Tafsir Surah Jathiya Ayat 1 – 8 (Andaian agama yang salah)

Pengenalan:

Ini adalah surah yang menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa yang akan menyebabkan manusia dihumban ke dalam neraka. Kalau tidak faham tentang tauhid dalam doa, maka manusia akan melakukan syirik, yang menyebabkan mereka akan dihumban dalam neraka selama-lamanya.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan mesej utama yang hendak disampaikan adalah hendaklah kita menyelamatkan diri kita dari sombong dan bongkak. Ayat, ini mengajar kita untuk merendahkan diri. Dengan melihat tanda pada alam. Allah yang hebat dan bukan kita. Kita selamanya bergantung kepada Allah. Oleh kerana itu, janganlah kita rasa sombong dan bongkak pula.

Surah ini menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa. Ada salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘tawasul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka. Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat  وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah. Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. Perantaraan itu dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam doa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Dan Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam doa dan istianah. Cuma surah ini juga mempunya ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawap kesamaran-kesamaran itu, Allah turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawap kesamaran dan kekeliruan itu. Dan Surah Jathiya ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Surah Fussilat menjawap kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Selepas itu, Surah Syura pula menjawap kekeliruan kedua: ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah itu boleh. Surah Syurga ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Selepas itu, Surah Zukhruf telah menjawap kekeliruan yang ketiga: Ada yang hujah kata mereka tidak minta kepada selain Allah itu tetapi, mereka cuma seru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat itu supaya doa mereka makbul. Dan juga supaya mereka mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak. Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan mereka itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah sahaja. Allah memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita pun ada fahaman sebegini, maka mereka pun sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

Surah Dukhan telah menjawap kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah, ada makhluk lain yang boleh dengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka kata begitu kerana akidah syirik mereka. Mereka kata ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka kerana kerana Allah telah beri berkat kepada mereka kerana kelebihan dan kemulian mereka, sampai mereka boleh dengar seruan manusia, walaupun mereka telah mati. Dan sekurang-kurangnya, mereka kata yang diseru itu boleh membawakan doa mereka kepada Allah dan memberi keberkatan kepada mereka. Allah telah jawap dalam surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita, dan kerana itu kita harus doa dan seru hanya kepada Allah.

Surah Jathiya ini hendak menjawap kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Dan mereka kata apa yang mereka buat itu bukan sampai jadi syirik. Allah jawap yang dalam syariat Allah tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan. Syariah tentang akidah memang dah jelas kerana ianya adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain. Dan Allah pun sudah larang seru kepada selain dari Dia dalam doa dan penyembahan dan terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Quran. Lalu bagaimana Allah benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Maksud surah ini berkenaan perkara itu ada dalam ayat 18 yang memberitahu bahawa syariat Allah ini jelas terutama sekali tentang akidah:

ثُمَّ جَعَلناكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

 

Allah memberitahu yang Dia telah menjadikan syariat atas kita yang perlu diikuti. Kita kena ikut syariat yang Allah telah tetapkan kerana syariat adalah satu pegangan dan cara hidup. Dan cara hidup itu ada dua jenis: Ibadat (hubungan makhluk dengan Allah) dan Adat (hubungan hamba dengan hamba yang lain). Kedua-dua perkara ini perlu ikut syariat.

Dan syariat itu amat jelas kepada mereka yang belajar, dan apa yang mereka perlu lakukan hanyalah ikut sahaja. Jangan memandai-mandai buat andaian yang baru.

Memang ramai yang hendak reka perkara baru dalam agama, dan mereka tidak bawa dalil pun, melainkan andaian mereka sahaja – seperti contoh yang kita telah sebut sebelum ini – kalau Allah mahu, Dia boleh beri wali dan Nabi itu mendengar doa dan seruan kita. Ini amat bahaya, jadi kita kena tolak andaian yang sebegitu kerana berlawanan dengan dali-dalil yang ada. Oleh itu, kalau ada hujah yang bukan datang dari dalil yang sahih, maka itu adalah dalil dari hawa nafsu. Ianya datang dari mereka yang tidak tahu tentang syariat dan wahyu, jadi kita jangan ikut orang yang sebegitu.


 

 

Ayat 1:

حم

Sahih International

Ha, Meem.

Malay

Haa, Miim.

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas dua ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah turunkan untuk kita.


 

Ayat 2:

تَنزيلُ الكِتابِ مِنَ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Sahih International

The revelation of the Book is from Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

تَنزِيلُ الْكِتَابِ

Turunnya Al-Quran ini,

Dalam ayat ini, Allah memperingatkan kita bahawa Quran itu diturunkan olehNya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Quran ini diturunkan dan khususnya, ianya merujuk kepada surah ini;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Quran itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad mengambil masa hampir 23 tahun lamanya. Allah mengambil masa untuk memberikan Quran ini kepada manusia. Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit. Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Quran ini, mengambil masa yang lama. Quran tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam. Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu.

 

مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Quran ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Daripada Allah semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah dan tugasnya menyampaikan Quran ini kepada kita, oleh itu Quran itu bukanlah dari kata-kata Rasul itu. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah semata-mata – menurut arahan Allah dan menyampaikan apa yang mereka telah disuruh untuk sampaikan. Manusia bersifat hamba dan sebagai hamba, kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah. Begitu juga Malaikat, mereka juga taat kepada arahan dari Allah.

Dalam ayat ini, Allah hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Quran ini daripada Allah, bukan dari orang lain. Oleh itu, jangan kamu mempermainkannya. Jangan kamu buat tak endah kepadanya. Kenalah kamu belajar Quran itu dan tafsirnya sampai kamu faham. Bukan setakat baca sahaja, tapi tak faham apa yang hendak disampaikan dalam Quran itu. Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya baca sahaja Quran ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Sepatutnya kita menghargai ayat-ayat dari Quran ini kerana ianya dari Allah, Tuhan yang menjadikan kita, tapi amat sedih sekali, masyarakat kita kalau surat dari orang lain, dari kawan-kawan, dari kerajaan, dari majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Tapi, dengan Quran, mereka buat tak endah sahaja. Padahal ayat-ayat Quran itu bukan dari sesiapa melainkan Allah azza wajalla. Tidakkah kita malu dengan Allah? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita baca, berkali-kali kita tenung. Tapi apabila ‘surat’ dari Allah, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Quran itu dari Allah. Kemudian Allah terangkan sifatNya. Kerana untuk mengenal Allah, Allah telah terangkan dalam Quran ini satu persatu tentang siapakah DiriNya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan DiriNya sendiri. Kalau orang tak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah? Tentulah Allah paling layak mengenalkan DiriNya, sifatNya, kemahuanNya dan kebenciaanNya. Dan Allah memang telah terangkan siapa DiriNya dalam Quran ini. Dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari NabiNya Muhammad SAW yang paling kenal Allah.

Maka, nak kenal Allah, kenalah belajar Tafsir Quran kerana Allah telah terangkan mengenai DiriNya dalam Quran dengan banyak sekali. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah. Mereka kononnya nak kenal Allah dengan cara cepat, tapi mereka tertipu. Mereka reka cara-cara yang salah, dengan cara yang bidaah, malah dengan cara yang syirik pun ada. Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi. Yang cipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasauf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia.

Allah sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu nak lawan Allah, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadapNya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Dia kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita. Allah tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. KerajaanNya tetap seperti biasa. Tidak siapa boleh menentangNya. Sama ada kita nak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah jadi kurang martabatNya.

Tidak seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau mereka ditentang, lemahlah mereka kerana mereka memerlukan sokongan dari orang bawahan. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu. Akan tetapi, Allah tidak begitu sifatNya. Walaupun seluruh makhluk menentangNya, kuasa Allah tidak akan sedikit pun berkurangan. Dan jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Quran kerana Allah menegaskan bahawa turunnya Quran adalah daripada Allah yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah, tidakkah layak untuk kita patuh kepadaNya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah?

Disebabkan sifatNya yang tiada tandingan, Allah boleh buat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendakNya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut. Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat manapun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah.

Kuasa Allah itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah memang Maha Perkasa, tapi Allah sertakan sifat kedua:

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan. Tapi sifat itu diimbangi dengan sifatNya yang Maha Bijaksana. Allah tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimilikiNya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Tetapi ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah. Ada yang ibu bapanya musyrik, tapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkanNya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah cipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Quran. Jangan kata seseorang itu bebal tak boleh belajar Quran. Kerana Allah telah jadikan dia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Quran.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilanNya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum Allah telah tentukan. Hanya Allah sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Nak buat hukum, mesti Al Hakim. Kerana Allah Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Dia sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Allah tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya. Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah biarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Tapi apabila mereka mati dan mereka tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Maksud al-Hakim ada dua: Yang Maha Bijaksana dan yang menetapkan hukum.

  1. Quran itu diturunkan dari Allah yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Quran itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Quran itu, kita adalah orang yang bijak.
  2. Dalam Quran itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 3: Dalil Aqli kepada Qudrat Allah.

إِنَّ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ لَآياتٍ لِلمُؤمِنينَ

Sahih International

Indeed, within the heavens and earth are signs for the believers.

Malay

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang beriman.

Berbagai-bagai tanda tanda kekuasaan Allah terdapat dalam alam ini. Tanda-tanda itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh mengambil pengajaran adalah mereka yang beriman sahaja. Oleh itu, lihatlah bagaimana indahnya Allah menjadikan alam ini.

Semakin beriman seseorang itu, maka semakin banyak tanda-tanda kehebatan Allah yang dia akan nampak. Mereka yang tidak beriman akan melihat alam ini biasa-biasa sahaja tanpa terdetik dalam hatinya bahawa semuanya ini dijadikan oleh Allah. Tetapi apabila seseorang itu beriman, dia akan melihat bahawa alam ini dan segala keindahannya dan segala kejadiannya adalah begitu hebat dan indah sekali dan mengingatkan dia kepada Allah.

Malangnya, dalam dunia ini ramai saintis yang mengkaji tentang alam ini, tetapi mereka tidak menyandarkan kelebihan alam itu dengan Allah SWT. Mereka hanya melihat perkara luaran sahaja. Mereka melihat segala kehebatan alam, tapi mereka hanya memikirkan bahawa ianya hanyalah kejadian alam biasa sahaja.


 

Ayat 4: Sambungan Dalil Aqli

وَفي خَلقِكُم وَما يَبُثُّ مِن دابَّةٍ آياتٌ لِقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

And in the creation of yourselves and what He disperses of moving creatures are signs for people who are certain [in faith].

Malay

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

وَفِي خَلْقِكُمْ

Dan pada kejadian diri kamu sendiri,

Lihatlah kepada diri kita sendiri. Kita dijadikan dalam sebaik-baik kejadian. Padahal asal kita ini hanyalah sperma sahaja. Sebagai contoh, tengoklah kepada kehebatan kulit kita sahaja sudah cukup. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan penciptaan kulit kita pun. Itu belum dikira penciptaan organ dalaman lagi.

 

وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ

serta (pada kejadian) segala binatang yang melata yang dibiakkanNya,

Binatang yang melata itu termasuklah kita, termasuklah binatang yang terbang di udara. Entah berapa banyak jenis binatang termasuk serangga yang hidup di dalam alam ini sampaikan para Saintis pun belum lagi berjaya untuk mengenali kesemuanya. Di segenap tempat di alam dunia ini akan ada sahaja kehidupan padanya. Sama ada tempat itu sejuk ataupun panas.

 

آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang meyakininya.

Siapakah yang menjadikan segala binatang dan kehidupan itu? Itulah Allah. Oleh kerana itu, hendaklah kita yakin bahawa Allah lah pencipta dan pentadbir langit dan bumi. Siapakah juga yang memberi makanan dan keperluan mereka kalau bukan Allah?

Tanda ini semua manusia boleh melihatnya tapi siapakah yang boleh mengambil pelajaran darinya? Ianya hanya boleh difikirkan oleh mereka yang yakin sahaja. Iaitu yakin dengan Allah, yakin dengan Hari Kebangkitan dan yakin dengan kekuatan dan kehebatan Allah.


 

Ayat 5: Sambungan Dalil Aqli.

وَاختِلافِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّماءِ مِن رِزقٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَتَصريفِ الرِّياحِ آياتٌ لِقَومٍ يَعقِلونَ

Sahih International

And [in] the alternation of night and day and [in] what Allah sends down from the sky of provision and gives life thereby to the earth after its lifelessness and [in His] directing of the winds are signs for a people who reason.

Malay

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti,

Lihatlah bagaimana siang itu sentiasa datang selepas malam dan malam sentiasa datang selepas siang tanpa ada perubahan padanya. Lihatlah juga bagaimana sifat malam itu amat berbeza dengan sifat siang. Ada perkara yang kita lakukan pada waktu malam dan ada perkara kita lakukan khusus pada waktu siang.

 

وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ

dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,

Yang dimaksudkan ‘rezeki’ dalam ayat ini adalah ‘air hujan’. Kenapakah air hujan ini dinamakan ‘rezeki’? Kerana dengan air hujan itu menjadi berbagai-bagai sebab untuk memenuhi keperluan-keperluan yang lain. Dengan air hujan itu, kita dapat minuman dan begitu juga dengan binatang-binatang yang melata. Dengan air hujan itu dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan untuk manusia dan binatang pula.

 

فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

lalu Ia hidupkan dengannya bumi sesudah matinya,

‘Bumi yang mati’ maksudnya adalah bumi yang gersang, tidak ada tumbuh-tumbuhan. Tetapi apabila Allah menurunkan hujan kepada bumi itu, maka bumi itu seperti hidup semula, tumbuh tumbuhan dapat hidup dan binatang akan datang kerana ada makanan di tempat itu.

 

وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ

serta (pada) pertukaran angin,

Lihatlah bagaimana pergerakan angin itu berubah-ubah. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Kadang dari kanan dan kadang dari kiri. Kadang ianya bertiup sepoi-sepoi bahasa dan kadang-kadang kuat sampaikan boleh menumbangkan pokok.

Dengan angin itu juga menggerakkan awan yang membawa air dari satu tempat ke tempat yang lain.

Dengan peredaran angin juga adalah satu rezeki juga kerana dengannya dapat menyampaikan debunga dari satu tanaman kepada tanaman yang lain yang menyebabkan penumbuhan tanaman yang berbagai.

Siapakah yang menentukan pergerakan itu? Adakah kita mempunyai kuasa langsung untuk mengubah pergerakan angin itu? Tidak ada langsung. Kita lemah hanya menerima sahaja apa yang Allah berikan.

 

آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

(semuanya itu mengandungi) tanda-tanda bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Segala kejadian yang disebut dalam ayat ini boleh dirasai dan dilihat oleh semua manusia, tetapi siapakah sahaja yang boleh mengambil pelajaran daripadanya? Hanya mereka yang menggunakan akal sahaja yang boleh mengambil ingatan daripadanya. Allah telah berikan semua manusia dengan akal, tapi yang yang mahu menggunakannya tidak ramai.


 

Ayat 6: Kesimpulan Dalil-dalil Aqli yang telah disebut.

تِلكَ آياتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَ اللَّهِ وَآياتِهِ يُؤمِنونَ

Sahih International

These are the verses of Allah which We recite to you in truth. Then in what statement after Allah and His verses will they believe?

Malay

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?

تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ

Itulah ayat-ayat dalil kekuasaan Allah

Ayat atau ‘tanda-tanda’ itu ada di dalam dua jenis. Iaitu ayat yang kita boleh baca dan juga ayat yang ada pada alam ini. Ayat-ayat yang disebut sebelum ini adalah tentang tanda-tanda yang ada pada Alam.

Selain dari itu, ada ayat-ayat yang Allah turunkan dalam bentuk ayat-ayat Quran. Apakah firman Allah tentangnya?

 

نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

yang kami bacakan kepadamu kerana menegakkan kebenaran;

Selain daripada tanda-tanda pada alam ada juga ayat-ayat yang dibacakan, yang diberikan kepada kita untuk kita baca dan fikirkan. Itulah pentingnya kita membacakan ayat-ayat Quran kepada manusia dan perlu difahami dengan belajar Tafsir Quran. Kalau setakat baca sahaja, tapi tidak faham, ianya tidaklah memenuhi kehendak Allah.

Apakah haq yang Allah hendak tegakkan. Ianya untuk menzahirkan kebenaran bahawa Allah lah sahaja yang layak disembah. Allah lah sahaja tempat kita meminta pertolongan.

 

فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ وَآيَاتِهِ يُؤْمِنُونَ

maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya?

Kalau ayat-ayat yang Allah telah berikan itu tidak dapat melahirkan iman dalam diri manusia, maka mana lagikah ayat yang mereka mahu?

حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ merujuk kepada ayat-ayat Qur’an yang diwahyukan kepada manusia.

وَآيَاتِهِ pula merujuk kepada tanda-tanda yang ada pada alam ini untuk kita perhatikan dan kita fikirkan.

Kedua-dua jenis ayat ini diberikan kepada kita untuk membangkitkan iman dalam diri kita. Lihatlah bagaimana ada manusia yang masuk Islam selepas membaca ayat-ayat Quran. Dan ada manusia yang setelah melihat pada tanda-tanda alam ini, terbuka hati mereka tentang kewujudan Tuhan dan mereka mencari-cari siapakah Tuhan yang menjadikan alam ini. Mereka yang mendapat iman itu adalah mereka yang terdapat di dalam diri mereka keinginan untuk mencari kebenaran.

Kalau kedua-dua ayat ini tidak dapat membangkitkan iman mereka, maka tidak ada lagi cara untuk manusia memperolehi iman. Kerana ada dua cara ini sahaja.


 

Ayat 7: Ayat Zajrun kepada mereka yang berdusta dalam perkara akidah yang tidak diajar dalam syarak

وَيلٌ لِكُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

Sahih International

Woe to every sinful liar

Malay

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta besar yang berdosa, –

أَفَّاكٍ adalah mereka yang melakukan penipuan yang besar. Antaranya mereka yang reka perkara-perkara baru dalam agama. Mereka selalu melakukan penipuan.

Dia juga menjadi أَثِيمٍ kerana apa yang dilakukannya adalah berlawanan dengan suruhan Allah di dalam Qur’an. Apa sahaja yang berlawanan dengan apa yang Allah suruh akan menyebabkan dosa.


 

Ayat 8: Siapakah mereka itu dan apakah sifat-sifat mereka?

يَسمَعُ آياتِ اللَّهِ تُتلىٰ عَلَيهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُستَكبِرًا كَأَن لَم يَسمَعها ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

Sahih International

Who hears the verses of Allah recited to him, then persists arrogantly as if he had not heard them. So give him tidings of a painful punishment.

Malay

Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَسْمَعُ آيَاتِ اللَّهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ

Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya,

Ini adalah tentang mereka yang telah dibacakan ayat-ayat Quran dan tafsirnya kepada mereka.

 

ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا

kemudian dia terus berlagak sombong,

Berlagak sombong enggan menerima apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Mereka itu tidak mahu mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang disampaikan kepada mereka. Kita telah berikan tafsir ayat-ayat itu. Tapi mereka tidak mahu terima kerana mereka sombong. Itulah sebabnya mereka tidak mahu terima dan tidak mahu belajar Tafsir Quran. Mereka rasa apa yang mereka sedang lakukan itu dah betul dah walaupun ianya berlawanan dengan ayat Allah.

 

كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا

seolah-olah ia tidak mendengarnya;

Mereka buat tak tahu sahaja selepas dibacakan ayat-ayat Allah. Mereka masih lagi nak pakai apa yang dikatakan guru mereka, apa yang telah diamalkan turun temurun oleh tok nenek mereka.

 

فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang amat pedih.

Allah perli dengan sebut ‘beri berita gembira’. Lihatlah bagaimana besarnya balasan azab kepada mereka yang tidak endahkan ayat-ayat Allah.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 045: Jathiya. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s