Tafsir Surah Jathiya Ayat 14 – 17 (Perpecahan terjadi setelah ada ilmu)

Ayat 14: Takhwif.

قُل لِلَّذينَ آمَنوا يَغفِروا لِلَّذينَ لا يَرجونَ أَيّامَ اللَّهِ لِيَجزِيَ قَومًا بِما كانوا يَكسِبونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], to those who have believed that they [should] forgive those who expect not the days of Allah so that He may recompense a people for what they used to earn.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

قُل لِّلَّذِينَ آمَنُوا

Katakanlah kepada orang-orang yang beriman:

Nabi Muhammad diperintah oleh Allah untuk memberikan peringatan ini kepada orang-orang yang beriman. Maka, kalau kita rasa kita orang yang beriman, maka kita kena ambil tahu tentang ayat ini:

 

يَغْفِرُوا لِلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ أَيَّامَ اللَّهِ

hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak berharap kepada hari-hari Allah;

Ini adalah perintah supaya jangan hiraukan mereka. Mereka itu tidak percaya kepada ‘Hari-Hari Allah’. ‘Hari-hari Allah’ itu boleh diterjemahkan sebagai Hari Akhirat. Jangan hiraukan mereka yang tidak takut kepada Akhirat. Kita dah beri peringatan kepada mereka, tapi mereka tak mahu juga mendengar, biarkan sahaja mereka itu.

‘Hari-hari Allah’ juga boleh merujuk kepada kejadian-kejadian azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu yang engkar. Iaitu azab-azab yang boleh Allah kenakan semasa di dunia – samada dalam bentuk bencara alam atau azab yang Allah turunkan dari langit untuk mereka. Ada golongan yang tidak langsung mahu mengambil pengajaran dari kejadian-kejadian itu. Mereka tahu, tapi mereka tak mahu ambil tahu. Mereka sangka mereka tidak akan kena dengan azab-azab sebegitu. Mereka jadi begitu kerana mereka jahil dan tidak tahu. Maka maafkanlah mereka.

Kenapa kita nak kena diingatkan supaya maafkan mereka atau jangan hiraukan mereka? Sebab mereka akan buat salah dengan kita. Mereka tidak hiraukan dakwah kita. Kadang-kadang ada yang menggunakan kata-kata kesat kepada kita dan menyakitkan kita. Tidak kurang juga ada yang menentang kita dengan teruk sekali. Mereka kata kita macam-macam – kita sesat, kita Wahabi dan sebagainya. Allah suruh kita maafkan sahaja mereka yang sebegitu. Allah suruh kita jangan hiraukan apa yang mereka kata itu. Tapi bukanlah buat tidak tahu sahaja – maksudnya kita teruskan sahaja dakwah dan ajak mereka kepada Allah. Jangan hiraukan sangat apa kata-kata mereka itu.

 

لِيَجْزِيَ قَوْمًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Kita tak perlu balas perbuatan huduh mereka itu kepada kita kerana Allah sendiri yang akan balas kepada mereka. Ianya pasti akan berlaku, tak payah kita sibuk-sibuk.

Maksud قَوْمًا pertamanya adalah merujuk kepada kaum yang mengejek-ngejek ayat-ayat Allah. Mereka tidak mengendahkan ‘Hari-hari Allah’. Kita tak perlu balas dendam dengan mereka. Kita serahkan kepada Allah untuk balas bagi pihak kita. Ianya pasti akan berlaku.

Apa-apa kesalahan dan kata-kata engkar mereka akan bertambah-tambah banyak dan semuanya akan dibalas dengan azab kepada mereka. Allah biarkan mereka buat banyak-banyak dosa lagi supaya balasan seksa kepada mereka akan jadi lebih banyak lagi.

Kenapa serahkan kepada Allah? Kerana kalau kita sendiri nak balas kepada mereka pun kita tak mampu. Kita lemah sangat dan tidak mampu nak buat apa sebenarnya. Macam juga Muslim di Mekah dahulu. Mereka langsung tidak ada kekuatan untuk membalas segala salahlaku yang dikenakan kepada mereka. Begitu juga kita yang lemah ini yang hanya boleh menyampaikan sahaja dakwah kepada mereka, tapi tidak boleh paksa mereka. Dan kalau mereka lawan dan buat tidak patut dengan kita, bukan kita boleh buat apa pun. Tapi kalau Allah yang balas, tentunya Allah akan beri balasan yang setimpal. Yang akan memuaskan hati kita di akhirat kelak.

Kalau kita maafkan mereka, kita sudah tidak perlu nak memikirkan hal mereka lagi. Kita tak perlu simpan perasaan marah dan dendam itu dalam diri kita. Kerana kalau simpan dalam diri kita, ia akan menyakitkan kita sahaja. Nanti tidak boleh tidur malam pula, tidak lalu nak makan pula.

Bukanlah ini bermaksud kita tidak marah. Memang kita kena marah dan benci apa yang mereka lakukan. Tapi kita tak perlu angkat tangan dan mulut untuk mengenakan balasan kepada mereka.

Maksud kedua قَوْمًا itu adalah merujuk kepada ‘orang-orang yang beriman’. Apabila orang yang beriman itu sabar dengan apa yang dikenakan kepada mereka dalam bentuk sendaan, ejekan, kutukan atau apa-apa sahaja kesakitan yang dikenakan kepada kita, Allah akan balas dengan pahala yang setimpal malah lebih lagi. Itulah yang lebih baik lagi – apabila kita tahu yang kita akan dibalas dengan segala kesusahan yang kita terima kerana menyampaikan agama ini, maka kita akan rasa lega sikit. Barulah kita rasa berbaloi apa yang kita lakukan. Barulah penentangan mereka kepada kita itu akan rasa berkurangan sedikit.


 

Ayat 15: Ayat idkhal ilahi – pencelahan dari Allah. Ada sesuatu yang Allah hendak beritahu.

مَن عَمِلَ صالِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۖ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّكُم تُرجَعونَ

Sahih International

Whoever does a good deed – it is for himself; and whoever does evil – it is against the self. Then to your Lord you will be returned.

Malay

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri;

Kalau kita hendak kebaikan, hendak pahala, maka kita kena buat sendiri. Jangan harap kepada orang lain. Oleh itu, ayat ini jelas mengatakan bahawa tiada pahala sedekah. Tiada konsep ‘hadiah pahala’.

Lalu, bacaan pada Majlis Tahlil dan sedekah Fatihan kepada orang lain itu adalah satu amalan yang salah dan sia-sia sahaja. Ianya tidak pernah diajar dan berlawanan dengan ayat-ayat Quran. Itu semua adalah adalah amalan bidaah. Banyak lagi ayat-ayat Quran yang membawa maksud yang sama.

Malangnya, amat ramai dalam kalangan masyarakat Islam kita yang tidak faham tentang perkara ini. Maka, berbagai amalan dilakukan untuk menghadiah pahala kepada simati dari kalangan keluarga mereka. Niat mereka baik dan mungkin ikhlas, tapi kalau ianya bukan dari ajaran Islam, ianya tetap juga salah. Ingat kembali maksud surah ini adalah tentang ‘syariat’. Kalau ianya tidak ada dalam syariat, ianya bukanlah perkara yang baik dalam agama. Yang mengatakan ianya ‘baik’ itu, itu hanyalah sangkaan mereka.

 

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri;

Maksudnya kita jangan risau dengan perbuatan mereka yang engkar itu. Mereka telah melakukan dosa dan mereka akan dikenakan dengan balasan.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa kita sendiri yang kena tanggung dosa yang kita lakukan. Tidak boleh nak diberikan dosa kita kepada orang lain sebagaimana juga tidak boleh memberikan pahala kita kepada orang lain.

Ianya juga mengingatkan kita bahawa segala perbuatan buruk dan dosa kita, akan ada kesannya kepada kita, samada di dunia ini lagi atau di akhirat kelak. Maka, tinggalkanlah amalan yang buruk dan dosa itu.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

Ingatlah bahawa kita semua akan mati dan akan bertemu dengan Allah. Waktu itu kita akan dihisab dan akan dibalas dengan perbuatan kita semasa di dunia. Kalau baik, dibalas baik. Kalau buat amalan bidaah seperti yang disebut sebelum ini, kita akan dikenakan dengan dosa.

Waktu bertemu dengan Allah, agaknya bagaimana kita hendak jawap kepada Allah tentang amalan-amalan bidaah yang kita lakukan tanpa ada dalil yang jelas? Kalau Allah tanya kepada kita: “Kenapa buat Majlis Tahlil, kenapa buat Solat Hajat, kenapa buat Doa Selamat” dan sebagainya, apa yang kita nak jawap?


 

Ayat 16: Ini adalah Dalil Naqli. Allah sebut tentang Bani Israil pula. Bani Israil dijadikan sebagai contoh umat yang salah supaya kita jangan ikut mereka. Mereka itu adalah kaum yang tidak mengikut jalan yang benar.

وَلَقَد آتَينا بَني إِسرائيلَ الكِتابَ وَالحُكمَ وَالنُّبُوَّةَ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلَى العالَمينَ

Sahih International

And We did certainly give the Children of Israel the Scripture and judgement and prophethood, and We provided them with good things and preferred them over the worlds.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.

وَلَقَدْ آتَيْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ الْكِتَابَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil, Kitab,

Kitab yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Sepertimana kita diberikan dengan Quran, Bani Israil pun dapat Kitab juga.

 

وَالْحُكْمَ

dan kehakiman

Ada dua maksud potongan ayat ini:

  1. Mereka telah diberikan syariat yang perlu diikuti dalam bentuk hukum-hukum.
  2. Mereka diberikan dengan kedudukan dan pemerintahan dalam dunia.

 

وَالنُّبُوَّةَ

serta pangkat kenabian;

Ramai Nabi dan Rasul telah dibangunkan dari golongan mereka. Mereka sentiasa sahaja ada rasul yang memberikan pengajaran dan dakwah kepada mereka.

Nabi dan Rasul-rasul itu bukan datang dengan tangan kosong tapi mereka bawa dalil dan bukti.

 

وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ

dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik,

Bukan hal agama sahaja mereka dapat tapi mereka dapat kelebihan dunia juga. Mereka telah diberikan dengan kekayaan, kebijaksaan dan macam-macam lagi. Sampai sekarang, mereka adalah orang yang kaya raya.

 

وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ

serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang.

Pada zaman sebelum Nabi Muhammad, merekalah yang paling tinggi sekali kemuliaan mereka kerana mereka ada agama. Orang lain akan rujuk kepada mereka tentang perkara agama. Tapi, sekarang kedudukan itu telah diberikan kepada Umat Nabi Muhammad. Maknanya, waktu itu mereka dalam kedudukan yang tinggi, lebih dari orang-orang lain yang tidak ada wahyu. Tapi selepas mereka menolak kenabian Nabi Muhammad, kedudukan mereka telah ditarik balik.

Lihatlah bagaimana Allah telah muliakan mereka dengan diberikan mereka dengan berbagai-bagai kelebihan. Termasuk dalam perkara agama dan perkara keduniaan. Tapi, mereka telah ubah agama sampaikan apa yang tidak boleh dibuat, jadi boleh pula. Sebagai contoh, arak tidak boleh diminum tapi mereka buat sampai tidak jadi masalah kalau minum. Begitu juga dengan babi. Sebenarnya, Ahli Kitab tidak boleh makan babi tapi mereka buat sampai jadi boleh.

Macam kita juga zaman sekarang yang telah mengubah agama Islam yang suci. Tawasul yang tidak dibenarkan sudah jelas dalam Quran tapi ada guru yang ajar dan ubah sampai jadi boleh. Bukan sahaja dibolehkan, mereka galakkan lagi supaya diamalkan oleh masyarakat. Maka berleluasalah amalan tawasul ini. Diamalkan di mana-mana sahaja. Dalam Majlis Tahlil, ada tawasul. Begitu juga dalam Mawlid, dalam Majlis Doa Selamat. Tawasul adalah bacaan yang dimulakan dengan “ila hadratkan nabi…”. Selalunya, yang membacanya pun tidak tahu apa mereka baca kerana mereka ikut-ikut sahaja apa yang dibuat oleh orang terdahulu tanpa usul periksa. Kalau tak percaya, tanyalah mereka apa maksud bacaan mereka itu. Mereka akan jawap: “entah, tapi itulah yang tok guru-tok guru kita buat dulu”. Ini amat menyedihkan. Ada syariat, tapi mereka tidak mahu belajar.


 

Ayat 17: Sambungan Dalil Naqli tentang Bani Israil.

وَآتَيناهُم بَيِّناتٍ مِنَ الأَمرِ ۖ فَمَا اختَلَفوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيامَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And We gave them clear proofs of the matter [of religion]. And they did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

وَآتَيْنَاهُم بَيِّنَاتٍ مِّنَ الْأَمْرِ

Dan Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama;

الْأَمْرِ dalam ayat ini merujuk perintah dalam hal agama. Iaitu syariat-syariat yang telah dijelaskan kepada mereka. Hal agama dijelaskan kepada mereka oleh kitab dan oleh Nabi-nabi dari kalangan mereka. Ianya telah jelas sejelas-jelasnya. Bukanlah agama ini samar-samar pada mereka. Kerana mereka dapat kitab dan Nabi banyak dah.

 

فَمَا اخْتَلَفُوا

maka mereka tidak berselisihan

Tapi, walaupun telah sepatutnya jelas kepada mereka, mereka masih lagi berselisih sesama mereka. Hukum agama menjadi mainan mereka sahaja. Mereka boleh ubah agama dan syariat ikut nafsu mereka sahaja. Jadi, ada kalangan mereka yang terus beriman dan ada yang kufur.

Bilakah mereka berselisih itu?

 

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu;

Iaitu selepas datang ilmu Tauhid kepada mereka. Bukannya mereka berselisih dalam kejahilan, tetapi mereka sudah tahu dah mana yang benar. Mereka tidak suka kalau disuruh hanya menyembah Allah sahaja. Mereka hendak juga menyembah dan buat ibadat kepada selain Allah.

Begitu juga dalam kalangan masyarakat kita. Kalau dibawakan ilmu Tauhid kepada mereka, akan ada yang terima, dan akan ada yang menentang. Akan ada sahaja perselisihan sesama kita. Sampaikan ustaz-ustaz pun boleh berselisih, padahal sepatutnya mereka lah yang tahu tentang hal agama.

Maka, sebab itu tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada masyarakat. Kalau diajar bab feqah, bab Nikah Kahwin dan sebagainya, tidak ada masalah dari segi penerimaan masyarakat. Oleh kerana tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada mereka, maka ramai yang tidak tahu. Ramai yang jadi sesat. Dan kerana ramai tidak tahu, apabila ada guru yang mengajar hal Tauhid, masyarakat jadi asing dan pelik dengan hal Tauhid kerana ianya tidak banyak ditekankan dalam pengajaran di kuliah-kuliah dan masjid-masjid.

Kenapa mereka jadi begitu, sedangkan mereka sudah ada ilmu?

 

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Terjadinya perselisihan itu adalah kerana hasad sesama mereka. Kerana ada yang rasa mereka lagi pandai, lagi bagus dalam hal agama. Mereka rasa kedudukan mereka lebih tinggi dalam hal agama.

Mereka dengki apabila melihat orang lain mendapat kebaikan. Lihatlah bagaimana apabila bangsa Arab mendapat pula Nabi, mereka tolak Nabi dari kalangan bangsa Arab itu.

Inilah satu masalah manusia. Apabila tahu lebih sedikit, mereka akan rasa tinggi diri. Itu tidak patut sebenarnya. Sepatutnya, semakin banyak ilmu, menjadikan kita lebih merendah diri. Tapi, yang sebaliknya yang terjadi. Ini adalah dugaan kepada orang yang berilmu.

Oleh itu, kita kena tahu bahawa ini adalah masalah zaman sekarang. Terlalu banyak perselisihan sesama kita. Yang dalam satu agama pun sudah bertelagah, apatah lagi kalau bukan dalam satu agama.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan memutuskan di antara mereka pada hari kiamat

Perselisihan itu akan diputuskan oleh Allah nanti. Iaitu Allah akan beritahu mana yang benar dan mana yang tidak. Kalau di dunia, mungkin tidak dapat diputuskan kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Tapi, di Akhirat nanti, kita akan tahu, manakah yang benar dan manakah yang salah.

Pemutusan yang akan dilakukan adalah keputusan amali. Bukanlah di sana baru tahu mereka salah, kerana memang telah diberitahu mana yang benar dan mana yang salah dalam syariat dah. Cuma, keputusan secara amali akan diberi di akhirat kelak.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Contoh perselisihan adalah tentang tawasul. Kita katakan bahawa ada tawasul yang tidak dibenarkan dan ada tawasul yang digalakkan. Ada yang setuju dan ada yang tidak. Maka, Allah akan beri keputusan kepada perselisihan itu. Sebenarnya, yang mana benar sudah ada dalam syariat dan dalam wahyu – jadi keputusan yang akan diberikan adalah keputusan amali.

Tapi, keputusan itu akan diberikan di akhirat kelak. Bagaimana kalau kita di pihak yang salah? Apa lagi yang kita boleh buat waktu itu? Ini adalah bahaya kerana kalau kita salah, kita tidak dapat pulang ke dunia untuk memperbetulkan kesilapan kita itu lagi, bukan? Maka, kita akan hanya dapat menanggung sahaja kesalahan itu dengan azab seksa di neraka. Adakah kita hendak kalau begitu?

Jadi, kita hendak benar di dunia dan akhirat atau tidak? Maka, hendaklah belajar Tafsir Quran dan Hadis Nabi yang sahih kerana itulah jalan yang selamat untuk mempelajari kebenaran. Kalau belajar, maka tahulah kita mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 045: Jathiya. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s