Tafsir Surah Hud Ayat 6 – 8 (Ilmu sempurna hanya pada Allah)

Ayat 6:

۞ وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ إِلّا عَلَى اللَّهِ رِزقُها وَيَعلَمُ مُستَقَرَّها وَمُستَودَعَها ۚ كُلٌّ في كِتابٍ مُبينٍ

Sahih International

And there is no creature on earth but that upon Allah is its provision, and He knows its place of dwelling and place of storage. All is in a clear register.

Malay

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata.

 

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ

Dan tiadalah dari binatang-binatang yang bergerak di bumi

Allah bukan sahaja menguruskan manusia, tetapi Allah menguruskan semua makhluk yang hidup dan bergerak di alam ini. Perkataan دَابَّةٍ bermaksud ‘yang bergerak’. Samada melata di bumi ataupun terbang di langit. Dari sekecil-kecil bakteria hingga kepada sebesar-besar makhluk ciptaanNya. Bilangannya pun kita tidak tahu.

 

إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا

melainkan Allah jualah yang memberi rezeki mereka;

Bayangkan, semua makhluk yang entah berapa banyak, entah berapa jenis itu, semuanya Allah yang berikan rezeki kepada mereka. Ke mana sahaja binatang itu pergi, makanannya telah ada disitu. Makanan itu telah menunggunya di situ. Begitu juga manusia, pagi makan di kedai itu dan petang di kedai lain pula. Semuanya telah ditetapkan.

Ada hadis yang menceritakan bagaimana ulat dalam batu pun Allah beri makan. Sahabat hairan dan bertanya bagaimana ulat dalam batu pun boleh dapat makanan. Maka, Nabi tunjukkan. Satu batu dipecahkan, di dalamnya ada batu lagi, ada batu lagi dan di dalamnya ada ulat dan di mulut ulat itu ada daun.

Kenapa sebut tentang rezeki pula dalam ayat ini? Allah nak beritahu bahawa tak payah tunggu pun hari pembalasan untuk Allah beri azab kepada mereka yang menolak ajakan dakwah. Kerana Allah yang memberi rezeki, dan kalau Allah menahan rezekiNya dari sampai kepada mereka, mereka dah dapat seksa di dunia lagi dah. Janganlah mereka nak sombong dengan Allah, padahal segala rezeki yang mereka ada dan mereka dapat makan, pakai dan segalanya diberi oleh Allah.

Maka, janganlah sombong dengan Allah. Allah boleh tahan rezeki yang diberinya itu dengan tiba-tiba sahaja. Siapa lagi yang boleh beri rezeki kepada kita kalau Allah dah tahan?

Ia juga hendak menceritakan kekuasaan Allah, bagaimana Allah itu maha berkuasa dan kita amat berharap kepada Allah. Tidak ada yang selain Allah yang boleh beri rezeki kepada makhluk.

 

وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا

dan Dia mengetahui tempat tinggalnya

Allah Maha Tahu di manakah tempat kediaman, tempat bermastautin semua makhlukNya, termasuklah kita. Perkataan مُسْتَقَرَّهَا diambil dari katadasar قرر yang bermaksud ‘sejuk’ atau ‘tidak bergerak’. Selalunya, kita boleh lihat bagaimana apabila sesuatu benda itu sejuk, maka ianya tidak bergerak. Macam kalau kita lihat salji, ianya tidak bergerak ke mana-mana pun. Jadi perkataan مُسْتَقَرَّ bermaksud tempat tinggal, tempat bermastautin yang tetap. Iaitu tempat yang kita tinggal lama. Kalau manusia, bermaksud rumahnya. Allah tahu di mana kita tinggal, walaupun kita hendak menyorok macam mana pun.

 

وَمُسْتَوْدَعَهَا

dan tempat ia disimpan.

Ini pula bermaksud tempat tinggal yang sekejap sahaja. Kadang-kadang kita pergi ke merata tempat, tapi kita akan pulang juga ke tempat tinggal kita yang tetap, ke kampung halaman kita. Allah tahu segala-galanya. Allah tahu di mana kita berada pada setiap ketika, tidak kira untuk masa yang lama ataupun sekejap sahaja.

Perkataan مُسْتَوْدَعَ dari katadasar وضع yang bermaksud ‘meninggalkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila kita meninggalkan sesuatu barang dengan seseorang untuk disimpan sebagai amanah. Oleh itu, مُسْتَوْدَعَ bermaksud tempat barang-barang yang di amanahkan itu ditinggalkan. Sebagai contoh, bank untuk ke kita tinggalkan emas kita atau locker tempat kita tinggalkan baju-baju kita kalau kita pergi gym. Barang-barang itu bukan ditinggalkan lama di situ tetapi untuk waktu sementara sahaja.

Allah tahu di mana sahaja kita tinggal sebelum kita berpindah-randah. Bukan sahaja kita, tetapi segala makhluk-makhlukNya yang kecil ataupun besar. Kalau kita jenis orang yang berpindah-randah pun, tentu kita lupa di mana kita tinggal dahulu tetapi Allah tahu. Tempat tempat dan tempat kita pernah singgah di dalam hidup kita pun kita tidak ingat, tetapi Allah tahu kemana-mana sahaja tempat yang kita pernah pergi.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa مُسْتَوْدَعَ bermaksud ‘kubur’. Kerana kita akan tinggal sekejap sahaja di dalam kubur itu.

 

كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata.

Ayat ini mengingatkan kepada kita tentang ilmu Allah yang maha luas. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Musyrikin Mekah cuba menyembunyikan apa yang ada di dalam hati mereka daripada diketahui Allah. Mana mungkin mereka boleh menyembunyikannya sedangkan Allah tahu segala-galanya.


 

Ayat 7: Allah menceritakan kenapa kita dijadikan.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ وَكانَ عَرشُهُ عَلَى الماءِ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِن قُلتَ إِنَّكُم مَبعوثونَ مِن بَعدِ المَوتِ لَيَقولَنَّ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُبينٌ

Sahih International

And it is He who created the heavens and the earth in six days – and His Throne had been upon water – that He might test you as to which of you is best in deed. But if you say, “Indeed, you are resurrected after death,” those who disbelieve will surely say, “This is not but obvious magic.”

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang nyata (tipuannya)”.

 

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi

Allah mengingatkan kita yang Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi ini. Maka, kalau begitu, hendaklah kita hanya menyembahNya sahaja. Jangan sembah dan buat ibadat kepada entiti-entiti yang tidak mampu hendak mencipta apa-apa pun. Kalau tak mahu sembah hanya Allah, maka carilah dunia yang lain untuk tinggal.

 

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

Dalam enam masa;

Tidak boleh dikatakan dalam enam ‘hari’, kerana hari berkait dengan waktu dunia. Bukankah kita mengira ‘hari’ itu dengan menggunakan matahari, sedangkan semasa Allah jadikan alam ini, matahari tidak ada lagi? Tapi bilangan berapa lama ‘masa’ itu kita tidak tahu dan ini termasuk dalam perkara ghaib yang kita tidak akan dapat tahu.

 

وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

sedang “ArasyNya, berada di atas air;

Waktu Allah ciptakan dunia, Arash Allah itu berada di atas air. Bagaimana keadaannya pun kita tidak tahu. Yang pasti, ianya bukan air yang di dunia. Kerana itu tidak mungkin kerana Arash itu sendiri merangkumi seluruh alam ini dan bukan hanya bumi sahaja. Ini adalah perkara yang akal kita tidak akan mampu untuk mengetahuinya.  Tidak perlu difikirkan dengan panjang lebar kerana ini adalah perkara diluar jangkauan akal fikiran kita untuk memahaminya.

Perkara ini ada sedikit di sebut dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim seperti berikut:

قَالُوا: جِئْنَاكَ نَسْأَلُكَ عَنْ أَوَّلِ هَذَا الْأَمْرِ فَقَالَ: “كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ -وَفِي رِوَايَةٍ: غَيْرُهُ -وَفِي رِوَايَةٍ: مَعَهُ -وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ، وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَيْءٍ، ثُمَّ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ”.

Bahawa mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, kami datang kepadamu untuk menanyakan tentang kisah kejadian ini pada awalnya.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Allah telah ada, dan tiada sesuatu pun sebelum-Nya —menurut riwayat lain disebutkan tiada sesuatu pun selain-Nya, dan menurut riwayat yang lainnya lagi disebutkan tiada sesuatu pun bersama­Nya— dan ‘Arasy-Nya berada di atas air, lalu Allah menulis segala sesuatu di Lauh Mahfuz kemudian menciptakan langit dan bumi.

 

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;

Allah memberitahu tujuan kenapa Dia buat langit bumi: untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian itu besar, maka perkara yang hendak diuji itu adalah besar juga. Untuk uji kita, Allah jadikan khas bumi dan dunia ini seluruhnya. Ujian bulanan tidak sama dengan Peperiksaan PMR contohnya. Lihatlah bagaimana Allah jadikan dunia ini dengan segala kehebatannya. Kerana ujian yang akan diberikan kepada kita juga adalah besar juga. Kenangkan bahawa segala dunia yang besar ini adalah untuk kita. Memang kita kecil kalau dibandingkan dengan alam ini. Tapi alam ini untuk kita dan sebab kita sebenarnya. Maknanya, fokus penciptaan alam ini bukanlah alam itu, tetapi kita. Allah berfirman dalam ayat yang lain:

{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ}

Maka apakah kalian mengira bahawa Kami menciptakan kalian secara main-main (saja), dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Mahatinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (Al-Mu’minun: 115-116)

Dalam ayat ini, Allah kata Dia hendak menguji hambaNya, siapakah yang ‘lebih baik amalnya’. Bukan ‘lebih banyak amalnya’. Oleh kerana itu, kita kena faham apakah amal yang baik itu. Amal yang baik itu adalah amal yang ikhlas kerana Allah. Bukannya untuk ditunjuk kepada orang lain, bukan kerana hendak mendapatkan sesuatu perkara, tapi kerana ianya semata-mata kerana Allah. Dan amal itu kenalah amal yang soleh, yang ikut sunnah Nabi. Dan amal itu dilakukan dengan sebaik mungkin. Kerana semua orang solat, tapi tidaklah sama solat antara seorang dengan seorang yang lain. Allah nak kita buat amalan dengan sebaik mungkin.

Dan bukan itu sahaja, amal itu kenalah bertepatan dengan amalan yang diajar oleh Nabi. Bukan amalan ibadat yang bidaah. Amalan bidaah itu tidak ada harga, walaupun banyak mana dilakukan. Walaupun mereka yang melakukannya ikhlas kerana Allah. Berapa banyak kita dengar hujah pengamal bidaah yang berkata: “tidak mengapa, asalkan kita buat amalan itu ikhlas kerana Allah, Allah akan terima.” Itu adalah hujah yang batil. Hujah ikut sedap hati sendiri sahaja. Banyak hujah yang ada dalam Quran dan hadis yang menolak hujah itu. Dalam setiap amalan kita, bukan hanya perlu ada ikhlas, tapi perlu ikut apa yang Nabi ajar. Dua-dua elemen itu kena ada barulah dikira sebagai ‘amalan yang baik’ seperti yang disebut dalam ayat ini.

 

وَلَئِن قُلْتَ إِنَّكُم مَّبْعُوثُونَ مِن بَعْدِ الْمَوْتِ

(Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati”;

Ini adalah Ayat Syikayah. Sekiranya Nabi berkata yang mereka akan dibangkitkan di hari kiamat nanti dan beritahu kepada orang kafir, mereka tidak dapat terima.

Yang menerima berita ini dari Nabi Muhammad adalah penduduk Mekah. Mereka bukan tidak kenal Allah. Mereka tahu bahawa alam ini dijadikan oleh Allah dan mereka kenal Allah itu sebagai Tuhan. Ini telah disebut dalam ayat Zukhruf:87. Bermakna, mereka terima Allah yang menjadikan alam ini, Allah juga Tuhan, tapi mereka tidak boleh terima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Padahal, antara menjadikan dan menghidupkan kembali, tentulah menjadikan sesuatu dari tiada kepada ada, lagi susah. Jadi senang sahaja kalau Allah nak jadikan balik alam ini semula untuk membangkitkan makhlukNya:

{وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ}

Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah. (Ar-Rum: 27)

Tapi begitulah kalau fikiran telah jadi syirik, mereka tidak dapat terima ajakan dakwah yang mudah pun.

 

لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “

Ada sahaja jawapan yang mereka akan berikan untuk menolak kebenaran. Allah dah beritahu apakah yang mereka akan katakan. Sebelum mereka kata lagi. Apakah kata mereka?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)”.

Mereka kata apa yang Nabi Muhammad katakan itu adalah ‘sihir’ sahaja kerana mereka nak kata bahawa Nabi menipu. Kerana mereka sudah tahu bahawa sihir itu adalah tipuan sahaja. Macam kita lihat pertunjukan Silap Mata (magik) di pentas, kita tahu yang ianya tidak benar. Takkanlah benar-benar seorang perempuan dipotong badannya, bukan? Itu adalah penipuan. Begitulah mereka hendak katakan tentang berita-berita yang disampaikan oleh Nabi Muhammad – tipu semata-mata.

Ayat ini bermaksud, mereka menolak apa yang Nabi katakan. Mereka tidak dapat terima bahawa mereka akan dibangkitkan semula apabila dimatikan nanti. Mereka tidak percaya kepada akhirat, kepada kebangkitan semula.


 

Ayat 8: Bukan itu sahaja, mereka menjadi bongkak dan mencabar Allah!

وَلَئِن أَخَّرنا عَنهُمُ العَذابَ إِلىٰ أُمَّةٍ مَعدودَةٍ لَيَقولُنَّ ما يَحبِسُهُ ۗ أَلا يَومَ يَأتيهِم لَيسَ مَصروفًا عَنهُم وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And if We hold back from them the punishment for a limited time, they will surely say, “What detains it?” Unquestionably, on the Day it comes to them, it will not be averted from them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?” Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

 

وَلَئِنْ أَخَّرْنَا عَنْهُمُ الْعَذَابَ

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka

Allah telah beri berbagai-bagai ancaman tentang azab, tapi Allah tak terus turunkan azab itu. Ini adalah kerana Allah hendak memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Kerana ramai dari Musyrikin Mekah itu yang mulanya menentang Nabi Muhammad, tapi akhirnya mereka telah bertaubat dan masuk Islam seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan ramai lagi. Kalaulah Allah terus matikan mereka semasa mereka mula menentang Nabi, tentu mereka tidak ada peluang untuk bertaubat. Begitulah, kita kena bersyukur yang Allah tidak terus beri azab kepada kita setiap kali kita buat salah, buat syirik. Kalau tidak, sudah lama dah kita kena azab dari dulu lagi. Kerana dulu kita tidak tahu apa itu tauhid, apa itu syirik dan banyak kesalahan yang kita telah lakukan. Kalau dulu Allah telah beri azab kepada kita, bagaimana?

 

إِلَىٰ أُمَّةٍ مَّعْدُودَةٍ

hingga ke suatu masa yang tertentu,

أُمَّةٍ dalam ayat ini bermaksud ‘jangkamasa’. Bukan dari pemahaman ‘ummat’ seperti yang kita faham selalunya. Perkataan itu diambil dari kata dasar أم yang bermaksud ‘ibu’. Kalau kita lihat seorang wanita yang sedang mengandung, kita akan tahu bahawa masanya untuk bersalin telah ditetapkan. Begitu juga dunia dan alam ini telah ada masa yang ditetapkan oleh Allah akan hancur. Tunggu masanya untuk sampai sahaja. Allah lengahkan, tapi ianya tetap akan terjadi.

 

لَّيَقُولُنَّ مَا يَحْبِسُهُ

tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?”

Apabila mereka engkar kepada Tuhan tapi mereka tidak dikenakan azab, mereka akan mengejek kenapa mereka tak kena azab lagi? Berlagak sungguh mereka kerana mereka tidak dikenakan dengan azab. Mereka meminta azab disegerakan kepada mereka dengan cara mengejek. Mereka kata: kenapa tak kena azab lagi ni? Kami dah lama dah derhaka dah ni… kenapa azab tak dapat jumpa kami kah?

 

أَلَا يَوْمَ يَأْتِيهِمْ

Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka,

Azab itu pasti akan sampai kepada mereka. Mereka cuma tunggu sahaja.

 

لَيْسَ مَصْرُوفًا عَنْهُمْ

tidak akan dapat dielak daripada menimpa mereka,

Mereka tidak akan dapat nak elak azab itu apabila ianya sampai kepada mereka nanti. Mereka sangka yang azab itu lemah sampaikan boleh ditahan-tahan. Tidak, tidak begitu. Azab itu adalah amat besar dan kuat sekali sampaikan ianya akan meliputi mereka. Waktu itu mereka tak dapat nak elak lagi.

 

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Apabila manusia tidak mahu terima sesuatu perkara itu, mereka akan mengejeknya. Perkataan يَسْتَهْزِئُونَ khusus digunakan untuk mengejek perkata yang tidak terjadi lagi. Perkataan حَاقَ pula bermaksud sesuatu yang jatuh ke atas sesuatu dan menyeliputi. Bayangkan kalau jala yang jatuh ke atas kita, dan kemudian menyeliputi kita. Ianya mesti sesuatu yang jatuh dari atas, memberi isyarat bahawa ianya adalah kuat.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 011: Hud. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s