Tafsir Surah Hud Ayat 17 – 19 (Larangan buat bidaah dalam agama)

Ayat 17: Ini adalah Dakwa Surah ini yang keempat: yang tidak menerima ajaran tauhid adalah golongan yang degil.

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبِّهِ وَيَتلوهُ شاهِدٌ مِنهُ وَمِن قَبلِهِ كِتابُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۚ وَمَن يَكفُر بِهِ مِنَ الأَحزابِ فَالنّارُ مَوعِدُهُ ۚ فَلا تَكُ في مِريَةٍ مِنهُ ۚ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّكَ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

Sahih International

So is one who [stands] upon a clear evidence from his Lord [like the aforementioned]? And a witness from Him follows it, and before it was the Scripture of Moses to lead and as mercy. Those [believers in the former revelations] believe in the Qur’an. But whoever disbelieves in it from the [various] factions – the Fire is his promised destination. So be not in doubt about it. Indeed, it is the truth from your Lord, but most of the people do not believe.

Malay

Adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan – sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui – menerima Al-Quran; dan sesiapa engkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempat mereka. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.

 

أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ

Adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang di atas bukti yang nyata dari Tuhannya;

Tafsir ayat ini adalah berbagai-bagai. Kita cuba ambil beberapa sahaja.

1. Tafsir pertama bagi kalimah ‘bukti dari Tuhannya’ adalah Quran dan Sunnah. Oleh itu, tidak sama mereka yang berpegang dengan Quran dan Hadis dibandingkan dengan mereka yang tidak berpegang dengan Quran dan Sunnah. Macam di negara ini, terdapat perbezaan yang ketara antara golongan yang mahu kepada manhaj Sunnah dan yang tidak. Ada yang mahu kembali kepada Quran dan Sunnah dan ada golongan yang mengikut pendapat-pendapat manusia sahaja.

2. Kalimah بَيِّنَةٍ itu diambil dari katadasar بين  yang bermaksud ‘sesuatu yang jelas’. Ia juga boleh bermaksud ‘fitrah‘ keimanan yang telah ada dalam diri manusia. Manusia sebenarnya telah kenal Allah dari alam ruh lagi. Telah ada iman kepercayaan kepada Tuhan dalam diri manusia dari mula lagi. Tapi apabila mereka lahir ke dunia, mereka telah lupa. Oleh itu, kalau ikut tafsir ini, tidak sama mereka yang berada atas fitrah yang Allah telah berikan kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak.

Ini ada disebut dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

“Setiap anak itu lahir dalam keadaan fitrah (Islam). Ibubapanyalah yang telah menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana binatang itu dilahirkan dengan lengkap. Apakah kalian melihat binatang-binatang itu lahir dengan terputus-putus (hidung, telinga dan lain-lainnya)?

Dalam satu hadis riwayat Muslim, ada disebut:

“Allah taala berfirman: Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif (selalu berpegang kepada kebenaran). Kemudian mereka didatangi oleh syaitan, lalu syaitan itu menjauhkan mereka dari agama mereka, mengharamkan bagi mereka apa yang Kuhalalkan bagi mereka. Dan syaitan juga menyuruh mereka menyekutukanKu, yang Aku tidak pernah menurunkan kekuasaan padanya.”

Oleh itu, ayat ini bermaksud adakah sama mereka yang berpegang dengan fitrah yang telah ada dalam diri mereka itu sama dengan orang yang tidak mengiktirafnya? Iaitu mereka yang dapat merasa kepercayaan kepada Tuhan yang telah sedia ada dalam diri mereka dan mereka terima dan teruskan ikut perasaan itu. Allah bandingkan mereka ini dengan orang-orang yang tidak mengiktiraf perasaan itu dalam diri mereka. Ada orang yang ada rasa itu tapi mereka ‘bunuh’ perasaan itu.

Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi pun, sudah ada dari kalangan penduduk Arab Mekah yang mencari-cari Tuhan. Mereka tidak percaya dengan amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Musyrikin Mekah itu. Mereka ini dinamakan golongan Hunafa’ – golongan yang Hanif – mereka yang condong kepada kebenaran – condong kepada Tauhid. Mereka mengiktiraf fitrah yang telah ada dalam diri mereka dan mereka menolak perbuatan syirik kaum mereka. Mereka dapat rasakan yang apa yang diamalkan oleh masyarakat mereka waktu itu adalah salah. Kebanyakan mereka mengamalkan saki baki ajaran Nabi Ibrahim. Ada juga dari kalangan mereka yang pergi berjumpa dengan Ahli-Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasara kerana hendak belajar agama dari mereka. Kerana mereka rasa, Yahudi dan Nasara lebih benar dalam hal agama. Sebagai contoh, kita pun tahu tentang Waraqah bin Naufal yang bersaudara dengan Siti Khadijah yang telah mengkaji Kitab Injil. Beliaulah yang Khadijah rujuk apabila Nabi Muhammad menerima wahyu kali yang pertama. Khadijah telah bawa Nabi Muhammad bertemu dengan Waraqah itu.

 

وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِّنْهُ

dan mengikutnya, iaitu saksi dari Tuhan;

Saksi itu adalah Quran. Diri manusia itu memang sudah ada iman (iaitu fitrah yang telah disebutkan sebelum ini) dan iman itu dibenarkan oleh Quran pula. Itulah sebabnya, apabila Quran dibacakan kepada mereka, mereka terus percaya kerana ‘kena’ dengan apa telah ada dalam jiwa mereka. Oleh itu, mereka ‘ikut’ apa yang disampaikan oleh Quran melalui Nabi Muhammad. Perkataan وَيَتْلُوهُ dari katadasar تلو  yang bermaksud ‘ikut’. Ianya juga adalah katadasar perkataan ’tilawah’ kerana orang yang membaca itu ‘mengikut’ apa yang tertulis. Oleh itu, apabila ayat Quran sampai kepada mereka, mereka mengikutinya kerana ianya tepat dengan apa yang telah ada dalam hati mereka.

Perkataan ‘ikut’ juga boleh bermaksud ‘diikuti’. Iaitu fitrah telah ada, kemudian Quran itu ‘mengikuti’ di belakang. Ianya memberi penyaksian kepada fitrah itu. Quran menjadi شَاهِدٌ (saksi). Quran membenarkan apa yang telah diketahui oleh hati. Iman itu adalah apa yang sudah ada dalam hati dan Quran itu adalah apa yang ada di luar. Macam dalam mahkamah ada plaintif dan ada saksi. Plaintif akan beri hujah mereka dan saksi akan membenarkan hujah yang telah diberi.

Seperti yang kita telah beritahu, ada banyak pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa شَاهِدٌ (saksi) yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad. Iaitu, manusia yang sudah ada fitrah itu, mengikut Nabi Muhammad kerana apa yang disampaikan oleh baginda adalah bertepatan dengan fitrah yang telah ada dalam diri mereka.

Dan ada pula yang menyatakan yang أَفَمَن (siapa) yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad sendiri dan شَاهِدٌ  yang dimaksudkan adalah adalah Jibril. Iaitu, Nabi sudah ada fitrah dalam diri baginda dan apabila Jibrail membawa Quran kepada baginda, baginda terus percaya kerana apa yang dibawa oleh Jibrail itu bertepatan dengan apa yang ada dalam dirinya.

Allahu a’lam mana satulah yang paling tepat. Kesemua pendapat itu boleh digunakan.

 

وَمِن قَبْلِهِ كِتَابُ مُوسَىٰ

dan sebelum itu, Kitab Nabi Musa;

Perkataan كِتَابُ مُوسَىٰ (Kitab Musa) yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat, kerana ianya telah diturunkan kepada Nabi Musa. Maknanya, sebelum diturunkan Quran itu, telah ada Kitab Taurat yang membawa mesej yang sama tentang Tauhid. Ini menguatkan lagi hujah tentang akidah tauhid ini – kerana memang telah ada kitab suci sebelum Quran lagi.

Ini menunjukkan bahawa sebelum diberikan dengan wahyu Quran, Allah telah sediakan Kitab lain lagi. Maknanya, bukanlah umat tidak ada kitab rujukan kerana Kitab Taurat itu ada, cuma mereka yang di Mekah sahaja yang tidak mengetahuinya. Allah tidak tinggalkan manusia tanpa pedoman.

 

إِمَامًا وَرَحْمَةً

yang menjadi ikutan dan rahmat

‘Imam’ itu adalah sesuatu yang dijadikan ikutan. Kerana dalam solat, kita akan ikut imam yang berada di hadapan kita. Maka, kita kena jadikan kitab Kalam Allah di hadapan kita sebagai pemandu kita. Bukan di belakang dan ditinggalkan. Ini bermakna, Kitab Taurat itu telah menjadi panduan, dan juga rahmat kepada pengikut Nabi Musa di zamannya.

Begitu jugalah Quran itu menjadi rahmat dan ikutan kepada umat Nabi Muhammad. Itu pun kalau diikuti. Kalau setakat baca sahaja, tapi tak faham, tentu mereka tidak tahu apa yang hendak disampaikan oleh Allah. Tambahan lagi kalau mereka hanya tahu baca surah Yaasin sahaja pada malam jumaat. Atau mereka hanya baca pada majlis kematian dan tahlil sahaja. Itu bukannya mereka baca untuk mendapat panduan, tapi sebagai ‘adat’ sahaja. Sebab kalau tak baca, orang akan kutuk mereka.

Seperti kita telah sebut sebelum ini, ayat ini ada banyak ‘wajah’ (banyak cara tafsir). Banyak pendapat yang diberikan oleh mufassir tentang siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Nah, sekarang, Allah menyebut tentang Kitab Taurat pula. Dari itu, ada satu lagi pendapat tentang ayat ini. Iaitu, yang dimaksudkan ‘berada di atas fitrah’ adalah Nabi Muhammad dan ‘syahid’ yang dimaksudkan adalah Ahli Kitab. Iaitu Nabi telah menerima fitrah tentang Allah dalam dirinya, dan ianya telah dipersaksikan oleh Ahli-ahli Kitab. Kita telah sebut tentang Waraqah sebelum ini. Waraqah telah membenarkan apa yang Nabi telah terima dalam bentuk wahyu. Dan bukan itu sahaja, baginda telah juga berjumpa dengan Ahli-ahli Kitab yang lain. Sebagai contoh, Abdullah bin Salam adalah seorang pendita Yahudi dan beliau telah masuk Islam di Madinah. Beliau telah membenarkan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana beliau sebagai seorang pendita tahu bahawa apa yang Nabi Muhammad bawa itu telah tertulis dalam Kitab mereka.

 

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Orang-orang yang berkeadaan demikian, beriman dengannya (Al-Quran);

Sebelum Quran diturunkan, Kitab Taurat telah diturunkan kepada manusia. Ianya juga adalah kalam Allah. Ianya menjadi pedoman dan pegangan manusia juga pada waktu itu. Kepada mereka yang betul-betul beriman dan berpegang dengan Taurat, mereka tidak boleh lari dari beriman dengan kalam Allah yang diturunkan selepasnya: Quran.

Orang-orang agama dalam agama Yahudi sudah tahu bahawa akan turun Rasul terakhir di tanah Arab. Lebih tepat lagi, di Madinah. Sebab berita itu telah tertulis dalam kitab-kitab mereka. Sebab itulah mereka ramai yang telah berada di Madinah kerana mereka menunggu Nabi akhir zaman itu. Kerana tanda-tanda dalam kitab mereka menunjukkan bahawa Rasul baru itu akan muncul di Madinah. Dan tanda-tanda pengenalan Nabi Muhammad juga mereka sudah tahu. Cuma mereka tidak mahu terima sahaja setelah nyata bahawa Rasul yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad. Mereka tidak dapat terima kerana Rasul yang baru itu bukan dari bangsa mereka tapi dari bangsa Arab. Tapi mereka yang benar-benar beriman dengan Kitab Taurat, mereka akan terima Quran dan terima Nabi Muhammad. Iaitu mereka yang jujur dengan ilmu yang mereka sendiri sudah ada. Antara yang kita selalu dengar adalah seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Salam. Beliau adalah seorang pendita Yahudi, jadi dia mahir dengan kitab Taurat dan kitab-kitab agama Yahudi. Apabila telah nyata kepadanya bahawa Nabi Muhammad itu benar-benar seorang Rasul, beliau telah menjadi orang Islam dan menjadi sahabat Nabi yang terkenal. Tentu ada lagi dari kalangan Yahudi yang telah masuk Islam juga seperti beliau. Seorang lagi yang terkenal adalah Salman al Farisi. Beliau telah mengembara untuk menunggu baginda di Madinah. Dan apabila beliau melihat tanda-tanda yang ada pada baginda, beliau terus beriman.

 

وَمَن يَكْفُرْ بِهِ مِنَ الْأَحْزَابِ

dan sesiapa yang ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir,

Siapakah yang dimaksudkan dengan kumpulan-kumpulan itu? Surah ini diturunkan di hujung era Nabi Muhammad di Makkah. Waktu itu dah ada kumpulan-kumpulan seperti musyrik, Kristian dan Yahudi dan lain-lain lagi. Mereka itulah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan. Ada banyak kumpulan yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad. Maka, sesiapa sahaja dari penduduk bumi yang tidak beriman dengan Quran, samada mereka itu kafir atau mengaku sebagai orang Islam, maka ancaman bagi mereka adalah:

 

فَالنَّارُ مَوْعِدُهُ

maka nerakalah yang dijanjikan.

Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad, dijanjikan neraka bagi mereka. Untuk masuk syurga, salah satu syaratnya adalah beriman dengan kenabian Nabi Muhammad. Imam Muslim ada meriwayatkan satu hadis dari Nabi:

“Demi Dzat yang jiwaku berada di TanganNya, tidak seorang pun dari umat ini, baik Yahudi mahupun Nasrani yang mendengarku kemudian dia tidak beriman kepadaku melainkan dia akan masuk neraka.”

Oleh kerana mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad, maka mereka telah kufur dan tempat mereka adalah neraka.

 

فَلَا تَكُ فِي مِرْيَةٍ مِّنْهُ

Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran,

مِرْيَةٍ adalah sesuatu yang benar tapi kemudian manusia ragu-ragu padanya. Apabila Nabi disuruh jangan ragu-ragu, maka kita pun begitu juga, jangan ragu-ragu dengan Quran yang ada pada kita ini.

 

إِنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ

kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu,

Kalau Quran itu benar dari Allah, kenapa kita tidak mahu mempelajarinya? Kenapa masih ada lagi dari kalangan kita yang masih buat tak kisah dengan Kalam Allah ini? Adakah kita ragu-ragu tentang berita yang disampaikan di dalamnya? Atau adakah kita ragu-ragu kepentingan Quran itu dalam kehidupan kita? Adakah kita ragu-ragu dengan panduan Quran ini yang boleh membawa kita kepada jalan yang benar dan seterusnya ke syurga? Ini perkara yang kita perlu fikirkan dengan mendalam.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.

Walaupun Quran itu benar, tapi hakikatnya, ramai dari kalangan manusia yang tidak mempercayainya. Termasuklah dari kalangan umat Islam pun begitu juga. Ramai dari kalangan kita yang percaya Quran itu dari Allah, tapi mereka belum mahu belajar maknanya dengan tidak mahu belajar tafsir. Samada mereka tidak mahu belajar apabila diajak, atau mereka tidak kisah. Itu pun seperti tidak percaya juga, kerana kalau percaya sungguh, tentu mereka akan berusaha untuk mempelajarinya, bukan? Mereka itu dikira tidak percaya kepada Quran juga kerana apabila kita beri hujah kepada mereka yang datang dari Quran, mereka kata: “ya kah? Betulkah begitu?”. “Itu faham kamu sahaja.” “Itu tafsiran kamu sahaja.” “Guru saya kata lain maksud ayat itu” dan macam-macam lagi hujah mereka. Padahal mereka bukan belajar tafsir Quran pun. Amat hairan sekali, orang yang tidak belajar tafsir Quran, tapi kata tafsiran kita salah pula.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa kebanyakan manusia tidak beriman. Ada yang kata kalau Islam itu benar, kerana tak ramai ikut? Mereka kata sepatutnya kalau ianya adalah kebenaran, tentu ramai yang akan beriman dengannya. Itu hanya logik akal mereka sahaja. Kerana dalam fahaman mereka, kalau sesuatu itu baik, tentulah ramai yang akan menyokongnya, bukan? Jadi, Allah dah jawab dalam ayat ini, memang telah ditakdirkan tak ramai umat manusia yang beriman. Jadi, jangan hairanlah kalau ramai tidak beriman; jangan hairanlah juga kalau ramai tidak mahu menerima jalan Sunnah.


 

Ayat 18: Ayat ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi. Ayat ini adalah tentang orang yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Perkara baru dalam agama adalah ‘bidaah‘. Jadi, ini adalah dalil Quran tentang larangan bidaah dalam perkara agama.

Ada banyak salah faham tentang bidaah ini. Kerana itu ramai yang mengamalkan perkara bidaah. Antaranya, mereka yang salah faham tentang upah dalam ibadat. Mereka itu adalah mereka yang mereka-reka dalam hal agama. Mereka yang kata beri sedekah itu dapat ‘pahala sedekah’. Mereka yang kata boleh buat perkara itu. Sedangkan tidak ada dalil dari Quran dan Hadis.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا ۚ أُولٰئِكَ يُعرَضونَ عَلىٰ رَبِّهِم وَيَقولُ الأَشهادُ هٰؤُلاءِ الَّذينَ كَذَبوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ أَلا لَعنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّالِمينَ

Sahih International

And who is more unjust than he who invents a lie about Allah ? Those will be presented before their Lord, and the witnesses will say, “These are the ones who lied against their Lord.” Unquestionably, the curse of Allah is upon the wrongdoers.

Malay

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!

Ini adalah mereka-mereka yang buat perkara bidaah dalam agama. Dalam ayat sebelum-sebelum ini, Musyrikin Mekah ada yang mengatakan Nabi Muhammad mereka-reka ayat Quran dan mereka-reka perkara baru dalam agama. Itu adalah satu pembohongan yang besar. Sedangkan mereka lah sebenarnya yang reka perkara baru dalam agama.

Bagaimana pula dengan orang Islam yang reka perkara baru dalam agama? Sebagai contoh, mereka kata upah solat jenazah itu boleh. Mereka kata boleh dapat pahala. Padahal tidak ada dalil yang mengatakan sedemikian. Mereka kata memang akan dapat pahala kerana sedekah itu sunat. Tapi itu adalah dalil umum – memang sedekah itu baik dan digalakkan dalam Islam. Tapi sedekah kepada mereka yang melakukan ibadat, ada dalil tak? Oleh itu, perbuatan memberi upah/sedekah kepada mereka yang beribadat itu adalah bidaah sebab tidak ada dalil. Mereka ambil dalil umum dan mereka pakai kepada semua perkara. Itu adalah satu penggunaan dalil yang salah. Hanya dilakukan oleh mereka-mereka yang jahil sahaja. Tambahan pula dalam ayat ke 15 tadi kita telah jelaskan bagaimana tidak boleh ambil upah dalam perkara ibadat.

Bidaah itu dikira dusta kepada Allah. Kerana Allah tak pernah ajar, Nabi pun tak pernah ajar, sahabat pun tidak lakukan. Tapi mereka kata itu adalah perkara baik dalam agama. Itu adalah berdusta atas nama Allah! Mereka dikatakan berdusta atas nama Allah kerana mereka kata Allah sukakan perkara itu sedangkan Allah tidak pernah cakap. Itu termasuklah mereka yang mereka-reka perkara lain dalam agama. Contohnya, Maulid Nabi, Solat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil dan lain-lain lagi. Allah panggil mereka-mereka yang melakukan perkara-perkara ini adalah orang yang ‘zalim’. Alangkah buruk panggilan yang Allah berikan kepada mereka. Tidak ada yang lebih zalim dari mereka; merekalah yang paling zalim!

Kenapakah berat sekali tuduhan kepada mereka ini? Kerana sebelum ini telah disebut tentang bagaimana agama itu tertegak. Pertama, dari ‘fitrah’ manusia. Kemudian, Quran. Dan ketiga, dari kitab-kitab terdahulu. Selepas banyak sekali sumber rujukan itu, kenapa manusia masih lagi membuat dusta atas nama Allah?

Kebenaran itu ada dalam nas yang sahih, iaitu Quran dan Sunnah. Tapi bagaimana manusia boleh tolak kebenaran? Iaitu apabila ada manusia yang mengeluarkan pendapat yang menyebabkan manusia jadi keliru. Sepatutnya, sesuatu kebenaran itu jelas, seperti Quran, tapi apabila manusia menggunakan akal mereka untuk mempersoalkan sesuatu perkara itu, maka manusia ramai yang jadi keliru. Sebagai contoh, kita semua tahu khasiat minum susu itu banyak. Tapi kalau ada orang yang mempersoalkan khasiat susu, bagaimana? Dia pun keluarkan hujah-hujah yang susu itu tidak baik untuk kesihatan sebenarnya, dengan mengeluarkan pendapat orang lain, kajian orang lain dan sebagainya. Lalu, susu yang sudah diterima berkhasiat itu, telah diragui oleh orang ramai.

Begitu juga dengan dalil-dalil yang jelas nyata dari Quran dan Hadis. Ianya telah jelas, tapi ada juga manusia yang mengeluarkan pendapat yang berbagai-bagai untuk mempersoalkan kebenaran itu. Mereka tidak belajar tafsir Quran, tidak dengar syarah pengajian Hadis, tapi mereka mengeluarkan pendapat mereka sendiri. Orang yang tidak tahu, atau jahil tentang agama, akan mudah terpedaya dan mereka. Dan mereka yang jahil pun ikut masuk berbincang juga tentang perkara itu. Akhirnya, perkara yang telah jelas, menjadi keliru. Itulah bahayanya apabila berbincang dengan mereka yang tidak berilmu. Kita pun boleh jadi terkeliru kerana terpedaya dengan hujah-hujah bathil mereka.

 

أُولَٰئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمْ

Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka,

Apabila perkataan يُعْرَضُونَ digunakan, itu bermaksud mereka akan ‘dibawa’ mengadap Allah. Bukan mereka pergi sendiri dengan sukarela. Dalam nahu ayat yang digunakan, ada makna ‘paksaan’. Bayangkan mereka yang meronta-ronta semasa dibawa ke taligantung. Mereka tak mahu pergi, tapi mereka dipaksa pergi dan dibawa pergi dengan paksa. Begitu jugalah mereka yang dibawa kepada Allah pada hari Kiamat nanti.

Kenapa mereka dibawa mengadap Allah? Untuk dihisab segala amalan mereka semasa di dunia. Mereka akan ditanya atas amalan yang mereka lakukan semasa di dunia. Antaranya, mereka akan ditanya dari mana mereka dapat dalil untuk mengerjakan amalan-amalan bidaah mereka itu? Bagaimana agaknya mereka nak jawap?

Kenapa disebut mereka dibawa mengadap Allah? Bukankah semua makhluk akan dibawa mengadap Allah? Tentulah semua makhluk akan menemui Allah. Tapi ayat ini menekankan kepada mereka yang telah berbuat dosa semasa mereka di dunia atau mereka yang tidak beriman. Mereka tidak sangka yang mereka kena mengadap Allah. Kerana mereka tidak yakin yang mereka kena mengadap Allah lah  yang menyebabkan mereka berani buat perkara zalim dalam agama. Tapi Allah ingatkan mereka dalam ayat ini. Maka berhati-hatilah dalam amalan ibadat kita setiap hari. Pastikan ianya amalan yang diajar oleh Nabi.

 

وَيَقُولُ الْأَشْهَادُ

dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi

Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘saksi-saksi’ itu? Mereka itu dari kalangan malaikat-malaikat, Nabi-nabi, orang-orang mukmin dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri.

Malaikat telah membawa turun wahyu. Dan mereka akan ditanya apakah mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka itu. Mereka akan bersaksi bahawa mereka telah menjalankan tugas, cuma manusia yang engkar sahaja yang tidak mahu mengikutinya.

Begitu juga para Nabi akan ditanya samada mereka telah sampaikan wahyu kepada umat mereka. Mereka juga akan memperkatakan perkara yang sama.

Orang-orang mukmin yang telah menjalankan tanggungjawab mereka menyampaikan dakwah juga akan menjadi saksi. Mereka akan memberitahu bahawa mereka telah berdakwah kepada orang itu, orang ini, tapi mereka tidak mahu menerimanya. Mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah nanti terhadap mereka-mereka yang menipu dalam hal agama. Iaitu mereka yang mengajar salah, yang mengamalkan amalan bidaah.

Begitu juga, tubuh badan orang itu sendiri akan mengaku yang tuannya dulu pernah buat perkara-perkara yang salah dalam agama dan dalam kehidupan.

Berbeza dengan orang-orang Mukmin. Orang-orang mukmin akan diampunkan dosa mereka. Tapi orang musyrik dan mereka yang melakukan bidaah akan ada saksi yang akan menjadi saksi diatas perbuatan mereka di dunia dulu. Mereka takkan terlepas. Kadang-kadang kalau kita buat salah di dunia, tidak ada orang tahu perasan, tidak ada orang yang nampak, maka kita terlepas. Tapi tidak berlaku di akhirat nanti.

Apakah yang akan dikata oleh saksi-saksi itu nanti?:

 

هَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

“Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”.

Yang berbuat dusta waktu itu duduk dalam bersaf-saf, tunduk menunggu, tidak berani nak bersuara, tidak berani nak buat apa-apa.

Dalam ayat ini, perkataan هَٰؤُلَاءِ digunakan. Ia adalah kata penunjuk kepada orang yang berdekatan dengan kita. Kita nampak mereka semasa kita tunjuk kepada mereka. Bermakna, mereka yang ditunjuk itu dekat sahaja, boleh nampak. Kalau kita tunjuk kepada orang yang jauh, ada kemungkinan orang yang melihat itu tidak pasti kepada siapa kita tunjuk. Tapi apabila هَٰؤُلَاءِ digunakan, bermakna mereka dekat sahaja dan pasti dengan jelas siapakah yang mereka itu yang ditunjuk, tidak syak lagi. Tak boleh nak lari dah.

 

أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ

Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

Ini adalah pengumuman penting dari Allah. Allah mengumumkan dalam ayat ini yang berbuat dusta atas nama Allah dikira orang yang ‘zalim’. Maksud ‘laknat’ dari Allah adalah: Allah tidak ampun dosa dan tidak terima taubat mereka dan mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak akan ada peluang untuk masuk dalam syurga.

الظَّالِمِينَ ada banyak makna. Secara umum, ianya merujuk kepada mereka yang berbuat jahat. Orang kita sangka, buat amalan bidaah itu kecil sahaja, tapi sebenarnya ianya adalah amat besar sekali. Sebab mereka tak belajar dan sangka itu perkara kecil sahaja, yang menyebabkan mereka tak segan silu buat benda-benda bidaah itu. Mereka kata: “takkan salah apa yang ustaz-ustaz itu buat”, “walaupun Nabi tak buat, tapi kalau benda baik, tak salah kalau kita buat”, “kalau niat kita ikhlas, Allah akan terima,” “takkan berdosa pula kalau aku buat begini?” dan entah berapa banyak lagi contoh-contoh hujah batil yang mereka akan beri lagi.

Dan zalim yang paling besar adalah melakukan syirik. Bidaah itu adalah sesuatu yang amat luas. Antara perkara bidaah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Jadi, ianya ada banyak peringkat.


 

Ayat 19: Siapakah orang-orang yang zalim itu dan apakah sifat mereka? Ada tiga sifat mereka yang disebut dalam ayat ini.

الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَيَبغونَها عِوَجًا وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ

Sahih International

Who averted [people] from the way of Allah and sought to make it [seem] deviant while they, concerning the Hereafter, were disbelievers.

Malay

Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;

 

الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang menghalang dari jalan Allah,

Mereka yang zalim itu menghalang diri mereka dan orang lain dari jalan Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka menghalang’?. Apabila kita tegur bahawa amalan yang mereka buat itu salah, fahaman mereka tentang Islam salah, bukan berdasarkan sumber yang sahih, mereka adalah antara orang yang mencerca kita dan mengajak orang lain untuk turut sama dengan mereka mencerca kita. Mereka tak mahu belajar dengan orang yang dalam jalan sunnah dan mereka akan larang dan halang orang lain dari belajar dengan orang yang mengajar agama berasaskan sunnah. Sudahlah mereka tidak mahu belajar, mereka halang pula orang lain dari belajar juga – ini amat teruk sekali. Mereka beri gelaran buruk-buruk kepada orang-orang yang mahu sunnah: mereka kata orang yang mengamalkan sunnah itu Wahabi, Kaum Muda dan sebagainya. Sampai orang lain pun yang tak tahu apa-apa pun pandang serong dengan kita.

Perkataan يَصُدُّونَ adalah dalam bentuk mudhaari’ (present and future continuous), bermakna ianya masih berjalan lagi. Kalau dahulu, ianya merujuk kepada Ahli Kitab yang tidak mahu menerima kebenaran dan kenabian Nabi Muhammad. Mereka menghalang diri mereka dari beriman dan dengan itu, mereka menghalang juga orang lain dari beriman. Kerana orang-orang yang tidak berilmu akan melihat kepada mereka yang kononnya ada ilmu agama seperti Ahli Kitab itu. Apabila Ahli Kitab pun menolak Nabi Muhammad, maka yang tidak ada kitab pun tentu juga tidak mahu menerima Nabi Muhammad juga.

Tapi, golongan ahli kitab itu adalah golongan yang dahulu, mereka telah lepas dah. Dan sekarang mereka yang menolak dari jalan Allah masih ada lagi. Masih ada dilakukan zaman sekarang. Jadi ayat ini bukan hanya hendak menceritakan tentang orang-orang dahulu sahaja tapi tentang orang-orang sekarang juga. Dalam kalangan orang Islam di negara ini pun ada yang menghalang manusia dari jalan Sunnah. Dan ianya akan berterusan sampai ke hari kiamat nanti. Termasuk dalam hal ini, adalah pemimpin-pemimpin masyarakat yang tidak mahu beriman dan dengan itu menghalang golongan bawahan dari beriman juga.

Begitulah juga dengan kalangan ‘orang-orang agama’ yang tidak mahu mengamalkan sunnah. Apabila mereka sendiri tidak mahu beriman dengan sunnah, maka masyarakat awam pun tidak rasa bersalah kalau tidak beriman dengan sunnah. Kerana mereka akan melihat pemimpin-pemimpin agama itu sebagai kayu ukur mereka. Orang awam akan tengok apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz di negara ini dan kalau para ustaz pun tolak sunnah, apatah lagi orang awam yang memang tidak tahu tentang agama.

 

وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا

dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong,

Mereka mencari-cari kelemahan dalam agama. Mereka akan korek dan cari sampai dapat apakah hujah yang mereka boleh kata jalan Sunnah itu salah. Kita bagi ayat Quran, mereka akan bagi ayat Quran juga tapi dalam pemahaman mereka yang salah. Kita bagi hadis sahih, mereka bagi hadis palsu/dhaif yang entah dari kitab mana. Kita kata ini kata-kta Nabi, mereka beri kata-kata ulama yang mereka pilih sendiri yang bersamaan dengan fahaman mereka. Mereka cari dalam kitab mereka, mereka cari maklumat dalam internet dan kadang-kadang mereka reka sendiri hujah mereka. Tak dapat beri hujah, mereka akan serang peribadi orang yang berdakwah itu. Mereka serang ulama-ulama yang membawa ajaran Sunnah. Dengan perbuatan mereka itu, mereka sebenarnya telah menjadikan jalan Allah yang lurus itu jadi bengkok. Sampai orang awam pun tidak mahu kepada agama. Orang agama akan pening dengan pertembungan fikiran ini dan mereka kata: kalau ahli agama pun bertelagah, agama jenis apa ini?

Sepatutnya jalan Allah itu lurus. Senang sahaja jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad, para sahabat dan mereka yang hendak mengamalkan Sunnah. Tapi ramai dari kalangan manusia yang telah bengkokkan jalan agama yang lurus dan mudah ini. Agama yang senang jadi susah. Sebagai contoh, nak solat cara mereka susah, nak istinjak cara mereka pun susah kerana mereka tambah macam-macam perkara baru dalam agama. Mereka buat begitu dengan cara buat amalan dan pemahaman bidaah.

Termasuk dalam perkara ini adalah orang kafir yang hendak mengutuk agama Islam. Sebagai contoh, mereka akan kata bagaimana agama Islam itu teruk, sampai membenarkan orang lelaki kahwin sampai empat. Mereka itu adalah orang-orang yang jahat yang niatnya hendak menghalang manusia dari kebenaran Islam.

 

وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ

sedang mereka pula engkarkan hari akhirat;

Orang-orang yang kufur itu tidak percaya kepada Hari Akhirat dan kerana tidak percaya, mereka tidak takut kepada pembalasan di akhirat. Oleh kerana itu, mereka berani untuk buat apa sahaja yang nafsu mereka suruh.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengamalkan bidaah dan syirik? Mereka juga tidak beriman dengan Hari Akhirat. Bermakna mereka yang buat bidaah itu engkar sebenarnya dengan akhirat, walaupun mereka kata mereka percaya. Mereka bukan tidak percaya dengan hari akhirat dan mereka tahu ianya pasti akan terjadi. Tapi perangai mereka macam mereka tidak percaya. Macam mereka tidak tahu bahawa mereka akan dihadapkan nanti di hadapan Allah dan mereka kena jawap atas perbuatan-perbuatan bidaah mereka itu. Mereka boleh jawap kepada pendakwah-pendakwah semasa di dunia, dengan beri berbagai-bagai hujah batil mereka, tapi bolehkan mereka jawap di hadapan Allah nanti. Hujah apa mereka nak bawa? Hujah kitab? Hujah kata orang itu dan ini? Hujah akal mereka? Kalau mereka tahu apakah yang akan terjadi di Akhirat nanti, mereka tidak berani melakukan apa yang mereka sedang lakukan sekarang. Mereka akan buat perkara yang sahih ada dalam Sunnah sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s