Tafsir Surah Zukhruf Ayat 74 – 82 (Permintaan untuk dimatikan)

Azab siksaan ahli neraka

Neraka adalah seburuk-buruk tempat kembalinya insan. Tidak ada lagi kematian, hanya kehidupan yang abadi.

Ayat 74: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang penghuni-penghuni Syurga. Apabila Allah menceritakan tentang Syurga, Allah menceritakan juga tentang neraka. Begitulah juga apabila diceritakan tentang orang beriman, diceritakan juga tentang orang yang tidak beriman. Begitu juga apabila Allah memperkatakan tentang tauhid, Dia juga akan memperkatakan tentang syirik.

Oleh kerana itu, seorang guru mestilah memberitahu dua-dua perkara itu. Iaitu kena beritahu kepada masyarakat apa yang perlu dilakukan dan juga perlu memberitahu kepada mereka apa yang perlu ditinggalkan. Malangnya, kebanyakan guru hanya memberitahu apa yang perlu dilakukan sahaja, tetapi tidak memberitahu apa yang salah. Macam mereka cerita tentang syurga sahaja tapi tak sebut tentang neraka pula.

Mereka tidak beritahu tentang kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat kerana takut yang masyarakat akan marah kalau diberitahu yang apa yang mereka lakukan adalah perkara salah. Seperti amalan-amalan syirik dan amalan-amalan bidaah. Takut nanti masyarakat sudah tidak hormat mereka, tidak panggil mereka datang mengajar lagi, takut masyarakat tidak beri upah lagi kepada mereka. Oleh kerana itu ramai masyarakat tidak tahu bahawa banyak perkara yang salah mereka lakukan kerana mereka tidak diberitahu. Kerana kalau ustaz yang mengajar mereka pun tidak tegur, tentulah mereka sangka apa yang mereka lakukan selama itu adalah benar sahaja.

إِنَّ المُجرِمينَ في عَذابِ جَهَنَّمَ خالِدونَ

Sahih International

Indeed, the criminals will be in the punishment of Hell, abiding eternally.

Malay

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa,

Iaitu mereka yang terbukti berdosa dan telah dihakimi di Mahsyar. Mereka telah diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT. Apa yang akan jadi kepada mereka?

 

فِي عَذَابِ جَهَنَّمَ خَالِدُونَ

kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

Mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Inilah sebesar-besar seksa yang mereka akan hadapi.

Oleh kerana mereka kekal dalam neraka, ini bermaksud ‘dosa’ yang dimaksudkan adalah dosa syirik. Azab yang paling berat di akhirat adalah kerana dosa syirik. Kerana kalau seseorang itu beriman, tapi ada melakukan dosa, dia akan dimasukkan ke dalam neraka tapi tidak akan kekal di dalamnya. Ini adalah pemahaman dengan ayat-ayat dan hadis Nabi. Cuma mereka yang melakukan syirik sahaja yang akan kekal dalam neraka selama-lamanya.


 

Ayat 75: Allah sambung dengan menceritakan azab kerana syirik.

لا يُفَتَّرُ عَنهُم وَهُم فيهِ مُبلِسونَ

Sahih International

It will not be allowed to subside for them, and they, therein, are in despair.

Malay

Tidak diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),

لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ

Tidak diringankan azab itu daripada mereka,

‘Taftir’ adalah apabila sesuatu itu diringankan atau direhatkan. Itu tidak akan berlaku kepada ahli-ahli neraka walaupun sesaat pun, sejam atau sehari. Mereka akan terus diseksa tanpa henti. Bukan itu sahaja, kekuatan seksaan itu juga tidak akan dikurangkan, malah akan bertambah. Memang ada ayat yang menceritakan bagaimana ahli neraka akan meminta kepada penjaga neraka untuk memberi rehat kepada mereka dari seksaan azab neraka, tapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

 

وَهُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ

dan mereka di dalamnya berputus asa

مُبْلِسُونَ dari katadasar بلس yang bermaksud tidak ada harapan – putus asa. Dari katadasar yang sama juga Iblis dinamakan – kerana Iblis itu tidak ada harapan untuk selamat.

Mereka putus asa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada keadaan itu. Mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana pun. Permintaan mereka untuk keluar dari neraka, diberi rehat atau diberi kurang azab tidak diendahkan. Mereka akan terus menerima apa yang mereka akan terima di dalam neraka. Tidakkah ini menakutkan sekali? Jadi kenapa tidak mahu mengamalkan tauhid? Kenapa ada lagi yang masih sembah dan buat ibadat kepada selain Allah? Kerana ada lagi yang doa kepada selain Allah? Kenapa ada lagi yang mengamalkan tawasul dalam doa mereka?

Kalau di dunia, kita ada juga harapan yang kesusahan dan musibah yang kita hadapi akan diangkat, berkurang atau diberi penyelesaiannya. Harapan itu akan mengurangkan sedikit rasa kesusahan yang kita alami itu. Paling kurang pun, kita tahu yang akhirnya kita akan mati dan apa yang sedang kita hadapi itu akan selesai juga dengan kematian kita. Tapi, bukankah di akhirat nanti tidak ada kematian? Ini dengan terang disebut dalam Taha:74

إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ

“Sesungguhnya, sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.


 

Ayat 76: Adakah Allah zalim dengan memberi azab kepada mereka selama-lamanya?

وَما ظَلَمناهُم وَلٰكِن كانوا هُمُ الظّالِمينَ

Sahih International

And We did not wrong them, but it was they who were the wrongdoers.

Malay

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka,

Allah tidak zalim dengan mengenakan azab sesuka hati. Bukanlah Allah terus membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka. Tapi Allah telah berikan peringatan demi peringatan kepada manusia. Bukan sahaja diturunkan wahyu untuk manusia, tapi Allah bangkitkan juga para Nabi dan Rasul, para penyebar tauhid untuk memberi ingat kepada mereka; mereka sahaja yang degil tidak mahu dengar dan tidak mahu memberi perhatian. Jadi, tidaklah Allah zalim.

 

وَلَٰكِن كَانُوا هُمُ الظَّالِمِينَ

akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Mereka dikenakan azab kerana salah mereka. Allah telah beri hidayah kepada mereka. Hanya apabila mereka menolak hidayah lah, baru mereka ditetapkan akan dimasukkan ke dalam Neraka itu. Ini penting untuk kita fahami kerana jangan salahkan Allah akan nasib mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu.  Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka yang engkar, bukan sebab lain. Ingatlah yang Allah tidak pernah zalim sama sekali.


 

Ayat 77: Selepas mereka dimasukkan ke dalam Neraka, apakah permintaan mereka?

وَنادَوا يا مالِكُ لِيَقضِ عَلَينا رَبُّكَ ۖ قالَ إِنَّكُم ماكِثونَ

Sahih International

And they will call, “O Malik, let your Lord put an end to us!” He will say, “Indeed, you will remain.”

Malay

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

وَنَادَوْا يَا مَالِكُ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik!

Banyak sekali permintaan ahli neraka nanti yang disebut dalam Quran. Mereka ada minta keluar untuk kembali ke dunia, mereka ada minta dikurangkan azab, minta diberi tangguh azab untuk seketika. Dalam ayat ini disebut lagi permintaan mereka.

Ini adalah dalil bahawa nama malaikat penjaga neraka adalah Malik. Banyak nama-nama malaikat yang tidak ada dalil, seperti nama Azazil, Izrail, sebenarnya tidak ada dalil. Maka, hendaklah kita guna nama yang digunakan dalam Quran ataupun dalam hadis.

Nama Malik ini bukanlah bermaksud ‘Raja’ dalam bahasa, tapi memang nama khasnya ‘Malik’. Allahu a’lam.

 

لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ

Biarlah Tuhanmu buat keputusan ke atas kami!”

Keputusan apa? Keputusan untuk mematikan mereka terus. Mereka minta supaya mereka dimatikan sahaja kerana kerana sudah tidak tahan menderita dengan azab Neraka. لِيَقْضِ dari katadasar قضي yang bermaksud ‘memberi ketetapan’ dan dalam ayat ini bermaksud ‘ketetapan kematian’. Macam kita kalau kena seksa di dunia, kita minta mati sahajalah, kerana sudah tidak tahan. Kerana kita tahu kalau mati, kesakitan itu akan berhenti.

Malangnya, tidak akan ada kematian lagi di akhirat kerana mereka akan diseksa berterusan. Kalau mereka mati, tidaklah merasa terseksa lagi. Padahal, tujuan mereka dimasukkan ke dalam Neraka adalah untuk merasai seksa. Maka, mereka tidak akan dimatikan. Mereka diseksa teruk sangat sampai rasa macam nak mati dah, tapi mati tak datang-datang. Kalau sudah rentung, mereka akan diberi dengan kulit yang baru.

Bayangkan, selalunya manusia tak minta mati. Kalau sakit macam mana pun, manusia akan cuba nak terus hidup juga. Manusia akan cari ubat, cari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan walaupun untuk masa yang sekejap lagi. Tapi lain pula di neraka nanti. di Neraka, mereka beriya-iya minta supaya dimatikan. Menunjukkan seksa sangat rasanya.

Kenapa mereka minta kepada Malik pula? Kerana apabila mereka berdoa Allah tak bagi mereka bercakap lagi. Itulah sebabnya mereka cuba minta kepada Malik pula.

 

قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ

Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal!”

Selepas malaikat penjaga neraka ditegur selepas 1,000 tahun baru dia menjawab. Tapi jawapan yang diterima itu langsung tidak memberi kepuasan kepada mereka. Mereka diberikan jawapan yang mereka tidak akan diberi peluang langsung. Sudahlah tidak ada peluang untuk diringankan azab dan direhatkan azab seketika pun tidak boleh, sekarang pemintaan untuk dimatikan pun tidak dilayan.


 

Ayat 78: Ayat Zajrun. Kenapa mereka diseksa? Mereka diberitahu seperti yang disebut dalam ayat ini:

لَقَد جِئناكُم بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَكُم لِلحَقِّ كارِهونَ

Sahih International

We had certainly brought you the truth, but most of you, to the truth, were averse.

Malay

(Bagi menyatakan sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman): “Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu (melalui Rasul Kami), akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak suka kepada kebenaran itu”.

لَقَدْ جِئْنَاكُم بِالْحَقِّ

“Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu

Mereka diseksa kerana Allah telah menyampaikan kebenaran dalam bentuk Quran dan telah dibangkitkan Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka. Dan Allah telah memberikan guru-guru agama yang mengajar tauhid. Kalau dulu ada Nabi dan Rasul yang menyampaikan ajaran Allah, tapi sekarang manusia yang memberi peringatan itu. Bukannya Allah tidak beri hidayah kepada mereka.

Tapi apa yang terjadi?

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كَارِهُونَ

akan tetapi kebanyakan kamu tidak suka kepada kebenaran itu”.

Bukan mereka tidak tahu, tapi mereka tak suka. Kerana mereka sombong nak ikut. Mereka berat hati nak ikut. Hati mereka tak boleh nak terima. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia tanpa kekangan. Sebagaimana Allah telah firman dalam Shura:13

كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Apabila tidak ikut, mereka akan buat perkara yang salah. Sebab itulah mereka dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 79:

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Sahih International

Or have they devised [some] affair? But indeed, We are devising [a plan].

Malay

Bahkan mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan, maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan rancangan mereka).

أَمْ أَبْرَمُوا أَمْرًا

Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan?

أَبْرَمُوا dari kata dasar برم yang bermaksud ‘mengikat’ seperti mengikat tali. Jadi إبرَم bermaksud mengikat dan mengumpulkan sesuatu bersama. Ini adalah satu peribahasa Arab. Sebab waktu itu, pembinaan rumah mereka menggunakan tali untuk mengikat bahagian binaan rumah. Dan tali yang dipintal dan diikat itu adalah untuk kekal kerana bukan untuk dibuka lagi kerana rumah itu perlu kukuh, jadi tali tidak boleh senang teruntai. Maksudnya dalam peribahasa ini, Allah tanya adakah mereka dah buat keputusan tetap untuk tidak beriman?

Dan ayat ini juga boleh bermaksud membuat rancangan.

Apakah rancangan mereka? Rancangan untuk menyelamatkan diri mereka dari neraka. Allah tanya adakah mereka dah ikat tali-tali mereka – sudahkah mereka ada rancangan untuk menyelamatkan diri mereka? Ini adalah kerana mereka berbincang sesama sendiri apa yang mereka akan buat kalau mereka dimasukkan ke neraka. Ada yang kata mereka akan merayu bersungguh-sungguh, ada yang kata mereka akan lawan dengan penjaga neraka kerana dalam Quran disebut mereka itu beberapa orang sahaja.

Atau rancangan yang dimaksudkan adalah rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad. Kerana mereka sudah tidak boleh melawan Nabi Muhammad dengan hujah, maka mereka buat perancangan untuk membunuh sahaja Nabi Muhammad. Kenapa mereka tidak bunuh dari awal-awal lagi? Kerana Nabi ada penaung iaitu Abu Thalib. Tapi selepas Abu Thalib mati, mereka nampak peluang untuk menjalankan rancangan mereka berhasil. Tapi, kabilah Arab amat kuat tahap persatuan mereka, sampaikan kalau kabilah yang membunuh ahli kabilah mereka, mereka akan bersatu untuk menentang kabilah yang membunuh itu. Oleh itu, mereka telah membuat perancangan untuk bergabung semua wakil dari kabilah Arab untuk membunuh Nabi. Itu adalah supaya Kabilah Bani Hashim tidak dapat hendak membalas balik kerana mereka terpaksa berhadapan dengan semua kabilah Arab.

 

فَإِنَّا مُبْرِمُونَ

maka Kami juga merancang

Kalau mereka telah tetap untuk tidak mahu beriman, maka Allah pun membuat rancangan untuk menghancurkan mereka. Dan kalau begitu, Allah pun sudah tetapkan akan masukkan dalam neraka.

Kalau mereka sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada peluang untuk keluar lagi dari Neraka.

Dan kalau mereka membuat rancangan untuk membunuh Nabi, Allah pun buat rancangan juga untuk menggagalkan rancangan mereka.

Rancangan mereka tidak akan berjaya, tapi rancangan Allah akan berjaya. Seperti yang Allah firmankan dalam Ali Imran:54

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ الماكِرينَ

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.


 

Ayat 80: Apa mereka sangka mereka akan lepas dengan perancangan mereka itu?

أَم يَحسَبونَ أَنّا لا نَسمَعُ سِرَّهُم وَنَجواهُم ۚ بَلىٰ وَرُسُلُنا لَدَيهِم يَكتُبونَ

Sahih International

Or do they think that We hear not their secrets and their private conversations? Yes, [We do], and Our messengers are with them recording.

Malay

Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُم

Adakah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri?

Mereka sangka, dengan mereka berincang sesama sendiri senyap-senyap di tempat tersembunyi, Allah tidak tahu? Adakah mereka sangka perancangan sulit mereka itu selamat?

Sirr – perbincangan rahsia dua orang

Najwa – perbincangan rahsia lebih dari dua orang.

 

بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ

bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

Tentulah Allah dengar. Malah ada malaikat yang mencatat apa yang mereka rancangkan. Lalu bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri mereka? Semua itu akan dibentangkan kepada mereka sebagai bukti.


 

Ayat 81: Balik kepada perbincangan Tauhid kembali. Ini adalah satu hujah yang Allah ajar kepada Nabi. Allah menekankan yang Dia tidak mempunyai anak.

قُل إِن كانَ لِلرَّحمٰنِ وَلَدٌ فَأَنا أَوَّلُ العابِدينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “If the Most Merciful had a son, then I would be the first of [his] worshippers.”

Malay

Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): “Kalau betul Allah yang Maha Pemurah mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!”

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدٌ

Katakanlah: “Kalau betul yang Maha Pemurah, mempunyai anak

Musyrikin Mekah itu menentang tentang tauhid kepada Allah. Mereka kata Allah ada anak. Begitu juga agama-agama yang lain seperti Yahudi dan Kristian pun kata Tuhan ada anak. Tapi tidak pernah Allah beritahu sendiri yang Dia ada anak. Kalau ada, tentu Dia beritahu sendiri seperti firmanNya dalam Zumar:4

لَّوْ أَرَادَ اللَّهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.

Kalau Allah hendakkan anak, tentu Dia sendiri pilih siapa anakNya, dan apakah yang kita perlu buat kepada anakNya itu – nak kena sembah kah, nak bagi korban kah dan sebagainya.

 

فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ

maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu;

Nabi disuruh memberi satu hujah kepada manusia. Kalau Allah itu ada anak dan Dia telah beritahu untuk sembah anakNya itu, tentu Nabi sendiri akan mula-mula sembah. Kerana Nabi akan taat dengan apa yang Allah suruh. Tapi Allah tidak ada anak. Allah tidak pernah kata Dia ada anak. Yang Allah suruh adalah menyembahNya sahaja. Jadi, kita nak buat apa lagi? Sembah Allah sahaja. Jadi, apabila Nabi pun disuruh berhujah sampai begini, memang menunjukkan bahawa memang Allah tidak akan ada anak.

Jangan kita ingat ayat ini tidak kena kepada kita. ‘Anak’ yang dimaksudkan bukanlah ‘anak kandung’, tapi ‘Anak Angkat’ Allah. Kerana manusia menyangka Allah ada menyayangi makhluk-makhlukNya sampaikan macam anak angkat. Maka, orang kita pun begitulah juga pemahaman mereka. Mereka kata ada orang yang rapat dengan Allah, maka kenalah sembah mereka, beribadah kepada mereka, bodek mereka, gunakan mereka wasilah dalam doa dan sebagainya. Sebab itulah ramai kalangan masyarakat kita yang beri salam, puji dan puja, sedekah Fatihah dan sebagainya kepada Nabi, wali dan Malaikat. Apabila berdoa, sebelum berdoa mereka akan seru nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai perantara dalam doa. Itulah salah faham dalam kalangan kita tentang ‘Anak Angkat’ ini.


 

Ayat 82: Adakah benar tanggapan mereka itu? Tentu tidak!

سُبحانَ رَبِّ السَّماواتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

Sahih International

Exalted is the Lord of the heavens and the earth, Lord of the Throne, above what they describe.

Malay

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka katakan itu.

سُبْحَانَ رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, –

Allah itu Maha Suci dari apa yang mereka katakan itu. Mereka sahaja yang memandai-mandai cipta satu akidah baru dalam agama. Mereka tidak ada dalil.

 

رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Tuhan Arasy, – (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka sifatkan itu.

Allah Maha Suci dari apa yang mereka sifatkanNya, iaitu Dia ada anak. Allah juga Maha Suci dari memerlukan perantaraan dalam berdoa, dalam ibadat (kecuali wasilah yang dibenarkan). Maka, janganlah kita buat ibadat kepada entiti yang lain. Berhentilah dari beri salam, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat seperti yang dibuat oleh ramai dalam kalangan masyarakat kita. Berhentilah dari mengamalkan tawasul yang dilarang.

Allah menyebut bahawa Dia adalah Tuhan Arash. Arash itu amat tinggi. Dan Allah itu di atas lagi dari Arash. Ini hendak menceritakan ketinggian Allah. Allah Maha Tinggi dari apa yang mereka itu sifatkan. Apa yang mereka sifatkan kepada Allah itu adalah tidak layak untuk Allah. Sifat memerlukan anak ini adalah sifat makhluk yang lemah yang mahukan kesinambungan keturunan kita. Kita juga memerlukan anak-anak untuk menolong kita dalam kehidupan dunia ini. Allah tidak perlukan semua  itu. Jadi, kenapa Allah perlukan anak?

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s