Tafsir Surah Zukhruf Ayat 48 – 53 (Letak syarat untuk beriman)

Az zukhruf ayat 49

Kaum Nabi Musa ditimpa kemarau yang panjang, lalu mereka merayu semoga azab itu diangkat. Mereka berjanji akan beriman jika doa Musa dimakbulkan.

Ayat 48: Masih tentang kisah Firaun dan Nabi Musa.

وَما نُريهِم مِن آيَةٍ إِلّا هِيَ أَكبَرُ مِن أُختِها ۖ وَأَخَذناهُم بِالعَذابِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Sahih International

And We showed them not a sign except that it was greater than its sister, and We seized them with affliction that perhaps they might return [to faith].

Malay

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).

 

وَمَا نُرِيهِم مِّنْ آيَةٍ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa

آيَةٍ (tanda-tanda) yg dimaksudkan dalam ayat ini adalah Mukjizat. Pertamanya, Nabi Musa telah diberikan mukjizat tongkatnya yang menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Dua jenis mukjizat itu ditunjukkan kepada Firaun dan pembesarnya di istana Firaun.

Juga tanda-tanda itu juga boleh bermaksud ayat-ayat Kalam Allah yang Nabi Musa belajar dengan bapa mertuanya Nabi Syuaib. Dan yang diberikan kepada baginda semasa pertama kali baginda bercakap-cakap dengan Allah di Bukit Thursina seperti yang diceritakan dalam Surah Taha. Kerana waktu Nabi Musa berdakwah kepada Firaun, baginda belum diberikan dengan Kitab Taurat lagi.

Tanda yang dimaksudkan dalam ayat ini juga adalah bala yang dikenakan kepada Mesir kerana mereka tidak mahu beriman. Ianya dalam bentuk hukuman kepada mereka bila mereka tolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Ada sembilan bala semua sekali. Ini diceritakan dalam surah yang lain.

 

إِلَّا هِيَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا

melainkan tanda itu adalah lebih besar dari kakaknya (yang terdahulu daripadanya);

Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa dinaiktaraf dari satu mukjizat ke satu mukjizat. Mulanya tongkatnya menjadi ular kecil, kemudian ular besar. Kemudian ular yang lebih besar lagi yang memakan ular-ular jelmaan tukang sihir. Kemudian tongkatnya itu telah membelah laut. Kemudian tongkat itu diketuk kepada batu dan keluar air. Mukjizat itu semakin menjadi hebat.

Dan kalau dimaksud ayat dalam bentuk hukuman atau bala yang dikenakan kepada Mesir yang sembilan jenis itu, ia semakin teruk dari yang sebelumnya. Apabila mereka minta pertolongan kepada Nabi Musa dan kemudian mereka memungkiri janji mereka, bala yang dikenakan semakin teruk lagi. Ini biasa, kalau anak kita degil, dah beri hukuman tapi masih degil dan buat salah lagi, maka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih berat.

 

وَأَخَذْنَاهُم بِالْعَذَابِ

Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana),

Inilah sembilan bala yang dimaksudkan. Ini adalah azab semasa di dunia sahaja, nanti di akhirat akan kena azab lain pula. Penduduk Mesir telah dikenakan dengan sembilan bala supaya mereka dapat berfikir. Disebut dalam A’raf:130 dan 133

وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

dan dalam ayat 133 pula:

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Bala itu diberikan kepada mereka kerana mereka menolak dakwah dan ajakan tauhid dari Nabi Musa. Setiap kali bala itu diberi, ianya lebih berat dari sebelumnya. Kerana mereka telah berjanji dan mereka tidak menepati janji mereka. Maka bala yang diberikan adalah lebih teruk dari sebelumnya. Akhirnya mereka telah dikenakan bala yang paling besar – mereka telah ditenggelamkan dalam Laut Merah.

Begitulah kalau ada penyebar tauhid dah beri peringatan dan dia berkata: “kalau tak ikut, jaga-jagalah…” – Kalau penyebar tauhid itu cakap begitu dan mereka tolak, Allah akan berikan bala kepada yang menolak itu. Dan bala itu boleh jadi dalam berbagai cara. Tujuannya supaya mereka beringat dan kembali kepada akidah tauhid.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali (bertaubat).

Bala-bala itu telah diberikan kepada mereka supaya merendahkan diri dan ego mereka, supaya mereka kembali kepada Allah. Supaya mereka tinggalkan amalan salah mereka dan kembali menyembah Allah sahaja dan jangan sembah selain Allah. Sepatutnya, apabila kita kena bala, kita kena kenangkan kesalahan kita yang menyebabkan kita kena bala itu dan segera kembali bertaubat dan kembali memperbetulkan iman dan amal kita. Itulah sebabnya Allah turunkan bala kepada kita – untuk mengingatkan kita.

Kalau kita dikenakan dengan musibah seperti perniagaan jatuh, kita jatuh sakit, atau apa-apa masalah lain, kejadian itu sepatutnya menyebabkan kita kembali kepada Allah. Kerana kita akan terkenang betapa tidak ada dayanya kita dan mula kita berdoa banyak-banyak kepada Allah sambil memperbanyakkan ibadat kepadaNya.

Bukannya kita pergi minta air tawar atau cincin Azimat dari mana-mana bomoh untuk menghilangkan bala dan musibah itu. Dan itu semua adalah perbuatan syirik yang lahir dari akidah syirik yang sudah ada dalam hati. Tapi ramai yang buat macam ini dalam masyarakat kita. Sebab itu perniagaan perbomohan masih ada lagi dan kesyirikan masih ada lagi.

Bukannya juga kita amalkan doa tolak bala dan doa-doa yang mengarut yang entah dari mana. Ini banyak terdapat dalam pasaran dan ada sahaja yang memberikan doa-doa sebegini. Sebaliknya amalkan doa-doa yang diajar oleh Quran dan dalam hadis yang sahih. Kalau tidak tahu pun, doa sahajalah dengan bahasa kita yang kita tahu, susun ayat sendiri. Itu adalah lebih baik dari amalkan amalan yang entah datang dari mana. Selalunya diambil dari kitab sekian-sekian yang tidak dikenali dan tidak muktabar. Kemudian adalah diberikan dalam kitab-kitab itu, khasiat doa dan amalan itu, orang ini dapat ini, orang itu dapat itu. Itu semuanya adalah kisah dongeng sahaja.

Ayat ini juga diberikan untuk memberi amaran kepada Musyrikin Mekah dan kita juga. Musyrikin Mekah juga dikenakan dengan bala untuk menyedarkan mereka. Ianya berupa kemarau yang panjang sampaikan makanan pun amat susah dicari. Mereka juga telah datang kepada Nabi Muhammad untuk berdoa kepada Allah supaya mengangkat bala itu. Tapi, seperti juga Firaun dan pengikutnya, selepas bala itu diangkat, mereka tidak juga mahu beriman. Jadi, kalau orang kita dikenakan dengan bala, kemudian mereka berdoa dan berjanji untuk jadi baik, jadi taat, tapi selepas bala diangkat, kembali kepada keadaan lama, tidak ada bezanya dengan Firaun dan Musyrikin Mekah. Sama sahaja perangai.

Jadi, kalau kita pun masih lagi mengamalkan amalan syirik, pergi jumpa bomoh, jumpa tok lebai, tok imam, Darul Syifa’ atau Darul apa-apa, kemudian amalkan zikir-zikir syirik, fahaman-fahaman syirik dan sebagainya, kita pun boleh dikenakan dengan bala juga. Semoga kita diselamatkan dari bala-bala itu. Itulah sebabnya kita kena ajar dan sebarkan ajaran tauhid dan larang manusia dari buat amalan syirik. Kalau bukan kita, siapa lagi?


 

Ayat 49: Seperti yang kita telah sebut, selepas mereka dikenakan dengan bala itu, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa untuk memujuk baginda berdoa supaya diangkat bala yang dikenakan kepada mereka itu. Waktu itu mereka dah agak yang apa yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka canggah Nabi Musa. Sebab itu mereka pergi minta tolong kepada baginda.

Ini adalah contoh kata-kata orang yang meletakkan syarat untuk mereka beriman. Sebagai contoh, ada yang berkata: kalau mereka dapat projek, mereka nak belajar agama; kalau mereka berkata begitu, walaupun mereka dapat projek itu, mereka tidak akan beriman juga.

وَقالوا يا أَيُّهَ السّاحِرُ ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ إِنَّنا لَمُهتَدونَ

Sahih International

And they said [to Moses], “O magician, invoke for us your Lord by what He has promised you. Indeed, we will be guided.”

Malay

Dan (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: “Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman”.

 

وَقَالُوا يَا أَيُّهَ السَّاحِرُ

Dan mereka merayu dengan berkata: “Wahai Ahli Sihir,

Selepas bala dikenakan kepada mereka, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa meminta pertolongan baginda untuk berdoa kepada Allah. Yang datang itu adalah pembesar Mesir. Lihatlah bagaimana mereka memanggil Nabi Musa dengan gelaran ‘Ahli Sihir’. Ini adalah kerana zaman itu, mereka memandang tinggi kepada ahli sihir kerana ahli sihir itu adalah mereka yang dikira pandai dalam masyarakat. Merekalah orang yang pandai dalam hal macam-macam. Kalau ada masalah, masyarakat akan pergi kepada mereka untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka, panggilan mereka itu sebenarnya adalah panggilan hormat.

Bukanlah Nabi Musa itu seorang ahli sihir dan tidak pernah baginda mengaku menggunakan sihir. Sebaliknya, baginda menentang sihir yang diamalkan oleh mereka. Tapi mereka tetap gelar baginda dengan gelaran ‘Ahli Sihir’. Begitulah manusia ada yang menggelar orang lain berdasarkan pemahaman mereka yang cetek dan jahil. Itulah sebabnya mereka yang tidak tahu apa-apa terus menggelar mereka yang mahu mengamalkan sunnah dengan gelaran ‘Wahabi’. Padahal, mereka yang mengamalkan sunnah itu tidak pernah menggelarkan diri mereka dengan gelaran Wahabi. Mereka yang menggelar orang lain itu Wahabi pun tak tahu apakah maksud Wahabi itu. Oleh kerana itu, kalau ada sesiapa yang menggelar orang lain sebagai ‘wahabi’, secara otomatik sudah boleh tahu yang orang itu adalah orang yang jahil agama, yang mengikut sahaja apa panggilan orang lain.

Sampai sekarang pun permainan sihir masih ada lagi. Termasuk dalam masyarakat kita pun. Itulah mereka yang digelar bomoh, dukun dan pawang. Dan sekarang, untuk lebih mencantikkan lagi amalan itu, mereka menggelarkan diri mereka ‘ustaz’. Mereka pakai kopiah dan serban, tapi sebenarnya yang mereka amalkan adalah ‘sihir’. Mereka sangka amalan mereka adalah amalan yang benar, tapi mereka sendiri pun tidak tahu yang mereka mengamalkan sihir dengan menggunakan jin. Cara termudah untuk tahu adalah, mereka-mereka itu boleh ‘scan’ jin. Mereka boleh scan jin sebab mereka dah lama berkawan dengan jin. Mereka pun tak tahu mereka berkawan dengan jin. Ada yang sangka mereka berkawan dengan ‘wali Allah’. Untuk berkawan dengan jin, mereka kena melakukan amalan-amalan yang salah. Jikalau ada amalan mereka yang berbaur syirik dan ianya adalah amalan bidaah, ia akan mengundang jin. Semakin banyak jin, semakin ampuh ilmu mereka dan mereka boleh buat macam-macam. Sampai ada yang boleh terbang, boleh pergi ke mana-mana dalam sekelip mata, boleh tunjuk tupai di pokok dan tupai itu jatuh, dan macam-macam lagi.

Yang menjadikan masyarakat keliru adalah kerana pengamal-pengamal sihir ini menggunakan ayat-ayat Quran sebagai amalan mereka. Jadi, orang yang jahil sangka tentulah ustaz-ustaz itu benar kerana pakai ayat Quran. Pahahal, ianya tetap juga sihir – cuma bezanya sihir guna ayat Quran. Kerana bukanlah ayat Quran digunakan sebagai azimat.

Kalau masyarakat itu ada masalah akidah, mereka akan memandang tinggi ahli shir, bomoh, dukun dan pawang ini. Mereka dijadikan tempat minta tolong jikalau masyarakat ada masalah. Macam-macam masalah akan dirujuk kepada mereka. Anak hilang, anak kena rasuk, tolak hujan, turunkan hujan, barang hilang, anak lari, isteri lari, suami lari dan beribu lagi perkara. Sampai ada ‘Dukun Diraja’, ‘Pawang Diraja’, Raja Bomoh sedunia pun ada, dan sebagainya dalam masyarakat itu. Sama sahaja macam Negara Siam yang kafir itu. Mereka pun ada bomoh dan pawang Diraja mereka. Maknanya, itu adalah pawang yang paling hebat dalam negara. Malah, negara kita lagi hebat, kita ada pula ‘Maharaja Bomoh‘ yang digemparkan baru-baru ini apabila kapalterbang MH370 hilang. Kita lihatlah bagaimana pengakuan yang dilakukannya dan apakah perbuatan bodoh dan khurafat yang dilakukannya. Orang sesat seperti Maharaja Bomoh ini masih ada lagi kerana memang masyarakat kita pun memang suka benda-benda sebegitu.

Panggilan mereka kepada Nabi Musa itu bukanlah dalam nada menghina, tapi boleh dikatakan sebagai satu penghormatan dari mereka kepada Nabi Musa. Kerana mereka sanjung Ahli Sihir, maka apabila mereka nak minta tolong kepada Nabi Musa, mereka panggil baginda dengan gelaran itu sebagai pujian.

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan yang panggilan itu adalah sebagai panggilan untuk menghina Nabi Musa. Nabi Musa telah beritahu mereka bahawa baginda adalah ‘Rasulullah’ tetapi sebaliknya mereka tidak mengiktiraf panggilan itu tetapi memanggil baginda dengan panggilan ‘Ahli Sihir’. Maknanya, mereka tidaklah ikhlas apabila datang bertemu dengan baginda.

 

ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ

pohonkanlah kepada Tuhanmu dengan janji yang diberikan kepadamu;

Inilah permintaan mereka kepada Nabi Musa. Janji yang dimaksudkan adalah janji yang doanya makbul. Kerana pada mereka, Allah telah janji untuk bantu Nabi Musa kalau baginda berdoa.

Ataupun janji Allah kepada mereka bahawa jika mereka meninggalkan amalan syirik mereka, maka mereka akan diselamatkan daripada bala itu.

 

إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ

sesungguhnya kami (sesudah itu) akan menjadi orang mendapat hidayah”.

Maksudnya, mereka berjanji untuk beriman. Mereka kata, kalau Nabi Musa berdoa kepada Allah dan bala itu diangkat, mereka akan beriman. Itu syarat yang mereka telah letakkan.

Ini adalah cara orang yang tidak beriman. Kerana mereka letak syarat untuk beriman. Padahal iman itu bukan boleh letak syarat baru nak beriman. Memang kena terus beriman. Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang kata, kalau dapat harta, dapat projek, baru nak buat Haji. Ini sudah main-main dengan agama dan ini salah. Kerana buat Haji memang dah wajib dah. Mereka ini adalah jenis yang tidak akan beriman, tidak akan buat amal, kerana perangai mereka sama macam Firaun.


 

Ayat 50: Bila mereka berjanji nak ambil agama tauhid, maka Allah angkat azab dari mereka. Tapi mereka yang ambil agama kerana tidak ada cara lagi dah, itu tanda orang yang tidak ada sifat juang. Atau kerana ada benda keduniaan yang mereka hendak. Maka iman mereka sebenarnya tidak berharga mana. Maka janganlah kita jadi begitu.

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ العَذابَ إِذا هُم يَنكُثونَ

Sahih International

But when We removed from them the affliction, at once they broke their word.

Malay

Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya.

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الْعَذَابَ

Setelah Kami angkat azab itu daripada mereka,

Memang Allah telah makbulkan permintaan mereka. Kerana mereka telah berjanji untuk beriman dan Nabi Musa telah pergi ke Bukit Thur untuk mendoakan mereka. Sangka baginda, memang mereka akan beriman. Maka baginda telah berdoa kepada Allah, dan kerana Nabi Musa yang berdoa, maka bala itu semuanya telah diangkat.

 

إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ

mereka terus mencabuli janji.

Semasa meminta tolong kepada Nabi Musa, mereka kata mereka akan beriman kalau bala itu diangkat. Tapi apabila bala itu benar-benar diangkat, mereka mungkir janji. Mereka masih tidak mahu beriman. Mereka tidak mengaku yang mereka pernah berjanji begitu. Mereka sengaja lupa apa yang mereka telah janjikan. Mereka tetap kufur.

Bukan sekali, tapi 9 kali mereka memungkiri janji untuk beriman jikalau bala itu diangkat. Kerana sembilan kali bala diberikan kepada mereka. Apabila diangkat satu bala, mereka masih tidak beriman. Maka Allah turunkan bala lagi yang lebih teruk lagi. Mereka pergi minta tolong kepada Nabi Musa sekali lagi. Perkara ini berulang berkali-kali.

Begitu jugalah mereka yang berjanji untuk beriman, untuk datang kelas pengajian, untuk belajar tafsir dan sebagainya, kalau mereka mendapat apa yang dihajatkan. Sebagai contoh, ada yang berkata, “kalau ustaz doakan untuk saya, saya berjanji untuk beri beras 30 kampit kepada madrasah Ustaz”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak beriman. Sepatutnya mereka dah kena datang kelas, belajar agama dan infak kepada jalan agama. Tapi mereka meletakkan syarat pula untuk buat benda-benda yang mereka memang patut buat.

Selalunya mereka yang berkata begitu, mereka tidak tepati janji mereka.


 

Ayat 51: Firaun adalah seorang yang pandai berhujah. Banyak hujah Firaun ada dalam Quran ini. Dan kita boleh lihat bagaimana hujah-hujahnya itu dipakai sampai ke hari ini oleh berbagai jenis orang. Kadang-kadang manusia berhujah dengan menggunakan hujah Firaun, tapi mereka tak perasan mereka cakap sama sahaja macam apa yang dikatakan oleh Firaun. Kerana mereka tidak belajar tafsir Quran, mereka tidak perasan pun kata-kata mereka sama sahaja dengan kata-kata Firaun. Ini adalah salah satu dari hujahnya.

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يا قَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهارُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

Sahih International

And Pharaoh called out among his people; he said, “O my people, does not the kingdom of Egypt belong to me, and these rivers flowing beneath me; then do you not see?

Malay

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

 

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ

Dan Firaun pula menyeru kepada kaumnya,

Selepas bala itu diangkat, Firaun telah memanggil kaumnya dan menyampaikan ‘Ucap Utama’ atau pengumuman penting darinya. Sebab dia kena kawal keadaan. Kerana dia tidak mahu rakyatnya beriman kepada Nabi Musa. Bahaya kalau masyarakat sedar yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa pula. Kerana kalau begitu, tentu ramai yang akan beriman dengan baginda. Jadi Firaun kena kawal keadaan.

 

قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ

katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya?

Firaun kata kerajaan Mesir itu adalah kepunyaannya. Dia yang maha berkuasa di Mesir. Dan ini memang benar dari satu segi kerana Firaun adalah Raja Mesir. Firaun memerintah cara diktator. Dia adalah yang paling berkuasa di Mesir. Pembesar-pembesarnya pula adalah dari kalangan kaum kerabatnya juga. Maka, tidak ada yang lebih berkuasa dari Firaun.

 

وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي

dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku?

Iaitu dibawah perintahnya. Memang dia ada ilmu untuk mengubah aliran sungai itu untuk mudik ke hulu kembali. Dia boleh buat begitu dengan ilmu sihir. Begitu hebatnya Firaun waktu itu dengan ilmu sihirnya. Atau ada disebut dalam riwayat, bagaimana Sungai Nil itu hanya akan mengalir kalau diberikan dengan korban anak dara setiap tahun. Perkara itu berlangsung sampailah ke zaman Saidini Umar memerintah. Ini adalah ujian dari Allah untuk menguji hambaNya.

Atau, maksudnya, dia boleh kawal laluan sungai itu dengan menutup aliran sungai ke tempat-tempat tertentu. Kalau ada yang dia tidak suka, dia akan suruh orang tutup laluan sungai itu ke tempat orang itu. Maka, susahlah orang untuk bercucuk tanam. Kerana sungai itu adalah punca rezeki untuk mereka. Jadi Firaun gunakan sebab keduniaan sebagai hujah dia.

Dan ia juga boleh bermaksud sungai itu mengalir di bawah istananya. Begitu hebat sekali istana Firaun, sampaikan boleh dibina di atas Sungai Nil.

 

أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Tidakkah kamu melihatnya?

Lihatlah bagaimana Firaun sedang kempen kepada rakyatnya supaya tetap ikut pemerintahannya. Dia halang rakyatnya dari ikut dan beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Firaun kempen menggunakan pangkat (jah) dan maal (harta). Dan cara inilah yang digunakan oleh kebanyakan manusia untuk menyesatkan manusia lain. Dia menceritakan kehebatannya dan apa yang dia telah buat untuk menguatkan hujahnya. Dengan memberi isyarat yang kalau mereka tidak ikut, mereka akan ada masalah nanti. Akan susah kehidupan mereka kalau tidak ikut apa yang dia suruh. Samalah dengan apa yang dilakukan oleh orang politik sekarang pun. Mereka akan menggunakan kuasa politik yang mereka ada untuk memaksa rakyat ikut telunjuk mereka.

Lagi satu, Firaun telah mengambil kesempatan dengan kejadian bala itu dengan memberitahu kepada rakyatnya bahawa bala yang terjadi kepada mereka itu berhenti disebabkan olehnya. Dia kata sebab dialah yang bala itu diangkat. Sebenarnya, yang mengangkat bala itu adalah Allah kerana mereka telah berjanji yang jikalau bala itu diangkat, mereka akan beriman. Setelah bala itu diangkat, Firaun telah pusing cerita dengan mengatakan yang dia maha berkuasa dan Sungai Nil mengalir dibawah takluknya. Begitulah bijaknya Firaun mengambil kesempatan dan mengawal pemikiran rakyatnya.


 

Ayat 52: Inilah taktik yang digunakan oleh orang yang berkuasa untuk menjatuhkan mereka yang hendak membawa kebenaran. Dia jatuhkan martabat Nabi Musa a.s. Ini dinamakah ‘Character Assassination’.

أَم أَنا خَيرٌ مِن هٰذَا الَّذي هُوَ مَهينٌ وَلا يَكادُ يُبينُ

Sahih International

Or am I [not] better than this one who is insignificant and hardly makes himself clear?

Malay

“Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

 

أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِّنْ هَٰذَا

“Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang ini,

Firaun membuat perbandingan antara dirinya dan Nabi Musa. Nak tunjukkan kelebihan dirinya dan kekurangan yang ada Nabi Musa.

 

الَّذِي هُوَ مَهِينٌ

yang hina keadaannya,

Sekarang Firaun membandingkan dirinya dengan Nabi Musa. مَهِينٌ dari katadasar هون yang bermaksud ‘lemah’, ‘hina’, ‘tidak penting’, ‘tidak bernilai’.

Tentulah keadaan Nabi Musa tidak glamer macam Firaun. Kalau dari segi kebendaan, kekuatan dan kekayaan, awal-awal lagi Nabi Musa dah kalah. Firaun kata Nabi Musa itu dari golongan hina yang bukan dari bangsa mereka. Kerana Nabi Musa dari pendatang luar, maka dia dikira sebagai golongan bawahan.

Lihatlah bagaimana Firaun membandingkan kelebihan dari segi kebendaan. Dari zaman Nabi Musa, sampailah zaman sekarang, itulah kayu ukur yang banyak dipakai manusia. Mereka akan lihat apa kereta yang dipakai, baju kita ada brand atau tidak, hand-phone apa kita pakai dan sebagainya. Mereka juga akan lihat berapa pengikut kita, adakah orang lain kenal, siapa keturunan kita dan sebagainya.

Satu lagi kehinaan yang dimaksudkan oleh Firaun adalah Nabi Musa itu dulunya telah membunuh lelaki Qibti dan telah melarikan diri dari hukuman. Firaun nak kata: lelaki macam ini yang kamu nak ikut?

 

وَلَا يَكَادُ يُبِينُ

dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

Sekarang dia menghina lagi Nabi Musa. Daripada sirah, kita dapat tahu bahawa Nabi Musa ada masalah gagap. Percakapannya tidak lancar. Ini dijelaskan dengan panjang lebar dalam Taha:27. Firaun tidak melepaskan peluang itu untuk menjatuhkan lagi kedudukan Nabi Musa.


 

Ayat 53: Sekarang Firaun gunakan sebab kekayaan pula. Kerana itulah neraca manusia.

فَلَولا أُلقِيَ عَلَيهِ أَسوِرَةٌ مِن ذَهَبٍ أَو جاءَ مَعَهُ المَلائِكَةُ مُقتَرِنينَ

Sahih International

Then why have there not been placed upon him bracelets of gold or come with him the angels in conjunction?”

Malay

“(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?”

 

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ

Kenapa ia tidak dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang dari emas?

Firaun hina Nabi Musa kerana baginda nampak biasa sahaja, tidak nampak kekayaan dia yang melimpah sampai ada gelang-gelang dari emas pun. Kalau kita lihat gambar-gambar Mesir Kuno, kita boleh lihat bagaimana lelaki-lelaki zaman itu dipakaikan dengan gelang-gelang emas. Kerana itu adalah tanda kekayaan dan kedudukan yang tinggi kepada mereka. Kerana itulah, Firuan mempersoalkan Kerasulan Nabi Musa kerana pada mereka, kalau baginda adalah seorang Rasul, maka tentulah Allah akan memberikan gelang-gelang emas kepada baginda.

 

أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

atau datang malaikat bersama-sama dengannya?”

Firaun juga kata kenapa tidak ada malaikat yang melekat sahaja dengan baginda seperti ‘Qarin’ ke mana-mana baginda pergi? Kerana begitulah keadaannya jikalau orang-orang besar. Ke mana-mana sahaja orang besar itu pergi, ada sahaja pengikut-pengikutnya yang akan mengekor di belakang dan dikiri kanannya.

Begitulah juga Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Qur’an itu tidak diturunkan kepada orang-orang yang kaya dan berpengaruh dari bandar Mekah dan Taif? Mereka juga mempersoalkan kenapa tidak ada malaikat yang iring bersama-sama Nabi Muhammad. Maka Nabi Muhammad dipujuk di dalam ayat ini, dengan Allah memberi tahu baginda bahawa bukan baginda sahaja yang diejek dan dicemuh sebegitu. Nabi Musa pun sudah di persoalkan begitu juga.

Begitu jugalah yang terjadi pada zaman sekarang. Ramai yang mempersoalkan kedudukan keduniaan guru-guru yang mengajar sunnah. Mereka kata guru-guru itu tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Anak murid pun tak ramai. Mereka tidak kaya. Tak pernah masuk TV macam ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu. Selalunya, guru-guru sunnah ini nampak biasa sahaja, tidak pakai serban pun selalunya. Ada masyarakat yang jahil, yang  kadang-kadang akan kutuk peribadi ustaz-ustaz sunnah itu. Ada yang kata ustaz-ustaz sunnah itu ‘buta’, ‘tidak ada seri’, ‘tiada cahaya iman’ dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah cara menilai kedudukan seseorang yang salah. Kelebihan seseorang dalam agama bukan dilihat dari sudut kebendaan dan kemewahan dunia orang itu. Yang Allah pandang adalah taqwa dan kita pun sepatutnya begitu. Itulah yang diajar dalam surah Zukhruf ini.

Apakah penerimaan penduduk Mesir dengan kempen Firaun ini? Kita lihat nanti dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Zukhruf Ayat 48 – 53 (Letak syarat untuk beriman)

  1. fauzi says:

    Assalamualaikum,

    Saya mendoakan agar Allah permudahkan segala urusan saudara penulis laman web tafsiran ini.

    Sedikit sebanyak, dapat saya memahami dan mempelajari isi kandungan Al-Quran. Kitabullah yg menjadi pedoman hidup manusia yg sebenarnya.

    Yg menyatakan bahawa agama yang benar adalah agama Islam.

    Semoga ilmu yang dipelajari ini membawa rahmat kepada semua pembaca.

    Sekian, terima kasih.

    Wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum w.b.t.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s