Tafsir Surah Zukhruf Ayat 54 – 60 (Pembodohan Ummat)

Ayat 54: Kaum Firaun yang memandang kekayaan dunia, memang termakan dengan hujah-hujah Firaun itu. Jiwa mereka memang puja dunia dan mereka takut kalau keduniaan mereka tergugat. Mereka melihat kekayaan sebagai neraca kebenaran, maka mereka lebih suka mengikut sahaja sesiapa yang berkuasa. Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat kita.

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فاسِقينَ

Sahih International

So he bluffed his people, and they obeyed him. Indeed, they were [themselves] a people defiantly disobedient [of Allah ].

Malay

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ

Maka Firaun memperbodohkan kaumnya,

فَاسْتَخَفَّ dari katadasar خفف yang bermaksud ‘ringan’. Dia nampak kaumnya pandang ringan sahaja tentang perkara-perkara yang melibatkan kehidupan mereka dari sudut dunia dan akhirat. Apa sahaja yang disebut kepada mereka olehnya, mereka akan ikut. Atau, ia bermaksud, Firaun ‘meringankan’ pemikiran rakyatnya, yang bermaksud memperbodohkan kaumnya. Senang ditolak ke sana dan ke sini. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan strategi terancang supaya rakyatnya tidak pandai berfikir. Dia dengan sengaja menjadikan kaumya jahil supaya mereka ikut sahaja. Kaumnya tidak pandai berfikir sendiri maka senanglah mereka dikawal. Begitulah kesannya kalau akal jahil tidak berilmu.

Firaun telah menggunakan kempen besar-besaran. Macam manusia juga, apabila dikenakan dengan propaganda media massa, mereka terus percaya apa yang disampaikan. Pada mereka, kalau keluar di suratkhabar dan televisyen, ia tentunya benar. Manusia dah malas nak fikir, mereka terima sahaja apa yang pemerintah berikan. Inilah yang terjadi dari zaman Firaun sendiri. Ma sha Allah, dari zaman itu lagi dah ada, dan sekarang ianya diamalkan oleh pemerintah zaman ini juga. Pemerintah akan senang memerintah rakyat yang bodoh yang tidak boleh berfikir sendiri. Oleh itu, ada kerajaan yang menghalang rakyat mereka dari menggunakan akal kritis mereka. Mereka hanya diberikan dengan pendidikan yang membolehkan mereka membaca dan mengira sahaja. Mereka hendak rakyat mereka berfikiran ‘ringan’ sahaja.

Begitu jugalah dengan mereka yang memegang tampuk agama negara ini. Iaitu mereka yang dipandang sebagai orang alim, yang menguruskan hal agama di negara kita. Mereka akan kata kepada masyarakat, tak payah tukarlah apa yang telah lama diamalkan itu. Mereka beri macam-macam hujah, yang kalau diberikan kepada mereka yang jahil, mudah untuk mereka terima.

 

فَأَطَاعُوهُ

lalu mereka mematuhinya;

Sepatutnya mereka mengikut Nabi Musa tetapi mereka telah mengikuti kata-kata Firaun. Mereka taat kepada Firaun dan tidak taat kepada Nabi Musa. Mereka percaya kepada Firaun. Mereka takut kepada Firaun. Padahal Nabi Musa datang dengan bawa dalil-dalil dan hujah dari wahyu.

Padahal kaumnya semua nampak yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa. Tapi bila Firaun bagi ucapan besar-besaran itu, mereka ikut apa kata Firaun pula. Macam zaman sekarang, kalau ada pemimpin yang pandai cakap, manusia akan terpersona dan akan mengikut kata-kata pemimpin itu.

Macam orang kita yang ikut sahaja yang pemimpin mereka katakan tanpa usul periksa. Lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu adalah pemimpin politik mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin mereka semuanya benar belaka, dan apa yang dilakukan oleh pemimpin politik lawan, semuanya salah. Manusia ramai yang tidak tahu membezakan mana yang benar dan salah lagi.

nasyid tv-alhijrah-1

Orang awam dan kanak-kanak mudah saja terpesong aqidah dengan ‘nasyid dan qasidah’ tv ‘islamik’. Kalau tak betul takkan lah masuk dalam tv islam!

Begitu juga dalam hal agama. Mereka hanya memilih guru dan ustaz yang terkenal sahaja, yang ada nama, pernah masuk TV, radio dan suratkhabar sahaja. Apa sahaja yang diberitahu oleh mereka, diterima bulat-bulat. Tidak lagi diperiksa dengan Quran dan Hadis. Kerana masyarakat Islam negara kita telah diajar dari kecil lagi untuk tidak mempersoalkan apa yang diajar oleh ustaz. Apa yang mereka beritahu, ‘tentunya benar’, ‘takkan mereka salah’ dan macam-macam lagi. Maka, berterusanlah manusia berada dalam kejahilan. Seolah-olah percambahan ilmu dan pencarian ilmu telah ditutup oleh mereka.

 

إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

Oleh kerana mereka tidak taat kepada Rasul tetapi taat kepada Firaun, maka Allah menggelar mereka sebagai kaum yang fasik.

Tetapi bukankah Firaun yang bersalah dalam hal ini kerana dialah yang memperbodohkan mereka? Memanglah Firaun telah mengambil kesempatan ke atas mereka tetapi Allah telah memberi setiap manusia dengan akal fikiran untuk menimbang manakah yang benar dan manakah yang salah. Oleh kerana mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka, maka mereka telah menjadi kaum yang fasik.

Maka, tidaklah boleh kalau kita hendak menggunakan alasan: “Saya tidak tahu, saya ikut sahaja”. Kita kena menggunakan akal yang kritis. Kena pandai tanya kepada guru yang mengajar: “Ustaz, tumpang tanya, Ustaz dapat maklumat ini dari mana?” Jangan biarkan guru-guru agama ‘memperbodohkan’ kita dengan kata-kata dan ajaran mereka yang tidak ada dalil yang sah. Cukuplah sudah mereka mengambil kesempatan dari kejahilan kita selama ini. Marilah belajar Quran dan Hadis yang sahih supaya kita dapat membezakan manakah yang benar dan manakah yang hanya rekaan sahaja.


 

Ayat 55: Setelah mereka mengambil keputusan untuk mengusir Nabi Musa, maka Allah telah mengambil tindakan keras.

فَلَمّا آسَفونَا انتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقناهُم أَجمَعينَ

Sahih International

And when they angered Us, We took retribution from them and drowned them all.

Malay

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).

فَلَمَّا آسَفُونَا

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami,

Mereka telah menyebabkan Allah marah dengan perbuatan derhaka mereka itu. Mereka bukan sahaja tolak tapi mereka hendak menyakiti Nabi Musa dan hendak menghalau baginda.

Perkataan آسَفُونَا diambil dari kata dasar أسف yang boleh bermaksud ‘menyesal’ ataupun ‘kemarahan’. أسف adalah perasaan marah yang bercampur dengan perasaan sedih disebabkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lain. Ianya lebih berat lagi daripada perkataan marah, َغَضَب.

 

انتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Kami ambil balasan dari mereka,

Allah balas dendam kepada mereka. Allah membalas kesalahan yang mereka lakukan semasa mereka di dunia lagi.

 

فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ

iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut.

Firaun, keluarganya, pembesarnya dan tenteranya semuanya dimusnahkan dalam laut itu. Tidak ada seorangpun yang diselamatkan. Semua sekali dimatikan dalam Laut. Kekayaan mereka di Mesir ditinggalkan begitu sahaja. Allah bawa mereka semua ke satu tempat dan tenggelamkan semua sekali. Tak kacau tempat tinggal mereka kerana nak beri balik kepada Bani Israil. Allah buang yang tidak diperlukan sahaja. Begitulah hebatnya perancangan Allah.

Lihatlah bagaimana kesalahan mereka dibalas semasa di dunia lagi. Apabila manusia yang engkar berbuat zalim kepada penyebar tauhid, Allah akan membalas kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Tapi jangan kita doa untuk disegerakan azab kepada mereka yang menolak dakwah kita. Kerana kita kasihan kepada mereka. Memang doa itu akan makbul. Kisah-kisah azab dan bala yang diberikan kepada umat-umat terdahulu itu bukan hanya sebagai sejarah sahaja, tetapi ianya masih boleh terjadi lagi. Maka beringat-ingatlah.


 

Ayat 56: Apakah tujuan Allah menceritakan kisah mereka kepada kita?

فَجَعَلناهُم سَلَفًا وَمَثَلًا لِلآخِرينَ

Sahih International

And We made them a precedent and an example for the later peoples.

Malay

Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِّلْآخِرِينَ

Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

Kita sepatutnya menjadikan mereka yang sebelum kita sebagai pengajaran buat kita. Dari dahulu sampai sekarang, ramai yang mengkaji tentang Firaun, tentang kehidupannya, tapi tiada yang kaji tentang kekufurannya dan kenapa dia dimusnahkan. Kalau golongan arkeologis, mereka kaji kesan peninggalan Firaun, bahasa yang digunakan, pakaian dan adat mereka, malah apa-apa sahaja, tapi lihatlah bagaimana tidak disebut kenapa mereka dimusnahkan begitu sahaja.

سَلَفًا bermaksud mereka yang ada dulu sebelum kita. Mereka yang lebih awal dari kita. Mereka hidup sebelum kita dan mereka sekarang sudah tiada. Mereka menjadi sebahagian daripada sejarah dan kita perlu mempelajari sejarah mereka supaya kita boleh belajar dari kebaikan dan kesilapan mereka yang lampau. Sejarah akan berulang-ulang kerana kita tidak mengambil pengajaran darinya.

Firaun, pembesarnya dan kaumnya yang kufur menjadi pengajaran untuk kita yang datang terkemudian dari mereka. Mereka bukanlah menjadi contoh yang baik yang perlu diikuti sebaliknya mereka adalah contoh yang perlu dijauhi. Lihatlah bagaimana mereka begitu kaya dan kuat, tetapi kekayaan dan kekuatan mereka itu hanya sementara sahaja. Hanya di dunia sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan kekuatan dan kekayaan yang melimpah ruah.

Ia juga mengajar kepada kita bahawa dengan kuasa dan kekayaan yang ada pada manusia, manusia boleh mempengaruhi manusia lain untuk melakukan kesalahan. Memang ramai yang terpengaruh dengan kekayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh orang lain. Maka kita kenalah berhati-hati dengan mereka yang nampaknya ada kekuatan dan ada kuasa, kerana tidak semestinya mereka tu benar. Kita kena berhati-hati dengan mereka yang kita ikut. Jangan kita ikut sahaja tanpa periksa. Kerana kalau mereka salah dan kita ikut mereka, kita pun salah juga dan akan dipersoalkan. Kita tidak boleh jawap nanti di hadapan Allah: “Saya ikut sahaja”.


 

Ayat 57: Sekarang kita lihat apakah hujah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad. Ini adalah dalil naqli tentang Nabi Isa yang ditujukan kepada orang Mekah.

۞ وَلَمّا ضُرِبَ ابنُ مَريَمَ مَثَلًا إِذا قَومُكَ مِنهُ يَصِدّونَ

Sahih International

And when the son of Mary was presented as an example, immediately your people laughed aloud.

Malay

Dan ketika (Nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang).

وَلَمَّا ضُرِبَ ابْنُ مَرْيَمَ مَثَلًا

Dan ketika anak Maryam (Nabi Isa) dikemukakan sebagai satu contoh,

Ini adalah kisah bagaimana beberapa lelaki dari kalangan Musyrikin Mekah telah berhujah dengan Nabi Muhammad. Mereka mengemukakan kedudukan Nabi Isa sebagai hujah untuk membantah Nabi Muhammad. Sebelum itu, Nabi Muhammad telah memberitahu kepada Musyrikin Mekah bahawa tidak ada sembahan yang baik selain Allah. Maka mereka pun berhujah, bagaimana pula dengan Nabi Isa? Nabi Isa juga disembah oleh banyak orang yang beragama Kristian. Kalau benar kata Nabi, maka Nabi Isa itu tidaklah baik kerana dia bukan Allah. Padahal, sebelum-sebelum ini, Nabi Muhammad telah mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah seorang yang baik, seorang Rasul. Jadi macam tidak selari dan tidak kena dengan apa yang dikatakan oleh Nabi dalam dua perkara itu.

Itulah hujah yang mereka kemukakan kepada Nabi Muhammad. Apabila tidak ada hujah, mereka akan pakai apa-apa hujah yang ada. Sampai hujah mengarut pun akan dikeluarkan juga. Begitulah juga dengan ahli-ahli bidaah di negara kita. Macam-macam hujah akal yang mereka akan gunakan.

Ada juga riwayat yang mengatakan pada satu ketika, semasa Nabi berdakwah kepada Musyrikin Mekah, baginda membaca ayat Anbiya:98

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُونَ

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang selain dari Allah, akan menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.

Maksudnya,  Musyrikin Mekah dan berhala -berhala yang mereka sembah itu akan dimasukkan dalam neraka dan dijadikan sebagai bahan bakarnya. Mendengar baginda membaca ayat itu, mereka bertanya adakah ayat ini merujuk kepada sembahan mereka di Tanah Arab sahaja atau seluruh dunia? Nabi jawap di mana-mana sahaja. Mendengar jawapan baginda, mereka pun berkata, kalau begitu, maka Nabi Isa yang disembah, Nabi Uzair yang disembah dan malaikat-malaikat yang disembah pun akan masuk neraka dan dijadikan bahan bakar jugalah kalau begitu. Mereka telah pusing kata-kata Nabi Muhammad. Selepas itu mereka bersorak gembira dengan bising-bising. Mereka sangka mereka telah berjaya membungkam mulut Nabi Muhammad. Begini juga dilakukan pada zaman sekarang – pusing kata-kata orang lain dan buat bising sampai orang yang dipusing itu tidak dapat membalas balik.

Maka, Allah telah menurunkan ayat 101 dan 102 dari surah Anbiya untuk lebih menjelaskan lagi:

إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَىٰ أُولَٰئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.

لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا وَهُمْ فِي مَا اشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَالِدُونَ

Mereka tidak mendengar suara api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Maknanya, mereka yang disembah tapi telah mati itu tidaklah termasuk dalam golongan sembahan yang akan dibakar dalam api neraka. Dan perkataan ‘memperoleh kebaikan’ yang digunakan dalam ayat 101 itu bermaksud mereka yang telah dijanjikan dengan syurga. Mereka akan dijauhkan dari neraka. Mereka dulu semasa hidup tidak pernah pun menyuruh supaya mereka disembah. Mereka sebaliknya mengajar umat mereka untuk hanya menyembah Allah sahaja. Hanya mereka yang selepas itu sahaja yang memandai-mandai menyembah mereka.

Tambahan pula, lihatlah perkataan yang digunakan dalam ayat 98 itu – وَمَا تَعْبُدُونَ – perkataan مَا itu merujuk kepada benda yang tidak bernyawa. Jadi, Nabi Isa, Nabi Uzair dan para malaikat itu tidak termasuk dalam ayat itu kerana mereka itu makhluk yang bernyawa. Yang jadi bahan bakar itu adalah berhala-berhala dan benda yang tidak bernyawa.

Kenapa Allah masukkan sekali berhala-berhala dan sembahan mereka dalam neraka bersama dengan mereka yang menyembah? Mereka akan dimasukkan bersama-sama sebagai tekanan jiwa kepada ahli neraka itu. Mereka akan lihat sendiri benda yang mereka puja dulu pun dibakar sekali dengan mereka. Dan setiap kali mereka tengok, mereka akan menyesal dan berkata kepada diri mereka: kenapalah benda ini yang aku puja dulu? Ianya sentiasa menjadi peringatan kepada mereka tentang apakah yang menyebabkan mereka masuk neraka.

 

إِذَا قَوْمُكَ مِنْهُ يَصِدُّونَ

dengan tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya

Selepas mereka memberikan hujah seperti di atas kepada Nabi Muhammad, mereka bersorak keriangan kerana menyangka bahawa mereka telah menang. Ianya samalah seperti pengamal bidaah di negara ini. Apabila mereka berhujah, mereka berhujah tanpa ilmu. Tapi yang kasihannya, mereka ingat mereka pandai. Apabila diberitahu kepada mereka apakah maksud ‘bidaah’, mereka dengan cepat akan berkata: “Kalau macam itu, jangan pakai kereta lah, pakai untalah kamu semua! Sebab Nabi tidak pakai kereta, pakai unta sahaja..”. Mereka pun selepas bercakap begitu, mereka rasa bangga kerana ingat hujah mereka itu kuat benar. Mereka ingat mereka telah membungkam pengamal sunnah dan pengamal sunnah tidak dapat menjawab hujah begitu. Mereka gelak sesama sendiri – “ha, tengok hujah kita, kita tengok macam mana mereka nak jawap!”

bid'ah hanya dlm hal agama

Hujah sebegitu amatlah bodoh dan keluar dari mulut dan akal yang jahil sekali tentang agama. Ianya dengan terang menunjukkan yang mereka itu tidak tahu apa-apa pun pasal bidaah. Mereka tidak tahu bahawa walaupun dari segi bahasa, ‘bidaah’ itu adalah ‘perkara yang baru’, tapi yang dilarang dalam agama adalah perkara baru ‘dalam agama’. Bukanlah semua perkara kehidupan. Tapi, bagaimana lagi kita hendak memberitahu mereka, sedangkan mereka belajar pun tidak mahu, tapi menyokong amalan bidaah dengan membabi buta sahaja. Jawapnya, kena tetap berdakwah lagi kepada mereka.

يَصِدُّونَ adalah jenis kegembiraan apabila melihat orang lain jatuh. Macam kanak-kanak yang kalau mereka lihat kawannya jatuh, mereka bukan nak tolong, tapi mereka akan gelak dahulu kawan mereka itu. Musyrikin Mekah sangka yang mereka telah menang hujah dengan hujah Nabi Isa itu. Dan mereka gelak dengan mengejek baginda.

Lihatlah bagaimana Allah menggunakan perkataan قَوْمُكَ (kaummu) dalam ayat ini. Maknanya, Allah masih menyebut yang penduduk Mekah itu kaum Nabi Muhammad lagi. Ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad belum lagi boleh meninggalkan mereka. Kena terus berdakwah kepada mereka. Hanya apabila diturunkan Surah Kaafiruun, barulah mereka sudah tidak dikira sebagai kaumnya lagi kerana Nabi sudah disuruh memanggil mereka dengan gelaran ‘Orang Kafir’. Itulah masanya baginda disuruh meninggalkan mereka dan berhijrah.


 

Ayat 58: Musyrikin Mekah sangka yang penyembahan Kristian kepada Nabi Isa adalah sama seperti penyembahan mereka yang memuja perantaraan lain – Nabi, wali atau malaikat. Kerana mereka sangka ianya samalah yang menyebabkan mereka melakukan perbandingan dengan agama Kristian itu.

وَقالوا أَآلِهَتُنا خَيرٌ أَم هُوَ ۚ ما ضَرَبوهُ لَكَ إِلّا جَدَلًا ۚ بَل هُم قَومٌ خَصِمونَ

Sahih International

And they said, “Are our gods better, or is he?” They did not present the comparison except for [mere] argument. But, [in fact], they are a people prone to dispute.

Malay

Dan mereka berkata lagi: “Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?” Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.

وَقَالُوا أَآلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ

Dan mereka berkata lagi: “Ilah yang yang kami sembah lebih baikkah atau Isa?”

Mereka sangka yang sembahan-sembahan mereka itu lebih baik lagi kerana penganut Nasrani menyembah seorang anak Tuhan sahaja tapi mereka puja lagi ramai malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Tuhan. Tentulah malaikat lagi ramai, maka mereka sangka sembahan mereka lagi bagus sebab lebih ramai.

 

مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا

Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata;

Mereka ada sifat jadal – suka membantah dan berdebat. Mereka hanya mereka-reka perkara untuk berbantah sahaja. Mereka bukannya berhujah kerana hendak mencari kebenaran. Ramai manusia yang begini, malangnya. Mereka belum apa-apa lagi terus membantah dan mengajak untuk berdebat. Bukannya kita melarang berdebat, tapi berdebatlah kerana hendak mencari kebenaran, bukan kerana berdebat semata-mata dan hendak diri menang.

 

بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali berdebat.

Mereka suka berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi kerana hendak menang sahaja. Mereka suka mencari salah orang dan mencari-cari sebab untuk berdebat. Mereka akan jadi amat bangga kalau mereka menang dalam perdebatan itu.

Allah mengajar kita untuk tidak buang masa untuk berdebat dengan mereka. Jangan debat dalam perkara yang membuang masa.


 

Ayat 59: Dalam ayat ini, Allah memperjelaskan kedudukan Nabi Isa a.s. Allah beritahu yang Nabi Isa yang dipuja itu adalah dari fahaman syirik puak Nasara, bukannya agama yang sebenar. Nabi Isa tidak pernah suruh umatnya puja baginda. Ianya adalah ajaran ulamak sesat mereka. Macam ajaran sebenar Nabi Ibrahim bukan macam yang dibuat oleh musyrikin Mekah.

إِن هُوَ إِلّا عَبدٌ أَنعَمنا عَلَيهِ وَجَعَلناهُ مَثَلًا لِبَني إِسرائيلَ

Sahih International

Jesus was not but a servant upon whom We bestowed favor, and We made him an example for the Children of Israel.

Malay

Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan Kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.

إِنْ هُوَ إِلَّا عَبْدٌ

Nabi Isa itu tidak lain melainkan hanyalah seorang hamba

Allah menegaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Isa itu adalah ‘hamba’ sahaja, jadi kenapa mereka memasukkan baginda ke dalam kategori ‘tuhan’ atau ‘anak tuhan’? Baginda tidak pernah jadi tuhan dan baginda tidak pernah mengatakan yang baginda adalah tuhan ataupun anak tuhan.

Allah telah berfirman dalam Maidah:116-117 tentang perkara ini. Ianya tentang dialog antara Allah dan Nabi Isa a.s.

وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِن دُونِ اللَّهِ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ إِن كُنتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Ambillah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?’ “Nabi Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَا أَمَرْتَنِي بِهِ أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنتَ أَنتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu’ dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau wafatkan aku, Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.

 

أَنْعَمْنَا عَلَيْهِ

yang telah Kami kurniakan nikmat ke atasnya

Sebelum ini, telah disebut yang Nabi Isa adalah ‘hamba Allah’. Tapi, walaupun baginda adalah hamba Allah, baginda juga telah diberikan dengan banyak kelebihan. Banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda. Baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan manusia termasuk penyakit yang tidak boleh disembuh dengan cara biasa. Baginda juga boleh menghidupkan yang telah mati. Baginda juga boleh membuat patung burung dari tanah liat dan dengan menghembus patung itu, burung itu dapat hidup. Semua itu dilakukan dengan izin Allah semata-mata, bukannya kuasa mutlak dari Nabi Isa. Dalam surah Maidah:110 telah disebutkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada baginda.

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي وَتُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ بِإِذْنِي وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِي وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan hikmat pengetahuan, Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinKu; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”

Oleh itu, ayat ini menyenaraikan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi Isa a.s.

1. Baginda ditemani dengan ‘Ruhul Qudus’ (Roh Suci)  iaitu Malaikat Jibrail. Dari waktu baginda belum lahir lagi, ibunya Maryam telah ditolong oleh Jibrail. Jibraillah yang mengajar Maryam untuk pergi ke mana, buat apa dan sebagainya semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Dan selepas lahir juga, Nabi Isa telah ditemani banyak kali oleh Jibrail. Antaranya, Jibrail lah yang menasihati baginda untuk pergi ke mana-mana kerana ada pakatan untuk membunuhnya. Jibrail juga membantu baginda dalam menyampaikan dakwah kepada manusia. Ada yang mengatakan, Jibrail sentiasa menemani baginda.

2. Nabi Isa a.s. dapat berkata-kata dari kecil lagi. Tidak ada lagi manusia yang boleh bercakap semasa bayi. Tapi Nabi Isa sudah berdakwah kepada manusia semasa bayi lagi.

3. Baginda diberikan dengan ilmu pengetahuan Kitab dan Hikmah, iaitu ilmu dari Kitab Taurat dan Injil. Juga akan diberikan dengan ilmu Quran dan hadis Nabi.

4. Baginda dapat membentuk patung burung burung dari tanah liat dan apabila baginda menghembus kepadanya, patung itu hidup bernyawa.

5. Menyembuh orang buta dan berpenyakit sopak.

6. Menghidupkan orang mati.

7. Menyelamatkan baginda dari dibunuh oleh Bani Israil. Mereka sangka mereka telah menyalib dan membunuh baginda, tapi sebenarnya yang dibunuh adalah orang lain.

Dan yang paling penting sekali, baginda telah dikurniakan dengan pangkat kenabian.

 

وَجَعَلْنَاهُ مَثَلًا لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ

dan Kami jadikan dia satu contoh bagi kaum Bani Israil.

Iaitu sebagai tanda kekuasaan Allah yang boleh menghidupkan manusia tanpa bapa seperti Nabi Isa. Kalau Allah boleh menghidupkan manusia tanpa bapa, tentu Allah boleh menjadikan apa sahaja, tentu sahaja Allah boleh menghidupkan manusia yang telah mati. Waktu itu, Bani Israil telah lemah akidah mereka walaupun sepatutnya mereka ada agama kerana ramai Nabi-nabi telah dilahirkan dari kalangan mereka. Maka, Allah memberikan Nabi Isa sebagai penguat akidah mereka.

Maulana Hadi Zukhruf 33-59


 

Ayat 60: Ini adalah ayat takhwif duniawi. Dan jawapan bagi soalan mereka kenapa Allah tak lantik malaikat sebagai rasul untuk sampaikan wahyu kepada mereka bagi pihak Allah. Sebab pada mereka Nabi itu manusia biasa sahaja jadi tidak sesuai pada pandangan mereka.

وَلَو نَشاءُ لَجَعَلنا مِنكُم مَلائِكَةً فِي الأَرضِ يَخلُفونَ

Sahih International

And if We willed, We could have made [instead] of you angels succeeding [one another] on the earth.

Malay

Dan kalaulah Kami kehendaki, Kami berkuasa melahirkan daripada kamu (wahai kaum lelaki): malaikat mengganti kamu (menjalankan urusan) di muka bumi.

وَلَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَا مِنكُم مَّلَائِكَةً فِي الْأَرْضِ

Dan kalaulah kami kehendaki, Kami tentunya melahirkan dari kalangan kamu, malaikat di muka bumi.

Dari Allah menjadikan manusia, Allah boleh menjadikan malaikat untuk mengganti kita di muka bumi ini. Allah tak jadikan manusia, tapi jadikan malaikat belaka yang duduk di permukaan bumi ini. Allah berkuasa untuk melakukannya. Kalau Allah boleh menjadikan Nabi Isa tanpa bapa, Allah boleh gantikan kita dengan malaikat.

Perkataan مِنكُم juga boleh diertikan, ‘dari keturunan kamu’, Allah boleh melahirkan malaikat. Maknanya, keturunan manusia melahirkan malaikat pula. Ini boleh terjadi kalau Allah mahu. Dan Allah berkuasa untuk melakukannya. Kalau itu terjadi, bermakna keturunan manusia akan digantikan dengan keturunan malaikat pula.

 

يَخْلُفُونَ

silih berganti.

Allah boleh menjadikan malaikat-malaikat itu bersilih ganti. Iaitu macam kita sekarang, satu generasi mati, diganti dengan generasi yang lain. Ianya bermaksud, Allah boleh ganti malaikat menjadi khalifah di mukabumi ini menggantikan kita. Sekarang memang kita khalifah di muka bumi, tapi Allah boleh sahaja nak gantikan kita dengan malaikat sebagai khalifah. Mudah sahaja bagi Allah untuk melakukan begitu.

Kenapa ini disebut dalam ayat ini? Musyrikin Mekah telah memberikan contoh Nabi Isa dan juga malaikat untuk berhujah dengan Nabi Muhammad. Mereka memandang tinggi kepada malaikat kerana malaikat hidup di langit. Tapi Allah beritahu kepada mereka, Dia boleh sahaja menurunkan malaikat-malaikat itu untuk hidup di bumi. Maknanya, yang hidup di langit bukanlah untuk dipuja dan disembah. Kerana yang hidup di langit pun makhluk Allah juga. Walaupun mereka tinggal di langit, mereka tidaklah layak disembah.

Begitu juga dengan Nabi Isa, ataupun Nabi-nabi lain, walaupun baginda mulia dan mempunyai kelebihan, tidaklah semestinya mereka boleh disembah kerana mereka kononnya mereka dekat dengan Allah. Mereka itu tetap makhluk Allah dan tidak layak disembah. Begitu juga dengan kita, jangan kita sembah, puja, sedekah Fatihah dan beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat hanya kerana mereka itu ‘rapat’ dengan Allah dan kononnya boleh mendekatkan kita dengan Allah dan menyampaikan doa kita kepada Allah. Itu adalah perbuatan yang salah dan syirik sama sekali! Tapi berapa ramai dari kalangan kita yang buat begitu?

Allah boleh jadikan malaikat yang duduk di bumi, atau malaikat yang jadi rasul, tapi Allah telah takdirkan manusia juga yang jadi rasul kepada golongan manusia. Kerana seorang rasul itu mestilah sama dengan mereka yang didakwahkan. Kerana kalau tidak sama, akan ada masalah. Umat yang diajak kepada agama akan ada alasan untuk tidak mengikuti rasul yang lain dengan mereka. Mereka akan kata, memang lah malaikat boleh jadi taat, kerana mereka malaikat, tapi mereka itu manusia. Untuk menolak hujah mereka itu, maka Allah telah siap jadikan rasul dari kalangan manusia juga.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s