Tafsir Surah Zukhruf Ayat 34 – 40 (Tidak belajar tafsir akan dapat qarin syaitan)

Surah zukhruf 36 -37-picsay

Syaitan menjadi penasihat. Zukhruf 36-37

Ayat 34:

وَلِبُيوتِهِم أَبوابًا وَسُرُرًا عَلَيها يَتَّكِئونَ

Sahih International

And for their houses – doors and couches [of silver] upon which to recline

Malay

Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak juga),

 

وَلِبُيُوتِهِمْ أَبْوَابًا

Dan juga pintu-pintu rumah mereka

Allah boleh sahaja jadikan pintu-pintu rumah mereka dari perak juga. Tapi adakah pintu-pintu rumah mereka ada dibuat dari perak? Tidak. Allah tidak jadikan orang-orang kafir sampai kaya begitu.

 

وَسُرُرًا عَلَيْهَا يَتَّكِئُونَ

dan kerusi-kerusi yang mereka berbaring di atasnya

Kalau zaman ayat ini diturunkan, mereka yang ada kerusi sebegini adalah orang yang kaya. Tapi, kalau kaya setara manapun, tidaklah kerusi itu dijadikan dari perak juga. Kerana kalau mereka diberikan dengan kekayaan yang bersangatan, orang-orang Islam pun akan tergugat keimanan mereka.


 

Ayat 35:

وَزُخرُفًا ۚ وَإِن كُلُّ ذٰلِكَ لَمّا مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا ۚ وَالآخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلمُتَّقينَ

Sahih International

And gold ornament. But all that is not but the enjoyment of worldly life. And the Hereafter with your Lord is for the righteous.

Malay

Serta berbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

وَزُخْرُفًا

Serta berbagai barang perhiasan (keemasan).

Ianya mungkin bermaksud emas ataupun perhiasan. Iaitu perhiasan yang bergemerlapan dan keemasan. Ada jumlah muqaddar di dalam ayat ini kerana ianya ditulis pendek sahaja. Jadi ayat yang penuh adalah: Kami boleh berikan mereka emas melimpah.

Allah boleh sahaja lakukan semua yang telah disebut tadi. Adakah Allah nak buat segala bumbung, tangga, atau kerusi panjang mereka itu dengan perak atau emas? Tidak. Kerana Allah tidak mahu manusia sangka, kalau jadi kafir akan senang hidup mereka.

 

وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia;

Allah beri kemewahan kepada manusia yang engkar itu kerana ianya tidak bernilai. Dalam hadis ada disebut yang maksudnya: kalaulah dunia ini bernilai sebelah sayap nyamuk sahaja, tentulah Allah tidak beri seteguk air pun kepada orang yang kafir.

Maknanya, dunia ini dan segalanya tak bernilai langsung. Sama nilai dengan sebelah sayap nyamuk pun tak sampai. Kalau ianya bernilai, Allah tak beri minum kepada orang yang engkar denganNya.

Memang mereka boleh menikmati kesenangan dan kemewahan semasa di dunia. Tapi, ianya hanya di dunia sahaja. Ianya tidak kekal. Samada kita mati dahulu, atau barang-barang yang dibanggakan itu akan rosak dahulu. Segala kemewahan itu tidak boleh dibawa ke akhirat.

 

وَالْآخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ

dan (sebaliknya) akhirat di sisi Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kalau dunia tidak bernilai, apakah yang bernilai? Itulah Taqwa. Itulah yang menjadi bekal yang berkekalan untuk kita. Itulah yang kita patut kejar.

Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa wahyu tidak diberikan kepada mereka yang kaya? Allah jawap bahawa kekayaan itu tidak bernilai langsung. Manusia sahaja yang memandang kelebihan kepada kekayaan, tapi Allah tidak memandang begitu. Yang Allah pandang, adalah tahap ketaqwaan seseorang itu.

Kekayaan dunia tidak bermakna apa-apa kecuali kalau digunakan untuk menegakkan agama Allah.


 

Ayat 36: Ini adalah Zajrun kepada mereka yang masih berdegil tidak mahu menerima hujah yang ada dalam Quran. Juga mengandungi takhwif ukhrawi. Ayat yang kita semua patut ingat dan hafal belaka sebab penting sangat.

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطانًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ

Sahih International

And whoever is blinded from remembrance of the Most Merciful – We appoint for him a devil, and he is to him a companion.

Malay

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

 

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ

Dan sesiapa yang tidak peduli pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah,

يَعْشُ dari kata dasar عَشوٌ yang bermaksud ‘berniat untuk pergi ke sesuatu tempat pada malam hari’. Kalau kita berkelana di malam hari, tentulah susah untuk kita melihat, bukan? Pandangan kita akan kabur atau tidak jelas pada malam hari. Oleh itu, perkataan يَعْشُ bermaksud ‘disamarkan’, ‘digelapkan’ pandangan. Tidak melihat dengan jelas.

Apabila يَعْشُ ditambah dengan kata عَن, ia bermaksud ‘tidak peduli’. Buat tak kisah kepada sesuatu.

Satu lagi makna, baca Qur’an tapi tak faham apa yang dibaca. Jangan tahu lafaz dan mengeja sahaja. Ada ramai yang baca sahaja Qur’an tapi mereka tak mahu nak faham apa yang mereka baca. Sedangkan Nabi ajar dua-dua sekali – baca dan faham makna. Dengan baca sahaja tidak boleh kenal Allah.

Maksud utama ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ adalah Qur’an. Oleh itu, seorang guru Qur’an kena ajar makna Qur’an itu sekali, bukan mengajar anak murid pandai membaca sahaja.

Oleh itu, maksud ayat ini adalah tentang mereka yang tidak peduli apa yang Allah sampaikan dalam Quran. Untuk peduli dan faham apa yang disampaikan dalam Quran, kena belajar Tafsir Quran. Kerana kalau tidak belajar Tafsir Quran, kita tidak akan faham apa yang dimaksudkan dalam Quran. Kalau baca sendiri terjemah pun tidak faham.

Seseorang yang tidak belajar Tafsir Quran, dia tidak akan nampak apakah kehendak Allah kepada kita. Dia akan menjadi seperti seorang yang ‘buta’. Seseorang yang buta tidak akan nampak apa-apapun walaupun benda itu berada di hadapannya. Seseorang yang tidak belajar Tafsir Quran tidak akan faham apa yang hendak disampaikan oleh Quran itu walaupun Quran itu berada di hadapannya dan walaupun dia selalu membacanya. Berapa ramai yang membaca Quran tapi tidak tahu langsung apa yang dibacanya. Memang sedap dia baca, lengkap dengan tajwid dan mendayu-dayu, tapi langsung tak faham apa yang dibacanya. Apabila tidak faham, dia akan langgar segala perkara yang dia baca itu, kerana dia tidak tahu apakah yang dia baca.

ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ juga boleh bermaksud ‘ingat (zikir) kepada Allah’. Bila kita ingat kepada Allah, maka syaitan akan melarikan diri. Apabila manusia lupa kepada Allah, syaitan akan datang semula kepada manusia itu. Macam juga kalau azan dikumandangkan, syaitan akan lari dan kemudian akan datang balik. Ini adalah maksud kedua.

Apakah kesan kepada mereka yang tidak belajar Tafsir Quran?

 

نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا

Kami akan adakan baginya Syaitan

نُقَيِّضْ dari kata dasar قيض yang bermaksud selaput telur di bawah kulit telur. Selaput itu melekat dan menyeliputi telur itu. Jadi نُقَيِّضْ bermaksud diseliputi, dikawali oleh sesuatu sampai menyebabkan orang yang dikawal itu tidak dapat melarikan diri dan melepaskan diri.

Maksud ayat ini, kalau tak belajar tafsir Qur’an, Allah akan ‘hadiahkan’ kepada mereka yang tak mahu belajar itu, syaitan. Syaitan itu akan yang menghasut dan menyesatkannya. Syaitan itu akan ‘melekat’ kepada orang itu. Orang itu tidak dapat melepaskan diri lagi. Ke mana kita pergi sahaja, syaitan.

 

فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

lalu menjadilah Syaitan itu teman rapatnya

Syaitan itu akan menjadi teman yang tidak renggang daripadanya. Macam selaput telur melekat dengan telur itu. Mereka tidak berenggang kerana sudah ada talian antara mereka. Tak dilepaskannya. Kalau syaitan biasa, mereka datang dan pergi. Tapi syaitan jenis qarin ini akan terus bersama dengan orang itu sampai ke neraka. Teman ini bukanlah teman yang baik. Kerana syaitan adalah musuh kita dan dia mahu melihat kita sesat. Syaitan Qarin itu akan bertindak macam bos kepada manusia itu, dimana manusia itu akan dikawal dan diperintah oleh syaitan itu.

Waktu itu mereka sudahlah jauh daripada Quran. Mereka yang jauh dari Quran adalah ibarat seorang yang buta. Bayangkan, sudahlah buta, dipandu pula musuh yang hendak melihat kita sesat! Tentu dia akan bawa kita masuk longkang, masuk gaung!

Apakah yang dilakukan oleh qarin itu? Ianya disebut dalam Fussilat:25

۞ وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَحَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خاسِرينَ

Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

Maksudnya, syaitan-syaitan itu akan mencantikkan perkara yang salah. Amalan syirik mereka nampak macam baik. Mereka buat tawasul yang salah, tapi syaitan itu membisikkan bahawa mereka buat amalan yang benar; amalan bidaah yang mereka amalkan, dinampakkan cantik, macam amalan dalam agama pula.

Kerana sangka amalan salah mereka sebagai baiklah, yang menyebabkan ramai dari kalangan kita suka buat perkara bidaah. Contohnya, mereka yang berqasidah di stadium, di padang-padang itu rasa mereka melakukan sesuatu yang indah dan cantik dan baik dalam agama. Padahal tidak! Mereka cuma nampak baik sahaja kerana syaitan telah mengelabui mata mereka.


 

Ayat 37: Apakah yang akan dilakukan oleh qarin-qarin itu?

وَإِنَّهُم لَيَصُدّونَهُم عَنِ السَّبيلِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُهتَدونَ

Sahih International

And indeed, the devils avert them from the way [of guidance] while they think that they are [rightly] guided

Malay

Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

 

وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ

Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu akan menghalangi mereka dari jalan yang benar,

Mereka akan menghalang orang itu dari jalan Allah. Kalau ada peluang nak jadi baik, syaitan akan halang dan pesongkan. Baru nak pergi ke kelas pengajian sahaja, syaitan akan pesongkan bawa dia ke tempat yang lain. Bila syaitan-syaitan itu sudah berjaya sahaja menangkap kita, mereka tidak akan melepaskan kita menuju ke jalan yang benar. Ada sahaja hal sampai langsung tidak pergi ke kelas Tafsir Qur’an.

Senjata yang digunakan oleh syaitan itu adalah taswif – tangguh-tangguhkan sampai akhirnya tidak buat langsung. Orang yang kena penyakit taswif ini, mereka bukan tolak Qur’an tapi mereka tangguh untuk belajar dan faham. Ada hal dengan keluarga, dengan kerja, dengan rumah, dengan permainan, dan macam-macam lagi.

Inilah bahayanya kalau tidak menghiraukan pembelajaran Tafsir Quran. Tidak teringat langsung nak belajar. Kalau ada yang ajak belajar sekali, ada sahaja alasan yang diberikan. Dan memang kalau di negara kita ini, tidak banyak pembelajaran Tafsir dijalankan. Kalau ada pun, amatlah sedikit. Maka, apakah yang terjadi di kalangan masyarakat kita? Mereka banyak yang mengamalkan syirik dan bidaah.

Pada mulanya hanya diberikan dengan seekor syaitan sahaja. Tetapi lama kelamaan, syaitan itu akan membiak dan mereka menjadi semakin ramai. Kerana apabila tidak belajar tafsir Quran, banyak perkara salah yang mereka lakukan. Setiap kali perkara salah dilakukan, seekor syaitan akan diberi lagi. Maka bertambah banyaklah syaitan-syaitan itu. Mereka sangka mereka mengumpul pahala, tapi sebenarnya mereka mengumpul syaitan!

 

وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Yang lagi parah, mereka sangka mereka orang yang beriman dah, dah bagus dah dalam agama. Kalau kita tanya kepada orang orang yang tidak belajar Tafsir Qur’an dan mereka telah belajar agama selain daripada Quran dan Sunnah, mereka akan rasa bahawa mereka telah terpimpin dan telah mendapat hidayah. Telah lama belajar dengan guru itu dan ini, pondok itu dan ini, pesantren itu dan ini dan macam-macam lagi. Jadi mereka rasa mereka orang yang terpimpin.

Teman rapat dalah guru

Mereka rasa mereka dalam jalan yang benar. Mereka solat, mereka puasa dan sebagainya. Itu tidak dinafikan. Tapi, oleh kerana mereka sangka mereka benar, maka mereka tidak cari jalan untuk memperbetulkan diri mereka. Sebab itulah mereka yang amalkan bidaah itu lagi teruk dari mereka yang buat maksiat. Bagaimana pula? (Ramai yang marah dengan kenyataan ini) Ini adalah kerana, mereka yang buat maksiat itu tahu yang mereka sedang buat perkara yang salah. Maka mereka masih ada lagi menyimpan harapan untuk bertaubat apabila dah penat buat maksiat nanti, atau apabila hidayah sampai kepada mereka; tapi yang mengamalkan bidaah dan sangka mereka dah buat amalan baik dalam agama, mereka tidak nampak kesalahan mereka. Mereka tidak akan minta ampun atas kesalahan mereka. Kerana pada mereka, buat apa mereka nak bertaubat, sedangkan mereka sedang buat amalan agama! Itulah sangkaan mereka yang salah. Maka mereka berterusan melakukan dosa amalan bidaah. Mereka hanya sedar apabila sudah sampai di akhirat nanti.

Lihatlah kesan bahayanya kalau tidak belajar tafsir Quran. Itu bermakna kita telah meninggalkan satu fardhu yang Allah telah tetapkan kepada kita. Allah telah suruh kita belajar apa yang disampaikan dalam Quran dalam firmanNya dalam Qasas:85

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ مَن جَاءَ بِالْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): “Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata “.

Ayat ini bermaksud Allah memfardhukan kepada kita untuk mempelajari Tafsir Quran. Kerana kefardhuan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah hanya membaca sahaja, tapi membaca dengan faham. Kemudian amalkan. Kemudian sebarkan.


 

Ayat 38: Mereka hanya sedar apabila di akhirat kelak dan apabila dimasukkan ke dalam neraka. Itulah bahayanya.

حَتّىٰ إِذا جاءَنا قالَ يا لَيتَ بَيني وَبَينَكَ بُعدَ المَشرِقَينِ فَبِئسَ القَرينُ

Sahih International

Until, when he comes to Us [at Judgement], he says [to his companion], “Oh, I wish there was between me and you the distance between the east and west – how wretched a companion.”

Malay

Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman”.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَنَا

Sehingga apabila ia datang kepada Kami

Iaitu datang kepada Allah pada Hari Kiamat, samada Hari Kiamat yang besar, atau Kiamat Kecil kepada setiap manusia, iaitu mati. Setiap manusia akan datang bertemu Allah. Dan mereka datang bersama dengan qarin-qarin mereka. Waktu itu baru menyesal yang sangat-sangat.

 

قَالَ يَا لَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ

berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya antaraku denganmu sejauh dua timur!

Mereka kata kalimat ini dengan rasa yang amat sesal. Mereka harap supaya antara dia dan qarinnya itu amat jauh sekali. Selalunya kalau dengan kawan rapat kita, kita nak selalu dengan mereka. Tapi dengan qarinnya yang menyesatkannya itu, dia berharap kalaulah di dunia dulu mereka amat jauh. Dan di akhirat kelak pun, mereka hendak jauh dari qarin mereka itu.

Itulah bahayanya kalau kita salah berkawan. Walaupun kita orang baik, tapi kalau silap pilih kawan, kita akan terikut-ikut dengan perangai buruknya. Oleh itu, pandai-pandailah pilih kawan rapat kita.

Kenapa digunakan perkataan ‘dua timur’? Kita tahu matahari naik dari arah timur. Tapi, tempat naiknya itu tidak sama sepanjang tahun. Ianya berubah-ubah. Ianya bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Maksudnya, yang dimaksudkan antara ‘dua timur’ itu adalah jarak terjauh antara tempat naik matahari itu. Maknanya, sejauh yang mungkin. Begitulah perasaan mereka yang telah ditipu dengan qarinnya yang jahat itu.

 

فَبِئْسَ الْقَرِينُ

sejahat-jahat teman”.

Memang mereka itu adalah sejahat-jahat dan seburuk-buruk teman. Mereka menyesatkan manusia dari jalan yang benar. Ini memang jenis kawan yang tak guna langsung.

Ini adalah kata-kata penyesalan yang disebut oleh mereka yang ingkar untuk belajar Tafsir Quran sehinggakan tidak mengendahkan apakah yang diajar dalam Quran. Mereka akan kata begini di Mahsyar nanti. Mereka sendiri akan laknat syaitan mereka itu waktu itu. Semoga kita bukanlah tergolong antara mereka itu. Maka kenalah cari kelas pengajian tafsir Qur’an sebelum terlambat.


 

Ayat 39: Lalu dikatakan kepada mereka sebagai jawapan kepada harapan mereka itu

وَلَن يَنفَعَكُمُ اليَومَ إِذ ظَلَمتُم أَنَّكُم فِي العَذابِ مُشتَرِكونَ

Sahih International

And never will it benefit you that Day, when you have wronged, that you are [all] sharing in the punishment.

Malay

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

 

وَلَن يَنفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذ ظَّلَمْتُمْ

“Pada hari ini, tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, jika kamu menzalimi diri kamu sendiri.

Sebelum ini, mereka yang ditipu berharap semoga mereka dijauhkan dari qarin mereka yang telah menyesatkan mereka. Kalau mereka dijauhkan pun di akhirat kelak, ianya tidak akan memberi manfaat dan faedah kepada mereka. Kerana mereka dua-dua akan masuk neraka bersama-sama. Sesalan dan laknat mereka kepada syaitan mereka itu sudah tidak berguna waktu itu.

Menzalimi diri sendiri bermaksud kita melakukan syirik kepada Allah. Sepatutnya kita hanya buat ibadat dan doa kepada Allah sahaja tapi kita ibadat dan berdoa juga kepada selain Allah.

 

أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ

kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

Maksudnya, mereka yang melakukan syirik dan bersama-sama syaitan dan juga guru-guru yang sesat yang mengajar mereka amalan sesat itu akan bersama-sama menerima azab di dalam neraka. Yang mengajar dan yang diajar akan sama-sama masuk neraka. Tidaklah mereka boleh menolong mereka yang lain. Mereka bersama semasa di dunia, melakukan kesalahan, dan di akhirat nanti pun mereka akan bersama menerima azab.


 

Ayat 40: Ayat Zajrun

أَفَأَنتَ تُسمِعُ الصُّمَّ أَو تَهدِي العُميَ وَمَن كانَ في ضَلالٍ مُبينٍ

Sahih International

Then will you make the deaf hear, [O Muhammad], or guide the blind or he who is in clear error?

Malay

Maka (mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta (mata hatinya), dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

 

أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ

Adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar,

Selepas dah belajar tafsir Qur’an, seseorang itu akan kasihan kepada orang lain yang masih tidak tahu tentang Qur’an ini. Termasuklah juga Nabi Muhammad, orang yang pertama sekali menerima wahyu Qur’an. Baginda tidak buang masa untuk beritahu tentang Qur’an dan tauhid kepada manusia. Tapi ramai manusia yang tolak baginda. Bayangkan, manusia sehebat Nabi Muhammad pun ada orang tolak. apatah lagi kita? Maka Nabi bersedih kerana kaum kerabat baginda pun tolak baginda. Malah yang paling kuat menentang baginda adalah keluarga baginda sendiri. Mereka sampai ikut belakang baginda masa baginda dakwah dan melarang orang lain dari dengar bacaan Qur’an dari baginda. Mereka beritahu kepada orang luar yang Nabi Muhammad itu adalah gila dan bahawa mereka itu ahli keluarga Muhammad itu (jadi mereka tentu kenal baginda). Orang nak dengar baginda pun susah nak dengar kerana keluarga baginda sendiri tolak.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Muhammad ditanya: adakah baginda boleh memperdengarkan orang yang pekak? Orang yang pekak dalam ayat ini adalah mereka yang tidak mahu belajar Tafsir Quran. Mereka diibaratkan sebagai orang yang pekak. Kerana qarin-qarin dari kalangan syaitan itu tidak beri mereka berada atas jalan yang benar, tidak beri manusia mendengar ajaran-ajaran Quran. Oleh kerana itu kalau kita beritahu kepada mereka tentang kebenaran pun, mereka tidak mahu dengar. Mereka tidak faham apa yang kita sampaikan kepada mereka. Mereka dengar, tapi tak faham. Mereka ini adalah golongan yang sudah ditutup pintu hati mereka dari terima kebenaran lagi – kufur ‘Peringkat Empat’ (Khatmul Qalbi).

Maka, janganlah kita patah hati kalau orang yang kita dakwahkan tidak menerima apa yang kita beritahu kepada mereka. Mereka tidak terima kerana memang mereka pekak! Mereka pekak kerana Allah telah tutup pintu hati mereka.

 

أَوْ تَهْدِي الْعُمْيَ

atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta

Bayangkan kalau seorang yang buta datang kepada kita dan minta kita tunjukkan jalan kepada mereka. Kalau kita tunjukkan jalan kepada mereka pun mereka tidak nampak, bukan? Begitulah juga dengan mereka yang buta mata hatinya dari Quran. Kalau kita tunjukkan kebenaran kepada mereka, mereka tak boleh nak nampak. Kita pun hairan kenapa mereka tidak dapat faham. Itu adalah kerana mereka telah dibutakan oleh qarin-qarin mereka.

 

وَمَن كَانَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

Allah memberitahu kepada Nabi Muhammad dan kita juga bahawa kita tidak akan dapat memberi hidayah kepada mereka yang berada atas kesesatan yang nyata itu. Inilah bahayanya kalau mereka sudah diberikan dengan qarin-qarin itu. Tapi walaupun begitu, kita tetap kena sampaikan juga Qur’an ini kepada orang lain kerana kita tidak tahu siapakah yang telah ditutup pintu hati itu. Jangan kita pula memandai buat keputusan dan hukum yang seseorang itu telah ditutup pintu hatinya.

Untuk menyelesaikan masalah mereka itu, kena heret juga mereka untuk belajar tafsir Quran supaya mereka dapat faham dan qarin-qarin itu akan pergi dengan sendiri. Tidak perlu nak buat majlis buang qarin, buang saka dan sebagainya, mereka akan pergi dengan sendiri.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 043: Zukhruf and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s