Tafsir Surah Hud Ayat 29 – 32 (Tiada upah dalam mengajar agama)

Ayat 29: Seorang pendakwah dan pengajar agama, atau ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan di surau, sepatutnya kena cakap begini semasa dia mula-mula mengajar kepada anak muridnya. Awal-awal dah kena declare begini.

وَيا قَومِ لا أَسأَلُكُم عَلَيهِ مالًا ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللَّهِ ۚ وَما أَنا بِطارِدِ الَّذينَ آمَنوا ۚ إِنَّهُم مُلاقو رَبِّهِم وَلٰكِنّي أَراكُم قَومًا تَجهَلونَ

Sahih International

And O my people, I ask not of you for it any wealth. My reward is not but from Allah . And I am not one to drive away those who have believed. Indeed, they will meet their Lord, but I see that you are a people behaving ignorantly.

Malay

Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.

 

وَيَا قَوْمِ

Dan (ketahuilah) wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata Nuh kepada kaumnya, sebagai jawapan dari kata-kata mereka dalam ayat sebelum ini.

 

لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا

Aku tidak meminta kepada kamu atas mengajar agama ini, sebarang harta,

Nabi Nuh mengatakan bahawa baginda tidak mengharapkan bayaran dari umatnya. Tidaklah baginda minta upah dalam mengajar agama. Umatnya yang tidak mahu menerima dakwahnya merasakan diri mereka lebih lagi dari orang lain kerana mereka mempunyai harta yang banyak. Maka, Nabi Nuh tegaskan, bukanlah dia mengajak mereka kepada agama Islam kerana mahukan harta atau bayaran dari mereka. Bukanlah kekayaan yang dicari baginda. Kerana baginda bukanlah seperti mereka yang memandang kepada kebendaan. Jadi, jangan disangsikan keikhlasan Nabi Nuh dalam menyampai ajakan dakwah itu.

Kita tidak mengharapkan banyaknya wang dalam kerja-kerja agama ini. Malangnya, orang-orang masjid selalu mengharapkan bantuan kewangan dari orang-orang elit dalam masyarakat untuk menderma kepada masjid atau surau. Padahal, mereka yang elit itu pun bukannya pergi ke masjid dan surau itu pun.

Ini juga mengajar kita untuk tidak meminta upah dalam mengajar. Ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain yang mengatakan sedemikian. Oleh itu, dalam kita mengajar, tidak boleh kita meminta upah kepada anak murid dalam mengajar. Tapi, apa yang terjadi sekarang adalah terbalik. Guru akan meminta upah untuk mengajar. Letak harga pula tu. Padahal, sepatutnya tidak boleh begitu. Anak murid bertanggungjawab untuk memberi sedekah kalau dia mampu. Dan orang yang ada ilmu bersedekah dengan ilmu dia. Jadi, sama-sama sedekah. Tapi, apabila seorang guru itu selepas dia sedekah ilmu, dia minta bayaran pula, adakah patut begitu? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada duit, adakah mereka tidak layak dapat ajaran agama?

 

إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

sesungguhnya upahku tidak lain melainkan atas Allah;

Mengajar agama adalah seperti jihad fisabilillah. Dan balasan kepada jihad fisabilillah adalah syurga. Ini bermakna, upah kepada mereka yang mengajar agama itu sebenarnya sudah ada. Dan upah itu tidak ada bandingan lagi kerana ianya adalah syurga yang kekal di dalamnya. Jadi, kalau seseorang itu meminta lagi upah untuk mengajar, balasan yang sepatutnya dia dapat di akhirat itu akan terbatal. Dan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sepatutnya, dia boleh masuk syurga, tapi sebab dia minta upah, ianya akan jadi terbalik.

Tidak dinafikan, sekarang ramai ustaz-ustaz di Malaysia yang minta upah. Itu adalah kerana mereka tidak faham maksud ayat ini. Mereka tak tahu pun bahawa minta upah itu salah. Tapi, ini tidaklah menghalang seorang guru itu untuk menerima upah, sedekah atau hadiah dari anak murid mereka. Cuma, mereka tidak boleh meminta atau menetapkan upah yang perlu dibayar. Kalau ada orang yang hendak beri, maka dia boleh terima. Kalau tidak ada yang memberi, dia tetap juga perlu mengajar.

Ini juga memberi isyarat kepada kita untuk tidak mengharapkan apa-apa balasan dari orang lain kalau kita dakwah kepada amereka. Kalau kita memberi nasihat, memberi dakwah kepada sesiapa sahaja, jangan harap apa-apa dari mereka. Jangan harap mereka nak ucapkan terima kasih kepada kita, jangan harap mereka memuji-muji kita.

 

وَمَا أَنَا بِطَارِدِ الَّذِينَ آمَنُوا

dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman,

طَارِدِ bermaksud menghalau seseorang kerana merasakan mereka itu rendah, tidak layak.

Apabila digunakan perkataan مَا dan بِ dalam satu ayat, itu menunjukkan satu penolakan yang paling kuat sekali. Bermaksud, Nabi Nuh tidak akan sekali-kali akan menghalau mereka.

Dalam surah lain, ada disebut bahawa ada dari kalangan kaum Nuh yang minta kalau hendak mereka ikut Nabi Nuh, Nabi Nuh kena halau orang-orang miskin yang sedang beriman dengan Nabi Nuh. Mereka yang minta begitu adalah orang-orang yang kaya dan oleh itu mereka tak mahu campur dengan orang-orang miskin itu. Zaman Nabi Nuh, yang beriman dengan baginda adalah orang-orang yang miskin-miskin. Sekarang ini pun lebih kurang juga. Yang beriman dengan tauhid itu selalunya mereka yang miskin, tidak ada kuasa. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja. Contohnya, masih lagi diamalkan sistem kasta dalam sesetengah masyarakat. Kalau tidak secara jelas pun, masih ada lagi pemisahan antara orang kaya dan miskin. Orang kaya tidak mahu bercampur dengan khalayak orang miskin kerana mereka rasa mereka ada kelebihan daripada mereka.

Musyrikin Mekah pun ada cakap begini juga dengan Nabi Muhammad. Musyrikin Mekah yang kaya raya memberi syarat kepada baginda. Kalau mahu mereka mendengar apa yang baginda hendak sampaikan, maka baginda kena menghalau golongan-golongan yang lemah dari kalangan baginda. Maka, Allah mengajar Nabi bagaimana nak jawap. Allah telah berfiman dalam al-An’am:52

وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

 

إِنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ

kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka;

Mereka akan bertemu dengan Tuhan, dan pada hari itu mereka akan menerima hak masing-masing dari sisi Allah. Walaupun mereka itu dipandang miskin di sisi masyarakat, tapi mereka akan menerima balasan yang baik dari Allah kerana mereka telah beriman. Oleh itu, jangan berlaku zalim kepada mereka dengan menghalau mereka dari sisi Nabi.

Mereka yang beriman itu ingin sangat hendak bertemu dengan Tuhan mereka. Mereka rindu untuk bertemu dengan Allah. Begitu jugalah dengan kita – sepatutnya kita menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Tuhan yang telah menjadikan kita. Dan mereka akan bertemu dengan Allah. Ini bermakna, mereka itu berkedudukan yang tinggi di sisi Allah walaupun kedudukan mereka rendah semasa di dunia kerana mereka miskin dan lemah. Jangan tengok pada luaran manusia sahaja. Kena lihat pada tingkah laku dan tanda keimanan yang ada pada mereka. Mereka itu sebenarnya mulia di disi Allah. Oleh itu, bagaimana hendak menghalau mereka yang mulia itu?

 

وَلَٰكِنِّي أَرَاكُمْ قَوْمًا تَجْهَلُونَ

tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui – jahil.

Bukanlah mereka itu bodoh, tak pandai. Sebab mereka itu adalah orang yang kaya raya, jadi tentu dalam ilmu dunia, mereka pandai. Tapi dalam hal agama, mereka jahil. Atau, mereka sengaja buat-buat jahil. Macam sekarang, kalau kita lihat penganut Hindu, ada doktor, professor, pemimpin yang bodoh sangat sampai mandi dalam sungai yang kotor dan minum air sungai Kelang yang kotor itu kerana disuruh oleh agama mereka yang sesat.

Begitu juga masyarakat kita, ramai yang jahil dalam hal agama. Padahal, dalam hal dunia, mereka pandai. Mereka belajar tinggi sampai ke universiti pun ramai. Kerja yang baik-baik. Bertahun-tahun mereka belajar akademik supaya mereka akan dapat kerja yang baik. Tapi dalam pelajaran agama, mereka tidak ambil peduli. Oleh itu, bila kita sebut sesuatu dari hal agama, mereka hairan kerana mereka tak pernah tahu. Kalau mereka terima, tidak mengapa. Tapi, walaupun mereka tidak tahu, mereka pula salahkan kita. Kalau tak tahu tu, buatlah tak tahu, terima sahajalah, tapi malangnya, mereka nak juga lawan kita. Mereka akan kata, mereka tak pernah dengar tentang perkara itu. Memanglah mereka tak pernah dengar, sebab mereka tak belajar.


 

Ayat 30: Nabi Nuh a.s. memberikan logik kepada mereka, kenapakah baginda tidak boleh menghalau orang-orang yang beriman itu.

وَيا قَومِ مَن يَنصُرُني مِنَ اللَّهِ إِن طَرَدتُهُم ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

And O my people, who would protect me from Allah if I drove them away? Then will you not be reminded?

Malay

Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?

 

وَيَا قَوْمِ

Dan wahai kaumku!

Ini adalah jawapan dari Nabi Nuh kepada kaumnya yang berkedudukan untuk menghalau mereka yang kedudukan hina dalam masyarakat. Mereka letak syarat, kalau nak mereka beriman, kena halau orang yang miskin dan hina dalam masyarakat itu dari sisi Nabi Nuh.

 

مَن يَنصُرُنِي مِنَ اللَّهِ

Siapakah yang akan menolongku dari Allah

Perkataan نصر bermaksud ‘menolong seseorang yang melawan musuh’. Ini bermaksud, Nabi Nuh hendak mengatakan, kalau baginda halau orang-orang beriman yang miskin itu, dia sebenarnya menjadikan Allah sebagai musuhnya. Kalau dia sudah jadi musuh kepada Allah, adakah orang-orang kafir itu boleh menolong baginda?

‘Adakah kamu boleh tolong?’, tanya Nuh kepada mereka. Tentulah tidak ada sesiapa yang boleh tolong Nabi Nuh atau sesiapa sahaja dari azab Allah.

Lihatlah bagaimana Nabi Nuh takut dengan Allah dan azab dari Allah. Kalau seorang Nabi pun takut dengan Allah, kita pun sepatutnya lebih lah lagi. Kita sepatutnya tahu kepada siapa yang kita perlu takut. Malangnya, ramai yang tidak takut dengan Allah. Kerana mereka sangka mereka telah melakukan banyak amalan, mereka akan selamat. Dan kalau mereka ada buat apa-apa kesalahan, mereka rasa Allah tidak akan hukum mereka kerana mereka rasa yang mereka telah banyak pahala.

 

إِن طَرَدتُّهُمْ

jika aku menghalau mereka?

Kalau Nabi Nuh ikut kata mereka dan halau orang-orang yang miskin itu dari belajar agama, siapakah yang akan selamatkan baginda dari azab Allah? Kerana mengajar agama itu adalah wajib, tak boleh ditinggalkan. Tidak boleh halang dari sesiapa belajar agama. Dan tidak boleh memilih kepada siapa hendak diberi pengajaran agama itu – kena beri sama rata kepada semua orang.

Termasuk juga dalam hal ini, mereka yang menahan pendakwah dari ajar agama. Ada kalangan orang masjid dan orang surau akan tahan ustaz-ustaz sunnah dari mengajar agama di masjid dan surau kerana mereka tidak dapat terima. Kerana lain dari tekak mereka. Lain dari pemahaman mereka yang salah. Kerana selalunya ustaz-ustaz sunnah akan memberitahu kepada mereka tentang kesalahan amalan-amalan mereka yang mereka dah biasa buat. Sebagai contoh, ustaz sunnah akan beritahu, tiada amalan Majlis Tahlil dalam agama Islam. Tapi, oleh kerana amalan itu sudah sebati dengan mereka, mereka tak dapat terima apabila ada yang kata amalan itu salah. Jadi, mereka akan tahan ustaz sunnah dari mengajar. Mereka akan beri macam-macam alasan asalkan ustaz itu tidak dapat mengajar lagi. Antaranya, mereka akan kata, ustaz itu memecah belahkan umat dan masyarakat. Jadi, apa yang mereka buat adalah mereka menyekat orang lain dari mendapat ajaran agama. Mereka nanti akan disoal dan diazab oleh Allah atas perbuatan mereka itu.

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapa kamu tidak mahu ambil peringatan?

Apakah peringatan itu? Bahawa agama ini tidak kira siapa, boleh sahaja untuk terima. Agama ini untuk semua orang. Bukan hanya untuk orang yang kaya sahaja. Bukan untuk orang tertentu sahaja. Semua orang mempunyai hak yang sama untuk belajar dan untuk mengamalkan agama Islam yang benar. Agama Islam bukan khas untuk satu-satu kaum dan darjat. Orang yang paling miskin pun boleh beramal dengannya. Kerana agama Islam itu sesuai untuk semua. Kalau agama lain, ada yang hanya untuk satu-satu kaum sahaja. Sebagai contoh, agama Yahudi untuk keturunan Yahudi sahaja.

Lihatlah agama Islam ini. Segala ibadatnya boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Semua boleh sembahyang, semua boleh puasa. Bandingkan dengan Kristian, buat gereja berjuta-juta kos. Tapi yang boleh masuk sikit sahaja. Sebab bahagian dalamnya kecil sahaja, letak kerusi pula.

Bukanlah kita kata bahawa semua orang kaya berperangai tidak mengendahkan agama. Ada juga yang baik, yang menggunakan wang mereka yang Allah berikan untuk agama dan untuk kebaikan. Tapi cuma kita nak kata, itu tidak ramai. Yang ramainya, apabila kaya, mereka sudah tidak mengendahkan agama dah.


 

Ayat 31:

وَلا أَقولُ لَكُم عِندي خَزائِنُ اللَّهِ وَلا أَعلَمُ الغَيبَ وَلا أَقولُ إِنّي مَلَكٌ وَلا أَقولُ لِلَّذينَ تَزدَري أَعيُنُكُم لَن يُؤتِيَهُمُ اللَّهُ خَيرًا ۖ اللَّهُ أَعلَمُ بِما في أَنفُسِهِم ۖ إِنّي إِذًا لَمِنَ الظّالِمينَ

Sahih International

And I do not tell you that I have the depositories [containing the provision] of Allah or that I know the unseen, nor do I tell you that I am an angel, nor do I say of those upon whom your eyes look down that Allah will never grant them any good. Allah is most knowing of what is within their souls. Indeed, I would then be among the wrongdoers.”

Malay

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

 

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu:

Ini adalah hujah dari Nabi Nuh a.s.

 

عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ

di sisiku ada perbendaharaan Allah,

‘Perbendahaan’ atau ‘Khazanah’ itu bermaksud ‘kekayaan dari Allah’. Iaitu kekayaan dari harta dunia. Nabi Nuh disuruh mengatakan bahawa baginda tidak ada kekayaan yang banyak yang diberikan oleh Allah. Walaupun baginda seorang Nabi, tapi baginda tidak kaya raya. Kebanyakan Nabi-nabi memang hidup dalam keadaan miskin. Kecuali beberapa Nabi yang diberikan kekayaan, seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Yusuf kerana mereka itu raja dan pemimpin.

Dalam masyarakat, mereka rasa apabila seseorang itu alim, tentulah dia ada kelebihan yang berbagai-bagai. Mereka sangka yang orang-orang itu boleh minta macam-macam dengan Allah, antaranya minta harta benda dari Allah. Dalam ayat ini, Nabi Nuh disuruh memberitahu bahawa baginda adalah manusia biasa sahaja. Walaupun baginda rapat dengan Allah, tapi tidaklah baginda meminta diberikan kekayaan yang melimpah ruah. Mungkin perkata ini menjadi kehairanan kepada orang yang engkar, kerana mereka hanya nampak kepentingan kekayaan sahaja. Mungkin mereka fikir, kalau dah rapat dengan Allah tu, mintalah jadi kaya.

Maknanya, sesiapa yang ikut ajaran kepada Nabi, mereka itu tidaklah akan diberi dengan kekayaan. Sebelum ini telah disebut bagaimana guru yang mengajar tidak boleh meminta upah. Begitu juga, mereka yang datang belajar, tidaklah mereka diberi upah. Dua-dua tidak ada. Maknanya, kekayaan bukanlah satu motivasi untuk belajar agama ini. Tidaklah kita datang belajar agama kerana mengharapkan diberi upah atau mendapat kekayaan dunia. Yang boleh dapat adalah kekayaan dari segi ilmu.

Tidaklah Islam ini macam agama Kristian. Kita pun biasa dengar bagaimana mereka menggunakan wang untuk mengajak orang masuk Kristian. Berapa ramai orang Melayu yang masuk agama Kristian di Malaysia ini kerana mereka boleh dapat wang dengan masuk Kristian. Kita tidak ada statistik kerana ianya dirahsiakan oleh kerajaan kita. Mereka yang masuk Kristian itu, siap boleh dapat rumah. Mubaligh yang ditugaskan untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat itu diberi upah untuk berdakwah kepada orang Islam. Jadi, mereka menggunakan wang sebagai motivasi dalam agama. Ada kalangan orang Melayu yang memang memerlukan wang kerana mereka terdesak, maka ada yang sampai masuk Kristian. Begitulah, kita tak ajak orang kafir masuk Islam, mereka pula yang ajak orang kita masuk Kristian dan agama lain.

Orang kita dulu pun asalnya agama Hindu. Tapi dah lama masuk agama Islam. Tapi masih lagi ada elemen-elemen Hindu dalam amalan kita dan adat kita. Masih lagi ada yang buat amalan syirik macam perasap keris, amal ilmu kebal sebab pakai tangkal yang sememangnya syirik dan sebagainya. Itulah tinggalan dari agama Hindu yang masih ada lagi. Bagaimana pula dengan majlis sanding dalam perkahwinan, pulut kuning dalam berbagai kenduri? Itu adalah dari peninggalan dari amalan agama Hindu. Maknanya, kita ini ramai lagi yang sebelah kaki dalam Islam tapi sebelah lagi dalam agama Hindu. Tak boleh nak tinggalkan. Sebab mereka kata benda itu hanya adat sahaja. Jadi, orang-orang yang sebegini kena diajak untuk masuk sepenuhnya dalam agama Islam.

 

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ

dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib

Nabi pun tidak ada ilmu ghaib. Ghaib adalah perkara yang sudah berlaku dan akan berlaku dan perkara yang memang manusia tidak boleh nampak. Antaranya, kita tak boleh nampak jin. Nabi pun dalam keadaan biasa, tidak boleh nampak jin. Lalu bagaimana dengan mereka yang kata mereka boleh scan jin? Macam mana mereka boleh lebih hebat dari para Nabi pula?

Masyarakat kita ada satu pemahaman yang salah – apabila seseorang itu alim dan ada ilmu agama, mereka tahu tentang perkara ghaib. Mereka sangka orang-orang alim itu boleh nampak kejadian yang lepas, boleh baca hati manusia, boleh baca tangan dan nasib orang lain, dan macam-macam lagi. Itu adalah satu pemahaman yang salah sama sekali.

Bagaimana boleh ada bomoh yang kata mereka boleh nampak perkara yang telah berlaku dan yang akan berlaku? Mereka boleh pula tiup jampi dalam air dan boleh tahu siapa yang curi duit, siapa yang rompak, siapa yang datang dan sebagainya. Ada pula bomoh atau ‘ustaz’ yang boleh baca masa depan orang lain. Ada orang kita yang bila nak kahwin, akan jumpa ‘ustaz’ untuk check samada lelaki perempuan itu serasi atau tidak. Cuma bagi nama dan tarikh lahir, mereka boleh tahu serasi atau tidak. Inilah satu kepincangan dalam amalan masyarakat kita. Mereka mengamalkan ilmu syirik yang membolehkan mereka melihat perkara-perkara seperti itu. Malangnya, para bomoh dan pawang di negara kita sudah pandai pakai gelaran ‘ustaz’, sampaikan masyarakat yang jahil senang tertipu.

Memang Nabi kadang-kadang tahu tentang perkara ghaib. Tapi itu selepas diberitahu oleh malaikat setelah diarahkan oleh Allah untuk diberitahu. Bukanlah mereka ada ilmu untuk tahu perkara ghaib. Kalau Nabi pun tidak tahu, sepatutnya manusia biasa macam kita sepatutnya tak tahu lah perkara begitu. Tapi apa yang mereka buat itu adalah sihir. Sihir itu menjadi kerana ianya dibantu oleh jin. Dan untuk jin tolong kita, kena buat syirik dulu.

 

وَلَا أَقُولُ إِنِّي مَلَكٌ

dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat;

Nabi bukan juga malaikat kerana baginda jenis manusia juga. Hidup seperti manusia biasa. Perlu makan, perlu minum, perlu rehat dan sebagainya. Mereka juga apabila dah jenis manusia, tentulah ada serba sedikit salah dan silap yang mereka buat. Jadi, jangan anggap yang para Nabi itu bukan manusia biasa. Mereka itu manusia biasa, cuma mereka diberikan kelebihan dapat wahyu dan dapat tahu perkara ghaib setakat yang Allah berikan sahaja.

Kenapa Allah turunkan manusia untuk menyampaikan dakwahNya? Supaya manusia boleh menjadikan nabi-nabi dan rasul itu sebagai contoh dalam kehidupan. Kalau Allah turunkan malaikat, tentu mereka boleh tolak ajakan dakwah itu kerana mereka akan kata, mereka tak boleh ikut cara hidup malaikat. “Malaikat boleh lah buat begitu, tapi kami tak boleh”, mereka akan kata.

 

وَلَا أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِي أَعْيُنُكُمْ

dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu,

Iaitu mereka yang orang kaya dan berkuasa itu pandang rendah dan pandang hina. Kalimah تَزْدَرِي dari زري yang bermaksud ‘pandang rendah’. Apa yang tidak dikatakan kepada mereka? Mata kamu sahaja yang nampak mereka rendah dan hina.

 

لَن يُؤْتِيَهُمُ اللَّهُ خَيْرًا

bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka.

Sebelum ini, telah disebut bagaimana orang-orang yang berkuasa dalam masyarakat itu telah memberi satu tohmahan kepada orang-orang yang beriman itu: mereka kata orang-orang yang beriman itu hanya menunjukkan beriman pada luaran sahaja, tapi sebenarnya dalam hati mereka, mereka tidak beriman. Dan mereka tidak akan mendapat kebaikan apa-apa dari Allah. Nabi Nuh memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda tidak boleh hendak mengatakan yang mereka itu tidak mendapat kebaikan. Baginda tidak boleh membaca hati manusia. Baginda tidak boleh menghukum samada manusia itu layak mendapat kebaikan atau tidak.

 

اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِي أَنفُسِهِمْ

Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.

Yang tahu apakah dalam hati mereka adalah Allah sahaja. Allah lebih tahu tentang akidah mereka, iman mereka dan amal mereka. Kita hanya boleh lihat luaran sahaja. Kita tidak boleh tahu samada seseorang itu beriman atau tidak. Tapi kalau perbuatan luarannya adalah perbuatan syirik, maka kita tahu yang mereka itu tidak beriman.

 

إِنِّي إِذًا لَّمِنَ الظَّالِمِينَ

Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

Kalau kita melakukan salah satu atau semua dari perkara-perkara di atas, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang zalim. Apakah perkara-perkara itu?:

  • Kita kata kita ada khazanah dari Allah
  • Kita kata kita tahu perkara ghaib
  • Kita mengaku sebagai malaikat
  • Mengatakan seseorang itu beriman atau tidak, mendapat kebaikan atau tidak.

 

Ayat 32:

قالوا يا نوحُ قَد جادَلتَنا فَأَكثَرتَ جِدالَنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ

Sahih International

They said, “O Noah, you have disputed us and been frequent in dispute of us. So bring us what you threaten us, if you should be of the truthful.”

Malay

Mereka berkata: “Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyak sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 

قَالُوا يَا نُوحُ

Mereka berkata: “Wahai Nuh!

Yang berkata itu adalah pembesar-pembesar, mereka yang ada kuasa. Kalau dalam zaman sekarang, merekalah pemimpin, merekalah exco negeri kah, kalau dalam daerah, merekalah penghulu, kalau dalam kampung, merekalah JKKK.

Ini adalah kata-kata dari mereka. Ini menunjukkan yang mereka berbalas debat antara mereka. Kedua-dua belah pihak berbalas hujah. Ini sama juga dengan apa yang dialami oleh Nabi Muhammad dengan Quraish Mekah dan begitu juga ahli Sunnah dan golongan bidaah. Sentiasa sahaja ada perbalahan dan perbahasan.

Ini adalah kata-kata akhir mereka. Selepas mereka tidak ada lagi hujah kepada Nabi Nuh. Kerana setiap kali mereka berhujah, Nabi Nuh akan memberi hujah yang mematikan hujah mereka. Lihatlah apakah kata-kata mereka:

 

قَدْ جَادَلْتَنَا

Sesungguhnya engkau telah lama berdebat dengan kami

‘Jidal’ bermaksud berlebih-lebih dalam berdebat. Dimana setiap pihak akan memberikan hujah masing-masing. Ia juga bermaksud perdebatan itu telah lama dah. Bayangkan, dalam kes Nabi Nuh ini, baginda telah berdakwah selama 950 tahun kepada mereka.

Mereka nak kata bahawa Nabi Nuh telah lama berdakwah kepada mereka, sampai mereka dah tak larat nak dengar dah. Dah cemuh nak dengar dah.

 

فَأَكْثَرْتَ جِدَالَنَا

lalu engkau banyak bantahanmu kepada kami;

Dan banyak sangat benda yang Nabi Nuh tegur tentang perbuatan kaumnya itu. Macam kita sekarang ini lah juga. Banyak bantahan kita terhadap amalan-amalan syirik dan bidaah masyarakat kita. Dan kita memang akan tegur sebab kita tak boleh buat-buat tak nampak. Kalau salah, memang kita kena kata bahawa amalan itu salah. Tidak boleh kita buat tak tahu. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Nabi Nuh terhadap kaumnya itu. Seorang guru dalam masyarakat kenalah buat kerja ini – kena tegur mana yang salah. Sebab kalau tak tegur, masyarakat akan sangka bahawa perbuatan itu tidak ada masalah. Oleh itu, memang salah besar kalau tak tegur. Janganlah hanya cerita kepada masyarakat tentang apa yang perlu dibuat, tapi senyap tentang perkara yang salah. Guru kena cerita dua-dua.

Tapi, apabila dibantah, apabila diberitahu kesalahan dalam masyarakat, mereka akan marah. Dalam kes umat Nabi Nuh, mereka memuja lima orang tok wali. Ini ada disebut dalam Surah Nuh. Jadi, bila Nabi Nuh tegur, tentulah mereka marah.

 

فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا

oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami,

Nabi Nuh telah memberitahu kepada mereka, kalau mereka terus melakukan syirik, Allah berjanji akan memberikan azab kepada mereka. Itu telah djelas diberitahu oleh Nabi Nuh kerana seorang Rasul itu akan menyampaikan dakwah dan ancaman dengan jelas sekali – mereka tidak samar-samar dalam dakwaan mereka.

Dalam ayat ini, menunjukkan orang yang engkar itu berlagak sungguh. Mereka minta dipercepatkan azab kepada mereka. Kerana mereka tidak percaya pun dengan azab itu. Apabila mereka tidak percaya, mereka tidak takut dengan azab Allah. Mereka minta didatangkan azab itu adalah dalam bentuk ejekan sahaja.

 

إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

Sekarang, mereka menyerang Nabi Nuh pula. Mereka kata ni sekarang mereka tak ikut pun apa yang Nuh suruh mereka buat, kalau benar, bawalah azab yang dijanjikan itu. Mereka nak kata yang Nabi Nuh bukan seorang yang benar.

Mereka tidak tahu apakah kebenaran itu, kerana kalau mereka tahu apakah azab yang menanti mereka, mereka tidak akan berani untuk berkata begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s