bumi menelan air! Adakah patut mereka berkata begitu? Ianya langsung tidak sesuai sama sekali.

Lebih teruk lagi, imam-imam di masjid-masjid telah membaca doa begini semasa khutbah jumaat: “Ya Allah, arahkan bumi untuk menelan air, dan arahkan langitMu untuk berhenti dari hujan!” Ma sha Allah! Adakah layak seorang hamba mengarahkan Tuhannya untuk melakukan sesuatu?! Apakah mereka tidak sedar apakah yang mereka sedang baca itu? Kenapa sampai begitu sekali kurang ajar mereka? Kenapa sampai begitu jahil sekali?

 

وَغِيضَ الْمَاءُ

Dan surutlah air,

Dari غيض yang bermaksud ‘berkurang’ atau ‘surut’. Selepas bumi dan langit menjalankan perintah Allah, maka air itu surut. Perkataan وَغِيضَ bermaksud ‘surut dengan perlahan’. Untuk memberikan pendaratan yang lembut kepada bahtera itu. Kerana kalau surut dengan tiba-tiba, tentu bahtera itu akan terjatuh.

 

وَقُضِيَ الْأَمْرُ

serta terlaksanalah perintah itu.

Iaitu keputusan Allah mematikan orang yang engkar dan yang beriman diselamatkan.

Dan berlakulah pengajaran dari Allah kepada kita zaman berzaman: jauhnya rahmat Allah dari kaum yang zalim, setelah mereka diberi tempoh berkali-kali dan sekian lama untuk berubah.

 

وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ

Dan bahtera Nabi Nuh itupun berlabuh di atas gunung “Judi”

Dikatakan Gunung Judi itu di Turki. Ada yang kata di tempat lain. Jadi, tidak dapat dipastikan. Kerana ada juga yang Gunung Judi itu terletak di Utara Iraq.

Kenapa bahtera itu berlabuh di gunung? Kenapa tidak tempat lain? Sebab bumi waktu itu masih becak selepas banjir yang teruk itu. Tentu tidak sesuai kepada Nabi Nuh dan mereka yang berada dalam bahtera itu untuk turun ke bumi yang masih teruk kebasahan. Kalau banjir zaman sekarang pun, kita boleh lihat kesannya yang teruk. Ianya mengambil masa yang lama untuk jadi kering. Dan tentunya berlaku kematian yang banyak, maka banyak bangkai yang bergelimpangan dan baunya tentu teruk. Jadi, apabila kapal itu berlabuh di atas gunung, mereka akan lebih selesa di situ sampailah keadaan di bumi lebih stabil. Ada riwayat yang mengatakan, mereka tetap di Bukit Judi itu selama sebulan sebelum turun.

Apabila kapal itu boleh berlabuh di satu gunung, ini juga menunjukkan betapa tingginya air banjir itu sampai kapal itu boleh naik sampai ke gunung.

Ia juga kerana Allah nak simpan bahtera itu sebagai tanda kepada orang yang kemudian. Ini disebut dalam Qamar:15 dan Haqqah:12. Kerana kalau ianya dilabuhkan di bumi yang rendah, nanti senang untuk dilihat oleh orang lain. Nanti mereka akan menggunakan kayu bahtera itu untuk perkara lain pula.

وَلَقَد تَّرَكْنَاهَا آيَةً فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?
لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ
Untuk Kami jadikannya itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.

 

وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan dikatakan: “Celakalah bagi orang-orang yang zalim”.

Ayat ini boleh jadi Allah yang berkata, atau malaikat yang berkata, orang beriman yang berkata, langit dan bumi pun berkata.

Perkataan بُعْدًا dari katadasar بعد yang bermaksud ‘jauh’. Ia bermaksud ini adalah doa laknat supaya mereka yang zalim itu jauh daripada rahmat Allah. Ini semua adalah pengajaran kepada mereka yang menentang Allah dan suruhanNya.


 

Ayat 45: Doa Nabi Nuh untuk anaknya yang telah lemas.

وَنادىٰ نوحٌ رَبَّهُ فَقالَ رَبِّ إِنَّ ابني مِن أَهلي وَإِنَّ وَعدَكَ الحَقُّ وَأَنتَ أَحكَمُ الحاكِمينَ

Sahih International

And Noah called to his Lord and said, “My Lord, indeed my son is of my family; and indeed, Your promise is true; and You are the most just of judges!”

Malay

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

 

وَنَادَىٰ نُوحٌ رَّبَّهُ

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya

Ini adalah doa terakhir untuk keselamatan anaknya. Ini adalah permintaan dan doa yang jujur dari baginda.

 

فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي

dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana seorang dari anaknya telah mati kelemasan dalam banjir besar itu. Tapi sebagai seorang ayah, dia berharap semoga anaknya itu dimasukkan dalam kalangan orang beriman. Nabi Nuh kata anaknya itu tentulah ahli keluarganya, maka kenapakah tidak diselamatkan?

 

وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ

dan bahawa janjiMu adalah benar,

Iaitu Allah telah berjanji untuk menyelamatkan ahli keluarganya. Kerana dalam ayat sebelum ini, Allah dah kata untuk bawa sekali dengan ‘ahlinya’. Tapi kenapa anaknya tidak diselamatkan? Nabi Nuh bukan hendak mempersoalkan keputusan Allah, tapi dia keliru dan dia hendak faham. Tentulah seorang Nabi tidak akan mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh Allah.

 

وَأَنتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ

dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

Nabi Nuh mengakui bahawa Allah lah yang paling berhikmah dalam berhukum. Tentunya keputusan yang Allah telah buat tidak salah. Maknanya, Nabi Nuh a.s. tidak mempersoalkan tindakan Allah itu. Cuma baginda hairan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s