Tafsir Surah Jathiya Ayat 33 – 37 (Sombong untuk belajar tafsir)

Ayat 33: Sambungan Takhwif Ukhrawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Bila mereka tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Kiamat, mereka tidak takut melakukan dosa. Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Kiamat itu nanti?

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And the evil consequences of what they did will appear to them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.

Malay

Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا

Dan ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Dosa-dosa yang mereka telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka. Dosa-dosa itu akan menjelma dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka. Dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi neraka. Masa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa. Tapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya kita nanti!

 

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

Dulu merek ejek-ejek tak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Dan azab itu akan meliputi mereka, sampai mereka tidak boleh lari lagi! Ma sha Allah!

Dulu mereka tak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, mereka jadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”. Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.


 

Ayat 34: Sambungan takhwif ukhrawi.

وَقيلَ اليَومَ نَنساكُم كَما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا وَمَأواكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِن ناصِرينَ

Sahih International

And it will be said, “Today We will forget you as you forgot the meeting of this Day of yours, and your refuge is the Fire, and for you there are no helpers.

Malay

Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنسَاكُمْ

Dan dikatakan: “Pada hari ini Kami lupakan kamu

Inilah kata-kata Allah kepada mereka yang berdosa itu. Allah kata yang Dia ‘lupakan’ mereka. Iaitu bermaksud Allah tidak hiraukan mereka yang menderita di dalam azab seksa. Allah ‘lupa’ nak masukkan mereka ke dalam syurga. Inilah bahasa kiasan yang Allah gunakan. Kerana bukanlah Allah pelupa, takkan Allah boleh lupa. Meraung meronta macam mana pun, Allah buat tak kisah sahaja.

 

كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

sebagaimana kamu lupakan persediaan untuk menemui hari kamu ini;

Sebab dulu mereka buat tak kisah kepada Hari Kiamat. Mereka tak bersedia pun menghadapi hari itu. Mereka tak takut pun kerana mereka tidak percaya. Mereka leka dengan keindahan dan kesenangan di dunia sampai mereka tidak beramal dengan amalan yang soleh. Mereka sibuk ke sana dan ke sini sampai mereka tidak luangkan masa mereka untuk belajar agama dengan benar.

 

وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ

dan tempat kamu ialah neraka,

‘Makwa’ adalah tempat tinggal yang kekal sampai bila-bila. Kekal mereka di dalamnya, bergantung kepada dosa yang mereka telah lakukan. Kalau dosa syirik, mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari Neraka itu. Kalau mereka beriman, tapi ada melakukan dosa, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk waktu yang tertentu – tidak tahu berapa lama.

 

وَمَا لَكُم مِّن نَّاصِرِينَ

dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

Selalunya dalam dunia, ada sahaja sesiapa yang boleh tolong kita; keluarga kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Tapi tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka di Neraka itu.


 

Ayat 35: Kenapa mereka mendapat balasan seteruk itu?

ذٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذتُم آياتِ اللَّهِ هُزُوًا وَغَرَّتكُمُ الحَياةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ لا يُخرَجونَ مِنها وَلا هُم يُستَعتَبونَ

Sahih International

That is because you took the verses of Allah in ridicule, and worldly life deluded you.” So that Day they will not be removed from it, nor will they be asked to appease [ Allah ].

Malay

“(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا

“Yang demikian ini ialah kerana kamu telah mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejek-ejekan,

Macam-macam cara mereka mengejek ayat-ayat Allah itu. Mereka ambil kisah-kisah yang pada mereka tidak masuk akal, dan mereka kutuk ayat-ayat itu. Mereka kata kenapalah orang-orang Islam bodoh sangat sampai percaya.

Bukan orang bukan Islam sahaja yang mengejek ayat-ayat Allah sebagai ejekan, yang orang Islam pun begitu juga. Apabila mereka tidak belajar, dan kita katakan ayat ini membawa maksud yang tertentu, mereka kata kita yang salah, mereka buat ejek-ejekan pula. Atau mereka kata kepada mereka yang berdakwah dengan menggunakan ayat Quran: “Tak habis-habis dengan Quran, tidak ada benda lain lagi kah?”.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak belajar langsung? Apabila kita ajak mereka belajar Tafsir Quran, mereka kata tak perlu belajar, sebab mereka dah faham Quran; Quran ada dalam dada mereka; dan macam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Ingatlah, tak belajar Tafsir Quran pun sudah dikira main-main. Sebab tidak menghiraukan ayat Allah. Mereka merendahkan kepentingan memahami Quran.

 

وَغَرَّتْكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

dan kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

Disibukkan dengan keinginan kepada dunia. Sibuk macam-macam hal – kerja, persatuan, anak dan isteri, rukun tetangga dan sebagainya. Nak belajar pun susah. Kalau diajak, ada sahaja masalah mereka – tak senang, anak sakit, anak nak kena hantar ke tuisyen dan macam-macam lagi.

Mereka terpesona dengan segala keindahan dunia. Mereka nak buat itu dan ini. Nak pergi main golf, nak pergi jalan-jalan ke tempat perlancongan, nak pergi gym dan sebagainya.

Mereka juga nak itu dan ini – keindahan dan kegemerlapan dunia. Barang kemas, jam yang cantik, kereta yang cantik, rumah yang cantik, isteri yang cantik dan macam-macam lagi. Jadi, untuk mendapatkan semua itu, mereka kena kerja keras, kena berniaga dengan tekun. Kerja dan berniaga tidaklah salah. Tapi kalau sampai ianya menyebabkan lupa kepada agama, sibuk sangat sampai tidak belajar, maka itulah yang jadi salahnya. Kerana apabila tidak belajar, maka mereka jadi jahil dan apabila jahil, ada benda salah yang mereka lakukan. Syaitan pun senang nak tipu mereka.

Ingatlah bahawa agama ini kena nombor 1. Ianya kena di atas. Bukanlah belajar agama ini kalau ‘ada masa lapang’, ‘bila senang’, ‘bila tidak ada apa-apa nak buat’, bukan. Kena cari masa untuk belajar agama. Kena tinggalkan perkara lain kalau terpaksa. Janganlah sampai hendakkan dunia sangat sampaikan lupa tentang agama. Kerana kalau untuk belajar, kena tunggu bila masa percuma, tidak akan ada, kerana kita akan disibukkan sentiasa dengan masalah dunia.

 

فَالْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا

Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka,

Kalau mereka telah melakukan syirik atau ada fahaman syirik, mereka akan tinggal selama lamanya di dalam neraka. Tidak akan ada peluang untuk keluar.

 

وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ

dan mereka tidak diberi peluang untuk menyelamatkan diri.

يُسْتَعْتَبُونَ adalah apabila seseorang mengurangkan marah orang lain dengan meminta maaf, minta ampun, bertaubat, minta tolong. Di akhirat kelak, mereka tidak dibenarkan minta maaf pun. Seperti disebut dalam Zukhruf:77

وَنَادَوْا يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

Apa sahaja yang mereka minta di Neraka nanti tidak akan dilayan.


 

Ayat 36: Dalil Aqli. Siapakah Allah? Allah memberitahu sifat-sifatNya dalam ayat ini.

فَلِلَّهِ الحَمدُ رَبِّ السَّماواتِ وَرَبِّ الأَرضِ رَبِّ العالَمينَ

Sahih International

Then, to Allah belongs [all] praise – Lord of the heavens and Lord of the earth, Lord of the worlds.

Malay

(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.

فَلِلَّهِ الْحَمْدُ

maka hanya bagi Allah jualah segala pujian dan penghargaan,

Segala pujian itu milik Allah. Satu puji, dua puji dan segala puji. Perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam perbahasan Surah Fatihah.

Tetapi, ada sedikit perbezaan dalam penggunaan kata alhamdu dalam Surah Fatihah dan surah ini. Dalam Fatihah tidak disebut ‘hanya’ Allah sahaja yang terpuji. Kenapa ada penambahan dalam ayat ini? Sebab ada manusia yang menyembah selain dari Allah. Allah menekannya bahawa itu tidak boleh, yang sepatutnya kita lakukan adalah *hanya* sembah Allah sahaja. Allah tekankan dalam ayat ini kerana ada jenis manusia yang menyembah dan memuja juga kepada selain Allah. Jadi Allah memperbetulkan pemahaman mereka. Tetapi, di dalam Surah Fatihah, itu adalah pemberitahuan tentang sifat Allah sahaja dan bukannya untuk menidakkan salah faham golongan-golongan yang musyrik.

 

رَبِّ السَّمَاوَاتِ

Tuhan yang mentadbirkan langit,

Allah lah yang menjadikan dan mentadbir langit itu. Bukan sahaja Allah menjadikan langit itu dari tiada kepada ada, tapi selepas Allah jadikan, Allah mentadbir langit itu.

 

وَرَبِّ الْأَرْضِ

dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, –

Allah lah yang menjadikan dan mentadbir bumi ini. Bukan sahaja Allah menjadikan bumi ini dari tiada kepada ada, tapi selepas Allah jadikan, Allah mentadbir bumi ini.

 

رَبِّ الْعَالَمِينَ

Tuhan sekalian alam.

Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi seluruh alam. Allah sebutkan langit dan bumi dahulu kerana itulah yang kita tahu dan kita nampak. Ada lagi alam lain yang kita tidak nampak dan kita tidak tahu.

Inilah juga kata-kata yang terdapat dalam Surah Fatihah juga. Terdapat persamaan dan perbezaan.


 

Ayat 37: Kerana Allah sahaja yang ada sifat sebegitu, maka hendaklah kita sembah dan seru doa kepada Allah sahaja.

وَلَهُ الكِبرِياءُ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

And to Him belongs [all] grandeur within the heavens and the earth, and He is the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَلَهُ الْكِبْرِيَاءُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dan bagiNyalah kebesaran di langit dan di bumi;

Kehebatan dan kekuasaan hanya milik Allah. Allah menekankan dalam ayat ini kerana ada manusia yang sombong. Allah nak kata, apalah yang hendak disombongkan sangat, padahal mereka itu bukan besar mana pun. Allah yang paling besar dan tidak ada yang lebih besar dari Allah.

Maka oleh kerana Dia lah yang paling besar, maka kepadaNya sahajalah kita sembah dan seru dalam doa. Jangan sembah dan buat ibadat kepada selain Allah. Jangan doa kepada yang selain Allah. Jangan gunakan entiti mana-mana sebagai wasilah dalam amalan tawasul.

 

وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Allah boleh hukum hambaNya bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.

Tetapi, walaupun Allah Maha Berkuasa, Allah mentadbir alam ini dengan SifatNya yang Maha Bijaksana. Walaupun Allah boleh seksa dan azab makhlukNya bila-bila masa, tapi dengan kebijaksanaanNya, Dia tanggungkah seksaan itu sehingga ke waktu yang tertentu. Ini memberi peluang kepada kita untuk bertaubat. Tidaklah kita terus diberi balasan azab setiap kali kita melakukan dosa.

Maulana Hadi Al Jathiah 27-37

Allahu a’lam. Sekian terjemah Surah Jathiya ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ahqaf.


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 045: Jathiya. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s