Tafsir Surah Zukhruf Ayat 41 – 47 (Balasan tidak belajar tafsir)

Takhwif duniawi kalah perang

Takhwif atau ancaman di dunia. Antara pembalasan Allah terhadap penentang Rasulullah ialah jaminan mereka akan ditewaskan dalam peperangan.

Ayat 41: Takhwif Duniawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak mempedulikan ayat-ayat Quran, tidak mahu belajar Tafsir Quran. Jadi, apakah sambungan firman Allah tentang mereka?

فَإِمّا نَذهَبَنَّ بِكَ فَإِنّا مِنهُم مُنتَقِمونَ

Sahih International

And whether [or not] We take you away [in death], indeed, We will take retribution upon them.

Malay

Oleh itu (bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya Kami tetap menyeksa mereka.

 

فَإِمَّا نَذْهَبَنَّ بِكَ

Kalaulah Kami ambil engkau

Perkataan نَذْهَبَنَّ dari kata dasar ذهب yang bermaksud ‘pergi’, ”bawa’, ambil’. Maksudnya dalam ayat ini adalah ‘wafat’kan – iaitu diambil nyawa Nabi Muhammad. Maksudnya, kalau Allah wafatkan baginda sebelum Allah perlihatkan kepada baginda dengan azab yang akan menimpa mereka yang tidak mahu mempelajari Quran, tidak menghiraukan Quran. Kerana ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak mahu belajar tafsir Quran. Kerana Nabi Muhammad tetap akan mati apabila sudah sampai masanya. Mungkin baginda tidak dapat melihat kesudahan mereka yang menolak untuk menerima wahyu Quran.

نَذْهَبَنَّ juga boleh bermaksud, kalau Allah ‘bawa’ keluar dari Nabi Muhammad dari Mekah. Apa akan jadi Allah pindahkan baginda dari Mekah.

 

فَإِنَّا مِنْهُم مُّنتَقِمُونَ

maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.

Apakah balasan kepada mereka yang tidak menghiraukan ayat-ayat Quran? Balasan kepada mereka adalah azab. Walaupun tidak ditunjukkan azab yang diberikan kepada Nabi, tapi Allah nak beritahu kepada baginda, mereka tetap akan dikenakan dengan seksaan itu. Jangan risau tentang perkara itu. Apabila Allah kata ‘tetap’, ia pasti akan berlaku.

Maksud kedua, kalau Allah membawakan Nabi Muhammad keluar dari Mekah, tentu mereka akan dikenakan dengan azab yang akan menghancurkan mereka. Mereka tak kena azab itu waktu itu adalah kerana Nabi ada bersama mereka. Kalaulah Nabi tiada, tentu mereka dah kena azab dah. Dalam sejarah para Rasul, kita boleh melihat bagaimana bila seseorang Rasul itu disuruh pergi meninggalkan kaumnya, maka itu tanda bahawa mereka akan dikenakan dengan azab.


 

Takhwif ukhrawi azab neraka

Di Akhirat diazab dengan neraka.

Ayat 42:

أَو نُرِيَنَّكَ الَّذي وَعَدناهُم فَإِنّا عَلَيهِم مُقتَدِرونَ

Sahih International

Or whether [or not] We show you that which We have promised them, indeed, We are Perfect in Ability.

Malay

Atau sekiranya Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka (dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

 

أَوْ نُرِيَنَّكَ الَّذِي وَعَدْنَاهُمْ

Atau sekiranya Kami memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka

Atau mungkin sahaja Allah tunjukkan kepada baginda, bagaimana mereka dikenakan dengan azab seksa itu yang telah dijanjikan kepada mereka. Mereka telah dijanjikan dengan ancaman azab jikalau tidak menghiraukan Quran. Mereka boleh dikenakan azab itu di hadapan mata Nabi Muhammad. Ada balasan yang memang Nabi nampak sendiri, seperti kejadian Perang Badr.

 

فَإِنَّا عَلَيْهِم مُّقْتَدِرُونَ

maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

Allah berkuasa untuk memberi azab kepada mereka. Allah Maha Berkuasa dalam segala-gala hal. Allah Maha Berkuasa ke atas mereka. Allah boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki ke atas mereka. Ikut Allah lah samada Dia hendak mengazab mereka depan mata Nabi atau tidak, di dunia atau tidak. Kerana ada kemungkinan Allah tidak azab mereka di dunia, tapi diazab di akhirat kelak.


 

Ayat 43: Dalil Wahyi

فَاستَمسِك بِالَّذي أوحِيَ إِلَيكَ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Sahih International

So adhere to that which is revealed to you. Indeed, you are on a straight path.

Malay

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

 

فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu;

اسْتَمْسِ bermaksud ‘berpegang dengan kuat sungguh’. Tidak lepaskan langsung. Pegang dengan kemas. Kita dapat tahu kerana kalimah اسْتَمْسِ adalah dalam wazan yang banyak huruf, maka ini menunjukkan peningkatan dari kalimah yang biasa. Maknanya, bukan pegang biasa, tapi pegang sungguh. Oleh itu jangan putus semangat berpegang dengan Qur’an, walau ramai yang menolak. Seramai mana pun yang menentang, tetap kena sampaikan juga kepada manusia.

Maknanya kita kena belajar Tafsir Quran, kena faham, kena selalu baca, kena amalkan dan akhir sekali, kena sebarkan, kena ajar kepada orang lain. Kalau setakat kita sahaja yang faham, masih tak cukup lagi. Kena melakukan keseluruhan perkara itu barulah dikatakan berpegang sungguh dengan Quran itu. Kerana amat pentingnya Quran ini, maka kenalah berpegang dengan bersungguh-sungguh.

Kepada yang sudah belajar, kena selalu baca dan menelaah pelajaran tafsir yang mereka sudah pelajari. Kerana Quran ini perlu diulang-ulang. Semakin banyak kita ulang, semakin banyak kita akan faham.

Kita kena pastikan yang kehidupan kita mengikut aliran yang dikehendaki oleh Allah. Maka hendaklah kita selalu periksa cara kehidupan dengan landasan Quran. Untuk melakukannya, kita kena selalu baca Quran. Mungkin kita terjumpa perkara yang tidak lakukan lagi, atau kita jumpa kesalahan diri kita yang dilakukan kerana kita lupa kepada mana-mana ayat.

 

إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

Selagi berpegang dengan Quran, kita akan berada atas jalan yang lurus. Maka, kalau orang kita yang buat tak kisah dengan Quran, bagaimana? Adakah cukup dengan membaca sahaja, tapi tak faham?

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad. Baginda kena sampaikan wahyu kepada manusia kerana baginda telah berada di atas jalan yang benar. Tapi kita kena baca ianya ditujukan kepada kita juga. Kalau kehidupan kita sama seperti yang dilandaskan dengan Quran, maka kehidupan kita di atas jalan yang lurus.

Kita selalu meminta jalan yang lurus di dalam surah Fatihah, dan kita baca setiap hari dalam solat kita. Ketahuilah, hanya dengan Quran ini sahajalah yang dapat membawa kita di atas jalan yang lurus itu.

Masalahnya, ada yang rasa mereka berpegang dengan Quran berdasarkan apa yang disebut oleh guru dan ustaz mereka. Mereka sendiri tak belajar tafsir kerena mereka kata mereka tak layak nak belajar Tafsir Quran. Quran itu mereka kata, memerlukan ilmu yang tinggi untuk mula belajar. Mereka kata, orang yang tahap ustaz sahaja yang boleh faham. Jadi mereka sangka apa yang diajar oleh guru dan ustaz mereka itu sama dengan kehendak Quran. Itu adalah sangkaan mereka sahaja. Mereka tak tahu yang ustaz mereka sendiri pun tak belajar dan tak pegang Quran sebab ustaz itu sendiri tak belajar Quran. Ustaz mereka itu pula sangka guru kepada guru mereka pun ikut Quran juga. Semuanya atas sangkaan. Mereka sangka, kerana status seseorang itu ‘ustaz’, tentunya dia sudah belajar dan faham Quran. Atau mereka sangka sudah tentu amalan dan aqidah ustaz mereka itu bertepatan dengan Quran. Belum tentu lagi. Kena periksa betul-betul. Kena tanya dia sendiri, dah belajar tafsir Quran ke belum?


 

Ayat 44: Manusia akan ditanya tentang Quran nanti di akhirat. Apa nak jawap kalau tidak belajar tafsir Quran?

وَإِنَّهُ لَذِكرٌ لَكَ وَلِقَومِكَ ۖ وَسَوفَ تُسأَلونَ

Sahih International

And indeed, it is a remembrance for you and your people, and you [all] are going to be questioned.

Malay

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).

 

وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَّكَ وَلِقَوْمِكَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan peringatan kepadamu dan kepada kaummu;

Peringatan dalam Quran diberikan kepada manusia kerana manusia selalu lupa. Oleh itu, mereka akan diingatkan berkali-kali di dalam Quran. Sebab itulah kita kena selalu membaca Quran.

Ia juga bermaksud ‘arahan’ kepada kita. Quran itu mengandungi hukum dan arahan yang perlu kita ikuti.

Ia juga bermaksud kita perlulah menggunakan Quran itu untuk mengingati Allah. Kerana dalam ayat-ayat Quran, banyak disebutkan tentang Allah. Dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang.

Ia juga memberi isyarat kepada kita bahawa Quran ini perlulah menjadi zikir kita. Sebaik-baik zikir adalah dengan menggunakan ayat Quran. Zikir Nabi selalunya adalah ayat-ayat Quran. Malangnya, masyarakat kita ramai yang menggunakan zikir-zikir lain dan kurang menggunakan Quran. Zikir-zikir lain itu, mereka sanggup baca beratus dan beribu kali, tapi Quran mereka tidak gunakan sebagai zikir mereka. Tambah malang lagi, ramai yang menggunakan zikir yang tidak diajar oleh Nabi.

Dan untuk menjadikan Quran itu sebagai zikir, kita sepatutnya menghafal Quran itu. Supaya di mana-mana sahaja, kita boleh terus membaca ayat Quran, tidak perlu ada mushaf Quran pun. Tetapi berapa banyak ayat yang kita hafal?

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa dengan Quran, ia akan memuliakan kita kerana kita akan diingati. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad itu diingati dan disebut-sebut sampai ke hari ini kerana Quran. Quran itu telah menjadi penghormatan kepada Nabi dan kepada sahabat baginda. Oleh kerana mereka telah memegang Quran itu dengan kemas, mereka telah dapat memerintah dunia satu masa dahulu. Lihatlah apabila manusia sudah meninggalkan ajaran dari Quran, kita tidak ada nilai di mata dunia. Kita diperlekehkan, tidak dipandang tinggi.

Memang benarlah Qur’an itu telah meninggikan nama baginda. Nampak sekali pandang macam wahyu Qur’an itu telah menyusahkan Nabi tapi sebenarnya ia menaikkan nama Nabi. Dan orang Arab pun sekali naik. Orang sanjung para sahabat Nabi itu sampai sekarang. Dan orang Arab itu pun terkenal di dunia sampai sekarang. Sedangkan waktu Nabi dulu dunia tak kisah pun tentang mereka. Semua itu dengan berkat Qur’an.

Quran itu bukan untuk Nabi sahaja tapi untuk kaumnya juga. Maka kalau kita mengaku yang kita ini adalah umat Nabi Muhammad, maka kita hendaklah menjadikan Quran itu sebagai peringatan untuk kita.

 

وَسَوْفَ تُسْأَلُونَ

dan kamu akan ditanya kelak

Ini adalah ayat amaran kepada kita. Apa yang kita buat dengan Quran ini? Adakah kita telah belajar tentang isi kandungannya dan telah amalkan?. Kita akan ditanya di akhirat kelak. Kita akan ditanya samada kita telah menunaikan hak yang dituntut atas kita seperti yang tertulis dalam Quran ini. Kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu?

Bukan itu sahaja, kita juga akan ditanya samada kita sudah sampaikan ajaran Quran ini kepada orang lain atau tidak? Ini adalah soalan yang berat sekali. Kerana ramai yang tidak berdakwah. Mereka kalau belajar pun, mereka akan belajar sendiri sahaja. Mereka tidak ajak orang lain. Orang lain buat salah, yang bertentangan dengan Quran, mereka lihat sahaja dan tidak tegur. Mereka tak ajak pun kawan-kawan mereka belajar sekali dengan mereka. Macam mereka malu pula nak beritahu yang mereka belajar Tafsir Quran. Apa yang kita nak jawap di hadapan Allah Taala nanti apabila Allah tanya kita tentang semua soalan-soalan itu?


 

Ayat 45: Dalil Naqli Ijmali (kerana tidak disebut nama Rasul)

وَاسأَل مَن أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رُسُلِنا أَجَعَلنا مِن دونِ الرَّحمٰنِ آلِهَةً يُعبَدونَ

Sahih International

And ask those We sent before you of Our messengers; have We made besides the Most Merciful deities to be worshipped?

Malay

Dan bertanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

 

وَاسْأَلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَا

Dan tanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu;

Macam mana nak tanya kepada Rasul-rasul itu, sedangkan para Rasul yang terdahulu itu semuanya sudah wafat? Maknanya, Nabi Muhammad disuruh tanya kepada pengikut-pengikut mereka. Kerana ada orang Yahudi dan Nasrani di kalangan mereka. Tanya kepada mereka, adakah Rasul-rasul itu dulu pernah suruh kaumnya menyembah ilah selain Allah? Tentu tidak pernah. Dan mereka tidak dapat menipu kerana kitab-kitab yang diutuskan kepada Rasul-rasul itu masih ada lagi. Boleh diperiksa jikalau mereka menipu.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Nabi disuruh tanya terus kepada Rasul-rasul itu  semasa baginda mi’raj ke langit. Bukankah Nabi Muhammad telah dapat bertemu dengan Rasul-Rasul yang dahulu semasa baginda mi’raj?

Atau, ianya sebagai isyarat bahawa, kalaulah Nabi Muhammad tanya mereka pun, jawapan yang sama akan diberikan – tidak langsung ada ilah lain untuk disembah.

 

أَجَعَلْنَا مِن دُونِ الرَّحْمَٰنِ آلِهَةً يُعْبَدُونَ

pernahkah Kami menjadikan selain dari Allah Yang Maha Pemurah, sebarang ilah untuk disembah?

Pernahkah Nabi-nabi dahulu suruh umat mereka menyembah ilah yang lain? Dalam Injil dan Taurat ada suruh tak? Tentu mereka menidakkannya. Kerana semua Rasul membawa ajaran tauhid.


 

Ayat 46: Ini adalah jenis Dalil Naqli Tafsili kerana ada disebut nama Nabi Musa a.s. Mungkin masyarakat Mekah sudah tahu serba sedikit tentang Nabi Musa. Kerana mereka dulu pun ada agama – ikut Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Tapi merea tidak tahu kisah baginda secara terperinci kerana mereka cetek agama.

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِآياتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَئِهِ فَقالَ إِنّي رَسولُ رَبِّ العالَمينَ

Sahih International

And certainly did We send Moses with Our signs to Pharaoh and his establishment, and he said, “Indeed, I am the messenger of the Lord of the worlds.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, kepada Firaun dan kaumnya,

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat baginda bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan apabila baginda memasukkan tangan ke ketiak baginda, tangannya itu bercahaya.

Firaun adalah nama gelaran sahaja, dan dikatakan yang namanya yang sebenar adalah al-Walid. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat-mukjizat itu kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, iaitu ahli kabinet beliau yang terdiri dari ahli keluarganya juga. Walaupun disebut Musa diutuskan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, ianya merangkumi semua rakyat sekali kerana pengikut akan mengikut pemimpin. Pengikutnya itu semuanya taat kepada agama Firaun kerana manusia mengikut agama ketua mereka.

 

فَقَالَ إِنِّي رَسُولُ رَبِّ الْعَالَمِينَ

lalu ia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

Nabi Musa disuruh untuk memperkenalkan diri baginda kepada Firaun. Memang kena kenalkan kedudukan baginda. Memang dulu baginda adalah anak angkat Firaun dan duduk di istana. Tapi sekarang, baginda sudah diutuskan sebagai Rasul. Status sudah berlainan.


 

Ayat 47: Selepas Nabi Musa menyampaikan dakwah kepada mereka, apa tindakan mereka?

فَلَمّا جاءَهُم بِآياتِنا إِذا هُم مِنها يَضحَكونَ

Sahih International

But when he brought them Our signs, at once they laughed at them.

Malay

Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

 

فَلَمَّا جَاءَهُم بِآيَاتِنَا

Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami,

Nabi Musa telah datang dengan membawa mukjizat-mukjizat kepada mereka; baginda juga telah menyampaikan ajaran wahyu yang telah dipelajarinya dari bapa mertuanya, Nabi Syuaib a.s. dan wahyu yang baginda dapat terus dari Allah. Wahyu itu belum lagi Taurat kerana baginda hanya dapat Taurat apabila baginda telah menyeberang lautan.

 

إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ

mereka dengan serta-merta menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

Mereka ketawa kerana mengejek ngejek dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa. Mereka mempersendakan kerana mereka degil. Mereka memperlekehkan apa yang dibawa oleh baginda. Mereka pandang rendah, pandang remeh semua tanda-tanda itu dan wahyu-wahyu Nabi Musa. Samalah juga begini yang dilakukan kepada Nabi Muhammad oleh Musyrikin Mekah. Sama juga yang dilakukan kepada penyebar tauhid.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s