Tafsir Surah Zukhruf Ayat 61 – 66 (Nabi Isa tanda Kiamat)

Ayat 61: Kembali kepada kisah Nabi Isa a.s. Penurunan baginda adalah tanda dekatnya Hari Kiamat.

وَإِنَّهُ لَعِلمٌ لِلسّاعَةِ فَلا تَمتَرُنَّ بِها وَاتَّبِعونِ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Sahih International

And indeed, Jesus will be [a sign for] knowledge of the Hour, so be not in doubt of it, and follow Me. This is a straight path.

Malay

Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.

 

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

Dan sesungguhnya kedatangan Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat,

Seperti yang kita tahu, Nabi Isa telah diangkat ke langit dan baginda akan diturunkan kembali nanti. Dalam ayat ini sebagai isyarat dan maklumat lebih lanjut tentang penurunan kedua Nabi Isa a.s. ada dalam riwayat hadis. Penurunan baginda itu adalah sebagai tanda yang Hari Kiamat sudah hampir.

Inilah satu lagi kelebihan Nabi Isa iaitu sebagai maklumat yang Hari Kiamat sudah dekat. Ketika itu semua Nasara akan masuk Islam dan akan bergabung dengan orang Islam yang lain untuk menentang Yahudi yang diketuai oleh Dajjal. Ini seperti yang diberitahu dalam hadis.

Terjemahan kedua, dhomir إِنَّهُ dalam ayat ini merujuk kepada Qur’an. Ini adalah kerana Qur’an ada ilmu tentang kiamat. Sesiapa yang mahu tahu tentang akhirat, maka silalah baca Qur’an dan tentu akan percaya adanya Hari Akhirat. Kerana Qur’an ada ilmu yang sempurna tentang kiamat.

 

فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا

maka janganlah kamu ragu-ragu tentangnya,

Janganlah kita ragu-ragu tentang datangnya Hari Kiamat itu. Ianya pasti akan datang.

 

وَاتَّبِعُونِ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

dan turutlah Aku; inilah jalan yang lurus.

Nabi Muhammad disuruh untuk mengajak kaumnya untuk mengikuti jalan yang dibawanya itu – Jalan Tauhid. Itulah jalan yang lurus – ikut dan taat kepada Allah. Kita selalu berdoa dalam surah Fatihah dalam solat kita setiap hari supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Maka, inilah dia jalan yang lurus! Jalan yang lurus itu adalah dengan mengikuti jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad, iaitu jalan Tauhid. Iaitu kita mengikut jejak langkah Nabi mentauhidkan Allah. Untuk mengetahuinya, hendaklah kita belajar Tafsir Quran dan juga hadis Nabi.


 

Ayat 62:

وَلا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيطانُ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Sahih International

And never let Satan avert you. Indeed, he is to you a clear enemy.

Malay

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

 

وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطَانُ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu

Jangan biarkan syaitan menghalang kita daripada menurut jalan yang lurus; Juga jangan biarkan syaitan menghalangi kita dari bersedia untuk menghadapi hari kebangkitan. Jangan biarkan syaitan menghalang kita dari Tauhid.

Syaitan akan sentiasa membisikkan kita perkara-perkara yang tidak baik. Antaranya syaitan akan mengindahkan kehidupan dunia ini sampaikan kita lupa untuk bersedia menghadapi akhirat. Kita sibuk menikmati kehidupan kita sampaikan kita lupa untuk beramal ibadat sebagai persediaan kita di akhirat. Syaitan juga akan membisikkan perkara-perkara yang bidaah dan syirik supaya kita amalkan, kerana kalau buat syirik, akan kekal dalam neraka dan itulah yang mereka mahu.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan kita. Mereka tidak mahu kita masuk syurga. Syaitan mahu kita bersama-sama mereka dalam neraka. Maka, kita kenalah berhati-hati. Kita kena ingat yang Syaitan tidak akan melupakan kita. Mereka tidak ada kerja lain lagi dari menyesatkan kita.

Mereka musuh yang nyata kerana mereka sendiri mengaku musuh kita seperti yang disebut dalam Quran. Selalunya kita ada musuh tapi musuh itu tidak mengaku. Tapi syaitan mengaku dengan terang.


 

Ayat 63: Dalil Naqli Tafsili (kerana ada disebut nama Nabi). Kisah Nabi Isa a.s.

وَلَمّا جاءَ عيسىٰ بِالبَيِّناتِ قالَ قَد جِئتُكُم بِالحِكمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعضَ الَّذي تَختَلِفونَ فيهِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

Sahih International

And when Jesus brought clear proofs, he said, “I have come to you with wisdom and to make clear to you some of that over which you differ, so fear Allah and obey me.

Malay

Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

 

وَلَمَّا جَاءَ عِيسَىٰ بِالْبَيِّنَاتِ

Dan ketika Nabi Isa datang dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Ini ketika Nabi Isa datang kepada kaumnya: Bani Israil. Nabi Isa datang dengan membawa berbagai-bagai keterangan yang diberikan oleh Allah bagi membuktikan kenabian baginda.

 

قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِالْحِكْمَةِ

berkatalah ia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat,

Hikmah itu boleh diterjemahkan dalan banyak maksud:

  • Hikmah kebijaksanaan.
  • Hukum dalam Injil. Yang mengandungi ajaran akidah dan syariat. Dan ada hukum yang tidak sama dengan Kitab Taurat. Maknanya dari dulu lagi sudah ada pembatalan hukum dan ini biasa sahaja. Jadi jangan hairanlah kalau ada pembatalan hukum dengan datangnya Qur’an. Oleh itu, bila datang Qur’an, Bani Israil kena terimalah pembatalan hukum yang ada dalam Taurat dan Injil itu.
  • Pati agama. Mengingatkan kaumnya kembali kepada agama. Kerana Bani Israil sudah ada Taurat tapi mereka sudah lupa. Maka mereka kena diingatkan.

 

وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ

dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya.

Nabi Isa a.s. telah diturunkan diwaktu Bani Israil berpecah belah antara mereka kerana berbagai-bagai pendapat yang berbeza. Perbezaan mereka itu termasuklah dalam perkara aqidah. Maka Nabi Isa diturunkan untuk memperjelaskan manakah akidah dan amalan mereka yang salah itu. Walaupun mereka ada Kitab Taurat tapi mereka bertelagah tentangnya. Kerana telah ada penukaran dan penyembunyian dalam kitab itu oleh pendita-pendita mereka.

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Maka, hendaklah bertaqwa iaitu menjaga hukum dalam setiap amalan dalam kehidupan. Dalam setiap perkara, kena perhatikan apakah yang Allah kehendaki dalam perkara itu.

Dan hendaklah mereka taat kepada Nabi Isa. Macam kita juga, kena taat dengan ajaran Nabi Muhammad. Tidak ada makna kalau hendak ikut kepada Kitab Wahyu, tapi tidak ikut kepada Rasul yang menyampaikan.


 

Ayat 64: Nabi Isa tidak pernah suruh manusia sembah dia.

إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Sahih International

Indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. This is a straight path.”

Malay

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

 

إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu,

Allah menekankan lagi kedudukan Nabi Isa di dalam ayat ini dimana Nabi Isa sendiri mengaku yang Allah itu adalah Rabbnya. Lalu bagaimana ada manusia yang kata yang baginda itu adalah tuhan, Anak Tuhan, atau sebahagian dari Tuhan? Itu semua adalah pembohongan sahaja. Malah, kalau dilihat dalam Kitab Injil pun, tidak ada di mana-mana ayat yang mengatakan dengan jelas bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Yang difahami oleh penganut Kristian sekarang adalah hanya kata-kata pendita dan ketua mereka yang telah menipu mereka.

 

فَاعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

Nabi Isa suruh umatnya menyembah Allah, bukan menyembah dirinya. Itulah jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah ‘menyembah Allah’. Dan hanya menyembah Allah sahaja tanpa ada disembah entiti yang lain.

Kita selalu memohon supaya ‘diberikan kita jalan yang lurus’ dalam bacaaan Fatihah kita, sekurang-kurangnya dalam solat kita. Ayat ini memberitahu kepada kita, ‘Jalan yang Lurus’ adalah ‘Menyembah Allah’ sahaja.

Kalau beginilah kata-kata Nabi Isa, maka penganut Kristian yang sekarang mengaku mengikut Nabi Isa pun kenalah ikut juga sebegini. Penjelasan dari Nabi Isa itu dah jelas dah. Tapi masih ada yang tidak mahu ikut. Jadi kalau sekarang dah jelas tapi masih ada yang tidak ikut juga, itu adalah perkara biasa.


 

Ayat 65: Takhwif Duniawi.

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِلَّذينَ ظَلَموا مِن عَذابِ يَومٍ أَليمٍ

Sahih International

But the denominations from among them differed [and separated], so woe to those who have wronged from the punishment of a painful Day.

Malay

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

 

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan berselisihan sesama sendiri.

Kumpulan yang timbul selepas Nabi Isa diangkat telah berselisih tentang Nabi Isa. Ada yang kata baginda itu seorang Rasul dan manusia sahaja, ada yang kata dia sebahagian daripada Tuhan, ada yang kata dia Tuhan, ada yang kata dia ahli sihir, ada yang kata dia adalah seorang Nabi dan macam-macam lagi. Sampai sekarang terdapat perbezaan pendapat yang berbagai-bagai itu masih ada lagi dikalangan manusia.

 

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu,

Kezaliman yang dimaksudkan adalah pendapat mengatakan yang Nabi Isa bukan seorang Rasul tapi anak Tuhan atau sebahagian daripada Tuhan, atau Tuhan sendiri. Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan terhadap Allah.

 

مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ

dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

Iaitu pada hari Kiamat. Mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih. Padahal orang Nasrani ini ramai yang baik-baik, suka menolong orang. Tapi kerana salah faham dalam bab agama ini, mereka dikenakan dengan azab yang pedih, amat pedih.

Lihatlah yang kena azab seksa itu adalah mereka yang berbuat kezaliman iaitu kerana kufur dan syirik. Mereka yang disembah seperti Nabi Isa tidak bersalah dan mereka tidak akan dikenakan dengan azab.

Oleh itu jikalau manusia yang mengaku beragama Islam pun menyembah Nabi, wali dan malaikat, mereka pun akan dikenakan dengan azab neraka. Tidaklah Nabi, wali dan malaikat itu bersalah kerana mereka tidak pernah pun suruh mereka dipuja.


 

Ayat 66: Takhwif Ukhrawi.

هَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Sahih International

Are they waiting except for the Hour to come upon them suddenly while they perceive not?

Malay

(Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan.

 

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ

tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat

Mereka yang tidak mahu beriman itu tidaklah ada yang mereka tunggu melainkan kematian sahaja. Walaupun banyak kali Nabi Muhammad telah berdakwah dan berhujah dengan mereka tetapi mereka masih tidak mahu menerima iman hanya mahu berdebat sahaja. Kerana kehidupan mereka mungkin senang sahaja tidak ada masalah, jadi mereka tidak mahu beringat-ingat. Tapi ingat, di akhirat nanti mereka tidak akan lepas.

Macam juga dengan ramai orang. Mereka tidak mahu menerima Islam. Sampailah mereka mati tidak beriman. Kalau dalil dari Quran pun mereka tidak terima, maka tidak ada dalil lain lagi dah. Mereka hanya menunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

Bagaimana dengan kalangan kita yang sudah Islam? Ada ramai dari kalangan mereka yang hanya Islam pada nama sahaja. Tidak ambil kisah pun tentang agama, tentang amalan dan ilmu tentang agama. Mereka tidak kisah tentang Quran pun. Kalau diajak untuk belajar agama, belajar tafsir, mereka akan ada sahaja alasan – sibuk, anak sakit, anak nak kena dihantar ke tuisyen. Mereka kata bila mereka senang, mereka akan datang. Sampai bila? Sampai mereka mati tidak belajar.

 

أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً

yang akan datang kepada mereka secara mengejut,

Sampai mereka mati, mereka masih tidak beriman dan tidak belajar. Kerana mati itu adalah ‘Kiamat Kecil’. Setiap manusia akan mati. Dan mati itu akan datang mengejut. Mati datang tanpa memberitahu kepada kita bilakah ianya akan datang. Mengejut kerana tidak sempat nak perbaiki akidah dan amalan. Sedar-sedar sudah dalam kubur dah.

 

وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

dan mereka tidak menyedarinya.

Mereka tidak sedar bilakah kematian mereka akan datang. Kita pun tidak tahu. Tidak ada sesiapa pun yang tahu. Keluar dari rumah, entah-entah dilanggar motor atau kereta, terus mati. Sedar-sedar sahaja Malaikat Maut sudah hadhir dan kita sudah berada di dalam alam barzakh. Maka kenalah kita beringat-ingat tentang kematian. Apabila kita lihat orang lain setiap hari ada sahaja yang mati, ingatlah bahawa kita pun akan sampai masa kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

4 Responses to Tafsir Surah Zukhruf Ayat 61 – 66 (Nabi Isa tanda Kiamat)

  1. sayyid says:

    Assalamualaikum wr.wb,
    Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.

    Ada beberapa hal yg menunjukkan bahwa isa sebagai tanda kiamat.
    -kelahirannya
    -mukjizat yg Allah berikan kepadanya
    -Allah telah mengangkatnya

    ayat diatas ini tidak pernah menyinggung turunnya isa di akhir zaman

    wassalamualaikum wr.wb,

    ustad sayyid

    • tafsirsunnah says:

      Waalaikum salam Ustaz Sayyid.
      Ada isyarat dalam ayat yang lain tentang turunnya Nabi Isa. Memang tidak ada dalam ayat ini. Teruskan membaca ayat-ayat yang lain. Ianya dalam bentuk mafhum sahaja, bukan mantuq. Dan kalau tidak percaya Nabi Isa turun pun, ia bukanlah usul aqidah, tapi furu’ akidah. Cuma lebih kuat pendapat yang mengatakan Nabi Isa akan turun kerana diberi isyarat dalam Qur’an dan dikuatkan lagi dengan hadis Nabi.

      • sayyid says:

        Assalamualaikum wr.wb,

        Ada dua (2) ayat dari alquran yg menunjukkan kedudukan nabi isa a.s di hari kiamat.

        1.Alquran surat an nahl ayat 84.

        Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (rasul), kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir (untuk membela diri) dan tidak (pula) mereka dibolehkan meminta ma`af.

        dan alquran surat an nahl ayat 89.

        (Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami, bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.

        Dengan kedua ayat diatas sangat jelas sekali kedudukan nabi isa a.s di hari berbangkit (kiamat) bahwa beliau hanya sebagai saksi untuk umatnya sendiri dan tidak ada campur tangan terhadap umat nabi muhammad s.a.w keseluruhannya dan nabi isa a.s hanya dibangkitkan pada hari kiamat saja, tidak pada akhir zaman seperti yg diperkirakan sebagian umat islam dan kristen.
        Dengan ayat ini menunjukkan bahwa nabi isa a.s telah wafat dan hanya dibangkitkan di hari kiamat seperti halnya nabi muhammad s.a.w.

        Kita musti ingat,
        Allah tidak pernah menjanjikan kepada kita bahwa Allah akan membangkitan kita kelak dari kubur dengan tulang-belulang, sesungguhnya kiamat itu amat dahsyat dan bumi akan lenyap.
        jangan kita memikirkan bahwa isa turun lagi oleh karena musti mengalami kematian seperti kita semua secara umumnya di muka bumi ini.

        wassalamualaikum wr.wb,

        ustad sayyid

      • tafsirsunnah says:

        Waalaikum salam. Terima kasih atas komen Ustaz, perbincangan ilmiah memang dialu-alukan.

        Ayat yang ustaz Sayyid bawa itu tidak menidakkan Nabi Isa akan dibangkitkan lagi. Memang baginda akan menjadi saksi nanti kepada umat baginda, seperti juga Rasul-rasul yang lain akan menjadi saksi bagi umat mereka. Kerana Nabi Isa juga akan wafat juga, dan nanti akan dibangkitkan kembali seperti juga makhluk-makhluk yang lain. Dan bila baginda dibangkitkan semula selepas kematian baginda, baginda juga akan menjadi saksi atas umat baginda.

        Kena baca dengan ayat-ayat yang lain juga, ustaz.

        Tapi iman Nabi Isa akan dibangkitkan kembali adalah furu’ aqidah, bukan usul aqidah. Kerana dalil yang ada, tidak mantuq melainkan mafhum sahaja. Kalau tidak terima, tidak mengapa, tidak mengganggu iman. Begitu juga kalau percaya yang Nabi Isa akan dibangkitkan semula, tidak salah. Kalau ustaz berpegangan yang Nabi Isa sudah wafat, silakan. Saya berpegangan bahawa baginda akan dilahirkan semula.

        Allahu a’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s