Tafsir Surah Jathiya Ayat 9 – 13 (Orang Islam pun tolak Quran)

Ayat 9: Ayat Zajrun kepada mereka yang bukan sahaja berpaling dari Quran, malah mengejek-ngejeknya.

وَإِذا عَلِمَ مِن آياتِنا شَيئًا اتَّخَذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُهينٌ

Sahih International

And when he knows anything of Our verses, he takes them in ridicule. Those will have a humiliating punishment.

Malay

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

 

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ آيَاتِنَا شَيْئًا

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami,

Tentunya ramai yang dapat mendengar ayat-ayat Allah. Musyrikin Mekah telah banyak mendengar ayat-ayat Quran dibacakan oleh Nabi dan juga para sahabat.

Kalau orang Islam pula, memang akan selalu jumpa. Tapi orang bukan Islam pun kadang-kadang mereka akan bertemu dengan ayat-ayat Quran. Mungkin mereka nampak sesiapa orang Muslim yang post di forum, di Facebook dan di mana-mana lagi. Ada yang tengok sahaja dan tidak kata apa-apa, tapi ada juga yang bersuara apa yang mereka fikirkan. Iaitu mereka katakan sesuatu yang tidak elok tentang ayat-ayat Allah.

 

اتَّخَذَهَا هُزُوًا

ia menjadikannya ejek-ejekan;

Dahulu, Musyrikin Mekah telah mengejek-ngejek ayat-ayat Quran apabila dibacakan oleh Nabi Muhammad. Sebagai contoh, apabila Nabi membacakan ayat Quran tentang neraka dan bagaimana neraka itu dikawal oleh 19 malaikat, mereka gelakkan ayat itu. Mereka kata bagaimana 19 orang malaikat boleh nak jaga ramai orang dalam neraka? Seorang lelaki yang kuat tubuhnya telah berkata: biarlah orang lain menguruskan dua orang dari malaikat itu dan dia sendiri akan menguruskan lagi 17 itu. Lihatlah bagaimana teruknya mereka mengejek-ngejek ayat-ayat Allah.

Tapi, dalam masyarakat kita pun ramai sebenarnya yang buat macam ini. Kalau masyarakat bukan Islam, kita boleh faham, tapi bagaimana kalau dengan orang Islam sendiri? Kalau kita sudah mula berdakwah kepada manusia dengan menggunakan ayat-ayat Quran, kita akan berjumpa dengan mereka ini. Mereka akan kata: “Sikit-sikit baca ayat Quran. Sikit-sikit hadis. Tiada benda lain lagi kah?” Lihatlah bagaimana mereka sanggup kata begitu. Macam ayat-ayat Quran itu tidak ada makna bagi mereka. Maknanya, mereka tolak juga ayat-ayat Quran itu walaupun mereka sedar tentang kedudukan ayat Quran dan ada juga ayat-ayat lain yang mereka terima.

Maknanya, bukannya mereka tidak dengar, cuma mereka tidak mahu terima. Sudahlah tidak mahu terima, mereka ejek pula. Sebagai contoh, kadangkala kita bacakan ayat Quran sebagai nasihat kepada mereka, dan bila mereka dengar, kadang-kadang ada ayat-ayat yang mereka dengar macam pelik, jadi mereka buat lawak pula dengan ayat itu. Atau kalau kita baca dengan cara yang dia tak pernah dengar, dia gelakkan cara kita baca pula. Bukannya dia hendak memikirkan tentang ayat yang kita baca, sebaliknya mereka buat lawak pula.

Itulah cara yang digunakan oleh manusia untuk menolak orang lain dan melarikan diri dari kebenaran. Mereka akan buat lawak. Mereka jadikan perkara itu sebagai perkara ringan sahaja. Kerana apabila mereka jadikan ianya sebagai bahan jenaka, mereka boleh menolak kepentingan sesuatu perkara itu.

Ada juga kalangan bukan Islam yang sengaja membaca ayat Quran dan mereka mengejek-ngejek ayat-ayat itu. Mereka memang membaca Quran untuk mencari kesalahan-kesalahan yang mereka jumpa. Mereka tidak faham pun, tapi mereka mengejek. Mereka nak kata bahawa Muslim ini sangat bodoh sampai boleh percaya kepada Quran itu yang pada mereka tidak ada apa-apa. Sebagai contoh, ada yang cari dan senaraikan kesalaman grammar (nahu) yang ada pada Quran itu. Mereka kata begitu kerana mereka tidak faham apakah Quran itu sendiri.

Apakah yang Allah firman tentang orang-orang yang sebegini?

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

Di dunia, mereka menghina Quran. Di Akhirat, mereka nanti yang akan dihinakan. Mereka akan dimalukan di khalayak ramai di Masyhar nanti. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina dina. Dulu mereka di dunia orang yang mulia, tapi di neraka nanti mereka akan menjadi orang yang hina dina.


 

Ayat 10: Apakah kesudahan mereka?

مِن وَرائِهِم جَهَنَّمُ ۖ وَلا يُغني عَنهُم ما كَسَبوا شَيئًا وَلا مَا اتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ أَولِياءَ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

Before them is Hell, and what they had earned will not avail them at all nor what they had taken besides Allah as allies. And they will have a great punishment.

Malay

Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

مِّن وَرَائِهِمْ جَهَنَّمُ

Di hadapan mereka ada neraka Jahannam,

Neraka akan menunggu mereka di hadapan mereka. Ini adalah kerana mereka menolak ajaran-ajaran dalam Quran dan kerana mereka mengejek-ngejek dan menghina ayat-ayat Allah itu. Mereka sangka mereka pandai, tapi lihatlah apa yang akan terjadi kepada mereka.

 

وَلَا يُغْنِي عَنْهُم مَّا كَسَبُوا شَيْئًا

Tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun apa jua yang mereka usahakan;

Amalan-amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan semasa di dunia tidak akan membantu mereka sedikit pun. Mereka sangka mereka dapat pahala banyak dari amalan mereka, tapi sebaliknya mereka dapat dosa. Amalan-amalan mereka itu direka oleh manusia dan bukannya diajar oleh Allah dan Nabi. Antaranya, ada yang mengamalkan amalan salah seperti Hizb Bahar. Mereka sangka yang mereka mengamalkan sesuatu bagus dan hebat. Sebab yang amalkan Hizb ini adalah orang-orang besar dan terkenal dan nampak hebat dalam kedudukan agama. Tapi sebenarnya dalam amalan itu, mereka berlindung dengan tiang Arash. Tidakkah itu satu amalan yang syirik? Atau adakah mereka tidak faham apakah itu syirik?

Satu lagi amalan salah adalah memasukkan bacaan ayat Quran ke dalam air, kismis, minyak dan sebagainya. Ini bukan ajaran dari agama. Ini adalah rekaan belaka. Mereka yang melakukannya mungkin berniat baik dan sangka itu adalah benar. Sebab diamalkan oleh banyak orang yang nampak macam ada ilmu agama. Dan ada juga yang menggunakan cara itu untuk melariskan barang jualan mereka. Memang lucu kalau kita melihat berbagai jenis barangan yang dibacakan ayat Quran. Barangan yang asalnya murah, jadi mahal kerana dibacakan ayat-ayat Quran.

Ayat ini juga bermaksud, apa-apa sahaja yang mereka ada di dunia, tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Samada anak-anak mereka, harta benda mereka yang mereka banggakan, kekuatan mereka dan sebagainya, tidak berguna langsung di Akhirat kelak.

Ia juga bermakna, perbuatan baik mereka semasa di dunia tidak dapat menolong mereka di akhirat kelak. Mungkin mereka orang yang banyak berjasa, mungkin mereka banyak tolong orang lain, atau mereka ahli sains yang mencipta sesuatu yang memudahkan manusia keseluruhannya, tapi kalau mereka amalkan syirik, segala kebaikan mereka di dunia itu tidak bernilai. Allah beritahu siap-siap dalam ayat ini.

 

وَلَا مَا اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ

dan tidak juga yang mereka ambil selain Allah, sebagai wali;

‘Wali’ bermaksud mereka yang memberi pertolongan dan perlindungan. Masyarakat kita memang amat suka dengan kisah para wali. Kadang-kadang orang gila pun mereka sangka wali. Mereka kata: “Jaga-jaga dengan orang itu, entah-entah dia wali”. Oleh kerana terpesona dengan kisah-kisah wali yang hebat-hebat dalam kitab-kitab kisah dongeng yang selalu ada dalam dunia tarekat, mereka memuja dan bertawasul dengan wali-wali itu dan mereka sangka, wali-wali itu boleh memberi pertolongan kepada mereka di akhirat kelak. Ini adalah satu kesilapan dalam meletak pengharapan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi pertolongan kepada mereka. Sedangkan ahli keluarga sendiri tidak mahu memberi pertolongan, ini kan pula orang lain yang tidak kena mengena dengan kita. Dalam Dukhan: 41 Allah ada menyebut tentang hal ini:

يَوْمَ لَا يُغْنِي مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu),

Oleh itu, tidak bermanfaat kalau mengambil selain Allah sebagai wali. Tapi ramai yang mengambil selain Allah sebagai wali. Mereka akan bertawasul kepada wali itu dan wali ini. Antaranya, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Mereka juga menjadikan para Nabi dan para malaikat sebagai wali mereka.

Malangnya nanti kepada mereka, mereka yang disembah itu tidak akan mengaku penyembahan yang dilakukan kepada mereka. Ini disebut dalam Maryam:82

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka seru itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

Mereka sangka, mereka yang disembah, diseru dan diberi salam dan diberi sedekah Fatihah itu akan jadi penolong mereka, tapi sebaliknya tidak. Memang buang masa sahaja apa yang dilakukan oleh manusia yang buat begitu. Itu adalah kerana kebodohan mereka dan dibodoh-bodohkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Mereka yang ada penyokong di dunia, akan rasa kuat dan rasa boleh buat apa sahaja. Begitu juga dengan mereka yang sangka ada wali yang akan tolong mereka. Mereka sangka wali-wali itu akan tolong mereka di akhirat kelak kerana mereka dah buat ‘ibadat’ kepada wali-wali itu. Mereka buat tawasul kepada wali-wali itu, mereka beri salam, mereka sedekah Fatihah kepada wali-wali itu, sembelih binatang korban di kubur dan macam-macam lagi amalan pelik. Itu semua adalah bentuk-bentuk ibadah. Ianya adalah ibadah-ibadah yang salah dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan orang-orang dahulu.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

Amat sedih sekali kepada mereka. Mereka buang masa, buang duit dan buang tenaga membuat amalan-amalan salah itu, tapi amalan itu membawa mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 11: Takhwif Ukhrawi

هٰذا هُدًى ۖ وَالَّذينَ كَفَروا بِآياتِ رَبِّهِم لَهُم عَذابٌ مِن رِجزٍ أَليمٌ

Sahih International

This [Qur’an] is guidance. And those who have disbelieved in the verses of their Lord will have a painful punishment of foul nature.

Malay

Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

هَٰذَا هُدًى

Ini ialah petunjuk;

Yang dimaksudkan adalah Quran ini. Quran ini lah yang sepatutnya dijadikan sebagai sumber hidayah petunjuk. Kalau tidak diambil Quran ini sebagai petunjuk, maka manusia tidak akan dapat petunjuk selama-lamanya. Jangan sangka guru mereka boleh beri petunjuk, begitu juga dengan kitab-kitab yang ditulis oleh manusia. Itu semua boleh belajar, tapi kena didahulukan dengan pemahaman Quran. Guru-guru sepatutnya mengajar Quran kepada manusia, bukannya beri pendapat mereka. Tafsir Quran ini kena belajar dahulu. Selepas itu, belajar hadis pula. Selepas itu, kalau ada masa, barulah belajar kitab-kitab yang lain. Tapi, kalau belajar perkara-perkara lain sebelum belajar Tafsir Quran, mereka berkemungkinan besar akan sesat kerana Quranlah yang menjadi kayu ukur untuk menentukan kebenaran ajaran-ajaran lain.

Oleh itu, kita kena sentiasa rujuk Quran. Semua orang Islam akan terima bahawa Quran itu adalah petunjuk. Tapi ramai yang tak tahu macam mana nak pakai petunjuk dalam Quran itu sebab mereka tak belajar Tafsir. Mereka baca Quran tapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Mereka ‘pandai cakap’ sahaja yang Quran itu petunjuk. Ramai yang kata: ‘marilah kembali kepada Quran’, dan macam-macam lagi laungan mereka. Tapi laungan-laungan itu kosong belaka. Mereka cakap sahaja, tapi kalau mereka tak belajar Tafsir Quran, mereka tidak akan tahu apakah yang Allah hendak dengan mereka.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ

dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka,

Kufur ingkar itu adalah menolak ayat-ayat Quran. Apabila dibacakan kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Apabila diajak belajar Tafsir Quran, mereka tolak dengan berbagai-bagai alasan. Kalau tidak mahu belajar maksud yang hendak disampaikan dalam Quran, itu sebenarnya sudah dikira engkar – kerana Allah suruh kita belajar, tapi kita tidak belajar, tidakkah itu sudah engkar?

Dan apabila mereka tidak tahu tafsir Quran, mereka tentunya akan buat amalan yang berlawanan dengan Quran. Syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk menyesatkan mereka dengan membisikkan perkara-perkara yang salah – kalau mereka tidak tahu apa yang disampaikan dalam Quran, macam mana mereka boleh tahu manakah yang salah? Jadi, ada yang termakan dengan bisikan syaitan kerana mereka sangka apa yang dibisikkan oleh syaitan itu adalah benar. Kesannya bukannya kecil tapi amat berat. Apakah yang mereka akan terima?

 

لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

untuk mereka, azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

رِّجْزٍ adalah sesuatu yang menyebabkan kita menggigil ketakutan dan kesakitan. Selalunya bila kita menggigil? Iaitu selepas melihat sesuatu yang teruk seperti binatang dan mayat manusia yang reput dan sebagainya. Jadi, apabila mereka melihat keterukan azab yang diberikan, mereka akan menggigil.

رِّجْزٍ juga boleh diterjemahkan sebagai najis.

Itulah azab seksa yang mereka akan terima.


 

Ayat 12: Allah menyambung dengan menceritakan lagi tanda-tandaNya. Jadi, ini adalah Dalil Aqli.

۞ اللَّهُ الَّذي سَخَّرَ لَكُمُ البَحرَ لِتَجرِيَ الفُلكُ فيهِ بِأَمرِهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

It is Allah who subjected to you the sea so that ships may sail upon it by His command and that you may seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.

Malay

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.

اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu,

سَخَّرَ bermaksud menguasai sesuatu. Allah telah benarkan kita menguasai laut. Tidaklah ini bermaksud kita boleh kawal lautan pula, boleh gerakkan laut itu supaya tenang atau berombak pula, tidak. Itu tentu tidak boleh. Tapi ini bermaksud yang kita boleh mengambil faedah dari laut itu.

Iaitu dengan Allah memberi kepada kita ‘ilmu’ tentang laut. Kita diberi dengan ilmu tentang arusnya, cuacanya, cara buat kapal, cara berlayar dan sebagainya. Dengannya, kita boleh mengembara menggunakan laut itu. Segala perkara dan ilmu itu, Allah juga yang ilhamkan kepada kita. Kerana kalau Allah tidak beri ilham, kita pun tidak berani nak masuk dalam laut itu.

 

لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ

supaya belayar kapal-kapal padanya dengan perintahNya,

Dengan ilmu laut itu, kita boleh berlayar dengan undang-undang Allah yang telah ditetapkan. Iaitu ‘atas kebenaran’ dan izin yang Allah berikan. Iaitu kena ikut angin, kena ikut arus dan sebagainya. Ingatlah bahawa ilmu itu dari Allah sebenarnya. Kita tidak akan pandai mengembara di lautan kalau Allah tidak tanamkan ilmu itu dalam akal manusia.

Dan kita boleh buat apa-apa sahaja di laut adalah dengan kebenaranNya. Kalau Allah tak benarkan, tidak akan terjadi apa-apa.

 

وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ

dan supaya kamu mencari dari limpah kurniaNya,

Dengan kita mengembara di lautan itu, kita boleh dapat hasil dari laut. Kita boleh menangkap ikan, mencari harta karun, mutiara, perhiasan dan sebagainya. Itu menjadi sumber pendapatan yang amat besar bagi sesetengah orang. Selain dari itu, boleh jadikan laut sebagai laluan perniagaan. Barang perniagaan yang berat dan banyak boleh diangkut dengan mudah dan cepat kalau dibandingkan dengan laluan darat. Oleh kerana itu, walaupun dunia semakin maju dan ada cara pengangkutan yang lebih cepat seperti kapalterbang, penggunaan jalan lautan masih lagi digunakan dengan lebih banyak kerana ianya lebih jimat.

 

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Yang paling penting, kita kena bersyukur. Bersyukur kepada Allah kerana telah memberi ilmu itu kepada kita. Bersyukur kerana Allah telah menenangkan laut itu supaya kita boleh mengambil manfaat darinya. Bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan kita dalam pengembaraan di lautan yang luas dan bergelora itu.

Lihatlah bagaimana tujuan laut itu dimudahkan untuk kita adalah supaya kita mengucapkan syukur kepada Allah. Allah suka kalau kita bersyukur. Kerana ada manusia yang bersyukurlah, Allah tidak musnahkan lagi alam ini. Sebab itu waktu Kiamat nanti, kerana tidak ada lagi manusia yang bersyukur kepada Allah, maka Allah akan musnah alam ini. Apabila manusia tidak lagi bersyukur kepada Allah, maka laut tidak perlu lagi tenang, laut akan bergelora dan akan menghancurkan bumi pula nanti. Subhanallah.


 

Ayat 13: Sambungan Dalil Aqli

وَسَخَّرَ لَكُم ما فِي السَّماواتِ وَما فِي الأَرضِ جَميعًا مِنهُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sahih International

And He has subjected to you whatever is in the heavens and whatever is on the earth – all from Him. Indeed in that are signs for a people who give thought.

Malay

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ

Dan Ia memudahkan untuk kamu, apa yang ada di langit

Allah juga telah memberi ilmu tentang langit kepada manusia. Tentang bulan, bintang, awan dan sebagainya. Semua itu untuk kita. Kita gunakan ilmu itu untuk hidup. Sebagai contoh, kita gunakan ilmu tentang bintang untuk mencari perjalanan di malam hari. Dengan mengkaji tentang awan, kita dapat tahu tentang tempat-tempat yang hujan akan turun. Malah banyak lagi.

سَخَّرَ bermaksud ‘menundukkan’. Adalah ini bermaksud Allah akan memberi kita kebolehan untuk menundukkan langit? Mungkin lebih dari apa yang Allah telah berikan sekarang? Bayangkan, manusia sudah boleh sampai ke bulan dan mungkin tidak lama lagi boleh sampai ke planet lain. Allahu a’lam. Allah boleh beri apa sahaja kepada kita. Dan ada isyaratnya dalam ayat ini.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

dan apa yang ada di bumi, daripadaNya;

Semua pemberian itu daripada Allah. Dan Allah telah menundukkan bumi untuk kita dengan Allah telah memberi kita ilmu tentang mengurus bumi ini. Allah ajar macam mana nak pakai segala sumber yang ada dalam dunia. Banyak sekali kegunaan segala tumbuhan, binatang, mineral dan macam-macam lagi yang kita telah manfaatkan untuk kehidupan. Dan kita masih mengkaji lagi bagaimana menggunakan sumber yang Allah telah jadikan itu. Ingatlah bahawa Allah telah jadikan dunia ini untuk kita.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Itu semua adalah dalil bagi kekuasaan Allah. Dalil itu diberikan kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil pengajaran hanyalah mereka yang menggunakan akal mereka untuk berfikir. Iaitu mereka yang melihat kepada alam ini dan mengingatkan diri mereka kepada Allah. Bahawa Allah lah yang telah menjadikan semua itu dan telah memberikannya kepada kita.

Memang ramai saintis yang mengkaji tentang alam, tapi mereka tidak mengaitkannya dengan Allah. Mereka hanya menggunakan sumber yang ada, tapi mereka tidak bersyukur. Mereka tidak langsung berfikir bagaimana alam yang begini hebat itu, boleh terjadi. Takkan ianya terjadi dengan sendiri seperti yang disangkakan oleh golongan Atheis yang tidak percaya kepada Tuhan itu? Mereka sangka mereka pandai. Tapi sebenarnya mereka tidak menggunakan fikiran mereka itu pada tempat yang sepatutnya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 045: Jathiya. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s