Tafsir Surah Hud Ayat 9 – 12 (Berat untuk sampaikan wahyu)

Ayat 9: Ayat Zajrun. Ayat ini menyentuh tentang masalah yang dihadapi dan sedang dihadapi oleh begitu ramai manusia zaman sekarang. Banyak sangat manusia yang rasa putus asa dalam kehidupan ini. Apabila mereka putus asa dengan kehidupan mereka, mereka sebenarnya putus asa dengan agama, dan seterusnya mereka putus harap dengan Allah. Ayat ini memberitahu kita kenapa manusia putus asa dan tidak percaya kepada Allah. Kenapa manusia tidak beriman lagi?

وَلَئِن أَذَقنَا الإِنسانَ مِنّا رَحمَةً ثُمَّ نَزَعناها مِنهُ إِنَّهُ لَيَئوسٌ كَفورٌ

Sahih International

And if We give man a taste of mercy from Us and then We withdraw it from him, indeed, he is despairing and ungrateful.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, dia jadi amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

 

وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَحْمَةً

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami

Allah letakkan perkataan مِنَّا  (dari Kami) sebelum perkataan ‘rahmat’ kerana hendak menekankan bahawa rahmat itu semuanya dariNya. Susunan ayat itu menyebut – apabila Kami rasakan insan itu dari Kami – Apakah yang dirasakan dariNya itu? – itulah rahmatNya. Begitulah susunan ayat itu. Ada sebab kenapa susunan ayat itu sebegitu – kerana hendak menekankan bahawa rahmat itu dari Allah. Kita kena faham bahawa ada makna yang hendak disampaikan disebalik susunan perkataan dalam ayat-ayat Quran. Dari susunan itu pun kita boleh belajar apakah yang hendak disampaikan, manakah yang ditekankan dan manakah yang lebih utama. Jadi, ringkasnya dalam ayat ini Allah hendak menekankan yang segala rahmat dari Allah.

Perkataan yang digunakan adalah أَذَقْنَا yang bermaksud ‘Kami rasakan’. Apakah maksud ‘rasa’. Kalau kita ‘rasa’ makanan, kita rasa sekejap sahaja. Lainlah kalau kita makan terus – adalah lama sikit. Ini menunjukkan sekejap sahaja nikmat itu. Ataupun diberikan sedikit sahaja – sebab kalau kita ‘rasa’, kita rasa sikit sahaja, bukan? Maknanya, kenikmatan di dunia ini adalah sekejap dan sedikit sahaja. Sebagai contoh, kalau makan makanan yang sedap, rasa sedap itu sekejap sahaja pada mula-mula makan itu sahaja. Selepas itu sudah tidak berapa sedap dah sebenarnya, bukan? Dan diri kita pun tidak sama, mula-mula muda tapi lama kelamaan kita akan jadi tua. Makanan yang dulu rasa sedap, bila kita dah tua, deria rasa pun dah kurang.

Rahmat itu boleh jadi macam-macam, keluarga, kekayaan, kesihatan, kesenangan dan sebagainya.

Sebenarnya, nikmat yang kekal hanyalah di Syurga sahaja. Allah berikan kita ‘rasa’ nikmat yang di dunia ini sebagai ‘contoh’ sahaja apa yang kita boleh dapat jikalau kita menjadi ahli Syurga. Sebagai contoh, kesedapan makanan diberikan kita rasa semasa di dunia untuk kita dapat bayangkan bahawa di Syurga nanti, kesedapannya adalah berganda-ganda lagi. Madu di dunia ini contohnya, adalah tiruan kepada madu yang lebih asli di Syurga; sutera yang lembut di dunia ini, adalah hanya tiruan sahaja kepada sutera yang lebih hebat di Syurga nanti. Jadi, kalau nikmat di dunia ini pun kita sudah rasa sedap, nikmat di syurga nanti lagi sedap, maka kejarlah untuk masuk ke syurga.

Begitu juga, kesusahan yang kita alami di dunia itu adalah contoh sahaja kesusahan dan azab yang dialami oleh ahli Neraka. Kalau mereka rasa susah di dunia ini, apakah mereka sanggup nak menanggung kesusahan yang lebih berganda-ganda di Neraka nanti?

Ayat ini mengingatkan kita betapa pemurahnya Allah. Walaupun orang itu kufur, tapi Allah beri juga nikmat kepadanya. Kerana dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ‘insan’ – bermaksud seluruh manusia dan bukannya orang Islam sahaja yang dapat nikmat.

 

ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ

kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya,

نَزَعَ bermaksud menggerakkan sesuatu yang tidak bergerak. Sebagai contoh, almari yang sudah lama ada di tempatnya, kemudian kita gerakkan. Sebagaimana juga manusia yang sudah lama mendapat nikmat dari Allah, sudah tetap dengan nikmat itu, Allah gerakkan supaya ditarik nikmat itu. Dan waktu itu mereka sedang menikmati nikmat yang diberikan kepadanya itu. Dan nikmat itu diambil dengan dia tidak rela. Macam kita nak ambil mainan dari kanak-kanak yang sedang bermain dengan mainan itu, adakah dia akan beri dengan senang hati? Tentu tidak bukan?

Kata ini digunakan kerana hendak menerangkan bagaimana manusia yang sudah lama mendapat nikmat dari Allah, mereka tidak rasa bahawa itu adalah satu nikmat pemberian sebenarnya. Mereka sangka mereka akan dapat sahaja nikmat itu. Dalam bahasa inggerisnya: They took it for granted. Mereka tak sangka bahawa ianya boleh ditarik balik. Hendaklah kita ingat, bahawa nikmat itu Allah yang beri, tentulah Allah boleh tarik balik.

Ingatlah juga bahawa apa sahaja nikmat yang diberikan kepada kita, sebenarnya ianya adalah ‘amanah’ dari Allah. Ianya bukan hak kita. Contohnya, kekayaan yang kita ada, harta yang kita kumpulkan, anak-anak lelaki dan perempuan – semua itu adalah ‘amanah’ dari Allah. Untuk kita jaga dan kita gunakan selagi kita ada.

 

إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ

dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

Apabila nikmat yang telah diberikan kepada mereka ditarik, mereka putus asa dari usaha yang mereka telah buat. Inilah sifat kebanyakan manusia – sebab itu digunakan perkataan ‘insan’. Kerana Allah tarik sesuatu yang mereka dah lama nikmati. Mereka akan berasa sangat putus asa, sangat hampa. Perkataan لَيَئُوسٌ adalah isim mubalaghah – membawa elemen kesangatan. Maknanya, terus putus ada sangat sampai rasa hidupnya sudah berakhir. Dia rasa dialah manusia paling malang di dunia ini. Inilah penyakit depresi yang banyak dialami oleh manusia. Ada yang sampai merosakkan diri mereka sendiri dengan buat perkara yang tidak baik, macam pergi main judi, minum arak sampai jadi mabuk-mabuk dan sebagainya. Malah, ada juga yang bunuh diri.

Perasaan ini boleh menjadikan seseorang itu kufur. Kerana mereka rasa Allah telah tinggalkan mereka, maka mereka boleh terus jadi kufur. Mereka juga akan ada rasa Islam adalah satu agama yang tidak bagus. Mereka rasa Allah zalim, tidak patut buat begitu dan mereka marah kepada Tuhan. Kerana kalau ianya agama yang bagus, tentu mereka tidak dirundung masalah, bukan? Itu adalah kata-kata orang yang bodoh.

Ataupun ia juga boleh bermaksud, selepas nikmat itu ditarik, mereka buat perkara kufur dengan macam-macam cara. Buat solat tolak bala, solat hajat. Ada yang jumpa bomoh, beli nombor ekor dan sebagainya. Kalau orang kafir, mereka mengadu kepada ilah mereka, dewa mereka dan sembahan mereka yang lain. Itu semua adalah perbuatan kufur.

Perkataan ‘kufur’ juga bukan sahaja membawa maksud ‘tidak beriman’ seperti yang kita selalu faham itu. Ia juga membawa maksud ‘kufur kepada nikmat’. Iaitu dia menidakkan segala nikmat lain yang telah diterimanya. Dulu dia terima banyak nikmat, tapi dia cakap macam dia tidak pernah terima nikmat pula. Dan kalaupun satu nikmat ditarik oleh Allah, ada lagi banyak nikmat-nikmat lain yang dia masih terima. Tapi kerana dia ditarik satu nikmat, dia menidakkan nikmat-nikmat yang lain. Kalau seorang anaknya meninggal, dia tidak bersyukur dengan anak-anaknya yang lain yang masih sihat.

Ayat ini menceritakan kepada kita bahawa kejadian itu terjadi kerana ada sesuatu yang ditarik daripada mereka. Bukan hanya harta, tapi perkara-perkara yang mereka mahukan dan mereka anggap sebagai penting. Sebagai contoh, mereka hendak tergolong dalam kumpulan tertentu, dan kemudian mereka dikeluarkan dari kumpulani itu. Macam ahli politik yang dibuang dari parti. Mereka tidak terima kalau perkara yang mereka anggap penting itu kehilangan dari mereka; kalau anak-anak kita, kalau mereka tidak dalam golongan tertentu, yang popular di sekolah, mereka sudah rasa tidak betul, depresi.

Islam mengajar bahawa kalau ada kehilangan atau musibah dalam kehidupan kita, hendaklah kita bersabar. Segala kesusahan dan kekurangan yang kita hadapi dalam dunia ini adalah dugaan buat kita. Selepas diberikan dengan dugaan sebegitu, barulah sifat asal manusia itu akan keluar. Barulah kita tahu dia itu orang yang jenis macam mana. Surah ini nanti akan mengajar kita tentang bagaimana mencari sabar. Kita kena fokuskan perhatian kita kepada perkara yang baik. Jangan fokus kepada apa yang kita dah hilang. Sebaliknya fokus kepada nikmat yang kita masih ada dan kita kena berdoa yang baik-baik sahaja kepada Allah. Teruskan berharap kepada Allah. Jangan putus harap seperti orang yang engkar. Seperti yang Allah ajar dalam Qalam:32

عَسىٰ رَبُّنا أَن يُبدِلَنا خَيرًا مِنها إِنّا إِلىٰ رَبِّنا راغِبونَ

“Semoga Tuhan kita, menggantikan bagi kita yang lebih baik daripada itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap”.


 

Ayat 10:

وَلَئِن أَذَقناهُ نَعماءَ بَعدَ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخورٌ

Sahih International

But if We give him a taste of favor after hardship has touched him, he will surely say, “Bad times have left me.” Indeed, he is exultant and boastful –

Malay

Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

 

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

Dan demi sesungguhnya! kalau Kami merasakan pula kesenangan baru sesudah ia menderita kesusahan, yang telah menyentuhnya dulu,

Ini adalah keadaan dimana selepas manusia ditimpa bala atau musibah, kemudian Allah angkat musibah itu. Dia dah jadi lega sekarang. Masalah yang dihadapinya sebelum itu telah tiada.

نَعْمَاءَ adalah nikmat yang banyak kerana ianya adalah dalam bentuk isim mubalaghah. Ia juga bermaksud jenis nikmat yang jelas kelihatan kepada orang lain pun. Sebagai contoh, dia jadi kaya raya. Nikmat ada banyak sebenarnya, tapi kadang-kadang kita tidak perasan nikmat itu. Sebagai contoh, boleh bernafas adalah satu nikmat, bukan? Tapi kita tidak perasan ianya adalah nikmat kerana dari kecil sampai besar, kita boleh bernafas. Tapi, perkataan نَعْمَاءَ  adalah jenis nikmat yang jelas kepada manusia, semua orang boleh nampak.

Nikmat yang banyak pun adalah ujian juga sebenarnya. Kerana kalau kita tidak pandai menangani nikmat yang banyak itu, kita mungkin tersasar dari jalan yang benar. Sebagai contoh, entah berapa ramai yang kita lihat, apabila mereka jadi kaya, perangai mereka yang baik sudah berubah? Kalau dahulu mereka rajin beribadat, apabila dia jadi kaya, dia tidak kuat beribadat lagi; kalau dulu mereka boleh bercakap lembut dengan orang, tapi bila dah kaya, jadi berlagak dan sombong pula? Bukanlah semua, tapi ada.

 

لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي

tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”.

Itulah kata-kata lega dari orang itu. Dulu dia tidak ada kerja tetap, tapi sekarang dia dah dapat kerja. Dia tak cakap pun Allah telah menghilangkan kesusahan darinya. Dia tak ingat pun taqdir Allah dalam menghilangkan masalahnya itu. Kalau dia cakap alhamdulilah pun, sebab dia dah biasa cakap dah. Secara otomatik sahaja terpancul keluar dari mulutnya, tapi dia tidak terfikir pun rasa syukur kepada Allah itu. Ini kita kena ingat kerana mungkin kita selalu buat.

 

إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

Sesungguhnya ia gembira sangat, lagi bermegah-megah.

Musibah yang telah terjadi kepadanya tidak menjadikan dia rendah diri. Dia cuma rasa putus asa, tidak keruan sahaja. Dia tidak pun menyerah diri kepada Allah. Dia tidak pun berdoa kepada Allah.

Dan apabila dia dapat nikmat, dia tak ingat Allah pun. Dia hanya jadi gembira kesukaan sahaja. Dia gembira kerana dia hanya melihat kepada keduniaan sahaja. Apabila hal dunianya sudah selesai, tidak ada masalah lagi, dia jadi gembira. Fokusnya kepada dunia sahaja.

Dan dia bermegah-megah dengan orang lain. Dia rasa dia layak dapat segala itu walaupun sebenarnya dia derhaka kepada Allah. Dia tidak buat apa yang Allah suruh dan dia banyak melakukan perkara yang Allah larang. Dia pun bercerita dengan orang lain bagaimana dulu dia ada masalah, tapi sekarang tidak lagi. Tidak pun dia hendak berterima kasih kepada Allah dan beritahu kepada orang lain yang Allah telah menyelesaikan masalahnya itu. Dia kata dia berjaya selesaikan masalah dia kerana usaha dan kepandaiannya sahaja. Dia sombong untuk terima kebenaran kalau ada orang yang datang beri nasihat kepadanya.

Ayat ini mengingatkan kita supaya apabila masalah kita selesai, maka bersyukurlah kepada Allah. Kalau ada masalah, berdoalah kepada Allah. Apabila kita berdoa kepada Allah, itu menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah. Dan Allah suka kalau kita bergantung kepadaNya.


 

Ayat 11: Lalu bagaimanakah sifat kita yang sepatutnya? Ini adalah tabshir kepada mereka yang baik. 

إِلَّا الَّذينَ صَبَروا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أُولٰئِكَ لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ

Sahih International

Except for those who are patient and do righteous deeds; those will have forgiveness and great reward.

Malay

Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

 

إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا

Kecuali orang-orang yang sabar

Sifat yang patut kita ada, adalah SABAR. Ini berlawanan dengan sifat mereka yang tidak beriman seperti yang disebut dalam ayat 9 sebelum ini. Apabila nikmat ditarik dari mereka yang tidak beriman, mereka putus asa dan jadi kufur nikmat. Tetapi orang yang beriman, apabila nikmat ditarik, apabila mereka ditimpa musibah, mereka akan sabar.

Tanpa sabar, ianya akan mengganggu hidup kita termasuk ibadat kita. Kerana kita kalau kita sedih sangat, sampai nak solat pun dah tak lalu. Dan tak ingat nak tolong orang, nak sedekah kepada orang lain, nak berzikir pun tidak ada semangat dah.

Sabar adalah satu perasaan yang amat penting apabila kita ditimpa musibah. Kita tahu bahawa musibah itu datang dari Allah dan ianya adalah ujian kepada kita dan kita hendaklah berdoa kepada Allah untuk mengangkatnya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:

“Demi Dzat yang jiwaku di tanganNya, Allah tidak memutuskan satu keputusan bagi seorang mukmin, melainkan selalu baik baginya. Jika mendapatkan hal yang menyenangkan, ia akan bersyukur dan yang demikian itu adalah baik baginya. Dan jika ditimpa musibah, maka ia akan bersabar, dan demikian itu adalah baik baginya. Dan hal itu tidak untuk seorang pun melainkan seorang mukmin.”

 

Maknanya, hadis ini menyatakan orang mukmin sahaja yang akan bersyukur apabila mendapat kebaikan dan bersabar apabila mendapat musibah.

Sabar itu mengawal diri kita dalam masa susah dan senang. Kawal diri dari putus asa masa susah. Dan kawal diri dari bermegah-megah dalam keadaan senang. Kerana mereka yang sabar itu sedar bahawa apa sahaja yang terjadi, ianya hanya sementara sahaja. Kalau sedang susah, ianya sementara. Dan kalau dalam senang pun, sementara juga.

 

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan mengerjakan amal soleh

Orang yang tidak beriman, apabila mereka ditimpa musibah atau nikmat ditarik dari mereka, mereka putus asa dan kufur. Dan apabila mereka mendapat balik nikmat dari Allah, mereka tidak bersyukur. Tetapi sebaliknya, orang yang beriman, akan terus melakukan amal yang soleh, samada mereka ditimpa musibah, atau diberikan dengan nikmat. Janganlah kita hanya melakukan amal soleh dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Ada orang yang beramal waktu susah sahaja; ada pula yang beramal waktu senang sahaja. Padahal kita kena beramal soleh waktu senang dan waktu susah.

Dan Allah sebut tentang amal soleh ini, kerana ada orang yang apabila ditimpa masalah dan musibah, mereka sudah tidak buat amal ibadat lagi dah. Kerana  mereka sibuk nak menyelesaikan masalah mereka, sibuk nak mengadu dengan orang, hanya duduk berseorangan memikirkan bagaimana nak menyelesaikan masalahnya, menangisi nasib mereka dan macam-macam lagi. Mereka buat segala perkara itu, tapi dalam masa yang sama, meninggalkan amal ibadat.

Amal soleh yang dimaksudkan adalah amal sepertimana yang Nabi ajar. Bukan amalan bidaah yang diajar oleh guru-guru yang tidak mementingkan ajaran Quran dan Sunnah. Banyak guru-guru ugama sekarang yang mengajar, tapi tak banyak yang mengajar berdasarkan Quran dan Sunnah. Mereka ajar banyak amalan, yang mereka sangkakan ianya adalah baik, tapi kalau ianya bukan dari ajaran Nabi, ianya adalah bidaah dan bidaah adalah perkara yang buruk.

Ini kita kena beritahu walaupun ramai orang yang marah apabila kita cakap amalan yang mereka buat selama ini adalah bidaah dan tidak ada dalam Islam. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Samada mereka terima atau tidak, bukan kita boleh paksa mereka.

 

أُولَٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ

maka mereka itu akan beroleh keampunan yang besar.

Inilah tabshir (berita gembira) dari Allah. Mereka yang beriman itu akan mendapat keampunan dari Allah kerana mereka telah bersabar semasa mereka ditimpa kesusahan, semasa nikmat ditarik dari mereka.

Tahukah anda kepentingan keampunan ini? Ini adalah satu pemberian yang amat besar. Kerana kita masuk ke dalam neraka adalah kerana dosa kita. Bayangkan kalau kita tidak ada dosa? Ke mana lagi kita akan dimasukkan kalau bukan ke dalam syurga?

 

وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

dan pahala yang besar.

Dan orang yang beriman akan mendapat pahala yang besar kerana terus melakukan amal yang soleh.

Kalau kita sabar semasa kita ditimpa musibah dan terus melakukan amal ibadat seperti yang Nabi ajar, maka kita akan mendapat keampunan dan pahala yang besar. Janganlah apabila kita ditimpa masalah, kita buat amalan yang bidaah pula. Sebagai contoh, berapa banyak manusia yang buat solat Hajat berjemaah apabila mereka ditimpa musibah? Sikit-sikit Solat Hajat. Sedangkan itu bukan dari ajaran Islam tapi ajaran dari manusia yang tidak ada sumber yang sahih. Walaupun orang kita dah lama buat, ustaz-ustaz ramai yang buat, tidak semestinya ianya adalah benar.


 

Ayat 12: Ayat ini adalah salah satu lagi dakwa surah. Ayat ini adalah satu pujukan kepada Nabi atas kata-kata orang-orang musyirikin kepada baginda apabila baginda berdakwah kepada mereka. Dakwa dalam ayat ini: Kena menyampaikan wahyu dalam apa keadaan pun, walaupun ada kebimbangan atau ada halangan.

فَلَعَلَّكَ تارِكٌ بَعضَ ما يوحىٰ إِلَيكَ وَضائِقٌ بِهِ صَدرُكَ أَن يَقولوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ كَنزٌ أَو جاءَ مَعَهُ مَلَكٌ ۚ إِنَّما أَنتَ نَذيرٌ ۚ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Sahih International

Then would you possibly leave [out] some of what is revealed to you, or is your breast constrained by it because they say, “Why has there not been sent down to him a treasure or come with him an angel?” But you are only a warner. And Allah is Disposer of all things.

Malay

Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang engkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).

 

فَلَعَلَّكَ تَارِكٌ بَعْضَ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ

Barangkali engkau (wahai Muhammad) meninggalkan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu

Iaitu mungkin meninggalkan sedikit ilmu semasa mengajar. Kerana takut hendak memberitahu. Kerana berat ayat-ayat Quran yang perlu disampaikan itu. Jadi mungkin Nabi takut hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah. Bayangkan, memberitahu bahawa perbuatan syirik itu salah kepada masyarakat yang memang bergelumang dengan perbuatan syirik sepanjang hidup mereka? Tidak tahu bagaimana mereka akan menerima pemberitahuan itu. Ada kemungkinan yang mereka boleh menyakiti baginda. Tapi tentunya Nabi kena sampaikan juga semua ayat-ayat Quran itu, tidak boleh ditinggal-tinggal. Seperti firman Allah dalam Maidah:67.

 

۞ يا أَيُّهَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَبِّكَ ۖ وَإِن لَم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ الكافِرينَ
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.

Zaman sekarang pun banyak terjadi perkara begini. Ada guru yang takut anak murid dia akan tinggalkan dia kalau dia mengajar perkara yang berat, yang tak suka didengari, maka dia ada sembunyi perkara-perkara yang sepatutnya anak murid dia tahu. Jadi ada sesetengah ayat Quran tidak diberitahu kepada manusia. Ini semua kerana bimbang tidak ada orang akan belajar dengan mereka.

Tentulah Nabi tidak tinggalkan mana-mana ayat Quran. Nabi tentunya tidak meninggalkan apa-apa yang sepatutnya disampaikan kepada manusia. Allah cuma kata kerana Allah tahu apa yang ada dalam hati Nabi. Allah tahu yang berat pada Nabi untuk sampaikan. Tapi meninggalkan untuk sampaikan wahyu adalah perkara yang bahaya, sampai Allah berikan ingatan kepada baginda.

Jadi ayat ini ditujukan juga kepada guru-guru yang datang kemudian dari Nabi. Kerana ada guru-guru yang mengambil upah dalam mengajar. Apabila mereka mengambil upah, mereka takut nak cakap perkara yang akan menyebabkan anak murid mereka lari. Kerana kalau mereka tidak datang lagi belajar dengannya, tentu hilanglah pendapatan mereka. Apabila guru mengambil upah, mereka selalunya tidak mengajar dari Quran dan hadis. Maka umat tidak diberikan dengan ilmu agama yang sepatutnya. Hendaklah kita ingat bahawa menyampaikan ajaran agama adalah satu tanggungjawab, maka tidak boleh meminta upah dalam mengajar.

 

وَضَائِقٌ بِهِ صَدْرُكَ

serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya

Atau, sekurang-kurangnya Nabi rasa sempit dada apabila hendak menyampaikan ayat-ayat Quran yang berat itu. Kadangkala kita pun ada rasa susah untuk menyampaikan kebenaran kerana kita tahu bahawa orang yang mendengar itu susah hendak terima. Tapi kita kena sampaikan juga. Jangan simpan-simpan ilmu. Samada mereka terima atau tidak, itu bukan urusan kita.

Kadang-kadang orang bukan Islam bertanya kepada kita tentang perkara-perkara dalam Islam yang menyebabkan kita susah untuk menjawapnya. Sebagai contoh, mereka tanya kenapa Allah berikan kesusahan kepada manusia, kenapa agama lain tidak benar, kenapa ada hukum Hudud yang nampak keras dan sebagainya? Mereka tanya begitu dengan nada sinis terhadap Islam. Ini juga adalah soalan-soalan yang berat untuk dijawap. Kadang-kadang kita rasa berat nak jawap. Dalam keadaan macam ini, kita cuma disuruh memberitahu yang benar sahaja. Jangan kita rasa berat hati hendak memberitahu perkara yang benar. Janganlah kerana mereka tidak dapat terima, kita tak beritahu mereka, atau kita lembutkan pegangan kita. Jangan begitu. Jangan beritahu melainkan yang benar sahaja.

 

أَن يَقُولُوا لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ كَنزٌ

disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak),

Atau Nabi mungkin rasa berat kerana Musyrikin Mekah tanya kenapa Nabi tidak ada harta. Mereka mengejek Nabi Muhammad. Mereka kata kalau baginda itu adalah Nabi Allah, tentu dia akan jadi orang kaya. Itulah sangkaan buruk dan bodoh mereka. Itu sama macam mempersoalkan kenapa seorang doktor tidak boleh membawa jentolak. Itu tidak ada kena mengena. Tugas doktor tidaklah memerlukan kepandaian bawa jentolak. Samalah juga kalau mempersoalkan kenapa Nabi tidak kaya? Apa yang Nabi perlu lakukan adalah hanya menyampaikan mesej yang perlu dibawakan dan diberitahu kepada umat.

 

أَوْ جَاءَ مَعَهُ مَلَكٌ

ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat

Atau Nabi mungkin rasa berat kerana mereka mempersoalkan kenapa baginda tidak ditemani oleh malaikat. Mereka kata kenapa tiada malaikat yang mengiringinya, macam raja yang sentiasa diiringi? Bukankah kalau seorang raja itu, akan ada sahaja pengikut-pengikutnya? Jadi, soalan-soalan dan sindiran seperti ini menyesakkan hati baginda.

Tapi, kalau baginda ada malaikat yang mengikuti baginda, adakah mereka akan ikut baginda? Kalau begitu, mereka ikut Nabi Muhammad hanya kerana baginda ada malaikat. Dan itu adalah salah.

 

إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ

sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran;

Ini adalah tasliah dari Allah kepada Nabi. Nabi diingatkan bahawa baginda hanyalah pemberi amaran dan peringatan sahaja. Iaitu baginda ditugaskan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, kerana tugas kita semua adalah menyampaikan peringatan sahaja. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut apa yang kita kata. Kita hanya boleh sampaikan dan terpulang kepada mereka untuk mengikut.

 

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu

Yang menguruskan hal mereka hanyalah Allah sahaja. Kita tidak dapat memberi hidayah kepada mereka. Kerana kita tidak jaga hati manusia. Kita cuma boleh menyampaikan sahaja dakwah kepada mereka. Selebihnya, terpulang kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s